Ahad, 19 Januari 2014

Utusan Online - Luar Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Korban konflik politik Thailand meningkat

Posted: 19 Jan 2014 09:43 AM PST

BANGKOK 20 Jan. - Insiden keganasan yang dikaitkan dengan protes anti-kerajaan di Thailand setakat ini mengakibatkan sembilan nyawa terkorban dan hampir 600 orang cedera.

Namun, seramai 22 mangsa yang cedera masih berada di hospital, menurut Pusat Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Erawan di bawah Pentadbiran Metropolitan Bangkok.

Perangkaan itu dikumpul sejak tercetusnya pertempuran di sekitar Universiti Ramkhumhaeng antara kumpulan yang menentang pemprotes anti-kerajaan dengan kumpulan Baju Merah (pro-Thaksin Shinawatra) pada 30 Nov hingga semalam.

Terbaharu, kemalangan jiwa terkini yang berlaku semalam apabila seorang daripada mangsa serangan bom tangan semasa perarakan pemprotes di Banthad Thond Jumaat lalu meninggal dunia akibat kecederaan.

Situasi yang begitu serius mencetuskan kebimbangan dalam kalangan beberapa negara dengan Kuwait dan Oman menasihatkan warga mereka meninggalkan Thailand.

Semalam, Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Thanasak Patimaprakorn, merayu kepada kedua-dua pihak mencari jalan penyelesaian dan sedia berkorban demi kepentingan negara, tetapi mengakui kesukaran mendapatkan orang tengah yang sedia diterima oleh kedua-dua pihak. - Bernama

Letupan di Bangkok, 30 cedera

Posted: 19 Jan 2014 11:19 AM PST

BEBERAPA anggota polis menjalankan siasatan di lokasi letupan bom di Monumen Victory di utara Bangkok, semalam. - AP

BANGKOK 19 Jan. - Kira-kira 30 orang cedera dalam dua kejadian letupan di ibu negara ini, hari ini ketika demonstrasi 'Tutup Bangkok' diteruskan oleh penunjuk perasaan antikerajaan.

Tidak dapat dipastikan punca letupan di Monumen Victory di utara Bangkok itu.

Namun, tiada kerosakan teruk dilaporkan di kawasan tersebut dalam kejadian pada kira-kira pukul 1.34 petang (2.34 petang waktu Malaysia).

Pusat Perubatan Erawan berkata, mangsa yang cedera dibawa ke hospital berlainan di bandar raya ini untuk mendapatkan rawatan.

Saksi berkata, letupan berlaku selang dua minit antara satu sama lain.

Letupan pertama berlaku antara 100 meter dan 200 meter dari pentas yang dibina penunjuk perasaan dan letupan kedua berlaku berdekatan barisan peniaga yang menjual kemeja-T antikerajaan.

Dalam pada itu, seorang lelaki berumur 54 tahun cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di daerah Lad Prao, di sini malam tadi.

Pusat Perubatan Erawan berkata, lelaki tersebut telah menjalani pembedahan dan kini dirawat di unit rawatan rapi.

Masih belum dikenal pasti siapa dalang dalam serangan tersebut, namun penganalisis berkata, keganasan yang berterusan walaupun pada skala kecil, meningkatkan kemungkinan tentera melancarkan rampasan kuasa. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved