Isnin, 19 Ogos 2013

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Vios baharu dari RM73,213

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

VIOS 1.5J baharu tidak mengalami peningkatan harga walaupun mempunyai pelbagai penambahbaikan.

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Kereta Toyota Vios baharu kini sudah boleh ditempah di seluruh negara dengan jangkaan harga bermula dari RM73,213.50 untuk model 1.5J manual.

UMW Toyota Motor dalam kenyataannya menyatakan, kereta berkenaan hadir dengan rekaan luar yang dinamik, prestasi yang menjimatkan petrol dan sistem keselamatan yang terbaik.

Presidennya, Datuk Ismet Suki berkata, Vios baharu menawarkan teknologi dan spesifikasi yang lebih baik daripada model sebelum ini dengan harga yang berpatutan.

"Kereta ini dilengkapi sistem kunci pintar dengan butang kawalan mula/henti enjin, rekaan kabin baharu yang lebih selesa serta penggunaan bahan bermutu tinggi.

"Sistem penyerap hentak dan stereng juga telah dipertingkat untuk memastikan keselesaan maksimum dan kestabilan kawalan," katanya.

Tiada peningkatan harga bagi model 1.5J walaupun terdapat pelbagai penambahbaikan telah dilakukan berbanding model sebelum ini, manakala sedikit peningkatan harga bagi model 1.5 TRD Sportivo, 1.5G dan 1.5E.

Suprima S 'pembawa perubahan' kepada Proton

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

Model baharu Proton Suprima S menampilkan reka bentuk dan kualiti seperti kereta jenama antarabangsa.

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Proton Suprima S yang baru dilancarkan bakal menjadi 'pembawa perubahan' dalam menambah baik standard dan kualiti kereta pengeluar kereta nasional itu dan mengubah persepsi awam terhadap Proton, kata Hong Leong Investment Bank, hari ini.

Ia berkata, pelancaran Suprima S akan meningkatkan penawaran produk Proton dan membantu mengembalikan semula keyakinan pasaran dan bahagian pasaran.

"Kami menjangka Suprima S mendapat sambutan positif daripada orang ramai, sama dengan pelancaran Saga SV sebelum ini pada pertengahan Jun, yang menerima lebih 20,000 tempahan," kata bank pelaburan itu dalam satu nota.

Variasi Proton baharu itu berharga antara RM76,000 dan RM80,000 dan berjaya memperoleh penarafan lima bintang daripada Australasian New Car Assessment Programme dan dikatakan lebih baik daripada model hatchback kelas sama lain yang berada dalam pasaran Malaysia berharga di atas RM120,000.

Bank itu mengekalkan penarafan 'beli' bagi DRB-Hicom dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.36. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


24 pendatang tanpa izin ditahan di Lahad Datu

Posted: 19 Aug 2013 10:17 PM PDT

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

LAHAD DATU 20 Ogos - Polis menahan sebanyak 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam beberapa serbuan di sekitar bandar ini semalam.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Shamsudin Mat berkata, dalam serbuan itu juga polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun kerana disyaki memiliki dadah.

"Sebanyak 64 orang telah diperiksa dalam operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi itu dan kita telah menahan 24 orang kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri," katanya di sini hari ini.

Menurut Shamsudin, kesemua PATI yang berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE

Dua lelaki ditahan cuba jual LPG, tawar rasuah

Posted: 19 Aug 2013 09:19 PM PDT

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Dua lelaki termasuk pemandu lori syarikat pembekal gas petroleum cecair (LPG) ditahan bersama 5,000 liter LPG yang dipercayai cuba dijual secara haram kepada pihak industri, di kawasan parkir bas di Sungai Buaya, Rawang, dekat sini malam tadi.

Mereka juga bakal berdepan tindakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menawarkan suapan RM2,000 kepada pegawai penguat kuasa yang terbabit dalam operasi pukul 11.30 malam itu.

Ketua Penolong Kanan Penguasa SPRM Putrajaya, Mohd Yussof Zakaria berkata jika sabit kesalahan, suspek berusia 28 dan 40 tahun itu boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

"Kedua-dua mereka ditahan ketika memindahkan silinder mengandungi 5,000 liter LPG bernilai RM2,000 dari lori pembekal ke sebuah lori lain," katanya pada sidang media selepas operasi itu.

Menurutnya kegiatan dua lelaki terbabit diintip oleh bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan antara tiga hingga lima bulan lepas, sebelum melancarkan operasi itu.

"Mereka sepatutnya menghantar gas LPG kepada pembekal atau kilang-kilang sebenar, tetapi dikesan berhenti sekejap untuk memindahkan sedikit daripada gas itu ke lori lain untuk dijual kepada pembeli haram," katanya.

Kes itu juga akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Fandi letak jawatan

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

Fandi Ahmad

JOHOR BAHRU - Legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad telah membuat keputusan meletak jawatan sebagai pengurus pasukan yang ramai dibarisi pemain berstatus bintang, Johor Darul Takzim (JDT).

Kenyataan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu yang dihantar menerusi emel kepada media di sini, semalam bagaimanapun tidak menyatakan tarikh ia berkuat kuasa.

Fandi dan PBNJ masing-masing bersetuju membawa haluan sendiri selepas membuat pertimbangan teliti dan persefahaman bersama selain PBNJ ingin mencari pendekatan taktikal berbeza.

Beliau yang pernah beraksi di Liga Belanda bersama Groningen FC, menyifatkan keputusan yang dibuat bukan sesuatu yang mudah, malah memeritkan, namun ia adalah penting demi masa depannya sebagai seorang jurulatih.

Bola sepak adalah dunia saya dan saya tidak boleh hidup tanpanya. Ia juga memberi saya sebab untuk hidup sekali gus mahu menyumbang kepada bola sepak menerusi pengalaman yang ada dan mengikut kata hati iaitu menjadi jurulatih.

Kegembiraan juga sebahagian daripada kehidupan dan tugas sebagai jurulatih bola sepak membuatkan saya gembira selama ini dan disebabkan itu saya sentiasa memilih untuk terus mencari kegembiraan tersebut.

Sebagai seorang pemain saya sentiasa memberikan yang terbaik dan sebagai jurulatih juga saya mahu berterusan memberikan yang terbaik bila peluang itu datang," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Fandi juga berharap tiada pihak membuat spekulasi berhubung perkara itu kerana keputusan dicapai dengan persetujuan bersama selain keluarga beliau turut memainkan peranan dalam mencapai keputusan tersebut.

Dalam pada itu, Fandi turut berterima kasih kepada Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak memberi sokongan kepadanya sepanjang beliau berada bersama Johor Darul Takzim dan juga kepada peminat bola sepak Johor.

Saya juga berasa kesal kerana tidak dapat menghadiahkan sebarang piala kepada peminat Johor. Ingin juga saya tegaskan bahawa kami sudah berusaha sebaik mungkin dalam setiap perlawanan yang diharungi.

Bagaimanapun, saya percaya dengan komitmen serta sokongan Tunku Mahkota Johor dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak di negeri ini, Johor Darul Takzim mampu untuk meraih piala tidak lama lagi," katanya.

Pada masa sama, Fandi mengharapkan yang terbaik buat pasukan, pemain dan peminat di Johor yang disifatkan sebagai sebuah negeri yang menarik dan telah menemukan beliau dengan ramai kawan yang sudah dianggap seperti keluarga.

PBNJ dalam kenyataannya menyifatkan berita peletakan jawatan Fandi itu mendukacitakan buat mereka dan penyokong Johor, namun pihak persatuan sentiasa mendoakan yang terbaik buat bekas ketua jurulatih Johor Darul Takzim itu.

Menurut PBNJ, Fandi merupakan seorang jurulatih yang cemerlang dan sentiasa berdedikasi dalam usaha membentuk pasukan yang mantap selain sudah banyak menabur bakti dalam pembangunan bola sepak di negeri ini.

Pintu PBNJ sentiasa terbuka bagi Fandi dan beliau juga sudah dianggap seperti keluarga di sini. PBNJ juga sentiasa bersedia memberi sokongan dalam sebarang usaha yang bakal diceburi beliau pada masa akan datang.

Jasa dan sumbangan Fandi terhadap projek bola sepak Johor akan sentiasa dikenang dan dihargai PBNJ dan penyokong," kata kenyataan itu.

'Otai' yakin peluang Malaysia

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Gergasi Asia seperti Korea Selatan, Pakistan mahupun India bukan lagi ancaman besar buat Malaysia dalam misi merebut satu slot ke Piala Dunia 2014 menerusi tiket Piala Asia yang akan membuka tirai di Ipoh, Sabtu ini.

Bekas jaguh hoki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin sebaliknya, berpendapat, kekuatan Malaysia kini sebaris dengan kuasa-kuasa besar hoki Asia berkenaan, malah taktikal skuad kebangsaan pada anggapannya adalah yang terbaik untuk permainan hoki moden.

Nor Saiful turut memberitahu, peluang Malaysia untuk ke Piala Dunia menerusi kejohanan itu nanti semakin cerah ekoran Korea Selatan sudah pun melepasi kelayakan apabila meraih slot secara automatik dari zon kelayakan benua Amerika.

Malaysia menduduki senarai menunggu ketiga (berdasarkan kedudukan pusingan separuh akhir Kejohanan Liga Hoki Dunia) untuk mendapatkan slot ke Piala Dunia.

Tambah Nor Saiful Zaini, pemain dalam pasukan kebangsaan juga perlu yakin dengan keupayaan mereka sekiranya mahu muncul juara Piala Asia buat kali pertama.

"Corak permainan kita seakan sama digunakan oleh pasukan Eropah seperti Belanda dan Australia.

"Gaya permainan kita lebih banyak mempamerkan aksi serangan dan ini membolehkan pasukan mendapatkan lebih banyak peluang bagi mendapatkan gol," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Ketika ini Korea Selatan telah menjadi pasukan dari Asia yang pertama layak ke Piala Dunia di The Hague, Belanda.

Pasukan No. 1 Asia itu meraih slot automatik ke Piala Dunia menerusi ehsan daripada Kejohanan Pan Amerika yang menyaksikan Argentina muncul juara kejohanan tersebut.

Malaysia kini berada dalam senarai kedua menunggu selepas Sepanyol bagi mendapatkan slot automatik ke Piala Dunia daripada benua lain.

Sepanyol pula turut dikatakan berpeluang besar untuk melangkah ke Piala Dunia menerusi Kejohanan Eropah berikutan empat pasukan yang menyertai iaitu England, Jerman, Belanda dan Belgium sudah layak ke The Hague tahun depan.

Tumpuan Malaysia kini lebih terarah kepada Piala Asia tanpa perlu mengharapkan simpati daripada slot benua lain.

Sementara itu, Nor Saiful berharap pasukan kebangsaan dapat menyeimbangkan corak permainan yang digunakan terutama berkaitan pertahanan.

"Memang corak permainan serangan yang digunakan skuad kebangsaan bagus untuk mendapatkan jaringan tetapi mereka perlu memberikan penekanan terhadap pertahanan juga.

"Sekiranya pemain terlalu asyik untuk mendapatkan jaringan hingga membiarkan pertahanan terbuka mungkin boleh mendatangkan bahaya buat keputusan yang bakal diraih," kata Nor Saiful.

Dalam kempen Piala Asia Malaysia diundi bersama Taiwan, Pakistan dan Jepun dalam Kumpulan A manakala Kumpulan B menampilkan Korea Selatan, India, Bangladesh serta Oman.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Menteri arah pemeriksaan keselamatan senjata kapal selam

Posted: 19 Aug 2013 11:58 AM PDT

NEW DELHI 20 Ogos - Kementerian Pertahanan India semalam mengarahkan pihak tentera melakukan pemeriksaan keselamatan terhadap kesemua kapal selam miliknya ekoran insiden letupan sebuah kapal selam yang mengorbankan 18 anak kapal pada minggu lalu.

Menterinya, A.K. Antony berkata, pasukan penyelam tentera laut masih belum dapat mengakses sepenuhnya kapal selam buatan Rusia, INS Sindhurakshak yang tenggelam di Pelabuhan Mumbai pada minggu lalu ekoran letupan senjata dalam kapal berkenaan.

"Pemeriksaan ketat terhadap tahap keselamatan senjata akan dilakukan terhadap kesemua kapal selam yang telah ditempah oleh Tentera Laut India," katanya.

India memiliki sembilan kapal selam buatan Rusia dan empat buah lagi buatan Jerman yang dijana menggunakan kuasa diesel dan sebuah lagi kapal selam berkuasa nuklear. - AFP

Arab Saudi sedia bantu Mesir jika Barat sekat bantuan

Posted: 19 Aug 2013 11:57 AM PDT

JEDDAH 20 Ogos - Kerajaan Arab Saudi semalam menegaskan, negara-negara Arab dan Islam akan membantu Mesir sekiranya negara Barat menyekat pakej bantuan ke Kaherah ekoran isu penindasan pihak keselamatan terhadap penunjuk perasaan pada minggu lalu.

Menteri Luar, Putera Saud al-Faisal dalam kenyataannya berkata, mana-mana negara Barat yang mengugut atau mahu menyekat bantuan ke Mesir, Arab Saudi dan negara Islam lain akan memastikan negara terbabit dibantu dengan serta-merta.

Sebelum ini, Senator Amerika Syarikat (AS), John McCain menggesa Washington untuk menggantung bantuan bernilai AS$1.3 bilion (RM3.9 bilion) kepada tentera Mesir yang menggulingkan Presiden Mohammed Mursi pada 3 Julai lalu.

Dalam pada itu, menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan hubungan negara di rantau berkenaan dengan Mesir ekoran keganasan yang tercetus baru-baru ini. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Ramadan, Syawal amat bermakna

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal melancarkan rumah saudara baharu Orang Asli, Shahrim Abdullah (tengah) di Projek Pemajuan Kawasan di Pos Pantos, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 19 Ogos - Kedatangan 1 Syawal nyata memberi keceriaan dalam kalangan 10 keluarga Orang Asli yang baharu memeluk agama Islam di Kampung Simoi Baru dan Kampung Nyentil Pos Betau di sini baru-baru ini.

Keadaan sama juga dihayati 20 keluarga Orang Asli Islam etnik Batek di Kampung Temetong, Mela di sini yang turut rancak membuat persiapan menyambut hari lebaran itu.

Kegembiraan dan rasa syukur terpancar apabila mereka selesai menunaikan tanggungjawab Rukun Islam yang ketiga, iaitu berpuasa pada bulan Ramadan.

Sebagaimana masyarakat Islam lain, suku kaum itu sibuk mengisi kedatangan Hari Raya Aidilfitri dengan menyediakan sedikit juadah di samping solat sunat berjemaah dan berkunjung ke rumah rakan.

Tidak kurang juga sebahagian mereka balik ke kampung di pos penempatan Orang Asli berdekatan iaitu di Cameron Highlands, Kuala Koyan, Bencah Kelubi, Sungai Mai, Taman Negara Kuala Tahan dan tempat lain.

Bagi kebanyakan saudara baharu Islam daripada etnik Semai di Pos Betau dan Temetong di Mela, kedatangan Ramadan bukanlah suatu beban malah kehadiran penghulu segala bulan itu sentiasa dinanti-nantikan.

Sepanjang bulan Ramadan lalu masyarakat etnik berkenaan mengimarahkan surau dengan solat lima waktu, tarawih dan tadarus al-Quran dengan dibantu guru agama yang dilantik oleh kerajaan negeri.

Menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri, mereka juga bergotong-royong mengacau dodol dan menyediakan lemang untuk juadah bagi tetamu yang bertandang ke rumah atau hidangan seisi keluarga.

Seorang penduduk Orang Asli Simoi Baru, Sam Bah Kap, 43, berkata, ibadah puasa menguji keimanannya selepas memeluk Islam menerusi pengislaman beramai-ramai oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), di Kampung Pantos empat tahun lalu.

"Pada awalnya agak payah membiasakan dengan amalan ini tetapi saya tetap menempuhnya sesuai dengan ajaran Islam mewajibkan kita menunaikan rukun Islam ketiga itu.

"Sudah empat tahun saya merasai saat Ramadan dan berhari raya bersama keluarga dan jiran yang beragama Islam di sini, sekali gus menguatkan lagi keinsafan serta kesedaran saya serta keluarga," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bagi seorang suri rumah, Norizan Bah Lipat, 40, amalan berpuasa dan sambutan 1 Syawal menginsafkan diri dan keluarga terhadap kebesaran Islam khususnya mendidik diri sebagai muslim sejati.

"Meskipun serba kekurangan, saya dan keluarga akan menyambut hari raya secara sederhana dan berazam menjaga kebajikan anak khususnya menjadi insan bertakwa dan menerima pendidikan secukupnya," ujarnya.

Katanya, dia bersyukur setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri kerana menerima sumbangan daripada kerajaan negeri dan orang perseorangan yang menambahkan lagi keceriaan keluarganya.

Rakannya, Norhayati Tom, 28, berkata, kehadiran kedua-dua bulan itu merupakan detik paling bermakna menginsafkan diri dan berpeluang menguji kesabaran ketika berpuasa serta menyuntik amalan berjimat cermat dalam membuat persiapan hari raya.

"Kami Orang Asli tidaklah mampu berbelanja lebih untuk menyediakan pelbagai juadah seperti orang Melayu di tempat lain.

"Namun apa menggembirakan sambutan hari raya ini, kami berkumpul beramai-ramai menikmati makanan juadah yang dibawa masing-masing," katanya.

Seorang penduduk etnik Batek Kampung Temetong, Mehat Ubaidillah, 55, menyifatkan mereka sentiasa menantikan detik tersebut walaupun disambut sederhana.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Pos Pantos, Ahmad Zubair berkata, kelazimannya penduduk Islam di sini mewarnai kemeriahan hari raya dengan hanya bertakbir, bertahmid dan bersolat sunat Aidilfitri secara berjemaah dengan bimbingan seorang guru agama bertauliah.

"Inilah saat bagi saya setelah memeluk Islam untuk memohon keredaan Allah dan berdoa Orang Asli di tempat lain juga menerima sinar Islam," katanya.

Lebih ramai Orang Asli peluk Islam

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

KUALA LIPIS 19 Ogos - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) akan memberi perhatian utama bagi memastikan lebih ramai masyarakat Orang Asli di negeri ini memeluk Islam.

Timbalan yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, daripada kira-kira 67,000 masyarakat Orang Asli di negeri ini hanya 7,000 yang memeluk Islam.

"Kajian yang dilaksanakan mendapati perkara tersebut berlaku kerana masyarakat Orang Asli kurang pendedahan mengenai agama Islam secara menyeluruh," katanya di sini baru-baru ini.

Katanya, pendedahan dimaksudkan ialah pertemuan serta penyebaran ilmu Islam secara menyeluruh malah masyarakat juga wajar menjadi contoh Muslim terbaik sebagai panduan kepada mereka.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan kebajikan keluarga Orang Asli Islam di semua tempat setiap kali Hari Raya Aidilfitri.

"Bagi pemimpin Barisan Nasional (BN), kita zahirkan bantuan kebajikan ini bukan sahaja kepada yang beragama Islam malah rakan mereka yang bukan Islam juga diberi kemudahan ini untuk sama-sama memeriahkan hari raya," katanya.

Katanya, kerajaan negeri menyampaikan pelbagai bantuan kebajikan kepada etnik Orang Asli di Hulu Jelai dan tempat lain termasuk kemudahan asas serta pendidikan selari dengan aspirasi Aku Janji pembangunan negeri.

Proaktif daftarkan pengundi muda

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

Ismail Sabri Yaakob bersalaman dengan ahli Pergerakan Wanita UMNO Orang Asli dalam majlis perasmian Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Bera di Bera, kelmarin.

BERA 19 Ogos - Semua cawangan UMNO Bahagian Bera digesa bergerak proaktif untuk mendaftar seramai mungkin pengundi muda kerana golongan itu akan menjadi penentu dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ahli UMNO tidak boleh lagi mengharapkan orang lain untuk membantu dalam perkara itu kerana mereka juga ada agenda lain dan sedang berlumba untuk mendaftar keahlian serta pengundi baharu.

"Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu memberi pengajaran kepada UMNO untuk bangkit semula sebagai sebuah parti dominan yang bukan sahaja membela nasib bangsa Melayu dan agama Islam, malah bagi seluruh rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Bera di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus meningkatkan nasib penduduk luar bandar kerana masih setia menyokong parti itu pada pilihan raya umum lalu.

Ismail Sabri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menambah, tanpa sokongan mereka termasuk kira-kira 10 peratus pengundi Cina tidak mungkin BN mampu membentuk kerajaan dan mempertahankan majoriti beberapa negeri.

"Kerajaan akan memberi tumpuan membangunkan kawasan luar bandar kerana sebahagian besar daripada mereka tinggal di kampung tradisional dan menetap di kawasan pedalaman," katanya.

Katanya, pihak yang tidak menyokong parti komponen itu tidak boleh mempertikaikan pemberian bantuan atau ganjaran tertentu kerana mereka taat serta mengundi BN.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Raja Nong Chik perlu fail jawapan pembelaan Nurul Izzah, pemilik portal dan wartawan, 16 Sept.

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin perlu memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan yang telah dikemukakan oleh Nurul Izzah Anwar dan pemilik portal berita Malaysiakini bersama wartawannya yang disaman oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu di Mahkamah Tinggi di sini.

Raja Nong Chik memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu pada 17 Julai lalu rentetan daripada tuduhan Nurul Izzah berhubung urus niaga pembelian 4.85 hektar tanah bernilai tinggi di Bukit Kiara.

Peguam M. Reza Hassan yang mewakili Raja Nong Chik memberitahu pemberita, tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Datin Yeoh Wee Siam ketika pengurusan kes itu di kamar hakim hari ini.

Menurut Reza, Hakim Wee Siam juga mengesyorkan, jika pihak-pihak yang terlibat dalam kes saman itu mahu menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah, boleh berbuat demikian melalui proses mediasi.

Mahkamah juga menetapkan 17 September ini bagi lanjutan pengurusan kes itu.

Reza berkata, Nurul Izzah, syarikat Mkini Dotcom Sdn. Bhd. dan wartawannya, Lu Wei Hoong yang dinamakan sebagai pihak defendan telah memfailkan pernyataan pembelaan masing-masing pada 2 September lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Raja Nong Chik selaku plaintif menyatakan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada 4 Mei lalu telah mendakwa kononnya beliau terlibat dengan urusan pindah milik tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Bukit Kiara yang telah diberikan kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Beliau juga mendakwa, pernyataan fitnah kedua pula telah dibuat oleh Nurul Izzah, Malaysiakini dan wartawannya itu serta diterbitkan di laman web www.malaysiakini.com pada tarikh yang sama bertajuk, Nurul persoal RNC dalam urus niaga RM475 juta (Artikel Malaysiakini pertama).

Pihak defendan seterusnya menurut plaintif, dengan niat jahat menerbitkan kenyataan fitnah ketiga yang merujuk kepada beliau bertajuk, Nurul queries Nong Chik's role in RM475mil deal (Artikel Malaysiakini kedua).

Bekas menteri Kabinet itu juga menyatakan, perkataan-perkataan tersebut secara langsung dan tidak langsung merujuk kepada beliau.

Menurut plaintif, pihak defendan menyatakan, perkataan-perkataan itu membawa maksud antaranya, beliau tidak jujur, terlibat dalam kegiatan rasuah dan tidak boleh dipercayai.

Fitnah tersebut menurut plaintif menyebabkan, reputasi dan maruahnya sebagai ahli politik terjejas ekoran dipandang hina kerana kononnya telah terlibat dalam transaksi yang meragukan serta merugikan rakyat.

Justeru itu, Raja Nong Chik selain menuntut ganti rugi teruk dan teladan, turut memohon perintah injunksi agar pihak defendan tidak menerbitkan sebarang perkataan fitnah serta perintah memaksa mereka membuat permohonan maaf berdasarkan terma yang dipersetujui oleh beliau.

4 lelaki didakwa curi barangan RM786,000

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

EMPAT lelaki (tunduk kepala) yang didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mencuri pelbagai barangan berharga bernilai RM786,000 kepunyaan pemilik sebuah resort bergelar Datuk di Bachok pada 26 Jun lalu di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 19 Ogos - Empat lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mencuri pelbagai barangan berharga bernilai RM786,000 kepunyaan pemilik sebuah resort bergelar Datuk di Bachok pada Jun lalu.

Zuki Omar, 33; Abd. Malik Ismail, 29; Ibrahim Abdullah, 23, dan Mohamad Asri Mat Jusoh, 37, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Mohd. Yusoff Yunus.

Keempat-empat tertuduh secara bersama didakwa melakukan perbuatan tersebut setelah memecah masuk calet di resort milik Datuk Siti Hamidah Hamat, 55, kira-kira pukul 2 pagi, 26 Jun lalu.

Dalam kejadian itu, mereka didakwa mencuri sebentuk cincin solitarie berlian seberat empat karat, rantai leher platinum bersama ibu loket berlian jenama Chopard, jam tangan platinum berlian jenama Chopard, cincin berlian bertulis 1673, telefon bimbit Samsung S4 dan mata wang Amerika Syarikat berjumlah AS$10,000 (RM33,000).

Mereka turut dituduh mencuri gelang berlian, cincin zamrud, anting-anting platinum bertingkat tiga, anting-anting nilam biru bersama berlian, pasport antarabangsa, anak kunci peti deposit CIMB, barangan mekap, komputer riba, tablet Samsung Galaxy dan gelang swarovski milik mangsa.

Dakwaan terhadap tertuduh-tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Mohd. Yusoff membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes.

Dalam pada itu, Abd. Malik turut didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menjual barangan yang dicuri kepada seorang lelaki di Takbai, Thailand.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Nik Habri Muhamad kemudian menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Salam Yusoff dan Noor Dayana Mohamad.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Ulama Sunni syok sendiri?

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

SEJAK Ramadan lepas, kisah Syiah di Malaysia menjadi sensasi. Walaupun khabar kewujudan Syiah di Malaysia sudah lama berlegar di ruang awam dan alam maya sejak beberapa tahun lalu, isu Syiah kembali mendapat perhatian arus perdana.

Ini apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir memutuskan untuk mengharamkan Syiah di Kedah.

Hampir setiap hari, isu Syiah mengisi dada akhbar. Malah, banyak forum diadakan, cuba memberi penerangan kepada orang awam tentang kesan ajaran Syiah kepada masyarakat Malaysia yang rata-ratanya berpegang kepada ajaran Ahlul Sunnah Wal Jamaah(ASWJ).

Namun begitu, apa yang gagal disedari oleh banyak pihak, jelas daripada khabar yang diberikan sama ada melalui media arus perdana, ceramah, mahupun laman sosial, hampir semuanya diceritakan oleh pihak luar daripada ajaran Syiah, iaitu ulama Ahlul Sunnah sendiri. Sudah tiba masanya untuk kita mengarus perdanakan isu ini supaya penyebaran Syiah akan terus terhenti di Malaysia.

Bantahan oleh seorang ahli politik yang membantah usaha mengarus perdanakan isu ini ternyata tidak faham atau sengaja mengambil ringan akan isu ini. Ini berbeza dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bersikap tegas dan berani mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia salah di sisi undang-undang dan adalah sebuah pertubuhan haram.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Masterplan Consulting Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Faris Abdul Halim, satu usaha besar yang boleh dilakukan ialah dialog terbuka antara ulama Ahlul Sunnah dengan wakil Syiah di Malaysia.

"Walaupun sudah dilakukan oleh beberapa pihak secara kecil-kecilan, kali ini elok rasanya diadakan dialog secara terbuka melalui media arus perdana. Dialog ini dicadangkan disiar secara langsung melalui stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3, Astro, radio, dan kemudiannya teks dialog tersebut dibukukan dan diedarkan dengan usaha sama pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," kata beliau kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Satu kesan besar daripada usaha ini, kata Ahmad Faris, ialah masyarakat Malaysia dapat mendengar sendiri daripada mulut penganut Syiah. Kemudian, mereka boleh menilai sendiri betapa menyimpangnya Syiah daripada ajaran sebenar ASWJ.

Kata beliau: "Di samping itu, satu perkara yang perlu diambil perhatian, golongan yang banyak terpengaruh dengan ajaran Syiah ini terdiri daripada orang muda. Satu hakikat yang tidak dapat disembunyikan, generasi muda zaman sekarang lebih dikenali sebagai Generasi Y tidak suka hanya disogok dengan maklumat.

"Cara yang paling sesuai untuk mendepani generasi Y ini ialah memberikan hujah daripada kedua-dua belah pihak. Menggunakan medium yang disenangi anak muda, dengan izin Allah, pintu hati mereka akan terbuka untuk menerima kebenaran."

Malah, dalam satu rancangan wawancara Ancaman Syiah di siaran RTM, beberapa minggu lalu, Dr. Asri Zainal Abidin ada menyatakan kesediaan untuk berdialog secara terbuka dengan penganut Syiah di Malaysia.

"Sekarang kita sudah ada ulama yang berani, kalau mahu dibandingkan dengan ramainya di luar sana yang hanya syok sendiri menghentam Syiah di pentas ceramah.

"Lebih jelas lagi betapa syok sendirinya ustaz di Malaysia ini, sumber-sumber yang digunakan hanyalah sekitar sumber dengar-dengar cakap orang. Jarang sekali kedengaran ceramah oleh para ustaz yang mengambil terus daripada kitab Syiah sendiri. Kalau sekadar ada dengar cakap orang, ustaz seperti ini layaknya ditempatkan di kedai kopi untuk sembang kosong sahaja," katanya.

Kata Ahmad Faris lagi: "Golongan agama seperti inilah yang akan membuatkan generasi muda melarikan diri daripada wawancara Syiah dan akhirnya terpengaruh dengan ajaran ajaran ini.

"Sumber-sumber rapuh oleh penyampai akhirnya menggambarkan seolah-olah ASWJ sudah ketandusan hujah untuk menangkis hujah daripada golongan Syiah. Ayuh jadi pemberani. Kita bentangkan hujah dengan kemas dan teratur berdasarkan al-Quran dan Hadis sahih."

Kata beliau, antara persoalan yang pernah timbul daripada isu Syiah yang kurang memuaskan hati anak muda atau dikenali sebagai Generasi Y ini ialah perihal al-Quran yang diubah suai oleh penganut Syiah.

Kemudian, kata Ahmad Faris, hal yang hangat lagi ialah perbuatan sujud di atas tanah. Pelbagai hujah telah diberikan oleh pihak Syiah.

"Malangnya, ustaz-ustaz kita banyaknya hanya bermain dengan spekulasi yang tidak berpijak kepada hujah ilmu yang sebenar. Perbuatan sambil lewa ustaz dan ulama di Malaysia ini yang menjadi faktor Generasi Y mudah menerima ajaran Syiah kerana pada hemat mereka, hujah orang Syiah itu lebih berisi daripada cakap kosong orang kita.

"Penyebaran yang semakin berleluasa menjadi bukti ulama kita ramainya hanya syok sendiri," katanya.

Seperti yang sering diuar-uarkan, Syiah itu sendiri terdiri daripada pelbagai aliran. Antaranya, Syiah Immamiyah, Syiah Zaidiyah, dan Syiah Ismailiyah. Persoalannya sekarang, tidak dapat dipastikan aliran Syiah yang mana yang berkembang mekar dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Melalui dialog secara terbuka, barangkali negara dapat mengenal pasti aliran utama yang wujud di tanah air. Ini sangat penting kerana ada aliran Syiah yang terlalu melampau dan ajaran yang berlebih-lebihan seperti ini tidak wajar dibiarkan merebak ke dalam masyarakat harmoni di tanah air ini.

"Mereka yang melampaui batas inilah yang akan mengganggu-gugat keamanan, keharmonian dan kestabilan negara. Tuntasnya, melalui dialog terbuka, kita dapat memahami dengan lebih jelas situasi penyebaran Syiah di Malaysia sekarang.

"Bukankah orang Melayu sendiri mempunyai ramai graduan daripada universiti pengajian Islam ternama seperti Al-Azhar dan Universiti Madinah? Apa gunanya ramai graduan dari sana namun bila tiba masanya untuk mempertahankan Ahlul Sunnah wal Jamaah, masing-masing hanya selesa berceramah satu hala dan tidak berani berdepan dengan golongan Syiah secara bersemuka. Inilah yang dimaksudkan sebagai syok sendiri," katanya.

Ustaz dan ulama banyaknya yang terdiri daripada generasi sebelumnya. Mereka sudah terbiasa dengan jenis penyampaian satu hala. Semangat anak muda zaman sekarang yang mahukan perbincangan secara interaktif membuatkan kebanyakan mereka melihat ustaz dan ulama generasi lama kaku dan kurang relevan pada zaman sekarang.

Kata Ahmad Faris: "Antara contoh yang dapat dipetik di sini ialah Ustaz Fathul Bari, Dr Asri Zainal Abidin, dan Ustaz Azhar Idrus.

"Tiga nama ini merupakan nama ulama yang berpengaruh dalam kalangan anak muda. Kalau diperhatikan, ceramah mereka biasanya diisi dengan sesi soal jawab. Sesi yang tidak kaku seperti inilah yang digemari oleh generasi muda."

Terdapat beberapa nama yang telah dikenal pasti sebagai penganut Syiah, cenderung kepada Syiah, atau paling tidak, simpati kepada nasib komuniti Syiah dalam kalangan ahli politik mahupun ahli akademik.

Beberapa nama yang agak pernah disebut dalam perbincangan isu Syiah ialah Ustaz Abdullah Hassan, Ustaz Muhd Kamil Zuhairi Abdul Aziz, dan Prof. Dr. Lutfi Ibrahim.

Oleh hal yang demikian, tidak ada banyak halangan untuk mencari pembahas untuk mewakili komuniti Syiah Malaysia sekiranya dialog terbuka diadakan.

Mari, kita realisasikan dialog ini.

Menjulang tamadun Nusantara

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

ARTIKEL ini dipetik daripada ucapan TAN SRI DR. RAIS YATIM, Penasihat Sosio-Budaya bertaraf Menteri kepada KerajaanMalaysia di Persidangan Diaspora Indonesia Kedua, Jakarta semalam.

DISAMPAIKAN setinggi-tinggi tahniah kepada para panatia serta penganjur Diaspora Indonesia Ke-2 yang sekali gus mengimbas dan membincangkan hal-hal berkaitan kehidupan anak-anak perantauan dan bangsa rumpun Melayu.

Ada dalam kalangan kita di sini yang mungkin sudah bertahun-tahun tidak pulang ke kampung halaman keluarga asal. Mungkin dalam kalangan kita kerap mundar-mandir ke Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei dan lain-lain negara Melayu lantaran perniagaan, kepakaran tersendiri atau sebab-musabab yang lain.

Duduk Sedewan Kongres

Hari ini orang berasal Jawa, orang berasal Sunda, Minangkabau, Aceh, Mandahiling, Batak, Bengkulu, Kalimantan, Bugis dan puluhan etnik Indonesia yang lain-lain duduk sedewan, menjurus kepada potensi kekitaan kita yang semuanya sebagai penghuni pulau-pulau dan rantau Indonesia.

Ibu bapa saya sendiri kampung asal mereka ialah di Palupuah, Bukit Tinggi justeru fakta tersebut menjadikan saya sebagai berasal dari Indonesia juga. Perdana Menteri kami Datuk Seri Najib Tun Razak berasal dari Sulawesi, Bugis orangnya.

Timbalan Perdana Menteri kami juga ada punca asalnya dari Jawa; begitu juga Menteri Pertahanan kami serta lain-lain yang jumlahnya dari Malaysia mungkin tidak termuat di dalam dewan besar ini.

Kami yang datang dari Malaysia yang kebanyakannya juga mengalir di dalam tubuh masing-masing darah Jawa, darah Sunda, Minangkabau, Mendahiling, Batak, Bengkulu, Irianjaya, Kalimantan, Bugis dan sebagainya amat terasa seolah-olah himpunan ini mempunyai erti kehidupan yang sama seperti rakan-rakan yang tinggal berselerak di seluruh Indonesia.

Kita ke mari lantaran terasa satu panggilan yang semestinya boleh saya termakan sebagai panggilan Nusantara - Nusantara yang bererti Nusa Bangsa yang berantarakan laut, angin, selat, gunung-ganang, bukit-bukau dan sawah padi. Ya kita bertebaran seperti bunya bolai tetapi sebenarnya kita satu. Satu bahasa, satu asal usul dan kebanyakannya beragama sama, mengharung sejarah sama.

Nusantara

Kita ke mari, juga mahu melihat dari dekat apakah generasi kita kini masih ingat akan asal-usul kita, masih ingatkah akan sejarah, agama, budaya dan ikatan silaturrahim sesama kita. Lantas kita menoleh kepada era zaman 3,000 ke 4,000 tahun dahulu manakala dikatakan oleh para pakar antropologi dan pengkaji kemanusiaan bahawa kononnya nenek moyang kita di kepulauan dunia Melayu ini didatangi kumpulan demi kumpulan dari Lembah Mekong; kumpulan demi kumpulan dari tanah besar India dan akhirnya dari tanah Arab, Belanda dan Inggeris.

Dalam arus zaman beredar dan pusaka bergilir kita berselerak dan diselerakkan oleh kehidupan di kawasan-kawasan yang dipanggil Nusantara - dulu disebut oleh Pak Hamka dan Sutan Takdir Ali Shahbana sebagai Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago lantaran kesemua nenek moyang kita dikaji dan dikelompokkan sebagai orang-orang Nusantara.

Kita merindui kegagahan Majapahit; kehebatan Sailendra, Sri Vijaya sehingga mereka walaupun beragama Hindu dan Budhisme berempayar dari Jawa, Sumatera sampai ke Kemboja, Semenanjung Tanah Melayu, Vietnam dan lain-lain. Dari Hinduisme, Buddhisme dan Islam kita mempelajari pelbagai aspek dan bentuk spiritualisme.

Perjuangan Sukarno-Hatta dikagumi Perantau Tionghua bernama I-Tsing memperakukan dalam tulisannya semasa singgah di Bengkulu dalam abad ke-6 Masihi bahawa dunia yang kita ketahui sebagai Nusantara ini sebenarnya amat luas dan penduduknya beliau namakan sebagai Mo-lo-yo (yakni Melayu).

Bagi saya yang menyeberangi Selat Melaka untuk ke mari, amat terasa bahawa Kongres ini merupakan satu imbauan untuk meluahkan sesuatu yang selama ini amat jarang berpeluang untuk dizahirkan - mungkin lantaran kesibukan kita berpolitik dan berkerajaan masing-masing sehingga semacam melupai siapa kita.

Saya ke mari untuk bersama-sama menyatakan bahawa kita satu. Kita bersatu dalam arena sejarah, budaya dan cara hidup yang seharusnya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain

Lantaran sistem politik kita berbeza, yang satu lepasan sepak terajang Belanda, yang satu selepas gosokan kertas pasir Inggeris maka kita pun akhirnya terlalu taksub menggunakan politik untuk menyatukan rakyat kita.

Seharusnya kita patut, selepas proses kemerdekaan negara masing-masing terus berusaha menggunakan budaya lebih untuk menyatakan keutuhan hubungan rakyat dengan rakyat kita dalam kalangan negara di Nusantara.

Acuan Hidup

Melalui keragaman politik yang tersisip dengan pelbagai prinsip dan idealisme, kita melupai prinsip asal-usul, kejituan budaya kita yang di dalamnya bahasa seni dan agama telah sekian lama mengisi acuan hidup secara langsung.

Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura dan selatan Thai yang berbahasa Melayu-Indonesia kesemuanya dalam kencah berkomunikasi, perlu menyedari bahawa kita sudah mempunyai satu bahan atau alat terpenting untuk menyatukan masyarakat masing-masing dalam identiti kenusantaraan.

Dalam menilai pelbagai unsur yang menyatukan kita sebagai kumpulan bangsa Nusantara, teratas dan terpenting ialah bahasa. Yakni bahasa Indonesia-bahasa Melayu. Bahasa kita inilah yang seharusnya menyatukan kita dalam mencapai pelbagai kemuliaan dan kejayaan. Kita berkomunikasi dengan bahasa Melayu-Indonesia, kita melahirkan sastera dengannya.

Daripada Khairil Anwar sampai ke Munsyi Abdullah; dari Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji hingga ke Hamka, dari Pramoedia Ananta Toer, Sutan Takdir Alishahbana sampai ke A Samad Said, A. Samad Ismail, Abdul Moeis dan Mahsuri SN, Usman Awang - mereka berbahasa Melayu, berbahasa Indonesia. Kita semua menyanyi dalam fonetika Indonesia - baik Siti Nurhaliza mahupun Agnes Monica.

Kita muafakat di meja perundingan Presiden dan Perdana Menteri dengan perantaraan bahasa kita iaitu bahasa Indonesia-bahasa Malaysia. Kedua-duanya bahasa dunia Melayu.

Impak bahasa Melayu-Indonesia dengan 240 juta manusia di Indonesia, 30 juta di Malaysia tokok tambah beberapa juta orang lagi - genap 300 juta manusia faham dan bercakap bahasa Indonesia dan bahasa Melayu.

Sewaktu jalan-jalan di Singapura terdengar orang Tionghua bertutur bahasa Indonesia totok. "Saya lapar...minta nasi sepinggan tonggokan saja ikan bilis." Dialog itu dimengerti oleh Melayu di selatan Thai, Melayu di Sri Lanka apatah lagi di Brunei Darrussalam.

Malah di Madinah dan Makkah peniaga runcit begitu ramai yang berbahasa Melayu Indonesia. Tandas mereka ditandakan "Lelaki sahaja" dan "Perempuan sahaja".

Bangga atau tidak saudara saudari mengingati ini semua? Tentu bangga. Kalau tidak bangga bermakna anda sudah hilang rasa nurani kehidupan bernegara.

Tetapi bangga sahaja tidak mencukup sebagai bangsa-bangsa di nusantara yang gagah sejarahnya disegani dunia budi bahasanya.

Lebih dari itu kita perlu wujudkan satu jawatankuasa bahasa Melayu-Indonesia yang kekal memperjuangkan selok-belok pembudayaan bahasa kita. Komiti ini harus cekal dan diwakili budayawan gigih supaya akhirnya bahasa Indonesia-Malaysia atau bahasa Melayu tampil sebagai salah satu bahasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York dan Geneva.

Kita tak hairan kenapa bahasa Inggeris jadi salah satu bahasa rasmi PBB lantaran pengucapnya seantero dunia.

Yang kita hairan Perancis, Rusia dan Jepun juga tumpang semangkuk lantas bahasa-bahasa mereka diangkat jadi bahasa yang diterima pakai di badan terbesar dunia itu sekalipun populasi mereka secara berasingan tidak seberapa.

Harus dimandatkan Jawatankuasa atau Komiti itu untuk memperjuangkan supaya bahasa Indonesia-bahasa Melayu yang kini kita namakan bahasa kita akhirnya jadi salah satu bahasa perantaraan di PBB.

Ceduk Istilah Dan Produk Budaya

Selepas itu langkah kedua ialah menjadikan bahasa kita bahasa indah, bahasa ilmu, bahasa diplomatik dan bahasa komersil.

Sedap bunyi ujaran ini. Hebat natijahnya. Untuk itu kita mesti bersatu. Satu tekad satu matlamat: cintai bahasa kita. Teruskan melalui pendidikan masing-masing membersihkan bahasa kita daripada struktur dan sintaksis yang saya dapati agak menggilakan.

Ertinya bahasa kita sudah terlalu terabai penggunaannya dengan perkataan serta terma-terma bahasa Inggeris sehingga Jakarta dan Kuala Lumpur bukan lagi kedengaran percakapan bahasa kita.

Kita sudah disadur dengan struktur dan sintaksis Inggeris sehingga seolah-olah kita semua sudah makan burger McDonalds dan Kentucky Fried Chicken sahaja. Tiada lagi tempe, tiada lagi petai, samba lado dan nasi padangnyo. Mari kita kempenkan semula bahasa Indonesia-bahasa Melayu yang baik.

Ceduk istilah orang lain tidak mengapa tetapi seperti Sanskrit meresapi bahasa kita berkurun-kurun lamanya, ia mesti melalui proses konvensyen yang tradisional: iaitu bila sesuatu perkataan benar-benar sudah tiada di dalam perbendaharaan kata kita, barulah perkataan atau istilah orang luar dikemukakan. Itupun mesti makan masa evolusi dan penerimaannya.

Seterusnya produk-produk budaya seperti penerbitan buku, majalah, filem, video, muzika, pementasan dan lain-lain harus kita promo atau galakkan melalui proses rakyat ke rakyat. Secara ini juga penggunaan bahasa kita akan lumrah dan lazim sehingga nanti perhubungan budaya kita terletak di paras penjiwaan masyarakat kita.

Mimpi Siang Hari?

Apa yang saya katakan ini mungkin akan dihimpit dengan kata-kata sinis…Rais Yatim mimpi siang hari. Mana mungkin ini semua? Tak mengapa, katakanlah begitu tapi jangan lupa semua perjuangan yang hebat di dunia ini bermula dengan sedikit mimpi, khususnya mimpi siang hari. Terserah. Terserah kepada semua pemimpin, para intelek, pencinta budaya dan kumpulan-kumpulan yang sedar.

Dalam konteks inilah badan seperti YIRMI (Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia) dan ISWAMI (Ikatan Setia Wartawan Malaysia-Indonesia) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan lainnya harus diberi sokongan dan galakan agar kerja dan aktiviti mereka ke arah merapat dan memesrakan hubungan rakyat dengan rakyat bertambah erat dan mesra.

Malaysia dan Indonesia khasnya dan sesama kita di dunia Melayu Nusantara harus lebih mengutamakan aspek-aspek persamaan kehidupan berbanding aspek-aspek perbezaan dalam mencari kedamaian dan keharmonian hidup di dunia yang kini memasuki fasa yang lebih bergelombang.

Pada saya aspek budayalah yang paling penting diberi perhatian agar generasi mendatang meletakkan premium yang lebih tinggi kepada cara hidup berbudaya daripada apa yang kita temui pada hari ini.

Sebagaimana Prof. Andaya menyatakan di dalam buku barunya Leaves From the Same Tree, kita yang mewakili pelbagai masyarakat etnik di Indonesia dan Malaysia adalah sama dalam lipatan budaya.

Inilah modal atau kapital kita yang paling berharga dalam menjaga bangsa dan budaya serumpun. Kalau orang lain berupaya menyatakan sedemikian, kenapa tidak kita di Nusantara?

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Agrobiz

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Kebun kerang jana pendapatan

Posted: 19 Aug 2013 01:40 AM PDT

Antara pengusaha ternakan kerang menunjukkan sebahagian hasil tuaian mereka.

Oleh kerana kerang diminati sebilangan besar masyarakat negara ini, hidupan laut tersebut dituai saban tahun sehingga semakin sukar untuk ditemui di habitat liarnya.

Bagi memastikan kelangsungan hidup serta stok kerang di pasaran tidak putus, pelbagai inisiatif dilakukan oleh kerajaan antaranya adalah projek kebun kerang yang dilaksanakan di Sungai Buloh, Kuala Selangor, Selangor.

Menurut Ketua Daerah Perikanan Kuala Selangor, Jabatan Perikanan, Mohd. Hassan Shihab, aktiviti penternakan kerang sebelum ini dimonopoli oleh pihak tertentu yang memiliki modal yang besar.

"Bagi nelayan biasa sudah tentu mereka tidak mampu kerana kos membeli lebih kerang sahaja mencecah ratusan ribu ringgit.

"Justeru kerajaan mengambil inisiatif membangunkan projek kebun kerang bagi membantu nelayan sekitar Sungai Buloh, Kuala Selangor ini selain mampu meningkatkan stok kerang dipasaran," katanya.

Beliau ditemui pada program lawatan media bersama Jabatan Perikanan baru-baru ini.

Jelasnya, harga kerang kini mencecah RM140 hingga RM150 bagi seguni kerang bersaiz duit syiling 50 sen sebiji dan saiz yang biasa dipasarkan adalah sekitar 80 hingga 90 biji bagi berat sekilogram (kg).

Projek ternakan kerang di Sungai Buloh, Kuala Selangor tersebut melibatkan nelayan setempat menerusi pembahagian plot-plot kebun secara berdekatan di antara satu sama lain menerusi kerjasama kerajaan negeri dan pihak Jabatan Pertanian.

Bagi mengurangkan kos pembelian benih kerang, lesen mengutip benih kerang dikeluarkan kepada nelayan selama dua minggu dan benih tersebut akan ditaburkan di dalam hampir 50 kawasan plot yang telah ditetapkan.

Jelas Mohd. Hassan, untuk memudahkan usaha menternak kerang, nelayan akan bekerja secara berkumpulan mengumpul, menternak, menabur benih serta menuai hasil kerang.

Kerang yang diternak akan matang dalam masa satu tahun sebelum boleh dituai. Dalam masa tersebut nelayan perlu memantau kawasan plot serta memindahkan kerang sekiranya haiwan tersebut terlalu padat di dalam satu-satu plot.

Malah, kerang perlu dikacau selalu agar taburannya di dalam plot menjadi seimbang serta mengelakkan berlakunya persaingan serta memberi kerang ruang untuk membesar.

Sejak projek tersebut diperkenalkan oleh kerajaan, taraf hidup nelayan sekitar kawasan tersebut telah meningkat di mana pendapatan mereka dilihat terdapat pertambahan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

Jika dahulu mereka hanya bergantung kepada hasil tangkapan yang tidak menentu menerusi kaedah tradisi iaitu menjaring ikan kini mampu tersenyum dengan hasil yang diperolehi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Adi Putra cuma keletihan, kini dirawat di Surabaya

Posted: 19 Aug 2013 02:58 AM PDT

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pelakon popular Adi Putra, 32, dimasukkan ke hospital hari ini berpunca daripada bebanan kerja dan kurang istirehat.

Pelakon dan pengarah filem Suami Aku Ustaz itu bukan dimasukkan ke hospital tempatan tetapi sedang menjalani rawatan di salah sebuah

hospital di Surabaya, Indonesia.

Menurut Presiden 1 Hotlovers, Che Zaipah Abdul, pelakon tersebut berada

di sana bagi menjalani klip video untuk lagu yang bakal dimuatkan dalam

filem Suami Aku Ustaz.

"Ya memang benar Adi dimasukkan ke hospital pagi tadi. Kejadian berlaku

sewaktu dia sedang menjalani penggambaran klip video untuk filem Suami Aku Ustaz.

"Setakat ini saya difahamkan yang Adi mengalami keletihan melampau hingga kesihatannya terganggu. Sejak dia balik daripada umrah sebelum raya

hingga sekarang, dia tidak henti bekerja," kata presiden kelab peminat

pelakon itu kepada Utusan Online hari ini.

Turut berada di sisi Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim

adalah isterinya, Zuhaidah Yusof, 38. - UTUSAN ONLINE

Yusof Haslam jalani pembedahan batu karang

Posted: 19 Aug 2013 02:56 AM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pengarah dan penerbit filem Datuk Yusof Haslam, 60, yang menghidap penyakit batu karang telah menjalani pembedahan bagi memecahkan batu karang pada pundi kencingnya selama hampir dua jam di Hospital Pakar KPJ Tawakkal di sini, hari ini.

Isteri penerbit syarikat produksi Skop Productions itu, Datin Fatimah Ismail, 58, berkata suaminya itu mula mengadu sakit pinggang pagi tadi sebelum kencing berdarah dan seterusnya dikejarkan ke hospital sebelum disahkan doktor kerana menghidap penyakit tersebut.

"Suami saya mengadu sakit pinggang selepas subuh tadi dan selepas didapati kencingnya berdarah saya terus menelefon anak kami, Syamsul dan membawanya ke hospital pada pukul 9.30 pagi tadi dan pembedahan bagi memecahkan batu karang itu bermula pukul 1.45 petang tadi," katanya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Lembut juga mampu berjaya

Posted: 18 Aug 2013 10:53 PM PDT

Antara artis tempatan yang dikatakan lembut tetapi berjaya dalam bidang kerjaya yang dilakukan mereka.

ADA yang mengatakan, lelaki lembut seperti tiada hala tuju kerana gaya mereka yang menjelikkan dan tidak seperti seorang lelaki.

Namun, perkara itu tidak sama sekali dengan situasinya sekarang kerana ramai di kalangan golongan ini yang sudah berjaya termasuk di peringkat antarabangsa.

Jika dilihat artis-artis tempatan yang dikatakan mempunyai perwatakan lembut, kebanyakannya berjaya dalam kerja masing-masing.

Bukan sahaja kerjaya, mereka juga berjaya dalam membina keluarga dan membesarkan anak-anak menjadi seorang yang berjaya.

Mega bertanyakan daripada sudut agama dan psikologinya tentang perihal golongan lembut ini.

Salahkah menjadi lembut?

Melihat lelaki lembut daripada sudut perspektif Islam, wartawan mengajukan soalan kepada penceramah muda, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Asyraf.

Menurutnya, tidak salah bagi seseorang itu berperwatakan lembut seandainya dia masih menjaga solat dan menetapkan keimanannya kepada tuhan.

"Jika dia menjaga agamanya dan keimanannya, tidak salah. Cuma dalam Islam, digalakkan untuk seseorang itu untuk menjadi lebih lelaki.

"Dalam Islam ada golongan yang dipanggil Mukhannas. Golongan ini memang berperwatakan lembut dan lebih menonjol mahu menjadi wanita.

"Ini yang diharamkan dalam Islam kerana berpakaian seakan-akan wanita, itu tidak boleh," jelasnya.

Tambahnya, Islam tidak marah pada lelaki lembut walaupun kerjaya lelaki lembut ini kebanyakannya melibatkan kerja-kerja halus dan berseni.

"Kita sedia maklum bahawa golongan lembut ini seorang yang cukup berseni dan berimaginasi tinggi. Cuma, kalau boleh, elakkan daripada berperwatakan lembut," katanya

Tambahnya, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, terdapat seorang perempuan berkelakuan seperti perempuan dan perempuan yang berkelakuan seperti lelaki, dan kata baginda lagi "halau mereka dari rumah mu'.

"Nampak seperti kejam, tetapi sebenarnya ia adalah untuk mengelakkan perkara ini daripada berjangkit. Itu sahaja.

"Malah, Islam tidak menggalakkan seseorang itu menjadi lembut kerana ini akan menimbulkan fitnah terhadap individu itu sendiri," jelasnya.

Wanita pecah monopoli di Jalan TAR

Posted: 18 Aug 2013 10:53 PM PDT

Adlina Musa memulakan perniagaan borong tekstil sejak 1997.

NAMUN, di sebalik itu sebenarnya ada seorang usahawan wanita, Adlina Musa, yang telah berjaya menjalankan perniagaan tekstil secara borong di dalam sebuah bangunan yang besar.

Gedung Tekstil Umang Umang yang beralamat di 87, Jalan Tuanku Abdul Rahman itu menawarkan pelbagai jenis fabrik termasuk satin, syifon dan bermacam-macam lagi mengikut kehendak pelanggan.

Menurut Adlina, sejak memulakan perniagaan kain pada 1997, permintaan fabrik daripada dalam dan luar negara semakin meningkat setiap tahun.

Katanya, sebagai sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan import serta eksport, Malaysia mempunyai kedudukan yang baik menjadi tumpuan pembeli fabrik.

"Syarikat kami, juga mendapat tempahan dari Indonesia, Brunei dan Singapura yang menjadikan perniagaan semakin berkembang.

"Malah, kami juga merupakan antara mengimport kain samping moden terbesar di negara ini,"katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelas Adlina, selain fabrik, syarikatnya itu menawarkan pelbagai pilihan baju kurung siap yang berkualiti pada harga terendah.

"Kami sudah lama menjalankan perniagaan borong ini, selain mempunyai pelanggan tetap.

"Dalam masa terdekat kami akan turut menawarkan jualan secara runcit bagi memenuhi kehendak pelanggan yang semakin tinggi khususnya di musim perayaan," ujarnya.

Peniaga asing

Ditanya mengenai saingan daripada peniaga warga asing yang menjadi cabaran utama usahawan Melayu Jalan TAR, Adlina menyifatkan persaingan perniagaan tekstil di kawasan tersebut memang terlalu tinggi khususnya melibatkan peniaga dari Pakistan, India dan Bangladesh.

Malah, dia memberitahu, premis yang disewanya turut menjadi sasaran ramai peniaga asing dengan menawarkan sewa yang lebih tinggi lebih sekali ganda kepada pemilik premis tersebut.

Namun, Adlina berterima kasih kepada pemilik premis yang tetap memberi peluang kepadanya untuk terus kekal menyewa di situ.

"Sebab itulah agak sukar untuk usahawan Melayu bersaing di sini memandangkan peniaga warga asing seolah-olah mempunyai modal besar.

"Namun semua ini tidak melemahkan semangat saya untuk terus bersaing dan menjalankan perniagaan di sini walau apa pun rintangan yang melanda," katanya.

Mengulas lanjut, Adlina menjelaskan, selain masalah lokasi, permainan harga yang dilakukan oleh hampir semua peniaga warga asing mampu membunuh usahawan Melayu sekiranya tidak mempunyai daya saing.

Tegas Adlina, mereka sanggup menawarkan harga terendah asalkan pelanggan membeli barangan yang dijual walaupun di bawah kos modal.

"Keadaan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kami usahawan Melayu, tetapi kami bertuah kerana memperoleh barangan terus dari kilang di China, Pakistan, Bangladesh dan India pada harga kompetitif.

"Namun, saya tetap berharap syarikat kami akan terus dapat bertahan walaupun pelbagai usaha daripada peniaga warga asing untuk mematikan perniagaan orang Melayu di sini," jelasnya. - TERMIZI CHE ANUAR

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kerajaan ambil 3 tapak rumah

Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kecuraman cerun di Bukit Setiawangsa yang runtuh pada Disember lalu akan dikurangkan daripada 70 darjah kepada 39 darjah.

Bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Tan Sri Zulhasnan Rafique berkata, beliau dimaklumkan bahawa kerajaan turut membuat keputusan untuk mengambil semula tanah di dalam kawasan yang terlibat dengan kerja pembaikan cerun tersebut.

"Tanah yang telah dikenal pasti itu membabitkan tiga buah rumah iaitu rumah saya, rumah Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis dan bekas tapak rumah seorang ahli perniagaan Arab.

"Keputusan yang dibuat di dalam mesyuarat bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur baru-baru ini itu dibuat bagi membolehkan pihak yang bertanggungjawab melakukan kerja-kerja mewujudkan zon penampan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Setiawangsa dan Yayasan Amal Wangsa yang dipengerusikan isterinya, Puan Sri Siti Nooriah Ana Razak di sini semalam.

Tambah Zulhasnan, penduduk di bahagian atas dan bawah bukit yang terlibat dengan kejadian itu tidak perlu bimbang kerana kerajaan serius untuk memastikan tahap keselamatan semua pihak.

"Datuk Bandar juga sedang mencari masa yang sesuai untuk mengadakan perjumpaan bersama penduduk bagi menerangkan hal berkaitan keselamatan dan sebagainya," ujarnya.

Kejadian cerun runtuh, setelah tembok konkrit yang menahannya pecah, pada 28 Disember tahun lalu menyebabkan sebuah banglo di atas bukit milik seorang ahli perniagaan warga asing terjejas teruk dan terpaksa dirobohkan sepenuhnya bagi mengelak risiko ke atas lebih 50 kediaman dan rumah kedai di bahagian bawah bukit.

Sementara itu, majlis rumah terbuka yang diadakan di Dewan Komuniti Setiawangsa berlangsung meriah dan dihadiri kira-kira 5,000 tetamu pelbagai kaum dari dalam dan luar Parlimen Setiawangsa.

Ujar Zulhasnan, biarpun tidak lagi menjadi wakil rakyat, amalan rumah terbuka yang dimulakan sejak 13 tahun lalu itu akan tetap diteruskan.

"Kami hanya menukar lokasi daripada Stadium Mini Setiawangsa yang sinonim dengan rumah terbuka Parlimen Setiawangsa ke dewan komuniti yang lebih sesuai," katanya.

MPKj digesa pantau mutu perkhidmatan kutipan sampah

Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT

SEBUAH lori membawa muatan sampah secara berlebihan dikesan di Semenyih.

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Perkhidmatan mengutip sampah di kawasan Semenyih perlu dipantau oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kerana terdapat kontraktor yang dilantik gagal menjalankan tanggungjawab mereka dengan berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, kontraktor dilihat gagal menyempurnakan tugas mereka kerana sampah yang tidak dikutip menimbulkan keadaan yang tidak selesa kepada penduduk.

"Saya mendapat aduan daripada orang ramai yang mendakwa sampah di kawasan perumahan tidak dikutip selama tiga hari, malah ada yang sampai seminggu.

"Lebih teruk apabila terdapat lori sampah yang sudah rosak, sudah bocor hingga menyebabkan air dari timbunan sampah dalam lori menitik ke atas jalan. Malah, ada yang mengangkut sampah sehingga melebihi muatan dihadkan oleh pihak berkuasa," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas aduan penduduk Semenyih yang mendakwa kontraktor tidak mengutip sampah mengikut waktu selain menggunakan lori yang tidak menepati standard ditetapkan.

Dalam pada itu, Johan turut mempertikaikan kerajaan negeri yang sebelum ini mendakwa membeli lori sampah dari China namun kualiti lori yang ada kini tidak seperti yang diuar-uarkan.

"Sebelum ini Alam Flora yang dipertanggungjawab untuk mengutip sampah di Semenyih dan tiada langsung rungutan daripada penduduk. Namun, kini hanyalah lori-lori yang langsung tidak menepati standard bagi lori mengutip sampah.

"Di mana agaknya lori yang dikatakan dibeli di negara China dengan harga jutaan ringgit itu?," ujarnya.

Beliau turut menggesa agar ahli-ahli MPKj memainkan peranan dengan menyelesaikan masalah penduduk di kawasan pentadbiran mereka.

Arah kontraktor henti kerja - MKJR

Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye menggesa agar arahan henti kerja dikeluarkan kepada pihak kontraktor berikutan berlaku kejadian 'handle' kren terjatuh ke atas sebuah kereta di projek penyambungan LRT di USJ2/3 Subang Jaya dekat sini semalam.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu mengeluarkan arahan itu sehingga diyakini semua langkah keselamatan diambil bagi memastikan insiden seperti itu tidak berulang, yang ia boleh dielakkan sekiranya langkah keselamatan yang baik telah dibuat terlebih dahulu.

"Lebih baik projek itu ditangguh seketika daripada meneruskan kerja-kerja tidak selamat yang boleh membawa kepada kemalangan jiwa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta yang diletak di tepi jalan berhampiran projek itu remuk setelah dihempap kren kira-kira 6.17 petang.

Lam Thye berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada pihak yang bertanggungjawab berhubung kejadian itu. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved