Khamis, 13 Jun 2013

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


204 calon UPSR sertai program kecemerlangan kelolaan SMP, Utusan

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Sebahagian murid menyertai Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi kelolaan Sekretariat Malaysia Prihatin dan Unit Pendidikan Utusan Malaysia di SK Dabong, Kuala Krai, kelmarin.

KUALA KRAI 13 Jun - Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi kelolaan Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) dan Unit Pendidikan Utusan Malaysia mendapat reaksi positif daripada 204 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di daerah Dabong di sini, seterusnya mencapai matlamat penganjurannya.

Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Dabong, Noor Azman Awang berkata, program itu adalah pertama kali dianjurkan oleh pihak luar di sekolah berkenaan.

"Program motivasi ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada murid kerana selain dapat menimba ilmu baharu, hubungan yang erat dengan murid sekolah lain turut terjalin.

"Kelainan dalam program ini ialah pihak SMP bukan sahaja membawa guru pakar tetapi turut membawa pakar motivasi untuk memberi pendedahan kepada murid agar mereka dapat melihat hala tuju kehidupan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis penutup program itu di sini semalam.

Menurutnya, sepanjang dua hari program itu dilaksanakan, calon UPSR diberikan rujukan terbaik untuk memastikan mereka mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.

Seorang murid, Nur Alia Tasnim Alias, 12, ketika ditemui berkata, dia gembira dapat menyertai program berkenaan.

"Selain mendapat ramai kawan, ilmu pengetahuan juga turut bertambah dan saya berharap dapat mencapai keputusan cemerlang dalam UPSR nanti," katanya.

Rakannya, Mohd. Amirul Anuar Zaidi, 12, berkata, ini merupakan kali kedua dia menyertai program kecemerlangan tersebut.

"Kali pertama saya sertai program sebegini adalah di Sekolah Kebangsaan Kuala Geris dan saya seronok menyertainya kerana dapat menimba banyak ilmu pengetahuan.

"Jika program ini dilaksanakan lagi, saya akan menyertainya dan berharap mendapat 5A dalam UPSR," katanya.

Seorang lagi murid, Mohd. Aliff Idham Kamaruzzaman, 12, berkata, program kecemerlangan tersebut banyak memberi manfaat kepada dia dan rakan-rakannya.

"Saya seronok menyertai program ini kerana dapat belajar perkara baharu selain mendapat ramai kawan dari sekolah di Dabong.

"Saya harap program ini diteruskan pada masa akan datang dan berharap memperolehi keputusan cemerlang untuk dihadiahkan kepada ibu bapa saya," katanya.

Johor juara keseluruhan

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Oleh FANZURINA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

Nasarudin Mohamad dari Johor (kiri) dan Nurul Nadia Latif dari Negeri Sembilan dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati dalam Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Pendidikan Khas Kebangsaan 1Malaysia 2013 di Kuantan, Pahang, malam semalam.

KUANTAN 13 Jun - Johor dinobatkan sebagai juara buat kali ke-13 berturut-turut dalam Kejohanan Balapan dan Padang Pendidikan Khas 2013 yang berakhir di sini malam tadi.

Dalama edisi kali ini yang berlangsung selama tiga hari di sini, Johor berjaya memperoleh 31 emas, 26 perak dan 14 gangsa, meninggalkan Selangor di tempat kedua (10 emas, 10 perak dan 16 gangsa), diikuti Kedah di tempat ketiga (tujuh emas, tujuh perak dan tujuh gangsa).

Ketua Kontinjen Johor, Noor Hudah Jamal berkata, komitmen dalam melakukan persediaan akhir selama tiga minggu berjaya mengekalkan Johor sebagai juara keseluruhan, selain turut melepasi sasaran 30 pingat emas.

"Kerjasama atlet terlibat dan tunjuk ajar jurulatih yang baik menjadi kunci kejayaan kontinjen Johor," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup kejohanan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Katanya, walaupun majoriti daripada 55 peserta yang dihantar merupakan atlet baharu, namun mereka dapat menguasai acara sukan tersebut.

Dalam pada itu, katanya, beliau akan cuba mendapatkan tempat untuk olahragawan kejohanan itu yang juga atlet kontinjen Johor, Nasarudin Mohamad di Majlis Sukan Negara.

Nasarudin berjaya meraih tiga emas dalam olahraga bagi acara 100, 200 dan 400 meter dengan pencapaian rekod baharu bagi acara berkenaan.

Bagi anugerah olahragawati pula dimenangi atlet Negeri Sembilan, Nurul Nadia Latif yang turut mengumpul tiga emas dalam olahraga bagi acara 100, 200 meter dan lompat jauh.

Kejohanan yang bermula Isnin lalu melibatkan penyertaan 730 atlet daripada 16 kontinjen yang bertanding dalam 106 acara dengan mengambil kira kategori penglihatan, pendengaran dan pembelajaran.

Sebanyak 26 rekod baharu berjaya dipecahkan pada kejohanan edisi kali ini iaitu 12 rekod (masalah pembelajaran), lapan rekod (masalah pendengaran) manakala enam rekod (masalah penglihatan).

Kontinjen tuan rumah, Pahang pula hanya mampu mengumpul lapan pingat perak dan lima gangsa bagi mengisi tempat ke-14 keseluruhan.

Kejohanan ini adalah selaras dengan dasar 1Murid 1Sukan dan membuktikan kerajaan tidak mengetepikan penglibatan murid berkeperluan khas dalam aktiviti-aktiviti sukan berprestasi tinggi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Mini Cooper turun RM30,000

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Dr. Gerhard Pils (dua dari kiri) memperkenalkan Mini Cooper Countryman pemasangan tempatan pertama kepada Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail (kiri) pada majlis pelancaran kereta itu di kilang pemasangannya di Kulim, semalam.

KULIM 13 Jun - Usaha kerajaan untuk menurunkan harga kereta di pasaran tempatan terus menampakkan hasil.

Terbaharu, kereta kompak ternama, Mini, memperkenalkan dua model iaitu Mini Cooper Countryman dan Mini Cooper S Countryman ALL4 dengan harga terbaharu masing-masing RM218,888 dan RM258,888.

Bagaimanapun, harga baharu itu masih merupakan cadangan daripada BMW Malaysia dan ia tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

Harga terbaharu itu membabitkan penurunan harga sehingga RM30,000 berbanding harga sebelum ini.

Harga terdahulu dua model itu bernilai RM248,888 dan RM268,888.

Penurunan harga itu didorong oleh langkah pemasangan tempatan (CKD) terhadap dua model Mini Cooper tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Dr. Gerhard Pils berkata, Mini Countryman yang dikendalikan di kilang kenderaan pemasangan tempatan yang dikongsi bersama-sama anak syarikat Sime Darby Bhd., Inokom Corporation Sdn. Bhd. (Inokom), dekat sini itu diperkenalkan bagi memastikan wujudnya bekalan yang optimum untuk jenama Mini di pasaran negara ini.

Selain itu, katanya, pengenalan kenderaan Mini pemasangan pertama di negara ini juga bertujuan untuk mengurangkan kos keseluruhan pemilikan di samping mengekalkan standard kualiti premium sedia ada.

Pengenalan Mini Countryman yang baharu menandakan model kelima yang menyertai portfolio kenderaan BMW Malaysia. Ia juga mengukuhkan lagi pelaburan dan komitmen pengeluar kereta premium di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran model terbaru itu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Industri Kedah, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail di sini hari ini.

Yang hadir bersama ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh dan Ketua Bahagian Pengurusan CKD BMW Group, Michael Gallmann.

Pils berkata, Mini Countryman baharu pemasangan tempatan itu secara keseluruhannya sama dengan kereta yang diimport kerana dibina menggunakan strategi yang menggabungkan teknologi dan casis termaju.

Tambah beliau, Mini Countryman tersebut didatangkan dalam dua siri pilihan enjin 1.6 liter iaitu Mini Cooper Countryman dan Mini Cooper S Countryman ALL4.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Seorang maut nahas libat enam kenderaan

Posted: 13 Jun 2013 08:31 PM PDT

KUALA LUMPUR 14 Jun - Seorang maut dalam satu kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di Kilometer 450 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke utara, berhampiran Rawang dekat sini awal pagi ini.

Dalam kemalangan sekitar pukul 1.45 pagi itu, kereta yang dipercayai dipandu oleh Lim Ket Kwee, 41, gagal dikawal lalu terbabas melanggar penghadang jalan.

Kenderaan itu dikatakan telah melintang di tengah jalan sehingga mengakibatkan dua buah lagi kenderaan terbabas kerana mahu mengelak.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang berkata, di laluan yang sama tetapi dari arah bertentangan, sebuah kereta dirempuh dipercayai akibat memperlahankan kenderaan untuk melihat kemalangan terbabit. - UTUSAN

Guru rugi RM8.2j ditipu rakan

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

SOH Hock Sing menunjukkan resit transaksi palsu yang dibuat oleh pegawai bank dalam sidang akhbar di IPK Bukit Beruang, Melaka semalam. - UTUSAN/AZLI AHAD

MELAKA 13 Jun - Gara-gara terlalu percayakan rakannya yang merupakan seorang pengurus unit di sebuah bank di sini, seorang guru sanggup melaburkan wang milik keluarganya berjumlah RM19.2 juta di bank berkenaan setelah dijanjikan pulangan yang tinggi.

Namun kepercayaan tersebut dikhianati rakannya yang kemudian 'menggelapkan' wang itu sehingga mangsa kerugian RM8.2 juta.

Segala-galanya bermula semasa mangsa berusia 47 tahun ditawarkan suspek kadar faedah yang tinggi sekiranya melabur dalam akaun simpanan tetap di bank berkenaan pada 2010.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Soh Hock Sing berkata, kerana percayakan suspek, mangsa menyerahkan wang milik keluarganya berjumlah RM19 juta.

Katanya, suspek namun tidak mengotakan janjinya untuk melaburkan wang tersebut di dalam akaun simpanan tetap sebaliknya memasukkan kesemua wang itu ke dalam satu akaun peribadi atas nama mangsa.

"Bagi mengaburi mangsa, suspek menyerahkan 81 resit palsu kononnya merupakan transaksi simpanan wang itu ke dalam satu akaun simpanan tetap.

"Penipuan suspek bagaimanapun terbongkar apabila mangsa membuat semakan di bank itu awal bulan ini dan mendapati namanya tidak wujud sebagai pemegang akaun manakala semua resit diberikan itu adalah palsu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini hari ini.

Menurut beliau, menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis pada 7 Jun lalu dan bertindak atas maklumat, polis telah menubuhkan pasukan khas seterusnya memberkas dua rakan suspek berusia 25 dan 45 tahun, Isnin lalu.

Katanya, siasatan mendapati sepanjang penipuan itu, suspek telah memindahkan wang berjumlah RM8.2 juta ke dalam tiga akaun milik rakan suspek secara berperingkat-peringkat setiap hari.

"Bertindak atas maklumat, pasukan khas polis yang ditubuhkan telah menyekat pengeluaran wang simpanan mangsa yang berbaki RM11 juta.

"Pasukan itu kini menyiasat kehilangan wang tersebut dan sedang mengesan dua lelaki iaitu Chua Ken Juan, 28, dari Bukit Baru dan Loh Kim Hsen, 25, dari Bukit Beruang.

"Turut diburu suspek yang baru tiga tahun berkhidmat di bank berkenaan yang kini telah menghilangkan diri sejak 4 Jun lalu," katanya.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Isu Wan Zack memalukan

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

FAM mengesahkan Wan Zack Haikal yang kini mewakili kelab Jepun, FC Ryukyu dipancing sebuah pasukan dalam Liga-M.

PETALING JAYA - Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad kecewa dengan tindakan sebuah kelab Liga Malaysia yang cuba memancing khidmat pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor dari kelab Jepun, FC Ryukyu.

Katanya, tindakan itu hanya akan membunuh program pembangunan pemain muda yang dirancang FAM dengan kelab divisyen tiga Jepun itu, malah menyifatkan ia sebagai sesuatu yang mengaibkan bola sepak negara.

Saya turut kecewa sebagaimana yang diluahkan Ong Kim Swee (jurulatih Harimau Muda A).

FAM yang berusaha menghubungi kelab luar negara untuk mendedahkan pemain muda kita tetapi amat mengecewakan kami apabila ada kelab kita yang cuba melamarnya pulang ke Malaysia.

Dengan pendedahan (Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim Che Hashim di Ryukyu), kami harap daripada divisyen tiga, dia boleh meningkat ke divisyen dua atau satu, tetapi tidak berbaloi atau tidak ke mana-manalah bola sepak kita kalau begini," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Tegasnya, jika FAM tidak membuat program pembangunan pemain muda, badan induk bola sepak negara itu juga yang kena.

Namun apabila kami ambil langkah proaktif sendiri, ada pula orang kita yang hendak jejaskan atau jadi dalang membunuh program itu. Isu ini mengaibkan dan saya ada bukti jelas kelab mana yang mahu mendapatkan khidmatnya."

Kelmarin, Kim Swee mengesahkan sebuah pasukan Liga M cuba menebus kontrak Wan Zack Haikal daripada Ryukyu bagi musim depan sekali gus menimbulkan rasa serik untuk dia cuba mencadangkan mana-mana anak buahnya supaya bermain di kelab luar negara.

Kata Azzuddin, beliau dimaklumkan bahawa Ryukyu sudah membalas e-mel kelab Malaysia itu dengan menjelaskan bahawa Wan Zack Haikal masih mempunyai kontrak dua tahun.

Bagi FAM, sekalipun sudah menghabiskan kontraknya, pemain berkenaan masih perlu kembali ke pangkuan ke badan induk kebangsaan itu.

Terserah kepada FAM untuk melepaskannya atau tidak (biarpun setelah kontrak dengan Ryukyu berakhir) namun kalau boleh, kami hendak dia terus lama di sana dan kalau macam Nazmi Faiz Mansor di Beira Mar, Portugal (pulang lebih awal), tidak berbaloi," kata Azzuddin.

Sementara itu, Mengenai kecaman beberapa tokoh pemimpin bola sepak terhadap sekretariat FAM kebelakangan ini, Azzuddin berkata, dia berpegang kepada statut FAM bahawa kedudukan, pelantikan dan pemecatan Setiausaha Agung terserah kepada (budi bicara) Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah).

Selagi itu saya yang juga bekas anggota tentera, masih akan berkhidmat di FAM dengan penuh semangat untuk kepentingan bola sepak negara. Ini negara bebas dan demokratik. Itu hak mereka jika menyimpan dendam atau ada agenda tertentu namun saya tidak menganiayai sesiapa.

Saya tidak gentar itu semua kerana saya tidak melakukan apa-apa melanggar statut atau lunas peraturan sedia ada. Saya juga tidak berkuasa membuat apa-apa keputusan, sekretariat hanyalah melaksanakan keputusan mana-mana jawatankuasa tetap FAM dan memantaunya," katanya.

Ganjaran RM1,000 jika tangkap penyokong buat kacau

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

PETALING JAYA - Individu yang menangkap atau memberikan maklumat kepada polis mengenai sesiapa yang membuat kekacauan atau menggunakan bahan larangan sewaktu final Piala FA pada 29 Jun ini, bakal mendapat sagu hati RM1,000 seorang.

Sagu hati sumbangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu bertujuan mencegah kejadian yang tidak diingini dalam pertembungan Kelantan-Johor Darul Takzim di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ia bertujuan membendung tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan awam seperti membakar atau melontar mercun, bunga api dan suar serta perkara lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, 100 penyokong setiap pasukan juga dibenarkan masuk secara percuma untuk menjadi marsyal kumpulan masing-masing, supaya menjaga disiplin dan memastikan pergerakan penonton tidak melanggar peraturan.

"Perlawanan akhir kali ini turut diawasi 1,500 anggota dan pegawai polis serta 500 anggota Rela," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Hadir sama Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Wira Salleh Mat Rashid.

Bagi mencegah kemungkinan tiket palsu, kata Hamidin, peralatan imbasan ultraungu dan lampu pengesan pintu lawang putar akan digunakan supaya tiada pihak tidak bertanggungjawab yang boleh memasuki stadium secara tidak sah.

"Kami turut mendapati Stadium Nasional boleh digunakan bagi perlawanan akhir pukul 8.45 malam selepas menjalankan pemeriksaan (kelmarin). Kedua-dua pasukan dibenarkan menjalani latihan 45 minit pada 28 Jun bermula 5 petang oleh Johor Darul Takzim, diikuti Kelantan pada pukul 6 petang," katanya.

Kata Hamidin, sebanyak 87,000 tiket akan dijual dengan FAM menyerahkan 30,000 keping kepada kedua-dua pasukan pada 24 Jun dan masing-masing boleh menjualnya mulai 25 Jun di stadium manakala tiket selebihnya dijual mulai 9 pagi 28 Jun sehingga hari perlawanan akhir.

"Seorang hanya empat tiket dan jika mahukan lagi, mereka perlu beratur semula. Harga tiket ditetapkan tanpa sebarang kenaikan pada RM40 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak. Penyokong juga dibenarkan masuk stadium mulai pukul 4 petang," katanya.

Sementara itu, Salleh berkata, pihak polis akan mengkaji dari semasa ke semasa sama ada untuk menambah anggota keselamatan.

"Ketika perlawanan separuh akhir Piala FA (Pahang-Johor Darul Takzim 1 Jun lalu), sebanyak 1,700 orang ditempatkan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Kerajaan Thai hilang sabar

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Gambar bertarikh 30 Mei lalu, menunjukkan anggota tentera Thailand memeriksa mayat dipercayai anggota pemisah di dalam sebuah longkang di wilayah Yala, selatan Thai. - Reuters

KUALA LUMPUR 13 Jun - Thailand semakin 'hilang sabar' dengan insiden keganasan yang berterusan di selatan negara itu, yang didakwa didalangi kumpulan pemisah, ketika rundingan damai pusingan ketiga antara kerajaan dan kumpulan pemisah disambung di sini, hari ini.

Ketua Majlis Keselamatan Nasional Thai, Paradorn Pattanatabut berkata, kerajaan memerlukan 'penyelesaian' terhadap keganasan, yang telah meragut lebih 5,500 nyawa sejak sedekad lalu, supaya beliau boleh menjawab pertanyaan rakyat.

"Agenda kami adalah untuk mengurangkan keganasan pada satu jangka waktu atau kawasan. Hari ini kami memerlukan jawapan jelas berhubung fakta-fakta (punca) peningkatan keganasan, baru-baru ini,'' katanya yang mengetuai panel perunding kerajaan, sebelum rundingan itu dimulakan.

Rundingan damai yang bermula sejak 28 Mac lalu itu, setakat ini gagal menamatkan keganasan yang berlaku hampir setiap hari di Yala, Pattani dan Narathiwat, tiga wilayah bersempadan dengan Malaysia itu.

Pihak berkuasa Thai mengemukakan idea untuk menyerahkan kuasa terhad kepada wakil rakyat tempatan bagi menguruskan wilayah yang majoriti penduduknya terdiri daripada penganut Islam.

Bagaimanapun, Paradorn berkata, isu tersebut mungkin tidak dibangkitkan pada rundingan kali ini, yang didominasi isu keganasan berterusan.

Lima kakitangan keselamatan Thai terbunuh dalam serangan dua minggu lalu, yang didakwa oleh kerajaan didalangi puak pemisah yang ingin mengganggu rundingan damai berkenaan.

Walaupun dua pusingan rundingan damai telah diadakan sejak Mac lalu, keganasan yang berlaku meningkatkan persoalan sejauh mana pemimpin pemisah mempunyai kuasa untuk mengawal puak pemisah radikal.

Bagaimanapun, seorang pegawai delegasi Thailand melahirkan keyakinan bahawa mereka adalah 'perwakilan sebenar semua kumpulan di selatan negara itu'.

"Setiap kumpulan pemisah kini bergabung. Mereka berbincang dengan kami,'' kata Timbalan Setiausaha Tetap untuk Pertahanan, Nipat Thonglek. - AFP

Lagi skandal seks tentera Australia

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

SYDNEY 13 Jun - Pasukan tentera Australia hari ini dicemari dengan satu lagi skandal seks dengan 17 anggotanya, termasuk pegawai, disiasat berhubung penemuan e-mel dan gambar yang menjatuhkan martabat kaum wanita.

Ketua Tentera Australia, Leftenan Jeneral David Morrison berkata, beliau sendiri terkejut dengan pendedahan itu selepas satu laporan kerajaan pada tahun lalu menyatakan lebih 1,000 aduan serangan seksual dan penyeksaan lain dibuat dalam pasukan itu sejak 1950-an.

Laporan itu turut dikejutkan dengan skandal dikenali sebagai Skype pada 2011 apabila satu rakaman seorang rekrut muda mengadakan hubungan seks dengan seorang rakan sekelas wanitanya disiarkan secara langsung di dalam talian kepada kadet-kadet lain tanpa pengetahuan mangsa.

"Bagi saya kes kali ini lebih teruk berbanding skandal Skype dan saya sifatkan tuduhan itu sebagai serius," kata Morrison.

Morrison berkata, mereka yang terlibat dituduh menerbitkan dan mengedarkan bahan-bahan 'yang sangat tidak sesuai itu' ke seluruh sistem komputer pertahanan dan Internet awam sepanjang tiga tahun lalu.

Menurutnya, penggunaan dadah secara haram dipercayai turut berlaku.

"Setakat ini tiga orang telah digantung tugas dan mungkin berdepan dakwaan polis, dengan lima lagi mungkin digantung tugas, manakala lebih sembilan orang lagi sedang disiasat.

"Lebih 90 anggota Tentera Pertahanan Australia terbabit dalam rangkaian e-mel itu dan pegawai tertinggi yang terlibat berpangkat leftenan kolonel," ujar Morrison.

Beliau menyifatkan pendedahan itu sebagai merendahkan, eksplisit dan menghina kaum wanita'.

Morrison berkata, beliau telah menemui beberapa wanita yang terlibat dan memohon maaf. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Perwaja Steel diperintah bayar tunggakan hutang RM146j kepada Petronas

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

KUALA LUMPUR 13 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Perwaja Steel Sdn. Bhd. menjelaskan bayaran tunggakan hutang bagi pembekalan gas lebih RM146 juta kepada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

Keputusan itu dibuat selepas Hakim P. Nallini membenarkan permohonan Petronas untuk mendapatkan penghakiman terus dalam tuntutan saman ekoran kegagalan syarikat pengeluar keluli itu menjelaskan bayaran bagi gas yang dibekalkan ke lojinya di Telok Kalong, Kemaman, Terengganu.

Petronas pada 14 Januari lalu telah memfailkan writ saman terhadap Perwaja Steel antara lain untuk menuntut jumlah tunggakan hutang RM146.14 juta sehingga 31 Disember 2012 dan faedah berjumlah RM10.31 juta sehingga 10 Januari tahun ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Petronas selaku pihak plaintif menamakan Perwaja Steel sebagai pihak defendan.

Petronas menyatakan, pada 2002, pihaknya telah memeterai perjanjian penjualan gas kering dengan pihak defendan dan perjanjian itu telah tamat pada 31 Disember 2011.

Pihak plaintif mengekalkan persetujuan yang telah dicapai dengan Perwaja Steel berkaitan formula untuk pengiraan kadar atau harga.

Bagaimanapun pihak defendan tidak bersetuju dan menyatakan, walaupun perjanjian telah termeterai namun tidak ditandatangani pada halaman tandatangan dan harga tidak dipersetujui.

Petronas menyatakan pihaknya masih terus membekalkan gas kering kepada Perwaja Steel namun syarikat terbabit gagal membuat pembayaran sehingga syarikat pengeluar minyak itu memfailkan saman terhadap defendan pada 27 April 2009.

Pertikaian itu telah dirujuk untuk proses mediasi dan Petronas serta Perwaja berjaya menyelesaikan saman itu pada 2009 dan penyelesaian direkodkan melalui perintah persetujuan pada 14 Oktober 2011.

Namun begitu, menurut Petronas, Perwaja Steel masih ingkar membuat pembayaran kepadanya untuk gas kering yang telah dibekalkan.

Pada 8 November 2011, pihak plaintif telah mengeluarkan surat tuntutan pembayaran berjumlah RM57.3 juta kepada Perwaja Steel dan syarikat defendan telah mengeluarkan cek pembayaran yang tidak laku pada 30 November tahun yang sama.

Kedua-dua pihak bagaimanapun telah mencapai persetujuan pada 12 Disember 2011 iaitu bekalan gas kering kepada Perwaja Steel tidak akan digantung jika defendan segera membuat bayaran sebanyak 10 peratus daripada jumlah tersebut dan bakinya hendaklah dilunaskan pada 24 Disember 2011.

Pada 14 Disember 2011, pihak plaintif telah mengingatkan Perwaja Steel dan pihak defendan membuat bayaran 10 peratus tetapi bakinya masih gagal dijelaskan.

Petronas sehubungan itu pada 30 Disember 2011 telah mengeluarkan surat kepada Perwaja Steel untuk memaklumkan pihak defendan bahawa cek bagi jumlah baki yang dituntut tidak dapat ditunaikan.

Pihak plaintif menyatakan, pihaknya tidak lagi membekalkan gas kepada Perwaja Steel bermula 1 Januari tahun lalu dan menuntut jumlah baki tunggakan hutang daripada pihak defendan.

Hakim Nallini dalam penghakiman bertulis setebal 47 muka surat memberitahu:

''Berdasarkan penghakiman saya berhubung permohonan plaintif bagi penghakiman terus adalah jelas, saya telah membuat kesimpulan bahawa tiada isu untuk dibicarakan.''

Beliau berpendapat, perkiraan tersebut masih sah dan berkuat kuasa sehingga 20 Januari 2012 dan masih terus diguna pakai.

Menurut hakim itu, jika beliau melakukan kekhilafan dalam membuat kesimpulan, tiada isu-isu serius untuk dibicarakan, namun beliau tetap berpuas hati bahawa kerosakan yang diakibatkan oleh defendan, perlu dijelaskan dengan ganti rugi.

Bekas pengurus PPK dijel 7 tahun, 4 sebatan, denda RM380,000

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

ALOR SETAR 13 Jun - Seorang bekas pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sanglang dihukum penjara tujuh tahun, sebatan empat kali dan denda RM380,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan kes memalsukan dokumen dan tiga kes pecah amanah.

Hakim Mohd. Rosli Osman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Faizal Azmi Bazir (gambar), 36, dari Alor Janggus di sini setelah tertuduh mengaku bersalah ke atas kesemua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Faizal didakwa memalsukan dokumen berkaitan kerja-kerja membina gelanggang boling dan lot meletak kereta di Institut Aminuddin Baki (IAB), Jitra membabitkan kos berjumlah RM44,600.

Mohd. Faizal dituduh melakukan perbuatan itu pada 1 Mac 2011 di Bangunan Menara Peladang di sini dengan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu mengenai kerja tersebut kepada seorang ejen yang juga pengurus PPK Jitra, Shahrul Said yang tidak pernah ditawarkan oleh IAB.

Sementara bagi pertuduhan kedua, Mohd. Faizal didakwa melakukan kesalahan sama bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan blok sabitan dan bilik rawatan Penjara Alor Setar berjumlah RM24,700 dengan mengelirukan Shahrol pada tarikh dan tempat sama.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Mohd. Rosli menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM250,000 bagi pertuduhan pertama dan bagi pertuduhan kedua, tertuduh dihukum penjara empat tahun serta denda RM130,000.

Kedua-dua hukuman penjara diperintah berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum. Hukuman penjara boleh ditambah setahun lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd. Faizal didakwa melakukan pecah amanah dengan menunaikan cek bernilai RM3,718 di atas nama Che Muda Man di Maybank Bhd. Cawangan Kodiang pada 22 Mac 2012.

Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa mengulangi kesalahan sama dengan menunaikan cek bernilai RM26,998 atas nama Abu Hassan Jamal di bank sama pada 5 April 2012.

Dalam pertuduhan kelima, Mohd. Faizal didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM2,000 ke atas wang panjar runcit PPK tersebut bagi tujuan pembelian komputer sedangkan tiada sebarang pembelian dibuat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabat PPK Kawasan B-11 Sanglang, Kubang Pasu pada 29 Mei 2012.

Ketiga-tiga pertuduhan pecah amanah itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan denda serta sebatan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dari tarikh jatuh hukum dan sebatan satu kali bagi pertuduhan ketiga manakala bagi pertuduhan keempat, Mohd. Faizal dihukum penjara tiga tahun serta sebatan dua kali.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan keempat berkuat kuasa selepas tertuduh menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Mohd. Faizal juga dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan sebatan sekali bagi pertuduhan kelima berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fieza Fazlin Fandi dan Syahrul Khuzaini Amiruddin sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Akidah Orang Asli dimantapkan

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Sebahagian kanak-kanak Orang Asli berbaris untuk menerima sumbangan dalam Program Pemantapan Akidah, Ziarah dan Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Gumum, Chini, Pekan, baru-baru ini. - Utusan/Mahathir Ali

PEKAN 13 Jun - Minat yang mendalam untuk mempelajari agama Islam menjadi pendorong kepada Ina Daud, 16, dari Kampung Orang Asli Sungai Mok di sini memeluk agama tersebut.

Menurutnya, ketenangan dan kedamaian yang dirasai ketika mendalami agama itu telah berjaya membuka pintu hatinya untuk memeluk Islam.

"Sebelum ini, saya tidak pernah terfikir untuk memeluk mana-mana agama dan secara tiba-tiba apabila menyebut Islam, pintu hati saya terbuka luas untuk menerimanya," katanya baru-baru ini.

Dia ditemui Utusan Malaysia selepas Program Pemantapan Akidah, Ziarah dan Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Gumum, Chini di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, seramai 80 Orang Asli melibatkan tiga kawasan iaitu Pekan, Rompin dan Muadzam Shah memeluk agama Islam.

Kesemua mereka melafazkan kalimah syahadah di hadapan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Selepas selesai majlis itu, kesemua mereka diberikan hadiah berupa sejadah, songkok, telekung dan buku agama, selain wang zakat saudara baharu RM500 setiap seorang untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

Mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun pula menerima wang zakat RM400 manakala RM300 setiap seorang untuk usia 12 tahun ke bawah.

Yang turut hadir Tok Batin Kampung Orang Asli Gumum, Awang Alok.

Mengulas lanjut, Ina berkata, tindakannya memeluk agama Islam tidak dipaksa atau dipujuk oleh sesiapa tetapi atas kerelaan sendiri.

"Sebelum ini saya selalu melihat dan ambil tahu tentang agama Islam melalui ceramah yang disampaikan," katanya lagi.

Bagi Narulisa Johari, 21, pula, dia berasa sangat gembira kerana langkah yang diambil telah membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

"Saya rasa ini merupakan keputusan yang paling tepat kerana Islam sendiri merupakan agama yang terbuka kepada semua," katanya yang berasal dari Kampung Orang Asli Rompin.

Din Tahir, 38, dari Kampung Orang Asli Air Molek, Muadzam Shah berkata, hatinya tergerak untuk memeluk agama Islam setelah melihat cara hidup masyarakat Melayu yang saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.

"Saya biasa bergaul dengan rakan-rakan yang terdiri daripada masyarakat Melayu dan rasa tersentuh dengan layanan baik ditunjukkan ketika saya ke rumah mereka pada musim perayaan.

"Dari situ saya mula belajar sedikit demi sedikit mengenai Islam dan akhirnya membuat keputusan memeluk Islam," katanya.

Seorang lagi Orang Asli dari Kampung Mikang, Muadzam Shah, Joha Mansor, 30 berkata, dia, isteri dan dua anaknya bersyukur kerana dapat menyertai program pengislaman berkenaan.

"Sebelum ini kami sekeluarga tidak mempunyai pegangan agama atau kepercayaan, kehidupan kami juga terasa kosong.

"Saya berharap niat kami memeluk Islam mendapat keberkatan," katanya.

Saudara baharu Islam tidak diabaikan

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Wan Abdul Wahid Wan Hassan (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci rumah kepada salah seorang saudara baharu Islam dalam Program Pemantapan Akidah, Ziarah dan Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Gumum, Chini, Pekan, baru-baru ini.

PEKAN 13 Jun - Saudara baharu termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negeri ini akan terus dibimbing agar mereka lebih memahami serta menghayati ajaran Islam yang sebenar.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, program pemantapan akidah, ziarah dan ramah mesra bersama Orang Asli akan diadakan dari semasa ke semasa bagi tujuan tersebut.

"Saudara baharu Islam memerlukan didikan agama yang secukupnya dengan memberi penekanan kepada soal menunaikan solat, membaca al-Quran dan fardu ain untuk memantapkan lagi pemahaman mereka mengenai Islam.

"Kita gembira dan bersyukur kerana masyarakat Orang Asli kini sudah mula menerima Islam sebagai agama dan pegangan hidup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Pemantapan Akidah, Ziarah dan Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Gumum, Chini di sini baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Wan Abdul Wahid turut menasihati saudara baharu Orang Asli agar sentiasa menghubungi pihak jabatan agama atau mereka yang arif jika berhadapan masalah atau keliru dengan ajaran Islam.

Beliau berkata, ini kerana golongan itu akan dapat memberi penerangan serta maklumat jelas, nyata dan tepat seperti di dalam al-Quran dan hadis.

"Saudara baharu perlu mendapatkan penjelasan tepat mengenai hukum-hakam agama dengan pihak yang bertauliah, jika tidak mungkin boleh mengeliru dan memesongkan akidah," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan menghantar lebih ramai guru agama atau penceramah ke perkampungan Orang Asli di negeri ini bagi mengajar serta membimbing saudara baharu.

"Dalam Islam ada peraturan dan saya harap kepada saudara baharu Islam supaya memahami seterusnya mematuhi peraturan tersebut, jangan malu bertanya kepada saudara Islam lain jika tidak memahami sesuatu perkara," katanya.

Pertahan martabat seni silat

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Oleh Ali Mahmood
utusanktn@gmail.com

NOROL Azali Sulaiman bersalaman dengan pengadil Kejuaraan Silat Remaja Peringkat Negeri Pahang 2013 di Kompleks Rakan Muda di Bentong, baru-baru ini.

BENTONG 13 Jun - Penggiat silat perlu mengangkat martabat seni mempertahankan diri walaupun negara mengalami transformasi pemodenan dalam pelbagai bidang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman berkata, silat bukan sahaja menjadi kebanggaan orang Melayu tetapi mampu membentuk disiplin anak muda.

Katanya, usaha untuk mempertahankan seni silat menjadi cabaran yang cukup besar terutamanya bagi menarik penyertaan golongan belia berikutan perkembangan teknologi komunikasi yang menyaksikan minat mereka lebih cenderung ke arah permainan komputer.

''Pada masa sama, walaupun terdapat peningkatan golongan belia dan remaja yang menyertai aktiviti seni silat tetapi masalah kekurangan tenaga pengajar dan gelanggang mengehadkan hasrat mereka untuk menceburi bidang ini.

''Kalau boleh, gelanggang silat dapat dibina di setiap kampung atau kawasan perumahan bagi memudahkan mereka yang berminat untuk menyertainya," kata Norol Azali.

Beliau berkata demikian selepas menutup Kejuaraan Silat Remaja Peringkat Negeri Pahang 2013 di Kompleks Rakan Muda di sini kelmarin.

Yang hadir sama Setiausaha Agung Persatuan Silat Negeri Pahang, Datuk Osman Noh.

Pada pertandingan itu, daerah Temerloh dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan pungutan tujuh pingat emas.

Norol Azali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai memberitahu, mereka yang menyertai seni silat ini mempunyai daya juang yang tinggi, selain memiliki semangat kental dan patriotik.

Tambahnya, menerusi semangat kenegaraan yang begitu mendalam, mereka sanggup bersama-sama mempertahankan negara daripada anasir luar yang cuba menggugat kesejahteraan rakyat.

''Melalui aktiviti itu juga, kita boleh menyalurkan informasi yang betul kepada mereka supaya generasi muda boleh memperjuangkan apa yang telah dipertahankan pejuang tanah air sebelum ini," kata beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Hafiz teruja

Posted: 12 Jun 2013 11:13 PM PDT

OLEH MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI

Hafiz turut berduet bersama Alyah untuk lagu Muara Hati dan Ombak Rindu.

Penyanyi Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau lebih dikenali sebagai Hafiz sememangnya mempunyai aura tersendiri. tidak hairanlah dalam usia yang masih muda, dia sudah berpeluang berkolaborasi dengan penyanyi popular tanah air, antaranya Datuk Siti Nurhaliza.

Karier seninya bermula pada tahun 2009, apabila dia bergelar juara program realiti nyanyian Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7). Dari situlah, anak muda kelahiran Sarawak ini terus melebarkan sayapnya dalam industri seni.

Sepanjang kira-kira empat tahun penglibatannya, dia juga sudah memenangi beberapa anugerah utama antaranya Persembahan Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) untuk tiga tahun berturut-turut bermula pada 2010 selain turut memenangi anugerah Penyanyi Lelaki Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular pada tahun 2012.

Kini, pemuda ini turut mencipta sejarah apabila muncul sebagai artis pertama daripada rancangan realiti AF yang membuat persembahan solo di salah satu lokasi paling berprestij tanah air, iaitu di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) KLCC.

Menariknya lagi, konsert yang diadakan pada 3 Jun itu juga merupakan konsert solo penyanyi ini dan pastinya, dia teruja dan bersemangat sewaktu mengadakan persembahan.

Hafiz yang ditemui selepas selesai mengadakan persembahan selama kira-kira satu jam 15 minit itu mengatakan dia amat gementar memandangkan itu adalah konsert solo pertama buatnya, apatah lagi di hadapan penonton yang membayar untuk menyaksikan persembahannya.

"Saya amat gembira kerana diberikan peluang mengadakan konsert di lokasi berprestij seperti ini, malahan ia adalah konsert solo saya yang pertama, pastinya saya teruja.

"Tetapi sejujurnya, saya berasa amat gementar sewaktu membuat persembahan. Perasaan itu masih tidak hilang sehingga ke saat ini (sesi temu bual)," katanya.

Tambah Hafiz lagi, dia mengakui masih banyak yang perlu diperbaikinya dari segi mutu persembahan dan ketahanan vokal untuk bernyanyi dalam tempoh tertentu.

"Saya sedar masih banyak yang perlu saya baiki dan pelajari bagi menjadi penyanyi yang berkualiti, dan pastinya pengalaman ini banyak membantu saya.

"Sungguhpun konsert ini tidak memakan masa yang terlalu lama, saya banyak belajar seperti penguasaan pentas, gerak tubuh dan juga cara-cara berkomunikasi dengan penonton," katanya yang ternyata berpuas hati dengan konsert pertamanya itu.

Berbicara soal sambutan daripada peminat, Hafiz mengatakan bahawa dia benar-benar terasa dihargai apabila melihat setiap ceruk dewan dipenuhi dengan peminatnya yang hadir dari seluruh negara.

"Saya amat berterima kasih kepada semua yang hadir pada malam ini. Perasaan dan sambutan yang saya rasakan pada waktu ini akan terus bersama saya sehingga ke akhir hayat.

"Saya tidak pernah merasakan sambutan seperti ini dan saya amat terharu kerana ramai sudi membeli tiket untuk menyaksikan persembahan saya," jelas Hafiz.

Tidak mengecewakan

Sungguhpun konsert yang diadakan tersebut merupakan konsert solo pertama penyanyi ini, ternyata persembahan yang diberikan pada malam itu berjaya menarik minat penonton yang hadir.

Dalam konsert tersebut, Hafiz menyanyikan sejumlah 12 lagu-lagu popular antaranya Noktah Cinta, Masih Jelas, Ku Akui dan lagu hit yang melonjakkan lagi namanya, iaitu Awan Nano.

Hafiz turut menghiburkan kira-kira 900 penonton yang hadir dengan kebolehannya bernyanyi dalam bahasa Inggeris apabila menyanyikan lagu She Will Be Loved, I Believe I Can Fly dan juga When I Was Your Man.

Konsert yang bermula pada kira-kira pukul sembilan malam itu turut diserikan dengan kehadiran Alyah yang berduet bersama Hafiz untuk lagu Ombak Rindu dan Muara Hati.

Pada malam tersebut, Hafiz turut membawakan beberapa lagu dalam bentuk medley antaranya Ilham Pujangga dan Pelangi Petang.

Menarik lagi, pengunjung yang memenuhi kapasiti dewan tersebut turut diperdengarkan dengan lagu terbaru penyanyi itu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, berjudul Matahari.

Sungguhpun tumpuan utama pastinya diberikan kepada Hafiz, tetapi kehadiran Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik dan juga pemain piano turut mencuri tumpuan ramai.

Selain itu, Hillary Ang selaku pemain gitar juga tidak ketinggalan memberikan persembahan terbaik pada malam tersebut, menambahkan lagi kepuasan kepada penonton yang hadir.

Selepas tamat konsert tersebut, Hafiz turut meluangkan masa kira-kira satu jam untuk sesi bertemu peminat kerana merasakan terharu dengan sambutan yang diberi.

Aniston tangguh kahwin

Posted: 12 Jun 2013 11:13 PM PDT

Sudah dua kali Aniston dan Theroux tangguh perkahwinan.

JENNIFER Aniston antara pelakon Hollywood yang laris mendapat tawaran berlakon. Disebabkan kesibukan berlakon khabarnya pelakon jelita ini terpaksa menangguhkan perkahwinannya dengan Justin Theroux pada musim panas ini.

Menurut suatu sumber kepada Daily Mail pasangan itu terpaksa menunda tarikh perkahwinan sehingga hari Krismas ini.

"Mereka mungkin akan mengadakan majlis perkahwinan itu tidak lama lagi tetapi Justin cakap ia terpaksa ditangguhkan yang mana sambutan Hari Krismas mereka nanti akan diubah menjadi majlis perkahwinan di Los Angeles," kata sumber tersebut.

Ini bukan kali pertama pasangan tersebut menunda pernikahan mereka kerana pada awalnya mereka merancang untuk berkahwin pada Mei lalu tetapi ditunda kepada musim panas ini.

Hubungan Theroux dan Aniston memang sudah berlangsung cukup lama, malah sebelumnya aktres itu sempat menjalin hubungan dengan bintang-bintang kelas A termasuk bekas suaminya, Brad Pitt.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Berbuahnya politik benci-membenci

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Mohd. Shauki Abd. Majid

Sebahagian orang ramai yang hadir pada Perhimpunan Blackout 505 di Padang Majlis Daerah Ketereh, Kelantan pada 12 Jun lalu. - utusan/Irwan Majid

PERMUSUHAN selalunya dimulai dengan keinginan manusia atau sekumpulan manusia untuk memenuhi tuntutan nafsu. Dalam kes ini, jika ada halangan untuk memuaskan tuntutan nafsu, sesetengah manusia mengambil jalan mudah dan mengetepikan sifat kemanusiaannya.

Golongan ini sebenar telah dirasuk syaitan dan Allah SWT telah berfirman tentang syaitan maksudnya: "Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, pada hal syaitan itu tidak menjanji kepada mereka selain tipuan belaka." (Surah an-Nisa ayat 120)

Bermula dengan sikap benci, berkembang menjadi perseteruan sementara dan seterusnya tanpa kawalan diri akan memuncak menjadi lebih buruk, termasuk melibatkan pembunuhan dan pelbagai kezaliman.

Rasa benci yang mula berakar menyebabkan manusia sanggup memutuskan perhubungan sebagai rakan atau saudara. Memutuskan ikatan persaudaraan seagama menjadi petanda berlakunya kekeruhan iman.

Perasaan memusuhi apa sahaja yang datangnya daripada pihak lawan meskipun perkara itu perkara baik semakin merebak dalam kalangan masyarakat kita. Orang tidak lagi dapat berfikir dengan jernih dan boleh membezakan mana yang baik dan benar, kerana perasaan terlampau benci mengalahkan segalanya. Inilah sifat tamak manusia dan Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan adalah manusia itu bersifat tergesa-gesa." (Al-Isra ayat 11).

Begitu juga apa yang berlaku dalam konteks apa yang dilakukan kerajaan hari ini. Pihak yang membenci akan sentiasa menyalahkan dan menganggap tidak betul meskipun kerajaan sudah sedaya upaya melakukan proses transformasi menyeluruh bagi membaiki keadaan. Perasaan dendam dan benci yang membuak-buak menjadikan seseorang itu buta mata dan buta hati mengakui kebaikan yang dilakukan orang lain.

Perhimpunan Blackout 505 yang kononnya dikatakan berjuang menentang penipuan pilihan raya antara contoh konkrit bagaimana sebahagian masyarakat kita terperangkap dengan politik benci-membenci.

Tiada lagi perasaan bertolak ansur dan kasih sayang tersemai pada peserta perhimpunan itu sebagaimana yang menjadi ciri-ciri dan amalan masyarakat kita semenjak zaman dahulu hingga kini. Tiada lagi perasaan menerima atau bersikap qanaah terhadap takdir yang sudah ditentukan Tuhan.

Tidak ada lagi keharmonian dan perpaduan yang terpancar dalam perhimpunan itu bagi memupuk dan mencipta kejayaan yang lebih cemerlang lagi bagi memastikan agenda negara maju yang diimpi-impikan rakyat dapat direalisasikan menjelang 2020 nanti.

Walhal, hakikatnya perhimpunan itu lebih menonjolkan kepentingan dan perjuangan individu berbanding memperjuangkan perubahan sistem politik yang lebih baik. Perkara ini nampak ketara dengan menonjolnya seorang pemimpin sahaja berbanding penonjolan kepimpinan secara kolektif. Malah, berlaku perpecahan di antara golongan ini dalam merespons pendekatan yang sebegini.

Majoritinya juga tidak menyedari bahawa pengorbanan mereka akan sia-sia belaka kerana mereka hanya dimanfaatkan golongan elit mereka sendiri. Adakah ada jaminan sekiranya perjuangan mereka mencapai matlamatnya mereka akan diberi pampasan baik secara moral mahupun material?

Adakah juga pihak pimpinan mereka akan bertanggungjawab sekiranya perjuangan mereka gagal, lantas mereka mendapat ganti rugi sewajarnya sepanjang mereka berjuang?

Adakah golongan elit mereka memikirkan keperluan perut para penyokongnya meskipun ada antara mereka sanggup dibuang kerja dan terbengkalai kerja-kerja harian mereka, demi memenuhi kehendak pimpinan sedangkan para pemimpin itu berada dalam zon selesa?

Pada masa sama, para peserta dan kalangan masyarakat yang mengikuti perkembangan perhimpunan itu disogok dengan pemikiran-pemikiran yang melampau dan di luar batas-batas akhlak Islam. Lihatlah apa yang terjadi dalam media sosial. Tiada lagi kaedah berselindung dan sembunyi-sembunyi bagi meluahkan kebencian mereka.

Secara terang-terangan mereka menghina semua institusi negara, institusi raja bahkan menghina Islam. Ini semua adalah buah dari ketaksuban dan kefanatikan terhadap pimpinan mereka sehingga etika dan prinsip-prinsip asas dilanggar sendiri. Lebih mendukacitakan, ramai dalam kalangan Melayu yang berbuat sedemikian dan mengikut rentak golongan bukan Islam.

Kita jangan jadi seperti golongan Khawarij yang sangat patuh menjalankan ibadah ritual tetapi sangat kaku dalam hubungan sosial, terutama sesama kaum Muslim.

Sejarah Islam mengajar kita bahawa dalam kalangan mereka ada yang sanggup membunuh saudara seIslam kerana berbeza pendapat dalam masalah agama. Terutama ketika masalah kepimpinan Ali bin Abi Talib.

Malah lebih malang lagi apabila mereka lebih menghormati Nasrani (kerana kaum dzimmi menurut al-Quran harus dilindungi) daripada orang Islam sendiri. Mereka menghukum kafir terhadap sesiapa sahaja yang memutuskan perkara tidak berdasarkan al-Quran.

Mereka membunuh Abdullah bin Habab dan isterinya kerana memuji Ali selepas peristiwa Tahkim. Golongan Khawarij dikatakan sangat taat mengerjakan sembahyang dan tidak menyentuh makanan haram, ternyata sanggup membunuh saudara sesama Islam hanya kerana perbezaan pendapat.

Adakah di antara kita begitu kaku berpegang kepada al-Quran dan hadis hanya dalam kerangka pemikiran kelompok kita dan tidak menghormati pemahaman kelompok yang lain?

Apakah kita lebih menghargai umat lain daripada sesama Islam? Atau kita halalkan segala perkara seperti fitnah, penyalahgunaan kuasa untuk menjatuhkan orang yang tidak sehaluan dengan kita?

Khawarij masih berada di sekitar kita. Mereka menjual dan menjaja kewarakan diri demi kepentingan politik. Kuasa apabila jatuh ke tangan golongan seperti ini akan menghancurkan masyarakat seluruhnya.

Mengabaikan masalah-masalah hukum dan hubungan kemasyarakatan bukan sahaja menimbulkan kerosakan dalam masyarakat itu sendiri, malah akan mengakibatkan tergugatnya sebuah kehidupan yang damai.

Islam yang ditegakkan melalui hubungan damai dan mementingkan perdamaian akan terjejas dengan sendirinya oleh sikap lemah dan jahil penganutnya yang sanggup mengetepikan rasa cinta sesama manusia dan membiarkan tuntutan nafsu menggantikan keimanan. Perselisihan seperti ini harus diatasi dengan dakwah dan amar makruf nahi mungkar.

Dalam hal ini nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Allah tidaklah mengutusku sebagai seorang pemberi beban dan juga seorang yang keras. Sesungguhnya aku ini diutus hanyalah sebagai seorang pengajar dan seorang yang memberikan kemudahan"

Apabila berlakunya sesuatu perselisihan, orang Islam diwajibkan untuk melupakan perbezaan dan kembali kepada dasar keimanan dengan jelas. Sebarang perbezaan pendapat perlu diselesaikan secara berhemah dan beretika.

Sehubungan ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat mengenai sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya. (Surah An-Nisa ayat 59).

Perpecahan sesama umat Islam berlaku di mana-mana sahaja sehingga mereka sanggup berbunuhan sesama sendiri hanya kerana perbezaan pendapat atau aliran. Kononnya perpecahan tidak dapat dielakkan kerana sepanjang sejarah kita selalu berpecah.

Di samping menggunakan hujah dan menunjukkan dalil-dalil al-Quran dan hadis untuk mempertahankan perpecahan yang terjadi, apakah boleh kita katakan bahawa perpecahan yang berlaku sesama umat Islam itu sebagai satu takdir?

Perpecahan bukan harus diterima begitu sahaja tetapi harus diselesaikan dengan melakukan muhasabah perilaku kita sendiri. Ketika Nabi menyebut bahawa di antara umatnya ada yang taat dan ada yang melakukan maksiat. Ini bererti Nabi sedang menunjukkan masih ada jalan penyelesaian terbaik bagi dua kumpulan yang bersengketa.

Terpulanglah kepada sikap kita sendiri sama ada ingin meneruskan sengketa ataupun mencari jalan damai. Jika jalan damai yang kita pilih, hubungan persaudaraan akan bertaut kembali dengan lebih kukuh. Pilihan itu selalu ada dan kita selalu diberikan peluang untuk membuat pilihan. Mungkin kita boleh mengambil sikap membetulkan kesilapan yang pernah kita lakukan.

PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa

dan Penyelidikan Yayasan

Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Mana lebih utama SIAP atau IPCMC?

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Anggota polis dan Rela ketika menghadiri Majlis Hari United Against Crime yang diadakan di Esplanade @ KLCC, pada 8 Jun lalu. - utusan/Aizzul A. Majid

KEMATIAN tiga tahanan dalam penjara baru-baru ini menjadi titik gendang penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dipalu semula.

Perbahasan untuk penubuhan IPCMC sudah bermula beberapa tahun lalu sejak era Tun Abdullah Ahmad Badawi menyandang jawatan Perdana Menteri lagi. Penubuhan itu disaran dalam 125 Syor oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada 2004.

Namun, IPCMC tidak terlaksana sebaliknya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) ditubuhkan pada 2009 seiring dengan lulusnya rang undang-undang Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] selepas dibahaskan di Parlimen.

Kini, sekali lagi penubuhan IPCMC ditekan oleh beberapa pihak. Antaranya SUARAM, Majlis Peguam dan pakatan pembangkang.

Menarik perhatian isu ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Masterplan Consulting Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Faris Abdul Halim berkata, pertamanya, perlu disedari bahawa kewujudan SIAP sepatutnya lebih diutamakan daripada penubuhan IPCMC.

Hal ini kerana autoriti SIAP meliputi semua agensi penguatkuasaan kecuali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

Kedua, sekiranya IPCMC ditubuhkan, suruhanjaya ini sekadar terhad kepada penyiasatan ke atas pasukan polis sedangkan kuasa SIAP merangkumi agensi-agensi penguatkuasaan yang lain. Sebab IPCMC mahu ditubuhkan atas dasar sebagai sebuah badan bebas untuk memastikan integriti pasukan polis.

Perlu diingatkan, SIAP juga sebuah badan penguat kuasa yang bebas sama seperti IPCMC. Bukan PDRM sahaja agensi penguat kuasa yang menghadapi tanggapan umum yang buruk. Kastam Diraja Malaysia juga berkongsi nasib yang sama," kata beliau kepada Utusan Malaysia kelmarin.

Ahmad Faris yang mengetuai Masterplan Consulting - firma pembekal peralatan pertahanan, sekuriti dan komunikasi - memberitahu, SIAP digambarkan mempunyai bidang kuasa yang terhad iaitu sekadar berfungsi sebagai badan penyiasatan dan laporan penyiasatan kemudiannya dihantar kepada bahagian tatatertib agensi berkenaan.

Ini antara hujah yang digunakan oleh pihak yang menekankan penubuhan IPCMC terhadap bidang kuasa SIAP. Sekiranya dirujuk kepada Seksyen 29 dan Seksyen 30 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009, jelas SIAP mempunyai kuasa yang lebih besar daripada yang dicanang oleh pihak tertentu.

Merujuk kepada Seksyen 29, kuasa SIAP melangkaui kuasa Pihak Berkuasa Tatatertib di mana sekiranya terdapat isu salah laku dalam sebuah agensi penguatkuasaan, Pihak Berkuasa Tatatertib perlu memberhentikan siasatan mereka dan menyerahkan urusan penyiasatan kepada SIAP, sekiranya dimaklumkan oleh SIAP.

Kuasa SIAP diperkukuhkan lagi dalam seksyen seterusnya, Seksyen 30 dalam Akta yang sama," katanya.

Ahmad Faris berkata, terdapat tiga kemungkinan ke mana laporan penyiasatan akan diserahkan.

Pertama, penyiasatan ke atas aduan salah laku tidak dapat disahkan, makanya laporan akan diberikan kepada si pengadu. Kedua, salah laku tersebut tergolong di dalam kesalahan tata tertib.

Oleh hal yang demikian, laporan akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib agensi yang berkenaan. Terakhir, andai salah laku tersebut dikira sebagai kesalahan jenayah, laporan penyiasatan akan dirujuk kepada Pendakwa Raya.

Ini membuktikan bahawa bukan semua laporan siasatan SIAP akan diuruskan oleh pihak dalaman pihak agensi penguat kuasa. Kes jenayah akan diheret terus ke muka pengadilan dan didakwa atas kesalahan jenayah yang dilakukan.

Benar, salah laku bukan jenayah akan diuruskan secara dalaman oleh agensi penguat kuasa berkenaan. Tetapi tidak semudah itu. SIAP akan menghantar laporan serta mengesyorkan tindakan yang boleh diambil ke atas kesalahan tatatertib tersebut.

Berdasarkan Seksyen 30 perenggan (2), Pihak Berkuasa Tatatertib perlu melaporkan semula kepada SIAP tindakan yang dilaksanakan dalam masa 14 hari dari tarikh penerimaan laporan. Begitu juga halnya kepada Pendakwa Raya dengan tempoh masa yang sama iaitu 14 hari.

Laporan yang diberikan kepada SIAP oleh Pihak Berkuasa Tatatertib tidak berhenti di situ sahaja. Segala tindakan yang dilaksanakan akan diberitakan kepada umum," katanya.

Menyentuh perihal Pihak Berkuasa Tatatertib, bertentangan dengan tanggapan sesetengah pihak bahawa tiada tindakan yang dikenakan kepada anggota polis yang melakukan salah laku, kata beliau, sebenarnya ada tindakan-tindakan serius yang dikenakan kepada anggota polis yang bersalah oleh Unit Urus Setia KPN (Tatatertib).

Mengikut Laporan Tahunan PDRM, pada 2009 sahaja, sebanyak 1,077 kes telah dikenakan hukuman. Ini termasuklah ke atas Pegawai Kanan Polis.

Ini membuktikan Unit Tatatertib menjalankan tugas mereka. Namun begitu, menyentuh isu yang hangat diperkatakan sekarang iaitu kes kematian dalam tahanan, ini dikira sebagai kes jenayah.

Melalui pemerkasaan SIAP, siasatan oleh SIAP mampu membawa kes ini terus kepada Pendakwa Raya tanpa perlu melalui Pihak Berkuasa Tatatertib dalam PDRM. SIAP sudah pun diberi kuasa ini, namun malangnya kuasa ini gagal terlaksana seperti yang sepatutnya.

Berhubung isu kematian tiga tahanan baru-baru ini, SIAP sudahpun memaklumkan bahawa suruhanjaya tersebut akan menjalankan siasatan terhadap kes tersebut. Seperti yang disebut tadi, kematian dalam tahanan dikira sebagai kes jenayah. Oleh hal yang demikian, SIAP boleh membawa terus kes ini kepada Pendakwa Raya dan bukan untuk siasatan dalaman PDRM," katanya.

Persoalan mengapa SIAP tidak efektif seperti mana yang diilhamkan pada permulaan rang undang-undang Akta SIAP boleh dijawab melalui kenyataan rasmi Ketua Pegawai Eksekutif SIAP, Nur Hafizah Hanum Mokhtar yang menyatakan masalah kekurangan tenaga kerja untuk menjalankan penyiasatan.

Oleh itu, sekiranya benar SIAP mahu diperkasakan, kerajaan seharusnya serius dalam menangani masalah ini. SIAP perlu dibekalkan dengan jumlah penyiasat yang cukup kerana suruhanjaya ini bertanggungjawab untuk menyelia 21 agensi penguatkuasaan.

Masalahnya bukan pada penubuhan SIAP, tetapi masalahnya pada pelaksanaannya. Ini yang seharusnya diperjuang oleh pihak yang benar-benar jujur mahu memperbaiki agensi-agensi penguatkuasaan di negara ini.

Selain penambahan anggota penyiasatan, orang awam perlu diberi penerangan dan kesedaran tentang keberadaan SIAP. Kemudahan-kemudahan untuk orang ramai menyalurkan maklumat salah laku anggota penguatkuasa perlu disediakan dan disebar luas," katanya.

Seiring dengan syor di atas, Ahmad Faris mahu SIAP bersikap proaktif dalam menjalankan penyiasatan. Ini kerana SIAP mempunyai kuasa untuk menyiasat sesuatu kes salah laku walaupun tidak menerima sebarang aduan. Ini termaktub di dalam Akta SIAP.

Menurut beliau, selepas hampir empat tahun penubuhan SIAP, suruhanjaya itu seolah-olah terlepas pandang oleh semua. Sedangkan inilah bentuk IPCMC yang diminta-minta, malah lebih besar lagi kuasa yang ada.

Sekiranya SIAP gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan efektif selama ini, apa yang membuatkan kita fikir IPCMC mampu memberikan keputusan yang berbeza? Janganlah meminta penubuhan sebuah suruhanjaya semata-mata untuk mengadakan suruhanjaya.

Kita sudah ada SIAP dan sekarang tugas kita untuk membantu usaha murni SIAP menggeledah penyelewengan yang dilakukan oleh anggota penguatkuasaan yang tidak bertanggungjawab.

Anggota-anggota ini, bukan sahaja menyusahkan kehidupan orang awam, malah memberi imej buruk kepada Agensi Penguatkuasaan di negara ini," kata Ahmad Faris.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Tenaga berterusan untuk si manja

Posted: 12 Jun 2013 11:13 PM PDT

Kanak-kanak bukan sahaja memerlukan tenaga untuk badan tetapi juga untuk otak mereka.

ZAMAN awal kanak-kanak yang dikelilingi buku dan mainan berunsur pendidikan akan meletakkan asas yang kukuh untuk masa depan si manja anda.

Bagaimanapun, kanak-kanak bukan sahaja memerlukan tenaga untuk badan tetapi juga untuk otak mereka.

Ini kerana apabila badan dalam keadaan rehat atau sewaktu tidur, otak tetap aktif kerana banyak proses arahan kepada pelbagai bahagian badan seperti mengawal suhu badan, kadar denyutan jantung dan pernafasan berlaku.

Justeru, adalah penting bagi otak mendapat tenaga berterusan untuk menjamin prestasi optimum.

Pakar Sains Kanan Friesland Campina Innovation International, Dr. Anne Schaafsma, berkata, sungguhpun asid dokosaheksaenoik (DHA) dianggap sebagai blok binaan bagi otak, glukosa adalah sumber tenaga utama untuk kecekapan fungsi prestasi kognitif seperti daya tumpuan dan daya ingatan.

Justeru beliau berkata, di Friesland Campina Innovation International tumpuan diberi pada penyelidikan berkaitan perkembangan dan fungsi otak, khususnya peranan Isomaltulosa kepada bekalan tenaga berterusan.

"Isomaltulosa adalah bahan semula jadi yang diperoleh daripada madu dan tebu. Ia membekalkan jumlah tenaga yang sama seperti sukrosa, tetapi dihadamkan secara lebih perlahan, seterusnya membolehkan kenaikan glukosa darah lebih rendah dan lebih perlahan berbanding sukrosa.

"Hasil kajian saya mendapati bahawa Isomaltulosa membolehkan glukosa memasuki darah secara lebih perlahan, mengelakkan kenaikan dan kejatuhan mendadak tahap glukosa. Ini menjadikan bekalan tenaga secara lebih kekal dan lebih panjang kepada otak," kata Dr. Schaafsma.

Untuk mengetahui kesan kebaikan Isomaltulosa ke atas prestasi kognitif kanak-kanak, beliau dan pakar penyelidik tempatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, menjalankan kajian klinikal ke atas kanak-kanak di Malaysia.

Parameter kajian klinikal ini ialah daya tumpuan, kesinambungan tumpuan, kualiti daya ingatan dan kelajuan ingatan.

Kesan kognitif

"Hasil kajian ini menunjukkan besar kemungkinan Isomaltulosa yang terkandung dalam susu tepung rumusan dengan vitamin dan zat galian tertentu memberi kesan positif ke atas prestasi kognitif, yang mengurangkan kemerosotan daya tumpuan dan daya ingatan.

"Selain itu ia juga menunjukkan bahawa fungsi otak bergantung pada bekalan tenaga yang stabil bagai membolehkan otak berfungsi pada tahap optimum untuk jangka waktu lebih lama," katanya.

Menurut Dr. Schaafsma, bagi menyokong perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan dan membolehkan mereka mencapai potensi penuh, adalah penting untuk menjadikan pemakanan yang betul sebahagian daripada diet harian mereka.

Sementara itu menyedari pentingnya pemakanan yang baik untuk perkembangan kanak-kanak, Dutch Lady milik Royal FrieslandCampina N.V., memperkenalkan susu tepung rumusan untuk kanak-kanak Dutch Lady ActivGol.

Susu ini diperkaya dengan Isomaltulosa dan DHA dengan formula yang membekalkan nutrisi penting untuk perkembangan kanak-kanak.

"Kami faham dan sedar bahawa untuk merangsang proses bermain, belajar dan meneroka secara optimum, kanak-kanak memerlukan pemakanan yang baik dan tenaga secukupnya untuk badan dan otak mereka.

"Kanak-kanak sememangnya aktif belajar setiap hari dan memerlukan bekalan tenaga berterusan kerana otak mereka hanya boleh menyimpan tenaga selama 15 minit," kata Anja Henze, Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia.Dutch Lady ActivGold Step 3 dan Step 4 dengan Isomaltulosa dan DHA boleh didapati dalam pek 550gram dan 550gramx2, dengan dua pilihan perasa, iaitu Original dan Honey.

Legasi Jai Pak Andam

Posted: 12 Jun 2013 11:13 PM PDT

Oleh Noor Fazrina Kamal

Kebolehan mengandam diwarisi Khairul Rizal Ramli daripada neneknya.

KELINCAHAN jari manisnya mengadunkan warna-warna di kelopak mata, membuktikan bahawa jiwa seni yang menguasai dirinya bukanlah sembarangan.

Sentuhannya yang lahir daripada kreativiti adalah anugerah semulajadi yang mungkin tiada pada juru andam masa kini.

Khairul Rizal Ramli, 37, anak kelahiran Kampar, Perak, membuktikan dunia andaman pengantin mampu mengubah nasib diri dan keluarganya.

Anak bongsu daripada enam adik beradik ini, kini mampu tersenyum sebagai 'Pak Andam' yang berjaya walaupun mendapat tentangan hebat ibunya.

Minat yang mendalam dalam bidang andaman sejak berusia 16 tahun lagi telah menenggelamkan impian ibunya yang ingin melihat dia berjaya dalam bidang kejuruteraan.

"Kecenderungan saya dalam bidang andaman sangat menebal dan saya terpaksa mengecewakan hasrat arwah ibu saya. Selepas alam persekolahan saya melanjutkan pengajian di UiTM (Universiti Teknologi Mara) dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik atas desakan ibu.

"Saya tidak boleh membohongi diri sendiri. Saya lebih cenderung kepada dunia perniagaan. Tanpa pengetahuan ibu, saya mengambil keputusan untuk berhenti pengajian di UiTM dan menukar pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan di sebuah kolej di Kuala Lumpur secara separuh masa.

"Pada masa sama saya bekerja sebagai juru andam bersama abang angkat saya," katanya yang lebih mesra dengan panggilan mesra Jai.

Hasil daripada penat lelahnya sebagai juru andam sambilan, bermodalkan hanya RM500, Jai pulang ke kampung dan mula mengatur langkah sebagai juru andam walaupun pada ketika itu upah yang diterimanya hanya sekitar RM60 untuk satu tugas solekan pengantin.

Berkat kesabarannya selama tiga tahun, Jai mula dikenali dan telah membuka sebuah butik andaman pengantin bajet di pekan Kampar yang dikenali sebagai Jai De House.

Perniagaannya semakin berkembang dan hasil daripada titik peluhnya dia telah membuktikan pada ibunya, yang kurang yakin dengan dengan bidang yang diceburinya.

"Sehingga ibu meninggal, arwah tidak merestui perjuangan saya sebagai Pak Andam. Namun saya percaya pada diri bahawa niat saya adalah untuk membantu keluarga dengan cara saya sendiri. Alhamdulillah saya telah melaksanakan janji pada arwah ibu," katanya.

Jai sememangnya terkenal dengan panggilan 'pak andam jari manis' kerana mudah berkongsi pengalaman dan tip-tip kecantikan yang sememangnya diterokai sendiri tanpa mempelajari ilmu andaman secara khusus.

"Sebenarnya saya daripada keturunan mak andam. Nenek saya merupakan mak andam yang tersohor dan diperturunkan pada ibu saya.

"Mungkin keistimewaan bakat anugerah Tuhan, saya percaya sentuhan aura jari manis mampu menaikkan seri pengantin. Dalam solekan, saya tidak menggunakan berus untuk membentuk bayangan mata pada wajah pengantin, sebaliknya saya hanya mengaplikasikan teknik sapuan jari manis sahaja.

"Ini adalah rahsia daripada keturunan saya. Jari manis mampu memberi aura seri dan ternyata sentuhan saya memberi kepuasan pada pengantin dan diri sendiri. Hasilnya sangat menakjubkan," katanya.

Memiliki sebuah butik andaman pengantin yang serba lengkap bersama busana pengantin rekaan sendiri yang hampir mencecah 500 pasang, memberi kepuasan pada diri Jai.

"Rekaan biasanya hasil daripada idea sendiri dengan menggabungkan moden dan tradisional. Namun, ada juga rekaan dibuat hasil perbincangan dengan pengantin.

"Butik saya juga lebih dikenali sebagai butik andaman pengantin bajet kerana jauh di suduh hati sebenarnya saya ingin membantu golongan kurang berkemampuan merealisasikan impian mereka.

"Jadi tidak hairan apabila ada pelanggan yang datang dengan bajet RM500. Inilah butik pengantin untuk semua golongan masyarakat. Apa yang saya lakukan mengikut kemampuan dan saya cuba yang terbaik," katanya.

Jai yang pernah melalui pelbagai pengalaman pahit menyifatkan setiap dugaan dan ujian yang datang adalah peluang untuknya mempertingkatkan diri untuk maju ke hadapan.

Apa yang pasti dia sentiasa berfikiran positif terhadap cabaran kerana baginya tanpa cabaran seseorang itu tidak akan tahu kelemahan diri sendiri.

"Kejayaan bukan datang bergolek. Kita harus meneruskan perjuangan walau apa juga rintangan. Niat yang murni pasti ada ganjarannya," katanya.

Kepada yang ingin mendapatkan sentuhan aura jari manis Jai bolehlah menghubunginya di talian 012-546 3836. Pastinya Jai dan kakitangannya menanti dengan senyuman dan kemesraan.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved