Rabu, 17 Julai 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


6 lelaki rompak barang kemas RM3.2 juta di Mentakab

Posted: 17 Jul 2013 11:23 PM PDT

TEMERLOH 18 Julai - Enam lelaki bersenjatakan parang merompak barang kemas bernilai kira-kira RM3.2 juta dari sebuah kedai emas di bandar Mentakab, dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Supritendan Zundin Mahmood berkata, perompak berkenaan hanya mengambil masa tiga minit melarikan barang kemas itu dalam kejadian 9.30 pagi ini.

Katanya, kejadian berlaku ketika pemilik kedai dan beberapa pekerjanya baru membuka kedai untuk memulakan perniagaan.

"Secara tiba-tiba muncul enam lelaki berkenaan antaranya bertopeng dan bersenjatakan parang menyerbu masuk kedai dan mengarahkan pemilik kedai supaya berdiam diri.

"Perompak-perompak tersebut mengaut barang-barang kemas di dalam cermin pameran ke dalam kampit plastik dan melarikan diri dengan menaiki dua buah kereta, iaitu Honda Accord dan Toyota Camry," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zundin berkata, perompak berkenaan dipercayai melarikan diri ke arah Plaza Tol Temerloh dan polis telah melancarkan gerakan memburu mereka.

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini. Pihak polis juga percaya dua kenderaan yang digunakan perompak berkenaan adalah kenderaan curi," katanya. - BERNAMA

Polis marin tahan 40 PATI seludup 'balik Raya'

Posted: 17 Jul 2013 11:00 PM PDT

JOHOR BAHRU 18 Julai - Cubaan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyeludup keluar untuk pulang ke kampung halaman mereka sempena Hari Raya Aidilfitri ini melalui Pantai Padang Lima, Kuala Sedili, Kota Tinggi, gagal selepas mereka ditahan tengah malam tadi.

Mereka yang ditahan pukul 12.45 tengah malam itu terdiri daripada 28 lelaki, 10 wanita dan dua kanak-kanak berusia antara setahun hingga 51 tahun.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, ketika ditahan kesemuanya sedang menunggu bot pancung untuk membawa mereka keluar secara tidak sah.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah selain ada yang tinggal melebihi tempoh ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zainul Abidin berkata, kesemua yang ditahan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar, Kota Tinggi untuk tindakan susulan dan kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2), Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Revington tak mahu ungkit

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Paul Revington mahu membuka lembaran baharu bersama skuad hoki kebangsaan dan melupakan detik hitam yang mendorongnya mengambil keputusan drastik meletakkan jawatan sebagai jurulatih awal bulan lalu.

Enggan mengungkit apa yang berlaku, Revington berikrar untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan skuad negara bagi menghadapi cabaran Piala Asia di Ipoh, bulan depan.

"Saya tidak akan menjelaskan punca kemelut ini berlaku. Apa yang telah berlaku biarlah berlalu. Saya ibaratkan apa yang berlaku seperti hubungan suami isteri yang tidak pernah dapat lari daripada perselisihan faham.

"Bagaimanapun, pada akhirnya kita semua perlu mengetepikan ego masing-masing demi kebaikan semua pihak, lebih-lebih lagi kita bakal menghadapi cabaran pada Piala Asia di Ipoh," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Mengimbas kembali masalah yang membelenggunya, menurut Revington, ia tercetus sejak Disember tahun lalu selepas skuad negara menyertai Cabaran Juara-Juara di Afrika Selatan.

Jelas beliau, sebagai jurulatih baru, dia menerima kejutan besar apabila berdepan dengan masalah yang disifatkan sebagai campur tangan terhadap tugasnya sebagai pengendali skuad kebangsaan.

"Bagi saya apa yang menimpa seperti satu kejutan budaya. Sebagai jurulatih baru, sejak tiba di Malaysia saya sama sekali tidak menduga akan berdepan dengan masalah seberat ini sehingga mengganggu tumpuan saya untuk menjalankan tugas," ujarnya.

Kini semua kekalutan tersebut telah pun diselesaikan dengan cara baik dan jurulatih warga Afrika Selatan itu tidak lagi mahu membuang masa yang mana cabaran besar bakal menanti skuad bimbingannya pada Piala Asia bulan depan. Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama Pakistan, China dan juga Jepun.

Mengulas mengenai persiapan pasukan negara, Revington memberitahu, anak-anak buahnya akan memulakan sesi latihan penuh pada Isnin ini dan perlawanan persahabatan menentang China turut dibatalkan bagi memberi tumpuan kepada latihan.

"Saya mahu para pemain memberi fokus kepada latihan. Mereka telah menghadapi begitu banyak perlawanan besar sebelum ini dan tidak perlu kita membuang masa terbang ke China hanya untuk menghadapi satu perlawanan persahabatan," tegasnya.

Ketika ditanya mengenai taktik dan strategi akan akan diterapkan, Revington menjelaskan, setiap pasukan perlu ada strategi, tetapi apa yang paling penting sekarang adalah pemain perlu ada tahap pemikiran yang mantap.

Harimau pasti bangkit

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

SAFEE Sali diasak pemain Chonburi FC, Surawich Logarwit pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal mengakui keputusan seri tanpa jaringan Harimau Malaya dengan kelab Thailand, Chonburi dalam perlawanan persahabatan kelmarin, bukanlah yang sepatutnya dicapai namun menjanjikan perubahan mendadak apabila menghadapi Chelsea, 21 Julai ini.

Beliau turut menganggap ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal sudah cuba memberikan peluang kepada beberapa pemain yang dipanggil menyertai pasukan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, biarpun hanya dengan menentang kelab pelawat yang didapati tidak menurunkan ramai tonggak mereka.

"Namun menentang Chelsea satu perlawanan yang lebih penting dan kami cuba pastikan pemain berikan persembahan terbaik kerana peminat turut akan bersama meneliti aksi mereka. Saya juga yakin Chelsea yang walaupun masih dalam pramusim liga mereka, pasti berikan persembahan yang terbaik.

"Jadi tiada sebab lagi untuk pemain kita tidak menampilkan mutu permainan yang mempunyai pembaharuan atau mencapai keputusan yang membanggakan. Walaupun bukanlah kemenangan yang kita cari, persembahan terbaik akan tetap menjadi KPI (penunjuk utama prestasi) atau penanda aras pasukan kita," katanya.

Dalam perlawanan yang cuma disaksikan 200 penyokong setia Harimau Malaya kelmarin, barisan bimbingan Rajagobal didapati ketandusan idea untuk menjana serangan mahupun mencipta peluang jaringan gara-gara ketiadaan gandingan utama di depan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Safee Mohd. Sali.

Aksi longlai gandingan pengganti mereka yang turut diuji seperti Mohd. Amri Yahyah, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Nizad Ayub sebaliknya sempat ditampung dengan persefahaman mantap dan berdisiplin benteng negara yang diketuai Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak untuk menafikan percubaan gol pelawat.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Aktivis gay Cameroon ditemui mati dibunuh

Posted: 16 Jul 2013 10:26 AM PDT

YAOUNDE, Cameroon 17 Julai - Seorang aktivis gay yang juga merupakan wartawan dilaporkan mati dibunuh di rumahnya, di sini semalam.

Menurut pengkaji Human Rights Watch (HRW) , Neela Ghoshal, mayat Eric Ohena ditemukan oleh rakan-rakannya pada petang kelmarin dalam keadaan mengerikan.

"Leher dan kaki mangsa patah, manakala muka, kaki dan tangannya dibakar. Motif pembunuhan masih belum dikenal pasti, namun gejala homofobia semakin serius," katanya. - DPA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Lelaki dituduh bunuh anak, isteri dirujuk kepada psikiatri

Posted: 17 Jul 2013 02:40 AM PDT

SIBU 17 Julai - Seorang lelaki yang menghadapi tuduhan membunuh isteri, anak perempuan dan anak lelakinya akan dihantar ke Hospital Psikiatri Sentosa di Kuching untuk menjalani pemerhatian selama sebulan.

Hakim Mahkamah Sesyen Indra Abdul Ayup mengeluarkan perintah itu ketika Jacob Tiang Lay Yee dihadap ke mahkamah untuk sebutan kesnya hari ini.

Perintah itu dikeluarkan berikutan permohonan peguam kanan persekutuan Yaacub Chik agar kontraktor berusia 43 tahun itu menjalani rawatan psikiatri.

Tiang dituduh membunuh isterinya Ling Yung Ming, 40, anak perempuan mereka Christine, 14, dan anak lelaki mereka Victor, dua tahun, di kawasan perumahan Pulau Li Hua di sini bulan lepas.

Dia juga menghadapi tuduhan sementara cuba membunuh seorang lagi anak lelaki mereka Soon Tai, 17 dan cuba membunuh diri dengan menggantung diri menggunakan tali pinggang di rumahnya. - BERNAMA

Anggota polis sembunyi maklumat pengganas diperintah bela diri

Posted: 17 Jul 2013 01:05 AM PDT

HASSAN Ali Basari dikawal ketat oleh anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan menyembunyikan maklumat aktiviti pengganas Kiram. - UTUSAN

KOTA KINABALU 17 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang anggota polis, yang didakwa menyembunyikan maklumat mengenai aktiviti penganas di Sabah, membela diri.

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim P. Ravinthran berkata, pihak pendakwaan diketuai oleh Datuk Nordin Hassan, telah menghasilkan kes prima facie terhadap Korporal Detektif Hassan Ali Basari selepas mereka mengemukakan 18 saksi dalam perbicaraan empat hari bermula 24 Jun. Hakim menetapkan 24, 25 dan 26 Julai bagi pendengaran, dengan sekurang-kurangnya empat saksi dan tertuduh.

Menurut hakim, beliau puas hati dengan bukti komunikasi yang dipintas pada nombor telefon Hassan, yang dilakukan secara sah.

Beliau juga berkata, pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu oleh apa yang dipanggil Tentera Diraja Sulu dari Filipina Selatan berlaku dan tertuduh gagal mendedahkan maklumat relevan ketika beliau berpeluang untuk berbuat demikian.

Hassan didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari dan 3 Mac di pejabat Cawangan Khas Lahad Datu.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Hassan diwakili Kamarudin Mohamad Chinki dan Ram Singh. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kesan produk tanpa TITA

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH
Prof Madya/Ketua Program Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Apabila Kementerian Pendidikan mengambil keputusan mewajibkan subjek teras universiti, Tamadun Islam Tamadun Asia (TITA) di IPTS, tidak semena-mena Ahli Parlimen DAP melompat seperti cacing kepanasan. Pemimpin MCA turut menyokong. Katanya tidak wajar hanya satu sahaja tamadun yang diajar iaitu tamadun Islam.

Terbaharu, seorang Ahli Parlimen DAP Pulau Pinang mencadangkan supaya TITA menjadi subjek elektif. Ahli Parlimen yang tidak ketahuan asal usul bangsanya ini, kecuali agamanya (Islam), mahukan subjek ini diturunkan tarafnya menjadi elektif. Persoalan saya, siapakah beliau?

Ini diikuti protes dari gabungan NGO anak muda Cina yang dikenali sebagai Emco, yang terdiri daripada penganut Buddha dan Kristian tampil mengatakan bantahan mereka kerana disifatkan, sebagai satu "indoktrinasi" ke atas siswa IPTS.

Ia juga melanggar Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak untuk menganut dan mengamalkan agama seseorang dan menghalang indoktrinasi sesuatu agama yang tidak dianutinya.

Mereka berkata, kerajaan perlu mengetepikan pendekatan "sempit dan sektarian" dalam pendidikan dan juga menghormati kepelbagaian etnik dan agama di Malaysia. Dalam merancang mata pelajaran berhubung tamadun agama, pertimbangan perlu diberikan kepada sejarah agama utama, doktrin serta kesan agama ke atas pembangunan ketamadunan.

Bantahan ini seterusnya disambut oleh Bishop Katolik, Paul Tan, mengesyorkan diperkenal pengajian semua tamadun dunia kepada golongan itu.

Beliau berkata, tamadun Greek, Rom dan Judeo-Christian juga menyumbang banyak nilai kepada manusia dan perlu diketahui seiring dengan usaha melahirkan graduan yang terbiasa dengan nilai-nilai "yang baik, benar dan indah".

Jahil sungguh mereka. Dahulu bersatu dalam senyap. Kini bersatu secara terbuka. Malangnya, kita makin mengalah. Persoalan saya, adakah mereka sudah baca buku teks TITA ini? Jika belum cubalah baca.

Jangan buat tuduhan sembrono. Tidakkah beliau sedar bahawa sekurang-kurang tiga tamadun diajar iaitu Islam (Melayu), China dan India.

Ini akibatnya apabila bukan pakar membahaskan isu-isu di luar kepakarannya. Akhirnya, lahirlah pandangan-pandangan yang amat naif dan pandir. TITA bukanlah subjek tamadun Islam sepenuhnya, tetapi telah diadunkan dengan beberapa tamadun dunia.

Untuk makluman, kursus ini merupakan satu kursus yang membincangkan ilmu ketamadunan yang merangkumi interaksi antara pelbagai tamadun seperti Mesopotamia, Mesir, China, India, Islam, Barat.

Tamadun Islam ditekankan sedikit, kerana tamadun inilah yang melonjakkan orang Melayu dalam membina tamadun Malaysia. Jika tidak, Melayu tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan. Melayu dan Islam itu sebati.

Turut diajar adalah tamadun China, Tamadun India, isu-isu kontemporari Tamadun Islam dan Tamadun Asia, cabaran globalisasi dan Islam dalam proses pembangunan negara.

Sebenarnya tidak ada masalah langsung. Semua tamadun diraikan. Ada apa di sebalik mereka membangkitkannya?

Seperti subjek kenegaraan, tujuan TITA adalah untuk memberikan pemahaman komprehensif mengenai sejarah dan nilai tamadun.

Tujuannya tidak lain, (1) membina satu generasi Malaysia yang berpengetahuan dan peka mengenai isu-isu ketamadunan dan peradaban; (2) memperkukuh jati diri bangsa Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum dengan mengamalkan kehidupan yang bertoleransi dan bertamadun.

Kami berkeyakinan selepas mengikuti kursus ini, pelajar akan dapat memahami dan menjelaskan aspek-aspek utama tamadun, tamadun Islam dan tamadun Asia serta berpengetahuan dan peka mengenai isu-isu ketamadunan.

Pendek kata, TITA amat penting kepada rakyat Malaysia yang ingin hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan saling memahami. Negara lain, kebanyakan sebangsa, mungkin mereka tidak perlu mempelajari banyak tamadun berbanding kita di sini. Saya mohon bacalah keseluruhan teks TITA ini.

Sepanjang pengalaman mengajar subjek ini di IPTA, tidak ada seorang pun pelajar bukan Islam yang bersungut, apatah lagi membantah, malah mereka seronok dapat mempelajari tamadun bangsa sendiri dan bangsa lain. Tamadun Islam diadunkan kerana ia adalah juga tamadun Melayu.

Lebih membanggakan, pelajar Melayu tidak pernah bising apabila tamadun China dan tamadun India turut diajarkan.

Pelajar Melayu menerima dengan baik atas dasar menambah ilmu dan kepentingan memahami bangsa lain. Inilah sifat Melayu yang amat saya kagumi, berbanding bangsa saya sendiri. Persoalannya, kenapa orang bukan Islam begitu sensitif dengan tamadun Islam?

Kenapa perkara sebegini boleh terjadi bagi mereka yang telah berjaya mengaut segala keuntungan di bumi bertuah ini? Kita tidak berjaya melahirkan bangsa Malaysia yang bersyukur, tetapi terus kufur, walau sememangnya mereka kufur.

Subjek ini mengambil kira pandangan Samuel P. Huntington, dalam bukunya Clash of Civilizations, akan betapa pentingnya kita saling kenal-mengenal tamadun sesuatu bangsa. Subjek ini amat berguna, terutama kepada rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk.

Jika tidak, akan lahir orang seperti Melissa Gooi yang menghina nabi Muhammad SAW dan pasangan Tan Jye Yee (Alvin), 25 dan Vivian Lee, 24, yang memuat naik gambar hidangan dan kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook.

Pasangan ini telah memuat naik gambar sedang menikmati hidangan bak kut teh (herba sup babi) di Facebook.

Sambil menulis kapsyen "Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh ...wangi, enak dan menyelerakan," serta meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.

Saya tidak nampak ia dilakukan secara tidak sengaja. Pasangan ini sengaja mahu menyakitkan hati umat Islam.

Jika benarlah hanya tamadun Islam sahaja yang akan diajar, apa salahnya? Jika saya ada kuasa, saya akan paksakan subjek ini sejak dahulu lagi.

Islam adalah agama Persekutuan dan agama bangsa majoriti. Apakah salah bukan Islam mempelajarinya untuk hidup di bumi Melayu Islam?

Bukan Melayu sepatutnya lebih memahami agama Islam anutan majoriti orang Melayu Islam sebelum memahami bangsa lain. Itu adalah lebih baik untuk integrasi nasional. Kecualilah jika mereka tidak mahu tinggal di sini.

Saya amat yakin jika diberikan pilihan dua subjek antara tamadun Islam dan tamadun Barat. Tidak seorang pun dalam kalangan puak ultra kiasu ini yang akan mengambil tamadun Islam.

Kenapa mereka begitu beriya-iya belajar tamadun Barat, tetapi bukan tamadun Islam (Melayu)?

Nampak sangat beliau memandang hina kepada kita semua. Sebab itu, mereka langsung tidak mahu memakai baju kebangsaan dan bersongkok ketika majlis rasmi. Mereka amat megah dengan pakaian Barat.

Saya amat bimbang jika ditakdirkan kumpulan ultra kiasu ini berjaya memerintah Malaysia dalam PRU-14 nanti. Semua identiti Islam akan dihapuskan.

Lebih menghairankan, kenapa Pas membisu seribu bahasa. Ultra kiasu telah menjadi semakin kurang ajar. Pas mesti berani menegur dan mengajar mereka bertatasusila selaras dengan prinsip Rukun Negara.

Lebih malang lagi, tidak ada wakil IPTS yang menyokong hasrat kerajaan ini. Kenapa? Jawapannya, kerana mereka terpaksa mencari pensyarah untuk mengajar subjek yang dianggap 'tidak berguna dan merugikan ini.

Maka akan bertambahlah kos untuk mengambil pensyarah baharu. Pada mereka, ini membazir dan merugikan. Sebab itu mereka hasut anak-anak mereka membangkitkan isu ini. Bila dibangkitkan, kita pun mengalah…alahai nasib Melayu di bumi Melayu.

PRK Kuala Besut sepatutnya tenang

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh ESPUTRA MUKHTAR
PENULIS ialah penganalisis politik.

Sebuah kereta jentera BN membawa poster calon BN N.01 Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman di sekitar bazar Ramadan Kuala Besut semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM

Sepatutnya tidak perlu berlaku kekalutan besar sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut. Faktor-faktor mengenai kekuatan Barisan Nasional (BN) yang sedia ada, kesedaran pengundi tempatan terhadap kemajuan Kuala Besut (yang sudah dinikmati dan dalam perancangan) serta penghayatan umum khususnya pengundi Melayu (lebih 90%) terhadap senario politik semasa adalah antara sebab kenapa 'perang PRK' tidak perlu berlaku.

Ada juga faktor-faktor luaran yang membabitkan imej pembangkang sejak akhir-akhir ini turut tidak mewajarkan Pas beriya-iya 'menentang hebat' calon BN kerana ia hanya dilihat membuang masa serta merugikan belanja pilihan raya (memetik kenyataan Timbalan Pengarah PRK Kuala Besut Datuk Seri Idris Jusoh). Lainlah kalau Pas hanya kemaruk besar untuk memerintah Terengganu.

Majoriti besar yang diperoleh calon BN Allahyarham Dr. A Rahman Mokhtar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu (2,434 undi) berkemungkinan besar berupaya mengekalkan kerusi BN berkenaan.

Jika sekadar untuk mengurangkan jumlah majoriti, ia tidak membawa makna kerana Terengganu akan terus diperintah BN. Ia tidak banyak memberi impak negatif kepada BN.

Sebaliknya jangan pula terperanjat jika BN berjaya meraih majoriti lebih besar atas beberapa faktor jelas. Misalnya dari lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM), hanya PDM Kampung Nangka dan Bukit Puteri yang dimenangi Pas pada PRU-13 lalu. Itu pun angkanya tidak sebesar mana.

Di Kampung Nangka misalnya, Pas hanya menang dengan kelebihan 79 undi manakala di PDM Bukit Puteri Pas menang dengan kelebihan 90 undi.

Punca kelebihan undi Pas di Bukit Puteri dikatakan ramai yang mengundi calon mereka ketika itu, Napisah Ismail, atas nama sokongan untuk 'orang sekampung' dan 'sekeluarga' di sekitar kampung berkenaan. Sehinggakan ada orang UMNO turut mengundi beliau.

Namun keadaan demikian dikatakan tidak akan berlaku pada PRK kali ini. Ketaranya kerana Napisah tidak lagi terpilih menjadi calon. Tambahan pula semasa Napisah bertanding baru-baru ini, calon Pas sekarang, Endut@Azlan Yusoff atau dikenali juga sebagai Che Long kontraktor dikatakan tidak 'berjuang bersama' untuk memenangkan Napisah.

Che Long kontraktor sebaliknya sibuk membantu Datuk Husam Musa di Putrajaya. Husam dikatakan sahabat karib Che Long sejak sekian lama. Maklumlah jarak antara Kuala Besut dengan Kota Bharu bukanlah jauh sangat.

Jadi dengan pelantikan Husam sebagai Pengarah PRK Kuala Besut memang' tepat' iaitu sebagai 'balas besan rakan seperjuangan'. Orang Bukit Puteri tentunya mudah membaca 'situasi' berkenaan.

Sukar untuk memperlekeh calon BN. Ternyata latar belakangnya istimewa. Anak muda yang bernama Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman ini peramah dan berimej 'energetik'.

Baru berusia 37 tahun dan berbintang cerah untuk melangkah jauh lebih dalam bidang politik jika menang dalam PRK kali ini. Ertinya dia bakal menjadi satu aset politik Besut masa hadapan.

Betulkah Tengku Zaihan kurang dikenali pengundi Kuala Besut. Tentunya jangkaan yang dicetuskan Pas ini meleset. Sebaliknya semakin ramai yang menerima beliau sebagai orang muda yang senang mendekati dan memahami keperluan masyarakat. Sentiasa turun ke sana ke sini dan nyata mereka semakin yakin Tengku Zaihan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Tengku Zaihan mengorbankan jawatannya yang sudah kukuh di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut. Jawatannya sebagai jurutera dengan cara kerja yang berprestasi tinggi cukup memberi potensi besar untuk beliau terus berjaya dalam kerjayanya di sektor awam.

Namun bukan setakat itu yang dicari oleh jurutera muda ini. Beliau mahu menabur khidmat bakti dalam erti kata lebih luas kepada masyarakat Kuala Besut.

Orang Kuala Besut tahu Tengku Zaihan telah berperanan besar dalam membina tebing konkrit bagi mengelak hakisan pantai yang mengancam nelayan dan harta benda semasa beliau di JPS dahulu.

Tengku Zaihan berazam melaksanakan tugas dengan cemerlang kepada rakyat jika diberi mandat. Tidak pernah pula beliau menyatakan kemungkinan meletakkan 'wakil' kepada wakil rakyat untuk berkhidmat atau melayan keperluan rakyat.

Tidak tergambar juga Tengku Zaihan bercadang menjadikan gelaran 'YB' sebagai tiket untuk meraut kekayaan melalui tender-tender kerajaan.

Tengku Zaihan sebaliknya menyatakan keazaman untuk menyambung usaha Allahyarham Dr. A Rahman Mokhtar yang masih belum selesai. Ia termasuk mendalamkan muara Sungai Besut, menyelesai masalah penempatan penduduk, terus melaksanakan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kuala Besut dan merancang untuk meningkatkan ekonomi penduduk Kuala Besut, memajukan daerah Besut selain menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda sekitar Besut.

Selain faktor calon, orang Besut sudah faham benar dengan keadaan Kelantan di bawah Pas lebih 23 tahun. Besut dan Pasir Puteh berjiran. Mereka sedar di Kelantan 'banyak cakap dari buat'.

Orang Besut mahu tengok Kuala Besut yang dahulunya sleeping town akan terus membangun. Seeloknya bersama jajaran persisiran pantai termasuk Tok Bali di Pasir Puteh. Sayangnya Kelantan masih di bawah Pas. Jika ada pun perancangan memajukan Tok Bali sudah tentu digerakkan oleh agensi Kerajaan Pusat.

Orang Besut juga sudah mengalami suasana berada di bawah Pas. Antara peristiwa yang mereka sukar lupa ialah penutupan pusat-pusat asuhan kanak-kanak (tadika) yang beroperasi di balai-balai raya.

Nyatanya tindakan menutup tadika itu (malah di seluruh Terengganu) menjejas teruk imej kerajaan Terengganu di bawah Pas ketika itu.

Tidak banyak isu yang dibawa pembangkang boleh mempengaruhi pilihan pengundi. Ia berlegar sekitar isu peribadi dan hal-hal yang seolah-olah sengaja untuk dijadikan isu.

Misalnya dakwaan calon BN kurang dikenali selain membangkitkan permasalahan tempatan yang dianggap remeh.

Pembangkang cuba tiup isu perlunya orang Kuala Besut memberi laluan untuk pilihan raya seluruh Terengganu diadakan semula.

Tentunya orang Kuala Besut tidak mudah terpedaya. Mereka sedar tentang ruginya membuang masa dan kewangan.

Isu 'melagakan' antara Idris Jusoh dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said cuba ditiup oleh pembangkang.

Juga kelihatannya isu ini 'tidak makan'. Orang Besut secara umumnya bersyukur dengan jasa-jasa pembangunan Datuk Seri Idris Jusoh dan masih disebut-sebut jasa Tan Sri Yusoff Noor. Pada masa yang sama mereka mengakui Daerah Besut terus dalam perancangan Datuk Seri Ahmad Said untuk terus dimajukan.

Apatah lagi Idris sekarang sudah dilantik menjadi Menteri Kerajaan Pusat. Ekoran itu juga orang Kuala Besut akan merasa malu jika tidak memberi kemenangan kepada BN kerana ia akan menggambarkan tidak menghormati Idris selain 'mengasingkan' mereka dari dua kawasan DUN lain dalam Parlimen Besut yang dimenangi BN pada PRU-13 lalu.

Lebih jauh dari itu mereka tentunya menghormati kepimpinan negara di mana Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin sendiri bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Kuala Besut.

Jadi, Pas harus menelan malu jika isu-isu yang sengaja 'dicipta' dan 'dikitar semula' dalam PRK Kuala Besut ini tidak menjadi. Kita tunggu keputusannya 24 Julai ini.

Barangkali imej Pas turut tercalar dengan penolakan petisyen terhadap kemenangan BN di DUN Selising dan Parlimen Machang (kedua-dua di Kelantan) baru-baru ini. Malah penolakan kedua-dua kawasan itu dikenakan kos.

Pengundi Kuala Besut diyakini akan mengambil kira senario politik semasa negara dalam membuat pilihan kali ini. Mereka tentu sedar tentang istilah perjuangan dan survival bangsa dan negara.

Sekali lagi PRK Kuala Besut sepatutnya berlangsung dalam tenang damai kerana keghairahan 'berperang politik' hanya menambahkan imej buruk sesama sebangsa dan seagama. Apa lagi dalam saat mengharungi bulan suci Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Port kaki ponteng puasa

Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Dua orang lelaki dipercayai beragama Islam sedang mengambil lauk ketika waktu tengah hari di sebuah kedai makan berdekatan Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Safiyana Salim

KUALA LUMPUR 16 Julai - Jika sekali imbas, pintu pagar sebuah kedai makan berdekatan Istana Budaya di Tasik Titiwangsa dekat sini tertutup rapat seolah-olah tidak beroperasi dan dikunci dari dalam.

Namun, semua itu hanya helah pengusaha kedai terbabit untuk mengaburi mata orang ramai dan pihak berkuasa, sedangkan mereka tanpa segan silu menjual nasi campur kepada umat Islam ketika bulan Ramadan.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi terbabit hari ini mendapati, kedai makan Melayu itu beroperasi seawal pukul 12 tengah hari dan berkemungkinan lebih awal, menjadi tumpuan kaki ponteng puasa.

Lebih mengejutkan, kedai tersebut bukan sahaja membenarkan pelanggan beragama Islam membungkus makanan masing-masing tetapi turut menyediakan kerusi dan meja kepada orang ramai yang mahu menjamu selera di situ.

Malah, ketika tinjauan dilakukan, jurugambar sempat merakamkan aksi seorang lelaki dan seorang wanita yang sedang membuka pintu pagar untuk melangkah masuk ke dalam kedai tersebut.

Lagak mereka dan beberapa lagi pelanggan lain yang sedang menjamu selera di situ seolah-olah sudah biasa dan langsung tidak menghiraukan kawasan sekeliling.

Difahamkan, kedai terbabit memang popular bagi kalangan kaki ponteng puasa kerana terlepas daripada tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Tambahan pula, lokasinya boleh dikatakan agak tersorok kerana jalan di hadapan kedai kurang dilalui orang biarpun berada di bahagian belakang Istana Budaya.

DBKL belanja RM12 juta mencantikkan Jalan Alor

Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Julai - Kawasan Jalan Alor yang merupakan 'syurga makanan Cina' di Bukit Bintang akan dinaik taraf ke taraf antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelancong asing.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membelanjakan kira-kira RM12 juta untuk tujuan itu, dengan membangun dan mengindahkan lagi kawasan itu.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, cadangan menaik taraf yang melibatkan kerjasama kira-kira 100 peniaga dan penjaja di kawasan tersebut dijangka dapat meningkat imej Kuala Lumpur kerana mempunyai tempat makan tepi jalan yang ada daya tarikan tersendiri, bersih, tersusun dan mempunyai landskap yang indah.

"Walaupun Jalan Alor sememangnya sudah popular tanpa perlu dipromosikan lagi namun tidak bermakna keadaan di jalan itu adalah memuaskan kerana kita juga ada menerima aduan daripada pelbagai pihak terutama pelancong yang tidak berpuas hati apabila mereka terserempak dengan tikus dan lipas di situ disebabkan persekitaran yang kotor dan tidak terjaga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi penerangan dan soal jawab dengan kira-kira 50 peniaga gerai makan, penjaja, wakil pengusaha hotel dan pemilik bangunan di Jalan Alor dan Tengkat Tong Shin di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Esa Mohd. dan Timbalan Ketua Pengarah Perlaksanaan Projek dan Penyelenggaraan DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd.

Ahmad Phesal berkata, kerja-kerja menaik taraf tersebut akan bermula November ini dan dijangka siap Ogos tahun hadapan itu tidak memerlukan para peniaga di situ berpindah sementara ke tempat lain.

"Namun kerjasama mereka diperlukan bagi menangani pelbagai isu yang peru ditangani.

"Ini termasuklah mereka perlu melatih pekerja asing, yang dijadikan pembantu kedai, menitikberatkan soal kebersihan diri dan tidak membuang sampah merata-rata, menjaga persekitaran, meningkatkan kualiti makanan dan layanan dan sebagainya lagi bagi membolehkan pelancong menikmati suasana makan malam mereka yang terbaik di negara ini," katanya.

Mengenai sikap pendatang asing yang gemar membuang sampah merata-rata, Ahmad Phesal berkata beliau akan berbincang dengan pihak kedutaan terutamanya Bangladesh dan Myanmar mengenai perkara tersebut dan jika pendatang ini masih berdegil, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain.

"Begitu juga pelbagai masalah pengemis yang suka menyelongkar timbunan sampah yang telah diikat, masalah penagih dan pengedar dadah yang sentiasa berkeliaran di jalan itu, masalah longkang yang tersumbat, masalah letak kereta, kesesakan jalan raya dan sebagainya, kita akan atasi bagi memastikan Jalan Alor tetap menjadi pilihan dan perhatian kalangan pelancong.

"Lebih-lebih lagi tahun hadapan merupakan Tahun Melawat Malaysia 2014 yang sedikit sebanyak Jalan Alor ini menjadi daya tarikan utama di kalangan pelancong," katanya.

Menurut beliau, pelbagai kemudahan akan disediakan termasuk perabot yang sesuai, kemasan lantai, kanopi, payung sehinggalah pencahayaan yang lebih menarik mengikut pelbagai konsep yang bercitarasakan tempatan.

"Di samping kerja-kerja mengecat bangunan, kami juga akan mereka bentuk susun atur dan ruang makan dan membina sistem pembuangan air buangan yang lebih efisien," katanya.

Semua ini, kata Ahmad Phesal adalah sebahagian daripada usaha DBKL bagi menjadikan Jalan Alor dan beberapa lokasi seperti Jalan Kenanga di Kenanga Wholesale Centre (KWC) yang dikenali sebagai jalan fesyen Kuala Lumpur, Jalan Chow Kit dan Jalan Petaling yang berpotensi besar untuk dinaik taraf bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke Kuala Lumpur.

Bukit sampah halang jalan

Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Barangan lusuh yang telah dimasukkan ke dalam guni disusun sehingga menutupi sebahagian jalan di luar premis oleh pengusahanya sehingga mengganggu laluan di Jalan Merdeka Ria 1, Kampung Baru Ampang, Ampang, Selangor. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH)

KUALA LUMPUR 16 Julai - "Semakin lama keadaan semakin teruk."

Itu kata penduduk yang tinggal berdekatan sebuah premis pengumpulan barang lusuh di kawasan perindustrian kecil di Jalan Merdeka Ria 1, Kampung Baru Ampang dekat sini.

Barang lusuh yang dikumpulkan bukan sahaja membukit tetapi penduduk yang ditemui mendakwa pengusaha pusat itu kelihatan tidak menghiraukan orang lain apabila barang-barang itu melimpah sehingga ke tengah jalan sekali gus mengganggu orang lain.

Selain itu, kata mereka, kawasan itu sangat kotor dan berbau.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi itu berdasarkan aduan seorang pembaca baru-baru ini mendapati dakwaan tersebut berasas.

Jalan berdekatan dengan premis itu terhalang oleh barang-barang lusuh yang dilambakkan sehingga menutup sebahagian laluan.

Utusan Malaysia difahamkan, walaupun laluan tersebut jarang digunakan penduduk dari beberapa taman perumahan berhampiran, namun itu tidak bermakna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) selaku pihak berkuasa tempatan kawasan itu tidak perlu mengambil berat mengenai perkara itu.

Keadaan premis yang kelihatan kotor dan memualkan itu ternyata mencemarkan pemandangan bagi sesiapa yang melalui kawasan tersebut.

Menurut seorang penduduk berdekatan, yang enggan nama dan gambarnya dirakamkan, premis tersebut telah lama beroperasi di kawasan perindustrian itu.

"Dahulu keadaannya tidak teruk seperti hari ini. Akibat kurang pemantauan mungkin pemilik premis tidak ambil kisah mengenai keadaan ini.

"Saya berharap pihak MPAJ datang ke sini dan menyiasat premis tersebut. Adakah mempunyai permit atau sebaliknya.

"Jika mempunyai lesen sekalipun pemilik premis perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Wajah komersial Muslihah

Posted: 17 Jul 2013 12:19 AM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar MOHD NAJIB MOHD NOR

MUSLIHAH anggun dengan teknik solekan dan fotografi yang baik.

TIDAK sukar menzahirkan apa yang terniat di hati dengan Muslihah Hassan. Gadis berusia 19 tahun ini seakan bijak 'membaca' fikiran penulis dalam menterjemahkan apa yang dimahukan menerusi liuk lentok gerak gaya persis seorang model profesional.

Lalu segala arahan tidak perlu diperincikan kerana dia memahami apa yang dikehendaki jurugambar, Mohd Najib Mohd Nor. Malah dia turut membuktikan bahawa dirinya bukan sekadar model yang ibarat patung membiarkan diri dihias seadanya.

Muslihah menyerlahkan lagi kebijaksanaannya dalam meneroka gaya pemakaian selendang dengan caranya tersendiri.

Gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, sebenarnya tidak asing dalam dunia peragaan busana muslimah, walau baru melangkah ke dunia fesyen kira-kira dua tahun lalu.

Muslihah ternyata mempunyai bakat dan masa depan yang cerah dalam bidang tersebut.

Membahasakan diri sebagai Iha, dia cukup berterima kasih kepada pemilik Sesuci Bridal Boutiqe, pasangan isteri yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Aza dan Abang Amer, yang membawanya ke dunia peragaan.

"Mereka yang bertanggung jawab membawa Iha ke dunia peragaan . Sudah tentu pertama kali Iha menggayakan pakaian dari butik mereka iaitu.

"Perasaan ketika itu sungguh teruja maklum saja baru habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan dapat pula peluang menjadi model.

"Kak Aza yang mengenal pasti kebolehan Iha selepas melihat Iha yang ketika itu menolong kakak di sebuah restoran di Johor Bahru. Kami bertukar nombor telefon dan itulah titik permulaan Iha bergelar model.

"Memang Iha tak sangka dapat peluang itu kerana sejak kecil suka tengok peragawati bergaya dan suka disolek dan bergambar. Akhirnya tak sangka dunia peragaan menjadi sebahagian daripada diri Iha sekarang," jelasnya panjang lebar.

Sejak itu Iha makin dikenali dan sering dijemput untuk memperagakan pakaian atau hijab dari butik-butik terbaru di pasaran.

Iha tidak menafikan berasa amat bertuah kerana dapat memberikan yang terbaik buat perniagaan usahawan Melayu sendiri.

"Walaupun Iha biasa bergambar, tetap ada cabarannya yang tersendiri apatah lagi jurugambar mempunyai cita rasa mereka masing-masing.

" Memang adakalanya penat, namun pengalaman mengajar Iha mengetahui apa yang dimahukan setiap jurugambar yang bekerjasama dengan Iha. Tidak dapat dinafikan, dunia peragaan menyerlahkan lagi keyakinan diri Iha dan menjadikan Iha seorang yang peka dengan perubahan semasa dunia fesyen," katanya.

Ramadan orang bujang

Sementelah sesi fotografi berlangsung di awal Ramadan, tidak lengkap rasanya temu bual dibuat tanpa menyentuh tentang bulan mulia ini.

"Ramadan Iha pada tahun ini bersama rakan-rakan serumah. Seperti biasa kami akan berebut-rebut untuk memasak untuk juadah berbuka," ujar Muslihah penuh teruja.

Muslihah juga akan pulang ke rumah kakaknya yang terletak di Gombak, Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu untuk berpuasa bersama kakak dan keluarganya.

"Sejujurnya, Iha sangat rindu untuk bersahur dan berbuka bersama mama dan abah di kampung, begitu juga dengan kuih-muih di Kelantan. Sambutan Hari Raya Aidilfitri pula akan di sambut beramai-ramai bersama keluarga di kampung halaman Iha iaitu di Kota Bharu, Kelantan. Semoga sambutan hari raya pada kali ini lebih seronok berbanding sebelum ini," ujar anak keempat daripada lima beradik ini.

Eksperimen fesyen 50-an

Posted: 17 Jul 2013 12:19 AM PDT

Potongan paplum inspirasi daripada gaya fesyen seniwati Saloma.

AZURAAZWA juga bijak mengadunkan fesyen dengan penggunaan warna-warna terang, potongan lebih ringkas namun tetap tampak mewah dan menarik.

Koleksi istimewa yang diberi nama Saloma Eid '13 telah digayakan oleh barisan selebriti muda tempatan pada satu majlis ringkas di butik Rafflesia, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara selebriti yang terlibat menyarung koleksi Saloma Eid '13 ini ialah Ruzana Ibrahim, Faezah Ul Haq, Reen Rahim, Fify Natasha, Mimie Ernida dan Nur Risteena.

Selain inspirasi Saloma, AzuraAzwa turut melakukan eksperimen bersama Rafflesia dalam menterjemahkan keindahan mutiara pada hasil busananya.

Adik beradik, Azura Liyana Azmi, 29, dan Azwa Elena, 26, berkata, setiap potongan mengetengahkan gaya peplum berbeza dengan cetakan yang lebih mewah dan penggunaan warna terang.

"Dalam koleksi Saloma Eid '13 ini kami turut memodenkan pakaian Saloma dengan penambahan poket serta potongan kain yang lebih unik.

"Begitu pun kami tidak mengabaikan elemen tradisional dengan penggunaan fabrik dari broked, sutera syifon, fabiano dan penambahan renda tampalan untuk rekaan yang lebih menarik," jelas Azura.

Pilihan eksklusif

Menurut Azura, setiap rekaan mempunyai ceritanya yang tersendiri. Sebagai contoh, koleksi Melati diinspirasikan daripada baju kurung tradisional Terengganu yang dilengkapi poket sama ada di bahagian kiri atau kanan.

"Kami menampakkan ciri moden dengan tampalan renda di bahagian poket tersebut," ujar Azwa.

Sementara itu bagi Teja pula diinspirasikan daripada kebaya lama yang mempunyai potongan kolar tinggi di bahagian belakang.

"Kebaya ini dimodenkan dengan struktur peplum untuk memberikan penampilan yang lebih menawan," jelasnya.

Selain Melati dan Teja, AzuraAzwa turut memperkenalkan Juwita, yang menyerlahkan kembali kegemilangan kain batik dipakai oleh wanita era tahun 40-an dan 50-an.

Istimewanya untuk Juwita, pasangan adik beradik itu telah menambah ropol di bahagian hadapan untuk rekaan yang lebih mengagumkan.

"Ini merupakan koleksi kedua istimewa untuk Hari Raya Aidilfitri.

"Kami memperkenalkan koleksi pada musim perayaan kerana yakin ramai yang mahu memiliki dan bergaya pada musim tersebut," ujar Azura yang juga terkenal dengan signatur turban dan perhiasan kepala yang bercirikan adi busana, kata Azura.

Koleksi AzuraAzwa Saloma Eid '13 ini terdapat dalam saiz S, M dan L dijual pada harga bermula dari RM300. Ia turut dijual secara dalam talian di www.azuraazwa.com/shop. - NOOR FAZRINA KAMAL

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Jati enggan terima maaf Duta Vatican City

Posted: 16 Jul 2013 10:29 PM PDT

KUALA LUMPUR 17 Julai - Jalur Tiga Malaysia (Jati) tidak dapat menerima permohonan maaf Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino berhubung isu kalimah Allah, kata presidennya, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali hari ini.

Beliau berkata, badan bukan kerajaan itu berpendapat permohonan maaf Marino kepada rakyat Malaysia, yang dibuat menerusi Kementerian Luar semalam, tidak memadai untuk mereda dan memadam kemarahan serta ketidakpuasan hati masyarakat Islam di negara ini.

"Duta Vatican City itu perlu menarik balik kenyataan yang telah dikeluarkannya yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja di negara ini.

"Pada masa yang sama, beliau perlu berjanji untuk tidak akan mengulangi perkara yang sama pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, Hasan meminta pihak berkuasa tidak mengambil permohonan maaf Marino sebagai jalan penyelesaian akhir kepada isu itu sebaliknya merangka langkah segera untuk memastikan kejadian itu tidak berulang.

"Langkah ini juga untuk menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya menghormati kedaulatan negara ini," katanya.

Beliau mengulas permohonan maaf Marino kepada rakyat Malaysia atas salah faham dan rasa kurang senang yang timbul susulan kenyataannya mengenai penggunaan kalimah Allah.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, duta itu menjelaskan tidak berniat untuk mencampuri hal ehwal dalaman Malaysia.

Marino dipanggil ke Wisma Putra pada 12 tengah hari semalam.

Dalam pada itu, Hasan berkata Jati dan beberapa NGO lain tetap meneruskan acara penyerahan nota bantahan kepada pejabat kedutaan Vatican City selepas solat Jumaat ini. - BERNAMA

KPWKM-PLUS kerjasama bendung pengemis kanak-kanak di R&R

Posted: 16 Jul 2013 10:22 PM PDT

KUALA LUMPUR 17 Julai - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bekerjasama dengan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) untuk membendung kes kanak-kanak mengemis di pusat rehat dan rawat (R&R) seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, PLUS akan sentiasa memantau keadaan di setiap kawasan R&R dan sekiranya ada aduan orang awam, PLUS akan menyelamatkan kanak-kanak tersebut sebelum menyerahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan seterusnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Azizah berkata dari 2008 hingga 2012, pihaknya telah menyelamatkan 232 kanak-kanak daripada terus dieksploitasi termasuk dijadikan peminta sedekah. - BERNAMA

9 acara pelancongan antarabangsa sepanjang September

Posted: 16 Jul 2013 10:21 PM PDT

KUALA LUMPUR 17 Julai - Tourism Malaysia menyusun pelbagai acara sukan dan kebudayaan yang menarik sepanjang September.

Terdapat sembilan acara akan ditawarkan kepada pelancong tempatan dan asing di negara ini bermula dengan Digi Teluk Chempedak Run 2013, larian sejauh 10 kilometer pada 1 September di Teluk Chempedak, Kuantan, Pahang.

Ini diikuti Sarawak Regatta 2013, perlumbaan Perahu Naga bertemakan 'Perlumbaan Untuk Keharmonian' melibatkan 44 perahu termasuk lima perlumbaan bagi acara antarabangsa dari 6 hingga 8 September di Tebingan Kuching, Sarawak.

Acara Royal Pahang Billfish International Challenge 2013, pertandingan memancing mesra ekologi berkonsepkan tangkap, tanda dan lepas, ketika musim ikan layaran melalui kawasan Rompin untuk berhijrah ke Australia, akan diadakan di Pantai Lanjut, Rompin, Pahang dari 13 hingga 15 September.

Bagi peminat sukan paragliding, Kokol International Paragliding Race 2013 akan dianjurkan di Kampung Kokol, Kota Kinabalu, Sabah dari 16 hingga 18 September, yang membolehkan peserta menikmati pemandangan indah kawasan pantai di Sabah.

Di Kuala Lumpur, pesta tanglung 1Malaysia Lantern Tourism Festival 2013 atau lebih dikenali Festival Kuih Bulan, akan diadakan pada 19 September di Pasar Seni.

Festival itu juga akan diadakan di Kampung Sungai Keling, Labuan dari 19 hingga 21 September.

Untuk peminat tenis, ATP World Tour's Asian akan bermula pada Terbuka Malaysia Kuala Lumpur 2013 di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 21 hingga 29 September.

Sementara itu, festival lukisan Labuan Arts Festival 2013 akan berlangsung di Labuan International Seasport Complex dari 27 hingga 29 September.

Kejohanan berbasikal Gunung Jerai Mountain Bike Challenge 2013 membabitkan laluan sejauh 48 kilometer di Gunung Jerai, Kedah dari 28 hingga 29 September. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved