Jumaat, 12 Julai 2013

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Mitsubishi Mirage Sports dilancar

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Mitsubishi Mirage Sports

KUALA LUMPUR 12 Julai - Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari imelancarkan dengan rasmi Mirage Sports hari ini yang ditawarkan dengan jumlah terhad 400 unit sahaja.

MMM ialah pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi Motors di dalam negara.

Dimajukan dengan wajah yang lebih sporty, Mirage Sports menambah beberapa ciri baharu, antaranya rim aloi 15 inci, tempat duduk bersalut kulit, saling hubung audio sentuh berserta Bluetooth, cermin keselamatan bertinta yang kalis pecah serta alas kaki sporty.

Mirage Sports menggunakan sistem INVECS-III Continuously Variable Transmission (CVT). Ia boleh didapati dalam dua warna, metalik merah dan hitam, dengan harga di jalan RM69,980 dengan insurans.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Apa dah jadi Piya?

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Mohd. Badhri

PETALING JAYA - Dua hari sudah diberikan peluang untuk melaporkan diri dalam latihan skuad kebangsaan, akhirnya pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal dan jurulatih, Datuk K. Rajagobal telah hilang sabar dengan kerenah ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi, apabila meminta pemain berusia 31 tahun itu menghantar surat tunjuk sebab kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malah, Mohd. Badhri atau lebih sinonim dengan nama panggilan Piya bakal berdepan tindakan tatatertib jika tiada sebarang alasan kukuh tidak menghadirkan diri dan besar kemungkinan tidak akan lagi dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Menurut Subahan, beliau hanya mendapat tahu daripada Piya yang jadual penerbangannya tergendala pada Khamis lalu, namun langsung tidak mendapat perkembangan lain selepas itu walaupun ada mendapat maklumat dia mengalami kecederaan hamstring.

''Inilah masalahnya, apabila sebelum ini ramai mempersoalkan mengapa kita tidak mahu menyenaraikan pemain tertentu tetapi bila diberikan peluang menyertai latihan skuad kebangsaan, (Badhri) tidak mahu datang pula tanpa sebarang alasan tertentu.

''Jadi, kita terpaksa mengeluarkan surat tunjuk sebab kepadanya esok (hari ini) atas sebab apa dia enggan datang melaporkan diri dan sekiranya tiada sebarang alasan kukuh, dia boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan yang telah ditetapkan oleh FAM.

''Namun kami tidak mahu berlaku zalim dalam hal ini kerana mahu mendapat tahu dahulu apa puncanya dia tidak mahu datang dan sekiranya memang benar dia mengalami hamstring seperti didakwa atau alasan lain yang kukuh, itu tidak mengapa," katanya yang ditemui di Wisma FAM, semalam.

Mengikut penjelasan Subahan, seorang lagi pemain yang mengalami kecederaan, Azamuddin Akil, tidak perlu melaporkan diri kerana mereka telah memperoleh laporan perubatan dan telah disahkan oleh fisioterapi Harimau Malaya.

''Kita semua sudah maklum bahawa Alex (Azamuddin) telah lama mengalami kecederaan tangan dan segala laporan membabitkan kecederaan telah diperolehi, jadi dia tidak perlu datang melaporkan diri.

''Sedangkan Badhri, kami langsung tidak memperolehi sebarang perkembangan setakat ini sedangkan rakan sepasukannya seperti Khairul Fahmi Che Mat boleh datang dan jika benar dia cedera, dia perlu datang supaya fisioterapi kami dapat memeriksa sendiri dan mengesahkannya, " katanya.

Sebelum ini, Badhri yang disenaraikan menyertai latihan skuad kebangsaan di Australia tidak dapat berbuat demikian apabila mendapat kecederaan dan ini merupakan kali kedua terlepas peluang menjalani latihan bersama Harimau Malaya.

Dalam masa sama, nada Rajagobal seolah-olah kecewa dengan tindakan Badhri kerana dilihat tidak begitu berminat mewakili pasukan kebangsaan setelah diberikan peluang berbuat demikian.

''Sama ada saya kecewa atau tidak, itu saya tidak mahu cakap namun saya hanya mahukan pemain yang komited kepada pasukan negara dan atas apa jua alasan, dia sepatutnya melaporkan diri pada hari ini kerana telah memasuki hari kedua.

''Walaupun begitu, pasukan ini telah menghadapi banyak perlawanan tanpa kehadiran Badhri dan saya tidak berdepan sebarang masalah kerana masih mempunyai pemain-pemain lain yang boleh disandarkan," katanya.

Dua lagi pemain, Safiq Rahim dan Safee Sali dilihat semakin pulih dan dijangka boleh menjalani latihan selepas pulih daripada kecederaan kaki (Safiq) dan pangkal paha (Safee).

Kejohanan kelab FAM-FAS diperkenal

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

PETALING JAYA - Mulai tahun ini, juara Piala FA bukan sahaja merasai ganjaran beraksi di Piala AFC, namun bakal diberikan ruang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk berdepan juara dari Liga Singapura dalam pertandingan yang dipanggil kejohanan Kelab FAM-FAS.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Afandi Hamzah berkata, pertandingan ini adalah antara persefahaman yang telah dicapai dengan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam usaha peningkatan mutu bola sepak bagi kedua-dua negara bagi tempoh empat tahun akan datang.

Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mewakili Malaysia sementara cabaran Singapura didokong dua kelab, Tampines Rovers dan Warriors FC.

''Pada tahun ini, melalui jalinan kerjasama antara FAM dan FAS, satu pertandingan dinamakan kejohanan kelab FAM-FAS akan diperkenalkan dengan dua perlawanan melibatkan juara Liga Malaysia dan juara Liga Singapura iaitu antara juara Piala FA dan Piala Malaysia/Piala Singapura.

''Bagi tahun ini, juara akan diambil dari kejohanan tahun 2012 dengan Kelantan selaku juara Piala FA akan bertemu juara Liga Singapura iaitu Tampines Rovers, sementara satu lagi perlawanan melibatkan juara Piala Singapura, Warriors F.C dan naib juara Piala Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengambil tempat Kelantan kerana merupakan juara.

''Perlawanan antara Kelantan dan Tampines akan berlangsung di Kota Bharu (Stadium Sultan Muhammad ke-IV) pada 12 Ogos manakala aksi ATM serta Warriors F.C akan diadakan di Singapura pada 13 Ogos," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, semalam.

Jadual perlawanan terbaharu itu pasti memberikan sedikit bebanan kepada pasukan Kelantan yang mempunyai enam pemain sedang menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan dan pada tarikh tersebut, mereka baru sahaja melalui pertemuan dengan Barcelona FC pada 10 Ogos ini yang hanya berselang dua hari.

Dalam perkembangan lain, aksi perlawanan akhir Piala Malaysia yang sebelum ini dijadualkan pada 26 Oktober terpaksa ditunda untuk memberi laluan kepada Sukan Paralimpik yang telah menempah penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil.

''Setelah berbincang dengan mendalam, tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia telah ditetapkan pada 3 November iaitu pada hari Ahad kerana pada Sabtu, 2 November jatuh pada hari perayaan Deepavali.

''Manakala tarikh bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia adalah pada 18 serta 19 Oktober dan 25/26 Oktober bagi memberikan laluan kepada siaran langsung," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Suspek larikan MPV polis hidup cara nomad

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

IPOH 12 Julai - Polis percaya penjenayah yang melarikan kereta peronda polis (MPV) di Taiping kelmarin masih berada di Pulau Pinang dan hidup secara berpindah-randah bagi mengelak dikesan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohd. Yusof Md. Diah berkata, siasatan polis mendapati suspek berkenaan, Muhammad Hafiz Saidin, 32, tidak mempunyai tempat tinggal tetapi sering berpindah-randah dan tidur di merata-rata tempat.

"Kita belum ada petunjuk di mana dia berada sekarang tetapi kita percaya dia masih berada di Pulau Pinang. Kita telah pergi ke kampungnya di Tasek Gelugor tetapi suspek tiada di sana.

"Kita percaya dia tiada tempat tinggal. Dia hidup cara orang nomad iaitu sering berpindah-randah. Semasa ditangkap dulu pun, dia tidur bawah lori buruk," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Dalam kejadian kelmarin, suspek yang mulanya ditangkap oleh penduduk Kampung Pak Dollah, Kamunting, Taiping kerana disyaki mencuri, menimbulkan kekecohan apabila bertindak nekad melarikan MPV daripada dua anggota yang hendak membawanya ke balai polis berdekatan.

MPV itu kemudian ditemui di Bukit Minyak, Pulau Pinang pada malam hari yang sama suspek melarikan kenderaan tersebut.

Polis tumpas dua sindiket, seludup dadah

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

KUALA LUMPUR 12 Julai - Polis menumpaskan dua sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dan merampas dadah bernilai RM8.5 juta dalam serbuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan di Bandar Kinrara, Puchong baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam kedua-dua operasi tersebut, tiga lelaki tempatan ditahan.

Menurut beliau, dalam serbuan di KLIA pukul 12.45 tengah hari kelmarin, polis menahan dua lelaki berusia 36 dan 66 tahun yang baru tiba di lapangan terbang tersebut dari luar negara.

Katanya, setelah diperiksa polis menemukan 12 bungkusan minuman dalam sebuah beg pakaian yang diletakkan di tepi sebuah premis di lapangan terbang tersebut dengan setiap satu bungkusan mengandungi peket lutsinar berisi dadah jenis syabu.

"Dalam serbuan itu polis merampas dadah jenis syabu yang dibawa dua suspek seberat 12.7 kilogram.

"Pada keesokan hari iaitu pukul 10.10 pagi semalam, polis sekali lagi berjaya menemukan dua beg pakaian yang dimiliki oleh suspek sama di Pejabat Lost and Found Malaysian Airline System di KLIA mengandungi 34 peket plastik berisi syabu seberat 34.5 kilogram," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah menggunakan warga asing yang masuk ke negara ini menggunakan pesawat berlainan tetapi tiba di KLIA pada waktu yang hampir sama.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


1,000 polis buru 240 banduan

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Sekumpulan anggota polis Indonesia yang dilengkapi senjata, berkawal di pintu masuk Penjara Tanjung Gusta yang dibakar para banduan dalam rusuhan di Medan, kelmarin. - AFP

MEDAN 12 Julai - Seramai 1,000 anggota polis dan askar Indonesia dikerah sejak semalam untuk memburu kira-kira 240 banduan, termasuk pesalah keganasan, yang melarikan diri dari sebuah penjara di sini.

Dalam kejadian semalam, lima orang terbunuh apabila banduan yang ditempatkan di Penjara Tanjung Gusta di Medan, Pulau Sumatera, bertindak mencetuskan kebakaran dan rusuhan kerana tidak berpuas hati dengan keadaan penjara itu yang sesak.

Mereka yang terbunuh terdiri daripada tiga orang banduan dan dua kakitangan penjara.

Kumpulan banduan yang marah kerana bekalan elektrik dipotong dan kekurangan bekalan air, turut bertindak melempar botol ke arah pengawal penjara.

Lebih 150 banduan berjaya meloloskan diri sebaik-baik rusuhan tercetus, namun 64 daripada mereka dapat ditangkap semula oleh polis dan tentera yang bertungkus-lumus menjejak mereka sejak malam semalam.

Antara banduan yang melarikan diri terdiri daripada enam yang mempunyai kesalahan keganasan dan pernah menerima latihan militan di Aceh serta merompak bank untuk membiayai aktiviti pengganas.

Setakat awal hari ini, kumpulan banduan masih menguasai penjara berkenaan.

Sementara itu, Pejabat Kedutaan Malaysia di Indonesia mengesahkan empat rakyat negara itu adalah antara 2,600 banduan yang berada di penjara tersebut.

Bagaimanapun, pihak kedutaan belum menerima maklumat berhubung status keempat-empat banduan berkenaan.

Polis terus memantau rapi keadaan itu menggunakan kenderaan berperisai untuk berkawal di keliling bangunan penjara tersebut.

Banduan hanya membenarkan anggota tentera untuk masuk, tetapi enggan menerima kehadiran polis.

"Kami tidak suka polis kerana mereka tidak berperikemanusiaan dan sering memukul kami," jerit seorang banduan terbabit.

Jurucakap Polis Wilayah Sumatera Utara, Heru Prakoso berkata, pegawai kerajaan akan mengadakan rundingan dengan banduan lewat petang ini bagi menyelesaikan krisis itu.

"Seramai tujuh tahanan akan mewakili banduan untuk berunding dengan seorang pegawai kerajaan dari Kementerian Keadilan dan Hak Asasi Manusia," katanya.

Penjara Tanjung Gusta hanya mampu menampung seramai 1,054 banduan, namun lebih 2,600 ditempatkan di kemudahan itu yang terdiri daripada pesalah dan suspek yang masih dalam perbicaraan. - AFP

Penyokong, penentang Mursi adakan demonstrasi

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Beribu-ribu penyokong Mursi membawa bendera gergasi Mesir ketika mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat di Nasr city, Kaherah, semalam. - AGENSI

KAHERAH 12 Julai - Penyokong dan penentang bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi menggesa pengikut masing-masing mengadakan demonstrasi, hari ini sempena hari Jumaat pertama di bulan Ramadan ketika ketegangan terus meningkat.

Ihkwanul Muslimin berikrar untuk terus mengadakan tunjuk perasaan sehinggalah tentera mengembalikan kuasa kepada Mursi.

Pergerakan itu menggesa perhimpunan bantahan diadakan di beberapa lokasi di Kaherah, meskipun keupayaan mereka diragui ekoran kebanyakan pemimpin kanannya telah ditahan, melarikan diri atau bersembunyi.

Sementara itu, lebih 500 pemuda Ikhwanul Muslimin mengumumkan keluar daripada pergerakan itu dan menubuhkan kumpulan baharu dikenali sebagai 'Ikhwanul Muslimin Tanpa Keganasan'.

Tindakan kumpulan pemuda itu cuba mengurangkan keyakinan orang ramai kepada pemimpin-pemimpin pergerakan tersebut, terutamanya kepada Pemimpin Agung Mohammad Badei dan Timbalannya, Khairat el-Shater.

Penyelaras kumpulan pemuda itu, Ahmad Yehia berkata, mereka kecewa dengan situasi Ikhwanul Muslimin ketika ini.

"Pemimpin Ikhwanul Muslimin telah mengheret pergerakan tersebut ke lubang yang amat dalam selepas lebih 80 tahun bergelut untuk bangkit," katanya kepada al-Arabiya, semalam.

Kumpulan anti-Mursi dalam pada itu turut menggesa pengikutnya mengadakan tunjuk perasaan, termasuk majlis berbuka puasa besar-besaran di Dataran Tahrir, hari ini.

Sementara itu di Sinai, seorang anggota polis maut dan seorang lagi cedera selepas kumpulan bersenjata menyerang sebuah pos pemeriksaan dengan roket, menurut pegawai perubatan dan keselamatan. - AFP/AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Ayam cecah RM8.80 sekilo di Kuantan

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

Ayam dijual pada harga RM8.80 sekilogram semalam melebihi harga siling RM6.80 di Pasar Peramu, Kuantan.

KUANTAN 12 Julai - Harga ayam di sekitar daerah ini dilaporkan naik sejak seminggu lalu dengan peniaga memberi alasan pembekal menjual kepada mereka pada harga yang lebih tinggi.

Tinjauan Utusan Malaysia ke Pasar Peramu di sini mendapati, ayam basah dijual berharga RM8.80 manakala di Pasar Besar Kuantan dan Pasar Kempadang pula RM8.50 sekilogram.

Peniaga Pasar Peramu, Anawar Hussin, 60, berkata, dia tidak mempunyai pilihan selain menjual dengan harga tersebut kerana mendapat bekalan daripada pembekal pada harga RM7.60 sekilogram.

"Sebelum ini harga ayam jatuh tetapi selepas pilihan raya lalu harganya naik mendadak," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, dijangka harga ayam turun kembali pertengahan bulan Ramadan dan naik semula menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Peniaga, Aidi Akob, 50, berkata, dua minggu sebelum Ramadan harga ayam sekitar RM6.50 hingga RM7 sekilogram.

"Menjelang Ramadan harga ayam tiba-tiba naik. Saya rasa pembekal naikkan harga kerana menjelang hari raya nanti kerajaan akan membuat kawalan.

"Jadi, sebelum dikawal kerajaan, maka pembekal menaikkan harga untuk mengaut keuntungan," katanya.

Menurutnya, dia tiada pilihan selain terpaksa menjual ayam dengan harga tinggi kerana perlu membayar gaji pekerja dan kos lain.

Sementara itu, suri rumah, Fazeedah Manaf, 38, berkata, harga ayam yang terlalu tinggi akan membebankan orang ramai terutama yang pendapatan sederhana.

"Saya tidak mengharapkan harga ayam di sini menjadi terlalu murah tetapi biarlah dijual mengikut harga berpatutan," katanya.

Sehubungan itu, Fazeedah berharap kerajaan mengambil langkah proaktif membendung masalah kenaikan harga ayam supaya tidak membebankan rakyat terutama umat Islam yang sedang berpuasa dan ingin menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagi Mohd. Afif Ahmad Bahran, 21, pula, katanya, setiap kali harga ayam baik peniaga akan memberikan alasan memperolehnya dengan harga mahal daripada pembekal.

"Saya harap Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) di sini memantau harga barang kawalan terutama menjelang musim perayaan," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan ke beberapa pasar raya sekitar bandar ini mendapati ayam dijual lebih murah iaitu antara RM7.59 hingga RM7.70 sekilogram.

Bekalan barangan keperluan mencukupi

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Shahiruddin Ab. Moin (depan, dua dari kiri) meninjau gerai menjual ayam di pasar Raub, Pahang, kelmarin.

RAUB 12 Julai - Bekalan barangan keperluan sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri di bawah skim kawalan harga di negeri ini dijamin mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, semua pemborong dan pembekal di negeri ini diberi kebenaran menyimpan stok barangan lebih 10 peratus daripada hari biasa selama dua minggu sebelum dan selepas musim perayaan.

Katanya, mereka juga diminta menghantar segera bekalan barangan tersebut kepada peniaga di seluruh daerah bagi mengelakkan kehabisan bekalan.

''Tahun ini Pahang menyediakan lebih 4,000 tan metrik minyak masak dan 3,000 tan metrik gula termasuk stok simpanan lain-lain barang untuk keperluan sepanjang bulan puasa dan hari raya.

''Dengan stok simpanan yang cukup itu, kerajaan yakin pengguna akan mendapat bekalan barangan yang mencukupi yang kebiasaannya penduduk negeri ini memerlukan kira-kira 3,800 tan metrik minyak masak dan tepung pada musim perayaan dan puasa," katanya kepada pemberita selepas meninjau peniaga di pasar Raub di sini semalam.

Katanya, sebanyak 109 anggota penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri dengan bantuan anggota Skuad Pemantau Penguna akan turun padang sepanjang tempoh bulan puasa dan hari raya ini bagi memantau harga barang serta kegiatan peniaga.

Jelas beliau, tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 akan diambil ke atas para peniaga atau pasar raya yang tidak mengikut peraturan atau menjual melebihi harga yang ditetapkan.

''Sejak awal 2012 sehingga akhir bulan lalu, bahagian penguatkuasaan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri berjaya mengesan 74 kes kesalahan yang dilakukan para peniaga membabitkan nilai rampasan barang RM24,980.

''Daripada jumlah tersebut, sebanyak 31 kes dengan nilai rampasan RM12,017 adalah pada enam bulan pertama tahun ini," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna berbelanja secara terancang bagi mengelakkan pembaziran.

''Mereka yang merasai ditipu peniaga dengan harga yang tidak munasabah boleh membuat aduan kepada mana-mana cawangan pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di setiap daerah untuk disiasat dan diambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen," ujarnya.

Polis Marin rampas 1,554 karton rokok

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Azmi Ibrahim (dua kiri) memberi taklimat mengenai rampasan 1,554 karton rokok dalam sidang akhbar di pejabat Polis Marin Wilayah Timur, Kuantan, semalam. - utusan/Mahathir Ali

KUANTAN 12 Julai - Polis Marin Wilayah Timur merampas sejumlah 1,554 karton pelbagai jenama rokok tidak sah bernilai kira-kira RM262,600 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Galing di sini semalam.

Komander Polis Marin Wilayah Timur, Asisten Komisioner Azmi Ibrahim berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan dua suspek berusia 19 dan 20 tahun hasil maklumat orang awam tentang aktiviti penyeludupan rokok di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, kedua-dua suspek dipercayai menjadikan rumah yang disewa itu sebagai stor haram untuk menyeludup rokok dan kegiatan itu dipercayai untuk bekalan kedai-kedai runcit di bandar ini.

Katanya, sembilan anggota polis diketuai Inspektor Mohd. Armi Alpaka membuat intipan dan mengesan sebuah kereta Proton Persona yang mencurigakan di Jalan Galing.

"Pemandu kereta itu berusia 20 tahun dikesan membawa muatan 80 karton pelbagai jenama rokok tidak sah. Hasil soal siasat dia mengaku membawa rokok tersebut dari rumah sewanya.

"Pihak kami kemudian menyerbu rumah itu dan menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 19 tahun dan pemeriksaan di rumah itu menjumpai 1,474 karton rokok pelbagai jenama," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Azmi berkata, kedua-dua suspek serta barang rampasan itu diserahkan kepada Kastam untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, rampasan ini adalah kejayaan kes ke-10 bagi Polis Marin Wilayah Timur untuk tahun ini dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM527,190.

Beliau turut meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai apa juga kegiatan menyalahi undang-undang yang berlaku di perairan atau di kawasan pesisiran pantai kepada polis atau polis marin untuk tindakan selanjutnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Khalid Samad gagal saman Hamidah

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

SHAH ALAM 12 Julai - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini gagal dalam tuntutan saman fitnahnya terhadap Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman berhubung penyiaran gambar teknik tindih yang didakwa menunjukkan beliau seperti paderi Kristian.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Hashim Hamzah memutuskan menolak saman itu dan mengarahkan Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, membayar kos RM20,000 kepada Hamidah.

Dalam penghakimannya, Hashim menyatakan, Khalid gagal membuktikan kes tersebut kerana tidak mengemukakan dokumen asal yang didakwa sebagai artikel yang memfitnahnya.

Menurut beliau, Khalid juga telah mengemukakan suatu dokumen yang tidak dikeluarkan daripada laman web yang asal.

Malah menurut beliau, tidak terdapat dalam artikel terlibat apa-apa yang boleh dirujuk secara literal dan maksud biasa bahawa Khalid merupakan seorang yang murtad atau berniat untuk merendah-rendahkan reputasi Khalid.

Dalam penghakiman setebal 23 muka surat yang tidak dibacakan di mahkamah, Hashim turut menyatakan, jika gambar yang didakwa itu wujud maka artikel yang dikaitkan itu boleh disifatkan fitnah terhadap Khalid.

Khalid memfailkan saman fitnah tersebut terhadap Hamidah pada 23 Disember 2011 berhubung penyiaran gambar yang menggunakan teknik tindih gambar Khalid yang disiarkan melalui blognya pada Januari 2010.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khalid sebagai plaintif mendakwa, gambar itu menunjukkan beliau seperti seorang paderi Kristian dan seorang yang murtad.

Hamidah dalam pernyataan pembelaannya menyatakan, beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk menghina tetapi paparan itu berhubung tindakan plaintif menyebarkan pendapatnya berhubung satu fatwa.

Khalid mahupun Hamidah tidak hadir di mahkamah. Peguam Azhana Mohd. Kamarudin hadir bagi pihak Khalid manakala Hamidah diwakili peguam Nor Emelia Mohd. Iszeham.

Bil telefon amah hampir RM18,000

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh SITI NOORALINA AHMAD

SEORANG pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi selama 10 tahun terpaksa akur dengan tawaran akhir syarikat itu dalam mencapai penyelesaian berhubung bil telefon yang digunakan oleh pembantu rumahnya yang mencecah hampir RM18,000 dalam masa dua bulan.

Hor Saw Lee, 40, bersetuju menerima tawaran pengurangan sebanyak 25 peratus daripada jumlah tersebut selepas Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Datuk Zul Hasnan Baharudin memutuskan untuk menolak kes itu sekiranya tidak berjaya diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak.

Zul Hasnan berkata, pihaknya tidak akan memutuskan jumlah tertentu, namun akan menasihatkan pemohon untuk meneruskan tuntutan yang sama di Mahkamah Sivil.

Wakil syarikat tersebut yang ingin dikenali sebagai Ramesh menyatakan, sebelum kes itu dibawa ke TTPM oleh Saw Lee, rundingan telah diadakan olehnya dengan wanita itu dan dia pernah menawarkan potongan sebanyak 35 peratus, namun tidak dipersetujui wanita terbabit.

Setelah dibawa ke tribunal berkenaan, Ramesh mendakwa, dia hanya boleh menawarkan potongan sebanyak 25 peratus.

Saw Lee membawa kes itu ke TTPM dengan harapan dia akan mendapat potongan yang lebih banyak daripada 35 peratus kerana berasa tertipu dengan pakej prabayar yang didaftarkan atas namanya.

Saw Lee mendaftarkan pakej prabayar 'credit limit 100' dengan syarikat telekomunikasi itu enam bulan sebelum itu selepas mendakwa mendapat penjelasan daripada jurujual bahawa panggilan akan disekat apabila mencecah RM100.

Dalam tuntutannya itu, dia mendakwa telefon itu digunakan oleh pembantu rumahnya yang merupakan warga Kemboja untuk membuat panggilan tempatan dan luar negara.

Selepas dua bulan menggunakannya, wanita itu terkejut apabila menerima bil yang terlalu tinggi.

Dia bagaimanapun telah membayar RM9,000 kepada syarikat itu menerusi kad kredit miliknya setelah pembantu rumahnya berjanji akan memulangkan wang tersebut dalam apa jua bentuk.

Terdahulu, Ramesh dalam penjelasannya berkata, pakej tersebut hanya boleh diguna pakai untuk panggilan tempatan dan bukannya panggilan antarabangsa.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Lady Gaga bakal lancar album baharu

Posted: 12 Jul 2013 02:47 PM PDT

LOS ANGELES 13 Julai - Penyanyi berimej pelik, Lady Gaga bakal melancarkan album baharunya berjudul 'Artpop' pada 11 November ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan dalam laman web penyanyi tersebut semalam, lagu single daripada album tersebut akan dilancarkan pada 19 Ogos ini.

Penyanyi berusia 27 tahun itu sebelum ini membatalkan siri jelajah konsertnya pada awal tahun ini ekoran menjalani pembedahan di bahagian pinggul. - REUTERS

Kim Kardashian bawa anak bercuti

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Kim Kardashian dan pasangannya, Kanye West.

CALIFORNIA - Bintang realiti televisyen, Kim Kardashian dan pasangannya, Kanye West dilapor membawa bayi mereka, North menghadiri pertemuan keluarga di pantai Malibu, baru-baru ini.

Pertemuan keluarga besar Kardashian itu adalah untuk meraikan Hari Kebangsaan Amerika yang disambut pada 4 Julai lalu.

Kim dan West pergi ke rumah bapa tirinya, Bruce Jenner di tepi pantai Malibu untuk melihat pertunjukan bunga api.

Bagaimanapun, gambar pasangan itu bersama bayi mereka tidak dapat dirakam. Adalah mustahil bagi mereka untuk meninggalkan North atau nama panggilannya Nori yang dilahirkan pada 15 Jun lalu.

Satu laporan menyebut, Kim tidak keluar walaupun ke balkoni semasa percutian tersebut, sebaliknya dia menghabiskan masa duduk di dalam rumah bagi menjaga Nori.

Jika benar puteri sulungnya itu dibawa ke pantai Malibu, ini merupakan kali pertama dia dibawa bersiar-siar selepas keluar dari hospital pada 21 Jun lalu.

Kim juga dikhabarkan tidak mahu berenggang dengan si kecil itu kerana terlalu menyayanginya. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


DAP ‘cerdik’, Pas, PKR...

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
dan ABDUL RAZAK IDRIS
pengarang@utusan.com.my

SEKALI air bah sekali pantai berubah. Kedudukan wakil-wakil dalam Dewan Rakyat turut berubah. Ada kalangan Ahli Parlimen yang sebelum ini menteri kabinet kembali ke zon penyokong kerajaan (backbencher).

Ibarat melepas geram yang disimpan di dada bertahun-tahun, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar turut menunjukkan taringnya. Dan setidak-tidaknya memperlihatkan kepada 89 ahli parlimen pembangkang bahawa bukan mereka sahaja yang petah berkata-kata menuduh Kerajaan Barisan Nasional (BN) itu dan ini.

Malahan bekas peguam tersebut, sebenarnya ingin membuktikan kepada rakyat Malaysia - bahawa pembangkang hanya pandai menimbulkan persepsi songsang di mata rakyat negara ini, bukanlah lebih popular dan layak mentadbir negara berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Jika mereka mengguna pakai undi popular sebagai petunjuk untuk menubuhkan kerajaan, mengapa ketua pembangkang, mereka (kepimpinan pembangkang) lantik pemimpin dari PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan bilangan kerusi yang dimenangi pembangkang, Pas mendapat 21 kerusi, PKR 30 kerusi dan DAP mendapat kerusi terbanyak iaitu 38 kerusi, bukankah itu menunjukkan DAP lebih popular dalam kalangan kepimpinan pembangkang. Mengapa tidak mahu jadi ketua (pembangkang)," katanya ketika ditemui kami di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Noh, dalam soal ini yang kelirukan rakyat bukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sebaliknya pembangkang yang memperdaya rakyat dengan istilah undi popular hingga menarik mereka untuk membuat pelbagai program termasuk (perhimpunan) Blackout 505 untuk menipu rakyat.

Mengambil contoh cadangan Timbalan Presiden PKR dari Gombak, Azmin Ali semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat supaya Malaysia mencontohi Britain dalam pelaksanaan pilihan raya, beliau menegaskan: Negara ini tidak perlu mengikut amalan negara lain kerana mempunyai undang-undang berdasarkan acuan kita sendiri."

Bagi Noh, kalau pemimpin pembangkang mengakui (sistem) di Britain itu betul, kenapa tidak mencontohi mereka. Yakni, terima dan patuh keputusan pilihan raya yang mengikut sistem elektoral, bukannya sistem undi popular.

Dalam pilihan raya Britain 2010, Parti Konservatif tidak dapat membentuk kerajaan setelah hanya memperoleh 305 atau 47 peratus daripada 650 kerusi di Parlimen, berbanding 326 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan berdasarkan majoriti mudah. Walaupun memperoleh 36 peratus undi popular, parti itu terpaksa bergabung dengan Parti Liberal Demokrat untuk membolehkan kerajaan campuran dibentuk.

Kalau berdasarkan undi popular, tak perlulah Parti Konservatif itu membentuk pakatan dengan Liberal, tetapi sebab dia patuh dengan undang-undang negara itu, maka dibentuk kerajaan yang bukan berdasar kepada undi popular, tetapi berdasarkan kepada bilangan kerusi," katanya.

Beliau turut merujuk isu undi popular dengan keputusan PRU-13 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, yang mana walaupun BN memperoleh 39 peratus undi popular, ia sepatutnya mewakili 20 wakil rakyat daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. Namun BN hanya mendapat 12 kerusi berdasarkan sistem elektoral yang diamalkan. BN akur dan menerima keputusan pilihan raya itu.

Noh turut memberi contoh sistem kehakiman negara dan kes liwat yang membabitkan Anwar sebagai analogi untuk menjelaskan mengenai kebiasaan amalan undang-undang di negara ini.

Dalam kes itu, dari tujuh hakim yang mendengar kes, lima kata Anwar bersalah, dua kata tak salah. Tetapi kerana amalan sistem undang-undang kita Anwar didapati tidak bersalahtetapi kalau kita guna sistem majoriti hakim, tentu dia tak akan lepas daripada penjara.

Berbanding negara luar yang menggunakan sistem majoriti hakim, Malaysia mengamalkan sistem di mana mahkamah lebih tinggi boleh mengetepikan keputusan mahkamah yang lebih rendah," katanya.

Katanya, kedudukan ketua pembangkang dan susunan pemimpin pembangkang yang lain di dalam Dewan Rakyat, mencambahkan persepsi masyarakat di negara ini, bahawa orang Melayu yang lebih dominan dalam parti pembangkang. Sedangkan kenyataan yang sebenar adalah sebaliknya. Jika ditelusuri sejarah politik negara ini, sepatutnya jawatan ketua pembangkang dipegang oleh Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, yang berpindah jauh dari kawasan asalnya di Ipoh Timur.

Kit Siang bukannya nama baru dalam dunia politik yang boleh diketepikan begitu sahaja sebagai ketua pembangkang. Beliau pernah menjawat jawatan tersebut beberapa kali dari tahun 1970-an hingga 2008. Bukankah dengan memberi jawatan tersebut kepada Anwar tanpa banyak soal, menunjukkan seperti ada udang di sebalik batu?

Sebagai ketua pembangkang, Kit Siang boleh memainkan peranan yang besar bagi memperjuangkan nasib pengundi-pengundi beliau. Namun dia seakan merelakan jawatan tersebut terus disandang pemimpin PKR - yang dimomokkan berjuang untuk semua bangsa di negara ini.

Saya berpandangan DAP yang paling cerdik dalam kalangan parti pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat ini. Apabila pemimpin mereka sebulat suara bersetuju memilih Anwar sebagai ketua pembangkang maka rakyat akan melihat DAP tidak mempunyai pengaruh dalam pembangkang. Sedangkan sudah jelas siapa yang mempunyai pengaruh yang sebenar di belakang ketua pembangkang.

Terus-terang saya katakan dalam konteks ini, Parti PKR dan Pas menumpang tui DAP yang menang banyak kerusi. Jika kita teliti sebenarnya DAP yang popular dan patut berada di kedudukan nombor satu di blok pembangkang," katanya.

Mengulas mengenai kedudukan pemimpin pembangkang mengikut jawatan di Dewan Parlimen, beliau berasa hairan mengapa Kit Siang berada di kedudukan ketiga selepas Anwar dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Apakah seolah-olah ingin menunjukkan kepada masyarakat bahawa DAP tidak mempunyai kuasa penentu dalam pakatan pembangkang?

Lebih menimbulkan persoalan, mengapa susunan kepimpinan pembangkang di dalam dewan dibuat tanpa mengira hierarki mereka di dalam parti - yang seolah-olah ada tangan tertentu yang mencatur kedudukan tersebut. Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang merupakan Naib Presiden Pas berada di kedudukan kerusi yang lebih baik dari Azmin sedangkan dia Timbalan Presiden PKR.

Perkara tersebut menurut Noh, walaupun nampak remeh namun menunjukkan di dalam barisan kepimpinan pembangkang wujud ketidaktentuan. Ini barangkali akibat ada tangan-tangan yang memainkan peranan membuat sesuatu keputusan.

Namun katanya lagi, bagaimana hebat sekalipun percaturan politik pembangkang, semua maklum siapa yang mendapat keuntungan dalam percaturan tersebut.

PKR sebagai parti yang dianggotai semua kaum yang memenangi 30 kerusi Parlimen dilihat seakan berkuasa secara total, dan Pas dengan 21 kerusi sudah pasti kurang berpengaruh dan ditolak orang Melayu yang lebih menggemari UMNO yang menang 88 kerusi.

Kita tahu siapa yang lebih berkuasa membuat dan mempengaruhi keputusan di dalam kepimpinan pembangkang di sebalik jawatan ketua pembangkang yang dipangku pemimpin PKR. Masyarakat perlu menilai dengan bijaksana kedudukan ini.

Apa guna ada jawatan tetapi tidak berlandaskan majoriti kerusi yang dimenangi semasa PRU-13. Dan sesungguhnya percaturan dalam kepimpinan pembangkang, rupa-rupanya DAP yang dilihat lebih cerdik," simpul Noh penuh makna.

Jangan sekat minat jadi guru

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

SEORANG yang bergelar guru, kesabaran akan sentiasa teruji apabila berhadapan dengan murid, ibu bapa dan rakan sekerja yang pelbagai perangai. Sebab itu, minat untuk menjadi seorang guru itu amat diperlukan dalam bidang kerjaya ini.

Dalam masa sama, seorang guru juga mesti mempunyai perasaan kasih sayang kepada murid dan perlu jatuh cinta dengan pekerjaan guru itu sendiri.

Itulah jawapan yang keluar daripada mulut seorang guru di sebuah sekolah menengah apabila ditanya pengumuman Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa syarat untuk memohon pengajian dalam jurusan perguruan telah diperketatkan.

Berkuat kuasa tahun ini, hanya pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dibenarkan memohon pengajian dalam jurusan itu.

Langkah berkenaan dibuat sejajar dengan hasrat kementerian yang mahukan 30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai kerjaya itu.

Namun kelonggaran diberikan kepada pelajar Sabah dan Sarawak yang hanya disyaratkan memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam SPM memandangkan terdapat jurang pencapaian akademik antara negeri itu dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Isu mengenai pentingnya minat untuk menjadi seorang guru yang terbaik juga pernah menjadi tema filem Hollywood bertajuk The School of Rock pada 2003.

Dalam filem itu, anggota kumpulan rock, Dewey Finn (yang dibintangi pelawak Jack Black) telah menyamar sebagai guru gantian di sebuah sekolah menengah atas.

Walaupun tidak mempunyai kelayakan akademik untuk mengajar, dia akhirnya telah berjaya mengubah pelajar-pelajarnya menjadi penyanyi dan pemuzik yang berjaya.

Soal pentingnya minat juga turut disentuh beberapa kesatuan guru yang telah menyatakan bantahan sebaik saya syarat baharu itu diumumkan.

Ini termasuk Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) yang menyifatkan syarat tersebut sebagai tidak realistik.

Bagi Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd. Arsad, pelajar yang cemerlang di dalam bidang akademik bukan satu jaminan untuk melahirkan guru terbaik.

Apa yang lebih penting mereka hendaklah mempunyai minat, kemahuan, aktif serta sifat kasih sayang yang begitu tebal terhadap anak-anak murid.

Saya percaya pelajar-pelajar yang memperoleh 5A atau 6A dalam SPM juga mampu menjadi seorang guru yang baik lebih-lebih lagi sekiranya mereka benar-benar berminat untuk menjadi seorang guru," ujarnya.

Menurut beliau, selain kelayakan akademik, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum perlu diberi penekanan kepada mereka yang ingin menceburi profesion perguruan bagi meningkatkan taraf profesion itu yang semakin mencabar.

Dalam pada itu, beliau melahirkan kebimbangan usaha untuk menarik lebih ramai pelajar yang memperoleh 7A dalam SPM untuk menceburi bidang perguruan tidak berjaya kerana pelajar terbabit mempunyai peluang untuk memilih jurusan lain yang menawarkan gaji lebih lumayan.

Kebiasaannya mereka akan memilih bidang-bidang lebih profesional seperti doktor atau jurutera apabila melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.

Ini realiti yang berlaku. Hakikatnya, profesion perguruan tidak dapat menjanjikan pulangan lumayan kepada mereka berbanding bidang-bidang profesional yang lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kementerian menawarkan gaji yang lebih tinggi dan kemudahan lain seperti perumahan kepada guru yang berkelulusan cemerlang.

Kalau nak ambil guru yang berkelulusan baik, kebajikan mereka juga perlu dijaga, sekolah ini sampai kawasan pedalaman pun ada. Mungkin elaun tambahan yang lain perlu diadakan," katanya.

Bersetuju dengan pendapat itu ialah Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ezaruddin Abdul Rahman yang menegaskan pihaknya menentang keras langkah terbaharu kementerian itu.

Beliau berkata, kelulusan akademik bukanlah kriteria utama yang melayakkan seseorang itu menjadi guru yang berdedikasi.

Sebagai bekas pelajar kita tahu bahawa guru yang terbaik bukan sahaja cemerlang dari segi kelulusan akademiknya sebaliknya ia juga melibatkan soal minat, dedikasi untuk mengajar dan perasaan sayang yang ditunjukkan kepada anak didiknya," ujar beliau.

Bagi mengelak mereka yang berminat untuk menjadi guru tersekat kerana syarat yang terlalu ketat dikenakan, beliau meminta syarat minimum itu dibatalkan dan digantikan dengan kelayakan akademik yang munasabah.

Kita mengakui kelayakan akademik juga penting tetapi ia tidak boleh lebih penting daripada kelayakan lain yang boleh menjadi seseorang itu diiktiraf sebagai guru berkualiti," katanya.

Tambah beliau, satu kaedah yang boleh dilakukan kementerian adalah mengadakan sesi temu duga sebelum pelajar diterima mengikuti pengajian dalam bidang perguruan.

Sesi temu duga ini akan membolehkan kita mengetahui adakah mereka benar-benar berminat untuk menjadi seorang guru atau kerana ia pilihan akhir setelah tidak berjaya mengikuti pengajian dalam bidang lain," katanya.

Menurut Ezaruddin, beliau akan mendapatkan persetujuan daripada lain-lain Exco GPMS untuk menghantar satu bantahan rasmi kepada Kementerian Pendidikan berhubung syarat baharu itu.

Kepada pihak kementerian, dengarlah secara serius pandangan badan-badan yang mewakili guru dan pelajar terbabit.

Ini bagi memastikan pelajar yang mempunyai minat dan dalam masa sama memperoleh keputusan yang munasabah dalam SPM dapat meneruskan hasrat mereka untuk menjadi seorang pendidik.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Serasi bersama kunci bahagia

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

NUR Ain Aili Abdullah bersama suami tercinta, Ahmad Rushdan Abdul Manan dan anak mereka, Ahmad Izzat Immil.

DIIJABKABULKAN pada 8 Februari 2002, Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Sarawak, Nur Ain Aili Abdullah, 38, mengakui kehidupan rumah tangganya amat bahagia bersama suami tercinta, jurufoto kanan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Ahmad Rushdan Abdul Manan, 43.

Walaupun masing-masing sibuk dengan kerjaya, namun pasangan ini lebih senang menghabiskan masa bersama. Malah kedua-duanya beruntung kerana mempunyai hobi yang sama iaitu melancong.

Pasangan ini mengakui sebelum bertemu, mereka pernah gagal dalam percintaan, namun pengalaman pahit itu tidak membuatkan mereka serik, sebaliknya dijadikan panduan dalam perjalanan mencari pasangan hidup.

Mengimbas detik-detik pertemuan kira-kira 12 tahun lalu, wanita berketurunan Bidayuh yang mesra dengan panggilan Nur Ain ini memberitahu, pertemuannya dengan Ahmad Rushdan ketika itu tidak dirancang.

Ketika itu, saya bertugas sebagai wartawan di sebuah akhbar di negeri ini dan dia menyedari kehadiran saya semasa saya berjumpa dengan seorang rakan di pejabatnya.

Tetapi siapa sangka, memang telah tertulis bahawa dia jodoh saya, sedangkan ketika itu saya belum memeluk agama Islam," katanya kepada S2 baru-baru ini.

Sementara itu, Ahmad Rushdan memberitahu dia seolah-olah terpukau dengan kecantikan dan kelembutan Nur Ain ketika kali pertama bertemu walaupun mengetahui mereka berbeza agama dan budaya.

Katanya, ingatannya terhadap Nur Ain semakin kuat dan rasa itu semakin bertambah apabila mendapat tahu wanita pujaannya itu memeluk Islam ketika melanjutkan pengajian di sebuah universiti.

Sejujurnya saya memang sudah jatuh cinta dengannya dan apabila mengetahui Nur Ain memeluk Islam, rasa cinta itu semakin bertambah.

Saya kemudian meminta kawan kami memperkenalkan saya kepada Nur Ain dan selepas bertukar-tukar nombor telefon, hubungan kami semakin rapat," katanya.

Tambah Ahmad Rushdan, dia yakin bahawa Nur Ain adalah jodohnya selepas mendapat restu daripada orang tua masing-masing dan dalam tempoh lima bulan, mereka mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang.

Katanya, walaupun perkenalan mereka singkat tetapi mereka bahagia dan kebahagiaan itu bertambah dengan kehadiran seorang cahaya mata, Ahmad Izzat Immil Ahmad Rushdan, 10.

Apabila diajukan soalan, pernahkah beliau sebagai suami berasa janggal mempunyai isteri yang berpangkat besar, pantas Ahmad Rushdan memberitahu:

Nur Ain selalu mengingatkan saya walau siapa pun dirinya, saya tetap suaminya, ayah kepada anak kami dan ketua keluarga.

Biarpun kedudukan saya lebih rendah dari segi tahap pendidikan dan pendapatan tidak sebesar dia, namun saya masih memegang tanggungjawab utama dalam keluarga," katanya.

Tambah Nur Ain, keserasian dan saling bertolak ansur menjadi formula penting antara dia dan suami biarpun menyedari dirinya lebih berpangkat. Beliau menegaskan Ahmad Rushdan tetap berperanan penting dalam urusan rumah tangga.

Saya selalu mengingatkan diri saya bahawa segala yang berlaku di pejabat tidak akan dibawa balik ke rumah.

Di pejabat, saya boleh memberi arahan kepada kakitangan bawah, tetapi apabila pulang ke rumah, saya akan bertukar personaliti menjadi isteri yang patuh pada suami," katanya.

Jelasnya, banyak lagi cabaran yang perlu mereka hadapi seperti jadual kerja yang padat dan tanggungjawab terhadap anak.

Katanya, perkahwinan mereka pernah diuji ketika awal-awal mendirikan rumah tangga apabila suaminya menerima arahan bertugas di Kuala Lumpur.

Saya sebagai isteri sudah tentu akan mengikutnya ke mana sahaja walaupun ketika itu saya baru tamat belajar dan kami pun masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

Pada mulanya, kami menyangka akan berada di Kuala Lumpur untuk tempoh yang singkat tetapi rancangan Allah itu tiada siapa boleh menduga apabila kerjaya kami berkembang sehingga menetap di sana selama 11 tahun," katanya.

Ujarnya, oleh kerana jadual kerjanya dan suami berbeza, Nur Ain mengambil pendekatan berbincang dengan suaminya dan belajar untuk menghadapi sebarang kemungkinan bersama.

Berikutan jauh dari ibu bapa dan ahli keluarga lain, kehidupan kami sebagai suami isteri berubah kerana tanggungjawab perlu dipikul sendiri. Selain hal kerja yang perlu difikirkan, kami juga fikirkan tentang anak.

Pernah masing-masing menyuarakan hasrat ingin berhenti kerja kerana terlalu tertekan menguruskan rumah tangga tetapi semua itu hanya sementara selepas memikirkan masa depan anak," katanya.

Ditanya bagaimanakah pasangan ini menyelesaikan masalah dalam rumah tangga, kata Ahmad Rushdan, tipulah kalau dikatakan tiada masalah.

Katanya, semua rumah tangga pasti akan berhadapan masalah, namun setiap pasangan mesti bijak menyelesaikannya dan sebagai suami jangan sesekali ego untuk mengakui kesilapan serta meminta maaf daripada isteri.

Pernah juga apabila bergaduh, saya tidak bercakap sehari dengan Nur Ain, namun saya rasa saya tidak boleh buat macam itu. Buat apa menyimpan dendam, nanti lama-lama ia meletus dan menjadi besar.

Sebenarnya setiap kali selepas bergaduh, hubungan kami menjadi bertambah erat. Ia membuatkan rumah tangga kami semakin kukuh. Jadi, saya dan Nur Ain tidak pernah berputus asa dalam mencari reda Allah sepanjang melayari bahtera rumah tangga," katanya.

Kasihan anak-anak, rindukan saya

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

KASIH sayang seorang ibu kepada anak tidak pernah surut malah sentiasa mekar dari sehari ke sehari. Sakit demam si anak, ibu dapat merasakannya walaupun jauh dari mata.

Kebahagiaan rumah tangga mendekatkan anak-anak dengan ibu bapa, disulami dengan rasa kasih sayang yang melimpah ruah.

Namun, apa jadi sekiranya rumah tangga yang dibina hancur, suami isteri berpisah dan anak-anak turut terbabit dalam dilema perasaan ibu dan bapa kandung mereka.

Bagaimana kehidupan anak-anak apabila mendapat tahu ibu dan ayah tidak lagi boleh tinggal sebumbung dan salah seorang perlu tinggalkan rumah.

Siapa yang perlu ikut ibu dan siapa pula yang harus ikut ayah? Semua ini akan bertukar menjadi masalah besar jika tidak ditangani dengan berhemah.

Sebarang tindakan hendaklah ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung pula tidak berselerak.

Inilah kisah yang ingin saya paparkan buat tatapan pembaca minggu ini. Suatu kisah realiti yang boleh dijadikan teladan kepada suami isteri sekiranya ditakdirkan istana yang mereka bina musnah.

Yang penting anak-anak perlu diberi kasih sayang sama seperti mana ketika ibu bapa masih hidup di bawah satu bumbung.

Kita selami kisah ini yang diceritakan sendiri oleh Tina dalam pertemuan kami baru-baru ini.

Begini ceritanya.

Nama saya Tina (bukan nama sebenar) berusia lewat 30-an, dan bekerja sebagai pegawai di sebuah syarikat insurans. Saya mempunyai sepasang anak, lelaki berusia 15 tahun dan perempuan, 17 tahun.

Kedua-duanya masih bersekolah. Malangnya rumah tangga yang saya bina musnah kira-kira 10 tahun lalu ketika anak-anak masih kecil. Saya cuba pertahankan rumah tangga demi anak-anak tetapi gagal disebabkan suami, Aidil (bukan nama sebenar) tidak memberi sokongan kepada usaha saya.

Puncanya dia ada orang lain. Saya akur dengan kehendak hatinya sebab saya tidak mahu bermadu. Kami bercerai secara baik tetapi malangnya suami mendapat hak penjagaan ke atas anak-anak kerana anak-anak mahu mengikut bapa mereka apabila ditanya oleh hakim sewaktu perbicaraan.

Saya sendiri tidak tahu kenapa anak-anak memilih untuk mengikut ayah mereka. Tapi saya akur dengan keputusan mahkamah. Saya tidak pernah membuat rayuan sebab yakin kedua-dua anak saya akan hidup senang di bawah jagaan bekas suami yang memang boleh memberi mereka kemewahan.

Setahun selepas bercerai, saya masih dapat berjumpa anak-anak seperti arahan mahkamah. Begitulah sehingga masuk tahun kedua. Keadaan berubah apabila suami mendapat kerja di luar negara lima tahun selepas kami bercerai.

Dia membawa bersama kedua-dua anak kami walaupun saya berusaha membuat rayuan agar diberi hak penjagaan sepanjang tempoh bekas suami ke luar negara. Sayangnya bekas suami menghalang.

Akhirnya saya terpaksa berpisah dengan anak-anak sehingga mereka kembali ke tanah air lima tahun kemudian. Bayangkan bagaimana rindunya saya terhadap mereka. Sepanjang mereka di luar negara, saya langsung tidak dapat bersama mereka. Bekas suami tidak pernah balik ke Malaysia, mungkin sebab tidak mahu anak-anak berjumpa saya.

Perbuatannya itu menjadikan saya sangat sedih. Saya amat kesal dengan sikapnya itu. Apabila mendapat khabar mereka telah kembali ke tanah air, saya menghubungi bekas mentua mohon bantuan untuk berjumpa anak-anak.

Malangnya bekas mentua tidak dapat menolong dengan alasan saya perlu usaha sendiri jika mahu berjumpa anak-anak. Saya amat sedih dan keliru dengan sikap mereka. Menyokong anak tidak bertempat.

Satu hari melalui seorang teman lama bekas suami yang rapat dengan saya, saya berjaya berjumpa anak-anak di sekolah mereka. Gembiranya saya hanya Allah yang tahu. Saya menangis apabila kedua-duanya memeluk dan bertanya kenapa saya tinggalkan mereka. Alhamdulillah anak-anak masih ingatkan saya.

Saya jadi pelik kenapa anak-anak bertanya soalan itu kepada saya sedangkan sepatutnya mereka gembira tinggal bersama ayah mereka. Akhirnya rahsia terbongkar. Anak-anak saya berada dalam ketakutan bersama ayah dan ibu tiri mereka.

Ibu tiri mereka sangat garang dan cerewet, mereka tidak dilayan dengan baik. Namun disebabkan takut kepada ayah, mereka tahan juga... kasihan anak-anak saya. Tak sangka pula begitu jadinya.

Patut bekas mentua saya cakap begitu, kerana dia juga tidak serasi dengan menantu baharunya itu. Barulah saya tahu perkara sebenar. Saya sangat sedih dan berharap untuk mendapatkan semula anak-anak saya.

Dengan bantuan abang kandung saya, saya ditemukan dengan kawan baiknya seorang peguam. Saya failkan di mahkamah tuntutan ke atas anak dengan alasan yang saya peroleh daripada anak-anak. Mereka juga memberi sokongan kepada saya kerana tidak mahu lagi tinggal bersama ayah mereka.

Alhamdulillah selama tiga bulan saya naik turun mahkamah, akhirnya kes memihak kepada saya.

Saya menang mudah kerana sepanjang 10 tahun saya tidak diberi peluang berjumpa dengan anak-anak seperti mana mahkamah telah arahkan. Suami menghalang saya untuk berjumpa mereka setelah kembali ke tanah air.

Saya amat bersyukur dengan apa yang berlaku. Ketika menyerahkan anak-anak kepada saya, wajah bekas suami amat menakutkan. Tapi saya reda apa sahaja yang dia hendak katakan terhadap saya. Yang penting anak-anak kini bersama saya.

Mereka telah menceritakan semuanya kepada saya, kebanyakannya cerita sedih. Saya amat menyesal kerana tidak menuntut hak menjaga mereka dulu. Tetapi semuanya kini telah berakhir. Saya harap anak-anak tidak lagi takut untuk meneruskan kehidupan mereka.

Apa yang berlaku saya simpan dalam hati untuk teladan. Kalau orang kata ibu tiri zaman ini tidak seperti ibu tiri dulu, mungkin kita salah sebab masih wujud kekejaman ibu tiri walaupun kesnya terpencil.

Tidak guna saya ceritakan kekejaman apa yang dimaksudkan tetapi saya harap orang yang melakukan kekejaman itu kepada anak-anak saya akan menerima balasannya nanti.

Saya berjanji akan menjaga anak-anak dengan baik dan memberi kasih sayang kepada mereka sepenuh hati saya. Masa-masa yang terlepas bersama mereka akan saya luangkan semula untuk mereka tanpa rasa jemu.

Terima kasih kepada abang dan kawannya yang membantu saya. Hanya Allah yang membalasnya. Kepada bekas suami, saya harap dia faham kenapa saya tuntut hak saya. Dia kini sudah ada keluarga baharu dan saya harap dia bahagia dengan keluarganya itu.

Tolong jangan ganggu kami lagi. Saya tidak ajar anak-anak membenci ayah mereka. Dia boleh jumpa anaknya bila-bila masa dia suka. Saya yakin, kasih sayang anak kepada ayahnya tidak pernah luput. Mereka tetap anak dia juga sampai bila-bila.

Sebagai ibu saya telah mendapat apa yang saya inginkan. Anak adalah harta yang tidak ada tandingannya dengan apa juga di dunia ini. Ramadan kali ini amat bermakna buat saya. Begitu juga, inilah Aidilfitri paling indah dalam hidup saya kerana anak-anak ada bersama.

Moga Allah beri saya kekuatan dan semangat untuk membesarkan mereka menjadi insan berguna dan memberkati hidup kami di dunia dan akhirat," begitu tenang Tina menamatkan ceritanya dengan air mata yang berlinangan di pipi.

Saya turut kagum dengan kekuatan dan kesabaran Tina menunggu kepulangan anaknya. Betapa rindu yang ditanggungnya hanya dia yang tahu. Jarang ditemui wanita sehebat Tina yang sanggup berpisah bertahun-tahun dengan anak kerana akur dengan perintah mahkamah walaupun bekas suami telah menganiayanya.

Apa pun kuasa Allah tiada siapa menjangka. Manusia hanya mampu merancang, Allah jua yang jadi penentu.

Pesanan saya kepada pasangan suami isteri yang mungkin menghadapi situasi yang sama dengan Tina harap bertindak bijak apabila berdepan dengan masalah khasnya yang berkaitan dengan masa depan anak-anak.

Doa saya mengiringi kebahagiaan buat Tina dan anak-anaknya dalam perjuangan hidup yang masih panjang ini.

Mengundur diri, sepatah pesanan dari saya, kesedihan apabila diisi dengan rasa sabar dan tabah akan membuahkan kebahagiaan di penghujungnya.

Salam

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Denggi: Melonjak lebih 100%

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

Muji Salimon (tiga dari kiri) mengetuai Program Gotong-Royong Perdana Denggi Peringkat Daerah Pontian di Taman Kota Emas, Pontian, Johor, baru-baru ini. Turut kelihatan, Dr. Norashikin Mahadan (dua dari kiri).

PONTIAN 11 Julai - Sebanyak 44 kes penyakit denggi dilaporkan berlaku di daerah Pontian bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 21 kes dalam tempoh sama pada 2012 lalu iaitu peningkatan sebanyak 105.6 peratus.

Pegawai Kesihatan Kanan Pejabat Kesihatan Pontian, Dr. Norashikin Mahadan berkata, sebanyak 85 peratus daripada kes tersebut berpunca daripada pembiakan nyamuk aedes di luar premis melibatkan beberapa lokasi seperti di Lorong Pisang, Lorong Nipah, Lorong Manggis, Lorong Kemang, Lorong Mengkudu, Lorong Ciku dan Lorong Kenanga.

"Beberapa tindakan diambil bagi membendung pembiakan aedes dengan mengedarkan risalah dan maklumat kepada penduduk, penyemburan asap dan lawatan susulan. Walaupun tiada kematian dilaporkan, peningkatan kes yang tinggi memerlukan langkah-langkah yang segera agar tidak menjadi ancaman kepada orang ramai.

"Unit Vektor dari Pejabat Kesihatan Pontian turut menganjurkan pelbagai program kesedaran dan bertemu penduduk dari semasa ke semasa. Kami berharap orang ramai mengambil langkah yang perlu bagi membantu mengurangkan kes jangkitan denggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Gotong-Royong Perdana Denggi Peringkat Daerah di Taman Kota Emas, di sini baru-baru ini.

Program yang disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon itu turut dihadiri Pentadbir Tanah Daerah Pontian, Abd. Rahman Salleh; Yang DiPertua Majlis Daerah Pontian, Miswan Yunos dan Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Supritendan, Jokhiri Abd. Aziz.

Gotong-royong tersebut mendapat kerjasama yang baik melalui penyertaan kira-kira 500 kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, jawatankuasa penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan sukarelawan lain.

Menurut Norashikin, jabatan serta agensi kerajaan juga dapat memainkan peranan masing-masing dalam membendung pembiakan aedes dengan menggalakkan kakitangan mereka mengambil langkah pencegahan membunuh jentik-jentik di rumah dan menjaga kebersihan.

"Tanggungjawab bagi memerangi denggi adalah tanggungjawab semua pihak memandangkan statistik yang berlaku di setiap daerah akan menyumbang kepada laporan jumlah penyakit denggi di peringkat negeri," katanya.

12 premis dikompaunRM6,000'biak' aedes

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

JOHOR BAHRU 11 Julai - Sebanyak 12 kompaun berjumlah RM6,000 dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan negeri menerusi Ops Gempur di tiga kawasan tumpuan di sekitar bandar raya ini pada Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Fatimah Othman berkata, kompaun itu dikeluarkan selepas kediaman penghuni di lokasi operasi di Taman Cempaka dan Taman Melor serta Kota Masai, Pasir Gudang didapati positif pembiakan aedes.

"Sebanyak 3,615 rumah kediaman, premis perniagaan dan surau telah diperiksa dan 12 daripadanya yang didapati positif pembiakan aedes telah dikenakan tindakan kompaun RM500 bagi setiap kediaman.

"Sebanyak 19 penduduk yang demam turut dinasihat dan dirujuk ke klinik kesihatan berhampiran sebagai langkah pencegahan awal denggi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Fatimah, sebanyak 2,507 bekas takungan air yang didapati berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes turut dimusnahkan.

"Operasi ini dilaksanakan berikutan kes denggi di Kelantan meningkat hampir 100 peratus tahun ini berbanding 2012.

"Ini bukan sekadar untuk mendenda mereka yang didapati tidak menjaga kebersihan sehingga kediaman atau premis perniagaan menjadi tempat pembiakan aedes, sebaliknya kita mahu mendidik dan menyedarkan mereka tentang bahaya denggi kepada diri serta keluarga mereka," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved