Jumaat, 12 Julai 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Manipulasi harga punca harga ayam naik

Posted: 12 Jul 2013 02:45 AM PDT

PUTRAJAYA 12 Julai - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak menolak kemungkinan berlaku manipulasi harga oleh peruncit yang menyebabkan harga ayam naik secara mendadak sehingga RM9 sekilogram sekarang.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana semakan harga di ladang oleh pihaknya menunjukkan harga tidak banyak berubah iaitu sekitar RM5 sekilogram, manakala bekalan di pasaran pula mencukupi.

"Tapi yang saya dengar harga ayam telah naik sehingga RM8.50 ke RM9 dan saya khuatir ada pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, harga siling di pasaran yang ditetapkan kementerian masih pada RM7.80 bagi setiap kilogram.

Beliau diminta mengulas kenaikan harga ayam yang dikesan berlaku secara mendadak di kebanyakan negeri dalam tempoh dua minggu ini.

Katanya, permintaan terhadap ayam pada hari-hari biasa ialah 1.2 juta ekor namun meningkat kepada 2.2 hingga 2.4 juta ekor sehari pada bulan Ramadan sehingga sambutan Aidilfitri.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan telah membuka permit import ayam bulat bagi menangani isu itu dan secara teorinya lambakan ayam di pasaran akan menurunkan harga barang berkenaan.

Dua bulan lepas memang berlaku peningkatan permintaan terhadap ayam tempatan apabila China menghentikan eksport poltri susulan penularan wabak H7N9, namun wabak telah berakhir dan pengimport kembali membawa masuk ayam dari negara itu, katanya.

Sidang media itu diadakan bagi menghebahkan Tekun Nasional memenangi Anugerah 'Best Innovation in Financial Services' pada satu majlis di Karlsruhe, Jerman. -BERNAMA

Harga naik, pengguna diajak boikot ayam!

Posted: 12 Jul 2013 01:53 AM PDT

KUALA LUMPUR 12 Julai - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mengajak pengguna memboikot ayam buat sementara waktu, susulan kenaikan mendadak harga barang keperluan itu sejak dua minggu lepas.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan itu mampu mengatasi masalah kenaikan harga kerana pembekal terpaksa menurunkan semula harga jika tiada permintaan.

"Kita sudah mendengar masalah kenaikan harga ini berulang kali sejak beberapa tahun lalu... kali ini kita harap pengguna mengambil langkah bijak untuk mengatasi masalah yang sama dengan tidak membeli ayam dalam tempoh tiga hingga empat hari," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu bertindak segera bagi membendung kenaikan harga ayam di pasaran yang sering berlaku ketika Ramadan dan kenaikan kali ini dijangka berlanjutan sehingga Aidifitri.

Kenaikan harga ayam yang meningkat secara mendadak melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM6.80 sekilogram, menyebabkan pengguna bimbang terpaksa menanggung kos lebih tinggi pada masa akan datang.

Tinjauan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mendapati pasar raya masih menjual ayam pada harga yang berpatutan iaitu sekitar RM7.50 sekilogram.

Bagaimanapun harga ayam yang dijual di pasar tani jauh lebih tinggi iaitu antara RM8.50 dan RM9 sekilogram.

Seorang suri rumah, Siti Rohani Yaakob, 47 menyokong cadangan PPIM agar pengguna memboikot barangan yang harganya naik secara mendadak.

"Harga ayam kerap meningkat terutama di sekitar pasar-pasar tani apabila tiba musim perayaan. Saya harap kerajaan ambil tindakan serius dalam mengawal harga barangan bukan hanya pada musim perayaan tetapi secara berterusan untuk menjamin kebajikan rakyat," katanya.

Ibu kepada lapan anak, Rogayah Ahmad, 64, pula berkata, beliau menyedari peningkatan harga barang mentah terutama ayam pada setiap tahun, tetapi tetap membelinya bagi memenuhi keperluan keluarga.

"Saya terpaksa berbelanja lebih untuk membeli ayam kerana mempunyai ahli keluarga yang ramai, jika harga terus meningkat ia akan memberi kesan kepada kami sekeluarga," katanya.

Pesara polis, Abdul Aziz Yusuf, 64 berkata, beliau mula menyedari harga barang naik sejak April lalu namun tidak menyangka harga barangan naik mendadak sehingga RM9 sekilogram pada bulan Ramadan ini.

Beliau berharap kerajaan dapat mengawal situasi itu dan memastikan harga kembali kepada asal dalam masa terdekat. - BERNAMA

Syarikat Malaysia suspek bakar hutan di Riau

Posted: 12 Jul 2013 01:13 AM PDT

JAKARTA 12 Julai - Polis Nasional Indonesia menamakan satu subsidiari kepada sebuah syarikat Malaysia sebagai suspek pembakaran hutan bagi pembukaan tanah untuk perladangan di Riau.

Jurucakap Polis Nasional, Ronny F. Sompie berkata, syarikat itu didakwa melakukan amalan pembakaran secara tidak bertanggungjawab di kawasan konsesinya di Riau.

"Syarikat itu bertanggungjawab atas pembakaran itu dan diisytiharkan sebagai suspek, tetapi kami belum mengenal pasti pekerja syarikat yang bertnggungjawab melakukan pembakaran itu," beliau dipetik sebagai berkata oleh sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris, The Jakarta Post, hari ini.

Beliau berkata, polis mengesan beberapa tompokan panas di kawasan yang dikawal lima syarikat tetapi hanya mendapat bukti yang mencukupi mengenai pembabitan anak syarikat kepada sebuah syarikat Malaysia berhubung kaedah tebang dan bakar yang digunakan bagi membuka tanah untuk perladangan.

Sementara itu, Persatuan Pelabur Perladangan Malaysia di Indonesia (Apimi) menafikan sebarang pembabitan syarikat-syarikat Malaysia dalam pembakaran hutan di Indonesia.

Setiausaha Ekskekutif Apimi, Nor Hazlan Abdul Mutalib berkata, persatuan itu akan mengeluarkan satu kenyataan tidak lama lagi sebagai menjawab dakwaan terbaharu pihak berkuasa Indonesia berhubung perkara itu.

The Jakarta Post juga memetik jurucakap polis Riau, Hermansyah sebagai berkata, bahawa polis juga menyoal siasat 16 saksi yang terdiri daripada pekerja lapangan sehingga pekerja di peringkat pengurusan anak syarikat yang mempunyai kaitan dengan syarikat Malaysia.

"Tiada yang dinamakan sebagai pelaku pembakaran di kawasan konsesi syarikat... kami tidak mahu terburu-buru menamakan pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Kegiatan tebang dan bakar pada Jun menyebabkan jerebu yang teruk menyelubungi Malaysia dan Singapura selain menjejaskan rakyat Indonesia yang tinggal berdekatan kawasan pembakaran di Sumatera.

Ia juga mendorong Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved