Jumaat, 12 Julai 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Serasi bersama kunci bahagia

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

NUR Ain Aili Abdullah bersama suami tercinta, Ahmad Rushdan Abdul Manan dan anak mereka, Ahmad Izzat Immil.

DIIJABKABULKAN pada 8 Februari 2002, Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Sarawak, Nur Ain Aili Abdullah, 38, mengakui kehidupan rumah tangganya amat bahagia bersama suami tercinta, jurufoto kanan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Ahmad Rushdan Abdul Manan, 43.

Walaupun masing-masing sibuk dengan kerjaya, namun pasangan ini lebih senang menghabiskan masa bersama. Malah kedua-duanya beruntung kerana mempunyai hobi yang sama iaitu melancong.

Pasangan ini mengakui sebelum bertemu, mereka pernah gagal dalam percintaan, namun pengalaman pahit itu tidak membuatkan mereka serik, sebaliknya dijadikan panduan dalam perjalanan mencari pasangan hidup.

Mengimbas detik-detik pertemuan kira-kira 12 tahun lalu, wanita berketurunan Bidayuh yang mesra dengan panggilan Nur Ain ini memberitahu, pertemuannya dengan Ahmad Rushdan ketika itu tidak dirancang.

Ketika itu, saya bertugas sebagai wartawan di sebuah akhbar di negeri ini dan dia menyedari kehadiran saya semasa saya berjumpa dengan seorang rakan di pejabatnya.

Tetapi siapa sangka, memang telah tertulis bahawa dia jodoh saya, sedangkan ketika itu saya belum memeluk agama Islam," katanya kepada S2 baru-baru ini.

Sementara itu, Ahmad Rushdan memberitahu dia seolah-olah terpukau dengan kecantikan dan kelembutan Nur Ain ketika kali pertama bertemu walaupun mengetahui mereka berbeza agama dan budaya.

Katanya, ingatannya terhadap Nur Ain semakin kuat dan rasa itu semakin bertambah apabila mendapat tahu wanita pujaannya itu memeluk Islam ketika melanjutkan pengajian di sebuah universiti.

Sejujurnya saya memang sudah jatuh cinta dengannya dan apabila mengetahui Nur Ain memeluk Islam, rasa cinta itu semakin bertambah.

Saya kemudian meminta kawan kami memperkenalkan saya kepada Nur Ain dan selepas bertukar-tukar nombor telefon, hubungan kami semakin rapat," katanya.

Tambah Ahmad Rushdan, dia yakin bahawa Nur Ain adalah jodohnya selepas mendapat restu daripada orang tua masing-masing dan dalam tempoh lima bulan, mereka mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang.

Katanya, walaupun perkenalan mereka singkat tetapi mereka bahagia dan kebahagiaan itu bertambah dengan kehadiran seorang cahaya mata, Ahmad Izzat Immil Ahmad Rushdan, 10.

Apabila diajukan soalan, pernahkah beliau sebagai suami berasa janggal mempunyai isteri yang berpangkat besar, pantas Ahmad Rushdan memberitahu:

Nur Ain selalu mengingatkan saya walau siapa pun dirinya, saya tetap suaminya, ayah kepada anak kami dan ketua keluarga.

Biarpun kedudukan saya lebih rendah dari segi tahap pendidikan dan pendapatan tidak sebesar dia, namun saya masih memegang tanggungjawab utama dalam keluarga," katanya.

Tambah Nur Ain, keserasian dan saling bertolak ansur menjadi formula penting antara dia dan suami biarpun menyedari dirinya lebih berpangkat. Beliau menegaskan Ahmad Rushdan tetap berperanan penting dalam urusan rumah tangga.

Saya selalu mengingatkan diri saya bahawa segala yang berlaku di pejabat tidak akan dibawa balik ke rumah.

Di pejabat, saya boleh memberi arahan kepada kakitangan bawah, tetapi apabila pulang ke rumah, saya akan bertukar personaliti menjadi isteri yang patuh pada suami," katanya.

Jelasnya, banyak lagi cabaran yang perlu mereka hadapi seperti jadual kerja yang padat dan tanggungjawab terhadap anak.

Katanya, perkahwinan mereka pernah diuji ketika awal-awal mendirikan rumah tangga apabila suaminya menerima arahan bertugas di Kuala Lumpur.

Saya sebagai isteri sudah tentu akan mengikutnya ke mana sahaja walaupun ketika itu saya baru tamat belajar dan kami pun masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

Pada mulanya, kami menyangka akan berada di Kuala Lumpur untuk tempoh yang singkat tetapi rancangan Allah itu tiada siapa boleh menduga apabila kerjaya kami berkembang sehingga menetap di sana selama 11 tahun," katanya.

Ujarnya, oleh kerana jadual kerjanya dan suami berbeza, Nur Ain mengambil pendekatan berbincang dengan suaminya dan belajar untuk menghadapi sebarang kemungkinan bersama.

Berikutan jauh dari ibu bapa dan ahli keluarga lain, kehidupan kami sebagai suami isteri berubah kerana tanggungjawab perlu dipikul sendiri. Selain hal kerja yang perlu difikirkan, kami juga fikirkan tentang anak.

Pernah masing-masing menyuarakan hasrat ingin berhenti kerja kerana terlalu tertekan menguruskan rumah tangga tetapi semua itu hanya sementara selepas memikirkan masa depan anak," katanya.

Ditanya bagaimanakah pasangan ini menyelesaikan masalah dalam rumah tangga, kata Ahmad Rushdan, tipulah kalau dikatakan tiada masalah.

Katanya, semua rumah tangga pasti akan berhadapan masalah, namun setiap pasangan mesti bijak menyelesaikannya dan sebagai suami jangan sesekali ego untuk mengakui kesilapan serta meminta maaf daripada isteri.

Pernah juga apabila bergaduh, saya tidak bercakap sehari dengan Nur Ain, namun saya rasa saya tidak boleh buat macam itu. Buat apa menyimpan dendam, nanti lama-lama ia meletus dan menjadi besar.

Sebenarnya setiap kali selepas bergaduh, hubungan kami menjadi bertambah erat. Ia membuatkan rumah tangga kami semakin kukuh. Jadi, saya dan Nur Ain tidak pernah berputus asa dalam mencari reda Allah sepanjang melayari bahtera rumah tangga," katanya.

Kasihan anak-anak, rindukan saya

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

KASIH sayang seorang ibu kepada anak tidak pernah surut malah sentiasa mekar dari sehari ke sehari. Sakit demam si anak, ibu dapat merasakannya walaupun jauh dari mata.

Kebahagiaan rumah tangga mendekatkan anak-anak dengan ibu bapa, disulami dengan rasa kasih sayang yang melimpah ruah.

Namun, apa jadi sekiranya rumah tangga yang dibina hancur, suami isteri berpisah dan anak-anak turut terbabit dalam dilema perasaan ibu dan bapa kandung mereka.

Bagaimana kehidupan anak-anak apabila mendapat tahu ibu dan ayah tidak lagi boleh tinggal sebumbung dan salah seorang perlu tinggalkan rumah.

Siapa yang perlu ikut ibu dan siapa pula yang harus ikut ayah? Semua ini akan bertukar menjadi masalah besar jika tidak ditangani dengan berhemah.

Sebarang tindakan hendaklah ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung pula tidak berselerak.

Inilah kisah yang ingin saya paparkan buat tatapan pembaca minggu ini. Suatu kisah realiti yang boleh dijadikan teladan kepada suami isteri sekiranya ditakdirkan istana yang mereka bina musnah.

Yang penting anak-anak perlu diberi kasih sayang sama seperti mana ketika ibu bapa masih hidup di bawah satu bumbung.

Kita selami kisah ini yang diceritakan sendiri oleh Tina dalam pertemuan kami baru-baru ini.

Begini ceritanya.

Nama saya Tina (bukan nama sebenar) berusia lewat 30-an, dan bekerja sebagai pegawai di sebuah syarikat insurans. Saya mempunyai sepasang anak, lelaki berusia 15 tahun dan perempuan, 17 tahun.

Kedua-duanya masih bersekolah. Malangnya rumah tangga yang saya bina musnah kira-kira 10 tahun lalu ketika anak-anak masih kecil. Saya cuba pertahankan rumah tangga demi anak-anak tetapi gagal disebabkan suami, Aidil (bukan nama sebenar) tidak memberi sokongan kepada usaha saya.

Puncanya dia ada orang lain. Saya akur dengan kehendak hatinya sebab saya tidak mahu bermadu. Kami bercerai secara baik tetapi malangnya suami mendapat hak penjagaan ke atas anak-anak kerana anak-anak mahu mengikut bapa mereka apabila ditanya oleh hakim sewaktu perbicaraan.

Saya sendiri tidak tahu kenapa anak-anak memilih untuk mengikut ayah mereka. Tapi saya akur dengan keputusan mahkamah. Saya tidak pernah membuat rayuan sebab yakin kedua-dua anak saya akan hidup senang di bawah jagaan bekas suami yang memang boleh memberi mereka kemewahan.

Setahun selepas bercerai, saya masih dapat berjumpa anak-anak seperti arahan mahkamah. Begitulah sehingga masuk tahun kedua. Keadaan berubah apabila suami mendapat kerja di luar negara lima tahun selepas kami bercerai.

Dia membawa bersama kedua-dua anak kami walaupun saya berusaha membuat rayuan agar diberi hak penjagaan sepanjang tempoh bekas suami ke luar negara. Sayangnya bekas suami menghalang.

Akhirnya saya terpaksa berpisah dengan anak-anak sehingga mereka kembali ke tanah air lima tahun kemudian. Bayangkan bagaimana rindunya saya terhadap mereka. Sepanjang mereka di luar negara, saya langsung tidak dapat bersama mereka. Bekas suami tidak pernah balik ke Malaysia, mungkin sebab tidak mahu anak-anak berjumpa saya.

Perbuatannya itu menjadikan saya sangat sedih. Saya amat kesal dengan sikapnya itu. Apabila mendapat khabar mereka telah kembali ke tanah air, saya menghubungi bekas mentua mohon bantuan untuk berjumpa anak-anak.

Malangnya bekas mentua tidak dapat menolong dengan alasan saya perlu usaha sendiri jika mahu berjumpa anak-anak. Saya amat sedih dan keliru dengan sikap mereka. Menyokong anak tidak bertempat.

Satu hari melalui seorang teman lama bekas suami yang rapat dengan saya, saya berjaya berjumpa anak-anak di sekolah mereka. Gembiranya saya hanya Allah yang tahu. Saya menangis apabila kedua-duanya memeluk dan bertanya kenapa saya tinggalkan mereka. Alhamdulillah anak-anak masih ingatkan saya.

Saya jadi pelik kenapa anak-anak bertanya soalan itu kepada saya sedangkan sepatutnya mereka gembira tinggal bersama ayah mereka. Akhirnya rahsia terbongkar. Anak-anak saya berada dalam ketakutan bersama ayah dan ibu tiri mereka.

Ibu tiri mereka sangat garang dan cerewet, mereka tidak dilayan dengan baik. Namun disebabkan takut kepada ayah, mereka tahan juga... kasihan anak-anak saya. Tak sangka pula begitu jadinya.

Patut bekas mentua saya cakap begitu, kerana dia juga tidak serasi dengan menantu baharunya itu. Barulah saya tahu perkara sebenar. Saya sangat sedih dan berharap untuk mendapatkan semula anak-anak saya.

Dengan bantuan abang kandung saya, saya ditemukan dengan kawan baiknya seorang peguam. Saya failkan di mahkamah tuntutan ke atas anak dengan alasan yang saya peroleh daripada anak-anak. Mereka juga memberi sokongan kepada saya kerana tidak mahu lagi tinggal bersama ayah mereka.

Alhamdulillah selama tiga bulan saya naik turun mahkamah, akhirnya kes memihak kepada saya.

Saya menang mudah kerana sepanjang 10 tahun saya tidak diberi peluang berjumpa dengan anak-anak seperti mana mahkamah telah arahkan. Suami menghalang saya untuk berjumpa mereka setelah kembali ke tanah air.

Saya amat bersyukur dengan apa yang berlaku. Ketika menyerahkan anak-anak kepada saya, wajah bekas suami amat menakutkan. Tapi saya reda apa sahaja yang dia hendak katakan terhadap saya. Yang penting anak-anak kini bersama saya.

Mereka telah menceritakan semuanya kepada saya, kebanyakannya cerita sedih. Saya amat menyesal kerana tidak menuntut hak menjaga mereka dulu. Tetapi semuanya kini telah berakhir. Saya harap anak-anak tidak lagi takut untuk meneruskan kehidupan mereka.

Apa yang berlaku saya simpan dalam hati untuk teladan. Kalau orang kata ibu tiri zaman ini tidak seperti ibu tiri dulu, mungkin kita salah sebab masih wujud kekejaman ibu tiri walaupun kesnya terpencil.

Tidak guna saya ceritakan kekejaman apa yang dimaksudkan tetapi saya harap orang yang melakukan kekejaman itu kepada anak-anak saya akan menerima balasannya nanti.

Saya berjanji akan menjaga anak-anak dengan baik dan memberi kasih sayang kepada mereka sepenuh hati saya. Masa-masa yang terlepas bersama mereka akan saya luangkan semula untuk mereka tanpa rasa jemu.

Terima kasih kepada abang dan kawannya yang membantu saya. Hanya Allah yang membalasnya. Kepada bekas suami, saya harap dia faham kenapa saya tuntut hak saya. Dia kini sudah ada keluarga baharu dan saya harap dia bahagia dengan keluarganya itu.

Tolong jangan ganggu kami lagi. Saya tidak ajar anak-anak membenci ayah mereka. Dia boleh jumpa anaknya bila-bila masa dia suka. Saya yakin, kasih sayang anak kepada ayahnya tidak pernah luput. Mereka tetap anak dia juga sampai bila-bila.

Sebagai ibu saya telah mendapat apa yang saya inginkan. Anak adalah harta yang tidak ada tandingannya dengan apa juga di dunia ini. Ramadan kali ini amat bermakna buat saya. Begitu juga, inilah Aidilfitri paling indah dalam hidup saya kerana anak-anak ada bersama.

Moga Allah beri saya kekuatan dan semangat untuk membesarkan mereka menjadi insan berguna dan memberkati hidup kami di dunia dan akhirat," begitu tenang Tina menamatkan ceritanya dengan air mata yang berlinangan di pipi.

Saya turut kagum dengan kekuatan dan kesabaran Tina menunggu kepulangan anaknya. Betapa rindu yang ditanggungnya hanya dia yang tahu. Jarang ditemui wanita sehebat Tina yang sanggup berpisah bertahun-tahun dengan anak kerana akur dengan perintah mahkamah walaupun bekas suami telah menganiayanya.

Apa pun kuasa Allah tiada siapa menjangka. Manusia hanya mampu merancang, Allah jua yang jadi penentu.

Pesanan saya kepada pasangan suami isteri yang mungkin menghadapi situasi yang sama dengan Tina harap bertindak bijak apabila berdepan dengan masalah khasnya yang berkaitan dengan masa depan anak-anak.

Doa saya mengiringi kebahagiaan buat Tina dan anak-anaknya dalam perjuangan hidup yang masih panjang ini.

Mengundur diri, sepatah pesanan dari saya, kesedihan apabila diisi dengan rasa sabar dan tabah akan membuahkan kebahagiaan di penghujungnya.

Salam

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved