Jumaat, 31 Mei 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


FAM sangkal dakwaan PBNJ

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyangkal keras dakwaan bahawa badan itu bersikap berat sebelah berhubung isu pengagihan tiket perlawanan ulangan separuh akhir Piala FA, Pahang menentang Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Badan induk tersebut menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam memberitahu, FAM hanya bertanggungjawab terhadap urusan pengelolaan teknikal sahaja manakala hal berkaitan pengagihan tiket, penetapan harga tiket, dan peruntukan tiket untuk pasukan pelawat adalah dalam bidang kuasa pasukan tuan rumah iaitu Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Dalam kenyataan itu, FAM turut memperjelaskan bahawa keputusan pengagihan tiket telah dilaksanakan selaras dengan Perkara 3.8.1 Peraturan Liga Malaysia 2013-2016 dan Perkara 5 Peraturan Keselamatan FAM.

Tambah FAM, peruntukan 60,000 tiket untuk PBNP dan 20,000 tiket yang boleh dibeli oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah dengan persetujuan PBNP selaku tuan rumah.

"Melalui Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan pada Rabu lalu telah memutuskan bahawa perlawanan separuh akhir Piala FA 28 Mei di Stadium Darulmakmur Kuantan, Pahang hendaklah dimainkan semula di gelanggang berkecuali iaitu di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 1 Jun 2013.

"FAM akan mengelolakan perlawanan tersebut dengan bantuan PBNP selaku tuan rumah dan sebagai tuan rumah PBNP mempunyai hak ke atas semua aspek pengelolaan perlawanan.

"Malah, semasa keputusan tersebut dibuat wakil PBNJ turut bersama dalam mesyuarat tersebut," kata FAM menerusi kenyataan tersebut.

Kelmarin, PBNJ menerus satu kenyataan mendesak agar FAM bersikap lebih adil dan telus selaku pentadbir tunggal sukan bola sepak negara.

Selain itu, PBNJ turut mendakwa FAM sebagai berat sebelah dalam beberapa aspek bagi menangani kemelut perlawanan separuh akhir kedua Piala FA Pahang menentang Johor Darul Takzim.

Sementara itu, FAM berharap kenyataan tersebut dapat memberikan gambaran sebenar berhubung kemelut yang melanda ketika ini.

Menteri tegur PBNP, pesuruhjaya perlawanan separuh akhir Piala FA

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

KUALA LUMPUR - ''Sebagai menteri saya berasa amat kecewa'' itulah luahan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengenai kekecohan yang berlaku Selasa lalu yang menyebabkan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (DT) ditunda dan dilangsungkan semula hari ini.

Khairy bukan sahaja berasa kecewa, malah tidak teragak-agak mempersalahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan pesuruhjaya perlawanan ketika itu yang gagal bertindak dengan baik sehingga menyebabkan perlawanan ditunda.

"Ini bukan soal malu tetapi soal keselamatan, kerana ada penonton yang datang malam itu membawa anak (kanak-kanak) mereka saya tidak mahu tragedi Hillsborough dan Heysel berulang dan berlaku di Malaysia.

''Kedua-dua tragedi tersebut berlaku kerana kawalan penonton yang tidak memuaskan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan Lawatan Rasmi Pertama di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, semalam.

Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA Pahang menentang Johor DT di Stadium Darul Makmur Selasa lalu terpaksa dibatalkan gara-gara limpahan penonton yang akhirnya mengheret kepada senario kekecohan.

Perlawanan yang sepatutnya bermula pada pukul 8.45 malam itu terpaksa ditangguhkan selama lebih sejam kerana berlaku limpahan penonton memasuki stadium iaitu kira-kira 40,000 orang.

"Perkara ini perlu diambil serius soal hukuman sekarang ini terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun ada pula yang mempersoalkan ia tidak cukup. Ia juga perlu adil kerana Pahang didenda RM100,000 tetapi sekarang mereka akan mengadakan perlawanan ulangan di stadium yang lebih besar.

"Sebagai tuan rumah sudah tentu mereka akan mengutip hasil jualan tiket, saya cadangkan kepada FAM kutipan hasil tiket tuan rumah tidak boleh melebihi kapasiti stadium, saya tidak tahu di mana keadilan di situ," katanya.

Khairy menegaskan, apa yang berlaku adalah kesalahan yang amat besar dilakukan oleh PBNP dan Pesuruhjaya Perlawanan kerana melibatkan penonton dan pemain.

"Ramai yang memberitahu kepada saya mereka ada cita-cita hendak bida Piala Dunia 2034 tetapi gagal mengendalikan perlawanan separuh akhir Piala FA, selepas denda kembali memberi reaksi normal semula.

"Sudah tentu saya salahkan Pesuruhjaya Perlawanan kerana dia perlu menyelaraskan semua perkara termasuk isu keselamatan dan penjualan tiket. Kita tertanya-tanya adakah penjualan tiket melebihi kapasiti stadium kalau betul kena tahu apa puncanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Aimi sesak nafas sebelum ajal

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com

Mohamad Sahak (dua dari kiri) dan isterinya, Maimunah Ismail (dua kanan) tidak dapat menahan sedih sambil ditenteramkan ahli keluarga dan anaknya, Abu Suffian Mohammad (tengah) sebaik sahaja keluar dari bilik mayat untuk menuntut jenazah anak perempuannya, Aimi Hamizah Mohamad (gambar kecil) di Hospital Melaka, semalam.

MELAKA 31 Mei - Remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditemui mati dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek di sini kelmarin dipercayai mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia.

Aimi Hamizah Mohamad ditemui mati oleh sekumpulan remaja kampung yang bermain bola sepak di kawasan lapang berhampiran lokasi kejadian pada pukul 7 malam.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah negeri, Supritendan R. Gunarajan berkata, remaja itu dikatakan tidak pulang ke rumah selepas tamat kelas mengaji al-Quran pada pukul 7.40 malam Isnin lalu ditinggalkan oleh seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dipercayai kekasihnya di kawasan itu selepas gagal memberi bantuan kecemasan.

Susulan penemuan mayat Aimi Hamizah kelmarin, remaja lelaki yang ditahan pada pukul 3.30 petang semalam telah diambil keterangan dan direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

"Menurut keterangan remaja lelaki itu, dia dan Aimi Hamizah pergi ke kawasan itu menaiki sebuah motosikal milik keluarganya kira-kira pukul 9 malam.

"Remaja lelaki itu mendakwa, rakannya itu mengalami sesak nafas dan dia cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) tetapi gagal menyelamatkannya.

"Akibat panik, dia kemudian meninggalkan rakannya bersendirian di kawasan kejadian," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan, remaja perempuan itu ditemui terlentang atas sekeping papan lapis dan masih lengkap berpakaian baju kurung warna merah jambu ketika keluar rumah pada hari kehilangannya.

Menurut Gunarajan, siasatan awal mendapati, tiada sebarang kesan kecederaan malah barang kemas yang dipakai masih ada di tubuh remaja itu.

Katanya, berikutan tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa termasuk kesan rogol, polis percaya bahawa remaja perempuan itu pergi ke kawasan itu secara sukarela.

Polis turut menemui sebuah beg mengandungi dua buku dan sebuah telefon bimbit dipercayai milik remaja perempuan itu yang ditinggalkan di sebuah surau berhampiran.

Bagaimanapun, Gunarajan berkata, bedah siasat yang dijalankan pagi ini gagal mengesan punca sebenar kematian Aimi Hamizah berikutan keadaan mayat yang membusuk dan mula mereput.

Katanya, polis akan menyiapkan kertas siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Serang pembantu khas diraja: Dua warga Malaysia ditahan

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

ALOR SETAR 31 Mei - Polis Thailand menahan dua lelaki Malaysia bagi membantu siasatan kes samun dan mencederakan pembantu khas Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah dalam kejadian di sebuah resort lima bintang di Phuket pada Rabu lalu.

Lelaki berusia lingkungan 40-an terbabit ditahan bersama tiga lagi individu yang mana dua daripadanya merupakan isteri mereka dan seorang lagi lelaki warga tempatan kira-kira pukul 3 petang di pekan sempadan Danok berhampiran Bukit Kayu Hitam semalam.

Pegawai Penyiasat Kanan Polis Daerah Sadao, Mejar Phaiphana Phetyen berkata, bertindak atas maklumat rakan sejawat mereka di Phuket, sepasukan polis menyerbu sebuah hotel dan menahan salah seorang lelaki warga tempatan di Pekan Danok.

"Susulan tangkapan itu, polis kemudian melancarkan gerakan dan menahan empat lagi individu terdiri daripada dua lelaki warga Malaysia dan masing-masing dua wanita warga Thailand dipercayai isteri kepada suspek terbabit.

"Polis turut menemukan wang tunai 14,000 Baht (RM1,432) dan wang Malaysia berjumlah RM500 serta sebuah kereta Honda Civic yang dipercayai digunakan suspek untuk melarikan diri selepas menyerang mangsa di Phuket pada 28 Mei lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rabu lalu, pembantu khas terbabit, Mohd. Sobri Said cedera dipukul empat lelaki ketika memasuki bilik kediaman di resort berkenaan kira-kira pukul 10 malam.

Difahamkan, bilik hotel tersebut sepatutnya didiami oleh Tunku Annuar tetapi Mohd. Sobri menyarankan agar menukar bilik dengannya bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Tunku Annuar yang merupakan adinda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berada di Phuket sejak 27 Mei lalu bagi menghadiri persembahan sebuah taman tema. Rombongan berkenaan menempah 10 bilik hotel di Patong Millennium Resort.

Phainapha berkata, berdasarkan siasatan awal, seramai tiga lagi warga Malaysia yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut meloloskan diri melalui Bukit Kayu Hitam awal pagi semalam.

"Motif serangan masih dalam siasatan tetapi polis tidak menolak kemungkinan ada kaitan dengan dendam peribadi antara suspek dengan mangsa," katanya.

Sementara itu, Pengelola Bijaya Diraja dan Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah ketika dihubungi berkata, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan rombongan berangkat pulang dengan pesawat Malaysia Airlines dari Phuket ke KLIA kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

"Baginda juga pulang ke Alor Setar petang ini dan dijadualkan menghadiri majlis jamuan teh sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Kediaman Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, Anak Bukit esok.

"Selain itu, semua ahli rombongan termasuk Mohd. Sobri juga telah pulang dengan selamat ke Alor Setar semalam," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bimbang ancaman gajah liar

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

BEBERAPA penduduk membaiki saluran paip air yang rosak dipercayai dilakukan sekumpulan gajah liar di kawasan tadahan air Sungai Tabong, Kuala Tahan, Pahang, baru-baru ini.

JERANTUT 31 Mei - Penduduk di sekitar Kuala Tahan di sini, bimbang selepas kumpulan gajah liar kerap masuk ke kawasan perkampungan dan kebun mereka ekoran banyak habitatnya musnah dipercayai akibat aktiviti penebangan hutan.

Penduduk, Abdul Jalil Abd. Rahman, 53, berkata, kumpulan gajah berkenaan masuk ke kawasan perkampungan dan kebun penduduk untuk mencari makanan.

Menurutnya, banyak kerosakan berlaku seperti tanaman, papan tanda di bahu jalan dan paip air pecah disebabkan gajah tersebut.

"Kami baru sahaja mengadakan gotong-royong membaiki saluran paip air di kawasan tadahan air Sungai Tabong yang dirosakkan gajah liar itu.

"Kini banyak gajah liar kerap masuk ke kebun penduduk untuk mencari makanan dan jika dibiarkan berterusan, penduduk akan mengalami kerugian kerana banyak tanaman rosak berikutan masalah itu," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Abdul Jalil berkata, selain itu tong tempat pengumpulan getah di ladang turut dimusnahkan dan penduduk juga bimbang menjalankan aktiviti menoreh ekoran ancaman haiwan tersebut.

"Tidak mustahil suatu hari nanti gajah liar ini boleh masuk ke kawasan penempatan penduduk untuk mencari makanan dan perkara tidak diingini boleh berlaku kerana gajah keluar pada waktu malam ketika penduduk lena tidur," katanya.

Sehubungan itu, dia berharap pihak berkuasa terutama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak segera supaya kumpulan haiwan itu dapat dipindahkan ke kawasan lain.

Kerajaan negeri tunai janji bawa masuk pelabur Rusia

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

KUANTAN 31 Mei - Kesediaan dua syarikat farmaseutikal Rusia menjalin usahasama bagi menghasilkan vaksin demam denggi membuktikan kejayaan kerajaan Pahang membawa masuk pelabur ke negeri ini.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap berkata, usaha itu merupakan sebahagian janji dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 sekali gus membuktikan kerajaan negeri menunaikan janji tersebut.

"Kerjasama ini pastinya mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini seterusnya memberi manfaat kepada ekonomi negeri supaya lebih berkembang maju," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pahang Technology Resources Sdn. Bhd. (PTR) yang merupakan syarikat milik kerajaan (GLC) negeri ini bakal menjalin kerjasama dengan dua syarikat farmaseutikal Rusia bagi menghasilkan vaksin demam denggi.

Dua syarikat dari Rusia tersebut adalah Aboilek LLC dan NT Pharma LLC yang terkenal dalam mengeluarkan vaksin generasi baharu dan produk-produk biofarmaseutikal.

Ketua Pegawai Eksekutif PTR, Sazali Mohd. Nor berkata, selain PTR, terdapat dua lagi syarikat dari negara ini terlibat dalam usahasama tersebut iaitu Biopharma Today Sdn. Bhd. dan Medical Today Sdn. Bhd..

Abd. Wahid berkata, pihaknya yakin kerajaan Pahang akan terus menjalankan usaha dan promosi menjadikan negeri ini sebagai salah satu negeri yang menjadi tumpuan pelabur dari dalam dan luar negara.

"Cuma apa yang kita harapkan, kerajaan Pahang turut memberi tumpuan kepada pelabur-pelabur dari dalam negeri ini," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga diharap terus memberi tumpuan kepada sektor lain yang berpotensi dalam memajukan ekonomi seperti pelancongan dan pertanian.

Wakil khas Giatmara bantu lahir lebih ramai usahawan

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

Shahiruddin Ab. Moin

KUANTAN 31 Mei - Pengarah GiatMara negeri, Sallehhoddin Abu Bakar dilantik menganggotai Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri bagi membantu kerajaan negeri melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan belia.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, GiatMara banyak menumpukan soal latihan kemahiran terhadap belia dan telah melahirkan usahawan dalam pelbagai bidang.

"Jadi di atas pengalaman ini saya mencadangkan GiatMara disatukan di peringkat kerajaan negeri iaitu di bawah jawatankuasa saya.

"Kita telah adakan perbincangan di peringkat negeri dan bersetuju melantik wakil khas GiatMara iaitu Sallehhoddin untuk duduk dalam barisan ahli jawatankuasa ini," katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Menurutnya, terdapat sebanyak 41 ahli dalam jawatankuasa itu yang akan mengadakan mesyuarat setiap dua bulan sekali dengan menyusun program dan latihan bagi melahirkan lebih ramai usahawan di Pahang.

"Selain GiatMara, jawatankuasa tersebut turut dianggotai jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Amanah Ikhtiar, Bank Persatuan dan Bank Rakyat.

"Kita telah adakan mesyuarat kali pertama baru-baru ini dan saya minta supaya agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri di bawah jawatankuasa ini membuat pendekatan baharu iaitu mendengar pendapat orang ramai sebelum membuat program," ujarnya.

Katanya, selain itu, beliau juga mahu agensi kerajaan membentuk jalinan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat faedah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Anggota militan dan tentera terbunuh di Pakistan

Posted: 31 May 2013 10:07 AM PDT

ISLAMABAD 1 Jun - Seramai 19 ahli kumpulan militan dan tiga anggota tentera terkorban dalam satu pertempuran di wilayah bergolak di sini semalam.

Pertempuran itu berlaku di kawasan antara daerah suku Kurram dan Khyber di Para Chamkani dan kampung Maidan.

"Semasa pertempuran itu 19 pengganas terbunuh manakala 12 lagi cedera, manakala tiga orang tentera termasuk pegawai dan tiga lagi anggota tentera cedera," kata tentera dalam satu kenyataan di sini semalam. - AGENSI

1,500 sertai demonstrasi di hadapan Bank Negara dan Bank Deutsche

Posted: 31 May 2013 10:03 AM PDT

FRANKFURT 1 Jun - Beribu-ribu orang menyertai siri demonstasi anti-kapitalis di bandar ini yang mensasarkan kawasan bangunan Bank Negara Eropah dan perbankan gergasi Bank Deutsche sebagai kawasan utama di sini, semalam.

Protes selama dua hari itu dirancang oleh gerakan anti kapitalis, Blockupy yang dihadiri oleh 1,500 yang berkumpul di hadapan Bank Negara Eropah walaupun keadaan hujan yang lebat.

Kira-kira 400 penunjuk perasaan itu beralih ke ibu pejabat Bank Deutsche untuk membantah penglibatan pemberian pinjaman terbesar di negara ini. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Warga Maghribi dihukum gantung

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

MOHAMMED Seddiki dijatuhi hukuman gantung atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 6.6 kilogram di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 31 Mei - Seorang jurujual kereta warga Maghribi dihukum gantung manakala dua rakannya, warga Jerman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 6.6 kilogram, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Choong Siew Khin menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Mohammed Seddiki, 27, selepas mendapati pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau bagaimanapun melepas dan membebaskan penghantar surat, Najim Sayed, 27, dan pegawai pemasaran, Yossuf Ezami, 26, daripada tuduhan tersebut selepas mendapati pembelaan kedua-duanya berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Kedua-dua lelaki itu turut diperintahkan dihantar pulang ke negara asal mereka.

Dalam pembelaan Najim dan Yossuf, mereka mendakwa tiada pengetahuan mengenai dadah yang berada di dalam beg yang dibawa oleh mereka kerana Mohammed yang meminta mereka membawa beg itu.

Mohamed dalam keterangannya turut mengakui dia menyuruh rakannya membawa beg tersebut.

Ketiga-tiga mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu di pejabat Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 8.45 pagi, 1 Januari 2012.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Mohammed diwakili peguam bela, T. Suresh, Najim oleh Karpal Singh manakala Yossuf oleh Datuk N. Sivananthan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Rozanna Abd. Hadi.

Sepanjang perbicaraan, tujuh saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Lima artis berjaya halang AGM ke-15 Seniman

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

KUALA LUMPUR 31 Mei - Lima penggiat seni hari ini berjaya dalam permohonan mereka di Mahkamah Tinggi di sini untuk menghalang Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengadakan mesyuarat agung ke-15 persatuan itu di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) esok.

Peguam, Zambri Idrus yang mewakili Seniman dan tujuh lagi defendan memberitahu, Hakim Rosilah Yop memutuskan demikian di kamar hakim ekoran terdapat alasan kukuh untuk perintah injunksi terbabit sehingga kes tersebut selesai.

Pada 22 Mei lalu, lima penggiat seni yang terdiri daripada Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (S. Sahlan), Roslinda Buang (Linda Buang), Mior Ahmad Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani (Sonny Abdullah) telah memfailkan permohonan injunksi selepas persatuan itu mengeluarkan notis mesyuarat pada 14 Mei lalu.

Permohonan itu dikemukakan dengan alasan saman induk masih berjalan di mahkamah dan sebarang keputusan mahkamah akan mempengaruhi sebarang pemilihan yang akan diadakan pada mesyuarat agung tersebut.

Kelima-lima penggiat seni itu selaku pihak plaintif diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud.

Dalam saman yang difailkan pada 25 Januari lalu, pihak plaintif menamakan Seniman dan bekas bekas presidennya, Harun Salim Bachik, Omar Kamarudin @ Yusof Kelana dan Wafa A. Kadir sebagai defendan pertama hingga keempat.

Rozaidi Abdul Jamil yang lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Syean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab) turut disenaraikan sebagai defendan kelima hingga kelapan.

Menurut pernyataan tuntutan, defendan kedua, ketiga dan keempat merupakan Presiden, Setiausaha, Bendahari Seniman bagi sesi 2009/2012 sementara defendan kelima ketika itu Pemangku Timbalan Presiden (kini presiden) manakala defendan keenam pula, salah seorang ahli jawatankuasa persatuan.

Plaintif antaranya menuntut pengisytiharan antaranya mesyuarat agung persatuan tersebut kali ke-14 pada 26 Mei tahun lalu, sebagai terbatal dan tidak sah.

Selain itu, pihak plaintif turut menuntut satu perintah agar RM56,000 dibayar kepada Seniman dalam tempoh sebulan oleh defendan kedua hingga keempat.

Pihak plaintif juga menuntut ganti rugi am serta ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Perbicaraan kes itu akan bermula 2 hingga 4 Oktober ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Anwar yang mungkir janji

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

PENASIHAT Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta satu perjanjian diadakan untuk memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kuasa sekiranya Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kata seorang saksi pertemuan yang diadakan oleh orang tengah dari Indonesia dengan kedua-dua pemimpin itu.

Hamid Awaludin, bekas Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, berkata "oleh kerana tidak terdapat sebarang perkara yang boleh membatalkan perjanjian itu, yang dibuat menjelang PRU-13 atau pada hari pengundian, maka perjanjian berkenaan terus terpakai".

Bagaimanapun, "keadaan berubah apabila Najib diisytihar sebagai pemenang" katanya sambil menjelaskan bahawa Anwar meminta perjanjian itu diadakan kerana beliau "yakin akan mencapai kemenangan pada pilihan raya itu berdasarkan hasil pungutan pendapat yang sering menyebelahinya dan jumlah hadirin pada majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat".

Hamid, yang pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Indonesia ke Rusia dan Belarus dari 2008 hingga 2011, memberitahu Bernama beliau turut hadir pada perbincangan yang diadakan antara bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dengan Anwar dan Najib.

"Jusuf sekadar memenuhi permintaan Anwar supaya beliau menjadi orang tengah. Bukan beliau (Jusuf) yang mengambil daya usaha agar perjanjian itu diadakan atau pergi berjumpa Anwar," katanya.

Laporan media baru-baru ini menyebut Anwar menafikan beliau memungkiri perjanjian damai yang diatur Jusuf dan mendakwa bekas Naib Presiden Indonesia itu menemuinya untuk menawarkan bantuan bagi memastikan urusan selepas PRU-13 berjalan secara teratur.

Bagaimanapun, satu laporan lain pula menyebut Anwar mengaku beliau ada membuat perjanjian dengan Najib, yang menyaksikan Jusuf sebagai orang tengahnya, tetapi mendakwa Barisan Nasional (BN) menjadikan perjanjian itu terbatal berikutan cara parti gabungan itu melancarkan kempennya.

PRU-13 menyaksikan BN, yang diterajui Najib, kembali berkuasa apabila memenangi 133 daripada 222 kerusi parlimen. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Anwar dan Pakatan Rakyat mengadakan perhimpunan di seluruh negara sejak 8 Mei dengan mendakwa berlaku penipuan pilihan raya.

Hamid berkata, Anwar tahu Najib tidak menandatangani perjanjian itu, "tapi Najib memberi jaminan beliau akan mematuhi perjanjian.

Malah, kata Hamid, sehari selepas kemenangan Najib, beliau tetap optimistik perjanjian itu akan terus terpakai dan kedua-dua pihak akan mematuhinya. Tetapi, Anwar memungkirinya," kata beliau.

"Saya rasa Anwar masih tidak dapat menerima hakikat politik," katanya.

Berikut adalah soal jawab dengan Hamid:

Anwar mendakwa Jusuf yang menghubunginya, tapi Jusuf pula berkata Anwarlah yang menghubunginya. Mana yang betul?

Saya hadir pada perbincangan antara Jusuf bersama Anwar dan Najib. Jusuf hanya memenuhi permintaan Anwar agar beliau menjadi orang tengah.

Beliau tidak memulakan daya usaha ke arah itu atau menemui Anwar. Jusuf tidak ada sebarang kepentingan politik dan ekonomi di Malaysia. Beliau sibuk dengan urusannya mengenai Indonesia. Jadi, kenapakah beliau perlu mengambil daya usaha itu dan bertemu dengan Anwar? Ini tidak logik.

Jusuf menganggap Anwar dan Najib sebagai sahabat baiknya. Beliau ingin membantu kerana mereka terlibat dalam satu persaingan yang begitu sengit. Beliau melihatnya begitu.

Anwar mendakwa perjanjian itu mengandungi beberapa prasyarat, contohnya pilihan raya secara bebas dan kebebasan media. Bolehkah anda nyatakan apakah prasyaratnya?

Saya amat pasti tidak terdapat sebarang prasyarat yang dibincang antara Jusuf Kalla dan Anwar. Bagi saya, perjanjian tetap perjanjian dan perjanjian ini dipersetujui kedua-dua pihak - Anwar dan Najib.

Sesetengah orang akan cuba mencari ruang atau alasan untuk tidak mengotakan janjinya. Perangai manusia memang tidak sama.

Sekarang, Anwar mendakwa, oleh kerana Najib tidak menandatangani perjanjian itu, maka ia tidak sah. Jusuf berkata, Perdana Menteri memberi persetujuannya secara lisan dan ini menjadikan perjanjian berkenaan, sah. Siapa yang betul, Anwar atau Jusuf?

Anwar tahu Najib tidak menandatangani perjanjian itu. Najib mempunyai sebab yang amat munasabah dari segi politik untuk tidak menandatangani perjanjian itu dan Anwar memahami serta menerimanya.

Bagaimanapun, Najib berjanji akan mematuhi perjanjian itu. Beliau menerima perjanjian itu. Asas akhlak mengajar kita bahawa perkataan seseorang adalah lebih penting daripada tanda tangannya. Perbuatan juga adalah lebih penting daripada kata-kata. Najib mengotakan janjinya. Beliau menyeru ke arah penyatuan nasional ketika menyampaikan ucapan penerimaan. Tindakan Najib menepati kata-katanya.

Pada hari mengundi, adakah anda rasa perjanjian itu masih terpakai? Adakah berlaku sebarang perkara sebelum hari mengundi, yang boleh menyebabkan perjanjian itu terbatal?

Saya amat pasti tiada sebarang perkara berlaku menjelang hari mengundi atau pada hari mengundi itu sendiri yang menyebabkan perjanjian itu terbatal. Ia terus terpakai.

Keadaan berubah selepas Najib diisytihar sebagai pemenang. Malah, sehari selepas kemenangan Najib, saya masih yakin bahawa janji tetap janji dan kedua-dua pihak akan mematuhinya. Barangkali, Anwar tidak mampu mengurus pengikutnya, terutama kerana DAP memenangi lebih banyak kerusi berbanding parti pimpinannya. Anwar mendapati dirinya berada dalam kedudukan yang menyulitkan.

Tapi, tugas seseorang pemimpin adalah memimpin, bukan dipimpin.

Adakah anda dan Jusuf berpendapat Anwar mengingkari perjanjian itu? Jika demikian, apa alasannya?

Saya rasa Anwar masih tidak dapat menerima hakikat politik. Mungkin ada perkara yang beliau tidak ingin ucapkan kerana beliau tidak mahu melukakan hati orang. Saya tak tahu.

Adakah anda rasa Anwar akan ikhlas menerima penyatuan nasional di Malaysia?

Saya percaya Anwar mempunyai keikhlasan dan masih berharap beliau memilikinya.

Pada pendapat anda , apakah yang membuat Anwar bertindak seperti menafikan wujudnya perjanjian itu, enggan menerima kekalahan dan menganjurkan bantahan di seluruh Malaysia?

Sejak mula lagi, Anwar yakin beliau akan memenangi pilihan raya itu. Setelah berjuang sejak sekian lama, beliau berpendapat inilah kesudahan bagi perjuangan itu. Anwar berpendapat beliau akan memenangi pertarungan itu dan mengalahkan BN.

Keyakinan ini diperkukuhkan lagi oleh tinjauan pendapat yang sering menyebelahinya. Setiap perhimpunan yang Anwar adakan dalam tempoh berkempen juga menarik ramai hadirin. Tetapi, kesudahannya, pilihan rakyat merupakan faktor penentu dalam demokrasi.

Anwar percaya beliau akan memenangi pilihan raya itu dan bimbang Najib akan membantah dan tidak mahu menyerah kuasa. Jadi, beliau mahukan jaminan senario itu tidak berlaku. Inilah sebabnya beliau mencadangkan agar perjanjian itu diadakan. - BERNAMA

Nilai hemah seorang anggota polis dan rakyat Malaysia

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

Oleh Suffian Abu Bakar

KONSTABEL Muhalim Osop, 22, seorang anggota polis berasal dari Beaufort, Sabah tanpa diduga menjadi terkenal setelah beliau menerima anugerah penghargaan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Penghargaan diberikan kepada anggota itu setelah gambar berhemahnya tatkala diberi tekanan seorang penyokong wanita pakatan pembangkang yang berhimpun di Lokap Berpusat Kuala Lumpur di Balai Polis Jinjang, pada 22 Mei lalu menggambarkan sikap profesionalisme seorang bergelar anggota polis.

Dengan wajah yang sabar (meskipun bertugas sejak pukul 7 pagi sehingga ke malam), Muhalim tenang mendengar cacian wanita itu yang dipercayai seorang peguam dengan mulut besar ternganga menuding jari sambil memarahi Muhalim.

Peristiwa itu hanya sekelumit daripada cabaran yang dihadapi oleh seorang anggota polis. Banyak kejadian provokasi lebih besar pernah dialami oleh setiap anggota dan pegawai polis.

Mereka pernah menempuh lebih banyak provokasi, khususnya ketika berhadapan dengan perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran polis seperti Bersih 1, 2 dan 3 dan yang terbaharu himpunan membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) selepas 5 Mei lalu.

Seperti yang diceritakan oleh Muhalim kepada penulis, pengalaman yang ditempuhinya pada 22 Mei lalu di Jinjang tidak sehebat ketika beliau bertugas mengawal penyokong pembangkang yang merusuh pada himpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April 2012.

Bayangkan, seawal pukul 5 pagi saya dan rakan-rakan sudah mengawal kawasan Dataran Merdeka daripada dimasuki kumpulan itu yang bertekad untuk menyerbu masuk kawasan larangan tersebut.

Sepanjang hari itu (Bersih 3.0), kami dilempar dengan kata-kata cacian, malah ada antara rakan setugas yang cedera termasuk kenderaan polis yang diterbalikkan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Sehingga malam saya dan rakan-rakan bertugas namun bagi saya itu semua adalah tugas polis, saya lakukan dengan penuh ikhlas untuk menjaga keselamatan," kata Muhalim yang bertugas di Balai Polis Jinjang.

Meskipun baru dua tahun menceburi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Muhalim ialah antara anggota pasukan keselamatan yang dilatih untuk berhadapan dengan pelbagai bentuk provokasi oleh perusuh.

Mereka diberi latihan supaya tidak bertindak sewenang-wenangnya terhadap kumpulan peserta perhimpunan selagi seseorang peserta itu tidak melanggar batas-batas dalam akta yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Bagi Muhalim, semua yang dihadapi itu adalah rencah kehidupan yang harus dilalui oleh setiap anggota polis.

Saya berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang faham tugas polis. Saya dan kami semua bukannya inginkan nama atau anugerah, tetapi sebagai seseorang yang sudah memegang aku janji memakai pakaian seragam biru, kami harus memartabatkan undang-undang negara secara profesional.

Kepada mereka yang sering menggelarkan polis dengan panggilan yang saya sendiri tidak sanggup untuk menyebutnya, sedarlah bahawa kami menjunjung keamanan negara dan mereka juga perlu menghormati tugas kami sebagaimana kami menjaga keamanan dan kedamaian (bebas daripada kacau bilau)," kata anak bujang ini kepada penulis dengan makna yang penuh tersirat.

Begitulah naluri seorang anggota polis muda yang cekal menjalankan tugasnya walaupun sering berdepan dengan pelbagai cabaran. Muhalim mungkin antara ratusan atau ribuan anggota dan pegawai PDRM yang mempunyai pengalaman pahit seperti di Jinjang.

Namun apa yang menyedihkan apabila berita penganugerahan itu dimanipulasi oleh segelintir pihak.

Seperti kata Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Korporat) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf, beliau kesal kerana terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan kejadian di Jinjang itu malah diselitkan pula dengan fitnah kononnya kumpulan penyokong itu dipukul.

Ada pula pihak yang mendakwa ada peguam wanita yang kena sepak, tetapi polis pula yang dapat penghargaan. PDRM kesal dengan dakwaan itu kerana jika benar berlaku kejadian tersebut, kenapa tiada laporan polis dibuat?. Malah dakwaan itu dikeluarkan oleh seorang individu yang tahu pasal undang-undang," katanya.

Menurut Ramli, sebagai rakyat Malaysia mereka seharusnya cuba mengelak daripada terlibat dalam sebarang bentuk keadaan yang menjurus kepada kekecohan.

Malah katanya, anggota dan pegawai polis hanya menjalankan tugas mereka. Mereka dilatih untuk menangani sebarang bentuk perhimpunan kumpulan dalam jumlah yang ramai dan mereka juga diajar supaya tidak bertindak sesuka hati.

Hanya apabila keadaan sudah tidak dapat dikawal, sama ada wujud pihak yang cuba menimbulkan keadaan di luar ketenteraman awam, makan ketika itu barulah polis boleh bertindak menahan mereka, itu pun dengan kaedah yang mengikut undang-undang.

Nasihat saya cuma satu sahaja, kepada segelintir pihak, janganlah menjadi individu yang mencetus kepada keadaan tidak tenteram atau selamat, kerana sekali mereka bertindak sedemikian, polis terpaksa bertindak," katanya kepada penulis.

Maka kepada rakyat Malaysia sekalian, jadilah warga negara yang hormat dan patuh pada undang-undang kerana sikap yang ditunjuk itu mencerminkan keperibadian kita, seperti mana sikap profesionalisme dan sabar yang ditunjukkan Muhalim.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Penangan serbuk kari cap tarbus

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Keluarga besar pasangan Roshidi Hashim dan Zainab Mohd. Zainul Abidin. - Utusan/Roy Azis Abd Aziz

MENYINGKAP kisah percintaan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim dan isterinya Datin Zainab Mohd. Zainul Abidin, sememangnya mengembalikan kenangan indah buat pasangan dua sejoli yang bakal bersara awal serentak, pada penghujung tahun ini.

Setelah 33 tahun hidup bersama dan dikurniakan lima orang anak dan tiga cucu, Roshidi, 58, merasakan sudah tiba masanya untuk beliau lebih meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

Apatah lagi setelah tujuh tahun menjadi milik masyarakat kerana berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Khas kepada Menteri Besar Perak, Tan Sri Mohammad Tajol Rosli Ghazali, pengorbanan dan komitmen beliau untuk berbakti terus didamba sejak dilantik menjadi Setiausaha Bandaraya dan Datuk Bandar Ipoh sehingga kini.

Namun, di sebalik amanah berat yang perlu digalas Roshidi, beliau berasa bersyukur kerana dikurniakan seorang teman hidup yang cukup memahami.

Detik pertemuan sepasang insan ini segalanya bermula sewaktu Roshidi yang memulakan kerjayanya sebagai pegawai kerani di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, ditukarkan ke jawatan sama di Hospital Butterworth.

Roshidi yang ketika itu dipertanggungjawab untuk menyelaras gaji serta tugasan lebih masa pegawai perubatan hospital, mula mengenali kakak Zainab, Maizun seorang pelayan tetamu di Hospital Butterworth.

Setelah begitu rapat dengan Maizun yang dianggapnya seperti kakak angkat, Roshidi tidak menolak pelawaan untuk bertandang ke rumahnya di Kampung Pajak Song, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Ditemani rakannya, Nordin Baharudin, seorang juruteknik perubatan yang kini sudah kembali ke rahmatullah, kedua-dua mereka tiba ke kampung halaman nenek Zainab itu dengan menunggang motosikal jenis Yamaha.

"Ketika itu yang membuka tingkap rumah adalah Zainab. Saya akui hati saya berdegup kencang kerana sedar itu adalah cinta pandang pertama saya. Saya tidak menyangka Maizun mempunyai seorang adik secomel Zainab. Kami makan jemput-jemput yang dibuat dan pulang selepas Maghrib.

"Sejak hari itu, hati saya merasakan sesuatu, lantas cuba menghubungi Zainab melalui surat yang ditulis sendiri dengan menggunakan Maizun sebagai perantara," katanya kepada S2 ketika ditemui di kediamannya di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Zainab yang ketika itu bertugas sebagai guru sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Mandin, Butterwoth, bagaimanapun langsung tidak menaruh sebarang hati mahupun perasaan biarpun menyedari Roshidi gemar memerhatikannya.

Malah, beliau yang merupakan anak kepada seorang bekas tentera British di Singapura itu tidak mudah untuk didampingi kerana suka untuk menyelidik latar belakang seseorang rakannya terlebih dahulu sebelum menjalinkan sebarang hubungan dengan lebih rapat.

"Setelah beberapa surat yang dikirimnya, barulah saya tergerak hati untuk membalasnya. Itu pun setelah mendengar pandangan daripada kakak saya sendiri. Saya mahukan orang boleh menyesuaikan diri dengan keluarga saya dan menjaga solatnya.

"Secara jujur, saya kagum dengan sifat kerajinannya yang gigih berusaha untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di peringkat tingkatan enam sebanyak dua kali biarpun berdepan kesempitan hidup," katanya.

Namun, kemesraan mereka mula terjalin setelah beberapa kali bertemu di kedai makan di tepi pantai bersebelahan Hospital Butterworth, akhirnya teruji.

Roshidi yang berjaya menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Siasatan Badan Pencegahan Rasuah Malaysia (BPRM) hasil kelayakan akademik STPM yang diperolehnya, telah ditukarkan ke Kelantan.

Sedangkan, Zainab pula ketika itu sedang meneruskan pengajian di peringkat sijil di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang dan sering dipikat oleh beberapa rakan lelaki termasuk pensyarahnya sendiri.

"Tiga tahun berjauhan dengan Zainab, saya akui merasa cemburu setiap kali dia jujur bercerita tentang lelaki yang cuba mendekati termasuk meminangnya, malah salah seorang daripadanya adalah juruterbang.

"Namun begitu, setiap bulan Zainab akan selalu mengeposkan serbuk kari cap tarbus kepada saya bersama tulisan resipinya. Dari situ, saya belajar memasak sendiri disebabkan kari di Kelantan rasanya berbeza kerana manis," gelak Roshidi.

Persamaan minat mereka untuk memasak menyebabkan Roshidi gemar bermanja dengan sajian kampung Zainab yang simple seperti masak pindang, singgang, air asam dan sambal.

Malah, biarpun mempunyai tukang gaji sendiri, Roshidi tidak pernah sesekali menjamah masakan yang dimasak olehnya, kerana lebih menggemari air tangan Zainab berbanding hidangan istimewa di hotel.

"Satu perkara yang akan mengingatkan saya tentang Roshidi ialah minyak wangi. Dia sukakan minyak wangi berjenama Charlie. Selain itu dia gemar membeli baju dan kain untuk saya setiap kali beliau ke luar negara seperti ke Indonesia dan China sehingga sudah beratus-ratus helai.

"Namun, yang lebih istimewa, setiap yang dipilihnya itu pasti akan muat dengan bentuk tubuh saya sehingga saya sendiri takut untuk membeli pakaian sendiri kerana bimbang tidak menepati cita rasanya," ujar Zainab sambil tersenyum.

Mujur kami tidak terlanjur, rupanya adik beradik

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

KEIKHLASAN dan kejujuran merupakan faktor paling utama dalam sebuah perhubungan. Ikhlas itu sesuatu yang sukar untuk dizahirkan kecuali bagi mereka yang mencari kebahagiaan sejati.

Setakat ikhlas sahaja tidak mencukupi perlu juga diselitkan dengan aura positif yang akan menyinari sebuah kehidupan berasaskan iman dan takwa.

Berbahagialah mereka yang ikhlas dalam perhubungan kerana itulah anak kunci segalanya yang boleh membuka ruang ke arah cinta suci yang tersimpan rapi.

Namun, dalam hubungan ini setiap insan perlu meletakkan fokus terhadap apa yang diingini dalam perhubungan itu kerana itulah yang akan kita peroleh, sama ada yang baik atau sebaliknya.

Kisah ditinggalkan dan dipertemukan kembali adalah lumrah, manis dan pahit juga sudah sebati dengan jiwa mereka yang pernah mengalami masalah dalam perhubungan.

Namun apa yang ingin saya ketengahkan di laman ini minggu ini amat unik. Pada mulanya saya juga tidak percaya dengan cerita ini tetapi setelah mendapatkan kesahihan daripada tuan empunya diri, saya turut sedih dengan apa yang mereka lalui. Kalau selalu kita hanya dapat menonton cerita seperti ini menerusi kaca televisyen, tapi menerusi ruangan ini saya bawakan kisah benar untuk anda baca dan jadikan iktibar.

Kisah cinta dan pertemuan sepasang kekasih yang berakhir dengan sedih. Hajat hati mencari seorang kekasih untuk dijadikan isteri tetapi terpaksa menerima hakikat, kekasihnya adalah adik kandung sendiri.

Kita ikuti cerita Nabiha (bukan nama sebenar) buat teladan dan iktibar bersama. Begini kisahnya:

"Saya berusia lewat 20-an, telah bekerja dan mempunyai keluarga angkat yang menyayangi saya seperti anak sendiri. Saya tidak tahu bagaimana bermulanya kisah hidup saya.

"Namun dalam meniti usia remaja ibu bapa angkat saya memaklumkan yang saya anak angkatnya supaya tidak timbul masalah di kemudian hari. Saya reda dengan pengakuan mereka dan tidak pernah curiga dengan kasih sayang dan perhatian mereka terhadap saya terutama apabila nama bapa saya dikekalkan pada kad pengenalan dan segala yang berkaitan dengan urusan hidup saya.

"Menjadi anak tunggal dalam sebuah keluarga yang agak berada menjadikan hidup saya agak mewah. Saya diberi pendidikan sempurna dunia dan akhirat. Alhamdulillah.

"Seperti orang lain saya juga terjebak dalam percintaan. Bukan mudah mencari keserasian dalam sebuah perkenalan. Bertahun-tahun lamanya saya mengambil masa untuk mengaku yang saya telah jatuh cinta.

"Pun begitu tidak semua percintaan akan berakhir ke jenjang pelamin. Kita hanya merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Ada yang patah di tengah jalan tetapi itu bukan bermakna hidup sudah berakhir.

"Mungkin belum ada jodoh dan Allah akan menghadiahkan seorang insan yang lebih baik untuk kita berkongsi hidup. Nasib menyebelahi saya apabila Nabiha (bukan nama sebenar ) menghulurkan salam perkenalan.

"Saya menerima persahabatannya itu dengan harapan ada bahagia di penghujung persahabatan kami itu. Nabiha seorang mahasiswi di institusi pengajian tinggi awam dan saya sudah pun bekerja. Saya senang berkawan Nabiha. Dia seorang gadis yang pandai membawa diri dan tidak banyak kerenah. Ciri-ciri tersebut menjadi idaman saya.

"Sesekali kami berjumpa di hujung minggu kerana saya tidak mahu mengganggu dia yang sibuk dengan tugasan dan persiapan untuk menduduki peperiksaan akhir semester, yang akan menentukan masa hadapannya.

"Disebabkan Nabiha masih menuntut ada ketikanya saya juga membantunya dari segi kewangan walaupun Nabiha tidak pernah meminta, 'saya ikhlas dan jangan segan untuk menerimanya' itu yang sering saya katakan pada Nabiha.

"Walaupun tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima namun, kerana sayang saya sanggup lakukan apa sahaja tanpa mengharapkan balasan walaupun sekecil zarah atau sebanyak isi alam.

"Pada hari konvokesyen Nabiha saya turut hadir bagi meraikan kejayaannya. Nabiha memperkenalkan saya kepada keluarganya, kami berjabat salam dan bertanya khabar.

"Selepas majlis itu saya tidak lagi berjumpa Nabiha tetapi kami masih berhubung. Dia juga sudah bekerja. Semasa di kampus Nabiha sangat aktif dalam persatuan dan perkara itu diteruskan di tempat kerjanya. Disebabkan masih solo tentu banyak masa terluang digunakan oleh Nabiha untuk melakukan apa yang dia suka.

"Pada masa yang sama, ramai kenalan baharu yang ditemuinya. Saya tidak pernah mengongkong pergerakan Nabiha kerana saya tahu dia sudah cukup dewasa untuk menguruskan dirinya sendiri.

"Suatu hari Nabiha menghubungi saya untuk berjumpa dan kami mengatur pertemuan di sebuah restoran sambil menjamu selera. Maafkan saya kata Nabiha tiba-tiba dengan nada sebak.

"Suasana ceria bertukar menjadi sedih. Kenapa dan apa yang terjadi? Saya bertanya untuk menceriakan kembali suasana yang bertukar menjadi suram.

"Sebenarnya saya adalah anak angkat dan sehingga kini saya tidak tahu siapa emak dan ayah kandung saya, katanya dengan air mata yang berlinangan di pipi.

"Saya faham perasaan Nabiha yang kecewa dengan nasib yang menimpanya walaupun dia ditatang bagaikan minyak yang penuh oleh keluarga angkatnya. Nabiha anak yang baik.

"Pada pertama kali saya berkenalan saya amat tertarik kepadanya yang amat sederhana dalam semua perkara. Tanpa banyak bicara saya menggunakan ruang yang ada untuk melamarnya sebagai suri hidup.

"Saya tidak memaksa tetapi memberinya waktu untuk berfikir dengan sebaiknya. Seminggu selepas pertemuan itu saya mendapat jawapan, Nabiha menerima lamaran saya. Itulah saat yang paling bahagia dalam hidup saya ini.

"Tiba waktu yang dijanjikan, keluarga saya bertandang ke rumah Nabiha untuk melamarnya. Sebenarnya anak saya Fahmi adalah anak angkat, dan kami memeliharanya kerana ibu dan ayahnya meninggal dunia sewaktu Fahmi masih kanak-kanak, demikian penjelasan yang diberikan kepada keluarga Nabiha oleh ayah angkat saya.

"Cerita yang sama diluahkan oleh keluarga angkat Nabiha kepada keluarga saya. Macam-macam soalan yang timbul dalam perbincangan itu. Saya yang pada mulanya tidak dibenarkan ikut sama dalam perbincangan akhirnya dipanggil oleh ibu bapa saya masuk ke rumah Nabiha.

"Pertanyaan demi pertanyaan diajukan, akhirnya saya terpaksa menerima hakikat bahawa jodoh saya dan Nabiha tidak ada. Paling sedih sekali kerana saya mendapat khabar Nabiha adalah adik kandung saya.

"Bapa angkat Nabiha dan ayah angkat saya adalah orang yang bertanggungjawab menguruskan pengambilan anak angkat untuk satu keluarga pasangan suami isteri yang terbunuh dalam satu kemalangan lebih kurang 30 tahun lalu.

"Mereka ini, ayah dan bapa angkat saya dan Nabiha adalah sahabat karib kepada ibu bapa kami. Kehadiran keluarga sebelah ayah saya telah mengesahkan yang kami adalah adik-beradik.

"Begitu kecilnya dunia. Inilah yang dikatakan takdir dan ketentuan Allah. Sedihnya hati saya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Air mata lelaki saya yang mahal akhirnya menitis juga. Segalanya telah tersurat untuk saya. Nabiha menangis teresak-esak setelah mendapat perkhabaran tersebut.

"Syukur kepada Allah kerana kami tidak pernah terlanjur. Malah sepanjang berkenalan, saya dan Nabiha tidak menunjukkan rasa cinta kami seperti pasangan kekasih lain. Entah mengapa saya amat menjaga ketertiban itu sepanjang kami berkawan.

"Saya telah kehilangan kekasih tetapi berganti dengan adik kandung yang telah terpisah sejak kami kecil. Silap saya kerana tidak pernah bertanya Nabiha kenapa nama ayahnya sama seperti nama ayah saya. Kini Allah telah menunjukkan kebesaranNya. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku.

"Saya dan Nabiha menerima ujian ini dengan reda dan rasa syukur. Ketika Nabiha bersalaman dengan saya air matanya menitis membasahi tapak tangan saya. Saya memeluknya dengan erat sekali tanda syukur menerimanya sebagai adik saya dunia akhirat.

"Majlis yang meriah akhirnya bertukar menjadi pilu. Tetamu yang hadir turut mengesat air mata. Tiada perkataan yang mampu terucap melainkan air mata yang membasahi pipi.

"Pada majlis itu juga sebagai abang saya memberi kebenaran kepada bapa angkat Nabiha untuk menikahkan dia dengan abang angkatnya. Memang rancangan mereka untuk menjodohkan Nabiha dengan anak kandung mereka tetapi kerana Nabiha ada pilihan sendiri mereka akan merestuinya. Itulah yang dikatakan jodoh.

"Saya amat bersyukur dengan apa yang berlaku dan berterima kasih kepada Allah kerana memberi saya kebahagiaan dalam cara yang selama ini tidak pernah saya fikirkan. Mudah-mudahan Nabiha bahagia bersama suaminya.

"Kepada ibu ayah angkat saya dan bapa angkat Nabiha saya merakamkan terima kasih atas budi dan pengorbanan mereka membesarkan kami. Terima kasih sangat. Kepada ibu bapa angkat saya, insya-Allah saya akan cari juga seorang menantu yang baik seperti Nabiha untuk mereka. Doakan saya," Fahmi menutup ceritanya dengan sebak.

Saya juga terkedu membaca cerita ini. Seperti tidak percaya ia berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Apa pun hanya doa dipanjatkan ke hadrat Allah SWT agar kehidupan Nabiha dan Fahmi akan sentiasa di dalam peliharaannya dunia akhirat.

Mudah-mudahan segala yang diingini Fahmi akan dimakbulkan Allah.

Menamatkan catatan sepatah pesanan saya untuk renungan kita bersama.

Jangan berhenti bersyukur kerana dengan bersyukur kita kembali kepada nikmat Nya yang telah diberikan kepada mu terlebih dahulu selepas susah mu diganti dengan senang.

Salam

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Task Force Warga Asing ditubuh

Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

Mhd. Amin Nordin

KUALA LUMPUR 30 Mei - Sebuah pasukan khas yang dikenali sebagai Task Force Warga Asing telah ditubuhkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menangani isu penglibatan warga asing dalam aktiviti penjajaan.

Pasukan tersebut turut dianggotai oleh beberapa agensi kerajaan lain melibatkan Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, penubuhan pasukan khas tersebut bertujuan menangani dengan lebih serius isu warga asing yang terlibat dalam aktiviti penjajaan di sekitar ibu kota, termasuk mengadakan operasi secara berjadual.

"Pihak DBKL tidak mengiktiraf warga asing dalam aktiviti penjajaan ini. Kebanjiran warga asing telah mendatangkan impak yang tidak baik kepada ekonomi khususnya kepada pendapatan kaum penjaja tempatan.

"Ada sebahagian tapak-tapak penjaja ini telah diambil oleh warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram kerana DBKL tidak mengeluarkan lesen kepada penjaja warga asing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai operasi tindakan ke atas penjaja warga asing, dikenali sebagai Ops Tegas di sini hari ini.

Menurut Mhd. Amin, pihaknya mendapati kebanyakan penjaja tempatan yang mempunyai lesen perniagaan turut menggunakan khidmat warga asing sebagai pembantu mereka.

"Sehubungan itu, DBKL akan mengambil tindakan ke atas mana-mana penjaja warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah, pas lawatan atau tidak sepatutnya berada di premis penjajaan," jelasnya.

Katanya, modus operandi pasukan tersebut dijalankan di dalam dua peringkat iaitu penguatkuasaan berskala kecil dan berskala besar.

Sementara itu, dalam Ops Tegas yang dijalankan di dua lokasi iaitu Jalan Pasar dan sekitar Jalan Masjid India melibatkan 32 anggota penguat kuasa, sebanyak sepuluh pekerja dan penjaja warga asing ditahan.

Sebanyak 70 pemegang lesen penjaja pula dikenakan kompaun manakala lapan buah perniagaan dikenakan tindakan sita.

Bimbang tidak mampu bayar

Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Mei - Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Fasa 1 di sini yang mendakwa tidak menerima bil air daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak lapan bulan lalu khuatir jika bil yang akan diterima nanti melampaui kemampuan untuk mereka membayarnya.

Penduduk mendakwa, sebelum kejadian ini berlaku, mereka hanya membayar sekitar RM40 untuk penggunaan selama dua bulan.

Menurut mereka, kejadian sama pernah berlaku namun hanya untuk beberapa bulan sahaja.

Tinjauan Utusan Malaysia ke PPR tersebut mendapati, rata-rata penduduk yang ditemui berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya segera menyelesaikan perkara tersebut kerana setiap tahun pasti masalah itu akan berlaku tetapi kali ini lebih teruk lagi.

Seorang pemilik kedai, Siti Aminah Zakaria, 63, berkata, kejadian tersebut menambahkan kebimbangan apabila dia terpaksa menanggung bil air bagi kedai dan rumahnya.

"Bil air kedai kira-kira RM200 sebulan, bayangkan jika lapan bulan tak bayar?

"Memanglah penduduk boleh membuat bayaran sendiri di ibu pejabat DBKL di Kampung Baru, namun dengan keadaan saya yang tidak mampu untuk berjalan sendiri menyukarkan saya untuk berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin, 64, yang tinggal di Blok 4 PPR itu berkata, dia telah beberapa kali berjumpa dengan pegawai berkaitan bagi mengutarakan masalah itu namun jawapan yang diterima mendukacitakan.

"Saya diberitahu mereka kekurangan kakitangan untuk memeriksa meter air yang terdapat di PPR ini.

"Alasan tersebut tidak munasabah kerana DBKL boleh mengambil pekerja pada bila-bila masa sahaja," ujarnya.

Seorang pemandu bas persiaran, Sanizan Yunus, 31, pula berkata, akibat tidak menerima bil air, wang yang telah diperuntukkan untuk tujuan itu telah digunakan untuk kegunaan lain.

"DBKL seharusnya melihat perkara ini dengan serius bukannya menganggap ia sebagai satu masalah kecil.

"Saya turut berharap agar DBKL membolehkan pejabat kecil DBKL di PPR ini menerima pembayaran bil air bagi memudahkan penduduk," katanya.

Sistem baharu punca berlaku masalah - DBKL

Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT

KUALA LUMPUR 30 Mei - Sistem baharu yang menggunakan Sistem Bil (SISBIL) atau E-PBT merupakan punca berlakunya masalah pengagihan bil kepada penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam di sini.

Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Wan Mohd. Ghazali Nor berkata, disebabkan sistem bacaan meter yang diguna pakai sebelum ini mengalami kerosakan, maka sistem baharu tersebut digunakan namun ia memberi kesan kepada pengagihan bil air kepada penduduk.

"Sistem tersebut merupakan bil sementara yang menyelaraskan bil air kepada sebanyak RM25 sebulan.

"Jadi, sejak Ogos tahun lalu sebanyak 10 kawasan PPR telah diuji menggunakan sistem baharu tersebut, namun ia tidak berjaya kerana tidak menepati keperluan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Ghazali berkata, perkara tersebut dijangka dapat diselesaikan pada Julai ini apabila sistem baharu itu sudah boleh digunakan.

"Tetapi sementara menunggu pelaksanaan tersebut, DBKL sudah mengambil tindakan dengan menghantar bil air sementara kepada kawasan-kawasan yang tidak mendapat bil sebelum ini.

"Apabila sistem baharu itu digunakan nanti, semua bil akan dibuat pelarasan semula," ujarnya.

Kata beliau, penduduk yang membayar lebih caj daripada kebiasaan tidak perlu berasa bimbang kerana DBKL akan menyelaraskan bayaran dengan cara menganjakkan baki ke bulan seterusnya.

"Sistem baharu ini lebih lengkap kerana mampu mengakses maklumat lebih tepat meliputi bacaan meter sebenar, termasuk maklumat tunggakan yang belum dijelaskan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Johor bina rumah mampu milik

Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) menerima ais krim goyang daripada penjualnya ketika mengadakan lawatan ke Bazar Karat di Johor Bahru, Johor, malam kelmarin.

JOHOR BAHRU 30 Mei - Kerajaan negeri merancang untuk membangunkan lebih banyak rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana dapat menikmati kediaman sendiri selain memenuhi keperluan masyarakat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rancangan itu merupakan antara pendekatan yang dilihat dapat membantu menyelesaikan masalah pemilikan rumah khususnya untuk golongan tersebut.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang berbincang serta memperhalusi usaha terbabit supaya impian rakyat untuk memiliki kediaman sendiri dapat direalisasikan.

"Usaha mengenal pasti tanah di beberapa kawasan tertentu sama ada milik kerajaan atau agensi di bawahnya sedang dilaksanakan dan akan diberikan perhatian khusus untuk tujuan pembinaan rumah mampu milik.

"Hasil mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baru-baru ini, kita bersetuju untuk memenuhi permintaan penduduk yang ingin memiliki rumah mengikut kemampuan mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bazar Karat, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Johor Bahru, Burhan Amin; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Latiff Bandi.

Mohamed Khaled meluangkan masa hampir sejam di Bazar Karat bagi melihat keadaan di kawasan itu selain beramah mesra bersama para pengunjung serta peniaga di situ.

Beliau berkata, pihaknya juga akan meneliti semula setiap pemaju di negeri ini bagi memastikan mereka membina rumah mampu milik dalam setiap projek perumahan yang dilaksana seperti yang disyaratkan.

"Kita sedang mengenal pasti mana-mana pemaju yang disyaratkan membina rumah mampu milik tetapi tidak dilaksanakan, kita akan tentukan supaya tindakan tertentu diambil untuk memastikan pemaju mematuhi syarat yang ditetapkan.

"Kita juga akan melihat kawasan keseluruhan dalam Iskandar Malaysia sebagai contoh di Permas seperti tanah-tanah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Tebrau Teguh, kita akan pastikan syarat 35 peratus perumahan kos sederhana dan sederhana rendah tidak ada pengecualian, maknanya mereka wajib bina rumah mampu milik," katanya.

SPNB perlu tangani kelewatan RMR1M

Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT

Halimah

KULAI JAYA 30 Mei - Kelewatan projek pembangunan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) mengikut jadual yang ditetapkan perlu diberi perhatian serius oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan kontraktor bertanggungjawab kerana memberi imej buruk kepada kewibawaan agensi tersebut.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menjejaskan pembangunan negara serta peluang kontraktor lain.

Menurut beliau, meskipun sebahagian besar kontraktor yang gagal melaksana tugas telah ditamatkan perkhidmatan dan disenarai hitam namun pemantauan masalah projek RMR1M perlu dilakukan secara berkala.

"Kita tidak mahu masalah ini berulang kerana menyukarkan rakyat, ini adalah soal keyakinan rakyat terhadap prestasi agensi kerajaan.

"Disebabkan mereka, janji-janji kerajaan menyediakan lebih banyak projek pembangunan menjadi terbengkalai dan yang amat dikhuatiri, rakyat yang tertunggu-tunggu projek itu menyalahkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Perjumpaan dan Perbincangan Perumahan Generasi Kedua Felda Bukit Ramun, Felda Bukit Besar dan Felda Pasir Raja Bersama SPNB di Dewan Felda Bukit Ramun, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Teknikal SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Generasi Kedua Felda Bukit Ramun, Ahmad Jalilani Amaludin dan rakan sejawatannya daripada Felda Bukit Besar, Azahar Ab. Manab dan Felda Pasir Raja, Mohd Yatim Zakaria.

Sebanyak 180 peserta generasi kedua perumahan RMR1M dari tiga rancangan tersebut hadir dalam perbincangan dan mencari penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi mereka.

Halimah yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, SPNB perlu memastikan tawaran reka bentuk rumah untuk dijadikan pilihan kepada rakyat dibina kontraktor yang benar-benar berwibawa dengan meneliti semula senarai kontraktor yang tidak berprestasi.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved