Khamis, 25 April 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Chong Wei kekal pemain No. 1 dunia

Posted: 25 Apr 2013 01:10 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Senarai pemain yang layak ke Kejohanan Dunia di Guangzhou, Ogos depan belum dikeluarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun berdasarkan ranking terbaharu dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, Malaysia dijangka menghantar 11 wakil yang layak secara mutlak.

Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei pastinya mengetuai misi anak Malaysia pertama meraih kejuaraan pada Kejohanan Dunia.

Kali ini beliau akan diiringi dua pemain yang akan beraksi buat kali pertama di pentas elit itu, iaitu Chong Wei Feng dan Liew Daren dalam perseorangan lelaki.

Berdasarkan kelayakan ke Kejohanan Dunia, seramai 24 pemain dalam kelompok 24 ranking teratas akan layak secara merit dengan maksimum tiga pemain dari sebuah negara, dibenar bertanding dalam setiap kategori.

Dalam perseorangan lelaki, Chong Wei kekal di kedudukan No. 1 dunia, diekori rapat pemain China, Chen Long.

Namun, yang menariknya persaingan dua perseorangan negara iaitu Wei Feng dan Daren kerana kedudukan terbaharu menunjukkan Wei Feng memintas Daren, iaitu menghuni ke-12 dan 13 dunia.

Dalam beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong sememangnya layak selepas masing-masing berada di ranking kedua dan ketujuh dunia, namun perebutan secara merit tiga penjuru antara Goh V Shem-Lim Khim Wah, Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif dan Gan Teik Chai-Ong Soon Hock berakhir dengan gandingan BAM, V Shem-Khim Wah mengetepikan dua pasangan KLRC itu.

V Shem-Khim Wah mengukuhkan kedudukan di ranking ke-13 dunia berbanding Fairuzizuan-Zakry, (16) dan Teik Chai-Soon Hock (18).

Malaysia juga menyaksikan tiga wakil beregu campuran diketuai Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (5), Tan Aik Quan-Lai Pei Jing (18) dan Ong Jian Guo-Lim Yin Loo (21).

Dalam beregu wanita, hanya dua pasangan layak iaitu Vivian Hoo- Woon Khe Wei di ranking ke-18 dan Goh Liu Ying-Lim Yin Loo, ke-22.

Bahaya perkecil pasukan bawah

Posted: 25 Apr 2013 01:10 PM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Saingan Liga Super 2013 yang memasuki pusingan kedua sejak Sabtu lalu, menampilkan perbezaan, malah peningkatan ketara prestasi pasukan yang sebelum ini di tangga bawahan.

Hakikat ini diakui ketua pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar menjelang pertemuan Gladiators yang diterajui B. Sathianathan dengan PKNS di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, malam ini.

Rekod kemenangan 3-1 ke atas kelab Selangor bimbingan Abdul Rahman Ibrahim di Shah Alam pada 12 Januari lalu, juga bukan jaminan kukuh buat ATM bakal terus membedil mereka dalam usaha merapatkan jurang dengan teraju liga, Lions XII.

Masuk sahaja pusingan kedua liga, semua pasukan sudah berbeza prestasi mereka dan pendekatan kami bagi setiap perlawanan perlu turut berubah. Yang di tangga bawah sebelum ini, kian meningkat dan tidak terkecuali kelab seperti PKNS.

Tengok bagaimana mereka mengatasi (juara bertahan) Kelantan (2-1 di Shah Alam, 19 Januari lalu). Jadi kami kena fokus betul-betul perlawanan ini supaya tidak lagi tertinggal jauh dengan Lions XII, Johor Darul Takzim atau Selangor jika mahu juarai liga.

Apatah lagi bermain di gelanggang sendiri, ATM perlu lupakan kesilapan ketika kalah 3-1 dengan Lions XII (di padang tiruan Stadium Jalan Besar Singapura minggu lalu) dan tidak boleh mengulanginya apabila berdepan PKNS," katanya.

Hairuddin yang masih tidak dapat diturunkan malam ini kerana menjalani baki satu penggantungan perlawanan, menuntut rakan sepasukannya agar tidak sesekali mencicirkan mata biarpun bahagian depan ATM diisi penyerang lain.

Saya akui jika dapat bermain, saya dapat merasai semangat juang yang lebih tinggi dengan sokongan penyokong sendiri," katanya yang tidak menolak kemungkinan masih mempunyai peminat setia di Seremban kerana pernah menyertai Negeri Sembilan pada 2009 dan 2011.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Timbalan Pengarah Kastam maut ditembak

Posted: 25 Apr 2013 07:19 PM PDT

ALLAHYARHAM Saharuddin Ibrahim ketika menghadiri majlis anjuran Jabatan Kastam baru-baru ini.

PUTRAJAYA 26 April - Timbalan Pengarah Kastam Perkastaman/Cukai Dalam Negeri, Datuk Saharuddin Ibrahim maut selepas ditembak dari jarak dekat oleh penunggang motosikal di sini pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi di persimpangan lampu isyarat Lebuh Wawasan dari arah Dengkil bersebelahan IPD Putrajaya.

Mangsa yang ketika itu dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja bersama pemandunya telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospiral Putrajaya sebelum disahkan meninggal dunia.

Allahyarham berasal dari Negeri Sembilan dikenali sebagai seorang yang tegas dan berani bersuara. - UTUSAN ONLINE

Tiga ditahan bantu siasatan kes letupan di Jawi

Posted: 25 Apr 2013 01:09 PM PDT

PULAU PINANG 25 April - Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes letupan semasa ceramah perdana anjuran Barisan Nasional (BN) Parlimen Nibong Tebal di Jawi di sini kelmarin yang mengakibatkan seorang petugas parti cedera.

Jurucakap Pilihan Raya Polis Kontinjen Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, kesemua lelaki terbabit ditahan dalam serbuan berasingan bermula malam tadi sehingga pukul 11 pagi ini di Georgetown, Seberang Perai Selatan dan Bukit Mertajam.

"Siasatan awal mendapati, ketiga-tiga suspek berusia 25 hingga 41 tahun yang ditahan itu memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan memiliki bahan letupan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.15 malam itu, orang ramai yang menghadiri ceramah perdana anjuran BN Nibol Tebal gempar setelah berlaku insiden letupan mengakibatkan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Lima Kongsi, Zaidi Ramli, 35, cedera di betis kanan akibat terkena serpihan paip.

Letupan berlaku di kawasan longgokan sampah terletak kira-kira 10 meter dari pentas utama berhampiran Bilik Gerakan Pilihan Raya BN Nibong Tebal.

Ketika kejadian, Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan sedang berucap di hadapan hampir 3,000 hadirin.

Polis mengesahkan letupan berpunca daripada jerangkap letupan rekaan (IED) yang dipercayai didalangi kumpulan profesional untuk menakutkan orang ramai dan menimbulkan suasana huru-hara.

Menurut Roslee, ketiga-tiga lelaki yang ditahan direman petang ini dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Selatan.

"Mereka tidak disahkan sebagai ahli mana-mana parti politik dan polis masih meneruskan usaha menjejaki beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman denda sebanyak RM10,000 atau tujuh tahun penjara atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mengulas mengenai kekecohan ketika ceramah pembangkang di Sungai Gelugor malam tadi yang tidak mempunyai permit dan mengakibatkan seorang jurugambar dipukul, Roslee menjelaskan, kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta parti politik yang mahu mengadakan ceramah supaya memohon permit terlebih dahulu bagi memudahkan polis membuat pemantauan dan kawalan keselamatan di lokasi ceramah diadakan.

"Sejak hari penamaan calon sehingga kini, polis telah menerima 119 laporan membabitkan pelbagai kesalahan pilihan raya, membuka 10 kertas siasatan dan memantau 212 ceramah termasuk 17 yang diadakan tanpa permit," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Suspek mati ditembak selepas bunuh 5 mangsa

Posted: 25 Apr 2013 12:18 PM PDT

RICK ODELL SMITH

CHICAGO 26 April - Seorang lelaki mati ditembak pasukan polis selepas dipercayai membunuh lima orang di sebuah pekan kecil di Amerika Syarikat (AS), kelmarin.

Suspek pembunuhan tersebut, Rick Odell Smith, 43, mati selepas terlibat dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak polis di Manchester, Illinois.

Pegawai polis Illinois, Leftenan Kolonel Todd Kilby berkata, mangsa yang terbunuh merupakan Joanne Sinclair, 65; Brittany Luark, 22; Roy Ralston; Nolan Ralston, 5, dan Bradley Ralston, 1.

Katanya, kesemua mangsa ditemui mati dalam sebuah rumah kira-kira pukul 4.30 pagi kelmarin dan pihak polis mendapat maklumat saksi beberapa jam kemudian yang mengatakan Smith memandu sebuah kereta putih dalam keadaan tergesa-gesa meninggalkan rumah terbabit.

"Beberapa anggota polis dikerah mengejar suspek dan berlaku kejadian tembak-menembak menyebabkan Smith mengalami kecederaan.

"Suspek meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital," jelasnya.

Menurut Kilby, motif pembunuhan masih disiasat namun beberapa jiran memaklumkan, suspek mengalami tekanan perasaan ekoran berdepan kes mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan anak perempuannya.

Seorang kanak-kanak perempuan, Kassidy Ralston, 6, turut dicederakan oleh Smith dilaporkan terselamat dan kini dirawat di hospital berdekatan.

Serangan terbaharu kelmarin berlaku hanya beberapa hari selepas kes pengeboman di Boston dan insiden letupan di sebuah kilang baja di Texas.

Kes pembunuhan terbabit meningkatkan kebimbangan orang awam di AS tentang tahap keselamatan berhubung isu penggunaan senjata api ekoran beberapa kes tembakan rambang berlaku di negara ini.

Antaranya insiden di Sekolah Rendah Sandy Hook, Newtown, pada Disember lalu yang mengakibatkan 27 maut termasuk kanak-kanak. - AFP

Penganggur di Perancis kini mencecah 3,224 juta

Posted: 25 Apr 2013 11:17 AM PDT

PARIS 26 April - Isu peningkatan jumlah pengangguran di Perancis semakin buruk apabila Kementerian Buruh semalam melaporkan pertambahan sebanyak 36,900 orang pada bulan lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3.224 juta.

Jumlah tersebut sekali gus mengatasi rekod pengangguran pada 1997 yang berjumlah 3.195 juta orang di negara yang merupakan satu daripada lima kuasa veto dunia itu.

Perancis menghadapi masalah peningkatan pengangguran sejak 23 bulan lalu dan Presiden Francois Hollande masih bergelut untuk memulihkan ekonomi negara ini yang berdepan masalah kemelesetan. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Kalimah Allah: Satu lagi pengurusan kes 30 Mei

Posted: 25 Apr 2013 01:09 PM PDT

PUTRAJAYA 25 April - Rayuan kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung perintah Mahkamah Tinggi bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh majalah mingguan Katolik, Herald - The Catholic Weekly, ditetapkan untuk satu lagi pengurusan kes pada 30 Mei depan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, N. Priscilla Hemamalini menetapkan tarikh tersebut sementara menunggu kesudahan satu rayuan lain oleh tujuh pihak iaitu enam majlis agama Islam negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) untuk menjadi pencelah.

Rayuan tujuh pihak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk menjadi pencelah dalam permohonan semakan kehakiman oleh Gereja Roman Katolik telah ditetapkan tarikh pendengarannya pada 8 Mei ini.

Pada tarikh pengurusan kes terdahulu, Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur, selaku responden dibenarkan memfailkan afidavit tambahan sementara menunggu pengurusan kes hari ini.

Pihak perayu turut memohon masa untuk mendapat arahan sama ada mereka akan memfailkan afidavit balasan.

Kerajaan Malaysia dan KDN diwakili oleh Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Arik Sanusi Yeop Johari, Munahyza Mustafa dan Andi Razalijaya A. Dadi manakala peguam S. Selvarajah bertindak bagi pihak gereja.

Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan memerintahkan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan akhbar mingguan itu daripada menggunakan kalimah Allah dalam majalah edisi bahasa Malaysia, adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan gereja dengan menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden.

Gereja itu menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan itu adalah tidak sah dan kalimah Allah bukanlah eksklusif kepada agama Islam.

Majalah mingguan itu, yang dicetak dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan untuk 'God' dalam seksyen bahasa Malaysia tetapi kerajaan berhujah kalimah Allah hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam.

Bekas pengarah didakwa guna dokumen palsu, pecah amanah RM10j

Posted: 25 Apr 2013 01:09 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 April - Seorang bekas pengarah syarikat kejuruteraan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menggunakan dokumen palsu dan dua tuduhan pecah amanah membabitkan wang bernilai lebih RM10 juta, empat tahun lalu.

Malim Mohamed, 43, didakwa menggunakan dua dokumen sebagai tulen iaitu invois dan arahan penyerahan syarikat kejuruteraan, GSE Engineering Sdn. Bhd. ketika permohonan pembiayaan kewangan 'Accepted Bil-Islamic' bagi syarikat kejuruteraan mekanikal miliknya, Satang Jaya Sdn. Bhd. berjumlah RM6,296,680 kepada Bank Muamalat Malaysia Bhd.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Trade Finance Centre, Bank Muamalat Malaysia Sdn. Bhd., Tingkat 1, Menara Bumiputra, Jalan Melaka di sini pada 18 November 2009.

Tertuduh yang beralamat di Kuantan, Pahang juga didakwa melakukan perbuatan yang sama melibatkan permohonan kemudahan pembiayaan berjumlah RM3,148,340 kepada bank sama di tempat yang sama pada 9 Februari 2010.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Malim yang merupakan penandatangan sah bagi akaun syarikat KOBAT Engineering Services Sdn. Bhd. di HSBC Bank Malaysia Bhd. Cawangan Kuantan turut didakwa atas dua tuduhan pecah amanah masing-masing melibatkan wang berjumlah RM1 juta dan RM100,000 milik syarikat itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Bhd., Tingkat 1, Menara Olympia, Jalan Raja Chulan di sini masing-masing pada 25 Januari 2010 dan 11 Disember 2009.

Bagi pertuduhan berkenaan, tertuduh diwakili peguam Adenan Ismail.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurshuhaida Zainal Azhar memaklumkan mahkamah, pihak pembelaan dan pendakwaan bersetuju dengan jumlah jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

''Jumlah jaminan itu dengan syarat tambahan iaitu tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan,'' katanya.

Perkara itu kemudian dipersetujui oleh Hakim Murtazadi Amran yang turut menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Perkampungan baharu di Ulu Tembeling

Posted: 25 Apr 2013 01:10 PM PDT

JERANTUT 25 April - Kerajaan negeri mengenal pasti kawasan seluas 334 hektar di Jipang, Ulu Tembeling di sini, bagi membina serta mewujudkan sebuah perkampungan baharu tersusun yang serba lengkap di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, bagi fasa pertama, sebanyak 225 unit rumah mampu milik akan dibina di kawasan seluas 25 hektar yang turut dilengkapi kemudahan asas.

Menurutnya, usaha itu bagi menempatkan penduduk yang tinggal di kawasan perkampungan terpencil dan pedalaman di Ulu Tembeling dalam sebuah kawasan penempatan tersusun yang turut menyediakan tempat pertanian bertujuan meningkatkan taraf kehidupan golongan terbabit.

"Selain itu, kerajaan akan turut membina kelas tadika, dewan orang ramai dan pusat latihan kemahiran industri kecil sederhana (IKS) bagi melatih mereka dalam bidang tertentu bertujuan menambah pendapatan.

"Kawasan pertanian yang akan dibuka nanti melibatkan tanaman kelapa sawit atau getah bagi memboleh golongan itu memperoleh pendapatan bulanan yang terjamin untuk masa depan keluarga masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat bilik gerakan dan pusat daerah mengundi (PDM) dan menemui seorang pesakit kronik di Kampung Temin, di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk terbabit bersabar kerana projek berkenaan akandijalankan secara terancang dan pertama dilaksanakan di kawasan pedalaman di negeri ini.

RM24j pulih kemudahan

Posted: 25 Apr 2013 01:10 PM PDT

MARAN 25 April - Sebanyak RM24 juta diperuntukkan untuk membaik pulih segala kemudahan di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di sini seperti jalan raya, masjid dan pelbagai infrastruktur lain termasuk di kawasan Felda.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, jumlah itu tidak termasuk peruntukan tambahan sebanyak RM62 juta untuk 11 pakej baik pulih kemudahan air.

"Semua kemudahan itu akan diperoleh sekiranya masyarakat Jengka terus memberi mandat kepada BN untuk menerajui bandar tersebut," katanya di sini baru-baru ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Berhenti pupuk politik kebencian

Posted: 25 Apr 2013 01:10 PM PDT

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

DALAM sejarah 56 tahun kemerdekaan Malaysia, rakyat melihat tempoh pilihan raya umum (PRU) sebagai masa untuk calon-calon parti politik di negara ini bersaing mendapatkan undi melalui kempen, manifesto dan janji-janji manis.

Sepanjang tempoh penamaan calon, minggu berkempen mahupun hari mengundi, semuanya berlalu secara aman dengan pihak yang akhirnya menjadi pilihan majoriti rakyat diangkat sebagai pemimpin untuk satu penggal sementara yang kalah menerimanya secara berhemah.

Namun, sejak PRU 2008, ketenteraman dalam menghadapi pilihan raya semakin terhakis dan rakyat khususnya pengundi, mulai gusar dan bimbang sama ada PRU-13 ini akan mencatat sejarah sebagai tempoh pilihan raya paling ganas.

Walaupun sejak 2008 lagi sudah bermacam huru-hara jalanan melanda negara akibat agenda peribadi pihak tertentu, PRU-13 juga tidak terkecuali dengan pelbagai kejadian seperti menyamar sebagai pegawai pemerhati semasa penamaan calon, membakar atau merosakkan bendera parti lawan mahupun pekerja ditetak dan dilanggar ketika memasang bendera parti.

Siri 'keganasan' itu semakin memuncak apabila markas parti politik dibakar, bilik gerakan parti dibaling bom petrol dan terkini letupan bom 'profesional' ketika ceramah sehinggakan ada yang cedera.

Ini belum mengambil kira ugutan ke atas calon-calon yang bertanding mahupun memutar fakta bagi mengelirukan orang ramai sehinggakan 632 kes dicatatkan polis setakat ini termasuk 22 tangkapan dan beberapa kes sudah didakwa di mahkamah.

Ketika rakyat masih bimbang dengan perkembangan pengganas Kiram di Sabah, nampaknya ada pula anasir dalaman yang turut 'menyumbang' kepada tindakan untuk menghuru-harakan negara.

Nyata sekali semua yang dilakukan adalah cubaan sabotaj dan menimbulkan huru-hara untuk menakutkan pengundi daripada keluar mengundi atau mungkin sebagai satu taktik mencabar keputusan PRU-13 yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti yang pernah didedahkan sebelum ini.

Paling dibimbangi rakyat, jika bermulanya balas-membalas di antara kem-kem politik yang 'main kasar' sehingga memudaratkan lagi keadaan mahupun membawa kepada pertumpahan darah.

Pemerhati politik, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling memaklumkan apa yang berlaku sejak mulanya kempen PRU-13 tidak pernah berlaku dalam PRU terdahulu khususnya menggunakan keganasan untuk mendapat kuasa.

"Dahulu kalau ada pun sikit-sikit sahaja seperti buang bendera, tidak ada yang lempar bom, bakar, langgar orang, halang rumah orang. Nampaknya ada yang sudah mendidik pengikut mereka menjadi pengganas

"Cuma sejak 2008 macam-macam cara ganas digunakan termasuk menghalang kereta Raja (Perak). Ini tindakan orang yang terdesak kerana tahu mereka semakin hilang sokongan," katanya.

Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia menolak sebarang tindakan ganas terhadap mana-mana pihak sekalipun sepanjang tempoh PRU-13 berjalan.

Tegas beliau, sepatutnya seluruh rakyat Malaysia sudah boleh mengamalkan demokrasi secara matang selepas lebih 50 tahun negara merdeka, bukannya mengikut cara seperti di Pakistan, Afrika dan rantau Arab.

"Kita sepatutnya sudah boleh mengiktiraf perbezaan ideologi atau pendapat antara satu sama lain, tak perlu gunakan keganasan dalam apa bentuk sekalipun.

"Yang jadi mangsa pula, janganlah balas, kena bertindak secara matang. Lapor kepada polis, kalau mampu boleh tangkap tapi perlu ikut undang-undang," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa Malaysia mempunyai undang-undang pilihan raya yang boleh digunakan terhadap pihak yang terlibat.

"Saya harap polis bertindak tegas, ada pun yang sudah masuk ke mahkamah. Pengundi pula perlu menolak golongan yang gunakan keganasan sebegini kerana jelas mereka jenis manusia yang tidak hormati undang-undang.

"Ingatlah, kalau golongan jenis ini yang menang, dia akan tindas rakyat kelak," tegasnya.

Penganalisis politik, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan pula mengingatkan para pengundi agar tidak gentar untuk keluar mengundi dan menjalankan tanggungjawab masing-masing memilih pemimpin negara.

"Tugas kita selaku pengundi adalah tentukan siapa pemerintah, kalau takut keluar mengundi maka kita gagal menjalankan tugas itu.

"Perlu faham, PRU ini adalah kemuncak proses demokrasi apabila rakyat memilih daripada barisan calon-calon parti politik. Undi kita penting dalam sistem demokrasi ini," katanya.

Beliau turut kesal dengan apa yang berlaku sejak bermulanya kempen PRU-13 sedangkan angka 13 itu sepatutnya sudah meningkatkan kematangan demokrasi negara.

"Pengikut mahupun parti politik itu sendiri tidak sepatutnya buat semua bentuk keganasan ini. Negara kita aman makmur, kenapa perlu lagak samseng, marah-marah, tengking, sampaikan ada yang baling mercun.

"Bom molotov, bakar bilik gerakan, tetak orang, turunkan bendera parti lawan, sepatutnya semua ini tak berlaku. Inilah akibatnya kalau terlalu taksub atau digelar assabiyah kepada calon mahupun parti," dakwanya.

Tambahnya, perkara sedemikian tidak pernah berlaku dalam kempen PRU terdahulu dan kebiasaannya masalah timbul semasa pilihan raya kecil memandangkan fokus semua pihak cuma di satu kawasan.

Jelasnya, apa yang berlaku dalam tempoh berkempen PRU-13 mungkin disebabkan memuncaknya assabiyah memusuhi Barisan Nasional (BN) mahupun ada perancangan untuk menghalang orang ramai keluar mengundi.

"Masyarakat kita rata-rata sudah terdidik dan didedahkan kepada media asing, dapat lihat dunia luar. Sepatutnya mereka tidak akan buat perkara seperti itu.

"Tapi, mungkin juga semua itu sengaja dilakukan mengikut perancangan untuk menakut-nakutkan orang ramai. Ini tidak patut berlaku jika betul-betul mahukan demokrasi, janganlah kemudahan negara sahaja kelas pertama tapi pemikiran mereka masih kelas ketiga" ujarnya.

Zainal Abidin turut menasihatkan mereka yang menjadi mangsa taktik ganas pihak terbabit agar tidak membalas mahupun berdendam sebaliknya laporkan kepada polis dan biarkan pihak berkuasa menyiasat dan bertindak.

"Maafkan sajalah, sedangkan mangsa bom tempoh hari masih mahu teruskan berkempen. Jangan berdendam atau membalas.

"Pemimpin politik pula, janganlah bakar semangat dendam dalam kalangan pengikut, kalau menang nak penjarakan orang, nak halang jet peribadi keluar. Kata hormati proses pilihan raya aman tetapi masih memupuk politik kebencian," tegasnya.

Mazlan-Anwar: Pertarungan buku-ruas

Posted: 25 Apr 2013 01:10 PM PDT

AMAT menarik pertarungan politik Dr. Mazlan Ismail- Anwar Ibrahim di Parlimen Permatang Pauh. Latar belakang tokoh yang mempertaruhkan diri dengan seorang tokoh kontroversial Anwar wajar diberikan fokus.

Dr. Mazlan, seorang profesional dan memiliki jiwa agama yang tinggi, boleh menjadi imam dan bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang. Beliau orang profesional dan memiliki kelulusan akademik yang tinggi.

Beliau anak tempatan dan telah lama mengenali kampung halamannya dan derita rakyat di situ. Beliau tahu sejak Anwar menjadi wakil rakyat, kekerapan kembali ke kawasan boleh dibilang. Orang Melayu Pulau Pinang menghadapi pelbagai kesulitan dan tekanan. Puncaknya ialah pengunduran Mohammad Fairuz Khairudin daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri.

Anwar kini sedang tertekan dengan situasi politik pakatan pembangkang. Pas diketahui semacam menolak Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Lim Kit Siang akhirnya tahu bahawa meletakkannya bertanding di Parlimen Gelang Patah sesuatu yang tidak mengenakkan. Anwar yang patut bertanding di luar kawasan Permatang Pauh tiba-tiba kembali semula ke Permatang Pauh.

Hasratnya ingin keluar dari Permatang Pauh mungkin menyedari Dr. Mazlan akan bertanding di situ. Dr. Mazlan bukan calang-calang calon. Dengan latar belakang Pas yang ada padanya, kalau tidak semua penyokong Pas menyokongnya sebahagian akan membantu, sokongan daripada warga BN akan membantunya dan ia boleh menimbulkan upset di Permatang Pauh.

Ada orang memberi analisis bahawa Pas semacam tidak memperlihatkan tentangan terhadap kehadiran Dr. Mazlan di situ. Apakah bila Pas tidak setuju Anwar menjadi Perdana Menteri maka lebih bijak mengalahkannya di Permatang Pauh daripada kalau menang nanti menentukan calon Perdana Menteri menjadi lebih sukar pula.

Ada khabar mengatakan DAP mahukan Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri. Kalau khabar ini jelas, ia suatu pukulan kepada Anwar kerana cita-cita peribadinya itu bakal berakhir di Permatang Pauh saja.

Badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bekas rakan lama Anwar khabarnya akan berkampung di Permatang Pauh. TIBAI, Jati, Muafakat dan banyak lagi akan berada silih berganti di Permatang Pauh. Anwar tentu tidak akan duduk diam, antara meraikan undangan di tempat lain di seluruh negara dengan menjaga kawasan sendiri, Anwar kena membuat pilihan bijak.

Bagi Dr. Mazlan menganggap perlawanannya dengan Anwar adalah suatu jihad untuk mengembalikan imej pemimpin berintegriti supaya arah pimpinannya jelas dan berwibawa. Imej Anwar terlalu banyak tercalar.

Dalam kalangan yang sudah tahu mengambil tekad meninggalkannya. Dr. Mazlan tentu berada dalam kalangan yang tahu dan membuat ijtihad menentangnya. Ini suatu keberanian yang tinggi martabatnya.

Politik Malaysia memerlukan tokoh yang cakapnya serupa bikin. Pemimpin Malaysia yang dikehendaki ialah pemimpin yang tidak dilingkari seribu satu calaran imej yang tidak mampu dileraikan dan memiliki imej berlakon yang melampau.

Lebih-lebih lagi pemimpin yang dikaitkan dengan pluralisme agama, LGBT, menyalahgunakan kalimah Allah, mempunyai kaitan dan rangkaian hubungan dengan pihak luar negara dan suatu ketika dalam ABIM bercakap tentang Islam dan dalam UMNO mengkritik pihak di luar UMNO dengan kritikan yang pedas dan bila berada dalam Pakatan membidas UMNO dan BN dan didapati bercanggah dengan apa yang diucapkan dulu.

Orientasi politik Malaysia bukan orientasi politik jalanan atau cita-cita membawa faham Arab Spring ke Malaysia. Perubahan rejim yang diinginkan oleh Anwar tidak serasi dengan iklim politik Malaysia yang stabil dan maju.

Oleh itu Dr. Mazlan mempunyai bahan kempen yang terlalu banyak sama ada merujuk kepada fahaman tiga parti dalam Pakatan yang satunya memperjuangkan negara Islam, yang satu lagi memperjuangkan fahaman sosialis demokratik chauvanis ala Malaysian Malaysia dan yang satu lagi mendukung fahaman liberal dan pluralisme agama.

Dengan dukungan rakan-rakan setempat dan NGO dari luar, Dr. Mazlan bakal mempunyai isu yang banyak tidak saja domestik Permatang Pauh tetapi juga isu-isu nasional dan antarabangsa yang sangat sensitif bagi keselamatan dan integriti Malaysia masa depan. Didoakan Dr. Mazlan mampu melakukan suatu kejutan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Dokumentari pencerobohan Lahad Datu 70 peratus siap

Posted: 25 Apr 2013 01:30 AM PDT

Oleh AZIZ ITTAR

KUALA LUMPUR 25 April - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kini dalam proses menyiapkan sebuah dokumentari tentang pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah awal bulan lalu.

Ketua Pengarah Finas, Datuk Md. Afendi Hamdan berkata, dokumentari yang belum mempunyai judul dengan kos kurang RM1 juta itu telah 70 peratus siap.

"Ia dijangka disiapkan dalam masa beberapa bulan ini dan ia adalah inisiatif Finas merakamkan tragedi tersebut untuk tatapan umum.

"Projek ini dibuat di bawah program filem kenegaraan yang Finas usahakan sejak dulu," katanya kepada Utusan Malaysia.

Md. Afendi menambah, Finas juga dalam proses menerbitkan sebuah filem cereka tentang perjuangan Kanang anak Langkau, perajurit keturunan Iban dari Sarawak menentang pengganas komunis.

"Proses pembikinan filem seperti ini agak rumit kerana banyak sensitiviti yang harus diambil kira dari segi agama dan juga membabitkan sanak saudara mendiang Kanang itu sendiri," katanya. - UTUSAN ONLINE

Zizie peruntuk 15 jam bantu kempen suami

Posted: 24 Apr 2013 11:42 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 April - Hampir 15 jam sehari, itu masa yang diperuntukkan oleh pelakon Zizie Ezette untuk membantu jentera kempen pilihan raya di kawasan suaminya, Datuk Bung Moktar Radin yang juga calon Barisan Nasional Parlimen Kinabatangan.

"Memang sibuk, semua kawasan dijelajahi, kami memang berkempen berhabis-habisan dan saya lebih fokus kepada merayu undi dari rumah ke rumah," kata Zizie kepada kepada Utusan Online.

Malah untuk menyampaikan kempen secara lebih berkesan, Zizie tidak akan sepanjang masa mengekori suaminya ke setiap lokasi.

"Kami berpecah kepada dua team (kumpulan). Datuk (Bung Moktar) dengan teamnya akan ke lokasi lain melalui ceramah, berjumpa kumpulan pengundi yang lebih besar.

"Sementara saya lebih kepada merayu undi dari rumah ke rumah. Saya banyak bertemu dengan kumpulan wanita dari rumah ke rumah," beritahu Zizie lagi.

Pelakon putih melepak ini bernikah dengan Bung Moktar pada penghujung 2009 dan ini merupakan kali pertama beliau membantu suaminya berkempen bagi mengekalkan kerusi Parlimen Kinabatangan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Bung Mokhtar ditentang Abdullah Abdul Sani (PKR), Yambuya Perantis @ Cyril Pongod (Star) dan Ali Latip Taha (Bebas). - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


MRCB belanja RM4 juta naik taraf KL Sentral

Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT

Imran Salim (kanan) menunjukkan lakaran kerja-kerja naik taraf KL Sentral pada sesi taklimat mengenai status terkini projek-projek yang dilaksanakan sekitar KL Sentral di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 24 April - Sebanyak RM4 juta daripada RM13.8 juta dibelanjakan Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk menaik taraf kemudahan dan pengindahan stesen KL Sentral.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Imran Salim berkata, MRCB di bawah anak syarikatnya, Semasa Sentral Sdn. Bhd. (SSSB) melakukan kerja-kerja tersebut bagi meningkatkan keselesaan kepada para pengguna.

"Pada peringkat awal, kami mengumpul semua pendapat dan maklum balas daripada pemegang kepentingan termasuk orang awam dan wakil kerajaan sebelum menaik taraf kemudahan di KL Sentral.

"Antara kemudahan yang ditingkatkan termasuklah tandas awam, lampu, kawalan keselamatan, laluan pejalan kaki, perkhidmatan teksi, bazar dan penghawa dingin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat mengenai status terkini projek-projek yang dilaksanakan sekitar KL Sentral dan pusat perniagaan di sini hari ini.

Menurut Imran, kerja-kerja naik taraf tersebut dimulakan sejak September 2011 dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Tambahnya, jumlah pengguna dijangka akan meningkat selepas perkhidmatan My Rapid Transit (MRT) beroperasi kelak berbanding kira-kira 160,000 pengguna setiap hari ketika ini.

"Kami sudah 13 tahun menguruskan KL Sentral dan mahu memajukan stesen ini agar menjadi hab pengangkutan awam berkelas dunia," katanya.

RM120,000 menanti pemancing sempena Hari Pekerja

Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT

KUALA LUMPUR 24 April - Hadiah bernilai hampir RM120,000 menanti peserta dalam Pertandingan Memancing Perikanan-Belia 1 Malaysia sempena Hari Pekerja di Pantai Sungai Lang, Sabak Bernam, Selangor, 1 Mei depan.

Pertandingan anjuran bersama Jabatan Perikanan dan Wakjali Event Management itu menawarkan hadiah RM70,000 untuk juara, kedua RM12,000 dan ketiga RM5,000.

Bagi pemenang tempat keempat hingga ke-80 pula masing-masing menerima wang tunai RM500 dan RM200.

Turut ditawarkan wang tunai RM200 setiap seorang kepada 10 peserta yang berjaya menaikkan ikan sirat-sirat terawal.

Pengarah Urusan Wakjali Event, Md Zali Kasran, berkata tidak ketinggalan menerima habuan wang tunai RM3,000 peserta belia berumur antara 20 hingga 40 tahun yang menduduki ranking tertinggi pertandingan.

Menurutnya, Jabatan Perikanan juga akan menyediakan 100 set joran kepada 100 peserta belia pertama yang mendaftar di lokasi pertandingan selain 500 t-shirt lengan panjang untuk peserta mendaftar awal.

"Paling menarik, rangka ikan paus sepanjang 19 meter yang pernah dipamerkan di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2012 akan turut dipamer di lokasi pertandingan," katanya.

Pertandingan yang bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari itu mengenakan yuran penyertaan RM100 satu joran.

Kaunter pendaftaran akan dibuka di lokasi pertandingan bermula dari pukul 1 tengahari pada 30 April ini.

Selain Jabatan Perikanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga akan mengambil bahagian dalam pameran bagi mempromosikan pelbagai produk pertanian.

Pertanyaan lanjut hubungi 013-3588206 dan 012-6823479 atau lawati www.wakjali.com.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Fiza gadis ekstrem

Posted: 25 Apr 2013 02:00 AM PDT

Nur Hafizah Mat Piah gadis ayu yang meminati bidang lasak.

WALAUPUN bidang ekstrem dikatakan tidak sesuai untuk fitrah wanita yang dikaitkan dengan kelembutan dan kesopanan, bagi Fiza tanggapan itu perlu diperbetulkan.

Setiap wanita harus mempunyai satu sukan yang jadi rutin mereka. Tidak semestinya sukan ekstrem. Bagi saya sukan membuatkan wanita itu lebih sihat, ceria dan baik untuk kesejahteraan mental serta fizikal.

Jangan apabila sudah berkahwin berhenti daripada aktiviti fizikal, apabila aktif lebih banyak hormon endorfin dikeluarkan dan wanita pasti lebih gembira," jelasnya.

Fiza juga mahu memberitahu kepada ibu bapa di luar sana bahawa tidak salah menggalakkan anak-anak aktif bersukan.

Bidang ini ada masa depan, jangan takut mencuba, bila aspek keselamatan diutamakan risiko kemalangan berkurangan. Saya hendak ajak ramai wanita menceburi bidang sukan ekstrem, percayalah anda pasti teruja," jelasnya.

BERBEZA pula dengan ibu yang memang menggalakkan dia bersukan. Mungkin kerana darah sukan ibunya yang aktif bermain bola jaring pada waktu muda mengalir pada anak perempuannya, jadi minat mereka sama.

Itulah cerita Nur Hafizah Mat Piah, 32, yang kini menyandang jawatan sebagai pengurus pemasaran Hikers Climber Adventure Team (HCAT) Sdn. Bhd.

Tamat sekolah bapanya menghantar dia ke kolej untuk menyambung pelajaran dalam bidang perniagaan.

Memang dia berjaya menamatkan kursus tersebut, tetapi kemudian menyambung ke bidang yang amat dicintainya iaitu sains sukan.

Saya mengambil kursus pengurusan santai yang menjurus kepada banyak aktiviti luaran. Memang itulah kepuasan saya kerana dapat mendalami bidang sukan lasak dengan modul pembelajaran yang tersusun dan diiktiraf," ujar Nur Hafizah yang ditemui di tempat kerjanya di Taman Ekstrem Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Tidak perlu melalui sesi temuduga yang banyak, Nur Hafizah mendapat tawaran kerja ketika menjalani latihan praktikal lagi.

Sudah 12 tahun saya berkhidmat dengan HCAT. Saya seronok bekerja di sini dapat terus menerus melibatkan diri dalam aktiviti belia . Semua jenis sukan ekstrem saya perlu kuasai atau sekurang-kurang tahu asasnya.

Ini kerana dalam syarikat ini saya banyak menganjurkan kem bina semangat, kem motivasi yang menggunakan pendekatan sukan ekstrem," ujar Nur Hafizah yang juga pernah memenangi Anugerah Remaja Perdana anjuran Rakan Muda.

Ternyata percaturan memberi keuntungan padanya memandangkan dia merupakan satu-satunya staf wanita yang berkhidmat dengan HCAT.

Kepuasan saya ialah apabila dapat mencabar diri. Apabila berjaya menghabiskan satu cabaran, saya akan rasa puas dan yang lebih penting untuk menceburi sukan ekstrem perlu ada stamina.

Dengan menceburi kerjaya sebegini saya bukan saja dapat pengalaman malah kesihatan saya juga dapat dicapai seiring kerjaya.

Sukan ekstrem juga bukan setakat menguji stamina malah ia menguji minda. Semua jenis sukan ekstrem saya telah cuba dan yang paling saya suka setakat ini ialah paragliding," katanya sambil menunjukkan skil memanjat dinding (wall climbing ) kepada penulis.

Menurut Nur Hafizah, untuk mahir dalam sesuatu sukan ekstrem bukan sekadar minat malah perlu mengikuti kelas bersama tenaga pengajar terlatih.

Apabila ada asas barulah aktiviti yang dilakukan boleh dibuat dengan baik malah yang paling penting aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.

Selain mengetahui asas setiap sukan ekstrem, saya juga memperkasakan diri dengan pengetahuan bantuan kecemasan. Ini memang penting kerana kebanyakan khemah yang dianjurkan di dalam hutan jadi kalau ada kecederaan, bantuan awal dapat diberi sementara menunggu bantuan selanjutnya tiba.

Alhamdulillah sejak menceburi bidang ini saya jarang mendapat kecederaan, paling pun terkena minyak panas ketika menyediakan makan malam untuk peserta kem," ujarnya.

- NOOR FAZRINA KAMAL

Penyelesaian rambut kusut

Posted: 25 Apr 2013 02:00 AM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar SAFIYANA SALIM

Zahnita Wilson (kiri), Syarifah Sofea (dua dari kanan) dan Natasha Hudson (kanan) bersama anak perempuan masing-masing mempelajari cara dandanan rambut daripada juru gaya rambut pada pelancaran Carrie Junior Kids Shampoo Detangling and Frizz Control.

MANA-mana ibu memang gemar menyikat dan mengikat rambut anak perempuan dengan pelbagai gaya. Sanggul, ekor poni dan tocang lipan, semuanya menjadi pilihan.

Seronok bila lihat anak perempuan comel dengan rambut yang terurus, tapi kasihan sekali apabila anak menjerit dek kerana rambut yang kusut dan cara menyisir rambut oleh si ibu menyakitkan kulit kepala mereka.

Apa pun ibu mana yang mahu membiarkan saja rambut anak mereka terus kusut, sisiran dilakukan berulang kali agar kekusutan dapat dileraikan.

Tindakan ini bukan saja mengundang sakit pada anak malah rambut juga mudah putus dan akhirnya menjadi rambut bercabang.

Zahnita Wilson, Natasha Hudson, Syarifah Sofea adalah antara contoh selebriti tempatan yang mempunyai anak perempuan dan mengakui mengalami pengalaman yang sama dengan ibu-ibu lain.

Namun kini mereka dan ibu-ibu lain boleh tersenyum kerana Carrie Junior Kids Shampoo mempunyai penyelesaian untuk semua masalah tersebut.

Bertempat di The Little Pantry, di pusat beli-belah IOI Puchong, Selongor, para ibu bapa baru-baru ini berpeluang melihat demonstrasi menyisir rambut kusut daripada seorang pakar rambut.

Pengurus Pemasaran Wipro Unza, Edward Chen berkata, masalah rambut kusut ini sebenarnya bermula dari usia mereka empat tahun lagi.

Kanak-kanak perempuan juga mudah menjadi obses dengan rambut mereka sama seperti ibu mereka juga.

"Mempunyai rambut yang cantik juga menjadi idaman kanak-kanak. Bagaimanapun rutin harian mereka seperti ke sekolah, bermain dan pelbagai lagi menyebabkan rambut mereka kusut dan tidak teratur.

"Di Carrie Junio kami sentiasa berusaha keras untuk meningkatkan kualiti produk seperti syampu yang terbaru ini," katanya pada majlis pelancaran produk Carrie Junior Kids Shampoo Detangling and Frizz Control.

Ia merupakan produk syampu khusus untuk kanak-kanak perempuan yang mengalami masalah rambut kerinting dan kusut apabila mengikat rambut masing-masing di bawah cahaya matahari terik.

Edward berkata, produk itu sesuai digunakan oleh kanak-kanak perempuan berumur empat tahun ke atas kerana ia lembut dan dirumus khas untuk kulit kepala dan rambut mereka.

Syampu ini didatangkan dalam tiga saiz iaitu 90 mililiter (ml) pada harga RM4.30, 280 ml (RM9.90) dan 700 ml (RM21.90).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kerajaan akan terus majukan pengangkutan awam - PM

Posted: 25 Apr 2013 02:11 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB

KUANTAN 25 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kriteria utama Malaysia diiktiraf sebagai negara maju ialah apabila rakyat memilih menggunakan pengangkutan awam yang efisien walaupun mereka mampu memiliki kenderaan sendiri.

Beliau berkata, bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan melakukan perubahan secara tersusun dan teratur dalam memajukan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

"Saya juga umumkan di sini bahawa perkhidmatan percuma bas RapidKuantan akan diteruskan sehingga akhir Mei ini," katanya ketika berucap ketika mengadakan lawatan kerja ke Terminal Sentral di Indera Mahkota di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Projek tebatan RM266 juta selamatkan KB daripada banjir

Posted: 25 Apr 2013 12:13 AM PDT

Oleh YULPISMAN ASLI

ROMBONGAN JPPK diketuai Makhtar Mustapha menaiki bot untuk meninjau kawasan projek tebatan banjir lembangan Sungai Kelantan di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/IRWAN MAJID

KOTA BHARU 25 April - Projek tebatan banjir lembangan Sungai Kelantan bernilai RM266 juta yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat telah berjaya menyelamatkan bandar Kota Bharu daripada terus dilanda banjir akibat limpahan air sungai ketika musim tengkujuh.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK), Datuk Makhtar Mustapha berkata, projek yang dianggap istimewa itu merupakan projek terbesar setakat ini, di negeri ini dan dijadual siap sepenuhnya penghujung Jun ini.

Beliau berkata, projek itu yang dimulakan pada 2008 kini mencapai tahap pelaksanaan sebanyak 98 peratus.

"Objektif projek menyediakan infrastruktur tebatan banjir bagi mengatasi masalah banjir kilat akibat limpahan air Sungai Kelantan di bandar Kota Bharu. Pelaksanaan projek ini telah memberi manfaat besar apabila banjir tidak lagi berlaku di Kota Bharu.

"Selain itu, banyak harta benda yang sebelum ini musnah dalam banjir berjaya diselamatkan dengan pelaksanaan projek ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan projek tersebut dengan menaiki bot bermula di Jeti Kastam di sini. Turut mengiringi beliau ialah Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Azis Yacub. - UTUSAN ONLINE

Perlindungan insurans percuma untuk warga DRB-Hicom Pekan

Posted: 24 Apr 2013 11:26 PM PDT

KAKITANGAN DRB-HICOM kelihatan teruja dapat beramah mesra dengan Najib Tun Razak ketika menyambut ketibaannya ke Majlis Mesra Perdana Menteri Bersama Warga DRB-Hicom di Pekan hari ini. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

PEKAN 25 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan seramai 3,200 warga DRB-HICOM di Kompleks Automotif Pekan dan keluarga terdekat akan diberikan pelan perlindungan insurans secara percuma.

Menurut Perdana Menteri, pelan insurans jika berlaku kemalangan, ketidakupayaan kekal dan kematian itu sebagai usaha meningkatkan kebajikan pekerja serta pengiktirafan di atas usaha gigih dan dedikasi mereka selama ini.

Sementara itu, Najib berkata, Kompleks Automotif DRB-Hicom di sini dijangka menjadi hab automotif bertaraf antarabangsa dengan menjana peluang pekerjaan sebanyak 10,580 menjelang 2015.

Katanya, DRB-HICOM telah melakukan pelaburan tambahan sebanyak RM600 juta untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab automotif negara dan disasarkan pada jangka panjang pelaburannya mencecah RM4.5 bilion. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kerajaan sedia RM3 juta

Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT

Oleh SAHBULAH DARWI
utusankedah@utusan.com.my

MUHYIDDIN Yassin menunjukkan tanda bagus atas plan pembinaan pusat sukan sambil diperhatikan oleh Ahmad Bashah Md. Hanipah (kiri) dan Mukhriz Tun Mahathir (dua dari kiri) pada Majlis Perletakan Batu Asas Cadangan Pembinaan Pusat Sukan Parlimen Jerlun di Sanglang, Kedah, kelmarin.

JERLUN 24 April - Penduduk daerah ini bakal mempunyai sebuah Pusat Sukan Parlimen Jerlun yang lengkap dengan pelbagai kemudahan bernilai RM3 juta di Sanglang, Ayer Hitam di sini.

Majlis peletakan batu asas pembinaan Pusat Sukan Parlimen Jerlun di Sanglang dekat sini disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Kedah dan juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah hadir sama.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, pembinaan pusat itu adalah hasil inisiatif kerajaan BN sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan muda.

"Pelbagai kemudahan telah dibawa oleh BN di daerah ini dan pusat sukan ini adalah untuk golongan muda melakukan pelbagai aktiviti sihat," katanya semasa majlis berkenaan di sini.

Menurutnya, pusat sukan berkeluasan lebih 10 hektar itu terletak bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang dan dijangka dibina pada hujung tahun ini.

Katanya, ia merangkumi pembinaan pusat kegiatan sukan lengkap dengan podium mini, trek joging, gelanggang futsal, padang permainan kanak-kanak dan padang terbuka untuk kegunaan orang ramai.

Tambahnya, pusat tersebut dijangka siap dibina dalam tempoh setahun dan ia boleh memuatkan kira-kira 1,000 orang dalam satu-satu masa.

Polis puas hati aktiviti PRU-13 di Perlis berjalan lancar

Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT

KANGAR 24 April - Polis negeri ini berpuas hati kerana sehingga kini semua aktiviti berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Zull Aznam Haron berkata, ini memandangkan semua pihak berkaitan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Ini yang kita mahukan demi untuk kebaikan semua pihak," katanya dalam satu perjumpaan dengan kumpulan wartawan sempena PRU-13 di Pusat Media PRU-13, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Zull Aznam memberitahu, setakat ini pihaknya menerima tujuh aduan daripada penyokong parti yang tidak berpuas hati ekoran kerosakan dan kehilangan bendera atau bahan kempen selain perebutan kawasan.

Katanya, siasatan awal polis mendapati masalah tersebut bukan disebabkan unsur khianat tetapi disebabkan angin kuat dan ribut.

"Setakat ini kawasan paling 'hangat' adalah di sekitar Arau ekoran calon-calon yang bertanding terdiri daripada nama besar dalam politik," katanya.

Tambah beliau, sebanyak 1,192 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negeri ini bakal terlibat dalam proses undi awal PRU-13 pada 30 April ini.

"Sebanyak 12 pusat mengundi dibuka untuk polis yang melibatkan lapan lokasi antaranya di IPK Perlis, Kangar dan empat lagi untuk ATM dan salah satunya di Kem Oran, Mata Ayer, Arau," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Wanita diseru berniaga - Ahmad

Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT

Oleh LUQMAN HAZIQ
utusanjohor@utusan.com.my

Ahmad Maslan

PONTIAN 24 April - Golongan wanita di daerah ini digesa mencontohi isteri Rasulullah SAW, Siti Khadijah dengan menceburi bidang perniagaan untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Calon Barisan Nasional (BN) yang mempertahankan kerusi Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, Siti Khadijah boleh dianggap sebagai bendahari pertama pergerakan Islam di dunia.

"Bendahari pergerakan Islam yang pertama adalah seorang wanita dan kita mahu golongan wanita mencontohi kegigihan Siti Khadijah ini dalam berniaga.

"Malah, dalam hadis Nabi pun disebut, sembilan daripada 10 punca kekayaan adalah datangnya daripada aktiviti perniagaan. Dan Rasulullah sendiri sejak berusia enam tahun sudah mengikuti bapa saudaranya, Abu Talib berniaga ke serata tempat," katanya semasa pertemuan dengan golongan wanita dan ibu tunggal di Lorong Abdullah, di sini hari ini.

Beliau bersama isteri, Datin Noraini Sulaiman turut menemui para pengundi di beberapa kawasan di bandar ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, golongan wanita khususnya ibu tunggal boleh menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah untuk menambah pendapatan keluarga.

"Kita harus tahu bahawa kemiskinan bukan sesuatu untuk diwarisi. Kerajaan BN sentiasa membantu dengan menyediakan pelbagai peruntukan dan modal seperti yang diberikan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional dan sebagainya.

"Jadi, kita perlu keluar dari 'putaran ganas' kemiskinan ini dengan berusaha gigih dan salah satu caranya menerusi bidang perniagaan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved