Jumaat, 4 Oktober 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


2 rumah di Setapak hangus terbakar

Posted: 04 Oct 2013 11:06 PM PDT

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Dua buah rumah papan di Jalan Air Panas, Setapak di sini musnah dalam kebakaran pagi ini.

Seorang mangsa Lee Fong Chan, 73, berkata, ketika kejadian, beliau tiada di rumah dan bergegas pulang selepas menerima panggilan daripada cucu lelakinya yang berusia 14 tahun.

"Saya tidak sempat mengeluarkan sebarang dokumen peribadi dari dalam rumah kerana api marak. Ubat-ubat darah tinggi dan lelah saya juga musnah," katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

Warga emas ini yang tinggal bersendirian sejak 18 tahun lepas berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dapat menawarkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepadanya.

Seorang lagi mangsa, Normala Sabtu, 47, berkata, ketika kejadian beliau berada di tingkat atas rumahnya sebelum mendengar jeritan anaknya dan sempat menyelamatkan diri bersama tiga anaknya.

Sementara itu jurucakap bomba berkata, empat jentera bersama 28 anggota dihantar ke lokasi kebakaran sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.23 pagi dan api dapat dikawal sepenuhnya kira-kira 10.10 pagi.

Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA

KPDNKK rampas minyak, kenderaan lebih RM816,000 di Perlis

Posted: 04 Oct 2013 10:11 PM PDT

KANGAR 5 Okt. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas minyak dan kenderaan bernilai lebih RM816,000 daripada 92 kes di Perlis sejak awal tahun ini, kata Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Negeri Perlis, Razali Lebai Salleh di sini hari ini.

Rampasan terbesar membabitkan 39 buah kenderaan pelbagai jenis bernilai RM537,800, 110,941 liter petrol bernilai RM265,151.50 dan 7,448 liter diesel bernilai RM13,938.40.

Menurut Razali, pihaknya akan terus melakukan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi dan akan bertindak tegas terhadap pihak yang terbabit.

Pada Ops Penyelewengan Petrol/Diesel Bersubsidi KPDNKK selama tiga hari berakhir 3 Oktober lalu, pihaknya merampas 1,470 liter petrol, empat unit pam elektrik penyedut minyak, 18 unit tong drum dan empat buah tong plastik yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1,200.

Rampasan dilakukan di Padang Besar membabitkan dua lokasi dan dua lelaki tempatan berumur awal 30-an telah ditahan untuk siasatan.

Razali berkata, operasi yang diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan Zahari Ismail bersama 10 anggota telah melakukan operasi di kawasan pinggir sempadan antarabangsa itu dan dua kertas siasatan telah dibuka.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kelulusan Pengawal Bekalan dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM100,000 dan penjara selama tiga tahun. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Ducati buka 4 pusat jualan baharu

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Model memperagakan model baharu motosikal Ducati yang dilancarkan di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Next Bike Sdn. Bhd. (Next Bike) pengedar jenama motosikal Ducati merancang membuka empat buah pusat jualan baharu dengan nilai pelaburan kira-kira RM4 juta.

Naib Presiden Bahagian Dua Roda Naza, Datuk Nik Danial Nik Mahmood berkata, ketika ini, Ducati hanya mempunyai tiga pusat jualan iaitu di Petaling Jaya, Taman Tun Dr. Ismail dan Sungai Buloh, Selangor.

"Empat pusat jualan berkenaan bertaraf 4S (jualan, pameran, servis dan alat ganti) dengan purata pelaburan sebanyak RM1 juta untuk sebuah cawangan.

"Kawasan yang sedang dirancang adalah di Pulau Pinang, Kuching di Sarawak, Johor dan Sri Hartamas di sini kerana permintaan semakin meningkat di kawasan-kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan dua varian terbaharu Ducati di sini hari.

Dua varian terbaharu tersebut dari model Ducati Diavel iaitu Diavel Strada GP Edition dan Diavel Stripe.

Diavel Strada GP Edition mempunyai satu pilihan varian sport.

Diavel Strada GP Edition dan Diavel Stripe dijual pada harga RM114,888 dan RM116,888, manakala varian sport Diavel Strada GP Edition pula berharga RM124,888.

Beliau berkata, setakat ini , Next Bike telah menjual 550 buah motosikal model Diavel meliputi varian Cromo, Carbon dan AMG edisi di terhad di pasaran tempatan.

"Model Diavel merupakan salah satu model paling popular Ducati sejak diperkenalkan Pameran Motosikal Antarabangsa Milan 2010.

"Diavel 2013 menawarkan kuasa dan gaya yang cukup mengagumkan dengan enjin berkuasa 163 hp, tiga mod pemanduan dan sistem kawalan tarikan Ducati," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Pahang, ATM ke separuh akhir

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan DHIYA' ZULHILMI DAUD
sukan@utusan.com.my

Pemain ATM, Marlon Alex James (kanan) tangkas mengawal bola daripada pemain Lions XII, Farizt Jameed dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Selayang, malam tadi. ATM menang 4-1. - UTUSAN/Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR - Pahang layak ke separuh akhir dalam tempoh sembilan tahun selepas menewaskan PKNS 2-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi dengan kiraan agregat 5-3.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula mengikuti jejak Pahang selepas membelasah Lions XII 4-1 untuk kemenangan agregat 4-2 dalam satu lagi saingan suku akhir kedua di Stadium Selayang.

Di hadapan 30,000 penonton, penyerang Tok Gajah, Matias Conti yang meledak hatrik semasa perlawanan suku akhir pertama, 29 September lalu meneruskan sentuhan keramatnya ketika berdepan PKNS apabila menjaringkan gol pertama Tok Gajah pada minit ke-28.

Azamuddin Akil menggandakan kelebihan buat Pahang pada minit ke-59 manakala gol tunggal PKNS oleh Muhd. Khairu Azrin Khazali pada minit ke-66.

Disiplin yang tinggi barisan pertahanan Tok Gajah selain ketajaman serangan pantas ternyata membantu kemenangan skuad kendalian Dollah Salleh yang kali terakhir layak ke saingan separuh akhir Piala Malaysia pada tahun 2004.

Pahang akan berdepan pemenang perlawanan Sarawak dan Sime Darby yang akan berlangsung hari ini di Stadium Negeri, Kuching.

Tuah menyebelahi Tok Gajah apabila dikurniakan sepakan penalti pada minit ke-27 ekoran tindakan Ahmad Azlan Zainal menjatuhkan Conti sebelum pemain dari Argentina itu sendiri menyempurnakan sepakan bagi gol pembukaan Pahang.

Gol itu bagaikan menjadi pembakar semangat kepada anak-anak buah Dollah Salleh bagi mendapatkan jaringan kedua berpunca daripada sepakan jarak jauh menarik penjaga gol, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid pada minit ke-59.

Bola itu hadir tepat ke arah Azamuddin di dalam kotak penalti PKNS yang mudah menanduk menewaskan Mohd. Remezey Che Ros yang gagal menduga dengan tepat arah pergerakan bola.

Di Stadium Selayang, Marlon Alex James mempamerkan persembahan terbaiknya apabila menyumbatkan hatrik untuk memastikan anak-anak buah jurulatih B. Sathianathan melangkah ke saingan separuh akhir.

The Gladiators terlebih dahulu hampir dihukum seawal minit keempat apabila K. Reuben bertindak menjatuhkan kapten Lions XII, Shahril Ishak tetapi nasib ternyata menyebelahi ATM apabila pengadil perlawanan, Mohd. Nafeez Abd. Wahab tidak menghadiahkan penalti kepada pelawat.

Gol pertama yang dicari-cari Gladiators akhirnya menjelma pada minit ke-23 apabila hantaran perancang utama dari Argentina, Bruno Martelotto dari sebelah kanan tertepis pemain lawan, Hariss Harun ke gawang sendiri meletakkan ATM mendahului perlawanan 1-0.

ATM tergamam seketika apabila pemainnya, Amiridzwan Taj diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua, namun beraksi dengan 10 pemain tidak menjejaskan tuan rumah yang ketika itu mendahului 3-1 sebelum Alex James melengkapkan gol ketiganya.

Lions XII yang mengunjungi Stadium Selayang berbekalkan kelebihan satu gol ke atas ATM bangkit seketika menerusi gol tunggal daripada Hafiz Abu Sujad.

Penyokong Sarawak ceroboh stadium

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Oleh FARHANA JONI
utusansarawak@utusan.com.my

Gelagat sebahagian penyokong Sarawak yang kecewa terhadap FAS apabila mengumumkan tiket perlawanan Sarawak menentang Sime Darby habis dijual di pekarangan Stadium Negeri dekat Kuching, semalam. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

KUCHING - Kira-kira 2,000 penyokong fanatik skuad Bujang Senang memecah masuk Stadium Negeri di sini, semalam selepas tidak berpuas hati gagal mendapat tiket perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Sime Darby, malam ini.

Mereka berkumpul di hadapan pintu pagar utama stadium berkenaan seawal pukul 8 pagi selepas mendapat maklumat mengenai penjualan 1,000 keping tiket tambahan yang dikatakan akan dijual bermula 2 petang.

Penyokong berkenaan bukan sahaja berasal dari bandar raya ini, malah kebanyakan mereka datang dari Miri, Bintulu, Sibu dan Sri Aman.

Kira-kira pukul 2.30 petang, beberapa orang petugas Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menggantung kain rentang yang bertulis 'Harap Maaf Tiket Habis'.

Merasakan diri mereka dipermainkan, segelintir penyokong bertindak liar dengan merempuh pintu pagar berkenaan dan masuk beramai-ramai ke pekarangan stadium sambil meluahkan kemarahan.

Bagaimanapun, mereka berjaya ditenangkan oleh Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Daerah, Deputi Supritendan Amihizam Abdul Syukur dan beberapa anggotanya yang bergegas ke tempat kejadian.

Wakil FAS kemudiannya bertemu dengan penyokong Ngap Sayot dan memberi penjelasan berlaku salah faham berhubung penjualan tiket itu sambil menerangkan bahawa baki tiket akan dijual sebelum perlawanan malam ini.

Salah seorang penyokong, Ahmad Kamil, 60-an, berkata, dia kecewa apabila penjual tiket di Wisma Hopoh memberitahunya sebanyak 1,000 tiket tambahan akan dijual di stadium itu, semalam.

"Kalau betul memang tiket telah habis dijual semalam, tidaklah saya buang masa hari ini beratur sekali lagi semata-mata untuk membeli tiket.

"Walaupun saya bekerja sendiri, namun hal ini menyebabkan saya terpaksa menanggung kerugian sebab dua hari saya terpaksa tutup kedai," katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi penyokong yang dikenali sebagai Sharifah, 20, berkata, dia terpaksa berkejar pulang dari kelasnya di Kota Samarahan semata-mata untuk membeli tiket.

"Hari ini sekali lagi saya kecewa apabila pihak FAS buat macam ini, sekurang-kurangnya mereka tampil memberi penjelasan kepada kami yang telah menunggu di sini sejak pukul 8 pagi.

"Saya akan tunggu di sini awal pagi esok untuk pastikan betul atau tidak ada lagi tiket yang akan dijual seperti yang pihak FAS beritahu tadi," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Tentera laut Sri Lanka selamatkan 70 PATI

Posted: 04 Oct 2013 12:27 PM PDT

COLOMBO, Sri Lanka 5 Okt. - Tentera Laut Sri Lanka semalam berjaya menyelamatkan 70 individu yang dipercayai pendatang asing tanpa izin, selepas bot yang mereka naiki terkandas di perairan antarabangsa, selatan negara itu.

Jurucakap tentera laut Kosala Warnakulasuriya berkata, kesemua mereka telah dibawa ke pelabuhan selatan bandar Galle.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengetahui hala tuju destinasi mereka dan kemungkinan besar pendatang itu mahu ke Australia. - AGENSI

Seorang tentera Mesir terbunuh dalam satu serangan hendap.

Posted: 04 Oct 2013 12:26 PM PDT

KAHERAH 5 Okt. - Seorang tentera Mesir terbunuh manakala dua lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki ditembak oleh seorang lelaki bertopeng berhampiran bandar Ismailiya semalam.

Menurut pegawai, penyerang yang menaiki kereta tanpa nombor pendaftaran itu melepaskan tembakan ke atas kenderaan tentera, dalam serangan yang berlaku di sebatang jalan antara kawasan padang pasir Kaherah dan Ismailiya.

Ekoran daripada kejadian itu, pihak tentera bertindak menutup jalan terbabit bagi mengelakkan dari berlakunya sebarang kejadian buruk. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Norish Karman dapat hak sebahagian kereta mewah

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

SHAH ALAM 4 Okt. - Setelah empat tahun perbicaraan kes tuntutan harta sepencarian pelakon Norish Karman terhadap bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan artis itu berhak menerima 30 peratus nilai tiga daripada lima kereta mewah yang dituntutnya.

Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain bagaimanapun menolak tuntutan pelakon itu terhadap tiga rumah termasuk sebuah banglo di Bangi dan pegangan saham di tiga syarikat yang kesemuanya bernilai lebih RM3 juta setelah mendapati tuntutan itu tidak sempurna mengikut hukum syarak.

Beliau berkata, kereta mewah yang diisytiharkan sebagai harta sepencarian ialah Nissan Murano, Nissan Elgrand dan Mercedes CLK yang dinilai berdasar nilai semasa ketika tuntutan itu dilakukan manakala dua kereta mewah lain, Starvic dan Toyota Caldina bukan milik mereka kerana telah dijual kepada orang lain.

Bagi tuntutan lain, mahkamah mendapati Norish selaku plaintif gagal menyatakan dengan terperinci keterangan mengenai kedudukan lot dan nombor rumah serta tidak mengemukakan hak milik harta bagi kondominium di Danau Permai selain tiada sokongan kewangan mengenai perolehan tanah untuk rumah di Bangi.

Hakim Mohammad Adib berkata, defendan (Hashimuddin) telah mengeluarkan duit untuk pembinaan rumah di Bangi manakala kondominium itu telah dibeli oleh defendan lima bulan selepas pernikahan.

Norish atau nama sebenarnya, Nor'asikin Karman, 37, bernikah dengan Hashimuddin, 64, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Negeri Sembilan pada 11 Januari 1998 di Perlis.

Mereka bercerai secara rasmi pada 15 Julai 2008 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya dekat sini.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Haqiem Amany, 12, Muhammad Hady Amieran, 8, dan Nur Hanyz Amanda, 7.

Sementara itu, Norish ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, dia reda dengan keputusan itu dan menyifatkan tidak timbul isu menang atau kalah dalam kes tersebut.

Ditanya mengenai nilai tiga kereta tersebut, dia berkata, anggaran nilai semasa dibeli bagi ketiga-tiga kereta itu ialah RM1.2 juta.

''Rezeki ditentukan Allah namun saya yakin Datuk (Hashimuddin) bukan kejam, dia boleh menimbangkan sesuatu untuk anak-anak dan sebagai ibu kepada anak-anak dia, saya pasti dia akan beri hak kami,'' katanya.

Berhubung pegangan saham bagi tiga syarikat terbabit pula, mahkamah mendapati, Norish tidak mengemukakan bukti sumbangannya dalam memajukan saham dan kewujudan serta perancangan syarikat.

''Mahkamah juga meragui keterangan plaintif sebagai pemegang saham syarikat tetapi tidak mempunyai tunai dalam syarikat itu,'' katanya.

Norish yang diwakili peguam syarie, Datuk Amli Embong hadir namun Hashimuddin yang diwakili peguam syarie, Muhamad Burok tidak kelihatan sehingga selesai prosiding walaupun Muhamad memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya dalam perjalanan ke mahkamah itu.

Dia juga yakin Hashimuddin boleh bekerjasama dengan Amli untuk menjadikan keadaan lebih baik berbanding keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

Norish juga menegaskan, dia menyara kehidupannya sendiri manakala Hashimuddin ada menghulurkan bantuan terutama untuk anak-anak mereka.

''Saya ada rumah sendiri dan Datuk bantu apa yang perlu, tidak semua perkara saya bebankan kepada dia,'' katanya.

Norish yang merupakan peserta rancangan MasterChef Selebriti Malaysia Musim Ke-2 memfailkan permohonan itu selepas kegagalan mencapai kata sepakat melalui kaedah sulh (perbincangan secara baik) dengan bekas suaminya itu.

Mahkamah ingatkan Zed Zaidi berhati-hati jawab soalan

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkali-kali diingatkan supaya berhati-hati menjawab soalan peguam kerana beliau merupakan antara yang disaman oleh bekas bendahari persatuan itu, Abu Bakar Omar dan empat yang lain.

Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop yang mendengar perbicaraan masuk hari ketiga hari ini mengingatkan Zed Zaidi atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jalil supaya mendengar dan memahami soalan dengan betul sebelum memberikan sebarang jawapan.

"Kamu faham atau tidak soalan atau sengaja hendak main-main di sini,'' tegas Rosilah.

Pertanyaan itu diajukan beliau setelah Zed Zaidi berkali-kali tidak menjawab soalan barisan peguam yang mewakili Abu Bakar dan empat yang lain selaku pihak plaintif dalam perbicaraan tersebut.

Dalam saman yang difailkan pada 25 Januari lalu, Abu Bakar, Sahlan Sudiran (S. Sahlan), Roslinda Buang (Linda Buang), Mior Ahmad Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani (Sonny Abdullah) menamakan Seniman dan bekas presidennya, Harun Salim Bachik, Omar Kamarudin @ Yusof Kelana dan Wafa A. Kadir defendan pertama hingga empat.

Zed Zaidi, Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Syean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab) turut disenaraikan sebagai defendan kelima hingga kelapan. Pihak defendan diwakili peguam Mohd. Yusni Yussof, Suhaimi Saad dan Zahrin Ishak.

Menurut pernyataan tuntutan, defendan kedua, ketiga dan keempat merupakan Presiden, Setiausaha, Bendahari Seniman bagi sesi 2009/2012 sementara defendan kelima ketika itu Pemangku Timbalan Presiden manakala defendan keenam pula, salah seorang ahli jawatankuasa persatuan.

Pihak plaintif menuntut perisytiharan antaranya mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-14 Seniman pada 26 Mei 2012 sebagai terbatal dan tidak sah selain menuntut perintah agar RM56,000 dibayar kepada Seniman dalam tempoh sebulan oleh defendan kedua hingga keempat.

Pihak plaintif yang diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud, Muhd. Azmi Talib, Yusfarizal Yussof dan Majdah Muda juga menuntut ganti rugi am serta ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Zed Zaidi dalam keterangannya menyatakan, beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam plaintif yang menganggap beliau sengaja tidak mengemukakan data-data berkaitan keahlian Seniman kepada mahkamah bagi memastikan jumlah sebenar ahli persatuan itu.

Artis tersebut juga tidak bersetuju dengan Wan Rohimi yang menyatakan tindakan Abu Bakar membangkitkan perkara-perkara berkaitan kebajikan ahli bukannya suatu tindakan yang bersifat mengganggu perjalanan AGM Seniman.

Menurut Zed Zaidi, beliau setuju bahawa perbezaan pendapat merupakan satu perkara yang biasa namun perkara tersebut dibangkitkan oleh orang yang sama.

"Abu Bakar sengaja membuat kecoh dan dia sahaja yang hendak bercakap,'' katanya.

Zed Zaidi selaku saksi kelima dan terakhir pihak defendan juga tidak bersetuju apabila dikatakan beliau telah meminggirkan golongan veteran dalam pemilihan tersebut.

Selepas mendengar keterangan Zed Zaidi, Rosilah menetapkan 18 Oktober ini untuk pihak plaintif dan defendan memfailkan hujahan bertulis masing-masing dan jawapan kepada penghujahan hendaklah difailkan pada 24 Oktober.

Menurut Rosilah, mahkamah pada tarikh tersebut akan menetapkan tarikh keputusan kes itu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Pertingkat promosi kraf Pahang

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

MOHD. Sharkar Shamsudin cuba membuat ukiran bersama pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar pada majlis Promosi Kraf Malaysia di East Coast Mall, Kuantan, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 4 Okt. - Kraftangan Malaysia cawangan Pahang menyasarkan jualan hasil kraf tangan sebanyak RM800,000 dalam Promosi Kraftangan Malaysia peringkat negeri di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM ) di sini yang berakhir Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sasaran itu dibuat berikutan hasil jualan pada tahun lalu mencecah RM700,000.

Katanya, promosi selama enam hari itu diadakan bertujuan mempromosi dan memasarkan produk kraf kepada pengguna.

"Promosi ini merupakan kali kelima diadakan dan kita adakan program sebegini bagi menggalakkan perkembangan industri kraf di Pahang khususnya," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program tersebut di sini semalam.

Yang hadir sama Pengarah Kraftangan cawangan Pahang, Datuk Zubair Mohd. Zain.

Menurut beliau, sebanyak 24 usahawan dari seluruh negara menyertai promosi kraf kali ini.

"Mereka terdiri daripada usahawan batik, hasil rimba, logam, seramik dan aneka aksesori mutiara serta kristal," jelas beliau.

Katanya, setakat ini, sambutan yang diterima daripada orang ramai amat menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat, malah dari negeri lain.

Beliau berkata, selain jualan industri kraf, pelbagai aktiviti serta pengisian menarik turut menanti para pengunjung sempena promosi kraf ini.

"Antara aktiviti yang dijalankan termasuk mewarna batik, dekorasi seramik, ukiran kayu, membuat bakul dan pameran Tenun Pahang," katanya.

Pos Pantos miliki pelbagai khazanah budaya, berpotensi maju sebagai inap desa

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

KUMPULAN kesenian Orang Asli menyambut ketibaan tetamu dalam acara yang turut dihadiri oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di PPK Pos Pantos, Cameron Highlands, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 4 Okt. - Perkampungan Orang Asli Pos Pantos, Hulu Jelai dekat sini antara destinasi pelancongan di Pahang Barat yang kaya dengan khazanah budaya etnik Semai dan begitu unik untuk dibuat kajian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pos Pantos antara penempatan tersusun Orang Asli di Pahang yang dilengkapi pelbagai kemudahan iaitu sekolah, masjid, balai raya, bekalan elektrik, air bersih dan premis untuk peniaga di situ.

"Pos Pantos sesuai dijadikan projek inap desa memandangkan pelbagai khazanah budaya dan kesenian etnik Semai sentiasa dipulihara serta boleh dilihat dan dipelajari ketika pelawat singgah di sini.

"Lokasinya berdekatan dengan pusat pelancongan inap desa orang Melayu Kuala Medang memudahkan lagi kerajaan dan agensi pelancong mengadakan pakej lawatan ke tempat Orang Asli dan perkampungan Melayu di pesisiran Sungai Jelai, di daerah ini," katanya kepada Utusan Malaysia, di Pos Pantos, Jelai dekat sini.

Menurut beliau, projek inap desa yang berjaya menarik kedatangan pelawat domestik dan antarabangsa bukan sahaja di Pos Pantos, tetapi hal yang sama boleh dilakukan di Pos Betau, Pos Kuala Koyan dan Kampung Orang Asli Simoi Baru.

Katanya, pemilihan kampung berkenaan dibuat dengan mengambil kira kemudahan asas yang disediakan kerajaan negeri dalam usaha memperbanyakkan lagi destinasi pelancongan di Pahang.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri menyasarkan kedatangan lebih ramai pelancong dari Jepun, Korea, Singapura dan Eropah melalui projek inap desa di kampung Orang Asli di Hulu Jelai sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

"Kita ketengahkan kehidupan Orang Asli menerusi pemasaran kebudayaan dan ekonomi untuk dilihat oleh orang luar terutama pelancong Barat.

"Saya yakin keunikan budaya etnik minoriti di sini antara pemacu penting membantu kerajaan mencorakkan sosioekonomi penduduk pedalaman Hulu Jelai berasaskan sektor pertanian dan pelancongan," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Pos Pantos, Ahmad Zubair berkata, pihaknya akan menyediakan pelbagai pengisian untuk pelawat bagi menimba pengalaman mengenai kehidupan etnik Semai di situ.

Katanya, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) sudah bersedia dengan pelbagai kegiatan kebudayaan dan kesenian untuk pelawat di samping berharap kerajaan negeri memasukkan Pos Pantos dalam pakej program TMM 2014 di negeri itu.

Ibu tunggal lima anak dapat rumah

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

SHAHANIZA Shamsudin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada anak-anak Nolia Mohamed (tiga dari kanan) ketika melawat rumah ibu tunggal tersebut di Jalan Bukit Ubi, Kuantan, semalam.

KUANTAN 4 Okt. - Seorang ibu tunggal anak lima di sini, boleh menarik nafas lega selepas kerajaan negeri bersetuju meluluskan permohonannya mendapatkan sebuah rumah selepas kira-kira empat tahun berusaha memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Shahaniza Shamsudin berkata, kerajaan negeri akan memberi perhatian sewajarnya kepada golongan yang memerlukan dalam pelbagai aspek.

"Bagi kes Nolia Mohamed, 41, permohonannya mendapatkan sebuah rumah telah diluluskan dan dijangka menduduki rumah berkenaan di Rumah Murah Kampung Pandan di sini hujung tahun ini selepas mendapat Sijil Layak Menduduki (CF).

"Di samping itu, Nolia juga diberikan pinjaman RM5,000 daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) bagi membantu meningkatkan pendapatan melalui penjualan roti buatan sendiri untuk menyara lima anaknya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan peribadi di Rumah Wakaf, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di sini semalam.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kegigihan ibu tunggal untuk mendapatkan rumah bagi membesarkan lima anak yang berusia lima hingga 19 tahun selepas diusir bekas suami tiga tahun lalu tidak pernah terhenti meskipun terpaksa melalui pelbagai dugaan dan cabaran.

Bertambah getir apabila keluarga mentua yang bukan Islam turut mahu mengambil tiga anak perempuannya yang berusia 10 hingga 12 tahun sekiranya dia tidak mempunyai tempat berteduh.

Menurut Shahaniza, pihaknya melalui agensi berkaitan juga akan berusaha memasarkan roti keluaran Nolia dengan menggalakkannya menyertai setiap kursus dan bengkel kemahiran yang diadakan.

"Sebagai galakan, kita akan membantu ibu tunggal ini mendapatkan kemahiran melalui kursus dan bengkel yang dijalankan bagi menambah pendapatannya.

"Dia juga turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Muip masing-masing sebanyak RM300," jelasnya sambil memberitahu ibu tunggal dan lima anaknya ini ditempatkan sementara di Rumah Wakaf Muip.

Sementara itu, Nolia ketika ditemui pemberita bersyukur kerana hasratnya memiliki rumah untuk membesarkan anak-anaknya bakal tercapai.

"Alhamdulillah, saya teramat bersyukur. Saya harap selepas ini tiada lagi alasan mentua mahu mengambil anak-anak saya.

"Saya sedar mereka sebahagian daripada anak-anak tetapi perkara utama yang menjadi kebimbangan adalah akidah anak-anak jika tinggal bersama keluarga mentua.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang membantu saya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mengangkat ekonomi orang Melayu

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Oleh NURUL ANUAR KARI
rencana@utusan.com.my

Abdul Rahim Tamby Chik

PENGUMUMAN Dasar Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera merupakan kemuncak usaha kerajaan mengangkat kemampuan golongan pribumi agar dapat menikmati kekayaan tanah air mereka dengan lebih saksama.

Walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB), dasar pertumbuhan negara mahupun Model Ekonomi Baharu (MBE) telah digubal dan dilaksanakan, dasar pemerkasaan ini memberi penekanan strategik dan bersejarah yang menunjukkan azam kerajaan dan keberanian 'CEO' negara.

Ikrar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini juga membawa bersama harapan tinggi masyarakat bumiputera agar pelaksanaannya dapat mengurangkan jurang pendapatan, jurang sektor kerjaya dan jurang sektor ekonomi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bagi Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik, pengisytiharan dasar baharu itu pasti dapat mengangkat ekonomi orang Melayu ke tahap kejayaan lebih tinggi berbanding dahulu.

"Dahulu agenda ekonomi bumiputera cuma dasar biasa di peringkat negeri dan Persekutuan, tetapi hasrat pemerkasaan ini menunjukkan kerajaan lebih serius dan tidak segan silu lagi untuk menjadikannya dasar nasional yang penting.

"Kita mahu lihat orang Melayu dan bumiputera yang mewakili 67 peratus ini memberi respons (positif), bukan lagi duduk tidak berubah. Paradigma kita, sikap dan sistem nilai-nilai kita, nak lihat generasi muda kita terangsang untuk turut serta, baru ada makna," tegasnya.

Dasar baharu itu antara lain dikatakan memperluas kemudahan sedia ada, menubuh kembali unit-unit penyertaan bumiputera, geran fasilitasi, dana pembiayaan mikro dan mengangkat Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bertaraf menteri.

Teraju juga akan memantau agensi-agensi terbabit termasuk Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) di samping menyediakan pelan tindakan ke arah kejayaan ekonomi bumiputera dan mencipta lebih ramai usahawan-usahawan Melayu.

"Sedih melihat 18 ke 20 peratus sahaja syarikat Melayu yang ditubuhkan bertahan selepas 3 ke 4 tahun. Kita berharap, dengan pendekatan lebih teliti dan rasional dapat kurangkan kegagalan ini.

"Bukannya boleh terus berjaya dalam sekelip mata, perlu lihat pelan tindakan dengan mencipta lebih ramai usahawan bumiputera daripada kalangan yang sedia ada dan generasi muda di universiti-universiti kita," katanya.

Beliau juga berpendapat pelan tindakan itu dapat mengenalpasti jumlah usahawan yang diperlukan bagi membolehkan syarikat bumiputera bersaing dan ambil bahagian dalam pembahagian semula kekayaan ekonomi negara.

Tambahnya, kemampuan bersaing itu seterusnya akan membawa kepada keadilan dan kesaksamaan untuk kaum bumiputera menikmati kehidupan yang baik di tanah air sendiri, dikongsi dengan pelbagai kaum dan bukan dimonopoli sesetengah pihak sahaja.

"Dasar pemerkasaan ini kemuncak kepada segala perjuangan ekonomi bumiputera dahulu dan juga kesan daripada keputusan PRU13.

"Tiada siapa boleh mempersoal usaha Najib ini dan mudah-mudahan hasrat beliau melihat kejayaan orang Melayu menjelang PRU14 akan menjadi realiti," jelasnya.

Selain itu, Abdul Rahim turut berharap Perdana Menteri lebih peka terhadap usaha melihat syarikat milik kerajaan (GLC) diterajui kepimpinan yang betul dan tepat, khususnya dalam menyokong agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera.

Beliau berharap pertimbangan turut diberikan kepada golongan profesional yang berkelayakan dalam UMNO bagi mengimbangi pesara kakitangan awam yang dipilih menjadi Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah GLC.

"Daripada 3.4 juta ahli UMNO, ramai tokoh dan personaliti profesional yang berkelayakan dan tidak kurang hebatnya. Golongan ini juga mempunyai penghayatan perjuangan UMNO untuk menyelamatkan agama, bangsa dan tanah air kita.

"Selepas pemilihan kali ini, perlu ada usaha melihat golongan profesional sebagai aset parti dalam perjuangan ekonomi bangsa, merekalah wira-wira yang boleh menerajui agensi dan GLC," katanya.

Berhubung pemilihan UMNO, beliau melihat peningkatan mendadak jumlah pengundi daripada 2,500 orang kepada 146,000 merupakan perkembangan paling sihat dalam sistem Demokrasi Berparlimen negara.

Beliau yakin setiap seorang daripada pemimpin akar umbi UMNO itu mampu membuat keputusan terbaik selepas menilai reputasi, kredibiliti dan rekod calon yang baik berbanding calon yang mencari tempat dan jawatan sahaja sehingga gagal melaksanakan perjuangan yang diharapkan ahli-ahli parti.

"Peningkatan bilangan pengundi juga dapat mengurangkan politik wang khususnya bagi mereka yang mencari habuan, jawatan, projek dan pangkat. Jika dahulu 2,500 mungkin boleh 'pau' semua tapi sekarang akan perlu hampir RM15 juta jika mahu beri seorang RM100.

"Secara berperingkat kita dapat mengikis hasrat golongan tersebut, kembalikan kesedaran untuk berjuang bagi mendapatkan keredaan Allah, bagi mempertahan agama kita, bangsa dan tanah air kita, bukan perjuangan mencari kebendaan," tegasnya.

Walaupun umum ada termakan persepsi serong terhadap UMNO, Abdul Rahim yakin persepsi terhadap nilai-nilai parti boleh diubah dengan mengembalikan UMNO kepada asas perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

Beliau berharap ahli-ahli UMNO tanpa perlu menunggu PRU14 benar-benar turun menolong dan menjuarai rakyat, perjuangkan untung nasib, kesusahan, penderitaan dan kesempitan rakyat.

"Hari ini, kebanyakannya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersuara, makin kuat mereka membela untung nasib orang Melayu, makin terpinggir UMNO dan makin kecil suaranya.

"Ini amat bahaya, UMNO perlu bangun semula. Turun ke bawah, bekerjasama dengan NGO ataupun pegawai kerajaan untuk membela rakyat. Biar pejabat UMNO lebih aktif, lebih hebat daripada pejabat wakil rakyat dan pejabat kerajaan, sibuk nak tolong rakyat," ujarnya.

Beliau berharap isu-isu masyarakat setempat menjadi agenda utama mesyuarat bulanan bahagian dan cawangan sebagai bukti warga UMNO prihatin kepada masalah rakyat dan bukannya mengejar pangkat atau harta.

"Untung nasib nelayan, guru, pekebun kecil, ibu tunggal, penjaja-penjaja kecil dan lain-lain perlu jadi agenda setiap bulan. Transformasi jentera UMNO, turun lebih hebat daripada NGO dan jabatan kerajaan bantu masalah rakyat.

"Ubah imej UMNO itu sendiri, harap generasi muda UMNO dan generasi sedia ada hayati perkara ini. Kena transformasi dari segi peribadi, barulah kebangkitan semula UMNO. Betulkan diri kita, orang akan kenang jasa kita pada PRU14 nanti tetapi jika gagal, malapetaka datang bila-bila masa sahaja," jelasnya.

Biarlah pembangkang takut dengan 'bayang-bayang yang tiada'

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Oleh Zulkiflee Bakar

Kira-kira 20 orang wakil NGO berhimpun di depan Dewan Rakyat membantah pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 di Parlimen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KENAPAKAH pakatan pembangkang bagaikan 'cacing kepanasan' apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan 2013)?

Walaupun kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpuluh-puluh kali menjelaskan undang-undang itu bertujuan mencegah jenayah terancang tetapi pemimpin pembangkang seolah-olah 'pekakkan telinga' dan 'butakan mata' untuk menerima penjelasan itu.

Mereka terus mempolitikkan undang-undang tersebut dan ada lidah rasmi mereka menganggap ia lebih keji daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Entah mengapa peruntukan yang paling mereka takuti ialah memberi kuasa kepada Lembaga Pencegahan Jenayah mengeluarkan arahan menahan penjenayah selama dua tahun.

Apabila menyentuh sahaja peruntukan ini pembangkang bagaikan takut kepada bayang-bayang atau diburu mimpi ngeri. Mereka terpekik terlolong membantah peruntukan ini.

Biar pun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tiada niat dan tujuan tersurat atau tersirat untuk menahan mereka yang memegang jawatan politik manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pula menyatakan undang-undang baharu itu hanya melibatkan tindakan terhadap penjenayah, tidak sesekali disasar kepada ahli politik, ia masih belum mencukupi untuk 'mengubati' kebimbangan tidak bertempat pembangkang.

Justeru tidak perlulah lagi, kerajaan khususnya KDN mahupun PDRM hendak melayan kerenah pembangkang itu. Apa yang penting sekarang ialah soal ketenteraman dan keselamatan negara.

Biarlah pembangkang hendak buat protes 40 hari 40 malam, biarlah mereka terpekik terlolong atas pentas-pentas ceramah kerana dalam keadaan mereka tiada modal politik untuk meraih sokongan maka 'tunjuklah sedikit ihsan' kepada mereka untuk terus memprotes.

Hakikatnya, kita tidak perlu peduli apa kata pembangkang kerana selama ini pun mereka tidak pernah memuji sebarang usaha kerajaan, sebaliknya yang sering kita saksikan apa sahaja isu, segalanya mahu dipolitikkan.

Siang malam, pagi petang, subuh hingga senja dalam pemikiran pembangkang seolah-olah tidak ada perkara lain, mereka cuba melihat apa sahaja usaha kerajaan dari sudut negatif.

Mereka membentangkan hujah macam- macam yang kadang kala memualkan termasuklah soal hak asasi manusia. Malah mereka juga bersedia untuk membela penjenayah daripada kaum tertentu kononnya atas dasar tersebut tetapi langsung tidak berkata apa-apa apabila ada anggota polis yang tercedera atau terbunuh ketika menjalankan tugas.

Kalau betul mahu memperjuangkan hak asasi biarlah ia merangkumi semua pihak termasuklah untuk pasukan keselamatan juga. Tetapi ini tidak berlaku kerana seolah-olah bagi mereka, hak asasi hanya terpakai untuk orang yang mereka bela sahaja, apakah ini dinamakan keadilan?

Sebab itulah, kerajaan tidak perlu pening kepala untuk memikirkan apa yang pembangkang lakukan. Apa yang penting sekarang undang-undang tersebut sudah diluluskan oleh Parlimen dan apabila diwartakan maka laksanakan ia dengan sebaik-baiknya.

Sudah cukup selama ini, pasukan polis dilihat tidak bertaring dan kehilangan tenaga apabila ISA dan beberapa peruntukan undang-undang lain dimansuhkan.

Kini sudah ada undang-undang yang seperti mana kata Khalid memberi lebih 'tenaga' kepada polis dalam menangani jenayah khususnya jenayah terancang.

Oleh itu, apa pun pembangkang hendak kata biarlah mereka ibarat 'si luncai yang terjun dengan labu-labunya'. Apa yang perlu diutamakan ialah undang-undang itu akan mampu memberikan perasaan selamat dalam kalangan rakyat dan masa yang sama semakin yakin dengan kesungguhan kerajaan menjamin keselamatan mereka dan meningkatkan keamanan negara.

Kalau pembangkang ikhlas sudah pasti mereka akan menyokong undang-undang ini kerana ia untuk kepentingan rakyat. Pembangkang sering mendabik dada kononnya mereka pejuang rakyat sehinggakan kerjasama mereka pun dinamakan 'pakatan rakyat'. Kononnya, untuk memberi mesej kepada rakyat bahawa merekalah perjuang rakyat yang sejati tetapi apabila kerajaan melaksanakan sesuatu untuk kesejahteraan rakyat, mereka pula menentangnya.

Inilah sikap dan kualiti pembangkang yang ada di negara kita. Jarang sekali mereka menghamburkan pujian kepada sebarang usaha kerajaan, semuanya mahu dikritik, dikecam dan dibidas, seolah-olah kerajaan melaksanakan sesuatu itu bukan untuk kebaikan rakyat.

Namun begitu, kita percaya rakyat sudah bijak menilai, pembangkang boleh berkata dan berhujah apa sahaja tetapi sama ada segala yang mereka lontarkan itu benar atau tidak, bermotif politik atau tidak, maka biarlah rakyat menilainya.

Undang-undang ini bukanlah satu-satunya perkara yang menjadi sasaran serangan pembangkang, sebaliknya selama ini sudah banyak perkara menjadi 'mangsa' serangan mereka.

Bagi pembangkang, seolah-olah hanya mereka sahaja yang boleh melakukan sesuatu dengan baik dan sempurna, mereka sahaja yang pandai mentadbir, mereka sahaja yang bijak merangka atau menggubal undang-undang dan sudah pasti seolah-olah mereka sahaja begitu prihatin dengan hak asasi rakyat.

Tetapi apabila kita kaji sikap sebenar pembangkang maka kita akan mendapati, segala yang diperjuangkan tidak lebih hanya bermotif politik dan kadang kala mereka bagaikan 'takut kepada hantu yang tiada' dan bimbang kepada bayang-bayang yang tidak wujud. Itulah kualiti pembangkang di negara ini!

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Rachel Steven terima orang baru

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

RACHEL STEVEN

LOS ANGELES - Penyanyi The S Club 7, Rachel Steven dan suaminya Alex Bourne dijangka menerima kehadiran orang baru tidak lama lagi.

Perkara tersebut didedahkan sendiri Steven menerusi laman Twitter miliknya, baru-baru ini.

Saya mempunyai satu berita menarik untuk dikongsi bersama. Bourne dan saya sangat gembira selepas mendapat tahu saya mengandung lagi dan tidak sabar untuk bertemu dengan orang baru dalam keluarga kami pada tahun depan.

Kami sangat teruja, terutamanya anak tunggal kami, Amelia yang tidak sabar menunggu adiknya," ujarnya.

Turut dimuatkan dalam laman Twitter tersebut ialah jurulatih pasangan itu dan pasangan jurulatih kepada bayi dalam kandungan.

Steven dan Bourne bertunang pada 2008 dan berkahwin pada Ogos 2009.

Mereka menangguhkan persandingan kerana pelakon jelita itu membuat persediaan untuk kemunculan dalam rancangan televisyen berjudul Strictly Come Dancing pada 2008. - AGENSI

Nora Danish berlakon teater pertamanya Disember ini

Posted: 04 Oct 2013 02:21 AM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR

NORA DANISH

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Selepas 10 tahun berlakon drama televisyen dan filem, Nora Danish pertama kalinya akan terbabit dalam satu pementasan teater di Panggung Sari, Istana Budaya di sini pada Disember ini.

Menurut Nora teater yang masih dirahsiakan judulnya itu bakal diarahkan oleh pengarah terkenal Erma Fatima yang mana ia turut membariskan ramai pelakon popular seperti Erra Fazira dan Zizan Razak.

"Saya telah menerima tawaran berlakon dalam teater itu dua bulan lepas daripada Erma Fatima. Sesi latihan akan bermula pada 20 November ini selama dua minggu dan pementasan dijangka akan diadakan sekitar Disember ini.

"Selain berlakon saya juga perlu menari dan menyanyi dalam pementasan itu. Saya amat teruja kerana baru sekarang dapat tawaran berlakon teater dan saya pula sudah bersedia untuk berdepan dengan kritikan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Tulis surat mohon kahwin gadis Sabah

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Oleh Hisyamuddin Ayub

MOHD. Shuhaili dan Amina menatap gambar anak-anak yang menyerikan kehidupan mereka sebagai suami isteri sejak 19 tahun lalu.

BERKAT kesabaran menanti surat balasan kelulusan daripada ibu selama hampir dua bulan bagi memberi persetujuan berkahwin dengan gadis pilihan hati dari Sabah ternyata amat berbaloi.

Tidak sahaja terpaksa menanti sekian waktu untuk mendapat surat kelulusan tersebut, malah anak teruna dari Kampar, Perak itu terpaksa membuat surat dalam bentuk formal kepada ibu bagi menyatakan keinginannya menjadikan Amina Aucasa sebagai permaisuri hidup.

Tindakan nekad yang dilakukan oleh Mohd. Shuhaili Mohd. Taufek itu akhirnya membuka pintu hati ibunya untuk menerima pilihan hatinya dari negeri Di Bawah Bayu itu, setelah usaha menghubungi ibu bagi mendapat restu seakan menemui jalan buntu.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Sabah berkata, arwah ibunya, Saniah Ibrahim sentiasa memberi alasan dan mengelak bercakap dengannya berhubung keinginan berkahwin dengan Amina.

Katanya, dia ketika itu berusia 30 tahun terpaksa memberitahu arwah ibu yang merupakan seorang guru menerusi sepucuk surat rasmi bagi menyatakan keinginannya itu, selain alasan mengapa dia terlalu ingin memperisterikan Amina.

Katanya, tindakan menulis surat rasmi itu juga dibuat kerana ibunya banyak mengamalkan rules and regulation dalam kehidupan seharian, selain dia juga agak sukar untuk memberitahu secara terus kepada arwah ibu yang merupakan seorang wanita yang tegas.

Sepanjang tempoh menanti surat balasan restu daripada ibu, saya ada membawa Amina untuk bertemu dengan ahli keluarga termasuk ibu di Kampar bagi menyatakan kesungguhan saya menjadikan dia sebagai permaisuri hidup.

Mungkin kerana dua langkah yang dilakukan itu, arwah ibu bersetuju dan persetujuan itu dinyatakan dalam surat balasan yang diberikan kepada saya tidak lama selepas pertemuan di Kampar," katanya kepada S2.

Malah pengakuan yang diberikan kepada S2 di hadapan si isteri itu merupakan rahsia yang tidak pernah diceritakan kepada Amina selama ini.

Amina yang mendengar pengakuan suaminya tersenyum lebar dan menyatakan ibu mentuanya merupakan seorang yang sangat baik meskipun pada mulanya menentang jodoh anaknya dengan gadis dari Sabah.

Kata Amina yang kini bertugas sebagai Pengurus Kanan (Latihan dan Pembangunan) Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), pada zaman itu, ibu mana yang sanggup melepaskan anak mereka untuk berkahwin dengan gadis dari Sabah kerana faktor jarak yang sangat jauh.

Mungkin risau anaknya tidak kembali ke pangkuan atau melupakan ahli keluarga selepas berkahwin menyebabkan restu itu sukar diberikan kepada Mohd. Shuhaili.

Bagaimanapun, saya berasa amat bersyukur kerana diterima dengan baik oleh ibu mentua, malah saya merasakan dia sangat baik kepada saya, bukan seperti yang ditunjukkan sebelum perkahwinan kami.

Saya juga banyak belajar memasak makanan Semenanjung daripada ibu mentua dan kini saya yang menjadi tukang masak keluarga mentua terutama menyediakan rendang daging sekiranya pulang ke Semenanjung," katanya sambil bersyukur kerana kini sudah pakar menyediakan masakan Melayu termasuk laksa.

Hasil perkongsian hidup pada tarikh keramat 3 Jun 1994, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Syakir Nasution yang kini menuntut di Kolej Profesional Mara, Kuantan; Qaisara Lailaa, 15; Muhammad Aiman Nasution, 15, dan Muhammad Akmal Nasution, 10.

Ditanya mengapa Amina memilih Mohd. Shuhaili, wanita berdarah campuran Kadazan dan Bajau itu berkata, dia tertarik dengan sikap suaminya yang peramah dan suka mengusik.

Katanya, sikap tersebut ternyata memikat hati kewanitaannya, selain suaminya itu seorang yang low profile biarpun sudah menyandang jawatan tinggi dan merupakan seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).

Tapi dia milik kerajaan Malaysia (sambil tertawa). Kebanyakan masanya dihabiskan dengan tugas yang memerlukannya terbang ke sana sini dan menghadiri pelbagai mesyuarat. Namun jika sudah di rumah, dia akan menghabiskan masan dengan ahli keluarga," katanya.

Derita lantaran suami tidak bertanggungjawab

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

JANGAN berumah di tepi pantai jika takut dilambung ombak adalah ungkapan paling sesuai ditujukan kepada pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

Bukan satu urusan yang mudah untuk memperkasa rumah tangga yang dibina jika tidak punya kekuatan diri dan semangat untuk membahagiakan pasangan masing-masing.

Namun, dalam era masa kini, kebanyakan rumah tangga dibina berasaskan cinta semata-mata, tanpa kasih dan sayang, tanpa rasa saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Penghujungnya membawa kepada selisih faham kepada pasangan sehingga membawa keruntuhan rumah tangga.

Tidak mustahil di peringkat awal, kasih bersemi di penghujungnya, benci pula yang muncul. Itu yang sering terjadi seperti mana yang dilalui oleh Tina (bukan nama sebenar) yang didera mental dan fizikal oleh suaminya, Zami (bukan nama sebenar) akibat orang ketiga.

Hingga kini Tina masih lagi terumbang ambing menanggung derita, digantung tidak bertali dan diperlakukan seperti sampah oleh suami yang tidak bertanggungjawab.

Nafkah zahir dan batin entah di mana, anak-anak terabai dan dirinya kini dihalau keluar oleh suami kerana rumah itu atas nama suami.

Untuk mengetahui kisah lanjut, kita ikuti cerita Tina yang diluahkan kepada saya dalam pertemuan kami baru-baru ini.

Inilah kisahnya:

"Saya berusia lewat 30-an, berkahwin dalam usia yang agak muda. Suami seorang penjawat awam. Kami dikurniakan tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan yang masih bersekolah.

"Di peringkat awal, rumah tangga kami aman bahagia. Suami seorang yang bertanggungjawab dan prihatin dengan masa depan anak-anak dan saya.

"Awal tahun 2008, suami mula buat hal. Dia ada perempuan lain, seorang wanita pendatang yang dikenalinya di sebuah restoran tempat wanita itu bekerja.

"Sejak itu, hidupnya menjadi tidak terurus. Siang malam dia bertandang ke restoran tersebut untuk bertemu buah hati barunya itu, sementara di hujung minggu dia selalu menghabiskan masa dengan perempuan itu.

"Saya mendapat khabar tentang hubungan sulitnya dengan perempuan itu setelah diberitahu oleh seorang kenalan suami yang rapat dengan saya.

"Tidak cukup dengan itu, saya juga mengadakan intipan dan melihat sendiri kemesraan suami dengan perempuan itu. Hati mana yang tidak sakit dengan perbuatan suami, tetapi demi rumah tangga dan anak-anak, saya sabar.

"Walau usaha macam mana sekalipun saya lakukan untuk mengembalikan keharmonian dalam hubungan kami, akhirnya saya dapat khabar yang mereka telah bernikah.

"Untuk seketika, saya menjadi keliru dan sedih. Saya menangis mengenangkan apa yang dia buat kepada saya. Segala janjinya untuk bersusah senang dengan saya sepanjang hayat musnah dalam sekelip mata.

"Anak-anak selalu dimarahi tanpa sebab, saya dipukul dan dicaci sesuka hati kononnya tidak pandai melayan dia. Wang gajinya habis diberikan kepada perempuan itu tanpa satu sen pun diberi kepada saya dan anak-anak.

"Alasannya, sebab saya tidak taat kepadanya, melawan cakap dia dan tidak pandai mengurus rumah tangga.

"Setahun saya menderita, masuk tahun kedua saya mula memberontak. Saya keluar rumah kerana tidak tahan dipukul dan disepak terajang setiap hari. Saya juga mencari kerja untuk menyambung hidup saya dan anak-anak.

"Setelah mendapat tahu saya keluar rumah dan mencari kerja, dia datang ganggu saya di tempat kerja, maki hamun dan menyumpah saya kerana bekerja tanpa izinnya.

"Kerana tidak tahan didera mental dan fizikal, saya membawa diri ke Kuala Lumpur setelah mendapat kebenaran ibu bapa dan keluarga.

"Anak-anak saya tinggalkan bersama mak di kampung buat sementara kerana saya masih belum tahu hidup saya di sana bagaimana nanti.

"Walaupun keluarga cuba membantu tetapi saya tidak mahu membebankan mereka, cukup dengan apa yang telah saya lakukan selama ini. Keluarga cuba membantu tetapi saya tidak mahu kami pula menjadi beban kepada mereka.

"Akhirnya saya nekad lari ke Kuala Lumpur mencari kerja. Alhamdulillah saya dapat kerja sebagai guru sementara di sebuah pusat tuisyen. Majikan saya sangat baik orangnya. Dia juga memiliki sebuah pusat kecantikan di mana pada hujung minggu saya boleh bekerja di situ bagi menambah pendapatan.

"Entah dari mana suami dapat tahu, dia datang cari saya. Sekali lagi saya dihina dan dihamun. Malunya saya kepada orang ramai, Allah yang tahu. Tapi saya nekad untuk menyelesaikan masalah dengan suami.

"Dengan bantuan majikan, saya membuat laporan polis dan ke mahkamah syariah memfailkan kes. Saya ceritakan semua apa yang telah suami buat kepada saya dan anak-anak.

"Saya mohon untuk berpisah kerana tidak tahan lagi dengan perangai baran suami, lagipun dia sudah ada orang lain, tentu saya tidak akan dihargai lagi.

"Setelah mendapat tahu apa yang telah saya buat, kemarahannya semakin bertambah. Dia mengugut akan memukul dan meminta saya menarik balik laporan saya.

"Tetapi saya bertegas, tidak akan berpatah balik lagi. Keputusan saya muktamad demi masa depan saya dan anak-anak. Saya tidak lagi mahu diperbodohkan oleh suami yang tidak berhati perut dan tidak ada belas kasihan.

"Tidak cukup dengan mengganggu saya, suami mengganggu anak-anak saya pula. Dia ke sekolah berjumpa mereka dan memberitahu anak-anak, saya ibu yang tidak berguna dan jangan dengar cakap saya.

"Dia mengugut akan mengambil anak-anak daripada ibu saya di kampung jika saya terus dengan hajat untuk berpisah dengannya.

"Saya tidak kisah dengan apa yang suami hendak lakukan. Saya berpegang kepada kata-kata majikan saya, jika saya tidak mulakan langkah untuk merubah diri, saya sendiri yang akan susah sebab tidak ada orang yang akan membantu saya mengubah hidup saya.

"Kini dengan pendapatan yang mencecah RM1,500 sebulan, saya mampu hidup dan membesarkan anak-anak di kampung. Saya juga telah mendapatkan nasihat peguam dan menerima kaunseling daripada mereka yang pakar dalam hal ini untuk mencari kekuatan dan semangat.

"Alhamdulillah sekarang saya sudah dapat kekuatan dan saya akan berusaha untuk membebaskan diri saya mengikut lunas undang-undang. Saya akan bangkit menuntut hak saya agar saya tidak lagi diperlakukan sesuka hati oleh lelaki yang tidak layak dipanggil suami.

"Biarlah dia bahagia dengan isteri barunya. Saya nak tengok sejauh mana dia boleh bahagia dengan isteri barunya itu jika itulah perangainya.

"Anak-anak, sepakat mahu mengikut saya. Saya akan berusaha mendapatkan hak penjagaan anak-anak walaupun mereka sudah besar dan faham apa yang berlaku kepada saya dan bapa mereka.

"Syukur saya telah mendapat surat perintah mahkamah agar suami menjauhkan diri daripada saya. Saya pasti dia tidak akan berani berbuat sesuka hati setelah kes ini dibawa ke pihak berkuasa.

"Walaupun perjuangan saya mendapatkan hak masih panjang, saya berharap ia akan berjaya. Saya mahu menikmati hidup gembira seperti ibu-ibu lain bersama anak-anak walaupun tanpa suami.

"Suami bukanlah segala-galanya bagi saya. Tanpa suami juga saya boleh hidup seperti mana yang telah berlaku kepada saya tiga tahun kebelakangan ini.

"Saya mohon Allah murahkan rezeki saya, pelihara keselamatan saya dan anak-anak serta memberkati hidup saya di dunia dan akhirat. Saya tidak minta apa-apa daripada suami tetapi saya mahukan keadilan dan hak saya yang telah dia musnahkan.

"Doa saya semoga Allah makbulkan segala permintaan saya ini. Terima kasih saya kepada majikan yang memahami dan menyokong saya baik dalam waktu senang atau susah.

"Jika suami terbaca catatan ini, saya minta dia bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Ingatlah Allah memerhati dan melihat apa yang dia lakukan kepada amanah yang telah Allah kurniakan kepadanya," begitu syahdu Tina menutup ceritanya dengan suara sebak.

Saya terdiam beberapa minit mendengar cerita Tina. Begitu berat beban yang dia pikul selama tiga tahun ini.

Sudahlah didera fizikal dan mental, Tina juga diugut oleh suami untuk tidak membuat laporan tentang perlakuannya kepada pihak berkuasa.

Tahniah dan syabas Tina kerana anda telah membuat keputusan wajar dalam mencari keadilan terhadap hak anda sebagai isteri. Inilah tindakan yang harus dilakukan oleh setiap wanita apabila berdepan dengan masalah suami tidak bertanggungjawab seperti ini.

Mudah-mudahan kes ini selesai dengan baik dan Tina boleh meneruskan hidup dalam keadaan selamat dan tenang.

Seperti yang saya tegaskan di awal tadi, mendirikan rumah tangga bukan satu perkara mudah tetapi memerlukan komitmen dan rasa tanggungjawab yang cukup besar.

Menjadi lumrah, manusia mudah lupa pada janji, pada kesetiaan dan pada tanggungjawab khususnya pasangan suami isteri.

Apa pun semuanya adalah ketentuan Allah. Saya berdoa agar Tina akan diberi petunjuk dan hidayah untuk membuat keputusan yang terbaik untuk diri dan masa depannya.

Mengundur diri, jika anda ada cerita yang ingin dikongsi bersama pembaca sila e-mel kepada saya untuk siaran.

Saya akhiri catatan minggu ini dengan pesanan, "cinta dan kata-kata manis daripada seorang teruna kepada seorang gadis di alam percintaan tidak sama dengan ikrar dan akad yang dilafaz kala sah bergelar suami isteri. Ia satu amanah yang perlu dipikul sehingga ke akhir hayat dengan rasa insaf dan penuh tanggungjawab atas persetujuan berkongsi satu kehidupan".

Salam

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Seri batu akik

Posted: 04 Oct 2013 12:38 AM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

Rantai labuh dan gelang tangan batu asli yang cantik dan tidak ketinggalan zaman.

Cincin batu akik sememangnya cukup sinonim dengan masyarakat Melayu lama terutama di kalangan pengumpulnya yang percaya batu asli itu mempunyai 'khasiat' tersendiri.

Namun seiring perubahan zaman, batu asli ini turut menjadi pilihan bagi mereka yang mempunyai jari jemari kreatif untuk aksesori perhiasan diri yang moden dan menarik.

Sememangnya aksesori yang menggunakan batu-batu asli lebih cantik dan bermutu.

Bahkan ia mempunyai peminatnya tersendiri terutama bagi mereka yang menyukai barangan perhiasan unik dan boleh dipakai lama seperti kata pepatah, tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan.

Bagi pengumpul barangan perhiasan diri seperti ini, mereka mempunyai banyak koleksi yang telah dikumpul sejak bertahun-tahun lalu.

Mengetahui ramai yang meminati perhiasan diri daripada batu-batu asli, Sarah Amelia Mohd Nor menghasilkan koleksi terbarunya yang dinamakan Callia.

Selain batu akik, Callia, yang bermaksud cantik dalam bahasa Perancis, turut menggunakan batu-batu asli seperti lapis lazuli, kecubung, firus, jed, howlite dan banyak lagi.

Akik sahaja boleh diperoleh dalam pelbagai warna yang cantik berseri seperti biru, jingga, merah, hijau lumut, coklat, merah jambu, ungu dan warna-warna lembut.

Bagaimanapun dalam banyak jenis batu asli, firus merupakan batu yang paling berharga dan bernilai tinggi kerana kini sukar diperoleh dan warna birunya yang unik.

Koleksi Callia yang terdiri daripada rantai labuh, pendek dan gelang ini diberi sentuhan rekaan moden dengan pengertian tersendiri.

Bagi sesetengah rekaan, buah rantai atau charm pelbagai bentuk ditambah di antara susunan batu.

Rekaan gelang yang dihiasi charm ini disukai oleh remaja. Pun begitu, bagi golongan wanita berusia 20-an ke atas masih boleh menggayakan gelang tangan charm yang sesuai dengan mereka. Setiap gelang dijual pada harga di antara RM45 sehingga RM90.

Sementara itu, rantai batu asli yang dijual pada harga RM80 ke atas dirangkai menggunakan benang sutera yang kuat dan tidak mudah putus.

Setiap biji batu yang dimasukkan ke dalam benang akan disusuli dengan ikatan supaya lebih kuat dan jika terputus, hanya sebiji sahaja yang terjatuh dan bukan kesemuanya.

Istimewanya setiap perhiasan diri dalam koleksi Callia ini sesuai dipakai dengan apa sahaja fesyen pakaian baik yang moden, kasual mahupun tradisional.

Selain itu, pelanggan yang jemu dengan perhiasan diri yang dimiliki dan ingin menukar kepada rekaan lain atau ingin membeli secara dalam talian boleh berhubung dengan Sarah Amelia melalui Facebooktwentysixbysarah.

Kolagen teknologi Jepun

Posted: 04 Oct 2013 12:38 AM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar WAHIDAH ZAINAL

Ira Ghani bangga kerana berjaya mengeluarkan produk Nurwajah dan Auracafe.

PENGALAMAN selama 10 tahun mengeluarkan produk Aura Seri memberi inspirasi kepada pengasas produk tersebut, Datin Ira Ghani bagi menghasilkan produk terbaru beliau yang merupakan produk pemakanan.

Kedua-dua produk tersebut, iaitu Nurwajah dan Aura Cafe merupakan produk yang dicampurkan ke dalam minuman dan memiliki keistimewaan masing-masing.

Baru dilancarkan pertengahan bulan September lalu di sebuah hotel di ibu negara, Ira berkata, sudah tiba masanya beliau mengeluarkan pula produk pemakanan kerana selama ini Aura Seri hanya mengeluarkan produk yang digunakan secara luaran sahaja.

Bertemu dengan pengasas Nurwajah dan Aura Cafe ini di kilang Bot Industri Holding di Klang, Selangor, yang memproses kedua-dua produk tersebut, menurut Ira, beliau memahami kehendak dan keperluan setiap wanita kini yang ingin sihat dan cantik.

Oleh itu, beliau ingin mengambil peluang ini untuk berkongsi mengenai penjagaan kecantikan dan penampilan melalui kedua-dua produk tersebut.

Menurut Ira yang memegang jawatan sebagai pengurus di kilang tersebut, keistimewaan Nurwajah ialah ia merupakan minuman kolagen yang dihasilkan menggunakan teknologi tinggi dari Jepun.

''Minuman kolagen Nurwajah ini jika diamalkan secara konsisten boleh menjadikan kulit halus, licin dan cerah kerana bahan-bahan yang terdapat di dalamnya seperti kolagen marin, glutathione dan hyalurocid asid adalah bahan-bahan yang terbukti bagus dan baik bagi kesihatan kulit.

''Glutathione ini jika dilakukan pengamalan selama 99 hari tanpa henti akan memperlihatkan hasil yang menggembirakan sebanyak 80 peratus.

''Pembeli boleh mendapatkan Nurwajah di dalam kotak cantik yang di dalamnya terdapat 20 sachet dengan harga RM158 sekotak. Dalam setiap kotak pula turut dimasukkan kad gambar saya dengan sudut berbeza serta tip penjagaan kesihatan yang boleh dibaca, dikumpul dan diikuti,'' ujar Ira.

Sementara itu, Aura Cafe yang turut dimasukkan ke dalam kotak hitam cantik mempunyai 10 sachet dan dijual pada harga RM55.

Ira menambah, Aura Cafe merupakan satu-satunya kopi untuk sukses dan dengan meminumnya seseorang itu akan berasa bertenaga, hilang keletihan dan bersemangat semula.

Di dalam setiap kotak turut diletakkan kad motivasi dan sambil menikmati kopi, pembeli boleh membaca kad yang memberikan kata-kata motivasi.

''Dalam kotak Aura Cafe turut dimasukkan lima kad motivasi di mana pembeli digalakkan mengumpul sehingga 10 keping kad berbeza. Setelah itu mereka boleh datang ke pejabat kami bersama-sama kad tersebut dan berpeluang minum petang bersama saya dan suami,'' ujar Ira.

Menurut Ira lagi, pada peringkat pertama, kilangnya akan mengeluarkan sebanyak 1,000 kotak Nurwajah dan 1,000 kotak Aura Cafe bagi melihat sambutan pembeli.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved