Jumaat, 4 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Lima lokasi di Perlis biak denggi

Posted: 03 Oct 2013 11:02 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

KANGAR 3 Okt. - Jabatan Kesihatan Perlis mengenal pasti lima tempat di negeri ini yang didapati mempunyai indeks pembiakan nyamuk aedes yang tinggi serta berpotensi menyebabkan penduduk diserang demam denggi.

Jurucakapnya berkata, kawasan itu melibatkan Taman Seri Murni dan Taman Hijrah di Mukim Utan Aji, Kampung Hujung Tanjung, Mukim Kuala Perlis dan Pekan Simpang Empat, Mukim Sanglang.

"Penduduk di kawasan terbabit diminta mengambil langkah berjaga-jaga supaya pembiakan nyamuk aedes dapat dibendung," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kadar kes demam denggi yang didaftarkan hanya satu kes dari 22 September lalu hingga 28 September.

"Ini menunjukkan penurunan kerana pada minggu sebelum itu berlaku empat kes demam denggi," jelasnya.

Kata beliau lagi, demam denggi berdarah sejak minggu pertama Januari hingga 28 September lalu (minggu ke-39) berjumlah 174 kes.

"Terdapat peningkatan sebanyak 38 kes (27.94 peratus) berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak 138 kes," katanya.

Beliau berkata, tiada kes kematian akibat demam denggi berdarah yang dilaporkan pada minggu ke-39.

Katanya, sehingga kini hanya ada satu kes kematian akibat demam denggi.

Kerjasama penduduk bantu polis kurangkan jenayah

Posted: 03 Oct 2013 11:02 AM PDT

Mat Fauzi Nayan (duduk, tengah) dan Sham Mat Sahat (duduk, dua dari kiri) bersama sebahagian daripada penduduk pada majlis perasmian Pusat Kawalan SRS Kawasan Rukun Tetangga Taman Serai Permai di Bagan Serai, Pulau Pinang, baru-baru ini.

BAGAN SERAI 3 Okt. - Penglibatan masyarakat setempat dalam aktiviti pencegahan jenayah didapati berkesan membantu polis mengurangkan kadar jenayah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, hasil kerjasama masyarakat dan polis telah berjaya menurunkan kes jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol, jenayah jalanan dan ragut di daerah berkenaan.

"Daerah ini pernah digegarkan dengan kes tembak baru-baru ini, namun setakat ini kadar jenayah di sini sudah mula berkurangan.

"Semua ini (penurunan jenayah) berjaya dicapai hasil kesedaran penduduk di kawasan taman perumahan dan kampung yang mewujudkan pasukan kawalan setempat dengan kerjasama pihak polis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa merasmikan Pusat Kawalan Kawasan Rukun Tetangga Taman Serai Permai di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Menurut Mat Fauzi, aktiviti cegah jenayah seperti rondaan berjaya mengelakkan kawasan perumahan daripada menjadi sasaran penjenayah.

Beliau turut memuji kesanggupan masyarakat setempat yang sanggup berkorban masa dengan menjalankan rondaan pada waktu malam.

"Apa yang dilakukan oleh penduduk di sini, merupakan satu tugas mulia, selain dapat mewujudkan hubungan erat antara masyarakat dan polis," ujarnya.

Zambry sifatkan analisis Sivakumar dangkal

Posted: 03 Oct 2013 11:02 AM PDT

IPOH 3 Okt. - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyifatkan Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar dangkal dalam membuat analisis mengenai kadar kemiskinan negeri ini sehingga memberikan gelaran Perak sebagai 'naib johan miskin dan miskin tegar'.

Zambry turut menggesa Ahli Parlimen Batu Gajah itu supaya 'belajar semula' bagaimana mahu membuat analisis dengan betul kerana dakwaan belilau kadar kemiskinan negeri ini masih tinggi adalah tidak benar.

Sebaliknya, jelas beliau, kerajaan negeri mencatat kejayaan besar dalam menurunkan kadar kemiskinan dan miskin tegar.

Sebagai bukti, katanya, kadar penduduk miskin di negeri ini turun daripada 3.5 peratus pada 2009 kepada 1.5 peratus tahun lalu manakala kadar miskin tegar juga turun daripada 0.5 peratus kepada 0.2 peratus dalam tempoh sama.

"Beliau (Sivakumar) membuat analisis berdasarkan statistik terdapat 908 isi rumah miskin tegar dan 8,600 isi rumah miskin di negeri ini tahun lalu. Statistik itu dibahagikan peratusannya berdasarkan perbandingan dengan negeri-negeri lain.

"Analisis yang beliau buat adalah melucukan dan salah sama sekali, kerana kaedah pengiraannya bukan sedemikian, setiap negeri berbeza (kaedah pengiraan). Jadi saya rasa eloklah beliau belajar lagi sebab jika tersilap analisis, orang akan mengatakan ia bukan analisis yang cerdik," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini semalam.

Dalam kenyataan di sini baru-baru ini, Sivakumar mendakwa, kadar kemiskinan dan miskin tegar di Perak tahun lalu masih tinggi.

Kenyataan itu menyebut Perak berada di tempat kedua dalam kategori miskin dan miskin tegar di belakang Kelantan, iaitu bagi negeri-negeri di Semenanjung.

Dalam pada itu, Zambry menyifatkan analisis Sivakumar tersebut sekadar mahu mencari keuntungan politik dengan mengkritik seolah-olah kerajaan negeri tidak tahu mentadbir.

"Hakikatnya beliau (Sivakumar) tahu kadar penduduk miskin tegar di Perak adalah rendah iaitu 0.2 peratus. Namun, orang yang tidak tahu mungkin menganggap analisis beliau betul.

"Saya percaya dia pun tahu bagaimana kaedah pengiraan atau analisis yang betul. Saya tidak mahu berdebat dengan orang yang tidak faham atau dia buat-buat tidak faham. Jadi saya harap beliau tidak terus menunjukkan kedangkalannya dalam perkara ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved