Ahad, 26 Mei 2013

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Lonjak prestasi akademik

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Noraini Nordin, RAMLI OTHMAN

SIRI jelajah Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas terbukti berjaya membantu meningkatkan pencapaian keputusan peperiksaan para pesertanya - dengan menambah bilangan calon yang mendapat semua A, menambah baik peratusan semua lulus dan mengurangkan Gred Purata Sekolah (GPS).

Sangat membantu, kalau boleh tahun ini buat lagi," kata Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Muhammad Yusof di Linggi, Negeri Sembilan, Ramli Othman.

Sekolah itu menjadi hos bagi program berkenaan di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun lepas.

Ramli berkata, kejayaan itu menyalakan harapan dan semangat baru selepas ini, khususnya kerana kedudukan sekolah yang agak di pedalaman, serta pelbagai kekangan dan sokongan pendidikan yang merupakan kelaziman anak-anak luar bandar seperti ketiadaan pusat tuisyen.

Kalau ada peluang tahun ini atau tahun depan, kami hendak peluang (program diadakan) lagi," katanya kepada Utusan Malaysia dalam perbualan telefon baru-baru ini.

Pada 2011 tambah Ramli, GPS PMR ialah 3.1, dan menjadi bertambah baik pada 2012, iaitu 2.7.

Katanya, peratus lulus semua mata pelajaran turut meningkat iaitu daripada 47 peratus pada 2011 kepada 67 peratus pada 2012.

Sebagai kesimpulan, katanya, program itu memang sangat membantu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pengetua Sekolah Negeri Sembilan (MPSN) mencadangkan program itu dikembangkan di seluruh Negeri Sembilan. Beliau akan membentangkan cadangannya itu.

Kami juga menjemput Utusan Malaysia menjadi rakan media kami dalam program seminar untuk guru tentang kajian tindakan di Port Dickson nanti," katanya.

Program yang dianjurkan oleh Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) dengan kerjasama Unit Pendidikan Utusan Malaysia telah berlangsung di 11 lokasi di seluruh negara bermula awal tahun lepas, yang mencakupi sekolah rendah dan menengah.

Jumlah keseluruhan pelajar yang terlibat bagi program ini seramai 2,200 orang. Peserta UPSR seramai 600 orang, PMR (800) dan SPM (800).

Secara keseluruhannya, iaitu sejak program itu bermula pada 2010 di Kepala Batas, Pulau Pinang, jumlah sekolah yang telah mengikuti program berkenaan ialah 224 buah di Semenanjung Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 113 buah ialah sekolah rendah dan 111 buah ialah sekolah menengah.

Turut terlibat ialah sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan tujuh Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Keseluruhan pelajar yang terlibat adalah seramai 3,000 orang. Daripada jumlah tersebut, jumlah calon yang UPSR seramai 1,000 orang, PMR (1,000) dan SPM (1,000) orang.

Sambil beraktiviti, pihak Sekretariat Malaysia Prihatin turut melakukan tugas hakikinya menghulurkan sumbangan kepada pelajar miskin berbentuk barangan seperti beras, peralatan sekolah dan sebagainya.

Menurut Pengurus Besar SMP, Noraini Nordin pihaknya membuat keputusan memperluas program kecemerlangan pelajar ke beberapa negeri terpilih berdasarkan beberapa faktor.

Daripada hasil tinjauan SMP mendapati pelajar luar bandar kurang mendapat pendedahan tentang teknik menjawab soalan kertas peperiksaan, sama ada UPSR, PMR atau SPM," katanya.

Tambah beliau, Yang lebih penting calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan diberi suntikan motivasi untuk mereka cemerlang dalam pelajaran serta meningkatkan kemampuan diri."

Bagi Noraini, segala inisiatif berkenaan merupakan sumbangan pihaknya kepada pendidikan bagi melahirkan generasi yang gemilang.

Katanya, SMP mempunyai garis panduan dalam pemilihan peserta seperti calon yang sederhana pencapaian akademiknya tetapi berpotensi untuk maju.

Pemilihan juga berdasarkan tinjauan awal yang dibuat semasa program Kampung Prihatin.

Selain itu, sasaran penyertaan ialah pelajar kurang upaya atau kes-kes terpencil termasuk anak-anak yatim yang tinggal di rumah kebajikan kerajaan atau swasta," katanya.

Sementara itu, ketua program, Dr. Ismail Zain berkata, suntikan motivasi, panduan serta pengisian akademik melengkapkan keperluan program yang menyediakan peserta dengan persiapan menghadapi peperiksaan.

Peserta program bakal mendapat kemahiran tiga dalam satu, dalam usaha mencorakkan kemenjadian pesertanya sebagai modal insan 360 darjah.

Tiga kemahiran itu ialah kemahiran insaniah, kemahiran penaakulan dalam menjawab soalan dan kemahiran potensi diri," jelasnya.

Bagi meneruskan kesinambungan program, Utusan Malaysia membekalkan pembelajaran dengan bahan dalam talian (online) supaya peserta boleh melakukan latih tubi secara akses kendiri, kata beliau.

Kehadiran pelukis terkenal daripada Utusan Malaysia serta jualan buku turut diadakan pada sepanjang program.

Seperti mana program sebelum ini, peserta akan mengikuti program motivasi dan persiapan menghadapi peperiksaan yang saling melengkapi untuk menyuntik semangat dan keyakinan sebelum melangkah masuk ke dewan peperiksaan nanti.

Rembau pilih SMP-Utusan Malaysia

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Peserta Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi SMP-Utusan Malaysia pada tahun lepas di SMK Datuk Muhammad Yusof di Linggi, Negeri Sembilan tekun mengikuti sesi teknik menjawab soalan oleh guru pakar mata pelajaran.

REMBAU, yang mahu muncul nombor satu dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 peringkat Negeri Sembilan, mengalu-alukan penganjuran Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi anjuran Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) dan Unit Pendidikan Utusan Malaysia bermula hari ini.

Program UPSR akan diadakan pada 27 dan 28 Mei, PMR (18-19 Jun) dan SPM (2-3 Julai) di Pusat Kokurikulum Daerah , Pejabat Pelajaran Daerah Rembau.

Seramai 200 peserta daripada 30 buah sekolah - termasuk peserta Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil - akan dihimpunkan di asrama di bawah penyeliaan rakan penganjur, Pejabat Pendidikan Daerah Rembau.

Menurut Pengurus Besar SMP, Noraini Nordin, berlainan dengan program 2012, peserta akan menginap di asrama, dengan beberapa pengisian tambahan seperti pengisian kerohanian iaitu tazkirah dan suai kenal bersama SMP.

Kata beliau, pemilihan Rembau adalah satu inisiatif SMP untuk membantu calon UPSR khususnya di pinggir bandar, kampung dan pedalaman untuk mengecapi kecemerlangan dalam peperiksaan, dan menyokong program sedia ada bagi usaha melonjakkan Rembau sebagai nombor satu dalam pencapaian UPSR di Negeri Sembilan pada tahun ini.

Pada UPSR 2012, bilangan calon UPSR yang mendapat semua A dalam semua kertas yang diduduki ialah 127, iaitu satu lonjakan besar berbanding 94 pada 2011.

Tidak seperti UPSR, Rembau sentiasa cemerlang pada PMR, SPM dan STPM di Negeri Sembilan.

Noraini Nordin berkata, pihaknya berterima kasih kepda PPD Daerah Rembau yang telah membuka jalan kepada penganjuran program yang sangat berguna itu.

Utusan Malaysia yang dilantik untuk menggubal pengisian turut menyediakan kartunis serta jualan buku bagi mengurangkan stress program dan menambah keceriaan ketika mengikuti program.

Jualan buku akan menambah sumber bacaan yang mungkin sukar didapati di kawasan mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Idam ke final jumpa Johor DT

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Pemain Kelantan, Dickson Nwakaeme (kanan) cuba melepasi asakan pemain Terengganu, Vincent Bikana pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.

KOTA BHARU - Kelantan memasang impian untuk bertemu pasukan berstatus bintang dari selatan tanah air, Johor Darul Takzim pada akhir Piala FA musim ini.

Hasrat itu diluahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa selepas The Red Warriors mempamerkan kebangkitan yang menakjubkan menumbangkan Terengganu 4-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Annuar berkata, pada aksi Liga Super minggu lalu, pasukannya tidak berkesempatan mempertaruhkan barisan terbaik, yang menyaksikan mereka tumbang 0-2 kepada Johor DT.

Menurut beliau, sekiranya Kelantan layak ke final, beliau mahu The Red Warriors mempertaruhkan barisan terkuat.

"Kita harap dapat bertemu Johor DT di pentas akhir kerana kita tidak berpuas hati dengan keputusan baru-baru ini disebabkan kita beraksi tanpa skuad utama.

"Jadi kita nak main dengan skuad penuh dan mahu uji kekuatan dengan Johor, di gelanggang berkecuali," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengingatkan pemainnya supaya tidak berada di zon selesa meskipun berkelebihan tiga jaringan sebelum bertandang ke gelanggang lawan esok.

"Perlawanan masih berbaki 90 minit dan kita tidak boleh mengambil mudah kemampuan Terengganu. Pemain perlu meneruskan rentak konsisten pada perlawanan itu nanti," ujarnya.

Annuar juga memuji barisan pemain yang bangkit pada sepuluh minit terakhir yang mengubah keputusan perlawanan.

Annuar yang sebelum ini mengkritik keras percaturan taktikal Bojan Hodak yang merehatkan beberapa pemain tonggak ketika tumbang kepada Johor DT sebelum ini bersetuju dengan pendekatan jurulatih berkenaan pada perlawanan dengan Terengganu semalam.

"Malam ini kita setujulah (dengan percaturan Bojan) yang meletakkan pemain-pemain utama. Yang saya tidak setuju ialah dia simpan pemain dulu. Tetapi lepas mendapat penjelasan darinya, kita terima pendekatan yang digunakan," jelasnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Annuar mengecam tindakan jurulatih kelahiran Croatia itu di laman sosial Facebook miliknya selepas perlawanan dengan Johor DT.

Bagaimanapun, Hodak mempertahankan tindakannya tidak memasukkan beberapa pemain utama dengan alasan mahu memastikan pemain terbabit mendapat rehat yang secukupnya bagi menghadapi perlawanan separuh akhir piala FA.

Annuar berkata, teguran yang beliau di dalam Facebook bertujuan untuk 'menyedarkan' pemain supaya bangkit, selain turut membayangkan mereka bakal menikmati 'durian runtuh' jika berjaya melangkah ke final Piala FA.

'Percaturan bodoh' membuahkan hasil

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU - Bojan Hodak menjawab kritikan pedas yang diterimanya ketika kalah 0-2 kepada Johor Darul Takzim dalam aksi Liga Super Rabu lalu dengan berkata, 'percaturan bodoh' dalam perlawanan tempoh hari membawa hasil apabila Kelantan menang 4-1 ke atas Terengganu dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di sini, kelmarin.

Ketua jurulatih Kelantan itu berkata, dia gembira dengan keputusan tersebut kerana telah membuktikan 'percaturan bodohnya' sebelum ini akhirnya memberikan kejayaan yang besar kepada mereka.

"Anda boleh lihat bagaimana barisan pemain Kelantan yang diturunkan pada perlawanan ini mempunyai tahap kecergasan yang baik.

"Mereka mampu mempamerkan aksi cemerlang sehingga wisel penamat.

"Saya gembira dengan persembahan yang ditunjukkan barisan pemain dan tidak mudah berputus asa biarpun dikejutkan dengan jaringan awal lawan," katanya.

Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan dikejutkan dengan jaringan Mohd. Asahari Shamsudin pada minit kedua.

Tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-79 untuk jaringan penyamaan menerusi Dickson Nwakaemi.

Asakan Kelantan tidak mampu dibendung pertahanan Terengganu apabila menambah tiga gol menerusi Indra Putra Mahyuddin (m-83), penalti Obinna Nwaneri (m-92) dan Zairo Annuar Zailani (m-93).

Hodak mengakui, kemasukan Nwakeami berjaya mengubah rentak perlawanan sehingga pasukanya mampu menjaringkan empat gol dalam tempoh sepuluh minit terakhir.

Hodak turut memuji penjaga gawang pelawat Mohd. Shamirza Yusoff yang kerap mengagalkan usaha Kelantan untuk mendapat jaringan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Mirage jimat bahan api

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

Mitsubishi Mirage dengan enjin 1.2 liter semakin popular.

SEKIRANYA anda memerhati dengan teliti, industri pemotoran Malaysia kini menyaksikan syarikat-syarikat pengeluar kereta rancak memperkenalkan kenderaan dengan enjin bersaiz 1.5 liter ke bawah.

Puncanya mudah. Permintaan orang ramai, yang didorong oleh harga bahan api yang tinggi, kos penyenggaraan dan insurans. Atas alasan sama, permintaan bagi kereta terpakai Perodua Kelisa dan Myvi misalnya, masih tinggi dan tidak susut merudum harga jualan.

Sebenarnya, ini bukan tertutup kepada pasaran Malaysia semata-mata tetapi merupakan trend di seluruh dunia. Trend ini mendorong syarikat pengeluar kereta membangunkan enjin yang jimat penggunaan bahan api.

Terdapat juga syarikat kereta yang menggunakan tema 'penjimatan bahan api' dalam kempen pemasaran mereka untuk menarik minat pembeli tetapi kebanyakan kereta berkenaan hanya indah khabar kerana bila dipandu, ternyata kereta itu bersifat 'dahaga' sentiasa.

Dalam konteks ini, model kompak Mitsubishi Mirage dalam segmen B ternyata berbeza. Mitsubishi Motors Malaysia memberikan seunit untuk dipandu uji selama dua minggu. Dengan tangki penuh 35 liter, bermakna harga minyak RON95 yang perlu dibayar ialah RM66.50. Dengan kelajuan purata 110 kilometer sejam, setangki penuh tersebut berjaya mencatatkan perjalanan hampir 480 km. Dalam tempoh dua minggu saya hanya mengisi penuh tangki sebanyak dua kali!

Daripada luaran, terus-terang reka bentuknya tidak berapa menarik perhatian lelaki. "Comel," kata rakan sepejabat wanita. Dan kaum lelaki sangat geli perkataan 'comel'. Tetapi tidak bermakna Mirage ini tidak boleh dikentalkan sifat maskulin. Mitsubishi ada menyediakan pakej aksesori bagi menambah sifat kelakiannya. Asal sanggup tambah ongkos, Pakej AERO hampir RM2,000 atau Pakej Chrome RM700, sarung kulit kerusi RM1,500 dan penutup tangki minyak Ralliart RM150.

Di sebalik 'kecomelan' Mirage, reka bentuknya menyimpan resipi aerodinamik. Jurutera Mitsubishi menghabiskan masa yang lama untuk menghasilkan badan aerodinamik Mirage dalam terowong angin, yang merupakan faktor terpenting kepada kecekapan bahan api.

Mirage tampil dalam tiga varian, iaitu manual lima kelajuan GL, CVT GL dan CVT GS, dengan harga di antara RM55,328 hingga RM63,120 (atas jalan tanpa insurans) dan dalam lima warna iaitu Lemonade Yellow Metallic, Eisen Grey Mica, Red Metallic, White Pearl dan Cool Silver Metallic.

Ruang kabin Mirage adalah luas.

Pembeli boleh memilih enjin MIVEC dengan transmisi lancar dan cekap INVECS-III Continuously Variable Transmission (CVT) atau gear manual lima kelajuan.

Di samping waranti standard selama tiga tahun atau 100,000 km, Mirage didatangkan dengan pakej penyenggaraan percuma selama setahun (Penyenggaraan Alat-alat komponen, Minyak Hitam dan Kos Buruh sehingga setahun atau 20,000km).

Mirage memiliki kecekapan bahan api dan pelepasan CO2 rendah yang merupakan terbaik dalam kelasnya, berikutan enjin 1.2 liter serba baru dengan teknologi MIVEC dan badan aerodinamik yang mengurangkan kekangan dan terbabas.

Mengoptimumkan struktur badan dan penggunaan lebih luas panel yang ditegang kuat menjadikan kenderaan ini tujuh peratus lebih ringan berbanding kenderaan biasa dalam kelasnya, yang menyumbang kepada penjimatan bahan api yang lebih baik. (Nisbah berat diukur dengan menggunakan nisbah besi ditegang kuat diguna dalam Colt berbanding Mirage).

Enjin moden tiga silinder menghasilkan 78 PS dan 100 Nm kuasa kilas, menyajikan varian paling ringan dalam kelasnya iaitu 850 kg bagi CVT dan 825 kg bagi varian MT.

Mirage didatangkan dengan senarai peralatan yang menarik bagi sebuah kereta dalam segmen ini. Ciri-ciri uniknya merangkumi Kunci Pintar (masuk tanpa kunci), pendingin hawa automatik digital, sistem audio 2-DIN dengan pemain iPod, USB dan AUX, panel instrumen Pandangan Terang, dan kepala gear dan kemudi roda dibalut kulit.

Keselamatan adalah keutamaan di Mitsubishi, dan sebagai kereta global, model serba baru Mirage didatangkan dengan ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif bagi melindungi penumpangnya.

ABS 4-Roda dengan EBD adalah standard, bersama dua beg udara SRS dan penenggang tali pinggang keledar, Pengikat Kerusi Kanak-kanak ISO FIX, Kunci Pintu Bagi Kanak-kanak dan Tingkap Kuasa Anti-Sentuh.

Triton terbaharu di pasaran

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Mitsubishi Triton Heavy Duty

KUALA LUMPUR 26 Mei - Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi Motors di Malaysia baru-baru ini telah melancarkan Mitsubishi Triton Heavy Duty (2.8 litre diesel 4x4 Double Cap) baharu.

Menurut kenyataannya, kenderaan yang dibina untuk kegunaan lasak, Triton Heavy Duty didatangi dengan enjin diesel 2.8 liter bukan turbocharged dengan 97 PS dan 198 Nm tork.

Mitsubishi Triton Heavy Duty 2.8 litre ini juga didatangkan dengan tayar untuk kegunaan kawasan berlumpur yang disertakan dengan rim aloi 16 inci yang sesuai digunakan di kawasan yang permukaan jalan tidak rata.

Kenderaan untuk pendaftaran komersial sahaja ini dijual pada harga RM72,037.60 atas jalan tanpa insurans ,manakala bagi Sabah dan Sarawak pula masing-masing adalah RM73,832.60 dan RM73,798.60.

Kata kenyataan itu, kenderaan yang diimport sepenuhnya itu boleh didapati dalam warna putih solid.

Pemilik kenderaan ini akan menikmati jaminan selama tiga tahun atau sehingga 100,000 kilometer dan juga pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun bergantung pada terma dan syarat.

Orang ramai boleh melayari laman web www.mitsubishi-mo tors. com.my untuk maklumat lanjut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Ganjaran kesabaran Shila Amzah

Posted: 26 May 2013 08:35 AM PDT

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my

Saya bersyukur apabila khalayak di China semakin menerima penyanyi bertudung seperti saya. Biarpun di sana saya jarang mengenakan mekap tetapi peminat tetap mengenali.

SEKARANG ini masa untuk bekerja. Banyak perkara yang perlu dikejar. Tak ada masa nak bersedih-sedih lagi," kata Shila Amzah, 23, berhubung keadaan dirinya pada hari ini.

Baginya tempoh merawat luka di hati selepas putus cinta dengan pelakon Shaarnaz Ahmad kira-kira empat bulan yang lalu sudah memadai.

Enggan terus mengingati detik sedih itu, Shila merasakan ada hikmah tersembunyi di sebalik cintanya yang terhalang dan tidak mendapat restu orang tua.

Bahkan juara pertandingan Asian Wave 2012 ini mengaku terlalu beremosi sewaktu menjalinkan hubungan cinta satu ketika dahulu.

Lantaran itu Shila mengabadikan kisah cintanya sebelum ini sebagai satu pengalaman hidup seperti yang dilalui wanita lain.

Kini yang penting buat artis di bawah naungan Shanghai Music Group (SMG) ini adalah fokus untuk menempa nama sebagai penyanyi bertaraf dunia.

Shila amat yakin dengan kemampuannya. Dan yang lebih penting lagi impiannya itu disokong penuh oleh bapa, ND Lala, 51, dan ibu, Fauziah Sarman, 44.

Kedua-dua tulang belakang Shila itu juga menjadi penggerak utama kerjaya buat anak sulung daripada empat beradik itu.

Shila amat bertuah kerana orang tuanya sentiasa menyuntik semangat agar lebih bersedia untuk melangkah jauh ke hadapan.

"Manusia belajar daripada pengalaman. Jika dahulu saya agak berperangai macam budak-budak tapi tidak selamanya saya begitu. Mungkin sebab masa itu saya tidak boleh berfikir jauh. Tapi kini tidak lagi.

"Saya semakin fokus tentang apa yang mahukan dalam hidup. Malah saya bersungguh-sungguh mencapai impian itu. Saya mahu berkongsi kepada semua tentang bakat yang ada.

"Kesedihan yang saya alami itu ternyata tidak lama. Sewaktu mengerjakan umrah pada Mac lalu, saya curahkan segala-galanya kepada-Nya.

"Ada rezeki lain yang datang menggantikan rawan hati saya. Dan semua itu adalah ganjaran daripada kesabaran yang ditanggung selama ini," katanya penuh syukur.

Kini pemilik syarikat Shila Amzah Entertainment Berhad (SAEB) ini sedang sibuk dengan persiapan pembikinan album Melayu kelima yang bakal dilancarkan bulan depan.

Mengekalkan konsep pop rock, album yang masih dirahsiakan judulnya itu cukup istimewa kerana Shila sendiri yang mencipta keenam-enam lagu yang dimuatkan dalam album itu.

Malah Shila mencatatkan segala pengalaman suka, duka, susah dan senang yang dialami selama ini khusus buat peminat yang sentiasa menyokongnya selama ini.

"Tak banyak yang boleh saya kongsi untuk pembikinan album ini. Terpaksa dirahsiakan buat sementara waktu sehingga tiba masanya," kata Shila yang bakal terbang ke Shanghai, China penghujung bulan ini.

Masih warganegara MalaysiaDALAM pada itu, penyanyi lagu Patah Seribu ini menafikan dia sudah menukar taraf kewarganegaraan seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Mengakui tetap warganegara Malaysia, Shila menjelaskan bahawa dia hanya mendapat taraf penduduk tetap di China bagi memudahkan urusan kerjaya seninya.

Dengan keistimewaan itu, dia tidak perlu berulang-alik ke Jabatan Imigresen untuk urusan pembaharuan visa lawatan.

Shila juga bertuah menjadi satu-satunya artis Malaysia bertudung yang berpeluang mengembangkan bakat di negara yang megah dengan Tembok Besar China itu.

Selain itu Duta Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) ini juga menjadi simbol perpaduan peminat seni dua negara tersebut.

"Saya bersyukur apabila khalayak di China semakin menerima penyanyi bertudung seperti saya. Biarpun di sana saya jarang mengenakan mekap tetapi peminat tetap mengenali.

"Pernah saya bermain badminton dan kemudiannya disapa oleh peminat dengan panggilan Kak Xi-La. Saya terperanjat mereka kenal saya.

"Mereka terima saya sebab bakat dan penampilan bukan penghalang utama untuk mengeratkan silaturahim," katanya yang bakal melancarkan pertandingan menguruskan badan, Shilalas Biggest Loser dalam kalangan peminatnya.

Penyanyi yang pernah membuat persembahan di New York, San Francisco dan Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) ini juga mengakui terpaksa menjadi pendatang baharu ketika berada di China.

Jika hendak dibandingkan dengan beberapa penyanyi SMG yang sudah lama bertapak di sana, sudah pastilah nama Shila agak terkebelakang.

Bagaimanapun sebagai penyanyi yang menceburi bidang seni sejak kecil itu dia tidak gentar malah bersedia untuk menyerap apa juga perkara baharu yang dipelajari sepanjang menetap di sana.

Anuar, Dayang saling melengkapi

Posted: 26 May 2013 08:35 AM PDT

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my

Bagaimanapun kemesraan yang dipamerkan itu disalahertikan. Ada yang mengatakan wujud hubungan istimewa yang sengaja disembunyikan daripada pengetahuan umum. Sehinggakan ada yang mendesak agar mereka segera disatukan.

PERSAHABATAN yang terjalin antara mereka menyebabkan keserasian mudah terjalin. Bagaimanapun kemesraan yang dipamerkan itu disalahertikan.

Ada yang mengatakan wujud hubungan istimewa yang sengaja disembunyikan daripada pengetahuan umum. Sehinggakan ada yang mendesak agar mereka segera disatukan.

Permintaan tidak munasabah sebegitu sememangnya kerap kali diajukan kepada penyanyi popular Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah sehingga adakalanya menimbulkan perasaan bosan.

"Saya dan Dayang berkawan sejak tahun 1998 lagi. Dia adalah penyanyi hebat dan mengkagumkan di kaca mata saya.

"Setiap kali kami menyanyi duet, Dayang tidak pernah mengecewakan kerana dia mempunyai penjiwaan yang kuat dalam setiap nyanyiannya.

"Itu adalah keistimewaan Dayang yang kadangkala mengheret emosi saya juga. Tapi perlu diingat bahawa itu sekadar hubungan profesional di atas pentas. Kami sekadar melengkapi antara satu sama lain pada saat itu," tegas Anuar ketika ditemui baru-baru ini.

Menafikan wujud perasaan cinta, penyanyi lagu Lelaki Ini lebih gemar mengatakan hubungannya dengan Dayang sekadar abang dan adik.

Perasaan lebih daripada itu tidak mungkin wujud kerana mereka selesa sekiranya tidak meletakkan batasan tersebut setiap kali bekerjasama.

Begitu juga dengan Dayang yang merasakan perkara tersebut seakan-akan tidak wajar dipanjangkan.

Mengakui menghormati Anuar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang nyanyian, Dayang turut menerima tempias jika namanya dikaitkan.

"Pada mulanya saya anggap sebagai usikan manja. Bila orang tanya seboleh-bolehnya saya cuba mengelak.

"Tetapi apabila kerap ditanya, saya jadi malas nak ulas. Lagi pun wanita bujang seperti saya ini tidak manis bercakap pasal hubungan secara terbuka.

"Sebaliknya saya menyatakan rasa bertuah kerana dapat berduet dengan penyanyi hebat seperti Anuar. Dia juga impian para penyanyi untuk berduet sama," katanya.

Gandingan hebatBUAT pertama kalinya Anuar dan Dayang bergabung dalam satu album yang dirakamkan secara langsung sewaktu menjayakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP)

Konsert amal anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas cukup bermakna kerana dapat mengumpul dana buat badan-badan kebajikan, rumah orang tua dan rumah anak yatim terpilih.

Maka lahirlah album berjudul Anuar dan Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas yang berada di pasaran pada hari ini.

Biarpun konsert tersebut sudah hampir setahun tetapi persembahan di DFP itu dijadikan detik terindah buat kedua-dua penyanyi tersebut.

Ini kerana mereka berpeluang mengunakan khidmat pemuzik profesional bagi menyemarakkan kolaborasi seni kedua-dua artis dinamik tersebut.

Antara pemuzik yang terlibat adalah pengarah muzik, Jenny Chin bersama penampilan khas Mac Chew (keyboard), Aji (gitaris), Kelly (bass), Steve Thornton (genderang), John Thomas (pemain drum) serta Eja dan Widy (penyanyi latar).

"Peluang bekerjasama dengan barisan nama terhebat itu menyebabkan kami mahu ada kenangan untuk dikongsi bersama peminat.

"Sebab itu lahirlah album ini walaupun memakan masa hampir setahun untuk disempurnakan," kata Anuar tentang projek khas tersebut.

Album Anuar dan Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas memuatkan 10 lagu yang dipilih dengan empat daripadanya lagu duet.

Antara lagu yang termuat ialah Bila Resah, Mana Mungkin, Perlukan Cinta, Kembalilah Sayang, Hakikat Cinta/Keabadian Cinta, Cinta Harus Memiliki, Biar Akhirnya Di Sini dan Sedetik Lebih.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved