Ahad, 26 Mei 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Lonjak prestasi akademik

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Noraini Nordin, RAMLI OTHMAN

SIRI jelajah Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas terbukti berjaya membantu meningkatkan pencapaian keputusan peperiksaan para pesertanya - dengan menambah bilangan calon yang mendapat semua A, menambah baik peratusan semua lulus dan mengurangkan Gred Purata Sekolah (GPS).

Sangat membantu, kalau boleh tahun ini buat lagi," kata Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Muhammad Yusof di Linggi, Negeri Sembilan, Ramli Othman.

Sekolah itu menjadi hos bagi program berkenaan di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun lepas.

Ramli berkata, kejayaan itu menyalakan harapan dan semangat baru selepas ini, khususnya kerana kedudukan sekolah yang agak di pedalaman, serta pelbagai kekangan dan sokongan pendidikan yang merupakan kelaziman anak-anak luar bandar seperti ketiadaan pusat tuisyen.

Kalau ada peluang tahun ini atau tahun depan, kami hendak peluang (program diadakan) lagi," katanya kepada Utusan Malaysia dalam perbualan telefon baru-baru ini.

Pada 2011 tambah Ramli, GPS PMR ialah 3.1, dan menjadi bertambah baik pada 2012, iaitu 2.7.

Katanya, peratus lulus semua mata pelajaran turut meningkat iaitu daripada 47 peratus pada 2011 kepada 67 peratus pada 2012.

Sebagai kesimpulan, katanya, program itu memang sangat membantu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pengetua Sekolah Negeri Sembilan (MPSN) mencadangkan program itu dikembangkan di seluruh Negeri Sembilan. Beliau akan membentangkan cadangannya itu.

Kami juga menjemput Utusan Malaysia menjadi rakan media kami dalam program seminar untuk guru tentang kajian tindakan di Port Dickson nanti," katanya.

Program yang dianjurkan oleh Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) dengan kerjasama Unit Pendidikan Utusan Malaysia telah berlangsung di 11 lokasi di seluruh negara bermula awal tahun lepas, yang mencakupi sekolah rendah dan menengah.

Jumlah keseluruhan pelajar yang terlibat bagi program ini seramai 2,200 orang. Peserta UPSR seramai 600 orang, PMR (800) dan SPM (800).

Secara keseluruhannya, iaitu sejak program itu bermula pada 2010 di Kepala Batas, Pulau Pinang, jumlah sekolah yang telah mengikuti program berkenaan ialah 224 buah di Semenanjung Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 113 buah ialah sekolah rendah dan 111 buah ialah sekolah menengah.

Turut terlibat ialah sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan tujuh Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Keseluruhan pelajar yang terlibat adalah seramai 3,000 orang. Daripada jumlah tersebut, jumlah calon yang UPSR seramai 1,000 orang, PMR (1,000) dan SPM (1,000) orang.

Sambil beraktiviti, pihak Sekretariat Malaysia Prihatin turut melakukan tugas hakikinya menghulurkan sumbangan kepada pelajar miskin berbentuk barangan seperti beras, peralatan sekolah dan sebagainya.

Menurut Pengurus Besar SMP, Noraini Nordin pihaknya membuat keputusan memperluas program kecemerlangan pelajar ke beberapa negeri terpilih berdasarkan beberapa faktor.

Daripada hasil tinjauan SMP mendapati pelajar luar bandar kurang mendapat pendedahan tentang teknik menjawab soalan kertas peperiksaan, sama ada UPSR, PMR atau SPM," katanya.

Tambah beliau, Yang lebih penting calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan diberi suntikan motivasi untuk mereka cemerlang dalam pelajaran serta meningkatkan kemampuan diri."

Bagi Noraini, segala inisiatif berkenaan merupakan sumbangan pihaknya kepada pendidikan bagi melahirkan generasi yang gemilang.

Katanya, SMP mempunyai garis panduan dalam pemilihan peserta seperti calon yang sederhana pencapaian akademiknya tetapi berpotensi untuk maju.

Pemilihan juga berdasarkan tinjauan awal yang dibuat semasa program Kampung Prihatin.

Selain itu, sasaran penyertaan ialah pelajar kurang upaya atau kes-kes terpencil termasuk anak-anak yatim yang tinggal di rumah kebajikan kerajaan atau swasta," katanya.

Sementara itu, ketua program, Dr. Ismail Zain berkata, suntikan motivasi, panduan serta pengisian akademik melengkapkan keperluan program yang menyediakan peserta dengan persiapan menghadapi peperiksaan.

Peserta program bakal mendapat kemahiran tiga dalam satu, dalam usaha mencorakkan kemenjadian pesertanya sebagai modal insan 360 darjah.

Tiga kemahiran itu ialah kemahiran insaniah, kemahiran penaakulan dalam menjawab soalan dan kemahiran potensi diri," jelasnya.

Bagi meneruskan kesinambungan program, Utusan Malaysia membekalkan pembelajaran dengan bahan dalam talian (online) supaya peserta boleh melakukan latih tubi secara akses kendiri, kata beliau.

Kehadiran pelukis terkenal daripada Utusan Malaysia serta jualan buku turut diadakan pada sepanjang program.

Seperti mana program sebelum ini, peserta akan mengikuti program motivasi dan persiapan menghadapi peperiksaan yang saling melengkapi untuk menyuntik semangat dan keyakinan sebelum melangkah masuk ke dewan peperiksaan nanti.

Rembau pilih SMP-Utusan Malaysia

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Peserta Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi SMP-Utusan Malaysia pada tahun lepas di SMK Datuk Muhammad Yusof di Linggi, Negeri Sembilan tekun mengikuti sesi teknik menjawab soalan oleh guru pakar mata pelajaran.

REMBAU, yang mahu muncul nombor satu dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 peringkat Negeri Sembilan, mengalu-alukan penganjuran Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi anjuran Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) dan Unit Pendidikan Utusan Malaysia bermula hari ini.

Program UPSR akan diadakan pada 27 dan 28 Mei, PMR (18-19 Jun) dan SPM (2-3 Julai) di Pusat Kokurikulum Daerah , Pejabat Pelajaran Daerah Rembau.

Seramai 200 peserta daripada 30 buah sekolah - termasuk peserta Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil - akan dihimpunkan di asrama di bawah penyeliaan rakan penganjur, Pejabat Pendidikan Daerah Rembau.

Menurut Pengurus Besar SMP, Noraini Nordin, berlainan dengan program 2012, peserta akan menginap di asrama, dengan beberapa pengisian tambahan seperti pengisian kerohanian iaitu tazkirah dan suai kenal bersama SMP.

Kata beliau, pemilihan Rembau adalah satu inisiatif SMP untuk membantu calon UPSR khususnya di pinggir bandar, kampung dan pedalaman untuk mengecapi kecemerlangan dalam peperiksaan, dan menyokong program sedia ada bagi usaha melonjakkan Rembau sebagai nombor satu dalam pencapaian UPSR di Negeri Sembilan pada tahun ini.

Pada UPSR 2012, bilangan calon UPSR yang mendapat semua A dalam semua kertas yang diduduki ialah 127, iaitu satu lonjakan besar berbanding 94 pada 2011.

Tidak seperti UPSR, Rembau sentiasa cemerlang pada PMR, SPM dan STPM di Negeri Sembilan.

Noraini Nordin berkata, pihaknya berterima kasih kepda PPD Daerah Rembau yang telah membuka jalan kepada penganjuran program yang sangat berguna itu.

Utusan Malaysia yang dilantik untuk menggubal pengisian turut menyediakan kartunis serta jualan buku bagi mengurangkan stress program dan menambah keceriaan ketika mengikuti program.

Jualan buku akan menambah sumber bacaan yang mungkin sukar didapati di kawasan mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved