Khamis, 13 Mac 2014

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Keputusan SPM 2013 Khamis ini

Posted: 13 Mar 2014 11:41 AM PDT

KUALA LUMPUR 13 Mac - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 akan diumumkan pada Khamis 20 Mac ini dan semua calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing bermula pukul 10 pagi.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, calon persendirian pula akan dimaklumkan melalui pos atau dengan menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar.

"Calon SPM juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan melalui mySMS dengan menaip SPM diikuti nombor kad pengenalan dan nombor angka giliran dengan setiap nombor itu dijarakkan dan dihantar ke 15888," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Jelasnya, perkhidmatan itu akan diaktifkan bermula pukul 10 pagi Khamis ini dan ditamatkan pukul 11.59 malam, 26 Mac ini.

"Pengumuman analisis keputusan pula akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama Kementerian Pendidikan, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya pada pukul 9 pagi hari yang sama," katanya.

Seramai 470,395 calon mendaftar menduduki SPM di 3,616 pusat peperiksaan di seluruh negara tahun lalu.

SMK Cherang Ruku johan olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah Pasir Puteh

Posted: 13 Mar 2014 11:41 AM PDT

Skuad Olahraga SMK Cherang Ruku merakamkan kenangan selepas tampil juara keseluruhan acara balapan dan padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah yang berakhir di SMK Jeram, Pasir Puteh, Kelantan, kelmarin. - UTUSAN/Torek Sulong

PASIR PUTEH 13 Mac - Skuad olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku muncul juara keseluruhan acara balapan dan padang dalam Kejohanan Olahraga Tahunan, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Pasir Puteh.

Kejohanan selama tiga hari dan berakhir semalam itu diadakan di padang SMK Jeram dekat sini.

Ketua Jurulatih skuad SMK Cherang Ruku, Temeji Sabu berkata, kejayaan itu diraih selepas atletnya merangkul 15 pingat emas, 12 perak dan 13 (gangsa) menerusi 18 acara yang dipertandingkan.

Beliau berkata, atlet sekolah itu juga muncul johan kategori 18 tahun dengan merangkul 10 pingat emas, enam perak dan tujuh gangsa yang turut memberi laluan kepada sebahagian besar pelajarnya untuk mewakili daerah ini ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan (MSSK) tidak lama lagi.

Di antara acara yang mendapat pingat emas ialah 5,000 meter jalan kaki, 400m lari berpagar lelaki 18 tahun dan lompat kijang perempuan 15 tahun.

Selain itu, kita juga muncul johan dalam acara rejam lembing lelaki 18 tahun, 400m lelaki 18 tahun, 1,500m lelaki 18 tahun dan 15 tahun serta 1,500m jalan kaki 15 tahun," katanya ketika ditemui di padang SMK Jeram dekat sini semalam.

Temiji berkata, sasaran utama pihaknya adalah menjadikan atlet sekolah itu sebagai pelapis sukan olahraga yang boleh diketengahkan ke peringkat kebangsaan, seterusnya di pentas antarabangsa.

Beliau berkata, atlet sekolah itu yang berbakat seperti Ariff Aiman Nazari, 18; Nurul Amira Hamizad, 15; Muhamad Rohaizat Johari, 15; Nur Ain Muhamad, 18, dan Muhamad Saifullah Idham, 18, mempunyai potensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi sekiranya digilap menerusi latihan yang berterusan.

Mereka (pelajar) bukan sahaja diberi latihan intensif mengikut jadual yang ditetapkan tetapi turut didedahkan dengan pelbagai ilmu sains sukan bagi memastikan mereka benar-benar berkeupayaan untuk tampil sebagai jaguh yang berkaliber dalam setiap acara yang disertai," katanya.

Pada kejohanan itu, tempat kedua bagi keseluruhan acara yang dipertandingkan dimenangi skuad olahraga SMK Kamil dan tempat ketiga dimenangi oleh Skuad Olahraga SMK Gaal.

Kejohanan MSSD Pasir Puteh itu disertai 13 sekolah menengah di daerah ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Boleh disiplinkan anak, tapi bukan pukul - Rakan Ammar

Posted: 13 Mar 2014 11:41 AM PDT

STOCKHOLM 13 Mac - Keterangan daripada mereka yang rapat dengan kanak-kanak Malaysia yang didakwa telah didera oleh ibu bapa memberikan gambaran mengenai kesan yang ditanggung oleh kanak-kanak tersebut.

John Webb, rakan kepada Ammar, 13, memberitahu, remaja terbabit selalu marah-marah dan seringkali berada dalam keadaan sangat sedih sebelum memberitahu salah seorang kaunselor di sekolah bahawa dia telah dipukul di rumah.

Ibu bapa Ammar, Shalwati Norshal dan Azizul Raheem Awaludin ditahan sejak 18 Disember tahun lalu selepas Ammar memaklumkan salah seorang kakitangan sekolahnya yang dia telah dipukul menyebabkan satu laporan dibuat kepada pihak berkuasa.

Webb, 14, memberitahu, dia dan beberapa rakannya yang lain telah meyakinkan Ammar untuk bertemu dengan kaunselor selepas remaja terbabit mendedahkan ibunya telah menarik telinga dan mencubit bagi mendisiplinkannya.

"Saya fikir ia perkara yang betul, boleh mendisiplin tetapi tidak sepatutnya memukul," jawabnya apabila ditanya mengenai pandangannya berhubung penjelasan Ammar tentang kenapa dia dipukul.

Webb turut memberitahu Mahkamah Daerah Solna di sini bahawa Ammar merindui ibu bapanya dan dia berasa sedih kerana terpaksa tinggal dengan keluarga angkat walaupun tidak suka dipukul oleh orang tuanya.

Seorang lagi rakan, Maxwell Shenk memberitahu rasa sedih Ammar telah menyebabkan kanak-kanak lain tidak suka mendampinginya kerana akan turut membuatkan mereka berasa tertekan.

Shenk, 13, berkata, terdapat perbezaan ketara selepas Ammar bertemu dengan kaunselor sekolah apabila dia dilihat lebih gembira dan rakan sekolahnya sentiasa ingin bercakap dengannya.

Sementara itu, ibu angkat, Annelie Renman Amiljanic pula memberitahu, kesemua empat beradik itu agak tertekan terutamanya Ammar yang sering dilihat tidak selesa apabila beliau memanggilnya dari tingkat bawah atau sewaktu wanita terbabit mengangkat tangannya walaupun untuk mencapai sesuatu.

Amiljanic dan suaminya, Dejan Smiljanic menguruskan rumah perlindungan tempat kesemua kanak-kanak itu dihantar selepas ibu bapa mereka ditahan.

Wanita terbabit turut memberitahu, Aishah, anak sulung pasangan itu akan menjadi panik apabila lewat pulang ke rumah dan akan menghantar empat ke lima khidmat pesanan ringkas (SMS) meminta maaf walaupun setelah Amiljanic memberitahu dia tidak perlu berbuat demikian.

"Kesemua kanak-kanak itu memberitahu yang ibu mereka sering mengatakan akan menghantar mereka ke sekolah berasrama di Malaysia sekiranya mereka berperangai buruk," kata Amiljanic.

Pada 10 Februari lalu, Shalwati dan Azizul Raheem didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak-anak mereka.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kediaman mereka di SpÄnga, di pinggir bandar Stockholm di antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013. Perbicaraan bersambung esok. - THE STAR

Arifin tolak dakwaan campur tangan

Posted: 13 Mar 2014 11:41 AM PDT

GEORGETOWN 13 Mac - Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria hari ini menafikan dakwaan campur tangan dalam keputusan badan kehakiman baru-baru ini dalam kes membabitkan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Karpal Singh.

"Saya boleh memberi jaminan tidak ada perkara seperti itu. Bagi hakim, apa sahaja keputusan mereka buat, perlu memberikan sebab dan sebab ini tertakluk kepada penelitian mahkamah rayuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Majlis Hakim-Hakim Malaysia ke-48 di sini.

Beliau memberi jaminan jika keputusan badan kehakiman itu salah, tidak wajar atau menyalahi undang-undang, ia akan ditukar melalui proses biasa undang-undang.

Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar selepas mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan beliau atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, hampir enam tahun lepas.

Mahkamah Tinggi mendenda Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh RM4,000 atas pertuduhan menghasut terhadap Sultan Perak lima tahun lalu.

Ketika diminta mengulas perhimpunan haram yang dirancang pihak tertentu bagi membantah keputusan mahkamah itu, Arifin berkata, tindakan itu bukan caranya untuk menyelesaikan isu.

"Kita tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku. Harap jangan menghukum apa yang akan berlaku di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Proses (mahkamah) dapat didengar semua orang. Semua orang mendapat layanan sama di mahkamah," katanya.

Arifin berkata, badan kehakiman juga terbuka kepada kritikan tetapi ia perlu adil dan orang ramai perlu menunjukkan kepada mereka apa yang salah.

"Semua prosedur mencukupi bagi memastikan kebebasan dan integriti badan kehakiman tidak terjejas. Badan kehakiman adalah satu badan paling lemah.

Sesiapa sahaja boleh menyerang kami, tetapi kami tidak boleh mempertahankan diri sendiri. Kami hanya boleh mempertahankan diri dalam penghakiman kami. Kami tidak boleh terus menafikan itu dan ini," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


operasi mencari diperluaskan ke Lautan Hindi

Posted: 13 Mar 2014 07:06 PM PDT

WASHINGTON 14 Mac - Operasi mencari akan diperluaskan ke Lautan Hindi bagi mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang, kata White House.

Operasi mencari tersebut akan dilaksanakan sejajar dengan teori pesawat Beoing 777 itu mungkin bergerak ke arah barat kira-kira sejam selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Jurucakap White House, Jay Carney berkata, operasi tersebut akan dilakukan berdasarkan maklumat baharu diterima walaupun masih belum disahkan. - Reuters

Satelit kesan isyarat daripada pesawat MAS

Posted: 13 Mar 2014 06:35 PM PDT

WASHINGTON 14 Mac - Satelit mengesan isyarat daripada pesawat Malaysia Airlines selepas hilang Sabtu lalu, namun tanda tersebut tidak memberi maklumat mengenai lokasi atau arahnya, kata dua sumber rapat dalam siasatan tersebut semalam.

Bunyi `ping itu menunjukkan sistem penyelesai masalahnya dihidupkan dan bersedia untuk berkomunikasi dengan satelit dan bermakna pesawat membawa 239 orang tersebut sekurang-kurangnya mampu berkomunikasi selepas hilang daripada radar pusat kawalan trafik udara.

Sumber itu berkata, sistem itu mengeluarkan bunyi ping kira-kira sekali dalam tempoh sejam. Bagaimanapun, bunyi itu tidak menunjukkan pesawat berada di udara atau di darat. - Reuters

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Elak pembakaran terbuka

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

Saudara Pengarang,
CUACA panas dan kering yang melanda negara sekarang dikenal pasti antara punca kawasan hutan dan belukar mudah terbakar.

Kebakaran yang berlaku, khususnya di kawasan bertanah gambut di negeri ini semakin berleluasa seperti di Rompin dan Kuantan yang melibatkan kawasan Penor, Gebeng dan Indera Sempurna.

Tanpa perbuatan manusia sekalipun, keadaan cuaca yang terlalu panas boleh mencetuskan kebakaran belukar dan hutan.

Jadi, orang ramai diminta supaya tidak membuat pembakaran terbuka dan menghindari perbuatan yang boleh menyebabkan kebakaran ketika cuaca panas dan kering melanda negara sekarang.

Kerjasama orang ramai perlu kerana dalam keadaan sekarang, kawasan kering seperti belukar dan lalang begitu mudah terbakar.

Hanya dengan pembakaran kecil sekalipun, api pasti mudah merebak disebabkan keadaan cuaca yang panas dan kering ketika ini.

Kita juga dapat melihat hampir setiap hari ada sahaja kenderaan bomba yang bergegas ke sana sini bagi memadam kebakaran yang berlaku.

Jika kecil, pasti boleh dipadam dalam masa yang singkat, tetapi jika membabitkan hutan yang besar pasti memakan masa berhari-hari.

Kebakaran dalam cuaca panas dan kering kini perlu dielakkan, ini kerana kita di seluruh negara menghadapi krisis kekurangan bekalan air.

Dalam pada itu, kesan daripada kebakaran juga boleh menyebabkan berlaku jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.

Sekarang pun, jika berada di Kuantan dan kawasan sekitarnya bau asap ekoran kebakaran yang berlaku terlalu kuat sehingga boleh mengganggu pernafasan.

Jadi, marilah bersama-sama mengelakkan pembakaran terbuka dan kepada mereka yang menghisap rokok janganlah membuang putung rokok di merata-rata.

NIZA,

Kuantan

Elak pembukaan penempatan setinggan di Jengka

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

Saudara Pengarang,
BANGUNAN kedai di Jengka Street sudah dibina lebih empat tahun lepas dikhabarkan khas untuk penghuni setinggan Matau sebagai pelan untuk mereka berpindah di kawasan baharu yang lebih selamat dan bersih.

Saya sering berulang alik melalui jalan ini setiap hari tertanya-tanya status premis kedai yang siap dibina itu tidak pernah dibuka sedangkan permintaan pengguna khususnya terhadap kedai makan semakin bertambah.

Perhatian dan layanan kerajaan terhadap setinggan Matau agak lebih daripada biasa kerana mereka turut ditawarkan rumah di Jengka Impian 1 tetapi tidak semua mahu berpindah dan masih kekal menetap di Matau.

Mereka berkeras tidak mahu berpindah kecuali kerajaan membayar wang sagu hati RM20,000 sekeluarga tetapi masih ada yang menuntut bayaran lebih RM20,000 tanpa malu dan mengambil kira status mereka selaku penghuni kawasan tanah yang tidak disahkan kerajaan.

Premis kedai di Jengka Street terbiar kerana penghuni Matau yang terpilih berniaga di situ enggan memulakan perniagaan walaupun Majlis Daerah Maran (MDM) memberi insentif tanpa bayaran sewa selama tiga tahun.

Bagi mengelakkan pembaziran pihak MDM diminta segera menawarkan kepada peniaga lain yang lebih berwibawa dan berminat berniaga di kawasan Jengka Street yang semakin menjadi tumpuan setiap pagi Sabtu.

Bangunan rumah kedai lebih 20 buah turut disediakan surau dan tandas yang selesa sangat sesuai sebagai medan selera yang baharu di Bandar Tun Abdul Razak Jengka untuk tumpuan warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang dan masyarakat Felda.

Kerajaan telah mengambil masa terlalu lama melayani kerenah penduduk Matau menyebabkan projek pembangunan di tapak Matau gagal dilaksanakan. Kebaikan kerajaan pula hanya dipermainkan berdasarkan rekod pilihan raya kawasan ini merupakan penyokong kuat pembangkang.

Pihak berkuasa juga diharap turun padang memantau ada bekas penghuni Matau membina rumah di kawasan lain berhampiran pasar borong Jengka jika tidak dibanteras awal akan wujud Matau kedua di Bandar Tun Abdul Razak Jengka.

ANAK MAT ULAT BULU

Jengka

Tingkatkan promosi TMM 2014

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

Saudara Pengarang,
Saya rasa terpanggil untuk berkongsi pendapat mengenai program Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 yang dilancarkan sejak tahun lepas antara objektif untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Umum mengetahui bahawa sektor pelancongan amat penting kepada negeri Pahang kerana ia dapat menjana ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk.

Jika pendekatan kempen dan promosi berada di landasan betul, sudah tentu dapat menepati sasaran kerajaan negeri kerana Pahang bertuah dianugerahkan pelbagai tarikan yang tiada ada di negeri lain.

Namun terdapat kebimbangan rangka promosi yang tidak menyeluruh apabila tumpuan pelancong masih terarah kepada kawasan tarikan sedia ada.

Sebagai contohnya pusat pelancongan Taman Negara Kuala Tahan. Berdasar maklum balas pengusaha hospitaliti dan penduduk tempatan, nampaknya impak yang diharapkan masih belum berada di kemuncak.

Saya juga ingin menyentuh masih wujud kedinginan dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap usaha merancakkan kempen TMM 2014 tanpa memaparkan elemen yang boleh menarik minat pengunjung termasuk kebersihan dan keceriaan.

Sikap acuh dan tidak acuh pihak berwajib membantu kempen TMM 2014 agak menyukarkan sasaran kerajaan untuk mencapai kehadiran lebih ramai pelawat.

Kelemahan elemen komunikasi juga boleh dilihat apabila persembahan laman web pusat pelancongan dan hotel masih memaparkan maklumat yang lama dan tidak dikemas kini dengan gambar yang pelbagai.

Saya berpendapat untuk mencapai apa yang dihajati bukanlah perkara mudah. Banyak cabaran dihadapi dalam sektor pelancongan namun perkara itu tetap bukan suatu yang mustahil.

Sehubungan itu, kita jangan mensia-siakan aset yang boleh menjadi tarikan pelawat dan pada masa yang sama memelihara keindahan alam sekitar, monumen sejarah dan mengkomersialkan bahan budaya dan kesenian menerusi perspektif yang kontemporari bagi menghasilkan pulangan yang berbaloi.

MAT VAGABOND,

Raub, Pahang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Bukan salah saya - Nora Danish

Posted: 12 Mar 2014 11:09 PM PDT

KUALA LUMPUR 13 Mac - Pelakon, Nora Danish Mohd. Hanif, 32, menegaskan beliau tiada kaitan dengan serbuan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap sebuah kelab hiburan di Petaling Jaya, awal pagi Sabtu lalu.

Nora melalui rakaman video yang disiarkan portal MIG Online berkata, majlis sambutan hari lahirnya berlangsung di sebuah restoran bersebelahan dengan kelab hiburan berkenaan.

Sekalipun restoran dan kelab hiburan itu di bawah pengurusan yang sama, macam mana saya nak tahu premis itu beroperasi dengan sah ataupun tidak. Bukankah itu kerja pihak berwajib.

Jadi, bukan saya yang melakukan kesalahan, tetapi pemilik premis berkenaan," katanya.

Nora dalam pada itu turut melahirkan kekesalan dengan laporan sebuah program televisyen baru-baru ini yang memaparkan sedutan serbuan itu seolah-olah beliau yang bersalah. - UTUSAN ONLINE

Ingin jadi P.Ramlee

Posted: 12 Mar 2014 10:37 PM PDT

Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my
Gambar AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

TIGA watak utama, Zul Huzaimy,Linda Rafar dan Zul Handy Black dalam telemovie yang bertajuk Mengapa Ku Disiksa.

Perceraian pada 1 Julai 2010 dengan Nor Dalilah Muhammad, 32, tidak mematahkan semangatnya untuk terus bergelar anak seni. Aktor berkarakter, Zul Huzaimy Marzuki, 36, memang tenang dan pandai menjawab soalan media. Hampir empat tahun menduda, pasti ramai yang ingin tahu apa perkembangan terbaru dirinya. Hanya senyuman sahaja diberikan setiap kali diterjah soalan mengenai status dirinya. Ternyata, senyum dan keramahan itu dijadikan sebagai perisai bagi menutup gudang rahsianya.

Sebagai lelaki, Zul bijak untuk menutup pekung di dada. Baru-baru ini timbul kisah yang mengatakan dia sudah memiliki kekasih baru. Ditanya mengenai persoalan itu, ini jawapan yang diberikan Zul.

Tak perlulah rasanya kita ceritakan perkara ini. Saya ada kekasih baru atau tidak, tidak perlu nak dihebahkan kepada orang lain. Lagi satu, mengenai kisah-kisah lama saya tidak perlu diungkitkan. Masing-masing sudah ada haluan sendiri," rayu Zul sambil tersenyum.

Berserah kepada Allah tentang soal jodoh dan masa depannya, lelaki ini sudah bersedia untuk apa saja.

Kalau ada jodoh, maka kahwinlah saya. Kalau tak ada, saya reda sahaja. Itu semua ketentuan Allah.

Dalam hidup, kita dituntut mencari kehidupan lebih baik. Kesan daripada perceraian, ia membuatkan saya menjadi lebih matang, sedar bahawa hidup bukannya mudah, susah sebenarnya.

Bila sudah terjadi perkara sebegini, masing-masing kena fikir apa hikmah disebalik kejadian," tuturnya jujur.

Zul memberitahu, seboleh mungkin dia mahu membenamkan kisah kegagalan berumah tangga lalu daripada bacaan umum dan mengunci mulut dari terus bercakap mengenainya.

Mengarah telemovie tribute P.Ramlee

Sentiasa berdalih daripada persoalan dirinya, Zul yang ditemui ketika penggambaran telemovie Mengapa Ku Diseksa baru-baru ini, dia memberitahu sangat meminati Seniman Agong Tan Sri P. Ramlee.

Kalau boleh, dia ingin sekali menjadi P.Ramlee yang dikenali sebagai seorang yang serba boleh. Bukan sahaja sebagai pelakon, malah penyanyi dan komposer.

Tawaran mengarahkan telemovie sempena tribute kepada seniman agung negara itu, Zul memang tidak mahu melepaskan peluang. Harapannya memang besar untuk telemovie yang diterajui oleh dirinya sendiri bersama Linda Rafar dan Zul Handy Black.

Sifat P. Ramlee memikat diri saya. Untuk telemovie ini sahaja, saya telah membuat penyelidikan selama enam bulan.

Saya ingin sekali mendekatkan diri saya kepada P. Ramlee, tidak mahu sedikit pun cerita mengenainya tertinggal. Setiap malam, sebelum tidur, saya akan buka dan tonton cerita yang diarah atau dilakonkan oleh P. Ramlee, berulang-ulang kali.

Sungguh, cerita-cerita P. Ramlee memang menyentuh jiwa dan ada kalanya mencuitkan hati. Kalau tengok cerita-ceritanya, banyak pengajaran yang ada di sebalik itu," ujarnya sekaligus menganggap seniman itu sebagai Bapa Filem Moden.

Hebatnya cerita P. Ramlee tiada siapa yang tahu, lagi-lagi budak-budak zaman sekarang. Apa yang ditonton mereka tidak sama seperti perkembangan filem yang dicetuskan oleh P. Ramlee," katanya.

Bercerita mengenai telemovie itu, ia mengisahkan persahabatan antara Budi (Zul Huzaimy) dan Indah (Linda Rafar) yang sama-sama meminati muzik.

Konflik berlaku apabila Budi yang sudah berkahwin dengan Indah mengalami kemalangan sehingga membuatkan Budi hilang separuh ingatan dan lumpuh anggota badan dari pinggang ke bawah.

Selepas beberapa bulan, keadaan Budi telah kembali pulih dan dia mampu menggubah lagu dengan dibantu oleh Ikhlas. Namun, kegembiraan Indah telah diluahkan kepada adik Budi, Ikhlas (Zul Handy Black).

Keadaan itu membuatkan Budi cemburu dan situasi semakin tegang sehingga banyak perkara berlaku.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Malaysia-Mauritius saling mencontohi

Posted: 13 Mar 2014 11:41 AM PDT

Zulkiflee Bakar

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapa Mohamed (kiri) melawat bilik pameran dan jualan Proton dan Perodua yang terletak bersebelahan di Pailles, Mauritius. - BERNAMA

PADA Selasa lalu, hampir semua jalan utama di Port Loius, Mauritius dipasang bendera negara itu dan Jalur Gemilang. Turut dipasang poster wajah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sememangnya kehadiran Perdana Menteri untuk melakukan lawatan rasmi tiga hari yang sepatutnya bermula pada Selasa lalu amat dinanti-nantikan oleh kerajaan Mauritius di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Navinchandra Ramgoolam.

Lawatan itu dianggap penting kerana ia bukan sahaja akan mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara tetapi juga sebagai penghormatan kepada Malaysia yang dijemput untuk menjadi tetamu kehormat pada upacara sambutan ulang tahun ke-46 kemerdekaan Mauritius pada Rabu lalu.

Bagaimanapun Najib terpaksa membuat keputusan menangguhkan lawatan tersebut berikutan kehilangan pesawat MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing Sabtu lalu.

Walaupun persiapan rapi sudah dibuat oleh kerajaan Mauritius namun mereka memahami situasi kerajaan Malaysia yang menugaskan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mewakili Perdana Menteri bagi meneruskan lawatan yang sudah lama dirancang.

Sudah pastilah peristiwa kehilangan pesawat tersebut turut menjadi perhatian kerajaan Mauritius yang melahirkan rasa simpati terhadap apa yang berlaku. Navinchandra yang menerima kunjungan hormat Mustapa berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang giat dijalankan akan berjaya.

Mustapa meneruskan misi Perdana Menteri untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang politik dan ekonomi. Tambahan pula, Mauritius sememangnya mengagumi kejayaan Malaysia khususnya dalam aspek kerjasama antara kerajaan dan swasta.

Bagi memastikan impian mereka tercapai, Mauritius bersedia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu Kumpulan Industri Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) tidak lama lagi.

Draf MoU itu yang sedang diteliti oleh kerajaan Mauritius akan membuka laluan kepada penubuhan pusat kerjasama antara MIGHT dan Mauritius.

Penubuhan pusat ini amat penting kerana ia bukan sahaja membuka peluang kepada Mauritius untuk mencontohi kejayaan Malaysia dalam pelbagai bidang tetapi juga membuka ruang kepada Malaysia meningkatkan pelaburan dan menambahkan nilai dagangan dengan Mauritius yang ketika ini dianggap rendah.

Berikutan itu, misi lawatan Perdana Menteri yang diwakili oleh Mustapa turut disertai oleh beberapa individu yang menjadi peneraju kepada syarikat-syarikat dan institusi kewangan di Malaysia.

Antaranya Naib Presiden Eksekutif Perbendaharaan dan Pasaran Modal Bank Muamalat Malaysia Berhad, Adi Asri Baharom, Pengarah Urusan Kumpulan Bina Puri Holdings Berhad, Tan Sri Tee Hock Seng dan Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd.Noor.

Kehadiran mereka boleh dijadikan isyarat betapa seriusnya hasrat Malaysia untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan di Mauritius - salah sebuah negara yang paling kaya dan maju di benua Afrika.

Dalam bidang politik pula, jaminan yang diberikan oleh Navinchandra bahawa Mauritius bukan sahaja akan menyokong pencalonan Malaysia sebagai anggota tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2015-2016 tetapi juga melobi negara-negara lain termasuk Eropah, sudah pastilah menggembirakan Malaysia.

Ketika ini negara anggota ASEAN dan Asia Pasifik sudah menyatakan kesediaan menyokong Malaysia bagi tujuan itu.

Selain itu, dalam bidang politik juga salah satu perkara yang boleh dicontohi oleh ahli-ahli politik Malaysia khususnya pakatan pembangkang ialah bagaimana kerajaan Mauritius mampu mentadbir dengan tenang dan aman untuk memajukan negara itu walaupun hanya mempunyai kelebihan lima kerusi sahaja di Parlimen.

Penulis diberitahu, keadaan itu berlaku kerana parti-parti pembangkang di Mauritius tidak mempolitikkan segala-galanya demi meraih sokongan rakyat. Apa yang mereka lakukan ialah membentangkan dasar dan perancangan masing-masing apabila pilihan raya umum berlangsung dan bukannya mahu berpolitik sepanjang masa seperti mana pakatan pembangkang di negara kita.

Dalam bidang pendidikan pula, Malaysia sememangnya menjadi tumpuan pelajar Mauritius untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) namun mereka menghadapi masalah dari segi permohonan visa.

Isu ini dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin Mauritius termasuk Presidennya, Rajkeswar Purryag yang mengadakan pertemuan dengan Mustapa dan ia sekali gus menunjukkan kerajaan Mauritius mahu ia diselesaikan segera memandangkan mereka melihat Malaysia mempunyai IPT yang terkenal di seluruh dunia .

Dalam berhadapan dengan keluhan Mauritius ini, Mustapa memberi jaminan Malaysia akan berusaha menyelesaikan masalah itu memandangkan Malaysia mahu menjadi hab pendidikan.

Saya akan mengetengahkan isu ini kepada Kementerian Pendidikan tetapi dalam masa yang sama memahami bidang tugas Jabatan Imigresen Malaysia yang mahu memastikan hanya warga asing yang ingin menjadi pelajar tulen sahaja mendapat visa melanjutkan pelajaran di negara kita," katanya kepada wartawan Malaysia.

Kesimpulannya, biarpun lawatan Perdana Menteri diwakili Mustapa tetapi misi tetap berjaya kerana bak kata seorang ahli perniagaan Mauritius, sesungguhnya Malaysia mempunyai pasukan jurujual yang hebat bermula daripada Perdana Menteri hinggalah kepada pegawai-pegawai khususnya Kementerian Luar dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta MIGHT.

Sememangnya kekaguman negara asing terhadap Malaysia dan mahu menjadikan negara kita sebagai model bukanlah luar biasa tetapi yang luar biasanya apabila ada dalam kalangan rakyat Malaysia di tanah air tidak tahu bersyukur dengan apa yang dinikmati akibat terpengaruh dengan politik merebut kekuasaan.

Terus berdoa dan pasrah

Posted: 13 Mar 2014 11:41 AM PDT

Mohd Shauki Abd. Majid

Warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis, mengaminkan doa selepas solat hajat bagi memohon keselamatan penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang masih belum ditemui selepas dilaporkan hilang sejak awal pagi Sabtu lalu.

KEHILANGAN pesawat Malaysia Airlines (MH370) pada awal pagi Sabtu lalu merupakan musibah antarabangsa. Musibah itu tidak hanya dirasakan oleh rakyat negara ini tetapi semua komuniti manusia tanpa sempadan geografi dan batasan nasionalisme.

Kita semua tenggelam dalam arus kesedihan dan kerisauan akan nasib semua penumpang pesawat kebanggaan negara. Atas nama solidariti kemanusiaan, semua rakyat berbilang agama dengan caranya masing-masing berdoa untuk keselamatan para penumpang semoga tragedi dapat dielakkan dan pesawat segera dapat ditemukan.

Kejadian ini telah membimbing kita untuk kembali mengingat Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa. Oleh itu, kita dapat melihat serangkaian ritual keagamaan telah dilakukan oleh pelbagai pihak dan di banyak tempat apabila keberadaan pesawat MAS masih dalam misteri meskipun misi operasi pencarian memasuki hari keenam.

Sesungguhnya musibah, kesedihan, dugaan dan ujian merupakan manifestasi bentuk kasih sayang Allah kepada makhluk-Nya. Ia merupakan petanda akan datangnya limpahan rahmat Allah. Kerana itu, bersyukurlah apabila musibah datang kerana Allah sedang menyayanginya. Perkara ini tegas dinyatakan Allah dalam firmannya: Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" (al-Baqarah:154).

Namun, nilai keimanan kita dikira sebagai berjaya sekiranya kita lulus daripada dugaan yang diberikan Allah apabila kita menerimanya dengan bersabar, bertawakal dan qanaah menerima ketentuan Allah. Namun, limpahan rahmat Allah tidak diberikan kepada kita sekiranya kita tidak menerima musibah itu dengan menghamun, memaki dan menyalahkan ketentuan qada dan qadar. Tiada seorang pun manusia dan apa-apa kuasa lain dapat menolak ketentuan itu.

Justeru tatkala seorang Muslim tabah menerima musibah, ia dinilai oleh Allah dengan penilaian yang tinggi. Makin besar musibah yang dihadapinya dan makin kuat kesabaran ia menghadapinya, makin besar pahala yang akan diterimanya. Dalam menghadapi sesuatu musibah, kesabaran merupakan kunci utama yang dikurniakan Allah kepada umat manusia bagi menghadapi dugaan ini. Dalam banyak ayat al-Quran, sabar sering dirangkaikan dengan solat agar mereka yang ditimpa musibah memperoleh pertolongan Allah.

Manusia adalah makhluk yang memiliki naluri cemas dan mengharap. Kita sering memerlukan sandaran, lebih-lebih lagi saat cemas menimpa diri. Kenyataan sehari-hari membuktikan bahawa bersandar kepada makhluk meskipun betapa kuat kuasanya, ia seringkali tidak membuahkan hasil. Yang mampu memberi hasil hanyalah Allah semata-mata.

Menghadapi kebuntuan pencarian pesawat MAS ini, tidak ada cara lain selain kita berserah diri dan mengembalikan segala perkara kepada Allah. Dengan situasi yang diburukkan dengan semakin banyaknya spekulasi oleh pelbagai pihak, jalan satu-satunya yang kita perlukan saat ini adalah semakin memperhebat doa, munajat dan solat hajat. Tentu saja, kita tidak meminggirkan begitu sahaja usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa untuk terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat pesawat berkenaan.

Orang yang beriman sering berdoa dengan disertai usaha. Dia sedar bahawa usahanya akan sia-sia jika tiada perkenan dan izin Allah. Begitu juga doanya tidak akan dimakbulkan tanpa ada usaha daripada dirinya. Oleh itu, usaha sahaja tidak mencukupi tanpa penyertaan diri kepada Allah dan doa sahaja juga tidak cukup tanpa adanya usaha.

Doa adalah alat untuk menjalin hubungan komunikasi langsung antara manusia sebagai hamba dan Allah sebagai Pencipta. Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang memerintahkan agar manusia berdoa kepada Tuhannya.

Antara lain firman Allah: Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan dengan (suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas" (Surah al-Araf ayat 55).

Begitulah dengan para Rasul dan Nabi memberi kesaksian sudah menemui cahaya melalui doa-doa dan tidak mungkin mereka hidup tanpa itu. Dan kini berjuta-juta manusia menemukan satu-satunya kepuasan hidup dalam doa dan sembahyang.

Berdoalah berulang-ulang dan jangan cepat merasa tidak dimakbulkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Doa kamu akan dimakbulkan selagi tidak tergesa-gesa. Lalu ada yang berkata: Saya sudah berdoa tetapi belum juga dipenuhi." Jawab Nabi: Jika engkau berdoa, berdoalah sekerap mungkin. Engkau berdoa kepada Dzat yang mulia. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Doa Nabi Ayub a.s yang didatangi pelbagai dugaan, sangat menarik dihayati. Ingatlah akan hamba Kami, Ayub, ketika dia menyeru Tuhannya, Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan seksaan." Perhatikanlah bagaimana beliau tidak menyatakan bahawa yang menjadikannya sakit dan ditimpa pelbagai cubaan adalah Allah, tetapi syaitan. Sebabnya kerana sangat tidak wajar menisbahkan keburukan kepada Allah.

Kita patut mencontohi kecekalan Nabi Yunus ketika berdepan situasi genting pada saat dirinya dimakan ikan gergasi. Satu cerita nubuwwah yang begitu popular dalam kalangan umat Islam termasuk di kalangan kanak-kanak. Nabi Yunus hanya pasrah dan berdoa tiada hentinya kepada Allah untuk keselamatannya. Kita juga patut meneladani kekentalan mental Nabi Zakaria ketika tidak pernah putus asa berdoa untuk diberi keturunan.

Kedua cerita Nabi itu memberi pengajaran kepada kita agar tidak cepat menyerah dan putus asa terhadap situasi buruk yang berlaku kepada kita.

Harapan dan ketakutan adalah dua entiti yang menggambarkan diri kita. Kita mempunyai pilihan untuk memilih salah satunya. Jika kita merasai ketakutan dan kesedihan, bermakna kita telah menciptakan gambaran penderitaan dalam fikiran kita. Gambaran itu akan mempengaruhi keyakinan bahawa kita tidak berdaya, lemah, menyedihkan dan mudah putus asa sehingga akhirnya perkara buruk segera terjadi.

Tetapi, sekiranya kita melatih fikiran yang positif dan optimistik, maka kita tengah membentuk masa depan yang baik. Sebagai contoh, ketika kita menghadapi kesulitan, maka kita perlu berfikir Allah bersamaku dan Dia memiliki kekuatan yang tidak terbatas. Allah akan mengubah segala sesuatu dengan cara yang terbaik kepada kita". Ini sesuai dengan firman Allah: Dan siapakah yang berputus asa dari rahmat Tuhannya kecuali orang yang sesat?" (Surah al-Hijr, ayat 56).

Suatu hal luar biasa yang hanya terjadi sesekali, kita jadikan ia sebagai petanda-petanda daripada Allah. Akan tetapi, apabila itu terjadi berulang-kali, kita lupa pula menjadikan sebagai petanda ataupun petunjuk yang seharusnya menjadikan kita sebagai manusia yang dikasih-Nya.

Tidak dapat ditolak oleh kewarasan akal bahawa pada hakikatnya, segala sesuatu adalah tanda-tanda daripada-Nya dan tanda-tanda kebesaran serta kekuasaan-Nya.

PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Warga emas tanpa pewaris

Posted: 12 Mar 2014 10:37 PM PDT

Pusat Jagaan Siti Nor Ain menempatkan warga emas lelaki yang tiada waris.

PERASAAN penulis bercampu-baur ketika melangkah masuk ke Pusat Jagaan Rose, pusat jagaan warga emas khusus untuk wanita itu. Hati bertambah sayu melihat sebahagian penghuninya terlantar di katil masing-masing sesetengahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala yang mampu bergerak terpaksa bertatih-tatih ke bilik air sambil ditemani oleh pembantu pusat berkenaan.

Memandangkan ketika itu waktu tengah hari, penghuni sedang diberi makan oleh petugas-petugas di situ. Ada yang disuap, ada juga yang boleh makan sendiri. Salam yang diberi dijawab dengan perlahan dan manakala yang agak sihat kelihatan gembira menerima kehadiran pelawat.

Suasana hampir sama dirasai di Pusat Jagaan Nur Ain yang terletak berhampiran, cuma bezanya pusat ini dikhususkan kepada penghuni lelaki.

Pengerusi Pusat Jagaan Rose dan Pusat Jagaan Nor Ain, Dr. Abdullah Noel, 45, berkata, penghuni kedua-dua pusat jagaan warga emas yang terletak di Semenyih, Selangor itu, adalah yang dirujuk dan diterima dari hospital-hospital kerajaan sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Kebanyakan daripada mereka (80 peratus) tidak berwaris dan pernah terlantar lama di hospital. Pusat jagaan ini juga mengutamakan warga emas yang menghadapi kes-kes penyakit kronik dan tiada waris yang menuntut.

Kebanyakan adalah kes seperti terlantar akibat sakit tua, alzheimer, kanser dan angin ahmar.

Pusat jagaan ini dibuka pada tahun 2009 dan sehingga kini kami telah menerima 230 warga emas yang menghidap pelbagai penyakit.

Mereka ini terdiri daripada warga tua yang tidak berwaris, orang-orang tua yang ditinggalkan, tiada waris yang mahukan mereka dan sebagainya.

Namun, sebelum mereka ditempatkan di sini pihak kami akan menyiasat sama ada mereka ini benar-benar layak ditempatkan di sini atau sebaliknya. Sekiranya benar tiada waris yang menuntut barulah diterima.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 60 penghuni telah meninggal dunia dan urusan pengkebumian juga dilakukan oleh pusat ini," katanya.

Jelas Abdullah lagi, di kedua-dua pusat ini setiap hari ada sahaja pihak-pihak yang datang untuk melakukan terapi, doktor-doktor pakar melakukan rawatan, begitu juga dengan ustaz yang akan menyampaikan ceramah agama, proses penghantaran ke hospital secara berkala, pakar kaunseling dan sebagainya.

Katanya, warga emas yang terlantar menggunakan lampin pakai buang dewasa yang akan diganti setiap kali ketika waktu solat untuk memudahkan mereka bersolat di atas katil.

Bagi yang mampu mereka akan bersolat di surau yang disediakan.

Kata Abdullah, bukan mudah sebenarnya menjaga warga emas tambahan pula dalam keadaan mereka yang sedang sakit dan mengalami perasaan yang sangat sensitif.

Apa pun, setakat ini Abdullah berusaha bersungguh-sungguh dengan dibantu oleh beberapa pembantu, anak-anak dan isteri bagi memastikan warga emas ini terbela kebajikan mereka memandangkan perkara ini merupakan amanah kepadanya.

Mereka ini semuanya kalau boleh tidak mahu berada di sini. Sudah tentu mereka ingin berada bersama anak-anak atau waris-waris terdekat, namun takdir telah membawa mereka ke sini. Apa yang penting setakat ini kami cuba mengusahakan apa yang termampu untuk mereka ketika di sini sehingga akhir hayat.

Mereka ini sebenarnya mengharapkan kasih sayang dan mahukan seseorang yang datang melawat dan menjenguk mereka, malangnya semua itu tidak terjadi.

Hanya segelintir penghuni sahaja yang dilawati oleh waris terdekat manakala yang lain menghabiskan masa sebatang kara di sini," jelasnya yang memberitahu warga emas di sini berumur antara 55 hingga 80 tahun.

Dr. Abdullah memberitahu, bukan semua penghuni di pusat jagaan itu hidup sebatang kara malah ada di antaranya mempunyai anak-anak atau waris terdekat.

Realiti kehidupan pada hari ini yang mementingkan kebendaan atau pekerjaan, waris yang ada tiada waktu untuk menjaga warga emas yang sakit atau mungkin akibat terjejas perasaan lantaran salah faham atau kekhilafan masa lalu menyebabkan mereka diabaikan.

Bagaimana wujudnya pusat jagaan

Dr. Abdullah Noel yang merupakan seorang saudara baru, mendapat hidayah memeluk Islam kira-kira lima tahun lalu.

Sebelum itu, pada 2005 dia pernah menerima serangan angin ahmar akibat komplikasi otak dan terlantar di hospital selama empat bulan.

Pada waktu kesakitan itu dia merasa sangat putus asa kerana tidak terdaya untuk bekerja, mencari rezeki untuk keluarga.

Ketika di hospital dia melihat ramai dalam kalangan warga emas yang terlantar tanpa mendapat perhatian daripada waris.

Setelah dia keluar hospital dan agak sihat dia menjual segala hartanahnya yang dikumpul hasil daripada syarikat kitar semula yang dimiliknya.

Dia lalu membuka sebuah pusat jagaan warga emas untuk wanita, Pusat Jagaan Rose dan sebuah lagi untuk lelaki, Pusat Jagaan Siti Nor Ain.

Saya, isteri dan anak-anak seramai lima orang kemudian memeluk Islam dan salah sebuah pusat jagaan itu mengambil sempena nama isteri saya, Siti Nor Ain.

Saya sekarang hidup berbekalkan ubat dan tidak tahu sampai bila hayat saya ini, justeru selagi masih bernyawa saya ingin berbakti kepada semua dengan berbuat kebajikan terutamanya kepada warga emas dan membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Dalam pada itu Abdullah menegaskan, dia memerlukan kira-kira RM45,000 sebulan bagi semua kos termasuk pembayaran bil, upah pembantu, makan, kemudahan warga emas dan lampin pakai buang.

Pihak pusat bernasib baik kerana setakat lima tahun lalu, sebuah restoran di Semenyih membantu memberi makanan secara percuma kepada warga emas di pusat jagaan, iaitu sarapan, makan tengah hari dan malan malam.

Dia juga menerima sumbangan daripada pusat zakat sebanyak RM50,000 setahun dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM8 sehari bagi seorang penghuni.

Perlukan kasih sayang

Sementara itu Dr. Abdullah Noel, menjelaskan warga emas di dalam jagaannya itu pasti mahukan ada individu yang datang melawat mereka kerana pastinya mereka akan terasa kesunyian apabila tiada waris datang menjenguk.

Beritahunya, ada yang suatu waktu dahulu ketika menghantar warga emas itu, waris mereka berjanji akan datang semula menjenguk, namun apa yang menyedihkan sampai ke hari ini mereka terlantar seorang diri.

Bukan itu sahaja, tidak hanya pada hari-hari biasa ramai dalam kalangan warga emas yang tiada pengunjung, pada hari raya juga tiada yang mahu datang menjenguk.

Saya tahu perasaan mereka di sini. Nampak sahaja mereka tersenyum, namun dalam hati macam-macam dirasai yang hanya mereka sahaja yang tahu.

Ini semua hanyalah apa yang kita lihat dari luaran kerana ia melibatkan perasaan. Saya melihat akibat kekhilafan masa lalu, dan tiada yang mahu menjaga kerana sakit antara penyebab mengapa tiada siapa yang mahu menjaga warga emas ini," katanya.

Mendengar kata-kata itu teringat penulis kepada Allahyarham ibu yang meninggal dunia kira-kira lima bulan lalu. Sekiranya masih ada hayatnya di kandung badan tidak puas rasanya ingin dizahirkan kecintaan diri buat dirinya sedangkan mereka yang masih mempunyai ibu dan bapa membiarkan mereka di sini tanpa pembelaan sewajarnya.

Bagi mereka yang mahu menghubungi kedua-dua pusat ini, Dr. Abdullah boleh dihubungi di talian 010-253 6750 atau 010-503 1516. - rosmah dain

Puas susukan bayi

Posted: 12 Mar 2014 10:37 PM PDT

Oleh Siti Aishah Yusoff
Gambar Asliza Hailani

Pakar penyusuan ibu memberi penerangan pada sisi ceramah kesihatan mengenai penyusuan ibu di Pusat Perubatan Sunway, di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

SEbagai seorang ibu biarlah kita bersusah dahulu termasuk dengan memberi susu badan asalkan anak-anak mendapat yang terbaik dalam hidupnya.

Memang tidak dinafikan untuk memberi susu badan kepada bayi secara eksklusif agak mencabar tetapi semua itu bergantung pada minda ibu serta sokongan sekeliling. Sebenarnya tidak wujud istilah tidak ada atau tidak cukup susu untuk bayi, bayi tidak mahu menyusu atau puting susu terlalu pendek. Semua hanya alasan yang menyekat minda ibu untuk memberi yang terbaik untuk anak mereka," demikian menurut Adlina Mohd. Kamil, 42, ketika berkongsi pengalaman menyusukan ketiga-tiga anaknya secara eksklusif.

Bertemu Adlina bersama beberapa ibu muda lain ketika sesi perkongsian dan tip mengenai penyusuan ibu di Pusat Perubatan Sunway, di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini membuktikan bahawa pengalaman sebagai ibu dan penyediaan mental serta fizikal yang kuat sangat penting membantu mereka dalam menjayakan usaha menyusukan bayi bermula dari lahir sehingga mencapai usia enam bulan.

Lebih baik jika tempoh penyusuan itu dipanjangkan sehingga anak tersebut mencapai usia dua tahun.

Menurut Adlina lagi, rasa puas apabila melihat kesemua anaknya membesar di depan mata dalam keadaan sihat dan mendengar kata.

Ketiga-tiga anak, saya berikan mereka susu badan sejak hari pertama dilahirkan. Anak pertama dan kedua menyusu badan sehingga berusia sembilan bulan sebelum saya mula perkenalkan dengan susu formula.

Namun, untuk anak ketiga saya cuba panjangkan tempoh tersebut sehingga anak saya sekarang sudah berusia setahun tiga bulan.

Saya masih berharap anak ketiga ini mendapat susu ibu sepenuhnya sehingga berusia dua tahun.

Saya akui bukan mudah untuk melakukan perkara ini terutama bagi ibu bekerja seperti saya.

Kekangan masa dan tempat yang sesuai untuk menyusukan terutama ketika berada di luar merupakan antara cabaran besar," katanya.

Adlina juga tidak tidak menafikan mengalami sedikit tekanan ketika menyusu anak sulongnya yang kini sudah masuk usia remaja.

Katanya, sebagai ibu yang baru dikurniakan cahaya mata, teknik dan pendedahan tentang penyusuan ibu ketika itu masih kurang.

Pada peringkat awal kelahiran keinginan untuk menyusukan bayi tidak begitu terasa apatah lagi ketika itu aliran susu yang keluar sangat.

Keluarga terutama ibu dan suami saya banyak membantu dan memberikan sokongan penuh," katanya

Tambahnya lagi, sebagai seorang yang bekerja makan gaji di sebuah syarikat swasta, beliau menghadapi sedikit kesukaran untuk memberi susu kepada anak-anaknya.

Namun, keadaan tersebut tidak langsung mematahkan semangatnya kerana sejak masih berpantang telah melatih dirinya untuk menggunakan pam susu yang boleh dibeli dengan mudah di pasaran.

Walaupun saya bekerja, tidak wujud masalah anak-anak tidak boleh mendapat susu ibu yang secukupnya. Saya akan pam susu setiap dua jam sekali semasa waktu bekerja.

Pada permulaan memang jumlahnya sedikit iaitu sekitar satu auns sekali pam, tetapi apabila berterusan mengepam akhirnya susu keluar semakin banyak hari demi hari.

Susu yang dipam tersebut saya akan simpan dan buat stok sebanyak mungkin untuk diberikan ketika saya keluar bekerja. Bagi menjamin susu masih elok, ia akan disimpan dalam peti ais pada bahagian sejuk beku supaya selamat digunakan sehingga mencecah tiga bulan.

Saya bersyukur kerana dalam tempoh menyusu dan memerlukan masa untuk melakukan aktiviti mengepam, rakan sekerja dan ketua memahami dan memberikan sokongan. Sokongan mereka sangat membantu saya meneruskan misi memberikan penyusuan eksklusif kepada anak-anak," jelasnya.

Menurut Adlina, apabila menyusu badan seorang ibu perlu lebih prihatin dan peka dengan pemakanan yang diambil bagi memastikan anak tersebut mendapat nutrien dan khasiat yang diperlukan.

Ibu yang menyusukan bayi memerlukan persediaan penting dari segi pengambilan makanan. Mereka sangat digalakkan mengambil makanan yang berkhasiat dan sihat. Banyakkan pengambilan makanan yang tinggi fiber dan karbohidrat selain buah-buahan dan sayur-sayuran hijau. Selain itu, banyakkan minum air kosong untuk pengeluaran susu yang banyak.

Dalam tempoh menyusu, kekuatan mental dan emosi juga perlu supaya aktiviti tersebut tidak menjadi bebanan kepada ibu tersebut.

Paling paling penting ibu dan anak perlu mempunyai hubungan jiwa yang kuat selain membentuk dahulu keselesaan bersama-sama. Apabila keadaan ini susdah wujud, proses menyusu akan menjadi mudah dan lancar," katany.

Seorang lagi ibu muda, Khairunnisa Norman, 24, mengakui satu kepuasan buatnya kerana berpeluang menyusukan bayinya, Kamylea Imaan Muhammad Izzul, enam bulan secara eksklusif sehingga hari ini.

Katanya, kejayaan itu juga berkat kesabaran dan sokongan daripada suami serta ahli keluarga yang lain.

Anak saya dilahirkan pra matang iaitu ketika usia kandungan mencecah 36 minggu. Selepas bersalin, selama dua minggu saya terpaksa berulang-alik dari rumah ke hospital untuk menyusukan bayi.

Ketika di hospital Kamylea Imaan tidak dapat menyusu secara terus. Bagi memastikan bekalan susu cukup sepanjang anak dalam wad, saya tidak pernah putus asa untuk mengepam bekalan susu untuknya.

Selepas beberapa bulan saya juga menghadapi cabaran untuk menyusukan Kamylea Imaan kerana puting pendek menyukarkannya menghisap susu. Puas juga saya berusaha untuk menyesuaikan keadaan tersebut, sehinggalah usianya mencapai tiga bulan apabila semuanya beransur baik," jelasnya.

Khairunnisa juga bersyukur kerana bekerja sendiri sekali gus memudahkan beliau menyusukan anak yang akan dibawa ke mana sahaja.

Beliau menasihatkan ibu muda yang berniat menyusukan anak mereka supaya meneruskan niat murni itu kerana satu kepuasan apabila melihat anak membesar dengan khasiat susu badan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penduduk dakwa terpedaya

Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

SEORANG penduduk, Mohd. Azmi Abdullah menunjukkan kesan retak di bawah jambatan di Taman Perumahan Kenanga, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor semalam. - UTUSAN/QAMARUL RIZAL

BANGI 12 Mac - Memiliki rumah sendiri adalah antara perkara yang menjadi idaman setiap individu. Apatah lagi jika rumah yang didiami itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti jalan raya, sekolah dan sebagainya.

Malangnya, ia tidak berlaku kepada pembeli rumah teres di Jalan 4/9 M hingga Z di Taman Perumahan Kenanga, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di sini apabila banyak masalah timbul selepas kira-kira dua tahun mendiami rumah teres itu.

Daripada isu kemudahan infrastruktur, keselamatan sehinggalah kebersihan, banyak yang menimbulkan rasa tidak puas hati pemiliknya,

Penduduk mendakwa seolah-olah ditipu pemaju yang menjanjikan pelbagai kemudahan termasuk menyediakan laluan untuk kegunaan mereka menghantar anak ke sekolah berhampiran.

Sebaliknya, dakwa penduduk setelah dua tahun menetap di kawasan perumahan itu semua yang dijanjikan tidak terlaksana.

Keadaan itu memaksa ibu bapa menghabiskan banyak masa dan tenaga melalui jalan sejauh kira-kira 10 kilometer untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Memandangkan tidak ada pilihan lain serta mahu menjimatkan masa dan tenaga, penduduk terpaksa meredah tanah lapang berhampiran sebuah surau di kawasan itu untuk menuju ke sekolah anak mereka.

Utusan Malaysia turut dimaklumkan oleh penduduk, perancangan membina laluan menghubungkan kawasan perumahan itu ke sekolah itu difahamkan mendapat tentangan penduduk di taman berhampiran dan keadaan itu sekali gus merumitkan lagi keadaan.

Tinjauan Utusan Malaysia ke jalan masuk dan keluar penduduk kawasan perumahan ke jalan utama juga didapati tidak selamat.

Ini berikutan jambatan yang menghubungkan kawasan perumahan di situ didapati mengalami keretakan dan dikhuatiri boleh runtuh pada bila-bila masa.

Lebih mengejutkan, penduduk turut mendakwa kediaman mereka juga retak ekoran masalah tanah mendap.

Kata penduduk, sehingga hari ini tiada jaminan keselamatan diberikan oleh pemaju berhubung masalah berkenaan.

Malah, difahamkan pihak pemaju hanya bertanggungjawab terhadap kawasan perumahan itu sehingga bulan Mei ini.

Penduduk turut melahirkan rasa sedih kerana tidak tahu hendak mengadu kepada siapa.

Ini kerana pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Kajang yang sepatutnya membantu mereka tidak menunjukkan sikap bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan isu itu.

Selesaikan segera masalah kami - penduduk

Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT

MOHD. Hanizal Mohd. Rahim menunjukkan kesan retak akibat tanah mendap di rumahnya semalam.

BANGI 12 Mac - Rata-rata penduduk di Jalan 4/9 M hingga Z, Taman Perumahan Kenanga, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di sini mahukan tindakan segera diambil pihak bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu yang dibangkitkan mereka di kawasan perumahan tersebut.

Ini terutama isu pembinaan jalan penghubung di kawasan perumahan mereka ke sekolah berhampiran dan masalah rumah retak akibat tanah mendap.

Penduduk, Khairul Azizi Abdul Rahman, 32, berkata, pemaju perlu menunaikan janji mereka kepada pembeli termasuk menyediakan laluan yang menghubungkan kawasan perumahan di situ ke sekolah berhampiran.

Menurutnya, apa yang dikesalkan sehingga ke hari ini tiada sebarang usaha-usaha dilakukan pihak bertanggungjawab demi keselesaaan penduduk di taman berkenaan.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Faizal Abdul Rahim, 38, turut melahirkan rasa kesal terhadap pemaju mahupun pihak berkuasa tempatan yang dilihat seolah-olah memandangkan masalah itu hanya sebelah mata.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ada mengadakan perjumpaan bersama penduduk berhubung isu ini baru-baru ini, namun MPKj memberi masa sebulan untuk mengkaji masalah itu berikutan terdapat bantahan daripada jiran di Jalan A/9 A hingga G berhubung pembinaan jalan di situ,"katanya.

Rakannya, Mohd. Azmi Abdullah, 35, pula memberitahu, dia pernah terjatuh dari motosikal ketika dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah melalui jalan di situ.

Malam sebelumnya hujan lebat, lalu mengakibatkan permukaan tanah itu menjadi becak serta menyukarkan saya mengawal motosikal serta terjatuh bersama anak.

Segala aduan sudahpun dibuat kepada MPKj, terutama pembinaan tembok oleh penduduk berhampiran bagi menghalang kami menggunakan laluan di situ, namun tiada tindakan yang diambil sehingga hari ini," jelasnya.

Turut meluahkan perasaan sama Jamilah Kassim, 50.

Katanya, retakan bahagian dinding dan longkang rumahnya akibat tanah mendap amat membimbangkan.

Saya risaukan keselamatan kami sekeluarga kerana jika tiada sebarang tindakan diambil pelbagai kemungkinan boleh berlaku," katanya.

Kata Jamilah, pihak pemaju pernah datang untuk kerja-kerja pembaikan, namun sekadar menampal dinding tersebut.

Jirannya, Mohd. Hanizal Mohd. Rahim, 33, yang turut mengalami masalah serupa melahirkan rasa kesal kerana tindakan yang diambil pihak pemaju seolah-olah melepaskan batu di tangga.

Pintu dapur saya pernah terbuka selama seminggu kerana tidak boleh ditutup rapat dan dikunci akibat tanah mendap yang hanya dikesan setelah pulang dari kampung.

Kerja-kerja tampalan yang dilakukan pemaju hanya bertahan sementara apabila keretakan kembali berulang," katanya.

Syabas laksana kerja baik pulih rumah pam

Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT

KUALA LUMPUR 12 Mac - Kerja-kerja baik pulih paip bocor di rumah Pam Air Taman Pinggiran Delima, Batu 14, Hulu Langat giat dilaksanakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, sambungan bypass dibuat untuk sementara waktu bagi memastikan penduduk yang mendapat bekalan air dari Tangki Menara Pinggiran Delima menerima bekalan secara terus menerusi Kolam Air Taman Wawasan.

Katanya, ia sekali gus mengurangkan masalah bekalan air yang dihadapi oleh penduduk sekitar.

Disebabkan masih terdapat sebilangan penduduk di Taman Pinggiran Delima mengalami masalah tekanan air rendah, Syabas telah membuat satu lagi sambungan bypass terus kepada sistem pengepaman di Taman Pinggiran Delima dan kerja-kerja ini telah siap dilakukan sejak 1 Mac lalu.

Hasil pemantauan juga mendapati penduduk di kawasan Taman Pinggiran Delima telah mula mendapat bekalan air seperti biasa dan tiada aduan yang diterima daripada penduduk di kawasan itu," katanya dalam kenyataan akhbar di sini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia bulan lalu berhubung masalah gangguan air yang dihadapi penduduk Pangsapuri Taman Pinggiran Delima sejak Disember tahun lalu.

Penduduk mendakwa, gangguan air itu bertambah teruk sejak krisis bekalan air melanda beberapa kawasan di Lembah Klang.

Menurut Priscilla, kawasan Taman Pinggiran Delima memperoleh bekalan air menerusi Kolam Air Menara Pinggiran Delima melalui Tangki Sedut Taman Pinggiran Delima.

Pada akhir Januari lalu, Syabas telah mengesan berlakunya kebocoran paip di kedalaman tujuh meter antara bangunan rumah pam dan kolam sedut berkenaan.

Ini menyebabkan bekalan air kepada pengguna semasa operasi rumah pam dan kolam sedutan ini terpaksa dihentikan sementara waktu bagi membolehkan Syabas menyiasat punca kebocoran yang berlaku," jelasnya.

Katanya, kebocoran paip yang terlalu dalam dan lokasi antara rumah pam dan kolam sedut yang agak dekat telah menyukarkan lagi kerja-kerja pembaikan kebocoran berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Tingkatkan kesejahteraan rakyat

Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
utusan.johor@gmail.com

Mohamed Khaled Nordin (dua dari kiri) berbual dengan penerima sijil layak memiliki rumah di Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah, Nusajaya, Johor, baru-baru ini. - UTUSAn/Baazlan Ibrahim,

NUSAJAYA 12 Mac - Memiliki kediaman sendiri pastinya merupakan impian setiap insan, namun dalam situasi kenaikan harga hartanah kini, agak sukar untuk seseorang individu yang tergolong dalam kategori pendapatan rendah dan sederhana untuk mendapatnya.

Namun, itu tidak bermakna mereka tidak berpeluang untuk membeli sebuah kediaman kerana kerajaan negeri Johor kini sedang giat membina rumah mampu milik iaitu sebanyak 28,000 unit dalam tempoh lima tahun akan datang.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20,000 unit rumah disasarkan akan dibina di Iskandar Malaysia dan selebihnya di kawasan luar bandar yang telah dikenal pasti.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sektor perumahan negara mempunyai peranan yang sangat penting bagi merealisasikan hasrat Malaysia untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Kerajaan sedar, perumahan yang selesa dan mampu milik adalah keperluan asas paling utama kepada setiap rakyat. Maka, atas sebab itu, kerajaan negeri ingin mengambil tanggungjawab untuk memastikan rakyat Johor dapat memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah yang selesa untuk keluarga masing-masing bagi melahirkan generasi yang cemerlang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Prapelancaran dan Pendaftaran Perumahan Mampu Milik anjuran UEM Sunrise Bhd. di sini baru-baru ini.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri amat berbesar hati dan mengalu-alukan kesediaan pihak pemaju swasta seperti UEM Sunrise untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri bagi menjayakan program perumahan itu.

Daripada keseluruhan 28,000 rumah, sebanyak 10,000 unit akan dibina oleh syarikat UEM Sunrise dan ini adalah penting kerana pendidikan awal kanak-kanak bermula dari rumah yang sempurna," katanya.

Pada majlis tersebut, sebanyak 351 unit perumahan mampu milik di kawasan Nusa Bayu di sini yang merangkumi 80 unit teres berharga RM80,000, 241 unit teres (RM150,000) serta 30 unit rumah kedai (RM200,000) turut dilancarkan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif UEM Sunrise Bhd., Datuk Izzaddin Idris berjanji pihaknya sentiasa menyokong aspirasi kerajaan, khususnya dalam pelaksanaan inisiatif rumah mampu milik yang giat direalisasikan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Ini kerana menerusi program seperti ini, UEM Sunrise dapat menyumbang kepada pembangunan komuniti yang seterusnya akan memberi peluang kepada rakyat Johor untuk memiliki rumah sendiri.

UEM Sunrise bertekad untuk menyiapkan 10,000 unit rumah yang lengkap dengan pembangunan komuniti seperti masjid, sekolah integrasi rendah dan menengah, dewan serbaguna, sekolah agama serta pusat komuniti," katanya.

Kerajaan negeri menasihatkan rakyat yang belum mempunyai rumah untuk menghantar permohonan mereka kepada pihak berwajib kerana pembinaan perumahan mampu milik dan lokasinya bergantung kepada permintaan yang diterima.

Penerima gembira miliki rumah sendiri

Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT

Mohamed Khaled Nordin (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada pegawai UEM pada Majlis prapelancaran dan Pendaftaran Perumahan Mampu Milik anjuran UEM Sunrise Bhd. di Nusajaya, baru-baru ini. - UTUSAN/Baazlan Ibrahim

NUSAJAYA 12 Mac - Pembinaan 28,000 unit rumah mampu milik di negeri ini pastinya merupakan khabar gembira bagi rakyat apatah lagi sebahagian besar akan dibina di kawasan Iskandar Malaysia.

Baru-baru ini syarikat pemaju UEM Sunrise Bhd. telah mengadakan majlis prapelancaran dan pendaftaran perumahan mampu milik selain turut menyerahkan sijil kepada bakal pemilik rumah kediaman di Nusa Bayu.

Salah seorang penerima rumah mampu milik di Nusa Bayu yang dilancarkan baru-baru ini, Mohd. Zakir Alias, 43, mengakui pembinaan kediaman itu amat menggembirakannya dan keluarga.

Kami sekeluarga sudah menyewa sejak lebih tujuh tahun lalu. Ini permohonan saya mendapatkan rumah mampu milik diluluskan dan suasana kehidupan kami pasti berbeza," katanya.

Sementara itu, ibu kepada tiga cahaya mata, Rashidah Mohd. Noor, 37, juga melahirkan perasaan gembira kerana rumah tersebut merupakan rumah pertama yang dimilikinya.

Dengan adanya rumah sendiri, saya berharap anak-anak dapat membesar dalam suasana keluarga yang lebih harmoni dan perasaan kekeluargaan.

Ini kerana rumah kediaman sendiri adalah antara perkara penting dalam membangunkan sebuah keluarga yang sempurna," katanya.

Seorang lagi penerima, Ku Iih Mei, 32, teruja untuk berpindah ke rumah baharu kerana itu merupakan impiannya selama ini.

Saya ada keluarga yang besar. Jadi, pastinya saya amat gembira apabila sudah ada rumah sendiri," katanya yang merupakan ibu kepada lima orang anak.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved