Khamis, 13 Mac 2014

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Warga emas tanpa pewaris

Posted: 12 Mar 2014 10:37 PM PDT

Pusat Jagaan Siti Nor Ain menempatkan warga emas lelaki yang tiada waris.

PERASAAN penulis bercampu-baur ketika melangkah masuk ke Pusat Jagaan Rose, pusat jagaan warga emas khusus untuk wanita itu. Hati bertambah sayu melihat sebahagian penghuninya terlantar di katil masing-masing sesetengahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala yang mampu bergerak terpaksa bertatih-tatih ke bilik air sambil ditemani oleh pembantu pusat berkenaan.

Memandangkan ketika itu waktu tengah hari, penghuni sedang diberi makan oleh petugas-petugas di situ. Ada yang disuap, ada juga yang boleh makan sendiri. Salam yang diberi dijawab dengan perlahan dan manakala yang agak sihat kelihatan gembira menerima kehadiran pelawat.

Suasana hampir sama dirasai di Pusat Jagaan Nur Ain yang terletak berhampiran, cuma bezanya pusat ini dikhususkan kepada penghuni lelaki.

Pengerusi Pusat Jagaan Rose dan Pusat Jagaan Nor Ain, Dr. Abdullah Noel, 45, berkata, penghuni kedua-dua pusat jagaan warga emas yang terletak di Semenyih, Selangor itu, adalah yang dirujuk dan diterima dari hospital-hospital kerajaan sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Kebanyakan daripada mereka (80 peratus) tidak berwaris dan pernah terlantar lama di hospital. Pusat jagaan ini juga mengutamakan warga emas yang menghadapi kes-kes penyakit kronik dan tiada waris yang menuntut.

Kebanyakan adalah kes seperti terlantar akibat sakit tua, alzheimer, kanser dan angin ahmar.

Pusat jagaan ini dibuka pada tahun 2009 dan sehingga kini kami telah menerima 230 warga emas yang menghidap pelbagai penyakit.

Mereka ini terdiri daripada warga tua yang tidak berwaris, orang-orang tua yang ditinggalkan, tiada waris yang mahukan mereka dan sebagainya.

Namun, sebelum mereka ditempatkan di sini pihak kami akan menyiasat sama ada mereka ini benar-benar layak ditempatkan di sini atau sebaliknya. Sekiranya benar tiada waris yang menuntut barulah diterima.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 60 penghuni telah meninggal dunia dan urusan pengkebumian juga dilakukan oleh pusat ini," katanya.

Jelas Abdullah lagi, di kedua-dua pusat ini setiap hari ada sahaja pihak-pihak yang datang untuk melakukan terapi, doktor-doktor pakar melakukan rawatan, begitu juga dengan ustaz yang akan menyampaikan ceramah agama, proses penghantaran ke hospital secara berkala, pakar kaunseling dan sebagainya.

Katanya, warga emas yang terlantar menggunakan lampin pakai buang dewasa yang akan diganti setiap kali ketika waktu solat untuk memudahkan mereka bersolat di atas katil.

Bagi yang mampu mereka akan bersolat di surau yang disediakan.

Kata Abdullah, bukan mudah sebenarnya menjaga warga emas tambahan pula dalam keadaan mereka yang sedang sakit dan mengalami perasaan yang sangat sensitif.

Apa pun, setakat ini Abdullah berusaha bersungguh-sungguh dengan dibantu oleh beberapa pembantu, anak-anak dan isteri bagi memastikan warga emas ini terbela kebajikan mereka memandangkan perkara ini merupakan amanah kepadanya.

Mereka ini semuanya kalau boleh tidak mahu berada di sini. Sudah tentu mereka ingin berada bersama anak-anak atau waris-waris terdekat, namun takdir telah membawa mereka ke sini. Apa yang penting setakat ini kami cuba mengusahakan apa yang termampu untuk mereka ketika di sini sehingga akhir hayat.

Mereka ini sebenarnya mengharapkan kasih sayang dan mahukan seseorang yang datang melawat dan menjenguk mereka, malangnya semua itu tidak terjadi.

Hanya segelintir penghuni sahaja yang dilawati oleh waris terdekat manakala yang lain menghabiskan masa sebatang kara di sini," jelasnya yang memberitahu warga emas di sini berumur antara 55 hingga 80 tahun.

Dr. Abdullah memberitahu, bukan semua penghuni di pusat jagaan itu hidup sebatang kara malah ada di antaranya mempunyai anak-anak atau waris terdekat.

Realiti kehidupan pada hari ini yang mementingkan kebendaan atau pekerjaan, waris yang ada tiada waktu untuk menjaga warga emas yang sakit atau mungkin akibat terjejas perasaan lantaran salah faham atau kekhilafan masa lalu menyebabkan mereka diabaikan.

Bagaimana wujudnya pusat jagaan

Dr. Abdullah Noel yang merupakan seorang saudara baru, mendapat hidayah memeluk Islam kira-kira lima tahun lalu.

Sebelum itu, pada 2005 dia pernah menerima serangan angin ahmar akibat komplikasi otak dan terlantar di hospital selama empat bulan.

Pada waktu kesakitan itu dia merasa sangat putus asa kerana tidak terdaya untuk bekerja, mencari rezeki untuk keluarga.

Ketika di hospital dia melihat ramai dalam kalangan warga emas yang terlantar tanpa mendapat perhatian daripada waris.

Setelah dia keluar hospital dan agak sihat dia menjual segala hartanahnya yang dikumpul hasil daripada syarikat kitar semula yang dimiliknya.

Dia lalu membuka sebuah pusat jagaan warga emas untuk wanita, Pusat Jagaan Rose dan sebuah lagi untuk lelaki, Pusat Jagaan Siti Nor Ain.

Saya, isteri dan anak-anak seramai lima orang kemudian memeluk Islam dan salah sebuah pusat jagaan itu mengambil sempena nama isteri saya, Siti Nor Ain.

Saya sekarang hidup berbekalkan ubat dan tidak tahu sampai bila hayat saya ini, justeru selagi masih bernyawa saya ingin berbakti kepada semua dengan berbuat kebajikan terutamanya kepada warga emas dan membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Dalam pada itu Abdullah menegaskan, dia memerlukan kira-kira RM45,000 sebulan bagi semua kos termasuk pembayaran bil, upah pembantu, makan, kemudahan warga emas dan lampin pakai buang.

Pihak pusat bernasib baik kerana setakat lima tahun lalu, sebuah restoran di Semenyih membantu memberi makanan secara percuma kepada warga emas di pusat jagaan, iaitu sarapan, makan tengah hari dan malan malam.

Dia juga menerima sumbangan daripada pusat zakat sebanyak RM50,000 setahun dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM8 sehari bagi seorang penghuni.

Perlukan kasih sayang

Sementara itu Dr. Abdullah Noel, menjelaskan warga emas di dalam jagaannya itu pasti mahukan ada individu yang datang melawat mereka kerana pastinya mereka akan terasa kesunyian apabila tiada waris datang menjenguk.

Beritahunya, ada yang suatu waktu dahulu ketika menghantar warga emas itu, waris mereka berjanji akan datang semula menjenguk, namun apa yang menyedihkan sampai ke hari ini mereka terlantar seorang diri.

Bukan itu sahaja, tidak hanya pada hari-hari biasa ramai dalam kalangan warga emas yang tiada pengunjung, pada hari raya juga tiada yang mahu datang menjenguk.

Saya tahu perasaan mereka di sini. Nampak sahaja mereka tersenyum, namun dalam hati macam-macam dirasai yang hanya mereka sahaja yang tahu.

Ini semua hanyalah apa yang kita lihat dari luaran kerana ia melibatkan perasaan. Saya melihat akibat kekhilafan masa lalu, dan tiada yang mahu menjaga kerana sakit antara penyebab mengapa tiada siapa yang mahu menjaga warga emas ini," katanya.

Mendengar kata-kata itu teringat penulis kepada Allahyarham ibu yang meninggal dunia kira-kira lima bulan lalu. Sekiranya masih ada hayatnya di kandung badan tidak puas rasanya ingin dizahirkan kecintaan diri buat dirinya sedangkan mereka yang masih mempunyai ibu dan bapa membiarkan mereka di sini tanpa pembelaan sewajarnya.

Bagi mereka yang mahu menghubungi kedua-dua pusat ini, Dr. Abdullah boleh dihubungi di talian 010-253 6750 atau 010-503 1516. - rosmah dain

Puas susukan bayi

Posted: 12 Mar 2014 10:37 PM PDT

Oleh Siti Aishah Yusoff
Gambar Asliza Hailani

Pakar penyusuan ibu memberi penerangan pada sisi ceramah kesihatan mengenai penyusuan ibu di Pusat Perubatan Sunway, di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

SEbagai seorang ibu biarlah kita bersusah dahulu termasuk dengan memberi susu badan asalkan anak-anak mendapat yang terbaik dalam hidupnya.

Memang tidak dinafikan untuk memberi susu badan kepada bayi secara eksklusif agak mencabar tetapi semua itu bergantung pada minda ibu serta sokongan sekeliling. Sebenarnya tidak wujud istilah tidak ada atau tidak cukup susu untuk bayi, bayi tidak mahu menyusu atau puting susu terlalu pendek. Semua hanya alasan yang menyekat minda ibu untuk memberi yang terbaik untuk anak mereka," demikian menurut Adlina Mohd. Kamil, 42, ketika berkongsi pengalaman menyusukan ketiga-tiga anaknya secara eksklusif.

Bertemu Adlina bersama beberapa ibu muda lain ketika sesi perkongsian dan tip mengenai penyusuan ibu di Pusat Perubatan Sunway, di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini membuktikan bahawa pengalaman sebagai ibu dan penyediaan mental serta fizikal yang kuat sangat penting membantu mereka dalam menjayakan usaha menyusukan bayi bermula dari lahir sehingga mencapai usia enam bulan.

Lebih baik jika tempoh penyusuan itu dipanjangkan sehingga anak tersebut mencapai usia dua tahun.

Menurut Adlina lagi, rasa puas apabila melihat kesemua anaknya membesar di depan mata dalam keadaan sihat dan mendengar kata.

Ketiga-tiga anak, saya berikan mereka susu badan sejak hari pertama dilahirkan. Anak pertama dan kedua menyusu badan sehingga berusia sembilan bulan sebelum saya mula perkenalkan dengan susu formula.

Namun, untuk anak ketiga saya cuba panjangkan tempoh tersebut sehingga anak saya sekarang sudah berusia setahun tiga bulan.

Saya masih berharap anak ketiga ini mendapat susu ibu sepenuhnya sehingga berusia dua tahun.

Saya akui bukan mudah untuk melakukan perkara ini terutama bagi ibu bekerja seperti saya.

Kekangan masa dan tempat yang sesuai untuk menyusukan terutama ketika berada di luar merupakan antara cabaran besar," katanya.

Adlina juga tidak tidak menafikan mengalami sedikit tekanan ketika menyusu anak sulongnya yang kini sudah masuk usia remaja.

Katanya, sebagai ibu yang baru dikurniakan cahaya mata, teknik dan pendedahan tentang penyusuan ibu ketika itu masih kurang.

Pada peringkat awal kelahiran keinginan untuk menyusukan bayi tidak begitu terasa apatah lagi ketika itu aliran susu yang keluar sangat.

Keluarga terutama ibu dan suami saya banyak membantu dan memberikan sokongan penuh," katanya

Tambahnya lagi, sebagai seorang yang bekerja makan gaji di sebuah syarikat swasta, beliau menghadapi sedikit kesukaran untuk memberi susu kepada anak-anaknya.

Namun, keadaan tersebut tidak langsung mematahkan semangatnya kerana sejak masih berpantang telah melatih dirinya untuk menggunakan pam susu yang boleh dibeli dengan mudah di pasaran.

Walaupun saya bekerja, tidak wujud masalah anak-anak tidak boleh mendapat susu ibu yang secukupnya. Saya akan pam susu setiap dua jam sekali semasa waktu bekerja.

Pada permulaan memang jumlahnya sedikit iaitu sekitar satu auns sekali pam, tetapi apabila berterusan mengepam akhirnya susu keluar semakin banyak hari demi hari.

Susu yang dipam tersebut saya akan simpan dan buat stok sebanyak mungkin untuk diberikan ketika saya keluar bekerja. Bagi menjamin susu masih elok, ia akan disimpan dalam peti ais pada bahagian sejuk beku supaya selamat digunakan sehingga mencecah tiga bulan.

Saya bersyukur kerana dalam tempoh menyusu dan memerlukan masa untuk melakukan aktiviti mengepam, rakan sekerja dan ketua memahami dan memberikan sokongan. Sokongan mereka sangat membantu saya meneruskan misi memberikan penyusuan eksklusif kepada anak-anak," jelasnya.

Menurut Adlina, apabila menyusu badan seorang ibu perlu lebih prihatin dan peka dengan pemakanan yang diambil bagi memastikan anak tersebut mendapat nutrien dan khasiat yang diperlukan.

Ibu yang menyusukan bayi memerlukan persediaan penting dari segi pengambilan makanan. Mereka sangat digalakkan mengambil makanan yang berkhasiat dan sihat. Banyakkan pengambilan makanan yang tinggi fiber dan karbohidrat selain buah-buahan dan sayur-sayuran hijau. Selain itu, banyakkan minum air kosong untuk pengeluaran susu yang banyak.

Dalam tempoh menyusu, kekuatan mental dan emosi juga perlu supaya aktiviti tersebut tidak menjadi bebanan kepada ibu tersebut.

Paling paling penting ibu dan anak perlu mempunyai hubungan jiwa yang kuat selain membentuk dahulu keselesaan bersama-sama. Apabila keadaan ini susdah wujud, proses menyusu akan menjadi mudah dan lancar," katany.

Seorang lagi ibu muda, Khairunnisa Norman, 24, mengakui satu kepuasan buatnya kerana berpeluang menyusukan bayinya, Kamylea Imaan Muhammad Izzul, enam bulan secara eksklusif sehingga hari ini.

Katanya, kejayaan itu juga berkat kesabaran dan sokongan daripada suami serta ahli keluarga yang lain.

Anak saya dilahirkan pra matang iaitu ketika usia kandungan mencecah 36 minggu. Selepas bersalin, selama dua minggu saya terpaksa berulang-alik dari rumah ke hospital untuk menyusukan bayi.

Ketika di hospital Kamylea Imaan tidak dapat menyusu secara terus. Bagi memastikan bekalan susu cukup sepanjang anak dalam wad, saya tidak pernah putus asa untuk mengepam bekalan susu untuknya.

Selepas beberapa bulan saya juga menghadapi cabaran untuk menyusukan Kamylea Imaan kerana puting pendek menyukarkannya menghisap susu. Puas juga saya berusaha untuk menyesuaikan keadaan tersebut, sehinggalah usianya mencapai tiga bulan apabila semuanya beransur baik," jelasnya.

Khairunnisa juga bersyukur kerana bekerja sendiri sekali gus memudahkan beliau menyusukan anak yang akan dibawa ke mana sahaja.

Beliau menasihatkan ibu muda yang berniat menyusukan anak mereka supaya meneruskan niat murni itu kerana satu kepuasan apabila melihat anak membesar dengan khasiat susu badan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved