Khamis, 7 November 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Hilang lapan 'hero'

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Mohd. Norfarhan Mohammad

KOTA BHARU - Skuad The Red Warriors bakal mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2014 penuh liku apabila beberapa tonggak utama yang menjadi tunjang kekuatan Kelantan bagi tahun 2012/2013 memilih berubah angin dengan menyertai pasukan lain.

Berita mengejutkan itu disahkan sendiri Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menerusi entri di laman sosial facebook miliknya, semalam.

Annuar dalam entri itu menulis, antara pemain yang akan meninggalkan pasukan The Red Warriors musim hadapan ialah Mohd. Norfarhan Mohammad, Indra Putra Mahyuddin serta empat tonggak pertahan iaitu Azizi Mat Rose, Mohd. Rizal Fahmi Rosid, S. Subramaniam dan Mohd. Daudsu Jamaluddin.

Katanya, Kelantan dijangka turut kehilangan sentuhan pemain tengah berbisanya, Mohd. Shakir Shaari dan tenaga muda, Mohd. Izuan Solahuddin yang memilih untuk menyertai pasukan baharu musim depan.

"Kepada mereka semua, saya ucapkan penghargaan dan terima kasih serta selamat maju jaya. Perjalanan The Red Warriors diteruskan dengan penuh tabah tanpa mereka.

"Patah tumbuh hilang berganti, (barisan pemain) The Red Warriors 2014 akan diumumkan sebelum akhir bulan ini," ujarnya.

Lima tonggak The Red Warriors iaitu Mohd. Nofarhan, Azizi, S. Subramaniam, Mohd. Shakir dan Mohd. Daudsu dikhabarkan hampir pasti menyertai Harimau Selatan manakala Mohd. Rizal dikatakan bakal berhijrah ke Selangor.

Dua lagi pemain, Indra Putra dan Mohd. Izuan masih merahsiakan pasukan yang akan mereka sertai musim depan.

Dalam perkembangan lain, sumber dalaman KAFA memberitahu, Kelantan sudah berjaya mendapatkan khidmat bekas penyerang Negeri Sembilan, Mohd. Shakir Ali bagi memperkuatkan pasukan tahun hadapan.

Kata sumber itu lagi, The Red Warriors juga mengintai beberapa nama besar yang akan dibawa masuk memperkuatkan pasukan.

"Usaha untuk membawa masuk beberapa nama besar bertaraf pemain kebangsaan tersebut bertujuan mengisi kekosongan ditinggalkan oleh tonggak utama The Red Warriors musim ini yang mengambil keputusan untuk berhijrah kepasukan baharu tahun depan.

"Kita yakin dan percaya dengan ramuan pemain yang ada ini, mampu membentuk gandingan mantap untuk musim depan," ujarnya.

Sumber tersebut turut mengesahkan Kelantan sedang berunding untuk mendapatkan khidmat Mohd. Khyril Muhaymeen Zambri dan pemain tersebut sudah pun menjalani pemeriksaan kesihatan di sini, baru-baru ini.

Katanya, selain tonggak Kedah itu, tonggak Harimau Muda A, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria turut berada dalam radar Kelantan untuk musim depan.

FAM benar tiga import 2014

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

PETALING JAYA - Saingan Liga Malaysia 2014 dijangka bertambah rancak apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan setiap pasukan menggunakan tiga pemain import berbanding dua musim ini dengan syarat salah seorang daripada pemain tersebut diambil dari benua Asia.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah, tarikh tutup untuk pendaftaran pemain import bagi semua pasukan pada 4 Disember ini manakala pendaftaran kedua pula boleh dilakukan dari 23 Mac hingga 22 April depan.

"Kita beri tempoh yang panjang untuk pasaran perpindahan kedua pemain import disebabkan mengikut kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), ada sebahagian pemain import yang sudah tamat kontrak terutama di saingan liga utama dunia," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat JKPT di Wisma FAM, semalam.

Jelasnya, pendaftaran kedua pemain tempatan juga mengikut tarikh yang sama dan dijangka tidak berdepan dengan sebarang masalah, begitu juga untuk pendaftaran pemain import pertama (awal musim) kerana rata-rata pasukan sudah mempunyai calon pemain import untuk beraksi pada Januari depan.

"Bagi pasukan yang beraksi di Piala AFC pula mereka boleh menggunakan empat pemain import dengan seorang darinya adalah dari benua Asia. Ini adalah pendekatan yang kita ambil selepas dilihat dari semua sudut dan aspek.

"Sebanyak 12 pasukan akan beraksi di Liga Super manakala Liga Perdana pula 13 pasukan dengan kehadiran pasukan Harimau Muda B yang musim ini beraksi di Liga Singapura, sementara Harimau Muda A pula akan kembali beraksi di liga tersebut, format penyingkiran dan dinaikkan ke liga pula kekal sama,'' katanya.

Undian bagi Liga Malaysia pada 23 November ini, serentak dengan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan.

Aksi pertama dimulakan dengan perlawanan Sumbangsih pada 17 Januari menemukan juara Liga Super 2013 Lions XII menentang juara Piala Malaysia 2013, Pahang di Stadium Shah Alam, sementara perlawanan lain Liga Super bermula 18 Januari.

Ditanya mengenai pasukan yang menarik diri baik di Liga Super dan Liga Perdana, Afandi berkata, hanya tiga pasukan dari Liga FAM yang menarik diri untuk musim depan iaitu NS Betaria, Tumpat FC dan Tentera Darat FC.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Polis siasat 5 syarikat keselamatan langgar syarat lesen

Posted: 07 Nov 2013 10:38 PM PST

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Sekurang-kurangnya lima syarikat kawalan keselamatan kini disiasat oleh polis kerana dipercayai melanggar syarat lesen termasuk berkaitan pengurusan senjata api.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, syarikat yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan mengikut peraturan sedia ada.

"Polis juga meminta syarikat kawalan keselamatan yang ragu-ragu dengan identiti pekerja atau permit senjata api yang dimiliki oleh pekerjanya agar membuat semakan dengan polis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sijil kepada 23 graduan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan 32 graduan Diploma Sains Siasatan yang menamatkan pengajian di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.

Ditanya mengenai segelintir anggota dan pegawai polis yang memegang jawatan dalam syarikat kawalan keselamatan di negara ini, Khalid berkata, perkara itu tidak menjadi kesalahan jika individu terbabit sudah mendapat kebenaran daripada PDRM.

"Setakat ini tiada pegawai dan anggota PDRM yang tidak mengemukakan surat permohonan, kesemua ada permohonan dan mempunyai kebenaran. Sekiranya didapati mereka memegang sesuatu jawatan tanpa kebenaran, boleh diambil tindakan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu seorang remaja lelaki menghina Islam dengan kata-kata mencerca Allah dalam statusnya menerusi laman Facebook baru-baru ini, beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan.

Semalam, remaja berusia 17 tahun itu ditahan di Bandar Hilir Melaka sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini untuk diambil keterangan.

Remaja itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 susulan satu laporan polis diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. Khalid turut menasihati ibu bapa agar memantau kegiatan anak-anak mereka ketika menggunakan laman sosial bagi mengelak mereka mengeluarkan kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti kaum di negara ini. - BERNAMA

Tikam di LRT: Pemandu van didakwa

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

MUHAMMAD Zamri Yusof dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Seorang pemandu van dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh dua lelaki di hadapan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melati dekat sini.

Muhammad Zamri Yusof, 26, yang memakai baju pesakit Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjawab "faham" selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan oleh jurubahasa.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Menurut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa membunuh penjual alat tulis, Lee Kah Ghee, 48, di antara pukul 11 pagi dan 12 tengah hari, 24 Oktober lalu di hadapan Stesen LRT Taman Melati, Persiaran Pertahanan, Wangsa Maju dekat sini.

Pada hari dan masa sama, tertuduh didakwa membunuh seorang penuntut kolej, Kwan Chun Thai, 25, di tepi tiang LRT bernombor P24/55, Kampung Wira Jaya Luar, Jalan Tumbuhan, Wangsa Maju dekat sini.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Supritendan (ASP), Zulkifli Osman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Zulkifli turut memohon agar Muhammad Zamri dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak bagi penilaian oleh pakar psikiatri.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membenarkan permohonan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan kes akan disebut semula pada 6 Disember ini.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, empat orang awam ditikam di Stesen LRT Taman Gombak dan berhampiran Stesen LRT Taman Melati oleh seorang pemandu van syarikat pembekal rokok.

Dalam kejadian terbabit, dua daripada mangsa yang ditikam menggunakan pisau Rambo tersebut meninggal dunia manakala dua lagi cedera parah dan dikejarkan ke HKL.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Tubuh majlis pemuafakatan

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
pengarang@utusan.com.my

Ismail Mohamed Said (duduk, tengah) bergambar bersama para Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam Malis Penyampaian Sumbangan Khas Menteri Pendidikan kepada PIBG dalam Parlimen Kuala Krau di Kuala Krau, baru-baru ini.

KUALA KRAU 7 Nov. - Majlis Pemuafakatan Ibu Bapa Guru 1Malaysia perlu diperkasa di setiap institusi pendidikan di Parlimen ini bagi mewujudkan kerjasama erat semua pihak terlibat sekali gus membantu melahirkan masyarakat bersatu padu, intelek dan bersyukur.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, bagi tujuan murni itu majlis berkaitan perlu ditubuh segera di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen tersebut.

Beliau berkata, penubuhan majlis pemuafakatan seperti ini akan mewujudkan kumpulan pemikir dalam kalangan ibu bapa dan pemimpin masyarakat yang berlainan kerjaya.

"Majlis pemuafakatan perlu dianggotai ibu bapa, pemimpin setempat seperti ketua kampung, pemimpin politik, penghulu, polis, pegawai Felda, ketua belia, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

"Untuk itu, geran RM30,000 akan disalurkan kepada setiap DUN dalam Parlimen Kuala Krau yang menubuhkan Majlis Pemuafakatan Ibu Bapa Guru 1Malaysia," katanya.

Ismail merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau berkata demikian ketika berucap pada Malis Penyampaian Sumbangan Khas Menteri Pendidikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam Parlimen Kuala Krau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, dalam Parlimen Kuala Krau terdapat tiga DUN iaitu Jengka, Kerdau dan Jenderak dengan bilangan penduduk lebih 300,000 orang.

Ismail menambah, penubuhan majlis pemuafakatan itu akan membantu menghasilkan lebih banyak keuntungan dalam bidang pendidikan yang menjadi teras kepada kemajuan negara.

Beliau berkata, cadangan mewujudkan majlis pemuafakatan tersebut penting bagi menjalin kerjasama erat antara ibu bapa dengan tokoh pendidikan dalam komuniti.

Menurutnya, sudah tiba masanya pemuafakatan itu diwujudkan memandangkan sehingga kini belum ada mana-mana institusi pendidikan bertaraf kolej atau universiti mempunyai pertubuhan sedemikian.

"Penubuhan majlis pemuafakatan ibu bapa ini penting supaya ibu bapa dapat saling berinteraksi dengan pemimpin setempat demi kepentingan pelajar," katanya.

Penduduk rai penjaga gol Pahang

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Lebih 100 penyokong setia skuad bola sepak Pahang meraikan penjaga gol, Khairul Azhan Mohd. Khalid (tengah) dengan mengadakan majlis barbeku di Kampung Seri Belat, Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 7 Nov. - Lebih 100 penyokong setia skuad bola sepak Pahang meraikan kemenangan pasukan itu menjulang Piala Malaysia dengan mengadakan majlis barbeku di Kampung Seri Belat di sini kelmarin.

Majlis anjuran Kelab Peminat Khairul Azhan Mohd. Khalid atau Yan itu bertujuan meraikan kejayaan penjaga gol skuad Pahang terbabit membantu skuadnya menyelamatkan beberapa cubaan berbahaya pemain Kelantan dalam perlawanan tersebut.

Menurut penganjur, Yazid Hamzah, kelab peminat ini diwujudkan sejak awal tahun ini selepas melihat kebangkitan pasukan Pahang dalam arena bola sepak.

"Yan merupakan penduduk di kampung ini dan kita buat program ini adalah untuk memberi motivasi kepadanya agar terus maju jaya dalam bidang bola sepak.

"Selain itu, kita turut meraikan kejayaan pasukan Pahang berjaya menjulang Piala Malaysia selepas 21 tahun," katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Katanya, bekas penjaga gol Pahang, Juraimi Hassan juga berasal dari kampung itu dan secara tidak langsung dapat memberi semangat kepada Yan untuk berjaya.

RUKTA seru orang ramai bantu rakyat miskin

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

RAUB 7 Nov. - Pengerusi Persatuan Kebajikan Rumah Anak- Anak Yatim Raub (RUKTA), Datuk Seri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah menyeru orang ramai termasuk badan korporat melakukan kerja- kerja kebajikan membantu rakyat miskin khususnya anak yatim.

Menurutnya, galakan ini penting sebagai membantu golongan sedemikian agar mereka tidak rasa terpinggir dan menerima bantuan sewajarnya.

"Kita amat menggalakkan sesiapa yang berminat khususnya badan-badan korporat atau perseorangan untuk mengadakan program bersama anak yatim di sini.

"Mereka boleh datang berbincang dengan kami sekiranya mahu menjalankan aktiviti kebajikan bersama anak- anak yatim di sini dan membantu mereka apa yang perlu," kata Tengku Muhaini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program amal bersama anak-anak yatim Rukta dengan 24 ahli Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Bakat, Puan Seri Asnah Din, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin dan ADUN Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram.

Menurut beliau, RUKTA kini dalam perancangan untuk membaik pulih rumah anak yatim terbabit yang ditubuhkan sejak lapan tahun lalu.

"Sebelum ini kami sudah menyediakan perpustakan mini untuk dimanfaatkan oleh anak-anak yatim di sini.

"Selain itu, kami merancang untuk membaik pulih asrama, membina bangunan terutamanya tempat untuk menjalankan aktiviti atau program dan sebagainya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Sweden mahu kurangkan tentera ke Afghanistan

Posted: 07 Nov 2013 10:02 AM PST

STOCKHOLM 8 Nov. - Sweden merancang untuk mengurangkan bilangan anggota tentera yang ditugaskan ke Afghanistan, tidak lama lagi.

Kerajaan berkata, pihaknya akan mengekalkan seramai 300 kontinjen kuat di Afghanistan sehingga Mei, tetapi misi mengurangkan 50 kontinjen akan dibuat sehingga akhir tahun 2014. - DPA

Arafat disahkan mati dibunuh

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Gambar bertarikh 28 Oktober 2004 merakamkan Yasser Arafat dikelilingi beberapa orang doktor dari Tunisia, Mesir dan Jordan di pejabatnya di Ramallah, Tebing Barat. Saintis Switzerland yang menjalankan ujian forensik ke atas mayat Arafat mengesahkan pemimpin Palestin itu mati diracun. - REUTERS

PARIS 7 Nov. - Saintis Switzerland yang menjalankan ujian ke atas sampel yang diambil daripada mayat bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat, mendapati mayat Arafat memiliki tahap radioaktif polonium 18 kali lebih tinggi daripada biasa.

Kumpulan saintis itu menyatakan mereka yakin 83 peratus bahawa pemimpin Palestin itu telah diracun dengan polonium.

Laporan setebal 108 muka surat oleh Pusat Universiti Legal Medicine di Lausanne yang diperolehi secara eksklusif oleh al-Jazeera itu, mendapati tahap polonium yang tinggi pada pelvis dan tulang rusuk Arafat, selain di tanah yang menjadi tempat organ-orangnya mereput.

Saintis dari Switzerland, Perancis dan Rusia itu mendapatkan sampel tersebut pada November lalu selepas menggali kubur Arafat di Ramallah.

Dave Barclay, saintis forensik terkenal yang juga pesara detektif, memberitahu al-Jazeera bahawa dengan keputusan itu, beliau yakin Arafat telah dibunuh.

"Arafat meninggal dunia akibat diracun dengan polonium. Kami telah pun tahu punca kematiannya, tetapi kami tidak tahu siapa yang meracunnya.

"Tahap polonium pada tulang rusuk Arafat ialah 900 milibecquerel iaitu 18 atau 36 kali lebih tinggi daripada tahap biasa," katanya.

Balu Arafat, Suha Arafat, turut menerima salinan laporan itu di Paris, kelmarin.

Laporan itu, bagaimanapun hanya mengandungi maklumat berhubung ujian yang menyebabkan kematian Arafat, tetapi tidak kepada persoalan tentang bagaimana dia diracun. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Empat pengawal dihukum mati

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

V. K Santirasagaran (kiri), C. Krishnakumar (belakang, kanan), S. S Arumugam (dua, kiri) dan P. Thinagaran (kanan) diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 7 Nov. - Kekejaman empat pengawal keselamatan yang menculik sepasang suami isteri dan merakam aksi isteri lelaki tersebut dirogol oleh rakan sejenayah mereka dua tahun lalu, akhirnya mendapat pembelaan setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman tersebut terhadap P. Thinagaran, 27, S.S. Arumugam, 24, C. Krishnakumar, 24, dan V.K. Santirasagaran, 32, selepas mendapati pembelaan keempat-empat tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Menurut hakim itu, pembelaan kesemua tertuduh tidak selari dengan keterangan saksi-saksi selain tidak menepati pembelaan alibi masing-masing.

Kesemua tertuduh didakwa bersama C. Manimavanan dan seorang lagi yang masih bebas, menculik pasangan berusia 29 tahun itu di sebuah rumah di Jalan Merak, Pusat Bandar Puchong dekat sini pada pukul 4.30 pagi, 4 Mac 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut keterangan kes, kedua-dua mangsa pergi ke tempat kejadian untuk bertemu dengan lelaki bernama Shan (yang masih bebas) dan selepas bersalaman, Shan menarik tangan kedua-duanya ke dalam kereta yang turut dinaiki oleh keempat-empat tertuduh.

Mangsa (suami) ketika memberikan keterangan di mahkamah menyatakan, dia dipijak di kepala ketika di dalam kereta dan disuruh sujud sepanjang perjalanan ke sebuah rumah kosong di Pulau Carey, Klang dekat sini selain dikurung secara berasingan.

Mangsa wanita itu pula mendakwa dirogol oleh Shan meskipun dia memberitahu sedang dalam keadaan haid dan keempat-empat tertuduh pula tanpa rasa bersalah merakam aksi rogol itu menggunakan telefon bimbit.

Selepas itu, Shan menghubungi ibu mangsa wanita itu untuk meminta wang tebusan dan selepas rundingan, wang RM1,500 dimasukkan ke dalam akaun milik Manimavanan sebelum pasangan itu dibebaskan pada pukul 10.30 malam, hari yang sama.

Terdahulu peguam bela, V. Thiru Kumar yang mewakili kesemua tertuduh dalam rayuan menyatakan anak guamnya bukan dari keluarga senang dan itu merupakan kesalahan pertama mereka.

Menurut beliau, individu paling penting dalam kes ini yang patut dihukum adalah Shan yang masih bebas dan tidak dapat dikesan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md. Kamal menyatakan, mangsa mengalami trauma dan ketakutan tetapi menggagahkan diri tampil memberikan keterangan walaupun menjadi mangsa rogol.

Hakim Noor Azian sebelum menjatuhkan hukuman menyatakan, perbuatan kesemua tertuduh itu yang merakamkan aksi rogol adalah kesalahan berat yang perlu dipertimbangkan oleh beliau dalam menjatuhkan hukuman.

''Bayangkan bagaimana rasanya jika isteri kamu sendiri yang dirogol pasti meninggalkan kesan mendalam.

"Kes ini sesuai untuk saya membuat pilihan sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup," ujar beliau.

Katanya lagi, jenayah culik amat ditakuti orang ramai kerana bukan sahaja kanak-kanak yang menjadi mangsa malahan orang dewasa.

Selepas keempat-empat tertuduh didakwa, seorang lagi iaitu Manimavanan ditangkap dan dia masih dibicarakan atas pertuduhan sama secara berasingan di mahkamah berbeza.

Bunuh rakan: Hukuman mati dua kekasih kekal

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

PUTRAJAYA 7 Nov. - Seorang bekas penuntut sebuah kolej dan teman lelakinya kekal menjalani hukuman gantung atas sabitan membunuh rakan karib perempuan tersebut di sebuah bilik hotel, enam tahun lalu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria sebulat suara memutuskan demikian hari ini selepas menolak rayuan akhir, Noralina Ahmad Dasuki, 26, dan Muhammad Khairul Anuar Abdullah, 32.

Kuorum itu berpuas hati dengan keterangan yang dikemukakan di mahkamah amat kukuh bagi membolehkan mereka mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang mengesahkannya.

Yang turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Datuk Hasan Lah, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Ramly Ali.

Noralina kelihatan gagal mengawal perasaannya lalu menangis teresak-esak manakala teman lelakinya yang merupakan bekas jurujual sebuah stesen televisyen satelit berbayar menoleh ke arah beberapa ahli keluarga sejurus keputusan diumumkan.

Noralina (perayu pertama) dan Muhammad Khairul Anuar (perayu kedua) didakwa bersama-sama membunuh Juliana Md. Fuzi, 20, yang ketika itu merupakan penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa.

Kejadian berlaku di antara pukul 10 malam, 23 Mac 2007 dan 8.30 malam, 24 Mac 2007 di Bilik 5133, Tingkat Tiga, Apartmen Sunrise, Wisma Indah, Jalan Tun Razak di ibu negara.

Juliana yang merupakan pelajar tahun tiga Diploma Pengurusan Perniagaan ialah rakan karib Noralina.

Mangsa dijemput menaiki kereta dari Taman Koperasi Polis lalu dibawa ke hotel tersebut. Dia kemudian dirogol oleh perayu kedua sebelum dijerut menggunakan tali kabel dengan bantuan Noralina sehingga mati.

Keterangan kes menunjukkan, mangsa ditemui mati oleh petugas hotel dalam keadaan tangannya terikat ke belakang manakala terdapat kesan jerutan pada lehernya.

Keterangan bedah siasat menyatakan, berdasarkan kecederaan mangsa, lebih daripada seorang terlibat dalam pembunuhan itu kerana bukan mudah untuk menjerut lehernya dengan tali kabel dalam keadaan mangsa masih hidup dan meronta-ronta untuk melepaskan diri.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Penghinaan yang tiada penghujung?

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

Sebahagian ahli Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) menunjukkan laporan polis serta bukti yang diambil dari laman sosial Facebook berhubung isu penghinaan nama Allah dan Nabi Muhammad di laman sosial itu selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Pemilik akaun itu didakwa memaparkan gambar babi panggang dengan tertera nama Allah dan Nabi Muhammad serta logo halal Jakim pada 3 September lepas. - Bernama

SEJAK dahulu memang wujud dalam kalangan warga Malaysia yang membenci bangsa atau agama lain tetapi bilangannya kecil dan mereka tidak berani meluahkan isi hati kepada umum kerana 'takut' kepada pihak berkuasa.

Namun, sejak kebelakangan ini situasi seolah-olah sudah di luar kawalan apabila semakin ramai berani meluah rasa di dalam media sosial menghina dan mengutuk bangsa mahupun agama orang lain tanpa sebab yang jelas.

Paling nyata menjadi mangsa penghinaan dalam media-media sosial kini adalah institusi Melayu dan agama Islam, terbaru melibatkan dua anak muda berbangsa Cina, seorang India serta seorang Melayu yang menghina agama Islam.

Sudah tentu perbuatan dangkal mereka ini tidak mewakili sentimen keseluruhan bangsa ataupun penganut agama mereka tetapi kesannya amat besar dan boleh membawa kepada tindak balas drastik daripada orang Melayu dan Islam khususnya golongan muda berdarah panas.

Persoalan utama di sini, apakah punca yang menyebabkan anak-anak muda ini begitu membenci bangsa Melayu mahupun agama Islam? Mungkin politik kebencian yang dipupuk sesetengah pihak telah melimpah ke dalam sistem sosioekonomi masyarakat setempat, umpama retak menanti belah sahaja.

Walaupun pemimpin bukan Melayu dan bukan Islam gagal atau tidak mahu menegur anak bangsa atau penganut sendiri yang menghina Melayu dan Islam, sekurang-kurangnya tetap lantang demi maruah masyarakat sendiri. Kenapa pula suara pemimpin Melayu Islam begitu lemah bila agama dan bangsa sendiri dihina?

Pemantauan media sosial gagal kerana hanya menunggu laporan baru mahu menyiasat, polis pula hanya boleh bertindak jika ada yang membuat laporan, proses perundangan juga boleh dilengah-lengahkan, maka apa lagi pilihan yang ada bagi masyarakat Melayu dan Islam negara ini mempertahankan bangsa dan agama mereka?

Felo Penyelidik Utama Institut Alam & Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seng bersetuju dengan pandangan masalah tersebut berpunca daripada kebencian dan permusuhan politik yang nyata selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

"Tak dapat disangkal permusuhan politik telah menyerap ke bidang-bidang lain (sosioekonomi) di samping perasaan tidak puas hati di kalangan bukan Melayu.

"Rasa tidak puas hati terutama orang Cina kepada kerajaan 'Melayu', mereka lihat ada diskriminasi dan wujud ketidakadilan sosial walaupun selepas gagasan 1Malaysia diperkenalkan, mereka tetap perlekeh sebab masih nampak pengagihan kekayaan tidak adil," katanya.

Menurut beliau, persepsi 'zero sum game' iaitu melihat kelebihan pada kelompok lain sebagai satu kerugian untuk kelompok sendiri turut menyumbang kepada kebencian terhadap orang Melayu dan Islam.

Jelasnya lagi, persepsi itu menyebabkan bukan Melayu khususnya orang Cina melihat agenda ekonomi bumiputera merugikan mereka malahan usaha menambah masa pendidikan bahasa Melayu di sekolah vernakular dilihat merugikan bahasa Mandarin dan dikhuatiri membawa kepada penutupan sekolah tersebut.

"Ini berkaitan dengan pemimpin bukan Melayu khususnya pemimpin Cina yang boleh dikatakan tidak pernah mahu jelaskan kepada ahli komuniti mereka perkara seperti agenda ekonomi bumiputera itu demi kebaikan semua. Mereka takut kerjaya politik hancur sebab 'bersekutu' dengan orang Melayu.

"Saya sendiri yang pertahan bahasa Melayu pun dikatakan pengkhianat. Pemimpin mereka hanya buat kenyataan umum atau samar-samar sahaja, termasuk dalam kes penghinaan Melayu dan Islam kerana takut 'membunuh' kerjaya politik sendiri," ujarnya.

Beliau juga berasa sedih melihat ada pemimpin dalam MCA menyelar agenda negara sedangkan DAP pun tidak melenting begitu, semata-mata mahu dilihat berani melawan orang Melayu demi nyawa politik dan sokongan bangsa sendiri.

Beliau khuatir jika pemimpin komuniti bukan Melayu dan bukan Islam terus berdiam diri, kejadian menghina orang Melayu dan Islam di media sosial akan meletup seperti masa peristiwa hitam pada 13 Mei 1969.

"Pemimpin bukan Melayu khususnya yang dalam politik perlu lebih bertanggungjawab, perlu lebih berani tegur perbuatan yang pastinya merugikan bangsa sendiri sahaja. Kalau berlaku rusuhan semua rugi tetapi yang paling parah pastinya bangsa mereka sendiri, bukan orang Melayu.

"Saya yakin mereka pun tahu kesannya jika berlaku rusuhan. Sekarang bukan lagi masa untuk cakap tentang hal kekayaan, untung, duit dan ekonomi sahaja, kena juga cakap tentang isu nasional, jati diri dan sayangkan negara sendiri," tegasnya.

Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz juga memahami kekecewaan orang Melayu dan Islam berikutan kelemahan penguatkuasaan dalam isu menghina bangsa dan agama dalam media sosial.

"Betul kalau kita katakan seolah-olah ada kekecewaan besar dan serius di kalangan masyarakat Melayu dan Islam berkaitan isu ini. Kita perlu beri pandangan baharu dalam keadaan begini, tidak boleh harapkan pendakwaraya sahaja.

"Mungkin jika boleh kita bangunkan perundangan yang berkembang luas di negara luar, Litigasi Kepentingan Awam yang memberi locus standi (hak) untuk individu atau kumpulan menuduh, contohnya terhadap pihak yang mencerca Melayu dan institusi Islam," jelasnya.

Beliau memaklumkan sistem tersebut tidak begitu berkembang di negara ini dengan kes difailkan individu tidak begitu diberi perhatian kerana kawalan pertuduhan di pihak Peguam Negara.

Tambahnya, Pejabat Peguam Negara bagaimanapun boleh melantik orang luar atas kehendak sendiri atau atas permohonan seperti dalam pelantikan Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dalam rayuan pendakwa raya untuk kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Untuk kes penghinaan orang Melayu dan Islam juga boleh lantik sesiapa yang layak untuk buat pertuduhan, atau satu cara lagi Litigasi Kepentingan Awam, membenarkan seseorang menjadi peguam menjaga kepentingan satu-satu kelompok contohnya benarkan orang Islam buat pertuduhan sendiri orang yang hina agamanya.

"Dengan itu, kumpulan atau NGO Islam tidak perlu tunggu Pejabat Peguam Negara atau polis lakukan siasatan. Mereka sendiri cari bukti dan bawa ke mahkamah," ujarnya.

Shamrahayu bagaimanapun memaklumkan belum ada kes pendakwaan sedemikian di Malaysia dan saranan perlu dibuat dahulu agar Pejabat Peguam Negara memberi kebenaran orang Melayu atau Islam mendakwa sendiri pihak terbabit.

Beliau melihat jika dapat dilaksanakan, ramai peguam yang berkemampuan dalam NGO Islam mampu melakukan pendakwaan di bawah seliaan Pejabat Peguam Negara.

"Undang-undang kita tiada kekurangan, penguatkuasaan sahaja. Pihak Pejabat Peguam Negara perlu lebih proaktif, sudah terlalu banyak kes penghinaan dan hasutan begini, perlu ada pendakwaan.

"Kita ambil mekanisme holistik. Toleransi, dialog dan pendidikan perlu untuk pencegahan masa hadapan tetapi untuk kes yang sudah berlaku, masalah berlaku sekarang ini, perlu ada pendakwaan. Semuanya perlu bergerak selari untuk mencegah dan menangani," tegasnya.

Sejarah aspek kehidupan yang penting

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

SEJARAH penghijrahan Nabi Muhammad SAW bersama umat Islam Mekah ke Madinah dalam seribu kepayahan adalah demi menyemarakkan akidah ummah yang berpegang kepada dua kalimah syahadah "Aku Naik Saksi Bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah; Muhammad Itu Pesuruh Allah".

Peristiwa yang berlaku 1435 tahun yang lalu menjadi batu asas kepada pegangan teguh akidah hampir 2 bilion umat Islam di seluruh dunia. Ucapan syahadah umat Islam kini tertera megah di bendera Kerajaan Arab Saudi menandakan bahawa di bumi anbia tersebut Islam menjadi paksi kesatuan akidah Islamiah dengan Kaabah sebagai kiblat rukun kedua iaitu menunaikan solat berada di sini.

Peristiwa Hijrah tersebut membuktikan kepada kita bahawa sejarah itu penting dan bukan sekadar kisah dan teladan menjelang takwim baru umat Muhammad SAW. Tanpa sejarah hijrah tersebut, mungkin kita masih dengan fahaman beragama yang tidak berpandukan ajaran Islam yang mentauhidkan Allah SWT dan mempercayai rukun Islam.

Mengambil hikmah sejarah hijrah tersebut, kerajaan kita melalui Kementerian Pendidikan mewajibkan untuk lulus subjek Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini bermakna subjek tersebut sebaris dengan subjek Bahasa Melayu yang wajib lulus.

Sepatutnya generasi baru hari ini terutama yang menduduki SPM tidak tertekan untuk berjaya dalam peperiksaan tersebut sehingga menganggap lulus subjek penting itu sebagai satu beban maksimum hingga boleh membawa kepada kecelaruan minda malahan menyebabkan stres.

Sebagai seorang yang pernah terlibat dengan dunia guaman Sejarah merupakan subjek yang banyak membantu dalam kerjaya tersebut. Dengan ratusan kes yang perlu dihafal bersama prinsip perundangannya subjek Sejarah sesungguhnya perlu dipelajari dengan konsep hafalan yang sama. Kaedah banyak membaca dan membuat nota ringkas menjadikan pembelajaran subjek Sejarah seakan menghirup oksigen. Begitu mudah dilakukan tanpa disedari.

Kelmarin, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, keputusan Kementerian Pendidikan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai syarat wajib lulus di peringkat SPM mulai tahun ini, bukan untuk membebankan pelajar sebaliknya bertujuan meningkatkan pengetahuan mereka mengenai sejarah peradaban negara. Jika keputusan itu tidak dibuat para pelajar akan terus beranggapan mata pelajaran tersebut tidak penting dan kurang mendapat tumpuan.

Menurutnya, pelaksanaan syarat wajib lulus bagi mata pelajaran itu juga merupakan usaha mendidik pelajar menjadi warganegara yang baik. Pada 23 Oktober 2010, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan SPM mulai 2013. Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, keputusan itu sama seperti langkah menjadikan mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai syarat mendapatkan sijil SPM.

Nah! Inilah hakikat yang perlu kita hadapi sebagai rakyat Malaysia. Puak-puak yang menganggap Sejarah suatu perkara yang tidak penting melihat seolah-olah hari esok dan lusa adalah milik mereka bukan milik semua rakyat negara ini. Kita perlu akur bahawa setiap satu tamadun ada sejarahnya. Negara Parsi dan Rom ada sejarahnya , begitu juga United Kingdom ada sejarah lampau yang mereka jadikan panduan untuk merancang masa depan dengan mewujudkan undang-undang Common Law yang kini digunapakai di semua negara Komanwel.

Justeru, hayatilah bahawa sejarah itu penting sebagai momentum atau titik penghijrahan untuk kita merancang masa depan dengan jayanya. Memanglah kita berada di zaman teknologi yang mana masa depan lebih penting dari kisah sejarah.

Namun beringatlah bahawa tiada lama tiada yang baharu. Tiada teknologi tahun 1980-an maka tiadalah teknologi tahun 2013. Generasi hari ini perlu diajar tentang Sejarah bukan sahaja di sekolah tetapi sejarah datuk nenek moyang asal-usul mereka dari mana di rumah mereka sendiri. Biar mereka ada kesedaran dalam diri sendiri, bahawa sejarah yang 'membawa'mereka dan kaum mereka menjadi sepertimana yang kita lihat hari ini.

Mengambil hikmah dari peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW 1435 jika kita menghargai sejarah tersebut maka kita akan menjadi manusia yang sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada.

Namun malangnya berapa ramai yang bersyukur dengan nikmat syahadah sebagai seorang muslimin mahupun muslimah yang kita kecapi di negara kita ini, apatah lagi mahu menghargai sejarah kenegaraan kita. Peri pentingnya sejarah dalam aspek hidup kita, kerana jika sejarah itu satu kesilapan, mengapa perlu diulangi semula pada masa depan. Namun manusia mudah lupa.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Supermokh Sebuah Muzikal papar kehidupan legenda

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Satu daripada babak dalam teater Supermokh Sebuah Muzikal yang kini dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur sehingga 18 November ini. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Pementasan teater berkisar kisah hidup legenda bola sepak tanah air iaitu Supermokh Sebuah Muzikal ternyata berjaya apabila pementasan pertamanya mendapat sambutan daripada peminat yang memenuhi segenap dewan Panggung Sari, Istana Budaya.

Jelas penerbit dan pengarahnya iaitu Hans Isaac, segala penat lelah seluruh tenaga produksi terbayar apabila pementasan berskala besar ini berjaya dipentaskan bersama dengan kualiti yang dibawa oleh jalan cerita serta para pelakon.

"Berdasarkan teater muzikal ini, masyarakat umum khususnya peminat legenda tersebut dapat melihat cabaran dan dugaan hidup yang ditempuh oleh beliau dan isteri.

"Selain daripada itu, terdapat juga elemen-elemen yang tidak diketahui oleh ramai pihak mengenai hidup beliau dan ini pastinya merupakan suatu pengalaman unik buat pengunjung," katanya.

Hans berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai pementasan pertama teater yang bermula semalam dan akan berakhir pada 18 November ini.

Antara nama besar yang membintangi teater tersebut termasuklah Awie, Maya Karin, Rashidi Ishak, Douglas Lim, Dina Nadzir, Clarence Kuna, Oliver Johanan dan Radhi Khalid.

Mendukung watak sebagai Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Awie menjelaskan dia amat berpuas hati dengan pementasan malam pertama namun akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan momentum pada persembahan berikutnya.

"Di dalam pementasan teater, perkara paling mustahak adalah latihan dan kerjasama berpasukan dan saya amat berpuas hati dengan kejayaan pementasan pertama ini.

"Saya berharap kepada masyarakat umum untuk hadir menyaksikan teater ini kerana sebenarnya banyak yang kita tidak tahu berhubung kisah hidup legenda yang pernah menjulang nama negara dalam arena bola sepak tanah air suatu ketika dahulu," ujarnya.

Bagi yang berminat untuk menyaksikan teater tersebut, tiket-tiket berharga daripada RM38 sehingga RM306 boleh didapati dengan berkunjung terus ke Istana Budaya atau boleh layari laman web www.ticket2u.biz.

Konsert The Journey of Nur kemuncak PIIACuF 2013

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

PUTRAJAYA 7 Nov. - Kemuncak Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya 2013 (PIIACuF) akan diserikan dengan konsert The Journey of Nur di Dataran Putrajaya, Presint 3, di sini pada 9 November ini.

Konsert eksklusif itu membariskan artis-artis terkemuka antarabangsa dan tanah air iaitu Maher Zain, Opick, Zain Bhikha, Datuk M. Nasir, Datuk Ramli Sarip, Raef serta kumpulan nasyid Raihan dan In-Team.

Mereka akan mendendangkan lagu masing-masing antaranya Andalusia, Bumi Rumi Menari, Kias Fansuri, Barakallahulakuma, Maulaya, For The Rest of My Life, Rapuh dan Ya Maulana.

Perbadanan Putrajaya dalam kenyataan menyebut, konsert yang bakal menampilkan kepelbagaian jenis genre muzik Islam itu akan membawa pengunjung ke satu dimensi perjalanan bermula cetusan Tamadun Islam di Andalusia sehingga kepada perkembangan sinar Islam ke seluruh pelosok dunia.

"Konsert ini akan memberi satu kelainan dengan dendangan lagu-lagu kerohanian dalam satu penceritaan sepanjang persembahan," katanya.

PIIACuF 2013 menyasarkan kira-kira 500,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa sepanjang sepuluh hari acara itu berlangsung.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Kampung miskin di tengah kota raya

Posted: 07 Nov 2013 05:44 AM PST

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar Riduan Rizal Ahmad
& Shiddieqiin Zon

Salah seorang penduduk Kampung Tanah Jawa, Segambut Kuala Lumpur mendapatkan bekalan air harian dari air bukit.

SEPERTI zaman sebelum kemerdekaan. Begitulah gambaran pertama sebaik menyaksikan dan menjejak kaki di perkarangan Kampung Tanah Jawa, Segambut, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Siapa sangka, dalam kepesatan pembangunan di tengah ibu kota yang dikelilingi dengan binaan bangunan dan rumah agam bertaraf lima bintang, terselit sebuah perkampungan yang sangat daif dan serba kekurangan.

Menjadikan laluan curam berbukit sebagai laluan masuk utama dan menggunakan air bukit sebagai sumber kegunaan harian, tidak keterlaluan untuk digambarkan perkampungan tersebut seperti di era 50-an.

Malah perkampungan berkeluasan kira-kira tiga ekar itu hanya bergantung kepada sebuah generator sebagai sumber elektrik untuk kegunaan penduduknya setiap hari.

Lebih mengejutkan, aktiviti menoreh getah, memungut dan mendapatkan hasil hutan adalah antara pekerjaan utama penduduk di perkampungan terpencil berhampiran kawasan perumahan mewah Mont Kiara, di tengah-tengah ibu negara Kuala Lumpur itu.

Namun, bagi segelintir mereka, itulah satu-satunya sumber pendapatan yang mampu dilakukan demi menyara kehidupan keluarga dan tidak ketinggalan untuk memberi pendidikan kepada anak-anak.

Seorang penoreh, Saad Yaakub, 65, berkata, walaupun mempunyai pendapatan yang tidak menentu dan tidak seberapa, dia tetap bersyukur serta tabah dengan kehidupan yang dilalui.

Berkongsi pengalaman, bapa kepada empat anak itu sebelum ini bertugas sebagai pemandu lori.

Dia mengambil keputusan berhenti kerja dan bergantung kepada pendapatan hasil daripada menoreh getah dan bekerja kampung sebagai mata pencarian utama.

Berbekalkan pendapatan sekitar RM450 sebulan, anak kelahiran Kuala Kurau, Perak itu sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk menampung kehidupan keluarganya dengan sekadar mampu.

Setelah berkahwin dengan Sodah Mat Wi yang merupakan penduduk asal di Kampung Tanah Jawa lebih kurang 40 tahun lalu, saya mengambil keputusan menetap di sini.

Sejak itu, saya mula melakukan kerja-kerja kampung seperti menoreh getah dan memungut hasil hutan untuk dijual. Dengan pendapatan yang tidak menentu, iaitu dengan anggaran RM100 hingga RM150 seminggu, saya gunakan untuk perbelanjaan keluarga dan persekolahan anak-anak.

Apa lagi berada di ibu kota yang memerlukan kos sara hidup tinggi menambah bebanan yang terpaksa ditanggung.

Syukur anak-anak memahami dan tidak pernah merungut dengan kekurangan yang dialami," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambah Saad yang sehingga kini masih melakukan kerja menoreh getah dengan bantuan isterinya, anak-anak berjaya dibesarkan dan kini turut menetap di kampung tersebut.

Pertahan pusaka

Mungkin sudah menjadi kelaziman bagi mereka yang tinggal di kawasan perkampungan di negeri-negeri lain untuk melakukan pekerjaan dan menghadapi situasi tersebut.

Namun, melakukan perkara yang sama di tengah-tengah kota metropolitan adalah suatu yang mengejutkan.

Tetapi bagi penduduk di kampung itu, biarpun serba kekurangan dan tersisih daripada kemajuan, mereka bertekad mempertahankannya dan tidak akan meninggalkan kediaman masing-masing.

Mereka sudah cukup selesa dalam keadaan sebegitu. Malah tidak pernah berasa malu dengan masyarakat setempat atau rakan-rakan walaupun berada di kawasan pedalaman tersebut.

Ketua penduduknya, Mahat Mohd. Tuwi, 54, berkata, beliau tidak pernah terfikir untuk keluar dari Kampung Tanah Jawa.

Sebaliknya akan terus berusaha memajukan kampung tersebut demi menghargai pengorbanan pengasasnya.

Kampung ini merupakan pusaka daripada nenek moyang kami yang telah dibina sejak 1908.

Mereka itu juga dipercayai merupakan antara peneroka terawal yang mendiami kawasan Segambut ini iaitu sebelum zaman Jepun lagi.

Walaupun tidak mendapat kemudahan dan prasarana yang lengkap seperti kawasan sekitar yang lain, kami akan tetap mendiami Kampung Tanah Jawa ini sehingga ke anak cucu dan seluruh generasi kami pada masa akan datang.

Pada masa sama, kami sentiasa berusaha membangunkan perkampungan ini dengan cuba mendapatkan bekalan elektrik dan saluran air bersih daripada pihak bertanggungjawab.

Selama ini kami hanya menggunakan generator dan air bukit sebagai sumber bekalan," katanya.

Mahat mengakui, pernah ditawarkan jutaan ringgit untuk menjual tanah di kampung itu beberapa kali selain diberikan rumah di penempatan bandar, tetapi mereka menolak.

Begitu juga tindakan segelintir individu yang tidak bertanggungjawab yang pernah mencuba untuk merampas tanah di kawasan ini dengan cara kotor. Tetapi kami akan cuba mempertahankan kawasan ini," tegasnya.

Elektrik hanya

tiga jam

Mahat yang tinggal di Kampung Tanah Jawa sejak lahir berkata, bergantung kepada sebuah generator, penduduk kampung itu hanya menikmati bekalan elektrik kurang dari empat jam sehari.

Selebihnya mereka menggunakan lilin sebagai peneman kegelapan.

Malah katanya, penggunaan elektrik terpaksa dicatu oleh setiap isi rumah bagi mengelakkan terlebih guna dan mengakibatkan bekalan terputus lebih awal.

Kami terpaksa berbincang dan mencatu kegunaan elektrik masing-masing iaitu untuk kegunaan lampu sahaja pada waktu malam.

Itupun kira-kira pukul 7 malam sehingga 11 malam. Jika kegunaan lebih daripada itu, lebih cepat bekalan elektrik putus kerana kehabisan minyak diesel untuk diisi ke dalam mesin penjana elektrik tersebut.

Tambahan pula dengan keadaan yang serba kekurangan, kami tidak mampu untuk menambah minyak yang memerlukan hampir RM30 untuk sekali isian penuh," katanya.

Mahat berkata, dia dan beberapa penduduk kampung pernah mengutarakan permohonan untuk memasang kabel elektrik ke kampung tersebut daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), namun gagal berikutan kekangan yang dihadapi.

Pihak TNB mengatakan kami perlu meminta keizinan daripada pemilik tanah yang berada di sekeliling kawasan kampung ini kerana proses pemasangan kabel elektrik terpaksa melalui kawasan tersebut untuk pemasangan tiang elektrik. Perbelanjaan ini tidak termasuk kos pemasangan yang perlu dibayar oleh setiap daripada kami.

Maka buat masa ini, kami mengambil keputusan meneruskan kehidupan seperti sedia ada.

Namun jika ada badan yang ingin membiayai bekalan elektrik, kami sangat berbesar hati untuk menerimanya," katanya.

Deepavali yang suram

Posted: 07 Nov 2013 05:44 AM PST

TAMILSELVAM dan isteri, Maiyeatah Krishnan risau dengan masa depan anaknya, Suresh Kumaran yang menghidap cerebal palsy.

TAMILSELVAM dan isteri, Maiyeatah Krishnan, 39, bersama empat orang anak yang masing-masing berusia 13, 11, 10 dan lima tahun hidup dalam serba kekurangan di sebuah rumah pangsapuri kos sederhana di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Menyewa rumah berkenaan dengan bayaran RM300 sebulan, Tamilselvam juga sebenarnya sudah dua tahun menjadi penganggur akibat kecederaan kaki yang dialaminya.

Kemalangan motosikal yang dialami menyebabkan kaki Tamilselvam cacat dan memerlukan tongkat untuk berjalan.

Saya bukan tidak mencuba mencari kerja. Saya pernah pergi temuduga untuk jawatan pengawal keselamatan tetapi apabila mereka melihat keadaan saya yang cacat kaki dan sukar bergerak, niat untuk menawarkan kerja terbantut

Sebab itu tugas mencari nafkah diserahkan kepada isteri saya, Maiyeatah yang bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM700 sebulan," jelasnya.

Tamilselvam memberitahu, pendapatan yang tidak seberapa itu bukan sahaja digunakan untuk keluarga, anak-anak yang sedang belajar dan menyara ibu yang sudah tua, malah menanggung kos anak keduanya yang menghidap cerebal palsy (CP).

Suresh Kumaran, anak kedua pasangan itu merupakan anak istimewa yang mengalami CP sejak umur tiga tahun akibat demam panas.

Akibatnya, Suresh tidak boleh bercakap, berjalan atau bergerak sendiri. Makan pun perlu disuap dan semuanya diuruskan oleh pasangan itu.

Anak saya ini dihantar ke Sekolah Pendidikan Khas di Jalan Enam di sini, Setiap pagi sebelum pergi kerja, isteri saya akan menghantar Suresh ke sekolah dan balik pukul 11 pagi.

Suresh yang tidak boleh makan sendiri jika tidak disuap. Dia hanya minum susu khas menggunakan botol seperti kanak-kanak umur empat tahun ke bawah," jelasnya.

Tamilselvam yang menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, menggunakan wang itu untuk Suresh sepenuhnya termasuk membeli susu khas dan lampin pakai buang.

Isterinya juga tidak begitu sihat kerana menghidap lelah yang agak kronik dan kerjanya sebagai tukang cuci hanya bersifat sementara kerana kontraknya bakal tamat pada Disember ini.

Jelas Tamilselvam, ada masanya Suresh perlu membuat rawatan susulan di Hospital Kajang yang memerlukan mereka menyewa teksi dengan bayaran perjalanan pergi dan balik sebanyak RM30.

Bagi kami tambang sebanyak itu agak membebankan memandangkan kami pun bukannya ada duit yang cukup. Duit perbelanjaan harian pun kadangkala kehabisan.

Seperti ibu bapa lain, kami juga ingin memberi yang terbaik untuk anak-anak namun ini sahaja yang kami terdaya. Kami paling risau pada Suresh kerana sekiranya kami tiada nanti siapalah yang akan menjaganya dengan keadaan dirinya yang begitu," kata Tamilselvam menunjukkan kebimbangannya mengenai nasib dan masa depan Suresh.

Dalam pada itu Tamilselvam juga memberitahu, kehidupannya yang serba kekurangan menyebabkan Deepavali yang baru berlalu disambut seperti hari-hari biasa.

Kami hanya duduk di rumah sahaja dan tidak ke mana-mana. Sekiranya ada saudara-mara yang sudi hadir ke rumah kami, mereka akan datang ke sini.

Tetapi kami tidak ke mana-mana kerana kami khuatir ada ke saudara-mara yang sudi menerima kami dan anak-anak macam ini ke rumah mereka.

Saya takut hanya mengganggu mereka sahaja," jelasnya jujur.

Tamilselvam boleh dihubungi di talian 013-3680042 sekiranya ada dalam kalangan pembaca yang ingin menghulurkan bantuan.

- ROSMAH DAIN

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Pelancong minta arca dikekal

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

OLEH SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Diana Febriyanti merakam gambar rakannya di hadapan arca periuk kera semasa melawat kawasan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mempertimbangkan semula cadangan untuk merobohkan pancuran air berbentuk pokok periuk kera yang terletak berhampiran Dataran Merdeka, di sini.

Orang ramai terutamanya pelancong berpendapat arca tersebut wajar dikekalkan kerana menjadi sebahagian binaan yang menarik perhatian mereka datang ke Kuala Lumpur.

Pelancong dari Indonesia, Diana Febriyanti, 24, dari Palembang berkata, periuk kera atau di negaranya dikenali sebagai Kantong Semar adalah spesies yang sangat unik dan sebarang arca yang mewakili tumbuhan itu wajar di kekalkan.

"Kebetulan saya sendiri bertugas sebagai Pegawai Peneliti (Penyelidik) di Kementerian Perhutanan Indonesia Wilayah Palembang dan sangat mencintai kehidupan dan habitat tumbuhan terutama untuk spesies yang semakin pupus, jadi saya sangat berharap agar arca ini tidak dimusnahkan.

"Jika dirobohkan umpama seperti memusnahkan tumbuhan itu sendiri sebagaimana habitat tumbuhan ini di hutan, tinggal lagi yang ini 'tumbuhnya' di bandar," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan DBKL untuk merobohkan arca itu bagi memberi laluan kepada projek Medan Countdown Clock di situ.

Medan itu merupakan sebahagian daripada elemen dalam Projek Jejak Warisan 5 yang akan dimulakan tidak lama lagi.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, arca tersebut terpaksa dirobohkan dan akan dibina di lokasi lain yang akan ditentukan kemudian.

Sementara itu pelancong dari Katmandu, Nepal, Ralaja Tameng, 30, berkata, dia dan rakan-rakan yang pertama kali melancong ke Kuala Lumpur sangat teruja melihatkan keunikan arca itu.

"Sekurang-kurangnya saya masih dapat mengenali tumbuhan ini melalui arca ini dan menjadi inspirasi kepada saya untuk melihat sendiri tumbuhan ini di hutan suatu hari nanti.

"Jika benar arca ini hendak dirobohkan maka hilanglah keunikan Kuala Lumpur kerana saya percaya arca ini begitu menarik perhatian pengunjung malah patut diperbanyakkan air pancuran berbentuk arca seperti ini kerana sangat menyejukkan mata memandang di samping menambahkan elemen hijau dalam bandar yang penuh dengan 'bangunan-bangunan batu'," katanya.

Pelancong dari Republik Estonia, Akti Remmel, 55, turut berharap periuk kera itu terus dikekalkan malah DBKL perlu mewujudkan satu habitat khas bagi tumbuhan itu hidup di taman berdekatan dengan arca itu.

"Itu yang sewajarnya dilakukan, barulah tumbuhan ini dapat dikenali dengan lebih dekat dan menarik lebih ramai lagi pelancong untuk melihat sendiri habitat semula jadi periuk kera ini.

"Jangan diroboh atau dipindahkan ke tempat lain semata-mata untuk memberi laluan kepada pembinaan projek lain. Saya sangat tertarik melihat arca ini. Di Estonia, tumbuhan seperti ini tidak wujud.

"Saya benar-benar kagum dengan keunikan tumbuhan ini. Lebih-lebih lagi dikenali sebagai periuk kera, apa kaitan antara periuk untuk memasak itu dengan kera?," katanya.

Penduduk harap DBKL turap semua

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Amiruddin Mohd. Ali
Yuli Margaret
DBKL akan menurap semua jalan rosak di Taman Salak Jaya, Kuala Lumpur dalam masa terdekat selepas memperbaiki permukaan beberapa lorong di situ. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta menurap semua jalan dan lorong di Taman Salak Jaya di sini berikutan hanya sebahagian jalan di kawasan itu diturap baru-baru ini.

Seorang penduduk, Amiruddin Mohd. Ali, 65, berkata, terdapat beberapa lorong yang permukaannya kurang sempurna tidak diturap sekali gus menimbulkan persoalan.

Amiruddin yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk taman itu berkata, kerja-kerja menurap jalan itu dilaksanakan DBKL sebagai persiapan terhadap program gotong-royong mega yang sepatutnya diadakan pada 27 Oktober lalu.

"Tetapi program itu ditunda ke 17 November ini dan apa yang menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah penduduk adalah terdapat jalan yang tidak diturap," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Rohani Kasa, 49, berkata, peralatan menurap jalan juga sudah dialihkan DBKL baru-baru ini menyebabkan mereka tidak pasti sama ada kerja-kerja itu akan disambung semula.

"Banyak lagi lorong yang tidak diturap antaranya Jalan 23, Jalan 29 dan Jalan 30 yang permukaannya tidak elok, jadi kami berharap DBKL dapat menimbang untuk menurap semua jalan di taman ini demi keselesaan penduduk," ujarnya.

Sementara itu, Yuli Margaret, 33, berharap DBKL turut membina beberapa bonggol di lorong-lorong yang berisiko terutamanya di hadapan rumah penduduk.

"Ini bertujuan memperlahankan kenderaan kerana ada yang memandu terlalu laju sehingga mengancam nyawa penduduk lain terutamanya kanak-kanak," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Kawasan Pejabat Cawangan DBKL Seputeh, Mohd. Yunus Jalaludin berkata, pihaknya tidak mengabaikan beberapa lorong yang tidak diturap kerana sudah ada perancangan untuk memastikan semua jalan di situ dibaiki.

"Tetapi, buat masa ini kami menumpukan beberapa jalan yang teruk dahulu dan Jalan 29 serta Jalan 30 yang dikategorikan teruk juga akan diturap dalam masa terdekat.

"Kami juga terpaksa bergantung dengan keadaan cuaca memandangkan sekarang musim hujan, kalau kerja menurap dijalankan hasilnya tidak berkualiti," katanya ketika dihubungi.

Tambah Mohd. Yunus, program gotong-royong itu kelak dijangka dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Kami memahami rungutan penduduk itu tetapi berharap agar mereka bersabar kerana semua jalan yang rosak di situ akan dibaiki," ujarnya.

1,100 murid tadika khatam al-Quran

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

SEBAHAGIAN daripada murid-murid yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana anjuran MAIWP di Masjid Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Sebanyak 1,100 murid Tadika Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyertai majlis Khatam Al-Quran Perdana di Masjid Negara di sini baru-baru ini.

Kesemua mereka adalah murid di 78 buah Tadika Islam MAIWP yang telah berjaya mengikuti pengajian ilmu al-Quran.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Zainal Abidin Jaffar dalam ucapannya berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian tinggi terhadap pelaksanaan operasi semua tadika Islam di bawah seliaannya.

Beliau berkata, penekanan tentang aspek pelaksanaan operasi tadika tersebut meliputi tumpuan kepada aktiviti kokurikulum, kurikulum dan penyediaan kemudahan pembelajaran di pusat bimbingan itu.

"Bagi meningkatkan kredibiliti tadika Islam di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya MAIWP telah menaikkan kadar bantuan makanan daripada RM1.50 sehari kepada RM1.80 hingga RM3 untuk setiap pelajar sejak Januari tahun lalu.

"Kos keseluruhan bantuan termasuk pembelian peralatan pembelajaran pada tahun lalu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM3.36 juta," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, MAIWP turut mempunyai rantaian pendidikan yang disediakan untuk kanak-kanak Islam sejak dari usia empat tahun melalui penubuhan pusat asuhan dan jagaan Taska Darul Hannan.

Tambahnya, program yang disusun atur oleh MAIWP itu juga berjaya memupuk minat kanak-kanak untuk terus mempelajari dan menguasai al-Quran sebelum melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


SPM terakhir di SMT Perdagangan JB

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

Calon SPM bersalaman dengan guru sebelum memasuki dewan peperiksaan.

JOHOR BAHRU 6 Nov. - Sekolah Menengah Teknik (SMT) Perdagangan Johor Bahru yang dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional Perdagangan Johor Bahru mempunyai misi tersendiri dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pengarahnya, Zanariah Ahmad berkata, seramai 370 calon sekolah tersebut menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini berbanding 386 calon pada tahun lalu.

"Sekolah ini telah dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional pada tahun ini dan ada daripada pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat diploma.

"Oleh itu, SPM pada tahun ini adalah yang terakhir kerana akan ditukar menjadi sebuah kolej vokasional sepenuhnya pada tahun depan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seramai 57,090 calon di negeri ini menduduki peperiksaan SPM tahun ini yang bermula hari ini hingga 5 Disember ini.

Daripada jumlah itu, seramai 51,170 merupakan calon sekolah kerajaan manakala selebihnya calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah agama kerajaan negeri, sekolah swasta dan individu persendirian.

Zanariah berkata, pihaknya telah menjalankan pelbagai program akademik dan latih tubi sebelum peperiksaan berlangsung dengan harapan mencatat kejayaan lebih cemerlang.

"Selama lapan tahun berturut-turut pencapaian sekolah ini mencatatkan peningkatan dengan tahun lalu kita memperoleh GPS (gred purata sekolah) 2.87 dan pada peperiksaan kali ini kita menyasarkan GPS 2.67.

"Sudah semestinya kita mengharapkan agar keputusan SPM yang terakhir ini adalah yang terbaik kita peroleh dan menjadi hadiah yang paling bermakna," katanya.

Sementara itu, seramai 57,090 calon di negeri ini menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seluruh negeri mulai hari ini hingga 5 Disember ini.

Jabatan Pendidikan negeri dalam kenyataan di sini memberitahu, daripada jumlah itu, seramai 51,170 adalah calon sekolah kerajaan, manakala selebihnya calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Agama Kerajaan Negeri, sekolah swasta dan individu persendirian.

Sebanyak 382 pusat peperiksaan dibuka bagi calon menduduki peperiksaan tersebut dan melibatkan seramai 3,682 petugas yang terdiri daripada Penyelia Kawasan, Ketua Pengawas dan Pengawas Peperiksaan.

Seramai 21,139 calon turut menduduk peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mulai hari ini sehingga 2 Disember ini di 338 pusat peperiksaan yang dikawal selia oleh 582 petugas di seluruh negeri ini.

30 wakil media sertai cari harta karun JCorp

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

Peserta terdiri daripada pengamal media dilepaskan semasa menyertai pertandingan mencari harta karun dalam Program Riadah dan Rekreasi JCorp Bersama Media di Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 6 Nov. - Pertandingan mencari harta karun atau treasure hunt bukan asing bagi kebanyakan rakyat di negara ini.

Malah, pelbagai pihak menggunakan penganjuran acara itu untuk memeriahkan sesuatu sambutan atau program yang dianjurkan.

Bagi Johor Corporation (JCorp), syarikat milik kerajaan negeri ini, penganjuran program mencari harta karun itu diadakan saban tahun.

Namun, kali ini sedikit berbeza apabila kumpulan sasar adalah wakil media yang bertugas di negeri ini.

Seramai kira-kira 30 peserta yang terdiri daripada wakil media serta kakitangan anak syarikatnya JCorp seperti Kumpulan Perubatan Johor (KPJ), Kulim Berhad dan Hotel Puteri Pacific 'didera' dalam Program Riadah dan Rekreasi JCorp Bersama Media 2013 yang diadakan di sekitar bandar raya ini dan Pasir Gudang baru-baru ini.

Nyata program bersifat rekreasi itu begitu menyeronokkan dan berjaya mengembalikan nostalgia pengamal media ke zaman kanak-kanak.

Program dimulakan dengan pertandingan pencarian harta karun apabila para peserta yang dilepaskan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini dikehendaki mencari ejen rahsia JCorp yang 'berkeliaran' di Terminal Larkin.

Di situ, peserta terpaksa menebalkan muka untuk mendekati orang ramai dan bertanyakan sama ada mereka ejen rahsia yang dicari hingga menyebabkan beberapa orang awam yang disapa menjadi terpinga-pinga.

Setelah berjaya menjejaki ejen rahsia yang merupakan seorang wanita yang berpura-pura sibuk menelefon, para peserta bergegas pula ke Kolej Antarabangsa KFCH di Bandar Dato' Onn, di sini untuk mengambil gambar yang kreatif di hadapan pintu masuk kolej berkenaan.

Selesai tugasan kedua, para peserta terus menuju ke pusat bandar Pasir Gudang untuk menyelesaikan tugasan terakhir di situ sebelum menamatkan misi di Hotel Selesa Pasir Gudang.

Tidak berakhir di situ, pada sebelah petangnya pula para pengamal media perlu mengharungi cabaran sukaneka seperti mencari gula-gula dalam tepung, lari berpasangan dengan kain batik, memasukkan air dalam botol serta belon air.

Suasana di padang Hotel Selesa Pasir Gudang yang turut menjadi lokasi penginapan dan makan malam penghargaan serta penyampaian hadiah bertukar menjadi riuh rendah terutama apabila belon air yang gagal dibaling kepada ahli kumpulan terjatuh dan 'meletup'.

Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Operasi JCorp, Zulkifli Ibrahim dalam ucapannya turut melahirkan rasa gembira dengan penganjuran program itu yang dilihat dapat merapatkan lagi hubungan antara JCorp dan anak-anak kumpulan syarikat tersebut bersama pengamal media.

"Kerjasama antara JCorp dan media kebiasaannya adalah atas dasar kerja, sebab itulah program ini dianjurkan kerana pada waktu inilah kita dapat bersama-sama dalam suasana yang cukup santai.

"Tidak dinafikan pihak media banyak membantu kejayaan syarikat ini dan berharap hubungan dan kerjasama ini akan berterusan pada masa akan datang," katanya dalam majlis makan malam.

Yang turut hadir, Naib Presiden Divisyen Khidmat Korporat JCorp, Kamaruldzaman Salleh dan Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak.

Pada majlis sama, Zulkifli turut menyampaikan hadiah kepada pasukan RTM Johor yang muncul juara pertandingan pencarian harta karun manakala tempat kedua dimenangi Astro Awani dan tempat ketiga diraih Utusan Malaysia.

JCorp turut menyumbang sebuah televisyen kepada Kelab Media Johor untuk digunakan di Rumah Kelab yang terletak di Taman Merdeka.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved