Khamis, 7 November 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Empat pengawal dihukum mati

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

V. K Santirasagaran (kiri), C. Krishnakumar (belakang, kanan), S. S Arumugam (dua, kiri) dan P. Thinagaran (kanan) diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 7 Nov. - Kekejaman empat pengawal keselamatan yang menculik sepasang suami isteri dan merakam aksi isteri lelaki tersebut dirogol oleh rakan sejenayah mereka dua tahun lalu, akhirnya mendapat pembelaan setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman tersebut terhadap P. Thinagaran, 27, S.S. Arumugam, 24, C. Krishnakumar, 24, dan V.K. Santirasagaran, 32, selepas mendapati pembelaan keempat-empat tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Menurut hakim itu, pembelaan kesemua tertuduh tidak selari dengan keterangan saksi-saksi selain tidak menepati pembelaan alibi masing-masing.

Kesemua tertuduh didakwa bersama C. Manimavanan dan seorang lagi yang masih bebas, menculik pasangan berusia 29 tahun itu di sebuah rumah di Jalan Merak, Pusat Bandar Puchong dekat sini pada pukul 4.30 pagi, 4 Mac 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut keterangan kes, kedua-dua mangsa pergi ke tempat kejadian untuk bertemu dengan lelaki bernama Shan (yang masih bebas) dan selepas bersalaman, Shan menarik tangan kedua-duanya ke dalam kereta yang turut dinaiki oleh keempat-empat tertuduh.

Mangsa (suami) ketika memberikan keterangan di mahkamah menyatakan, dia dipijak di kepala ketika di dalam kereta dan disuruh sujud sepanjang perjalanan ke sebuah rumah kosong di Pulau Carey, Klang dekat sini selain dikurung secara berasingan.

Mangsa wanita itu pula mendakwa dirogol oleh Shan meskipun dia memberitahu sedang dalam keadaan haid dan keempat-empat tertuduh pula tanpa rasa bersalah merakam aksi rogol itu menggunakan telefon bimbit.

Selepas itu, Shan menghubungi ibu mangsa wanita itu untuk meminta wang tebusan dan selepas rundingan, wang RM1,500 dimasukkan ke dalam akaun milik Manimavanan sebelum pasangan itu dibebaskan pada pukul 10.30 malam, hari yang sama.

Terdahulu peguam bela, V. Thiru Kumar yang mewakili kesemua tertuduh dalam rayuan menyatakan anak guamnya bukan dari keluarga senang dan itu merupakan kesalahan pertama mereka.

Menurut beliau, individu paling penting dalam kes ini yang patut dihukum adalah Shan yang masih bebas dan tidak dapat dikesan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md. Kamal menyatakan, mangsa mengalami trauma dan ketakutan tetapi menggagahkan diri tampil memberikan keterangan walaupun menjadi mangsa rogol.

Hakim Noor Azian sebelum menjatuhkan hukuman menyatakan, perbuatan kesemua tertuduh itu yang merakamkan aksi rogol adalah kesalahan berat yang perlu dipertimbangkan oleh beliau dalam menjatuhkan hukuman.

''Bayangkan bagaimana rasanya jika isteri kamu sendiri yang dirogol pasti meninggalkan kesan mendalam.

"Kes ini sesuai untuk saya membuat pilihan sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup," ujar beliau.

Katanya lagi, jenayah culik amat ditakuti orang ramai kerana bukan sahaja kanak-kanak yang menjadi mangsa malahan orang dewasa.

Selepas keempat-empat tertuduh didakwa, seorang lagi iaitu Manimavanan ditangkap dan dia masih dibicarakan atas pertuduhan sama secara berasingan di mahkamah berbeza.

Bunuh rakan: Hukuman mati dua kekasih kekal

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

PUTRAJAYA 7 Nov. - Seorang bekas penuntut sebuah kolej dan teman lelakinya kekal menjalani hukuman gantung atas sabitan membunuh rakan karib perempuan tersebut di sebuah bilik hotel, enam tahun lalu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria sebulat suara memutuskan demikian hari ini selepas menolak rayuan akhir, Noralina Ahmad Dasuki, 26, dan Muhammad Khairul Anuar Abdullah, 32.

Kuorum itu berpuas hati dengan keterangan yang dikemukakan di mahkamah amat kukuh bagi membolehkan mereka mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang mengesahkannya.

Yang turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Datuk Hasan Lah, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Ramly Ali.

Noralina kelihatan gagal mengawal perasaannya lalu menangis teresak-esak manakala teman lelakinya yang merupakan bekas jurujual sebuah stesen televisyen satelit berbayar menoleh ke arah beberapa ahli keluarga sejurus keputusan diumumkan.

Noralina (perayu pertama) dan Muhammad Khairul Anuar (perayu kedua) didakwa bersama-sama membunuh Juliana Md. Fuzi, 20, yang ketika itu merupakan penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa.

Kejadian berlaku di antara pukul 10 malam, 23 Mac 2007 dan 8.30 malam, 24 Mac 2007 di Bilik 5133, Tingkat Tiga, Apartmen Sunrise, Wisma Indah, Jalan Tun Razak di ibu negara.

Juliana yang merupakan pelajar tahun tiga Diploma Pengurusan Perniagaan ialah rakan karib Noralina.

Mangsa dijemput menaiki kereta dari Taman Koperasi Polis lalu dibawa ke hotel tersebut. Dia kemudian dirogol oleh perayu kedua sebelum dijerut menggunakan tali kabel dengan bantuan Noralina sehingga mati.

Keterangan kes menunjukkan, mangsa ditemui mati oleh petugas hotel dalam keadaan tangannya terikat ke belakang manakala terdapat kesan jerutan pada lehernya.

Keterangan bedah siasat menyatakan, berdasarkan kecederaan mangsa, lebih daripada seorang terlibat dalam pembunuhan itu kerana bukan mudah untuk menjerut lehernya dengan tali kabel dalam keadaan mangsa masih hidup dan meronta-ronta untuk melepaskan diri.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved