Khamis, 7 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


35,623 duduki SPM di NS, Melaka

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR dan FADZLY IZAB
pengarang@utusan.com.my

Guru kokurikulum, Rogayah Harun (tiga dari kanan) dikucup tangannya oleh salah seorang pelajar selepas beliau memberi kata-kata perangsang kepada pelajar SMK Bukit Baru yang menduduki SPM di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

SEREMBAN 6 Nov. - Seramai 19,948 pelajar mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri ini bermula hari ini sehingga 5 Disember.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Kalsom Khalid berkata, kesemua calon tersebut akan menduduki peperiksaan itu di 150 pusat peperiksaan sekitar negeri ini.

"Berdasarkan statistik, calon sekolah seramai 17,881, calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan tentera (515), sekolah agama negeri (137), swasta (480) dan persendirian (935).

"Selain itu, kita juga mempunyai calon yang mengambil SPM di hospital seramai 11 orang dan lima calon menggunakan komputer," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelasnya lagi, kesemua 150 pusat peperiksaan telah ditetapkan termasuk sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah kerajaan dan sekolah swasta termasuk MRSM.

"Seramai 1,313 petugas dipertanggungjawabkan dalam memastikan kelancaran proses perjalanan peperiksaan di seluruh negeri ini," ujarnya.

Sementara itu, sebanyak 15,675 calon menduduki peperiksaan SPM di Melaka di 109 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Kasim Mohamad berkata, daripada jumlah itu, 13,740 calon merupakan pelajar dari sekolah menengah kebangsaan, sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah berasrama penuh serta sekolah menengah teknik dan vokasional.

"Selebihnya iaitu 757 calon merupakan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 102 calon sekolah swasta serta 1,076 calon persendirian," katanya ketika dihubungi di sini.

Jelas Kasim, sebanyak 76 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan terlibat terbahagi kepada 39 sekolah di daerah Melaka Tengah, 19 sekolah di Alor Gajah dan 18 sekolah lagi di Jasin selain tiga MRSM dan dua sekolah swasta.

"Kementerian turut menempatkan sebanyak 1,099 petugas peperiksaan ditempatkan di kesemua pusat peperiksaan bagi memastikan kelancaran perjalanan SPM kali ini," ujarnya.

Sementara itu kata beliau, sebanyak 10 calon turut menduduki peperiksaan hari pertama di lima buah hospital di negeri ini.

Komuniti 1Malaysia tingkat semangat sukarela

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

M. S. Mahadevan (duduk, tiga dari kiri) menunjukkan isyarat 1Malaysia bersama para peserta Majlis Permuafakatan Komuniti 1Malaysia di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA 6 Nov. - Majlis Permuafakatan Komuniti 1Malaysia yang ditubuhkan di bawah Jabatan Penerangan negeri ini diharap dapat meningkatkan semangat kesukarelaan dalam kalangan rakyat setempat.

Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Zainuddin Ismail berkata, penubuhan majlis permuafakatan itu juga dilihat membantu merealisasikan hasrat kerajaan mentransformasikan minda rakyat.

"Peranannya dilihat amat besar dalam membantu kerajaan menyebar dan memberikan kefahaman tentang dasar-dasar yang sedang dan akan dilaksanakan selain penjelasan mengenai isu-isu semasa di peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Permuafakatan Komuniti 1Malaysia di Ayer Keroh di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk M.S. Mahadevan.

Yang turut hadir Pengerusi Majlis Permuafakatan Komuniti 1Malaysia, Mohd. Isa Jasin dan Penolong Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Daud Md. Noor.

Jelas Zainuddin, sebanyak 29 Komuniti 1Malaysia ditubuhkan Jabatan Penerangan termasuk sebuah komuniti untuk bukan Melayu di Melaka.

Setiap komuniti ini katanya, diperuntukkan sebanyak RM4,000 bagi geran pentadbiran serta RM5,000 untuk mengerakkan aktivitinya sepanjang tahun bagi memantapkan sistem penyampaian kerajaan ke peringkat akar umbi.

"Pelbagai aktiviti diadakan termasuklah Program Komuniti 1Malaysia peringkat negeri, Program Himpunan Komuniti 1Malaysia peringkat daerah, Info Komuniti 1Malaysia, Program Sentuhan Rakyat, Program Himpunan Kasih, Konvoi Kembara Jalinan Kasih dan banyak lagi.

"Program-program yang dianjurkan dilihat telah memberi impak besar dalam mendapatkan sokongan akar umbi kepada kerajaan yang memerintah," ujarnya.

Katanya lagi, peranan Komuniti 1Malaysia juga sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan.

Penerokaan hutan ditangani

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
pengarang@utusan.com.my

SEREMBAN 6 Nov. - Kerajaan negeri memandang serius masalah penerokaan hutan haram yang kian berleluasa terutamanya di kawasan sempadan negeri ini dan Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, masalah itu juga membabitkan kekeliruan persempadanan antara Negeri Sembilan dan Pahang yang masih belum dapat diputuskan melalui persetujuan bersama.

"Banyak kes penerokaan haram berlaku di kawasan sempadan kita dan Pahang, ini berlaku kerana mereka ingat itu tanah Pahang sebaliknya, tanah Negeri Sembilan.

"Saya telah mengarahkan pihak serta agensi berkaitan untuk ambil tindakan tegas terutamanya terhadap pihak yang terlibat melakukan penerokaan hutan secara haram di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Jelasnya, penerokaan haram itu turut menyaksikan aktiviti penebangan pokok selain penanaman sawit di kawasan sempadan.

"Kita masih belum dapat kenal pasti individu yang menjadi dalang terhadap kegiatan terbabit kerana mereka merupakan orang luar dan bukan penduduk di kawasan berhampiran.

"Apa pun sekiranya mereka ditahan, kita tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat," tegasnya.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, penentuan persempadanan antara Negeri Sembilan dan Melaka telah selesai dan diputuskan melalui persetujuan bersama.

"Setakat ini persempadanan dengan Johor masih belum dapat diselesaikan atas faktor perubahan geografi seperti aliran sungai.

"Masih ada 50 peratus kita belum bersetuju dengan Johor dan kita juga telah menghantar nota bantahan berhubung isu ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved