Khamis, 7 November 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Tubuh majlis pemuafakatan

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
pengarang@utusan.com.my

Ismail Mohamed Said (duduk, tengah) bergambar bersama para Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam Malis Penyampaian Sumbangan Khas Menteri Pendidikan kepada PIBG dalam Parlimen Kuala Krau di Kuala Krau, baru-baru ini.

KUALA KRAU 7 Nov. - Majlis Pemuafakatan Ibu Bapa Guru 1Malaysia perlu diperkasa di setiap institusi pendidikan di Parlimen ini bagi mewujudkan kerjasama erat semua pihak terlibat sekali gus membantu melahirkan masyarakat bersatu padu, intelek dan bersyukur.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, bagi tujuan murni itu majlis berkaitan perlu ditubuh segera di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen tersebut.

Beliau berkata, penubuhan majlis pemuafakatan seperti ini akan mewujudkan kumpulan pemikir dalam kalangan ibu bapa dan pemimpin masyarakat yang berlainan kerjaya.

"Majlis pemuafakatan perlu dianggotai ibu bapa, pemimpin setempat seperti ketua kampung, pemimpin politik, penghulu, polis, pegawai Felda, ketua belia, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

"Untuk itu, geran RM30,000 akan disalurkan kepada setiap DUN dalam Parlimen Kuala Krau yang menubuhkan Majlis Pemuafakatan Ibu Bapa Guru 1Malaysia," katanya.

Ismail merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau berkata demikian ketika berucap pada Malis Penyampaian Sumbangan Khas Menteri Pendidikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam Parlimen Kuala Krau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, dalam Parlimen Kuala Krau terdapat tiga DUN iaitu Jengka, Kerdau dan Jenderak dengan bilangan penduduk lebih 300,000 orang.

Ismail menambah, penubuhan majlis pemuafakatan itu akan membantu menghasilkan lebih banyak keuntungan dalam bidang pendidikan yang menjadi teras kepada kemajuan negara.

Beliau berkata, cadangan mewujudkan majlis pemuafakatan tersebut penting bagi menjalin kerjasama erat antara ibu bapa dengan tokoh pendidikan dalam komuniti.

Menurutnya, sudah tiba masanya pemuafakatan itu diwujudkan memandangkan sehingga kini belum ada mana-mana institusi pendidikan bertaraf kolej atau universiti mempunyai pertubuhan sedemikian.

"Penubuhan majlis pemuafakatan ibu bapa ini penting supaya ibu bapa dapat saling berinteraksi dengan pemimpin setempat demi kepentingan pelajar," katanya.

Penduduk rai penjaga gol Pahang

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Lebih 100 penyokong setia skuad bola sepak Pahang meraikan penjaga gol, Khairul Azhan Mohd. Khalid (tengah) dengan mengadakan majlis barbeku di Kampung Seri Belat, Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 7 Nov. - Lebih 100 penyokong setia skuad bola sepak Pahang meraikan kemenangan pasukan itu menjulang Piala Malaysia dengan mengadakan majlis barbeku di Kampung Seri Belat di sini kelmarin.

Majlis anjuran Kelab Peminat Khairul Azhan Mohd. Khalid atau Yan itu bertujuan meraikan kejayaan penjaga gol skuad Pahang terbabit membantu skuadnya menyelamatkan beberapa cubaan berbahaya pemain Kelantan dalam perlawanan tersebut.

Menurut penganjur, Yazid Hamzah, kelab peminat ini diwujudkan sejak awal tahun ini selepas melihat kebangkitan pasukan Pahang dalam arena bola sepak.

"Yan merupakan penduduk di kampung ini dan kita buat program ini adalah untuk memberi motivasi kepadanya agar terus maju jaya dalam bidang bola sepak.

"Selain itu, kita turut meraikan kejayaan pasukan Pahang berjaya menjulang Piala Malaysia selepas 21 tahun," katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Katanya, bekas penjaga gol Pahang, Juraimi Hassan juga berasal dari kampung itu dan secara tidak langsung dapat memberi semangat kepada Yan untuk berjaya.

RUKTA seru orang ramai bantu rakyat miskin

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

RAUB 7 Nov. - Pengerusi Persatuan Kebajikan Rumah Anak- Anak Yatim Raub (RUKTA), Datuk Seri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah menyeru orang ramai termasuk badan korporat melakukan kerja- kerja kebajikan membantu rakyat miskin khususnya anak yatim.

Menurutnya, galakan ini penting sebagai membantu golongan sedemikian agar mereka tidak rasa terpinggir dan menerima bantuan sewajarnya.

"Kita amat menggalakkan sesiapa yang berminat khususnya badan-badan korporat atau perseorangan untuk mengadakan program bersama anak yatim di sini.

"Mereka boleh datang berbincang dengan kami sekiranya mahu menjalankan aktiviti kebajikan bersama anak- anak yatim di sini dan membantu mereka apa yang perlu," kata Tengku Muhaini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program amal bersama anak-anak yatim Rukta dengan 24 ahli Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Bakat, Puan Seri Asnah Din, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin dan ADUN Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram.

Menurut beliau, RUKTA kini dalam perancangan untuk membaik pulih rumah anak yatim terbabit yang ditubuhkan sejak lapan tahun lalu.

"Sebelum ini kami sudah menyediakan perpustakan mini untuk dimanfaatkan oleh anak-anak yatim di sini.

"Selain itu, kami merancang untuk membaik pulih asrama, membina bangunan terutamanya tempat untuk menjalankan aktiviti atau program dan sebagainya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved