Khamis, 7 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


24,280 calon SPM di Pulau Pinang

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
pengarang@utusan.com.my

Pelajar teruja menjawab kertas soalan subjek Bahasa Melayu Kertas 1 peperiksaan SPM di SMK Bukit Gambir, Pulau Pinang, semalam. - Utusan/ISMAIL KAMADIN

PULAU PINANG 6 Nov. - Seramai 24,280 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini di 213 pusat peperiksaan di negeri ini.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, kesemua calon berkenaan mengambil peperiksaan itu di pusat peperiksaan terbabit yang merangkumi 198 pusat peperiksaan di sekolah dan 15 pusat peperiksaan di hospital.

Katanya, seramai 10 calon menduduki peperiksaan itu di empat hospital kerajaan dan empat calon lagi menduduki peperiksaan di hospital swasta.

"Setakat ini semua peperiksaan berjalan lancar dan tiada calon yang menghadapi masalah untuk menduduki peperiksaan dan saya berharap tiada sebarang masalah timbul sehingga penghujung SPM nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Tarmizi memberitahu, beliau sempat melawat beberapa pusat peperiksaan di negeri ini termasuk meninjau perjalanan peperiksaan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi ini.

Tambah beliau, seramai 1,874 pembantu peperiksaan bertugas bagi memantau perjalanan SPM tahun ini di semua pusat peperiksaan di negeri ini.

Sementara itu, di Kedah, seramai 37,915 calon menduduki peperiksaan SPM di 280 pusat peperiksaan di negeri ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat berkata, daripada jumlah itu, seramai 32,883 adalah calon sekolah menengah harian, Maktab Rendah Sains Mara (960 calon), Maktab Mahmud (sekolah agama) (775 calon), Sekolah Agama Rakyat (981), sekolah swasta (330) dan calon persendirian 1,990 orang.

Beliau berkata, seramai 82 calon pendidikan khas dan 16 calon Sekolah Integriti Sungai Petani menduduki peperiksaan itu manakala 12 pelajar terpaksa mengambil peperiksaan itu di hospital.

"Seramai 10 calon pula mengambil peperiksaan di pusat pemulihan akhlak," katanya ketika meninjau peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra, di sini hari ini.

Di Perak, seramai 43,289 calon SPM di seluruh negeri menduduki peperiksaan itu hari ini.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Idris Ramli berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 41,132 calon sekolah dan 2,157 lagi calon persendirian.

Menurutnya, kesemua calon tersebut menduduki peperiksaan berkenaan di 353 pusat peperiksaan di seluruh negeri dengan dikendalikan oleh petugas peperiksaan seramai 2,249 orang.

''Seramai 1,803 kakitangan terlibat dalam tugas mengawasi pusat peperiksaan dan 93 orang pula bertanggungjawab sebagai penyelia kawasan peperiksaan dan 353 orang pula bertindak sebagai ketua pengawas," katanya.

Mohd. Idris berkata, seramai 74 lagi calon pula dikenal pasti sebagai calon berkeperluan khas.

Katanya, setakat ini, seramai dua calon terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kerana sakit.

Sementara itu, beliau memberitahu, bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), seramai 5,544 calon menduduki peperiksaan itu, manakala 35 daripadanya merupakan calon persendirian.

Sungai Kinta tarikan pelancong

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 6 Nov. - Kerajaan negeri bercadang menaiktaraf Sungai Kinta, yang terletak di tengah-tengah bandar raya ini sebagai satu daripada tarikan utama pelancong yang berkunjung ke Ipoh.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) berkata, Sungai Kinta akan diperindahkan lagi dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Kerajaan negeri akan memikirkan langkah-langkah yang perlu untuk mencantik dan memperindahkan lagi Sungai Kinta dan menjadikan ia sebagai tarikan utama di bandar raya ini.

"Kita mengadakan perbincangan dan mendapatkan pandangan pakar bagaimana untuk menaiktarafkan Sungai Kinta supaya ia boleh menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di Ipoh.

"Kita mahu jadikan Sungai Kinta seperti sungai-sungai di Korea Selatan atau Eropah yang menjadi tumpuan pelancong.

"Dalam hal ini, Melaka menunjukkan perkembangan baik dan kita berharap ia dapat diwujudkan di Ipoh," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Zambry mahu penyelesaian segera dicari bagi mengatasi isu segelintir syarikat bas di bandar raya ini yang masih enggan berpindah ke Terminal Amanjaya di Meru Raya.

Menurut beliau, punca sebenar isu itu perlu dikenalpasti dan diatasi bagi menjadikan terminal tersebut sebagai pusat operasi setempat bagi semua perkhidmat bas termasuk bas ekspres di bandar raya ini.

Beliau berkata, antara punca pengusaha keberatan untuk berpindah dan masih beroperasi di stesen lama disebabkan kekurangan penumpang.

"Ini merupakan satu isu kompleks. Boleh dikatakan hampir kesemua operator bas sudah berpindah ke Terminal Aman Jaya.

"Cuma ada satu dua operator yang masih belum berbuat demikian kerana merasakan mereka berdepan masalah penumpang.

"Penumpang pula dikatakan tidak mahu ke sana (Terminal Aman Jaya) kerana jaraknya agak jauh dari pusat bandar raya.

"Jadi saya mahu pihak yang berkenaan mencari cara untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Sebelum ini, pengusaha bas di Terminal Amanjaya mendesak syarikat ekspres yang masih beroperasi di Jalan Bendahara, Medan Kidd serta Jalan Dr. Nazrin Shah termasuk di Chemor; berpindah ke terminal berkenaan.

Isu pemindahan operasi bas ekspres ke Terminal Aman Jaya dari Medan Gopeng yang berlarutan sejak April 2011, pada awalnya, selesai apabila semua pengusaha bersetuju berpindah ke terminal itu pada Mac lalu.

'Bersatu atasi masalah sosial remaja'

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kiri), Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (dua dari kanan) dan Azlan Man (dua dari kiri) ketika menghadiri Forum Kafe Cinta sempena sambutan Maal Hijrah di Kangar, Perlis, malam semalam.

KANGAR 6 Nov. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya masyarakat dan pemimpin setempat bersatu dalam memainkan peranan bagi membantu mengatasi masalah sosial remaja masa kini.

Titah baginda, golongan remaja perlu sentiasa dibimbing, ditegur serta dinasihati dengan cara berhemah sekiranya mereka melakukan perbuatan yang tidak manis dipandang.

''Oleh yang demikian marilah kita sama-sama seiring, ingat-mengingati sesama kita bahawa kerjasama dan pemantauan daripada semua pihak termasuklah remaja itu sendiri, ibu bapa, sekolah, jabatan agama dan lain-lain badan berwajib amatlah diperlukan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika melancarkan program Forum Kafe Cinta sempena sambutan Maal Hijrah Peringat Negeri Perlis di Dewan Warisan di sini malam tadi.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis serta Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) Negeri Perlis.

Berkenan berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Azlan Man.

Baginda bertitah, permasalahan sosial remaja masa kini diibaratkan sebagai usaha 'untuk memeriksa sesuatu penyakit'.

''Kita perlulah memeriksa punca penyakit tersebut dan jika penyakit tidak diubati, harapan untuk sembuh tidak akan berjaya," titah baginda.

Tegas baginda, permasalahan berkaitan dengan isu akidah pula perlu ditangani dengan mengambil langkah-langkah yang lebih drastik.

''Ibu bapa juga perlu menjadi contoh kepada anak-anak selain berikanlah perhatian dan kasih sayang secukupnya, rumahtangga disulami dengan ketenangan dan kebahagiaan melahirkan anak-anak cemerlang akhlaknya," titah baginda.

Dalam usaha tersebut, titah baginda, al-Quran dan sunah perlu dijadikan sebagai rujukan dan ikutan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved