Sabtu, 1 Mac 2014

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Operasi buru peniaga warga asing, 190 PATI ditahan

Posted: 01 Mar 2014 10:06 AM PST

Ahmad Zahid Hamidi memeriksa dokumen salah seorang pendatang tanpa izin yang ditahan dalam Operasi Bersepadu 6PI di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur, malam tadi. - MINGGUAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

KUALA LUMPUR 1 Mac - Seramai 500 warga asing diperiksa dalam operasi bersepadu bagi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjalankan perniagaan menggunakan permit milik rakyat tempatan di Jalan Silang, di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 190 PATI ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa supaya melakukan pemantauan secara berterusan terhadap pemilik premis yang didapati menyewakan premis kepada warga asing.

"Pihak berkenaan (PBT) perlu memikul tanggungjawab dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada secara tegas bagi mengelakkan penyalahgunaan lesen premis perniagaan," katanya ketika ditemui selepas Ops Bersepadu 6P di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat.

Ahmad Zahid seterusnya meminta para majikan mengambil inisiatif mengusahakan perniagaan mereka dengan menggunakan tenaga tempatan berbanding warga asing.

Sementara itu, di ALOR GAJAH, Ahmad Zahid berkata, Ops Bersepadu 6P melibatkan Jabatan Imigresen, PBT, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu bagi memastikan masalah peniaga warga asing tanpa izin ditangani sepenuhnya.

"Rata-rata rakyat rasakan peluang perniagaan mereka sudah direbut dan dirampas oleh pendatang asing.

"Saya ingin memberitahu rakyat Malaysia (yang sewa atau jual permit) juga perlu disalahkan... Jangan sewa lesen, jangan jual lesen kerana ia diberi kepada warganegara Malaysia untuk kerajaan bantu mereka meningkatkan taraf kehidupan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Rakyat anjuran UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Kastam rampas RM36.64j rokok seludup tahun lalu

Posted: 01 Mar 2014 10:06 AM PST

Matrang Suhaili (kiri) memusnahkan sebahagian rokok seludup menggunakan mesin pengisar pada Program Khidmat Bakti Masyarakat dan Kempen Mencegah Penyeludupan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Seremban, semalam.

SEREMBAN 1 Mac - Sebanyak 449.94 juta batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM36.64 juta dengan cukai tidak berbayar berjumlah RM212.39 juta dirampas oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM) sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan, Datuk Matrang Suhaili menjelaskan catatan berkenaan menyaksikan penurunan berbanding tahun sebelumnya berjumlah 510.83 juta batang rokok bernilai RM42.05 juta, dengan cukai tidak berbayar sebanyak RM254.73 juta.

Namun begitu katanya, kegiatan tersebut dianggap serius kerana ia melibatkan kehilangan pendapatan negara kira-kira RM1.9 bilion setiap tahun akibat penyeludupan rokok secara haram.

''Mana-mana pihak yang didapati menjalankan kegiatan seumpamanya, kita tidak akan menawarkan kompaun tetapi akan terus menghadapkan mereka ke mahkamah mengikut Akta Kastam 1967 seperti dasar terdahulu," katanya.

Matrang berkata demikian selepas merasmikan Program Khidmat Bakti Masyarakat dan Pelancaran Kempen Mencegah Penyeludupan KDRM negeri 2014 di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP)Labu di sini, hari ini.

Katanya lagi buat masa ini pihaknya masih lagi mengkaji sama ada belum lagi mahu mengenakan tindakan ke atas pembeli sebaliknya bertindak secara agresif bagi memerangi pengedar dan penjual rokok seludup.

"Bagaimanapun, KDRM bersedia bila-bila masa saja, untuk menangkap dan mendakwa golongan pembeli rokok tidak sah bagi memerangi kegiatan penyeludupan secara menyeluruh, yang secara automatik mengurangkan permintaan," katanya.

Berdasarkan rekod tahun lalu seramai 3,294 penyeludup dan penjual rokok tidak sah didakwa di mahkamah dan penguatkuasaan untuk memastikan lebih ramai golongan itu menerima nasib sama akan terus dipertingkatkan bagi memerangi kegiatan berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Mitsubishi Attrage

Posted: 23 Feb 2014 10:03 AM PST

Oleh JOHARDY IBRAHIM
ekonomi@utusan.com.my

DENGAN berat keseluruhan badan hanya 875 kilogram (kg) bagi versi manual dan 905 kg bagi CVT, Mitsubishi Attrage boleh diklasifikasikan antara kereta paling ringan di atas jalan raya.

Atas faktor tersebut, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) yakin untuk memasarkannya dengan pernyataan ''Eco Sedan Bergaya" memiliki kecekapan bahan api terunggul dalam kelasnya pada 21 km per liter (pengukuran data dalaman berasaskan New European Driving Cycle atau NEDC).

Attrage menggunakan enjin yang serupa digunakan pada Mitsubishi Mirage yang dilancarkan tahun lalu. Kecekapan enjin digabungkan dengan aerodinamik yang dioptimumkan (kesan heret paling rendah sebanyak 0.29) dan penurunan halangan bergolek bagi mencapai penjimatan bahan api yang cemerlang. Selain itu, berat telah dikurangkan menerusi penambahan penggunaan besi tegangan tinggi dalam struktur badan.

Diperkasa oleh enjin moden dan ringan 1.2 liter dengan 78 PS dan kuasa kilas 100 Nm, unit enjin tiga silinder MIVEC digandingkan dengan transmisi manual lima kelajuan atau Transmisi Berubah-ubah Berterusan (CVT) INVECS-III yang lancar dan cekap.

Daripada segi saiz, sedan terkecil dalam keluarga Mitsubishi ini berukuran 4,245 milimeter (mm) panjang dan 1,670 mm lebar. Dibandingkan dengan Honda City misalnya, Attrage adalah 170 mm lebih rendah dan 25mm lebih kecil walaupun asas roda adalah 2,550 mm sama besar dengan City dan Toyota Vios. Ruang but Attrage boleh diisi 450 liter kargo atau empat beg golf.

Dibangunkan dengan konsep 'Eco Sedan Bergaya' (Stylish Eco Sedan), Attrage baharu ini adalah sedan segmen B yang memberikan kecekapan bahan api yang cemerlang, dalam badan sedan yang bergaya dan luas tanpa berkompromi dengan keseronokan memandu.

Mitsubishi Attrage dijual pada harga permulaan yang menarik iaitu RM59,212.50 bagi model GL (MT). Model GS CVT dijual pada harga RM67,978.50, manakala model tertinggi Attrage SE berharga RM75,796.50. Semua harga adalah di atas jalan tanpa insurans. Kereta ini didatangkan dengan waranti tiga tahun atau 100,000 km, yang mana dulu.

Ditawarkan dalam tiga varian, GL (MT), GS dan SE, Mitsubishi Attrage dilengkapi dengan ciri-ciri premium yang sering dikaitkan dengan kereta dari segmen-segmen teratas. Dwi-Beg udara, Sistem Anti Kunci Membrek (ABS), Edaran Brek Elektronik (EBD), roda 15 inci dan lampu kabus merupakan ciri standard pada kesemua varian.

Attrage GS memiliki Kunci Pintar (masuk tanpa kunci) dan menghidupkan enjin menggunakan butang, pembukaan pintu but secara kawalan jauh, penyaman udara digital auto dan kemudi roda dibalut sarung kulit bagi memberi sentuhan kemewahan.

Model teratas SE pula memiliki lampu LED nyalaan siang, bodykit sports, lapisan kalis haba keselamatan, kerusi bersarung kulit dan unit audio 2-DIN dengan kamera undur.

Lima warna badan ditawarkan bagi Attrage yang diimport sepenuhnya iaitu Eisen Grey Mica, White Pearl, Cool Silver Metallic, Red Metallic dan Cerulean Blue Mica.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


FAM perlu tingkat keselamatan di stadium - Khairy

Posted: 01 Mar 2014 11:13 PM PST

GEORGE TOWN 2 Mac - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berbincang untuk meningkatkan kawalan keselamatan setiap kali berlangsung perlawanan bola sepak yang melibatkan skuad kebangsaan dengan pasukan pelawat.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, peningkatan kawalan keselamatan penting bagi memastikan tidak ada bahan seperti suar, bom asap atau mercun dibawa masuk ke dalam stadium sehingga boleh mengganggu perlawanan serta mengancam keselamatan.

"Kita kena ingat soal keselamatan. Selama ini, saya bertolak ansur kerana pembakaran suar, bom asap dan mercun tidak mengganggu perlawanan dan mengancam keselamatan. Tetapi apa yang berlaku semalam sudah lebih sangat dan perlu diambil tindakan tegas," katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kekacauan yang dilakukan penyokong Ultras Malaya yang membakar suar dan mercun sehingga menyebabkan perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dengan Filipina di Stadium Selayang semalam dihentikan selama lapan minit, setelah 31 minit perlawanan berlangsung.

Kedua-dua pasukan akhirnya seri tanpa jaringan.

Khairy mahu PDRM mengemukakan laporan kepada FAM berkaitan punca kejadian tersebut.

"Bagi saya kalau pembakaran suar dan bunga api sudah sampai tahap boleh ganggu perlawanan, ia adalah perkara yang tidak boleh diterima dan sekiranya sudah sampai tahap ganggu perlawaan dan keselamatan ia adalah serius," katanya.

Beliau melancarkan program berbasikal Wheels For All anjuran Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Malaysia (USM) menuju Universiti Songkla, Thailand. Ia disertai 30 pelajar USM dari 1 hingga 3 Mei depan. - BERNAMA

Lapan minit memalukan!

Posted: 01 Mar 2014 10:06 AM PST

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Pemain negara, Mohd. Safee Sali (tengah) diasak oleh pemain Filipina, Robert James Gier (bawah) semasa perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Filipina di Stadium Selayang, semalam. - MINGGUAN/MOHD NAJIB MOHD NOR

SELAYANG - Bukan aksi perlawanan menarik yang dipamerkan oleh Harimau Malaya ketika menentang Filipina dalam perlawanan persahabatan menjadi perhatian sebaliknya insiden balingan mercun dan pembakaran suar menjadi topik perbualan utama di Stadium Selayang, semalam.

Segalanya terjadi pada minit ke-31 selepas para penyokong Ultras Malaya secara tiba-tiba membakar suar dan mercun sekali gus memaksa permainan dihentikan selama lapan minit sebelum diteruskan.

Apa yang dilakukan oleh para penyokong Ultras sebagai tanda protes 30 tahun pemerintahan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah itu bagaikan menjadi punca kepada skuad Harimau Malaya yang seperti kehilangan momentum biarpun mencipta gerakan bertali arus sebelum insiden berkenaan.

Dalam perlawanan itu, walaupun diberikan deretan peluang dan menghiburkan, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu terpaksa menelan kepahitan dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Tuah jelas tidak menyebelahi Harimau Malaya apabila bola singgah dua kali mengenai palang dan sekali pada tiang selain jaringan Amirizdwan Taj Tajudin dibatalkan pada minit ke-11 ekoran penjaga garisan menyangkakan bola mengenai tangan pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

Empat minit kemudian, tandukan Mohd. Aidil Zafuan Adha pula gagal menemui sasaran dengan menuju ke bucu pintu gol sebelum kehampaan para penyokong semakin memuncak selang seminit kemudian apabila tandukan Safiq Rahim dihalang palang sekali lagi melalui hantaran silang Mohd. Nazrin Nawi.

Saat paling mengecewakan apabila bola rembatan Amri Yahyah yang berada keseorangan di dalam kotak penalti hasil hantaran menarik Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-19 sekadar mengenai tiang gol biarpun penjaga gol, Patrick Phillip Deyto sudah tertewas.

Walaupun begitu, terdapat satu perkara yang boleh dipuji iaitu corak hantaran pendek dan permainan pantas yang dipamerkan menunjukkan terdapat ada peningkatan teknikal pada skuad Harimau Malaya kali ini kecuali sentuhan penyudah.

Biarpun tidak lulus dengan cemerlang pada ujian pertama, Kim Swee berasakan para pemain telah menerima corak latihannya dengan baik di samping mengakui pembakaran suar yang dibuat ultras merencat mood anak-anak buahnya.

Kita mencipta banyak peluang tetapi dihampakan oleh sentuhan penyudah terutama pada babak pertama, mereka kena ambil ini sebagai pengajaran.

Cuma situasi yang berlaku pada minit ke-30 itu benar-benar mengganggu rentak para pemain saya apabila permainan tergendala dan kita kembali sukar mendapatkan rentak selepas situasi berkenaan.

Saya tidak memikirkan sebarang kekalahan dalam perlawanan ini dan gembira kerana semua pemain dapat menerima corak latihan yang saya mahukan," katanya pada sidang akhbar, semalam.

Sementara itu, jurulatih Filipina, Thomas Dooey, berpendapat skuadnya layak diberikan sepakan penalti pada minit ke-90 apabila Jason De Jong dijatuhkan Asraruddin Putra Omar dan memenangi perlawanan tersebut.

Sepatutnya kami boleh diberikan penalti, insiden itu amat jelas namun keputusan pengadil tidak menyebalahi kami, perkara ini sering terjadi dalam bola sepak," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Tutor Utusan Malaysia jadi pilihan SK Puun Tunoh

Posted: 01 Mar 2014 10:06 AM PST

SITI Muhani Mohd. Ani (barisan belakang. tengah) bersama murid-murid SK Puun Tunoh menunjukkan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor di Penampang, Sabah, semalam.

PENAMPANG 1 Mac - Isi kandungan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor amat berkesan bagi membantu pelajar mengulang kaji pelajaran di luar waktu persekolahan.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Puun Tunoh di sini, Siti Muhani Mohd. Ani berkata, murid-muridnya yang menggunakan Tutor amat menggemari ruangan objektif kerana soalan-soalan yang disediakan mudah difahami dan mengikut standard peperiksaan.

Beliau berkata, antara kelebihan lain bahan bantuan pembelajaran itu ialah paparan grafik yang mesra pelajar dan peperiksaan, sekali gus menarik minat untuk mengulang kaji pelajaran.

"Para guru juga berpuas hati dengan soalan-soalan disediakan dalam Tutor. Oleh sebab itulah bahan bantuan pembelajaran tambahan ini menjadi pilihan utama pihak sekolah.

"Saya memang melanggan akhbar Utusan Malaysia dan bahan Tutor ini saya letakkan di perpustakaan sekolah, guru-guru yang mahu menggunakannya boleh membuat salinan," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

SK Puun Tunoh yang dikategorikan sebagai Sekolah Luar Bandar Gred A oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mempunyai seramai 275 murid termasuk murid prasekolah manakala tenaga pengajarnya pula seramai 30 orang.

Tambah Siti Muhani, kini setiap murid tahun enam berpeluang mendapatkan Tutor masing-masing setiap minggu, malah pihak sekolah juga menyediakan fail khas untuk bahan itu bagi membolehkannya turut dikongsi oleh murid tahun empat dan lima.

"Tutor Utusan Malaysia ini juga menjadi bahan utama dalam kelas tambahan sekolah setiap Isnin dan Selasa bermula pukul 1 hingga 2.30 petang," katanya.

Beliau berharap penggunaan Tutor Utusan Malaysia akan dapat meningkatkan peratus kelulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah berkenaan pada tahun ini.

Sementara itu, guru mata pelajaran Sains, Faizah Mahat berkata, bahan Tutor sangat efektif selain memudahkan para guru menggunakannya sebagai bahan pengajaran tambahan.

"Cuma saya berharap ruangan jawapan Tutor dapat diasingkan dalam helaian lain daripada ruangan berita dalam Tutor," ujarnya.

Sekolah-sekolah di negeri ini yang berminat melanggan Tutor, boleh menghubungi Eksekutif Pemasaran Sabah, Celestina Ubing, 012 802 0261, untuk keterangan lanjut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Zarine Khan salahkan Katrina Kaif

Posted: 28 Feb 2014 10:43 AM PST

MUMBAI - Aktres, Zarine Khan menyalahkan Katrina Kaif sebagai punca dia tidak dikenali dalam industri perfileman di Bollywood.

Menurut Khan kepada sebuah majalah seperti yang dilaporkan bollywoodlife.com, tindakan banyak pihak yang menyatakan wajahnya seakan-akan Kaif, merupakan faktor utama kerjaya lakonannya tidak berkembang.

"Walaupun filem lakonan saya masih belum ditayangkan, orang ramai mula membandingkan saya dengan Kaif. Itu tidak adil.

"Peminat tidak memberikan saya peluang. Kaif seorang yang cantik dan mungkin orang ramai rasakan saya tidak setaraf dengannya," katanya dengan nada kecewa.

Khan pernah muncul dalam filem Veer, Ready dan Housefull 2, namun bakat yang dipertaruhkannya masih belum dapat menarik perhatian ramai.

Jelasnya, dia juga kecewa kerana orang ramai pernah membandingkan bentuk badannya yang agak gempal dengan Kaif.

"Apa yang mereka tidak tahu, saya perlu menggemukkan badan untuk watak dalam filem.

"Saya akui saya masih baru dalam bidang ini, jadi berilah saya peluang," katanya.

Amar Asyraf pindah rumah

Posted: 28 Feb 2014 06:27 AM PST

Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my
Gambar MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

SEJAK isteri mengandung, Amar lebih selesa meluangkan masa di rumah.

LAPAN bulan bergelar suami kepada Arna Salleh, 29, pelakon Amar Asyraf Zailuddin, 28, atau Amar Asyraf kini menuju ke fasa baharu.

Tidak pernah merancang sama ada memperoleh cahaya mata dalam tempoh yang cepat atau lambat, rezeki telah memihak kepada pelakon yang popular dengan drama bersiri Setia Hujung Nyawa ini.

Rumah tangga yang dibina pada 7 Jun lalu ternyata memberi satu lagi berita gembira dan jelas terpancar wajah kegembiraan Amar setelah mengetahui isterinya mengandung.

"Apabila doktor mengesahkan isteri saya sudah mengandung, sudah tentu saya merupakan individu yang paling gembira kerana bakal bergelar bapa.

"Ia merupakan perkara yang tidak dijangka sama sekali, meskipun kami tidak pernah merancang dan berserah kepada Allah untuk mendapatkan cahaya mata.

"Kalau ditanya, saya memang tak sabar nak jadi bapa. Saya sudah bersedia untuk ke arah itu. Jadi bila mendapat berita isteri saya mengandung, saya begitu bersyukur," ujarnya.

Kandungan isteri yang kini semakin hampir lima bulan sememangnya menambahkan lagi keterujaan Amar untuk menimang cahaya mata pertama.

Debaran untuk menempuh alam baharunya itu juga tidak dapat disembunyikan kerana dia sudah tidak sabar untuk membuat pemeriksaan jantina bayinya.

"Saya tidak mahu tunggu lama-lama. Saya akan terus buat pemeriksaan jantina bayi setelah cukup masanya.

"Biar saya dengan isteri tahu jantina bayi dan terus membuat persediaan terutama dari segi pakaian bayi dan sebagainya.

"Berkenaan dengan jantina bayi pula, saya dan isteri tidak kisah mengenainya kerana dikurniakan cahaya mata juga merupakan satu kurniaan yang tidak terhingga," kata Amar.

Meneruskan perbualan mengenai persediaan menempuh kehidupan sebagai seorang ayah, Amar memberitahu, dia kini juga sedang sibuk menelaah sebuah buku yang berjudul Kenapa Perempuan Tidak Tahu Melihat Peta dan Kenapa Lelaki Tidak Pandai Mendengar.

Tajuk buku itu sungguh panjang dan Amar memang gigih untuk merapatkan lagi hubungannya dengan isteri. Kata Amar, buku itu banyak mengajarnya tentang cara-cara memahami perasaan dan emosi seorang wanita lebih-lebih lagi isterinya yang tengah sarat mengandung.

Dalam pada itu, Amar berkata, dia juga perlu membahagikan masa antara lakonan dan juga isterinya.

"Sekarang saya sudah tidak boleh balik lewat-lewat. Saya akan cepat ingat isteri yang keseorangan di rumah.

"Sebab itu, kalau siap sahaja penggambaran, saya akan balik terus ke rumah. Kalau dulu, saya mesti akan lepak dulu bersama rakan lain," katanya seloroh.

Isteri tidak mengidam

Dijangka bersalin pada Jun ini, Amar turut berkongsi pengalamannya melayan kerenah isteri yang hamil.

"Mujurlah dia tak mengidam yang pelik-pelik macam sesetengah orang. Cuma dia akan muntah-muntah di awal pagi dan akan baik selepas itu.

"Jika waktu malam, masa tidur dia tiba-tiba akan terjaga. Bukan untuk apa, hanya untuk muntah. Risau juga saya pada mulanya. Sebab itu, dia (isteri) akan melarang saya untuk tidur awal.

"Saya akan sentiasa berjaga-jaga. Isteri saya juga risau dan takut jika saya tidur lebih awal kerana dia sentiasa terbayangkan sesuatu," kata Amar yang sudah berjumpa ibunya di kampung kelahirannya di Melaka.

Menurut Amar, ibunya sangat teruja kerana dia bakal mempunyai cucu pertama dalam keluarga,

"Ibu juga adalah antara orang yang paling gembira sekali. Dia tidak sabar untuk menjadi nenek.

"Sejurus selepas memberitahu isteri saya mengandung, ibu terus menyuruh saya pulang ke kampung.

"Sudah jumpa, ibu juga sempat berpesan dengan saya supaya menjaga diri dan isteri baik-baik terutama kandungannya. Apa yang penting, pemakanan juga perlu dijaga dengan elok," kata pelajar jurusan Pengurusan Seni, Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) ini.

Tidak mengambil keputusan untuk berehat sementara isteri sedang mengandung, Amar tetap meneruskan penggambaran dan memberitahu dia akan menghantar sendiri isterinya ke klinik untuk membuat pemeriksaan.

"Pada peringkat awal kehamilan pastinya merupakan cabaran yang paling besar buat pasangan suami isteri.

"Bagaimanapun, saya akan lakukan yang terbaik untuk isteri agar kandungannya berada dalam keadaan sihat," jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut tentang kehidupannya setelah isterinya hamil, pelakon itu menyatakan, dia agak bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang alahan seperti kebanyakan lelaki lain.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Oleh ZAINU

Utusan Online - Keluarga

Posted:

Utusan Online - KeluargaIkuti berita penuh untuk ruangan Keluarga menerusi laman web http://www.utusan.com.myhttp://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga Utusan Online - Keluargahttp://www.utusan.com.my/utusan/themes2012/logo.pnghttp://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga Problem Parsing :
Error #: -1072896760
Description: An invalid character was found in text content.
In file: file:///E:/utusan/html/today/Utusan_Malaysia.Keluarga.xml
Source line: ke_01.1.jpg300341ke_01.small.jpg90100
Hayazi Remli dan isterinya, Bashiroh Ismail kini bahagia bersama anak-anaknya, barisan depan dari kiri Nur Arina, Nur Aida, Nur Aqilah dan Muhammad Amir (berdiri kanan) di rumah mereka di Taman Bukit Kayangan, Kangar.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


135 penduduk dapat hak milik

Posted: 28 Feb 2014 10:43 AM PST

Oleh AIN SAFRE BIDIN
pengarang@utusan.com.my

TAJUDDIN Abdul Rahman (dua dari kanan) menyampaikan hak milik tanah RPB dan RPT di Kompleks Pentadbiran Daerah Kampung Gajah di Pasir Salak, Perak, semalam.

PASIR SALAK 28 Feb. - Seramai 135 penduduk di Kampung Gajah di sini menerima hak milik tanah menerusi Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB) dan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, pemberian hak milik tersebut melibatkan penduduk di mukim Kampung gajah, mukim Bandar dan juga mukim Pasir Panjang.

Beliau berkata, penduduk-penduduk terlibat akan menerima tanah pertanian dan tanah RPB serta hak milik tanah tapak rumah menerusi program-program tersebut.

"Keluasan tanah yang terlibat dalam projek ini adalah 80 hektar dan kami menganggarkan nilainya kira-kira RM5 juta. Selain itu tanah tapak perumahan untuk 50 peserta program adalah seluas 10 hektar.

"Secara keseluruhannya, kami anggarkan peruntukan yang disalur kepada penduduk menerusi kedua-dua program ini sekitar RM6 juta," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan hak milik tanah kepada penduduk di Dewan Millennium Kompleks Pentadbiran Daerah Kampung Gajah.

Mengulas lanjut, Tajuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak menasihatkan penduduk-penduduk kampung yang menerima tanah tersebut supaya turut serta dalam program anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Kami mahu melihat penduduk di kawasan luar bandar ini sama-sama menanam pelbagai jenis sayuran yang boleh menambah bekalan sumber mentah itu kepada negara. Selain itu, kami juga menggalakkan mereka menternak pelbagai jenis haiwan seperti kambing, ayam, lembu dan sebagainya.

"Pihak kementerian ada membantu golongan petani menerusi pelbagai skim serta program termasuklah dari aspek bantuan benih, teknikal, latihan, pemasaran serta modal. Kita juga ada agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang boleh membantu memasarkan produk tanaman mereka," jelasnya.

Seorang penerima, Ahmad Taib Satin, 79, berterima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya mendapat hak milik ke atas tanah tempat dia bercucuk tanam dan tinggal.

"Selama 20 tahun saya menanti untuk mendapatkan hak milik ini dan saya bersyukur kerana diberikan juga akhirnya. Kini kami boleh hidup dalam keadaan selesa," ujarnya.

Muzium Diraja Perak perlu dibaik pulih segera

Posted: 28 Feb 2014 10:43 AM PST

ISTANA Kenangan di Bukit Chandan di Kuala Kangsar, Perak yang kini dijadikan Muzium Diraja Perak masih ditutup buat pengunjung. - UTUSAN/HASHIM P. MAMAT

KUALA KANGSAR 28 Feb. - Muzium Diraja Perak yang dahulunya merupakan Istana Kenangan, Bukit Chandan di sini, perlu dibuka segera untuk kunjungan orang ramai setelah ditutup sekian lama bagi tujuan baik pulih.

Bangunan yang didirikan seawal tahun 1930-an itu pernah menjadi tempat bersemayam Sultan Iskandar Shah sewaktu pembinaan Istana Iskandariah sedia ada ketika ini bagi menggantikan istana lama di tapak yang dikenali sebagai Changkat Negara.

Muzium berdindingkan anyaman buluh dan beratapkan kayu papan jenis berlian itu dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 1986; malah pernah didiami oleh warisan kesultanan Perak sebelum ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kesemua tingkap dan pintu bangunan tersebut tertutup, malah tiada sebarang kerja-kerja baik pulih dilakukan.

Kesemua bahan yang dipamer tidak kelihatan melainkan sebuah meriam dan papan tanda yang hanya tinggal rangkanya sahaja selain terdapat beberapa kerosakan seperti dinding anyaman buluhnya telah tertanggal.

Keseluruhan kawasan bangunan itu yang berpagar turut berkunci, malah di pintunya tertulis "Perhatian. Muzium ini ditutup buat sementara waktu kerana kerana kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan. Harap maaf. Pengarah Muzium Negeri Perak".

Jawatankuasa Pelancongan, Kesihatan dan Kebudayaan negeri, Mohamad Kamil Shafie memberitahu, beliau telah mengemukakan perkara tersebut dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Kuala Kangsar baru-baru ini.

Menurutnya, Pegawai Daerah yang mempengerusikan mesyuarat tersebut telah menghubungi pihak kurator muzium dan dimaklumkan bahawa kerja-kerja baik pulih tersebut tidak dapat dijalankan memandangkan belum lagi mendapat peruntukan.

Sehubungan itu, Mohamad Kamil yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Manong berkata, beliau akan membangkitkan perkara tersebut dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang supaya perkara berkenaan mendapat perhatian kerajaan negeri.

"Bangunan yang mempunyai seni bina unik ini perlu dipertahankan. Namun, saya rasa mungkin peruntukannya terlalu tinggi kerana memerlukan khidmat kepakaran seni warisan lama," katanya.

Mahasiswa perlu tingkatkan kreativiti, inovasi

Posted: 28 Feb 2014 10:43 AM PST

SAMSUDDIN Abu Hassan (tengah) menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Md. Yusof Hamid untuk Tabung Inovasi UiTM Perak dalam Majlis Kemuncak Sambutan Bulan Inovasi 2013 UiTM di Sri Iskandar, Perak, baru-baru ini. - UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin

PARIT 28 Feb. - Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak, Seri Iskandar dekat sini, digesa meningkatkan tahap kreativiti dan inovasi, sekali gus mampu menyahut saranan kerajaan untuk lebih berdaya saing pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, kebanyakan jawatan kosong yang ditawarkan pihak industri tidak dapat diisi sepenuhnya oleh para graduan pada masa kini disebabkan oleh kekurangan kemahiran tersebut.

"Sehubungan itu, saya berharap bukan sahaja warga UiTM Perak, malah kita semua insaf bahawa kreativiti dan inovasi memainkan peranan penting menuju kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Bulan Inovasi UiTM Perak 2013 di Seri Iskandar dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik mewakili Rektor UiTM Perak, Prof. Madya Dr. Md. Yusof Hamid dan Pengarah Kanan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Ab. Rahim Yusoff.

Dalam majlis tersebut, Samsudin turut menyumbangkan RM10,000 untuk Tabung Inovasi UiTM Perak.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sebelum ini termasuklah pertandingan reka cipta, nasyid, jawi, fotografi serta poster inovasi.

UiTM Perak juga berjaya tampil dengan sistem pengurusan bahan buangan kitar semula dalam talian yang dinamakan UPRS, bersifat interaktif, sekali gus mampu menarik minat warga universiti dalam menjayakan program kampus lestari.

Sementara itu, Fakulti Seni Bina dan Seni Lukis pula dinobatkan sebagai juara keseluruhan diikuti Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (kedua) dan Bahagian Pentadbiran (ketiga).

Selain itu, Jabatan Seni Bina Landskap UiTM Perak turut diberikan Anugerah Khas Rektor atas kejayaan mereka menganjurkan sembilan program sepanjang tahun lalu termasuklah Rimba dan Alam Sekitar Tanggungjawab Anda (RASTA 2013) yang dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. James Dawos Mamit.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Seorang penagih dadah ditahan bantu siasatan bunuh Zalifah

Posted: 01 Mar 2014 02:09 AM PST

KOTA TINGGI 1 Mac - Seorang penagih dadah ditahan untuk membantu siasatan kes Ketua Wanita UMNO Cawangan Felda Semenchu, Zalifah Jamaluddin, 68, yang ditemui mati dipercayai dibunuh di rumahnya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Felda berkenaan semalam.

Menurutnya, kes itu bermotifkan rompakan kerana mangsa diketahui memiliki beberapa buah kedai serta tinggal berseorangan di rumahnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, hasil bedah siasat mendapati mangsa dipercayai mati akibat sesak nafas selepas ditekup dengan tuala kecil di bahagian muka.

"Hasil bedah siasat turut mendapati mangsa mengalami patah tulang rusuk serta luka di bahagian dalaman mata," katanya. - UTUSAN ONLINE

Kerajaan belanja RM5.46 bilion bina rumah rakyat sejak RMK-8 - Muhyiddin

Posted: 01 Mar 2014 02:07 AM PST

SANDAKAN 1 Mac - Kerajaan membelanjakan sebanyak RM5.46 bilion bagi membina rumah mampu milik untuk rakyat sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) dilaksanakan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, penyediaan rumah itu adalah komitmen dan agenda utama Barisan Nasional (BN) bagi memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang selesa dan selamat.

"Kerajaan BN telah meletakkan agenda penyediaan rumah rakyat selesa sebagai agenda penting negara.

"Ia perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin kerana kerajaan sedar ia membolehkan rakyat menjalani kehidupan yang lebih baik," katanya pada majlis penyerahan Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila di Jalan Labuk dekat sini, hari ini.

PPR Sungai Manila yang setinggi lima tingkat mengandungi 14 blok dengan 1,000 unit rumah pangsa. Ia dibina dengan kos sebanyak RM121.7 juta di kawasan seluas 10.591 hektar. - BERNAMA

JK2PP beri faedah besar kepada penduduk Pulau Pinang

Posted: 01 Mar 2014 02:05 AM PST

GEORGE TOWN 1 Mac - Jambatan Kedua Pulau Pinang atau dikenali sebagai JK2PP, dibuka kepada orang ramai mulai 12.01 tengah malam ini amat dinanti-nantikan penduduk setempat yang merasakan projek kerajaan persekutuan itu dapat meningkatkan ekonomi mereka.

Pembukaan JK2PP dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini, memberi satu lagi laluan alternatif serta menjimatkan masa untuk ke pulau mutiara, disambut baik kalangan penduduk Pulau Pinang yang melihatnya sebagai satu faedah besar untuk rakyat.

Mohd. Saad Ismail, 53, peniaga gerai makanan laut di kawasan Teluk Tempoyak iaitu kira-kira satu kilometer daripada jambatan itu, berkata pembukaan JK2PP dijangka dapat menarik lebih ramai pengemar makan laut berkunjung ke gerainya.

"Pembukaan jambatan itu mampu menambah pendapatan pengusaha-pengusaha industri hiliran seperti saya, ini kerana menerusi JK2PP orang ramai terutama pengemar makanan laut lebih mudah untuk datang ke gerai-gerai di Teluk Tempoyak.

"Gerai-gerai makanan laut segar di Teluk Tempoyak ini tidak jauh daripada susur jambatan dan itu secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan peniaga. Lagipun dari gerai kami, pengunjung dapat melihat jambatan itu dan ia lebih cantik pada waktu malam kerana dihiasi lampu berwarna-warni," katanya.

Fatimah Khasim, 39, pula merasakan penduduk Pulau Pinang bertuah kerana mempunyai dua jambatan yang menghubungkan tanah besar dan bahagian pulau.

Beliau berkata pembukaan jambatan kedua itu akan memberi keselesaan kepada penduduk terutama dalam mengatasi kesesakan lalu lintas yang kerap berlaku di Jambatan Pulau Pinang.

"Selain tarikan pelancongan, kemudahan jambatan itu mampu meningkatkan ekonomi penduduk setempat dengan peluang pekerjaan yang lebih baik," katanya yang menjual minuman secara kecil-kecilan di Batu Maung.

Bagi pekerja agensi pelancongan, Lee Poh Sim, 36, beliau melihat pembukaan jambatan kedua itu akan menarik lebih ramai pelancong asing ke negeri ini untuk merasai pengalaman melalui jambatan yang berlatarbelakangkan Pulau Jerejak dan Pulau Aman itu.

"Jambatan kedua itu mempunyai tarikan tersendiri terutama reka bentuknya, saya percaya ia menjadikan ikon dan daya tarikan terbaharu di negeri ini," katanya.

Pesara kerajaan, Md. Hussein Shariff, 56, berkata dengan adanya jambatan baharu itu beliau lebih optimis untuk membeli sebuah lagi rumah di Batu Kawan atau Sungai Bakap untuk pelaburan masa depan.

Beliau yang tinggal di Bukit Gedung di sini pernah menyimpan hasrat untuk membeli rumah di kedua-dua lokasi berkenaan namun selepas memikirkan kos masa dan perjalanan jauh yang terpaksa ditempuh, beliau membatalkannya pada saat akhir.

"Saya tinggal di rumah sendiri di sini tetapi memandangkan ramai ahli keluarga dan rakan-rakan di Batu Kawan saya rasa ini masa yang tepat untuk membeli rumah di sana tambahan pula saya baru bersara semalam," katanya.

Anthony Joganathan, 65, yang tinggal di Relau turut berkongsi impian menerokai peluang pelaburan hartanah di tanah besar terutama di Batu Kawan.

Beliau yang masih bekerja di bahagian penyimpanan rekod di Hospital Adventist di sini berkata tidak rugi berhabis wang membeli hartanah di Batu Kawan sekarang kerana kawasan itu akan menjadi tumpuan selepas projek sekitarnya siap pada masa depan.

Sementara itu, pelatih industri, Eason Leong, 24, yang tinggal di Nibong Tebal berkata beliau berasa lebih selamat menunggang motosikal melalui jambatan itu kerana ia menyediakan lorong berasingan untuk motosikal.

Leong berkata beliau akan menjadi pengguna tetap jambatan itu memandangkan beliau akan terus bekerja di kilang elektronik tempatnya menjalani latihan industri sejurus program praktikalnya tamat Mei ini.

- BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rekreasi

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Kolam Air Panas Tawau

Posted: 27 Feb 2014 05:24 AM PST

TAWAU turut memiliki kolam air panas yang kini semakin mendapat perhatian pengunjung.

KOLAM Air Panas Tawau kini mula melakar nama sebagai salah satu lokasi pelancongan di Sabah. Meskipun belum tersenarai sebagai destinasi popular namun kolam air panas semulajadi itu turut menggamit kegiatan perkelahan dan riadah keluarga.

Kolam air panas itu dipercayai terbentuk sejak ratusan tahun dan hanya ditemui kira-kira lima dekad lalu.

Selain menjadi lokasi perkelahan keluarga, kolam air panas itu turut dikunjungi atas pelbagai tujuan termasuk melaksanakan ritual bagi memohon pengabulan niat. Antara ritual yang sering kelihatan adalah amalan melontar wang syiling ke dalam kolam oleh pengunjung yang percaya perbuatan itu boleh mengabulkan hajat mereka.

Ritual itu kini bukan sahaja dilakukan oleh masyarakat Cina tetapi juga oleh kaum-kaum lain yang berharap kolam itu dapat memenuhi niat mereka.

Apapun tujuan kunjungan mereka, Kolam Air Panas Tawau sudah sinonim bagi penduduk Sabah meskipun belum terlakar di carta pilihan utama pengunjung.

Kolam semulajadi itu turut menerima lawatan pengunjung luar termasuk pakar dan pengkaji arkeologi, sains dan mineral untuk mengkaji keunikan dan manfaatnya kepada alam dan masyarakat.

Dengan bayaran RM10 untuk orang dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak, para pengunjung boleh bersantai sepanjang hari untuk merehatkan badan dengan merendamkan kaki dan badan dalam air panas semulajadi itu.

Kolam Air Panas Tawau masih belum dipopularkan seperti kolam air panas terkenal lain namun ia dilihat berpotensi memikat ratusan pengunjung terutama setiap kali cuti perayaan.

Sebagai contoh, cuti krismas lalu dan cuti sekolah baru-baru ini menyaksikan kolam itu menjadi tumpuan ratusan pengunjung.

Kolam itu boleh dijadikan tempat tarikan pelancong yang unik dalam industri pelancongan Tawau sekiranya keunikan yang tersendiri itu dipromosikan.

Kira-kira 50 tahun lalu, kolam air panas itu hanyalah sebuah kolam terbiar dan kajian saintifik menunjukkan air panas yang mengandungi sulfur (belerang) itu terhasil daripada kegiatan seismik bawah tanah.

Wap panas dan gas meresap naik melepasi lapisan batu Igneus (batu habluran) di perut bumi dan apabila sampai ke permukaan bumi membentuk mata air panas.

Sabah dikatakan mempunyai 21 buah kolam air panas dengan suhu antara 29 dan 75 darjah Celsius.

Suatu ketika dahulu ada di kalangan pengunjung yang membawa bekalan telur ayam untuk direbus dalam kolam itu dan ia hanya mengambil masa tidak lebih 10 minit untuk telur itu masak.

Bagaimanapun amalan merebus telur dalam kolam itu tidak lagi dibenarkan oleh pihak yang menguruskan kolam itu dengan alasan ia bagi memastikan keadaan semula jadinya tidak tercemar.

Para pengunjung hanya dibenarkan merendam kaki dan anggota badan yang lain bagi membersih dan merawat kulit.

Seorang pengunjung tempatan, Albert Chin, 56, berkata pemaju dan syarikat pengurusan kolam ini harus melihat potensi keunikan kolam ini daripada pelbagai aspek.

"Suatu ketika dahulu, kolam ini dikunjungi bukan sahaja kerana keunikan airnya yang sentiasa panas tetapi mereka boleh merebus telur ketika berkelah," katanya.

Beliau berkata, kalau amalan merebus atau merendam telur ini masih dibenarkan, kolam itu akan terus merekodkan peningkatan kunjungan pelawat. Kolam ini tidak harus hanya bergantung kepada pengunjung yang hanya datang untuk merendam kaki tetapi mempelbagaikan kegiatannya termasuk membenarkan semula kegiatan merebus telur.

Menyedari potensi dan kepentingannya, syarikat Rekobumi Sdn. Bhd. yang diberi tanggungjawab menguruskan kolam itu sejak tiga tahun lalu telah mengubah wajah kolam itu.

Daripada lopak-lopak air yang berselerak, kolam air panas itu kini kelihatan lebih tersusun sejajar dengan kedudukannya sebagai lokasi baru tarikan pelancong.

Pengarah syarikat itu, Datuk Soon Ten Fook memberitahu Bernama, usaha membangunkan kolam dan persekitarannya akan berterusan sejajar dengan keperluan semasa. "Masih banyak yang perlu diperbaiki untuk menjadikan kolam ini mampu bersaing dan menepati kehendak pengunjung di samping memberi tumpuan kepada aspek keselamatan," katanya.

Antara cadangan syarikat untuk masa depan kolam itu menyediakan zoo mini bagi menempatkan haiwan-haiwan eksotik. - BERNAMA

Patin Temerloh gamit bikers

Posted: 22 Feb 2014 05:41 AM PST

KEDUDUKAN warung yang terletak di tebing Sungai Pahang menjadi tumpuan peserta untuk berehat dan menjamu selera.

SIAPA yang tidak terliur apabila mendengar kelazatan masakan patin masak tempoyak yang menjadi kegemaran kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya penggemar ikan air tawar.

Baru -baru ini, seramai 60 penunggang motosikal berkuasa tinggi telah menyertai konvoi anjuran Kawasaki Motors Malaysia Sdn. Bhd. menuju ke lokasi yang terkenal dengan patin masak tempoyak iaitu Pahang Darul Makmur.

Konvoi yang diiringi enam penunggang profesional itu memulakan perjalanan pada pukul 9 pagi selepas bersarapan di ibu pejabat Kawasaki Motors Malaysia Sdn. Bhd.

Menurut ketua konvoi, Ahmad Radzi Abdul Rahman, konvoi yang dianjurkan setiap minggu itu bertujuan memberi peluang kepada pengguna motosikal berkuasa tinggi untuk beriadah memandangkan masing-masing sibuk dengan tugas harian.

"Seperti biasa, konvoi ini diadakan setiap minggu tetapi menuju ke lokasi yang berlainan. Tujuannya adalah untuk membuka ruang kepada pengguna yang mempunyai kelapangan pada hujung minggu menunggang bersama-sama rakan yang lain.

"Selain itu, konvoi ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada penunggang baharu meningkatkan kemahiran menunggang, di samping meningkatkan keyakinan berkonvoi," katanya.

Kesemua peserta tidak melepaskan peluang menikmati hidangan patin masak tempoyak apabila sampai di warung Selera Patin Bangau yang terletak di Jalan Besar Kampung Bangau, Temerloh.

Tambah menarik, lokasi berkenaan terletak di tebing Sungai Pahang yang membuatkan peserta dapat makan dengan lebih berselera. Selain itu, peserta juga berehat di bawah pokok sambil melihat keindahan sungai sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Ahmad Radzi berkata, perjalanan konvoi kali ini boleh dikatakan lancar tanpa sebarang masalah di sepanjang laluan pergi dan balik sejauh hampir 400 kilometer. - AZRIN/SYAZRYL ZARIF

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Peringkat kedua bermula Ahad

Posted: 28 Feb 2014 10:43 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Adenan Satem angkat sumpah

Posted: 28 Feb 2014 10:43 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Timbalan Presiden PKR: Khalid mahu cabar Azmin

Posted: 28 Feb 2014 10:43 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved