Sabtu, 1 Mac 2014

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Seorang penagih dadah ditahan bantu siasatan bunuh Zalifah

Posted: 01 Mar 2014 02:09 AM PST

KOTA TINGGI 1 Mac - Seorang penagih dadah ditahan untuk membantu siasatan kes Ketua Wanita UMNO Cawangan Felda Semenchu, Zalifah Jamaluddin, 68, yang ditemui mati dipercayai dibunuh di rumahnya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Felda berkenaan semalam.

Menurutnya, kes itu bermotifkan rompakan kerana mangsa diketahui memiliki beberapa buah kedai serta tinggal berseorangan di rumahnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, hasil bedah siasat mendapati mangsa dipercayai mati akibat sesak nafas selepas ditekup dengan tuala kecil di bahagian muka.

"Hasil bedah siasat turut mendapati mangsa mengalami patah tulang rusuk serta luka di bahagian dalaman mata," katanya. - UTUSAN ONLINE

Kerajaan belanja RM5.46 bilion bina rumah rakyat sejak RMK-8 - Muhyiddin

Posted: 01 Mar 2014 02:07 AM PST

SANDAKAN 1 Mac - Kerajaan membelanjakan sebanyak RM5.46 bilion bagi membina rumah mampu milik untuk rakyat sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) dilaksanakan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, penyediaan rumah itu adalah komitmen dan agenda utama Barisan Nasional (BN) bagi memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang selesa dan selamat.

"Kerajaan BN telah meletakkan agenda penyediaan rumah rakyat selesa sebagai agenda penting negara.

"Ia perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin kerana kerajaan sedar ia membolehkan rakyat menjalani kehidupan yang lebih baik," katanya pada majlis penyerahan Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila di Jalan Labuk dekat sini, hari ini.

PPR Sungai Manila yang setinggi lima tingkat mengandungi 14 blok dengan 1,000 unit rumah pangsa. Ia dibina dengan kos sebanyak RM121.7 juta di kawasan seluas 10.591 hektar. - BERNAMA

JK2PP beri faedah besar kepada penduduk Pulau Pinang

Posted: 01 Mar 2014 02:05 AM PST

GEORGE TOWN 1 Mac - Jambatan Kedua Pulau Pinang atau dikenali sebagai JK2PP, dibuka kepada orang ramai mulai 12.01 tengah malam ini amat dinanti-nantikan penduduk setempat yang merasakan projek kerajaan persekutuan itu dapat meningkatkan ekonomi mereka.

Pembukaan JK2PP dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini, memberi satu lagi laluan alternatif serta menjimatkan masa untuk ke pulau mutiara, disambut baik kalangan penduduk Pulau Pinang yang melihatnya sebagai satu faedah besar untuk rakyat.

Mohd. Saad Ismail, 53, peniaga gerai makanan laut di kawasan Teluk Tempoyak iaitu kira-kira satu kilometer daripada jambatan itu, berkata pembukaan JK2PP dijangka dapat menarik lebih ramai pengemar makan laut berkunjung ke gerainya.

"Pembukaan jambatan itu mampu menambah pendapatan pengusaha-pengusaha industri hiliran seperti saya, ini kerana menerusi JK2PP orang ramai terutama pengemar makanan laut lebih mudah untuk datang ke gerai-gerai di Teluk Tempoyak.

"Gerai-gerai makanan laut segar di Teluk Tempoyak ini tidak jauh daripada susur jambatan dan itu secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan peniaga. Lagipun dari gerai kami, pengunjung dapat melihat jambatan itu dan ia lebih cantik pada waktu malam kerana dihiasi lampu berwarna-warni," katanya.

Fatimah Khasim, 39, pula merasakan penduduk Pulau Pinang bertuah kerana mempunyai dua jambatan yang menghubungkan tanah besar dan bahagian pulau.

Beliau berkata pembukaan jambatan kedua itu akan memberi keselesaan kepada penduduk terutama dalam mengatasi kesesakan lalu lintas yang kerap berlaku di Jambatan Pulau Pinang.

"Selain tarikan pelancongan, kemudahan jambatan itu mampu meningkatkan ekonomi penduduk setempat dengan peluang pekerjaan yang lebih baik," katanya yang menjual minuman secara kecil-kecilan di Batu Maung.

Bagi pekerja agensi pelancongan, Lee Poh Sim, 36, beliau melihat pembukaan jambatan kedua itu akan menarik lebih ramai pelancong asing ke negeri ini untuk merasai pengalaman melalui jambatan yang berlatarbelakangkan Pulau Jerejak dan Pulau Aman itu.

"Jambatan kedua itu mempunyai tarikan tersendiri terutama reka bentuknya, saya percaya ia menjadikan ikon dan daya tarikan terbaharu di negeri ini," katanya.

Pesara kerajaan, Md. Hussein Shariff, 56, berkata dengan adanya jambatan baharu itu beliau lebih optimis untuk membeli sebuah lagi rumah di Batu Kawan atau Sungai Bakap untuk pelaburan masa depan.

Beliau yang tinggal di Bukit Gedung di sini pernah menyimpan hasrat untuk membeli rumah di kedua-dua lokasi berkenaan namun selepas memikirkan kos masa dan perjalanan jauh yang terpaksa ditempuh, beliau membatalkannya pada saat akhir.

"Saya tinggal di rumah sendiri di sini tetapi memandangkan ramai ahli keluarga dan rakan-rakan di Batu Kawan saya rasa ini masa yang tepat untuk membeli rumah di sana tambahan pula saya baru bersara semalam," katanya.

Anthony Joganathan, 65, yang tinggal di Relau turut berkongsi impian menerokai peluang pelaburan hartanah di tanah besar terutama di Batu Kawan.

Beliau yang masih bekerja di bahagian penyimpanan rekod di Hospital Adventist di sini berkata tidak rugi berhabis wang membeli hartanah di Batu Kawan sekarang kerana kawasan itu akan menjadi tumpuan selepas projek sekitarnya siap pada masa depan.

Sementara itu, pelatih industri, Eason Leong, 24, yang tinggal di Nibong Tebal berkata beliau berasa lebih selamat menunggang motosikal melalui jambatan itu kerana ia menyediakan lorong berasingan untuk motosikal.

Leong berkata beliau akan menjadi pengguna tetap jambatan itu memandangkan beliau akan terus bekerja di kilang elektronik tempatnya menjalani latihan industri sejurus program praktikalnya tamat Mei ini.

- BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved