Rabu, 8 Januari 2014

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Nokman sedia menghadap

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa sedia memberikan keterangan andai namanya berada dalam senarai empat pegawai yang akan dipanggil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membantu siasatan berhubung isu mengatur perlawanan.

Kata Nokman, setakat ini dia masih belum tahu siapa empat pegawai KLFA yang akan dipanggil itu dan menjangkakan mengetahuinya pada hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Tambah Nokman, bukan dia sahaja yang sedia untuk membantu memberikan keterangan tetapi semua pegawai tertinggi KLFA bersedia untuk dipanggil.

Buat masa ini saya sendiri masih belum tahu siapa empat pegawai yang akan dipanggil tetapi kalau nak panggil saya sekali pun saya tidak kisah.

Mungkin pegawai yang dimaksudkan itu lebih mengetahui apa yang berlaku dan perlu mendapatkan keterangan bagi memastikan siasatan berjalan lancar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak memberitahu empat pegawai KLFA akan dipanggil untuk membantu siasatan berhubung isu mengatur perlawanan melibatkan pasukan Kuala Lumpur pada tahun lepas.

Sementara itu, sumber dalaman FAM turut mengesahkan bahawa sepuluh lagi pemain Kuala Lumpur, termasuk yang pernah beraksi dengan pasukan itu, akan dipanggil untuk memberikan keterangan dalam masa terdekat ini.

Mereka ialah, Mohammad Arra ur Roslee, Muhammad Hanis Mohtar, Muhammad Rafef Raya, Mohd. Badrul Hisyam Azmi, Hishamuddin Othman, Muhammad Syafiq Johari, Mohd. Munir Amran, Muhammad Taufiq Mohd. Shukor, Ahmad Jihad Ismail dan Ahmad Dashila Tajudin.

Dharma sudah lupakan 'sengketa' dengan Revington

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

DHARMA RAJ Abdullah terima tawaran sebagai penolong Paul Revington (kanan) untuk melatih skuad negara kerana mahukan cabaran lebih besar.

KUALA LUMPUR - Muhammad Dharma Raj Abdullah yang baru dilantik sebagai penolong jurulatih skuad hoki kebangsaan percaya hubungannya dengan ketua jurulatih Paul Revington akan kekal positif biarpun mengakui mereka berdua panas baran.

Pada pertengahan tahun lalu, mereka menggemparkan sukan hoki tanah air apabila Revington mengumumkan untuk melepaskan jawatannya atas alasan diganggu oleh Muhammad Dharma namun semuanya kembali tenang selepas campur tangan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menjernihkan keadaan.

Kata Muhammad Dharma, dia kini sudah melupakan semua perkara lama itu dan meletakkan fokus untuk bekerjasama dengan jurulatih warga Afrika Selatan itu bagi memastikan skuad kebangsaan mencapai kecemerlangan.

Saya dan dia (Revington) ada sikap panas baran dan kami telah bersetuju untuk berusaha mengawal sikap negatif itu demi pasukan negara.

Saya juga berharap tiada apa-apa yang buruk berlaku lagi melibatkan kami kerana saya seorang yang jujur serta tidak mempunyai sebarang niat untuk menjatuhkan sesiapa," kata Muhamad Dharma selepas majlis penghargaan skuad hoki remaja kebangsaan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini semalam.

Muhammad Dharma yang sebelum ini membimbing skuad remaja menyerlah di kejohanan Piala Dunia Remaja di New Delhi, India bulan lalu adalah antara lima penolong jurulatih pasukan kebangsaan yang akan membantu Revington mengharungi jadual padat pada tahun ini.

Selain Muhammad Dharma, empat lagi penolong jurulatih skuad kebangsaan ialah Arul Selvaraj, Nor Azlan Bakar, K. Gobinathan dan M. Nadarajah.

Katanya, sebab utama dia menerima tugas selaku penolong jurulatih skuad kebangsaan adalah untuk mendapatkan cabaran lebih besar.

Sebelum ini saya belum pernah menjadi penolong jurulatih kerana hanya menggalas tugas sebagai jurulatih dan kerana mahukan cabaran saya terima tawaran ini.

Selepas menyaksikan pasukan remaja mencipta kejayaan kini saya mahu melihat perkara sama dalam kem skuad senior kebangsaan," kata Muhammad Dharma.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Rasuah: Pegawai khas menteri antara direman kes tender

Posted: 08 Jan 2014 10:53 PM PST

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 9 Jan. - Mahkamah Majistret hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap tiga individu termasuk pegawai khas seorang menteri bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan permintaan dan penerimaan wang sogokan berkaitan pemberian tender.

Majistret Nur Dahlia Azmi membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman ketiga-tiganya iaitu dua lelaki dan seorang wanita bermula hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah. - UTUSAN ONLINE

Cemas bangunan kedai 3 tingkat di Pontian bergegar

Posted: 08 Jan 2014 10:21 PM PST

Oleh MUHAMMAD ZIKRI

PONTIAN 9 Jan. - Kira-kira 20 pelanggan sebuah kedai kopitiam bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila berlaku gegaran di bangunan kedai tiga tingkat di Kukup Laut, dekat sini pagi ini.

Akibat dua gegaran bermula pukul 8.40 pagi itu, empat daripada 16 premis tersebut mengalami kerosakan pada tiang penyokong mengakibatkannya hampir patah. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


PM Iraq janji hapuskan ancaman al-Qaeda

Posted: 08 Jan 2014 09:42 AM PST

BAGHDAD 9 Jan. - Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki berjanji akan menghapuskan kumpulan bersenjata yang dipercayai mempunyai kaitan dengan al-Qaeda, dan yakin memperolehi kemenangan ketika tentera penentang kerajaan itu melancarkan serangan ke atas bandar Fallujah.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat dunia kerana memberi sokongan terhadap pertempuran dengan kumpulan al-Qaeda serta menggesa kumpulan tersebut berundur. - REUTERS

Iraq: Lelaki bersenjata bunuh 12

Posted: 08 Jan 2014 09:39 AM PST

BAGHDAD 9 Jan. - Seorang lelaki bersenjata membunuh tujuh orang wanita dan lima orang lelaki di sebuah rumah pelacuran di bandar Iraq semalam.

Serangan tersebut berlaku di sebuah pangsapuri di kawasan Zayouna di timur Baghdad, kawasan sama dalam serangan yang berlaku tahun lepas. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Lapor segera kerugian

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

SHAFIK Fauzan Sharif (kiri) mengiringi Abdul Manan Ismail (bersongkok) dalam Majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir oleh Felcra di Kampung Semangat di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

KUANTAN 8 Jan. - Para petani, penternak dan peladang di negeri ini disaran melaporkan nilai kerugian yang dialami selepas hasil pertanian mereka terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, mereka perlu segera melaporkan nilai kerugian yang dialami kepada Jabatan Pertanian atau mana-mana agensi berkaitan bagi memudahkan apa juga bentuk bantuan disalurkan.

"Sehingga kini masih terdapat para petani, penternak dan peladang yang belum membuat laporan atau taksiran tentang jumlah kerugian yang dialami.

"Oleh itu, saya nasihatkan mereka segera berbuat demikian bagi membolehkan kerajaan memikirkan bentuk bantuan yang bersesuaian, sekali gus mengurangkan beban yang terpaksa mereka tanggung," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Kepada Mangsa Banjir di Kampung Semangat oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Felcra, Datuk Abdul Manan Ismail dan Pengurus Besar Kumpulan Pentadbiran dan Modal Insan Felcra Berhad, Jahare Abu Bakar.

Menurut Shafik, kerugian yang dimaksudkan adalah seperti jumlah tanaman yang rosak, ikan sangkar yang dihanyutkan air atau musnah dan kematian haiwan ternakan.

"Kerajaan negeri akan memutuskan bentuk bantuan yang sesuai selepas menerima laporan kerugian tersebut," katanya.

RM33.8j naik taraf jalan raya Pos Senderut

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

WAN Rosdy Wan Ismail mengendalikan jentolak ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Jalan Pos Senderut di Kuala Lipis, Pahang, kelmarin.

KUALA LIPIS 8 Jan. - Penantian 5,000 Orang Asli dari 14 kampung di Pos Senderut dekat sini untuk menikmati kemudahan jalan raya sempurna akhirnya kesampaian apabila kerajaan meluluskan peruntukan RM33.8 juta untuk melaksanakan projek berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan projek berkenaan disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau berkata, ketika ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melaksanakan spesifikasi jajaran, kajian tanah dan alam sekitar dengan pembinaannya dijangka dapat dimulakan dalam tahun ini.

"Tempoh pelaksanaan projek menaik taraf jalan berkenaan memakan masa dua tahun yang dijangka siap pada bulan Oktober 2015.

"Selain daripada pembinaan pembetung, sebanyak lapan buah jambatan baru di sepanjang laluan ke Pos Senderut dan kampung lain turut dinaik taraf menerusi pakej peruntukan ini.

"Sebelum ini penduduk perlu mengambil masa selama empat jam untuk keluar ke pekan Sungai Koyan kerana laluan berlumpur dan kerap terkandas namun dengan adanya jalan raya ini kelak mereka mampu menjimatkan masa perjalanan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek menaik taraf Jalan Pos Senderut di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai dekat sini, semalam.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, kemudahan jalan raya itu akan turut memberi keselesaan kepada kakitangan awam berulang alik memberi perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan pemantauan kebajikan penduduk di kampung Orang Asli pedalaman Hulu Jelai.

"Projek ini menzahirkan manifestasi kerajaan negeri menjaga kebajikan penduduk tanpa mengira kaum dan fahaman politik sekali gus merangsang pusat pertumbuhan baharu berasaskan sektor pertanian dan pelancongan di Hulu Jelai," ujarnya.

Agensi kerajaan perlu proaktif popularkan silat

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

MARAN 8 Jan. - Agensi kerajaan yang berkaitan perlu lebih proaktif mempopularkan seni silat Melayu dalam kalangan generasi muda yang kini semakin terpengaruh dengan gaya hidup moden.

Guru Tua Silat Bambu Runcing, Abdul Rahman Doloji, 76, berkata, usaha ini termasuk dengan menyokong inisiatif mana-mana pihak membuka gelanggang silat baharu di kawasan tertentu.

Katanya, sokongan agensi kerajaan itu dapat memberi semangat baharu kepada golongan belia mempelajari silat, sekali gus memastikan martabat seni bela Melayu itu kekal dipertahankan.

"Selain itu, institusi pendidikan termasuk sekolah patut membuka gelanggang silat sebagai aktiviti kokurikulum yang dapat membentuk disiplin dan semangat patriotik sejak dari kecil lagi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Felda Jengka 1 di sini semalam.

Tambah beliau, banyak seni silat pelbagai aliran yang menjadi milik orang Melayu perlu digerakkan semula bagi mengukuhkan jati diri generasi muda.

"Peranan ini turut sama boleh dimainkan media elektronik dengan mempelbagaikan bentuk rancangan berkaitan silat bagi membangkitkan minat rakyat.

"Malah, penerbit filem boleh mengadaptasikan novel-novel sejarah berunsurkan persilatan untuk diketengahkan sebagai jalan cerita bagi merealisasikan usaha ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Sebutan semula kes Alvin 28 Feb.

Posted: 08 Jan 2014 11:01 AM PST

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 28 Februari ini sebutan semula kes pasangan blogger kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee yang menghadapi tiga tuduhan mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.

Hakim Murtazadi Amran menetapkan tarikh tersebut selepas peguam Wong Kee Them yang mewakili pasangan itu memaklumkan, Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu membenarkan penangguhan perbicaraan yang dijadualkan selama tiga hari bermula hari ini.

Pada prosiding hari ini, Alvin dan Vivian hadir ke mahkamah. Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiza Jemali.

Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 26, dan Vivian atau Lee May Ling, 25, memfailkan rayuan bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu selesai rayuan mereka untuk membatalkan satu daripada tiga tuduhan tersebut.

Rayuan tersebut berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 November tahun lalu yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan atas alasan pertuduhan yang dibuat adalah sah, teratur dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pertuduhan itu menyebut bahawa Alvin dan Vivian didakwa memuat naik di laman sosial Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen bertajuk Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan!!!') yang berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Dua ahli Rela dijel ceroboh rumah Wan Junaidi

Posted: 08 Jan 2014 11:01 AM PST

Anggota polis mengiringi dua anggota Rela keluar dari mahkamah selepas mereka dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak, semalam.

KUCHING 8 Jan. - Dua anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dihukum penjara maksimum enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh masuk rumah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 24 Disember lalu.

Aloi Ali, 42, dari Kampung Pinang Jawa dan rakannya, Nurul Azmie Tahir, 30, dari Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Taman Sri Jaya di sini, mengaku bersalah atas tuduhan tersebut yang dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Maris Agan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman tersebut bermula hari ini sebaik sahaja hukuman dijatuhkan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Sesyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Yunus Sahak.

Mengikut fakta kes, dua anggota polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama tiga anggota Rela ketika membuat rondaan di rumah Wan Junaidi di Jalan Green di sini pada pukul 3.15 pagi, 24 Disember lalu telah mendapati pagar dawai bahagian tepi rumah telah digunting.

Mereka kemudian terserempak dengan dua suspek lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang melarikan diri dengan melompat pagar dan menaiki sebuah motosikal jenis Honda Ex5.

Pemeriksaan lanjut menemukan peralatan pecah rumah ditinggalkan suspek iaitu masing-masing sebilah besi pemotong, batang paip berhulu kayu dan satu beg pinggang berwarna hitam.

Polis yang menjalankan siasatan berjaya menangkap tiga suspek termasuk dua tertuduh yang merupakan anggota Rela di kediaman masing-masing pada 3 Januari lalu.

Ketiga-tiga suspek termasuk dua tertuduh telah ditahan reman selama empat hari.

Bagaimanapun, seorang suspek dibebaskan manakala dua tertuduh dihadapkan ke mahkamah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Bukan ratu kontroversi

Posted: 07 Jan 2014 08:48 PM PST

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar ZAKARIA IDRIS

BAGI yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa dalam dunia media sosial pasti pernah terbaca atau mengetahui tentang Felixia Yeap.

Memang benar Felixia tiba-tiba meraih publisiti meluas, malah cerita tentang dirinya menjadi bualan hangat sejak beberapa minggu lalu.

Manakan tidak, gadis Tionghua bukan beragama Islam yang kerap memuat naik gambar-gambar seksi ini, tampil bukan saja berpakaian 'penuh' bahkan bertudung litup, menutupi setiap helai rambutnya.

Sebelum ini, mungkin satu pemandangan biasa bagi sesetengah wanita bukan Islam selesa berbaju kurung atau kebaya, Namun amat jarang atau belum pernah berlaku yang tampil berhijab penuh sebagaimana Felixia.

Wanita berusia 27 tahun ini boleh dikatakan mengalami perubahan gaya hidup hampir 360 darjah. Satu ketika dahulu dia adalah model majalah Playboy edisi Filipina yang tampil dengan pelbagai aksi seksi dan mengghairahkan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan perubahan dirinya kini mencetus fenomena dalam dunia fesyen khususnya busana Muslimah.

Mega baru-baru ini berkesempatan bertemu dan bertanya wanita berasal dari Ipoh, Perak ini, tentang perubahan pada dirinya yang sedikit mencetus kontroversi terutama dalam kalangan pengikut tegar media sosial sama ada blog, facebook, instagram dan sebagainya.

"Memang ramai yang mengatakan bahawa ini semua cara saya meraih publisiti. Tetapi biarlah Tuhan dan masa yang membuktikan bahawa saya ikhlas untuk berhijab.

"Semua publisiti yang timbul sama ada baik atau buruk hanyalah bonus yang tidak pernah saya duga sama sekali dan berharap mereka tidak memandang serong terhadap perubahan ini.

"Malah ramai yang menghantar mesej dan e-mel kepada saya berterima kasih kerana berani untuk berubah dan berhijab secara terbuka walaupun saya bukan Muslim.

"Mereka kata perubahan saya memberi inspirasi untuk mereka mulai berhijab, terutamanya yang lahirnya sudah Islam," kata Felixia yang aktif di facebook dan blog.

Dia mengakui, pada awal penampilan dengan imej baru itu, pengikutnya di Facebook jatuh merudum kerana ramai yang dahulunya mengikuti perkembangan Felixia hanya untuk melihat gambar perempuan seksi semata-mata.

Keadaan itu, sudah diagak tetap yang tidak terduga olehnya peningkatan jumlah pengikut yang memberi sokongan kuat dan ikhlas untuk Felixia terus menutup aurat dan berhijab.

"Saya amat tersentuh dan gembira sokongan tersebut. Mereka juga telah menyedarkan saya bahawa bahawa setiap wanita berhak dihormati dan disayangi sebagai seorang insan, bukan kerana tubuh badan atau rupa parasnya," ujar Felixia yang manis berbaju kurung merah jambu.

Saya tidak menafikan daripada riak wajahnya yang ayu dan tutur katanya yang sopan dan lemah lembut ada sesuatu yang pastinya istimewa tentang gadis ini.

Felixia membuktikan melalui hujah berhemah dengan susun bahasa Melayunya yang teratur sekali gus menunjukkan ada kesungguhan dengan perubahan positif yang dilalui.

Pencetus transformasi

Cerita tentang hijab Felixia, sebenarnya bermula secara tidak dirancang. Sejak dari zaman sekolah dia sudah meminati baju kurung, tetapi hanya mula jatuh cinta dengan pakaian tradisional masyarakat Melayu itu pada tahun lepas.

"Ketika itu, saya seperti biasa menghadiri sesi uji bakat untuk penggambaran iklan komersial sebuah syarikat telekomunikasi tempatan yang pada masa itu memerlukan model menyarungkan hijab.

"Itulah kali pertama dalam seumur hidup saya memakai hijab. Saya masih ingat lagi, terasa amat berbeza sekali apabila melihat ke dalam cermin dalam keadaan berhijab.

"Saya berasa suatu ketenangan yang tidak pernah saya rasai dengan pakaian lain. Saya juga merasakan sebenarnya menutup aurat itu lebih cantik, ayu dan anggun.

"Beberapa bulan kemudian, saya menerima kerja sebagai model catwalk (peragaan) untuk salah satu pertunjukkan fesyen sempena hari raya yang kebetulan memerlukan saya berhijab. Hati saya ketika itu melonjak gembira dan masa itulah saya sedar yang saya sebenarnya telah jatuh cinta dengan hijab.

"Pemilik butik yang menganjurkan pertunjukan fesyen itu pula dapat merasakan yang saya amat meminati hijab, dan terus menghadiahkan sehelai selendang koleksinya dan itulah selendang pertama saya," ujarnya panjang lebar.

Sejak dari itu Felixia berjinak-jinak dan mencuba cara-cara memakai hijab tanpa tunjuk ajar atau bimbingan sesiapa. Dia juga memberanikan diri untuk membeli selendang secara online dan mencuba pelbagai jenis selendang.

Kali pertama dia menyarungkan hijab dan keluar dari rumah ialah untuk menghadiri kenduri perkahwinan kakak seorang rakan, dan bertemankan seorang rakan Muslimah yang juga telah berhijrah.

Selepas itu, Felixia tidak kekok lagi untuk berhijab dan keluar dari rumah walaupun dia bukan seorang Muslimah.

Felixia juga mengambil kira adab berhijab dan menutup aurat dengan betul, seperti berhijab melepasi dada dan memakai sarung lengan (handsocks) jika lengan pakaian singkat, selain memakai pakaian longgar dan labuh.

Felixia amat bertekad untuk meneruskan imej berhijab dan menutup `aurat' seperti sekarang.

Bagaimanapun, buat masa ini cabaran paling susah baginya untuk dihadapi ialah persepsi orang ramai yang sesetengahnya memaki hamun hanya kerana dia seorang model Cina yang memakai hijab.

"Sebenarnya ramai yang masih tidak tahu dan tidak faham bahawa ketika ini saya masih terikat dengan kontrak sebagai duta sebuah produk dan memerlukan saya dalam imej seksi.

"Saya kini hanya menunggu berakhirnya tempoh kontrak itu dan berharap peminat-peminat saya akan lebih memahami dan bersabar. Ramai juga yang menyuruh dan memaksa saya membuang gambar-gambar sebagai model dahulu walaupun sudah banyak kali saya jelaskan sebab-sebab saya mahu menyimpannya dan mengekalkannya.

"Bagi saya gambar-gambar itulah bukti kejayaan saya sebagai model di peringkat antarabangsa dan menunjukkan perubahan saya menjadi sebuah cerita pengajaran yang baik buat semua.

"Tentang Islam pula, buat masa ini saya lebih selesa untuk belajar perlahan-lahan dan satu-persatu dari kawan-kawan yang beragama Islam. Apabila sudah betul-betul sedia untuk kelas formal, saya akan mendaftarkan diri," ujar Felixia penuh optimis.

Bagi Felixia dia hanya mahukan kegembiraan yang sebenar, ketenangan dari dalam dan tidak mahu lagi digelar ikon seks atau bergelumang dengan orang-orang yang berpura-pura, materialistik, dan gila glamor, yang hanya mahu mengambil kesempatan ke atas dirinya.

Dia juga mengakui serik bertemukan lelaki yang hanya inginkan dirinya sebagai trophy girlfriend dan tidak ikhlas untuk memperisterikannya.

"Saya rasa lebih tenang dan gembira sekarang, walaupun hanya hidup secara bersederhana dan low-profile. Saya berdoa untuk dapat terus berhijab dalam semua bidang yang saya ceburi mulai tahun ini, biar di bidang peragaan, lakonan, nyanyian mahupu pengacaraan.

"Saya juga berharap untuk mempelajari sesuatu yang baru melalui kursus seperti memasak, menjahit dan sebagainya di samping melebihkan aktiviti-aktiviti kebajikan," ujarnya menutup bicara.

Felixia amat suka melihat lelaki yang memakai baju Melayu, kerana nampak lebih segak.

Ada serius, jenaka dalam dakwah

Posted: 07 Jan 2014 08:48 PM PST

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

USIA, latar pendidikan agama yang tidak setara tidak menghalang empat finalis Pencetus Ummah ini untuk bersaing secara sihat dalam pertandingan terbitan Astro Oasis tersebut.

SETIAP pendakwah terutama generasi muda mempunyai cara-cara yang tersendiri untuk menyampaikan syiar Islam kepada masyarakat. Bakat golongan ini antaranya dicungkil menerusi pertandingan Pencetus Ummah terbitan Astro Oasis yang akan sampai ke peringkat akhir pada Jumaat ini.

Empat peserta itu terdiri daripada Muhammad Hafiz Mohd. Haneefa, Shahrul Hameed M.P.H. Seeni Mohd., Mohd. Zinudin Mohamed Zaini dan Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan.

Setiap peserta terbabit mempunyai gaya dan idea penyampaian yang tersendiri. Perbezaan itu dapat dilihat daripada segi isi kandungan yang sering mereka persembahkan setiap kali tampil dalam program Pencetus Ummah. Kelainan yang ditonjol sudah pasti mampu menarik lebih ramai penonton. Gaya penyampaian itu ada yang serius, kelakar dan bersahaja mengikut kecenderungan karakter setiap peserta terbabit.

Muhammad Hafiz misalnya, mahu berkongsi pengalamannya sebagai pembimbing ibadah haji dan umrah dalam bahan-bahan penyampaiannya kelak. Pendakwah berusia 32 tahun ini berkata, pengalaman itu diharap boleh menarik perhatian para juri dan penonton.

"Pada pentas akhir nanti saya akan membentangkan tajuk Cinta Rasul dan Pendakwah: Untung Dunia, Untung Akhirat. Saya mahu menyelitkan pengalaman-pengalaman saya sebagai pembimbing haji dan umrah selama 10 tahun. Saya juga pernah tinggal di Madinah selama empat tahun. Banyak pengalaman yang saya timba daripada tugasan saya itu.

"Boleh dikatakan setiap hari saya akan menziarahi makam Rasulullah di Madinah. Banyak cerita tentang Rasulullah yang akan saya kongsikan bersama-sama para penonton. Antaranya pengalaman Rasulullah di Bukit Uhud yang mana di sana baginda pernah pengsan dan patah gigi kerana terbabit dalam peperangan.

"Saya akan ceritakan pengalaman-pengalaman seperti itu dalam persembahan akhir Pencetus Ummah nanti," katanya semasa ditemui semasa sesi fotografi dengan Hits di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut pendakwah berasal dari Klang, Selangor ini dia berasa teruja dan bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang daripada empat finalis pertandingan tersebut.

Katanya daripada 12 peserta keseluruhan yang menyertai Pencetus Ummah, masing-masing mempunyai latar belakang pendidikan agama dan ramai antara mereka juga yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang dakwah.

"Itu adalah antara cabaran dan persaingan kami sesama peserta akhir dalam pertandingan ini. Semua itu terpulang kepada penilaian para juri yang mewakili 70 peratus daripada pemarkahan dan 30 peratus lagi markah daripada pilihan penonton," jelasnya.

Ternyata perwatakan dan gaya Muhammad Hafiz agak serius dalam penyampaiannya yang mana itu sedikit sebanyak membezakannya dengan peserta lain. Namun, apa yang pasti setiap juri dan penonton mempunyai pilihan atas cita rasa masing-masing.

Kajian di Facebook

Bagi Mohd. Zinudin pula, dia lebih dikenali sebagai peserta atau pendakwah yang suka membuat kelakar dalam ceramahnya. Dia yang berasal dari Bagan Datoh, Perak dan lebih dikenali sebagai Yeop menganggap lawak jenaka yang diselitkan dalam pertandingan itu mampu menarik perhatian para penonton.

Namun, peserta berusia 32 tahun ini tidak membuat lawak sembarangan. Sebaliknya dia mengambil pendekatan dalam ceramahnya yang mengikut aliran terkini dan kemahuan semasa masyarakat pada hari ini.

Antaranya, dengan membuat sedikit penyelidikan daripada laman sosial Facebook serta mengambil kira pandangan rakan-rakannya di laman Internet tersebut.

"Saya banyak mengambil kira apa yang orang ramai selalu perkatakan dengan cara bergaul dengan ramai orang. Apatah lagi, saya mempunyai pengalaman mengendalikan kursus praperkahwinan yang mana saya banyak bergaul dengan pasangan yang akan berkahwin.

"Pengalaman selama empat hingga lima tahun itu banyak membantu saya dalam memberi idea semasa terbabit dalam pertandingan ini.

"Sama seperti peserta lain saya juga akan menampilkan cerita-cerita yang jarang didengar tentang Rasulullah dalam tajuk Cinta Rasul yang akan saya bentangkan nanti. Antaranya apakah hikmah Nabi Muhammad itu menjadi penggembala kambing? Saya akan terangkan dalam pertandingan peringkat final nanti," ujarnya.

Ternyata Penolong Pegawai Agama, di Jabatan Agama Islam Perak ini bijak menggunakan pengalamannya sebagai penceramah dalam pertandingan yang disertainya itu.

Selain mempunyai elemen humor, usia dan penampilan diri juga boleh dijadikan aset dalam memenangi pertandingan itu. Rahmat Ikhsan contohnya, merupakan peserta paling muda iaitu berusia 20 tahun.

Sungguhpun paling junior dan diramalkan mampu menarik ramai peminat muda, tetapi itu tidak menyebabkan dia berpuas hati setakat itu sahaja. Sebaliknya, Rahmat terpaksa mengimbangi pengalaman dan ilmu yang dimilikinya itu agar setara dengan kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh tiga pesaingnya itu.

Anak kelahiran Segambut, Kuala Lumpur ini, antaranya cuba berkempen menerusi laman sosial Facebooknya bagi menarik lebih ramai sokongan para penonton pada pentas akhir pertandingan itu.

"Saya akan menggunakan pengaruh dan sokongan daripada hampir 28,000 kawan-kawan saya di Facebook bagi menyokong saya. Maklumlah saya peserta yang paling muda dan ilmu pun paling sedikit berbanding peserta lain.

"Selain bercakap atas tajuk Cinta Rasul saya juga akan membentangkan bahan yang bertajuk Mencari Cinta Kekasih Sehingga Lupa Cinta Yang Maha Esa. Saya akan mencari bahan-bahan yang eksklusif bagi dipaparkan dalam dua tajuk itu yang mana mungkin ramai yang belum tahu akan fakta-fakta yang akan dibentangkan nanti," jelasnya.

Tambahnya, Pencetus Ummah bukan setakat pertandingan tetapi mereka akan bersatu selepas berakhirnya pertandingan itu kelak.

Katanya, 12 peserta pertandingan itu akan bersatu dan mereka merancang untuk menubuhkan sebuah komuniti bagi menjalankan aktiviti secara berkumpulan.

"Apabila adanya komuniti itu nanti kami akan mengadakan pelbagai aktiviti seperti menerima undangan berceramah. Kami bersedia menerima undangan berceramah di seluruh negara. Malah, setiap peserta juga akan diberi tugasan yang bersesuaian dengan bidang dan karakter masing-masing," tuturnya.

Mempunyai diploma dalam bidang Tahfiz Quraan Wal Qiraati.

Merupakan Penolong Pegawai Agama di Jabatan Agama Islam Perak.

Umur 32 tahun

Lebih banyak menggunakan pendekatan jenaka dalam ceramah dan dalam pertandingan Pencetus Ummah.

Mahu tubuh Yayasan Al-Filfilani

Sementara itu, peserta yang boleh dianggap paling senior iaitu Shahrul Hameed M.P.H. Seeni Md. pula tidak menganggap itu sebagai suatu laluan mudah untuknya menjuarai Pencetus Ummah.

Dia yang lebih dikenali sebagai Shahul tetapi melakukan kajiannya sendiri selain cuba menyelami apa yang dimahukan oleh para juri dalam penyampaiannya di final pertandingan itu nanti.

Malah, dia yang turut diberi tajuk tentang isu pendidikan kanak-kanak juga tidak memandang ringan tajuk yang diberikan walaupun itu merupakan kali ketiga diberi tugasan membincangan isu tersebut.

"Kalau diikutkan, saya peserta yang paling berumur. Saya juga mula berdakwah pada umur 15 tahun dan setakat ini saya sudah hampir 23 tahun berdakwah sebelum menyertai pertandingan ini.

"Tetapi itu bukan bermakna saya mengambil ringan atau memandang sebelah mata tiga finalis yang lain. Pada peringkat alkhir nanti, tajuk yang akan saya bentangkan adalah Ibu Bapa Hebat Anak Keparat yang mana ia tentang pendidikan anak-anak.

"Selain itu, saya juga akan bercakap atas tajuk Keunggulan dan Kehebatan Nabi Muhammad. Saya akan cari bahan yang jarang diketengahkan oleh pendakwah lain agar kelihatan lebih eksklusif," jelasnya.

Pada masa sama lulusan bidang Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir ini mahu berkongsi hasratnya yang mahu menubuhkan sebuah yayasan yang dikenali sebagai Yayasan Al-Filfilani di sebuah kawasan seluas satu hektar di Permatang Pasir, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Dia kini sedang mencari dana bagi menubuhkan yayasan itu yang antara lain mempunyai sebuah masjid dengan menampung 1,000 jemaah. Selain itu, turut diadakan di situ adalah sebuah sekolah tahfiz al-Quran, rumah orang tua, mualaf dan anak-anak yatim.

"Saya telah membeli tanah seluas itu dengan harga RM1.2 juta. Majlis pecah tanah telah diadakan pada 10 Oktober lepas.

"Untuk menambahkan lagi dana yayasan itu, saya akan melancarkan skim wakaf sebanyak RM25 untuk sekaki persegi bagi sesiapa yang mahu berwakaf bagi melaksanakan penubuhan yayasan ini," katanya lagi.

Dalam pada itu juara Pencetus Ummah akan menerima sebuah kereta Toyota Prius C, wang tunai RM50,000, pakej umrah untuk dua orang, pakej percutian ke China, senaskhah al-Quran Amazing dan trofi sumbangan Astro.

Umur 38 tahun

Asal Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

Memiliki ijazah sarjana muda dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan sarjana dalam bidang Hadis (al-Quran dan Sunnah) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pekerjaan sebagai Pengetua Maahad Darul Tahzhib.

Masih belajar dan akan meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Sains Alam Sekitar .

Umur 20 tahun. Berasal dari Segambut, Kuala Lumpur.

Sebelum menyertai Pencetus Ummah rakan-rakan di Facebooknya sekitar 5,000 orang sahaja tetapi kini meningkat lima kali ganda.

Merupakan pensyarah bidang Qiraati dan Naib Presiden Akademik di Kolej Hafiz, Klang, Selangor.

Umur 32 tahun

Pengalamannya yang kerap menziarahi makan Nabi Muhammad banyak memberi idea dan menganggap amalan itu mampu melahirkan rasa rindu serta kecintaan kepada junjungan besar tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Pendirian Andrew perlu disanggah

Posted: 08 Jan 2014 11:01 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar

Pengarang The Herald, Lawrence Andrew keluar dari kamar perbicaraan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam majalah mingguan itu. - UTUSAN/Zaki Amiruddin

PADA 14 November lalu, dalam satu kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua rakyat khasnya di negeri ini tanpa mengira kaum dan latar belakang agama akur serta patuh kepada larangan pengunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Dalam kenyataan khas itu, baginda mahu semua rakyat mematuhi larangan tersebut seperti mana yang telah tertakluk di bawah Seksyen 9, Bahagian 1 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di kalangan Orang Islam) Selangor 1988.

Malah baginda juga turut menzahirkan pendirian tegas kalimah Allah tidak boleh digunakan sama sekali di Selangor oleh orang bukan Islam sebagaimana yang telah diperuntuk serta dikuatkuasakan dalam undang-undang serta fatwa negeri.

Selain itu, semua rakyat negeri Selangor perlu patuh kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 18 Februari 2010 yang memutuskan kalimah Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan untuk merujuk kepada tuhan dalam agama-agama lain.

Sebelum itu pada 14 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam majalah mingguan The Herald.

Persoalannya, kenapakah Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew masih mahu mempertahankan pendiriannya supaya semua gereja di Selangor menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka? Apakah motif dan niat beliau sebenarnya?

Ia memandangkan Andrew yang menetap di Selangor seharusnya patuh kepada titah Sultan Selangor yang merupakan Ketua Agama Islam di negeri itu dan arahan baginda berhubung larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam tersebut berlandaskan kepada peruntukan undang-undang.

Justeru tidak perlulah, Andrew hendak berdolak-dalik dengan mengaitkan pula kenyataannya dengan dibuat berasaskan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan bahawa setiap orang berhak menganuti serta mengamalkan agama masing-masing selain berhak menguruskan urusan agama sendiri seperti mana yang termaktub di bawah Perkara 11(3) perlembagaan yang sama.

Peruntukan undang-undang di Selangor sudah jelas, oleh itu beliau sepatutnya akur dan bukannya sengaja mahu mengambil satu tindakan yang kita percaya beliau mengetahui akan mencetuskan kontroversi.

Atas sebab itulah, pendirian Andrew ini perlu disanggah oleh semua umat Islam tanpa mengira apa juga fahaman politik kerana sebagai orang Islam, kita tidak boleh membiarkan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam kerana ia satu penghinaan kepada kalimah suci itu.

Ini memandangkan dengan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam agama lain selain agama Islam, ia seolah-olah kita meredakan martabat Pencipta Yang Maha Agung dan Maha Esa disekutukan.

Bagi penganut Kristian, mereka mempercayai konsep Triniti, iaitu God The Father, God the Son dan The Holy Ghost (Allah sebagai Bapa, Allah sebagai Anak dan Roh Kudus). Kepercayaan ini bertentangan dengan kepercayaan penganut agama Islam yang berpegang teguh bahawa Allah itu Tunggal, iaitu Maha Esa. Tiada dua, tiga atau banyak. Allah cuma satu.

Ini ditegaskan melalui firman-Nya dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4 yang bermaksud: Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia."

Berikutan itu, usaha mempertahankan kalimah Allah wajib bagi orang Islam dan orang bukan Islam tidak berhak mempertikaikan langkah itu apatah lagi berusaha memancing kemarahan umat Islam dalam soal ini.

Sebab itulah, apa yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah di Petaling Jaya, Khamis lalu adalah tepat dan perlu disokong.

Kenapa pula tindakan itu dianggap bermotifkan politik seperti mana dituduh oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago. JAIS bertindak berdasarkan kepada peruntukan undang-undang malah ia disahkan dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, Sallehen Mukhyi.

Justeru tidak timbul soal JAIS bermain politik atau bermotif politik dalam apa juga tindakan penguatkuasaan yang mereka lakukan. Apa sahaja perkara yang boleh dianggap menggugat dan mencemarkan kesucian serta ada peruntukan undang-undang yang membenarkan JAIS bertindak maka JAIS berhak berbuat demikian.

JAIS tidak perlu diajar atau dipaksa merujuk dahulu kepada mana-mana pihak apatah lagi bukan Islam jika mereka mahu mengambil tindakan. Penulis membangkitkan perkara ini kerana ada desakan daripada golongan tertentu bahawa selepas ini sebarang serbuan yang hendak dilakukan oleh JAIS harus mendapat kelulusan mutlak Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Tindakan seumpama ini jika berlaku sudah pasti merendahkan martabat JAIS. Adalah diharapkan ia tidak menjadi kenyataan kerana langkah seumpama itu sudah pasti sekali lagi akan membangkitkan kemarahan umat Islam.

Apa pun isu kalimah Allah dan serbuan JAIS itu seharusnya memberikan pengajaran kepada umat Islam betapa penting mereka bersatu dan bukannya meletakkan perhitungan demi kepentingan politik mengatasi segala-galanya. Janganlah kerana mahu kuasa dan kedudukan, segalanya yang berkaitan dengan Islam dipandang ringan.

Mungkin kerana tidak ada kesepakatan inilah, sejak kebelakangan ini semakin banyak isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam dibangkitkan oleh pihak tertentu, seolah-olah mereka sama sekali tidak khuatir dengan reaksi umat Islam terhadap tindakan mereka.

Dulu tiada siapa yang berani menyentuh sensitiviti umat Islam, dulu tiada mana-mana pihak mempunyai keberanian mahu kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam, dulu tiada siapa memiliki keupayaan untuk menyanggah titah raja-raja Melayu dan dulu juga sebarang tindakan oleh mana-mana jabatan agama Islam tidak pernah dipertikaikan.

Tetapi sekarang, suasana itu seolah-olah sudah berubah, pihak-pihak tertentu mempunyai keberanian luar biasa untuk menyentuh sensitiviti umat Islam.

Apakah dasar keterbukaan dan sikap toleransi yang ditunjukkan oleh orang Melayu dan umat Islam kini diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu kerana mereka melihat umat Islam semakin berpecah-belah akibat berbeza fahaman politik?

Atau akibat semakin wujudnya kelompok Melayu liberal yang sudah tidak mempedulikan lagi kepentingan menjaga agama Islam dan hak-hak orang Melayu?

Sememangnya, tiada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mahukan konflik berlaku dalam negara ini apatah lagi jika ia berkaitan agama, tetapi setakat ini yang banyak bersabar ialah umat Islam yang seolah-olah semakin diasak kiri dan kanan oleh pihak-pihak tertentu.

Puak-puak seumpama ini perlu diberi peringatan bahawa kesabaran umat Islam ada hadnya dan keharmonian kaum serta agama yang selama ini kita kecapi tidak harus diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

Percayalah, apabila sekali sahaja konflik berkaitan agama tercetus maka ia akan mengundang petaka berpanjangan kepada negara, oleh itu pihak-pihak tertentu yang masih berdegil perlu memahami bahaya yang menanti.

Kebangkitan al-Qaeda kerana dasar AS

Posted: 08 Jan 2014 11:01 AM PST

Oleh Azmi Hassan

BUKAN satu perkara yang pelik jika ada pihak yang mempersoalkan kaedah tadbir urus Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengendalikan sesuatu konflik kerana lazimnya keputusan yang dibuat beliau tidak membuahkan hasil seperti yang dikehendaki.

Bermula dengan konflik di Afghanistan dan Iraq yang dicetuskan oleh bekas Presiden George W. Bush dan disusuli pula oleh fenomena Arab Spring di beberapa negara Arab dan paling terkini peperangan di Syria, nampak gayanya setiap dasar luar yang diamalkan White House disifatkan sebagai tersilap langkah.

Laporan risikan (NIE) terbaru yang mengumpulkan maklumat dari 16 agensi perisikan AS antaranya Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) telah mendedahkan bahawa kumpulan Taliban di Afghanistan dengan mudah akan menawan beberapa wilayah negara tersebut sebaik sahaja tentera AS dan British berundur.

Perlu ditekankan dasar pengunduran tentera AS dari Afghanistan ini dibuat oleh pentadbiran Obama walaupun tidak dipersetujui oleh pemimpin tertinggi Pentagon.

Kepincangan tadbir urus konflik White House terserlah lagi apabila bekas Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates yang pernah berkhidmat selama dua tahun setengah dalam pentadbiran Obama mendedahkan bagaimana tiada keyakinan pemimpin tertinggi AS terutama sekali strategi yang melibatkan perang di Afghanistan dan Iraq.

Gates dalam buku memoir yang bertajuk Duty: Memoirs of a Secretary at War turut mempamerkan bagaimana Obama sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera AS juga tidak mempunyai keyakinan terhadap komander angkatan tentera yang terlibat dalam operasi ketenteraan di Afghanistan dan Iraq.

Kekalutan Obama mengendalikan situasi konflik mula terbukti kesahihan dan kesannya apabila dua bandar utama di Iraq di wilayah Anbar iaitu Fallujah dan Ramadi jatuh ke tangan kumpulan pengganas al-Qaeda beberapa hari lepas. Peristiwa ini dikatakan penting kerana kedua-dua bandar tersebut merupakan simbol kekuatan tentera AS ketika berjaya menggulingkan rejim Presiden Saddam Hussein pada 2003.

Kumpulan al-Qaeda dikatakan sudah hampir lumpuh bermula dengan pencerobohan tentera AS di Afghanistan pada 2001 dan selepas itu ramai pemimpin tertinggi kumpulan itu berjaya dihapuskan. Walaupun konflik di Iraq sedikit sebanyak menghidupkan kembali aktiviti kumpulan ini, tetapi ia berjaya dikekang dengan kehadiran tentera AS.

Tetapi dasar luar AS yang tidak mahu campur tangan dalam konflik di Syria dan pengunduran berkala tentera bersekutu dari Iraq yang bermula pada 2011 bagaikan telah memberi nafas baharu kepada kumpulan al-Qaeda.

Konflik di Syria yang telah berlarutan selama tiga tahun bagaikan tiada penyudah kerana kedua-dua pihak yang bertentangan iaitu tentera kerajaan Bashar al Assad dan pemberontak adalah sama kuat. Ada yang mengandaikan tanpa kuasa besar barat yang terlibat secara langsung, konflik di Syria adalah perbalahan proksi iaitu antara Arab Saudi dan Iran.

Iran adalah penyokong kuat kerajaan Bashar sementara Arab Saudi pula menyalurkan bantuan kepada pemberontak. Kemelut timbul apabila beberapa kumpulan pemberontak tersebut merupakan sekutu kuat al-Qaeda yang secara tidak langsung telah memberi kekuatan dan nafas baharu kepada kumpulan pengganas tersebut.

Kumpulan pemberontak ISIS (Islamic State of Iraq and Syria) ialah antara kumpulan sekutu al-Qaeda dan kumpulan ini jugalah yang telah menawan Fallujah dan Ramadi di Iraq. ISIS sememangnya sudah wujud ketika mula AS menceroboh Iraq tetapi kekuatan ISIS pada ketika itu mudah dipatahkan oleh tentera AS.

Tetapi sejak ISIS terlibat dalam konflik Syria dan tentera AS mula mengurangkan tentera di Iraq, kumpulan ini telah menjadi kumpulan pemberontak utama bukan sahaja di Syria tetapi juga di Iraq.

Lebih membimbangkan lagi konflik di Syria, Iraq dan juga Lebanon telah merebak menjadi perbalahan sesama Islam tetapi pegangan mazhab yang berlainan. Bukan menjadi rahsia lagi Arab Saudi membantu pemberontak Syria kerana mahu menghapuskan rejim Bashar yang berpegang pada aliran Syiah. Begitu juga bantuan AS$3 bilion kepada kerajaan Lebanon oleh Arab Saudi adalah usaha untuk menghapuskan kumpulan Hizbullah yang mendapat sokongan Iran.

Sementara pemberontak Syria dari aliran Sunnah pula terlibat dalam pemberontakan di Iraq kerana ingin menghapuskan pemerintahan kerajaan Iraq di bawah pimpinan Perdana Menteri Nuri al Maliki yang berpegang kepada amalan mazhab Syiah.

Jika dikaitkan semua kemelut yang sedang melanda negara Islam Asia Barat terdapat bagaikan satu perancangan teratur untuk mempergunakan perbezaan mazhab dan juga suku kaum sebagai senjata utama untuk mencapai agenda masing-masing. Memang benar perbezaan ini sudah wujud buat sekian lama di rantau tersebut, tetapi dengan campur tangan kuasa besar asing dengan agenda yang tersendiri dan ditambah pula dengan pemerintahan autokrat, persefahaman amat sukar untuk dicari.

Kebangkitan al-Qaeda di Syria, Iraq dan juga Lebanon adalah satu manifestasi jelas bagaimana perbezaan dua mazhab utama Syiah dan Sunnah bakal menghasilkan konflik yang tiada kesudahannya. Jika ada pemimpin negara barat pada satu ketika dahulu mempergunakan perbezaan pegangan Katolik dan Protestan untuk memenuhi agenda nasionalis masing-masing, tiada bezanya apa yang sedang melanda negara Islam Asia Barat.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Jiwai perkahwinan

Posted: 07 Jan 2014 08:48 PM PST

Oleh NORAZMAN AMAT

PEMBUKA tirai 2014, semua orang mengharapkan yang terbaik dalam menjalani kehidupan tahun baharu. Itulah yang sebenarnya dituntut Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik dari semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam. Manakala orang yang terpedaya ialah orang yang hari ini sama dengan semalam. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Bercerita tentang perubahan sikap, azam atau apa jua perkara yang berhubung kait soal penghijrahan dalam kehidupan, suka bagi saya untuk berkongsi pengalaman sebagai seorang kaunselor tentang ragam kehidupan manusia. Ada kalanya dalam banyak sesi yang dikendalikan, saya tidak pernah terfikir betapa hal yang remeh pada tanggapan saya, akhirnya menjadi satu isu yang besar dalam sesebuah keluarga.

Namun ingin saya maklumkan segala kisah yang dipaparkan dalam ruangan ini akan menggunakan nama samaran demi menjaga etika sebagai seorang kaunselor. Cuma saya mengharapkan, kisah yang diceritakan bukan untuk menjadi bahan bacaan semata-mata dan berlalu begitu sahaja sebaliknya dijadikan iktibar untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Saidina Ali r.a pernah menyebut, "Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam."

Wangian lelaki, wanita

Posted: 07 Jan 2014 08:48 PM PST

Wangian untuk lelaki dan wanita tidak dapat dipisahkan. Memakai wangian yang digemari menjadikan seseorang lebih yakin dengan d untuk berhadapan dengan orang di sekelilingnya.

Bersempena ketibaan tahun baru 2014, jenama minyak wangi terkenal, S.T Dupont dari Paris memperkenalkan dua wangian untuk wanita dan lelaki.

Kedua-dua wangian ini diinspirasikan dari kota Paris yang penuh dengan gaya mewah, elegan dan penuh keghairahan,

Menariknya, botol minyak wangi ini juga termasuk dalam edisi terhad yang direka berdasarkan intepretasi jalan asal 58 Avenue Montaigne yang menampilkan gaya elegan.

Untuk wangian lelaki, botol direka dalam versi yang menampilkan lebih bergaya dan penuh ghairah dengan warna hitam dan emas.

Sementara untuk wanita rekaannya lebih nampak romantik, segar dan kewanitaan dengan hiasan flora di bahagian botolnya.

Bagi wangian lelaki, bauannya menggunakan kayu-kayan dan rempah-ratus seperti kayu manis, buah pelaga dan bunga cengkih yang menyegarkan.

Bagi koleksi wanita pula menggunakan bau-bauan seperti flora dan fauna yang segar seperti bunga mawar dan anggur. Harga untuk koleksi 58 Avenue Montaige ini RM293 (wanita) dan RM268 (lelaki).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Selangor setuju bina Langat 2

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
kota@utusan.com.my

SHAH ALAM 8 Jan. - Kerajaan negeri secara dasarnya telah bersetuju untuk melaksanakan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 yang tertangguh sejak lima tahun lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, persetujuan itu dibuat menerusi satu surat rasmi yang dikemukakan pihaknya kepada Menteri Air, Tenaga dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili hari ini.

Malah, beliau juga menyatakan telah mengadakan perbincangan dengan Maximus semalam dan bersetuju mengguna pakai Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 antaranya meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melantik Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Suhaimi Kamaralzaman dan Ketua Pengawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Faekah Husin bagi menjalankan pentadbiran pengurusan air.

Menurut Abdul khalid, pelantikan dua individu itu perlu dibuat memandangkan kerajaan negeri memiliki kebanyakan aset air di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kerajaan negeri secara dasarnya telah bersetuju untuk pelaksanaan pembinaan Langat 2 dan kedua-dua pentadbir ini (Suhaimi dan Faekah) dipertanggungjawabkan untuk merealisasikannya (pembinaan Langat 2)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Sebelum ini, projek Langat 2 yang dilaksanakan Kerajaan Pusat untuk menangani krisis bekalan air di Lembah Klang dan Putrajaya itu terpaksa ditangguhkan berikutan tindakan kerajaan negeri yang dilaporkan enggan memberikan kelulusan perintah pembangunan (DO).

Malah, Abdul Khalid menerusi laporan akhbar pada 31 Ogos 2010 menyatakan pembinaan loji berkenaan tidak perlu dibuat secara terburu-buru berbanding penyusunan semula industri perkhidmatan air di negeri ini yang perlu diberikan keutamaan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid menyalahkan para pemegang saham syarikat-syarikat konsesi air di negeri ini ekoran kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor yang turut melibatkan pengambilalihan empat syarikat konsesi dengan nilai tawaran sebanyak RM9.65 bilion.

Empat syarikat konsesi tersebut ialah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas); Konsortium Abass Sdn. Bhd.; Puncak Niaga Sdn. Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Berhad.

"Perbincangan yang kami lakukan untuk pengambilalihan atas dasar willing buyer-willing seller (sanggup beli-sanggup jual) seperti yang ditetapkan oleh kementerian gagal dimuktamadkan pada tarikh tamat tempoh rundingan pada 31 Disember 2013.

"Kami percaya punca utama kegagalan penyelesaian ini adalah akibat jangkaan yang tidak realistik dalam kalangan pemegang saham berkenaan terhadap nilai ketara pegangan ekuiti mereka dalam syarikat konsesi air di Selangor," ujarnya.

Elak kejadian tanah runtuh berulang

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

Oleh LILIS SURIANI OMAR
kota@utusangroup.com.my

TAN Keng Chok (kanan) dan Mohamad Yasin Jamaluddin menunjukkan lakaran lokasi tanah runtuh di Jalan Mahameru, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Kerja-kerja pembaikan cerun akibat kejadian tanah runtuh di tebing bukit setinggi 12 meter di Jalan Mahameru di sini semalam giat dijalankan bagi mengelak perkara sama daripada berulang.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi tersebut mendapati, keadaan lalu lintas masih perlahan kerana hanya dua daripada tiga lorong dibuka untuk pengguna jalan raya.

Menurut Pengarah Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Tan Keng Chok, pihaknya kini sedang memasang paku tanah sedalam sembilan meter bagi mengukuhkan struktur tanah di tebing itu.

"Sebanyak 550 batang paku tanah akan dipacakkan dengan jarak 1.5 meter setiap satu di kawasan runtuhan tersebut bagi menyokong kedudukan tanah di cerun dengan kecuraman 45 darjah itu.

"Kita juga akan mengeluarkan semua lumpur dan sisa tanah di permukaan cerun untuk dihantar ke Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin, Kepong," katanya yang ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Yang turut serta timbalannya, Mohamad Yasin Jamaluddin.

Kejadian tanah runtuh pada pukul 5.15 petang itu merupakan kali kedua selepas kejadian pada Mei lalu.

Sementara itu, Pensyarah Geologi Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Tajul Anuar Jamaluddin berkata, hujan lebat petang semalam telah menyebabkan struktur tanah menjadi longgar.

"Tanah di permukaan cerun menjadi tepu dengan air hujan dan mengakibatkan strukturnya tidak stabil lalu runtuh," jelasnya.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani pula memberitahu, pihaknya akan terus memantau kawasan itu sewaktu kerja-kerja pembuangan tanah dilakukan oleh kontraktor.

"Setakat ini, tiada pergerakan tanah dikesan tetapi pemantauan akan terus dibuat dan orang ramai dinasihati sentiasa berwaspada kerana kejadian seperti ini sukar dijangka," ujarnya.

Tiga lokasi di ibu negara berisiko runtuh - DBKL

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

SEBUAH jentolak membersihkan timbunan tanah runtuh di Jalan Mahameru, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MUHD. FARIZUAN SHARIFF

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Sebanyak tiga lokasi di ibu negara dikenal pasti terdedah kepada bahaya tanah runtuh yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, kerja-kerja pembaikan cerun di kawasan terbabit akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurutnya, tiga lokasi tersebut adalah di Bukit Nanas, Bukit Persekutuan dan Bukit Setiawangsa.

"Kontraktor bagi pembaikan cerun di Bukit Setiawangsa telah dilantik dan diharapkan kerja-kerja dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Bagaimanapun, pembaikan di sekitar Bukit Nanas terpaksa ditangguhkan berikutan penetapan harga untuk kerja-kerja itu masih di peringkat rundingan dan perlu mengikut bajet yang ditetap Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian tebing runtuh di Jalan Mahameru lewat petang semalam.

Kejadian yang berlaku akibat hujan lebat selama satu jam itu menyebabkan ribuan pengguna jalan raya berhadapan kesesakan lalu lintas sejauh kira-kira 10 kilometer.

Ahmad Phesal berkata, kejadian itu berlaku disebabkan tebing berkenaan masih di peringkat baik pulih dan keadaan tanah tidak stabil.

"Kerja-kerja pemulihan cerun di tebing itu telah dilaksanakan sejak Oktober tahun lalu dan dijangka selesai pada Mac ini.

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan kerja-kerja pemasangan kanvas di kawasan runtuhan tebing itu sebagai langkah keselamatan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Inai hiasi jari-jemari

Posted: 07 Jan 2014 08:48 PM PST

Noor Faleen Mohd. Fazel (kanan) hanya mengambil masa setengah jam untuk menghasilkan lukisan inai untuk pengantin.

Lukisan inai pengantin kini bukan lagi dimonopoli oleh tukang inai India, malah sudah ramai tukang inai wanita Melayu.

Noor Fazleen Mohd. Fazel, yang bermula dengan menginai kawan secara suka-suka semasa menuntut di universiti dahulu, kini sudah mahir melukis inai pengantin.

Menurut Noor Fazleen atau suka disapa Bunga, dia belajar melukis inai melalui seorang kawan.

Setelah mengetahui asas menginai, dia mula banyak memerhatikan inai yang dibuat oleh orang lain dan mula mencari kelainan serta identiti sendiri.

"Saya memang suka melukis seperti lukisan batik, pemandangan dan bunga-bungaan. Bila timbul minat melukis inai dan mendapat galakan pula daripada kawan-kawan, saya terfikir untuk melakukan sesuatu yang berbeza.

"Pada awalnya saya memperoleh idea daripada Internet. Orang Melayu sukakan corak bunga seperti melur, bunga raya dan sekarang terdapat permintaan untuk lukisan bunga ros.

"Sekarang saya sudah boleh melukis mengikut idea saya sendiri. Selain bunga, saya akan selitkan dengan daun-daun, ranting atau paku-pakis.

"Corak yang saya lukis pun ikut kehendak pengantin. Kemudian saya akan tengok tangan dia dahulu sama ada lebar, kecil, runcing atau berisi, kerana corak yang dipilih pun perlu mengikut kesesuaian tapak tangan pengantin.

"Jika silap memilih corak yang sesuai dengan tangan, ia akan nampak tidak cantik. Corak yang ringkas boleh disiapkan dalam masa setengah jam dengan bayaran antara RM50 hingga RM150, sementara corak penuh mengambil masa selama lebih satu jam dengan bayaran antara RM150 hingga RM250," kata Bunga yang bertugas sebagai setiausaha.

Tambahnya lagi, corak yang ringkas seperti dua atau tiga kuntum bunga tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Ada juga corak lain seperti awan larat, iaitu corak yang sarat biasanya disukai oleh pengantin India Muslim.

Bunga berkata, pada masa kini dia mempunyai kumpulan pelukis inainya sendiri yang terdiri daripada empat orang yang mahir menginai pengantin.

Kalau banyak tempahan, dia akan meminta ahli kumpulannya untuk mengambil alih.

Setakat ini Bunga banyak menerima tempahan dari sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Sungai Buloh dan ada juga permintaan dari Negeri Sembilan.

Ujar Bunga, supaya inai tahan lama lebih seminggu, biarkan sehingga kering dan kopek inai kering tersebut. Jangan dibasuh dengan air sebaliknya selepas dikopek, sapukan minyak bayi.

Sempena hari lahir pada Mei depan, Bunga berkata, dia menyediakan promosi dengan harga rendah untuk melukis inai, iaitu antara RM60 hingga RM150 di mana harga biasa ialah RM300. - MERAN ABU BAKAR

Sofina 2.1 inspirasi Vivy

Posted: 07 Jan 2014 08:48 PM PST

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar dari FASHIONVALET

RAMAI yang mengenali Vivy Sofinas Yusoff sebagai ikon fesyen dan pemilik gedung fesyen maya terkemuka, FashionValet.

Vivy yang mempunyai ramai pengikut di blog dan laman sosial Instagram juga sering berkongsi gambar dirinya dalam pakaian yang dijual mengikut tema majlis.

Beg tangan yang digayakannya juga menjadi ikutan wanita muda dalam bergaya sehari-hari.

Justeru, dia telah berkolaborasi dengan jenama beg tangan tempatan, Sometime menerusi koleksi yang diberi nama Sofina 2.1.

Idea untuk merealisasikan Sofina 2.1 ini tercetus daripada edisi pertama Sofina 1 yang dilancarkan awal tahun lalu dan mendapat sambutan begitu hangat daripada peminat beg tangan.

Beratus unit beg tangan tersebut habis dijual dalam masa satu jam sahaja.

Sofina 2.1 direka khas untuk memenuhi gaya hidup moden. Beg tangan ini mempunyai pelbagai fungsi dan bukan sahaja sebagai beg tangan malah pelengkap gaya wanita.

"Tidak dinafikan masa kini gaya hidup yang sibuk memerlukan kita sebagai wanita memainkan pelbagai peranan dalam satu masa. Sebagai wanita bekerjaya, seorang ibu dan isteri, saya perlu menggalas tanggung jawab ini dengan seimbang setiap hari.

"Sofina 2.1 direka khas untuk menepati ciri-ciri beg tangan yang saya idamkan dan pada masa yang sama ia boleh mengisi banyak barang untuk pelbagai tujuan tanpa perlu risau untuk membawa banyak beg dalam satu masa.

"Daripad Ipad, komputer riba, lampin bayi, keperluan bayi, dompet, makanan ringan dan segala-galanya boleh diisi dalam Sofina 2.1 ini," ujar Vivy penuh teruja.

Sofina 2.1 bukan sahaja praktikal dan cantik pada rupa luarannya, malah ia dihasilkan dengan kualiti, versatiliti dan gaya.

Menurut Vivy, Sofina 2.1 bukan hanya dizahirkan dalam satu bentuk malah boleh dijadikan sebagai beg bahu, beg silang, beg sandang atau beg tote.

Enam pilihan warna menarik iaitu hijau, biru, merah jambu, ungu, hitam dan merah, beg tangan ini boleh dimiliki dengan harga RM169 seunit hanya di FashionValet.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved