Rabu, 8 Januari 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Kadar jenayah di Melaka Tengah menurun sejak 2009

Posted: 07 Jan 2014 11:36 PM PST

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI

MELAKA 8 Jan. - Perangkaan indeks jenayah bagi daerah Melaka Tengah mencatatkan penurunan sehingga 29.73 peratus atau 1,120 kes dari 2009 sehingga tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd. Rahman berkata, kadar jenayah bagi daerah itu mencatatkan penurunan sebanyak 12.4 peratus pada tahun lalu berbanding 3,488 kes pada 2012.

Katanya, 1,882 tangkapan turut dilakukan polis bagi pelbagai kesalahan jenayah yang dilakukan dan daripada jumlah itu, 1,014 pesalah telah dituduh di makamah pada tahun lalu.

"Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 3,055 kes telah dicatatkan dengan penurunan 433 kes pada tahun 2013 manakala bagi menangani isu penyalahgunaan dadah, seramai 3,175 orang telah ditangkap dan 1,020 orang dituduh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kastam rampas mercun, bunga api RM750,000

Posted: 07 Jan 2014 11:34 PM PST

PELABUHAN KLANG 8 Jan. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas mercun dan bunga api bernilai RM751,025 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kebun Klang, Jumaat (3 Januari) lepas, kata Pengarahnya, Badaruddin Mohamed Rafik.

Beliau berkata, rumah dua tingkat yang dipenuhi 665 kotak berisi barang larangan itu dipercayai digunakan sebagai stor dan barang yang dirampas mempunyai nilai cukai RM488,166.

Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan semasa serbuan dan pihaknya sedang menyiasat pemilik dan penyewa rumah itu, katanya pada sidang media di sini hari ini.

"Bunga api dan mercun itu dipercayai dibawa masuk dari luar negara untuk dijual sempena sambutan Tahun Baharu Cina hujung bulan ini," katanya.

Badaruddin berkata, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 berkaitan perbuatan menyimpan dan memiliki barang belum lulus kastam yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dan didenda.

Badaruddin turut mendedahkan bahawa pada 2 Jan lepas, Kastam menyerbu sebuah rumah kedai di Taman Cheras Utama Kuala Lumpur dan merampas 5,208 botol arak dan menahan tiga lelaki warga Myanmar berumur dalam lingkungan 26 tahun.

Nilai rampasan arak dianggarkan RM73,735 melibatkan jumlah cukai RM214,720. Berdasarkan maklumat, premis terbabit digunakan untuk mengilang, menyimpan dan mengedar minuman keras bagi tujuan pasaran tempatan, katanya.

Beliau berkata: "Hasil siasatan di premis itu membawa kepada penemuan satu terowong rahsia ke premis bersebelahan yang digunakan sebagai kilang memproses minuman keras tanpa lesen yang sah."

Turut dirampas dalam serbuan hasil maklumat orang awam itu ialah beberapa buah mesin yang digunakan untuk mengilang minuman keras, katanya.

Badaruddin berkata, ketiga-tiga suspek masih ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Siasatan dilakukan di bawah akta yang sama kerana memiliki dan menyimpan barang belum lulus kastam serta peralatan tanpa lesen.

Beliau berkata, pihaknya telah melakukan persediaan untuk mengekang kemasukan barang larangan seperti mercun dan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini dengan menjalankan operasi rondaan di pesisiran pantai dan pelabuhan selain melakukan imbasan terhadap kontena-kontena yang dibawa masuk melalui pelabuhan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved