Selasa, 7 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


UMP, Kolej KLIA tandatangani MoU

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN
utusanktn@gmail.com

Mashitah Mohd. Yusof (dua kiri) bertukar dokumen dengan Nazaruddin Mohd. Nordin (dua kanan) pada majlis menandatangani MoU di Kolej KLIA Sepang, Selangor, baru-baru ini.

KUANTAN 7 Jan. - Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama Kolej Profesional dan Pengurusan KLIA (Kolej KLIA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meluaskan jaringan kerjasama dalam bidang keselamatan serta kesihatan pekerjaan.

Sebanyak tiga dokumen ditandatangani iaitu berkaitan perkhidmatan bagi mengkaji, mencadang dan menyediakan Pelan Tindakan Penambahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dalam sektor perlombongan dan kuari.

Selain itu, MoU itu melibatkan kajian mengenai kos kemalangan di tempat kerja bagi sektor perkhidmatan utiliti antara UMP dan konsultan KLIA.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMP, Prof. Dr. Mashitah Mohd. Yusof berkata, persefahaman itu bakal membawa dimensi baharu yang lebih kompetitif dalam mewujudkan hubungan dua hala.

"Menjadi hasrat UMP untuk menjajarkan kewujudannya pada koordinat strategik dalam memberi nilai tambah kepada bidang berkaitan kepakaran dan kebitaraan yang dimiliki di universiti ini.

"UMP amat mengalu-alukan kesediaan Kolej KLIA untuk tampil sebagai rakan strategik terkini bagi memacu hala tuju dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di Malaysia," katanya yang berucap dalam majlis tersebut di Kolej KLIA Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kolej KLIA, Kamarulzaman Musa; Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMO), Ir. Dr. Ahmad Rasdan Ismail dan Pensyarah Fakulti Teknologi UMP, Dr. Norazura Ismail.

Tambah Mashitah, sebagai sebuah universiti, aktiviti akademik yang dijalankan tidak terhad kepada pengajaran dan pembelajaran tetapi turut meliputi penyelidikan dan perundingan.

Katanya, sejajar dengan perubahan masa dan peredaran zaman, perhatian khusus diberikan terhadap usaha memperkasakan aktiviti penyelidikan dalam bidang OSH melalui Pelan Strategik UMP 2011-2015.

Beliau percaya, komitmen tinggi kedua-dua pihak akan membolehkan ikatan strategik itu dilaksanakan melalui penerokaan dalam bidang kerjasama yang berpotensi untuk dikembangkan.

Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan KLIA Premier Holding Sdn. Bhd., Ir. Nazaruddin Mohd. Nordin berkata, pihaknya yakin hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak dapat diperluaskan dari semasa ke semasa.

"Antaranya, termasuklah perkongsian ilmu bagi bidang kajian, perkongsian tenaga pengajar, fasiliti dan penawaran program atau kursus sedia ada," ujarnya.

Beliau berharap, usaha itu akan menjadi inisiatif dalam menyediakan platform terbaik kepada sektor pengajian tinggi negara.

PSDC menang Anugerah PSMB 2013 kategori Penyedia Latihan

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

Khairur Rizal Ramli (tengah) bersama pengurusan dan warga kerja PSDC yang memenangi trofi Anugerah PSMB sempena majlis perjumpaan meraikan kejayaan PSDC di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

KUANTAN 7 Jan. - Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC) mengungguli Anugerah Pembangunan Sumber Manusia (PSMB) 2013 bagi kategori Penyedia Latihan sekali gus mengulangi kejayaan yang pernah dicapai pada 2010.

Penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem kepada Pengerusi Majlis Pengurusan PSDC, Datuk Lahuree Sudiran dalam satu majlis di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif PSDC, Khairur Rizal Ramli berkata, objektif penganugerahan adalah untuk memberi pengiktirafan kepada organisasi yang telah memberi sumbangan besar dalam pembangunan sumber manusia.

Menurutnya, Anugerah Pembangunan Sumber Manusia yang dahulunya dikenali sebagai Anugerah Pembangunan Tenaga Mahir mula diperkenalkan pada tahun 1993.

"Di samping itu, anugerah ini dapat merangsang majikan-majikan memperbaiki dan memperkukuhkan pembangunan sumber manusia serta meningkatkan kesedaran dan penglibatan majikan dalam aspek berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, anugerah itu bertepatan dengan peranan PSDC kerana sejak ditubuhkan pada 17 Jun 1994 sehingga hari ini, pihaknya bertanggungjawab memberi latihan kemahiran kepada pekerja-pekerja industri khususnya di negeri ini.

Katanya, kini PSDC telah berusia lebih daripada 15 tahun penubuhannya dan sepanjang jangka waktu tersebut, PSDC berjaya melatih 29,700 tenaga mahir dan separuh mahir di pelbagai peringkat.

"Lebih 80 peratus sudah bekerja dalam pelbagai jawatan sama ada di sektor swasta atau kerajaan seperti juruteknik, pembantu juruteknik, pendawai elektrik dan pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan," katanya.

Pahang tumpu pembangunan IKS

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 7 Jan. - Kerajaan negeri akan terus memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan sektor industri kecil dan sederhana (IKS) yang merupakan pemangkin kepada pergerakan ekonomi yang lebih besar di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, oleh yang demikian, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi memberikan fokus kepada sektor berkenaan.

Menurutnya, antara jawatankuasa terlibat ialah SME Corp. Malaysia, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

"Selain itu, SME Corp. juga telah memperkenalkan Program Peningkatan Keupayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera (Beep) bagi membantu melahirkan PKS Bumiputera yang dinamik dan berdaya saing.

"Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 19 syarikat telah dibantu membabitkan 29 projek perniagaan seperti membuat roti, sabun dan kerepek. Jumlah ini melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM3 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Pensijilan Persekitaran Berkualiti 5S di bawah program Beep kepada syarikat Mama Bake di Taman Teknologi Pahang di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah SME Corp. negeri, Masnani Bashirun.

Shahiruddin berkata, beliau berharap setiap pemilik syarikat melalui program Beep itu dapat menguruskan perniagaan mereka dengan baik seterusnya mampu bersaing dengan kaum lain di negara ini.

"Kita sebagai orang Melayu ambillah sikap yang kita (Melayu) mesti jadi macam orang Cina dalam gelanggang perniagaan, kita juga harus mampu melaksanakannya dan jangan mudah berputus asa," katanya.

Beliau dalam pada itu berharap, agensi-agensi kerajaan di negeri ini dapat mempermudahkan cara dalam membantu usahawan bumiputera dan bukan bertindak kejam sehingga boleh membunuh peniaga Melayu itu sendiri.

"Apa yang perlu kita buat adalah permudahkan cara, buat pemantauan rapat, dengar rintihan dan masalah mereka (usahawan) seterusnya kita bantu mereka menjalankan perniagaan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved