Selasa, 7 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Perlis dapat dua depot bekalan

Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

SHAHIDAN Kassim (barisan belakang, tengah) bersama para pelajar dalam Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah di Dewan Sivik, Arau, Perlis, kelmarin.

ARAU 6 Jan. - Perlis bakal mewujudkan sebuah lagi depot bekalan sebagai persediaan untuk memastikan segala barang keperluan mencukupi untuk mangsa banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ini menjadikan Perlis mempunyai dua depot bekalan.

''Depot bekalan yang sedia ada terletak di Titi Tinggi yang mana akan ditambah lagi satu tidak lama lagi," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian bantuan baju sekolah Parlimen Arau di Dewan Sivik di sini semalam.

Seramai 80 pelajar miskin dari tingkatan satu hingga tiga bagi Parlimen Arau menerima bantuan baju sekolah.

Shahidan berkata, bangunan depot bekalan baharu itu akan disewa daripada pihak swasta.

Katanya, pihaknya tidak bercadang untuk membina bangunan baharu memandangkan bangunan ini sebagai depot sahaja.

''Depot bekalan yang sedia ada iaitu sebuah dewan akan diperbaiki supaya dapat digunakan sebagai persediaan musim banjir," katanya.

Jelasnya, keperluan barangan di depot bekalan pula akan ditambah berdasarkan arahan Jabatan Meteorologi.

''Biasanya arahan akan dikeluarkan tiga hari sebelum bencana berlaku supaya dapat mengambil langkah berjaga-jaga," katanya.

Shahidan berkata, ini penting supaya depot bekalan boleh bersiap sedia dengan barangan keperluan.

Selain itu, Shahidan juga mencadangkan supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri menjadikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) sebagai setor bekalan hadapan.

Raja Muda Perlis tinjau Stadium Carrow Road

Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) diiringi oleh Tengku Azizan Tengku Ahmad (kiri) dan Chris Bailey (kanan) meninjau Stadium Carrow Road di Norwich, United Kingdom, baru-baru ini.

NORWICH 6 Jan. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meninjau Stadium Carrow Road di sini sempena lawatan kerja tiga hari ke England baru-baru ini.

Ketibaan baginda yang juga peminat utama sukan bola sepak di stadium berusia kira-kira 70 tahun itu disambut oleh Ketua Operasi Kelab Bola Sepak Norwich City, Chris Bailey yang kemudiannya memberi taklimat mengenai pembangunan stadium serta kelab bola sepak berkenaan.

Turut menyertai baginda dalam tinjauan itu ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan bekas pemain bola sepak Perlis, Tengku Azizan Tengku Ahmad yang kini menetap di England.

Stadium Carrow Road yang boleh menampung kira-kira 27,000 penonton terletak di lokasi strategik dan berhampiran dengan stesen kereta api Norwich.

Sepanjang berada di England, baginda turut menghadiri beberapa aktiviti, termasuk menghadiri majlis penganugerahan The Name In Science yang diterima Naib Canselor UniMAP sempena Oxford Summit of Leaders serta melakukan lawatan kerja ke kilang Lotus di Norwich. - BERNAMA

e-pembelajaran mulai Jun ini

Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST

Oleh OPAT RATTANACHOT
utusankedah@utusan.com.my

BANDAR BAHARU 6 Jan. - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah akan melaksanakan program e-pembelajaran di seluruh sekolah rendah di negeri ini secara berperingkat bermula Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Kedah, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, pelaksanaan program tersebut bertujuan meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum dalam murid sekolah rendah agar setanding dengan negeri-negeri lain.

Beliau berkata sebagai permulaan, Sekolah Kebangsaan (SK) Relau di sini dipilih sebagai sekolah perintis program tersebut.

"Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir pada dasarnya telah bersetuju dengan rancangan ini. Kerajaan negeri berpendapat bahawa kita perlu memperkasakan penduduk negeri ini dalam bidang teknologi maklumat dan salah satunya adalah melalui institusi sekolah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah sekitar daerah ini baru-baru ini.

Norsabrina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu berkata, program e-pembelajaran yang diperkenalkan tersebut juga dijangka meningkatkan lagi keupayaan murid sekolah dalam bidang teknologi maklumat dan perkembangan terkini.

"Sebelum ini ada sesetengah sekolah telah mengguna pakai sistem e-pembelajaran tetapi atas inisiatif sendiri dan juga sumbangan daripada persatuan-persatuan. Selepas ini kita berharap program tersebut dapat dijalankan secara menyeluruh termasuk di sekolah-sekolah luar bandar," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved