Selasa, 7 Januari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Undang padah buat pengguna

Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST

A. AZIZ ALI
Kempas, Johor Bahru.

JALAN di Persiaran Kempas Baru, Johor Bahru yang rosak akibat tumpahan simen ternyata membahaya dan menyusahkan pengguna laluan berkenaan.

Saudara Pengarang,

SAYA ingin membuat aduan berhubung jalan raya di kebanyakan di negara ini, tidak terkecuali di daerah Johor Bahru.

Selain masalah jalan rosak dan berlubang yang sering dihadapi oleh pengguna, masalah jalan rosak akibat tumpahan simen turut menghantui orang ramai.

Situasi tersebut bukan sahaja menyusahkan pengguna, malah boleh membahayakan nyawa mereka kerana permukaan jalan yang tidak rata akibat simen yang tumpah mengeras.

Sebagai contoh jalan yang rosak akibat tumpahan simen adalah di Persiaran Kempas Baru, Johor Bahru iaitu di simpang masuk ke Jalan Banjaran Utama dan Jalan Lurah 18.

Lebih membahayakan jalan tersebut berbukit, ditambah lagi dengan permukaan jalan yang bersimen itu, sudah pastinya sangat menyusahkan orang ramai yang melalui kawasan tersebut.

Masalah tersebut boleh dilihat di kawasan-kawasan lain di daerah ini, antaranya di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pasar Raya Mydin di Tampoi, Johor Bahru.

Jalan rosak akibat tumpahan simen ini tidak akan berlaku sekiranya pemandu lori yang membawa muatan simen berkenaan lebih peka dan mengambil langkah sepatutnya bagi memastikan bahan tersebut tidak jatuh ke atas jalan raya.

Justeru, pihak berwajib diharap agar tidak memandang ringan masalah ini dan dapat membaiki jalan tersebut bagi keselesaan pengguna jalan raya.

Taman Rekreasi Kesang dibangunkan semula

Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST

SULAIMAN ISMAIL
Setiausaha Majlis Daerah Tangkak.

Saudara Pengarang,

MAKLUM balas Taman Rekreasi Taman Kesang berikutan artikel aduan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 25 Disember lalu.

Pada 9 Jun 2008, Daerah Ledang telah diisytiharkan dengan kawasan Kesang termasuk di dalam daerah Ledang.

Justeru, Majlis Daerah Tangkak (MDT) secara tidak langsung telah mengambil alih taman rekreasi tersebut daripada Majlis Perbandaran Muar.

Antara kemudahan yang terdapat di kawasan tersebut ialah 12 buah gerai, tandas, surau, tiga pondok rehat, gelanggang futsal, taman permainan, tempat meletak kenderaan dan replika beca.

Pembukaan Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) pada 2006 adalah antara masalah utama yang menyebabkan pengunjung semakin kurang menggunakan laluan asal ke medan selera tersebut iaitu Jalan Muar-Kesang-Melaka.

Justeru, ramai peniaga mengalami kerugian besar akibat tiada sambutan daripada pengunjung dan menyebabkan medan selera tersebut tidak beroperasi lagi.

Terdapat banyak kerosakan pada struktur bangunan dan kemudahan seperti pintu, tingkap, saluran paip dan saliran tersumbat akibat vandalisme.

Kawasan tersebut juga sentiasa dinaiki air terutama ketika musim banjir.

Pihak MDT bercadang untuk membaik pulih bangunan dan kawasan tersebut dan membuka peluang semula kepada peniaga yang berminat.

Kos membaik pulih tersebut menelan belanja kos sebanyak RM350,000, namun tiada peruntukan untuk tujuan berkenaan tetapi MDT akan cuba untuk memohon peruntukan daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menampung kos pembaikan itu.

Jabatan Kesihatan turut telah membuat siasatan hasil daripada aduan ini dan mendapati sampah-sarap seperti tilam, karpet, papan dan bumbung asbestos telah dibuang di kawasan tersebut oleh orang ramai.

Untuk makluman, MDT telah melantik kontraktor pembersihan, Nuris Enterprise untuk membersihkan kawasan bangunan gerai, surau, tandas dan kawasan lapang serta membersihkan parit dan memotong rumput.

Namun, terdapat orang yang tidak bertanggungjawab membuang sampah dapur di kawasan jalan hadapan dan pihak kontraktor telah mengutip dan membersihkannya setiap kali berlaku perkara tersebut.

Pihak MDT ada menyediakan dua unit tong sampah berkapasiti 240 liter untuk digunakan di kawasan gerai dan diuruskan oleh pihak kontraktor.

Bagaimanapun, pihak MDT telah berbincang dengan pihak kontraktor agar sama-sama membantu melupuskan longgokan sampah-sarap tersebut dan telah dilaksanakan pada hari itu.

Sehubungan itu, pihak kami memohon kerjasama daripada orang ramai dan penduduk setempat agar bersama-sama dalam menjaga kebersihan terutama di tempat awam.

MDT menerusi Jabatan Perancangan Bandar dan Landskap telah menerima dua permohonan daripada orang awam dan syarikat persendirian untuk membangunkan semula Taman Rekreasi Kesang dan antara cadangan itu adalah membuka pasar karat.

Kumpulan peniaga pasar karat di Tanjung Gading telah membuat permohonan untuk menjadikan Taman Rekreasi Kesang sebagai tapak perniagaan mereka yang baharu bagi menggantikan tapak lama yang terletak di hadapan rumah persendirian.

Berdasarkan cadangan pemohon, penempatan semula pasar karat yang menjual barang-barang antik bertujuan untuk menarik lebih ramai pengunjung, namun aktiviti pasar karat ini hanya dijalankan pada waktu hujung minggu sahaja.

Kedua, cadangan bersepadu Taman Rekreasi Kesang iaitu pemohon berhasrat untuk membangunkan semula kawasan rekreasi sebagai kawasan penginapan calet yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, zoo mini dan kemudahan lain.

Pembangunan akan memberi tumpuan kepada menaik taraf kawasan sedia ada dan melibatkan pembinaan calet dengan kos pembinaan ditanggung sendiri oleh pemohon.

Selain itu, pemohon berhasrat untuk menjadikan kawasan rekreasi ini sebagai hentian rehat dan rawat terutamanya bagi pengguna Lebuh Raya AMJ.

Pemasangan beberapa papan tanda besar dari jalan utama ke medan selera tersebut boleh menarik minat orang ramai ke kawasan berkenaan, selain menghiasi persekitaran dengan landskap lebih menarik.

Bagaimanapun, hingga kini pihak MDT masih lagi dalam proses pertimbangan memandangkan kawasan tersebut terdedah kepada banjir dan kos membaik pulih kawasan tersebut yang tinggi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved