Selasa, 7 Januari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Taman rekreasi tidak terurus

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

LEE Lam Thye (hadapan) melihat kesan runtuhan batu ke dalam longkang sehingga menyebabkan aliran air di taman rekreasi di Jalan Perkasa, Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur tidak berfungsi dengan sempurna.

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Sebuah taman rekreasi yang menjadi tumpuan warga kota untuk beriadah di Jalan Perkasa, Taman Maluri, Cheras dekat sini memerlukan perhatian daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia ekoran beberapa kemudahan di taman tersebut tidak diselenggara dengan baik dan telah rosak.

Ujarnya, sebelum ini, DBKL telah menggantikan semua peralatan bersenam yang usang dengan baharu namun ia menjadi mangsa kegiatan vandalisme selain tidak sesuai digunakan oleh warga emas.

"Pagar untuk kemudahan sukan futsal juga rosak dan perlu diganti. Saya berharap DBKL mempunyai peruntukan untuk membaik pulih dan menyelenggara taman ini dengan baik.

"Taman rekreasi ini sememangnya dikunjungi penduduk pada waktu pagi untuk bersenam. Saya juga sering datang ke sini untuk beriadah," katanya ketika tinjauan bersama Utusan Malaysia di taman rekreasi itu di sini hari ini.

Lam Thye berkata, beliau turut kesal dengan sikap segelintir pihak bertanggungjawab yang merosakkan kemudahan selain membuang sampah secara sesuka hati di kawasan tersebut.

"Papan tanda untuk panduan senaman turut dicabut, dikoyak dan diconteng oleh individu yang saya sifatkan sebagai nakal," katanya.

Menurutnya, sistem perparitan yang tersumbat di taman rekreasi itu juga perlu dibaik pulih dengan segera kerana dibimbangi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Taman yang berusia kira-kira 30 tahun ini dahulunya terbiar dan kotor, namun telah dibaik pulih oleh pihak DBKL selain ditanam dengan pokok-pokok hiasan.

"Bagaimanapun, sikap segelintir pengunjung terutama yang datang pada waktu malam dan merosakkan kemudahan di taman ini amat dikesali," katanya.

Kolam tadahan atasi banjir di Rawang

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusan.com.my

NOR Hisham Ahmad Dahalan (kiri) menunjukkan lokasi cadangan untuk membina kolam tadahan banjir di Rawang semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN

RAWANG 7 Jan. - Sebuah kolam tadahan banjir seluas tiga ekar akan dibina di Batu 23 Jalan Batu Arang-Rawang, di sini bagi mengatasi masalah banjir kilat baru-baru ini.

Pembinaan kolam berdekatan Sungai Gong yang menjadi punca banjir itu akan dijalankan sebaik sahaja mendapat kelulusan kerajaan negeri Selangor.

Pegawai Daerah Gombak, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahalan berkata, beliau akan menemui Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim esok bagi mendapatkan kelulusan dan segera membina kolam tadahan di atas tanah seluas 10 ekar itu.

"Setelah mengenal pasti kawasan untuk membina kolam tersebut hari ini, saya akan berusaha untuk menjadikan Rawang sebagai kawasan bebas banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia setelah meninjau kawasan cadangan bagi kolam tadahan tersebut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian banjir pada 24 Disember lalu, hujan lebat selama tiga jam menyebabkan banjir kilat di Kampung Sungai Bakau dekat sini, dengan lebih 20 buah rumah dimasuki air sedalam 0.5 meter ekoran air sungai berdekatan melimpah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, seramai 100 penghuni di kawasan terlibat terjejas selain empat buah kereta turut ditenggelami air.

Kejadian itu juga mengakibatkan ribuan pengguna jalan raya yang melalui Jalan Batu Arang berhampiran Pusat Beli-Belah Aeon Rawang terkandas untuk ke tempat kerja kira-kira pukul 7 pagi.

Nor Hisham berkata, kolam tersebut dijangka dapat menyelesaikan 90 peratus masalah banjir di Rawang.

"Kolam dan tanah ini adalah milik kerajaan dan kita akan tuntut di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara untuk membinanya dan saya rasa kita tidak akan menerima bantahan daripada mana-mana pihak," katanya.

Nor Hisham juga meminta beberapa pemaju hartanah di sekitar Rawang supaya segera membina kolam-kolam perangkap lumpur di tapak projek masing-masing bagi mengelak air bertakung dan aliran tersekat.

Kemeriahan Tahun Baharu Cina mula dirasai di Jalan Petaling

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

DERETAN tanglung yang dipasang memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada hujung bulan ini di Jalan Petaling, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina mula dirasai di sekitar Jalan Petaling di sini apabila kebanyakan bangunan di kawasan tersebut telah dihiasi dengan tanglung berwarna merah.

Suasana itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran pengunjung serta pelancong asing untuk membeli-belah.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu hari ini mendapati, banyak gerai serta kedai menjual pelbagai barangan yang menjadi tumpuan pengunjung.

Antaranya termasuklah kedai menjual pakaian yang menawarkan harga menarik dan berpatutan kepada pelanggan.

Gerai yang menjual cenderamata pula menjadi pilihan pelancong untuk membeli barangan sebagai kenangan di negara ini.

Selepas penat membeli-belah, beberapa pengunjung turut singgah ke gerai air kacang soya untuk melepaskan dahaga.

Sementara itu, penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga meronda di sekitar Jalan Petaling bagi mengesan kegiatan peniaga haram.

Jalan Petaling sememangnya dikenali sebagai lokasi popular yang menjual barangan pada harga murah selain pelbagai jenis makanan kaum Cina.

Langkah menaik taraf imej Jalan Petaling sejak beberapa tahun lalu berjaya memberi wajah baharu kepada kawasan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved