Selasa, 21 Januari 2014

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Dua beranak maut dalam kemalangan

Posted: 21 Jan 2014 11:21 PM PST

Oleh ASLIZA MUSA

TAPAH 22 Jan. - Dua beranak maut selepas kereta yang dinaiki mereka melanggar seekor lembu yang telah mati sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah kereta lain di Kilometer 86.4 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur dekat sini kira-kira pukul 6.30 pagi ini.

Dalam nahas tersebut, mangsa, Kamaruzzaman Bukhori, 51, dan anaknya, Ariff Zaquan, 15, meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa di bawa ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat. - UTUSAN ONLINE

Bot karam : Operasi cari mangsa terakhir diteruskan

Posted: 21 Jan 2014 10:41 PM PST

Oleh MD. AZRIN ROSLY

IGAN 22 Jan. - Operasi mencari mangsa terakhir yang dilaporkan hilang dalam tragedi bot panjang karam berdekatan Kampung Kut, Pulau Bruit, Daro di sini Sabtu lalu, diteruskan hari ini.

Timbalan Komander Operasi, Penguasa Bomba Dan Penyelamat Zon Tengah, Abdul Mutalib Rashid berkata, operasi mencari mangsa yang masih hilang, Mahdani Akim, 56, diteruskan semula mulai pukul 7 pagi ini.

"Operasi tetap diteruskan walaupun keadaan air bergelora dan hujan turun," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, katanya, setakat pukul 1 petang ini, mangsa belum ditemui. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Copa del Rey: Benzema bantu Real benam Espanyol 1-0

Posted: 21 Jan 2014 11:04 PM PST

BARCELONA 22 Jan. - Jaringan Karim Benzema pada separuh masa pertama membantu Real Madrid meraih kemenangan 1-0 ke atas Espanyol dalam perlawanan suku akhir pertama Copa del Rey, awal pagi tadi.

Pada perlawanan tersebut, Real dilihat lebih banyak menguasai babak pertama dengan penyerang, Cristiano Ronaldo cuba mendapatkan jaringan sebelum tandukan Benzema menghasilkan gol tunggal minit ke-25.

Perlawanan suku akhir kedua dijadual berlangsung pada minggu depan. - AP

Terengganu sasar julang Piala FA

Posted: 21 Jan 2014 11:03 PM PST

KUALA TERENGGANU 22 Jan. - Selepas berjaya melangkah ke separuh akhir Piala FA musim lepas, Terengganu meletakkan sasaran untuk merangkul piala itu musim ini.

"Tahun ini kami nak lebih daripada separuh akhir dalam usaha bawa balik piala seperti disasarkan oleh pihak pengurusan," kata pengendali pasukan Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim.

Terengganu mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas wakil Pahang, Shahzan Muda dalam perlawanan kalah mati di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Terengganu dijadual bertemu Selangor PKNS pada saingan seterusnya selepas pasukan PKNS membenam cabaran Johor Darul Tazim II dengan keputusan 3-2 di Stadium Lumut, Perak.

Abdul Rahman berkata, beliau masih kurang berpuas hati dengan anak didiknya kerana sepatutnya Terengganu mampu mencatat kemenangan lebih besar malam tadi sekiranya pemain lebih fokus.

"Fokus pemain kami malam tadi tidak begitu tajam menyebabkan banyak peluang yang diperoleh terbuang begitu sahaja," katanya. - Bernama

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Mursi berhadapan pertuduhan terbaharu

Posted: 21 Jan 2014 10:21 AM PST

KAHERAH 22 Jan. - Bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi bersama 35 yang lain akan dibicarakan pada 16 Februari depan atas kesalahan mengadakan kerjasama dengan pergerakan Hamas untuk mengintip, pertuduhan terbaharu yang dikenakan keatasnya selepas sebelum ini didapati bersalah kerana menghina badan kehakiman negara.

Menurut sumber, Mursi termasuk beberapa orang bekas pemimpin pergerakan Ikhwanul Muslimin dituduh melakukan kerjasama dengan Hamas dan pergerakan Islam melancarkan kempen `keganasan di dalam Mesir.

Agensi berita MENA melaporkan, mereka dituduh melakukan pengintipan bersama pergerakan Hamas dan sayap tentera untuk menentang kerajaan, Perlembagaan dan cuba menghasut para pekerja bagi menimbulkan huru-hara. - AFP

Susilo berjanji bantu mangsa dera di Hong Kong

Posted: 21 Jan 2014 10:20 AM PST

JAKARTA 22 Jan. - Presiden Susilo Bambang Yudhoyono melahirkan rasa bimbang dan marah terhadap penderaan yang dilakukan ke atas pembantu rumah Indonesia oleh majikan di Hong Kong baru-baru ini.

Dalam satu perbualan telefon bersama mangsa penderaan tersebut iaitu Erwiana Sulistyaningsih dan bapanya Rohmad Saputra, Susilo berjanji akan membantu mereka menghadapi masalah ini. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Liwat: Rayuan Anwar gugur Muhammad Shafee 28 Januari

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

PUTRAJAYA 21 Jan. - Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 Januari ini rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan buat kali kedua peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang itu.

Muhammad Shafee yang mengesahkan perkara itu kepada pemberita di Istana Kehakiman di sini hari ini memberitahu, notis mengenai tarikh pendengaran rayuan itu diterima beliau pada minggu lalu.

Anwar mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Disember tahun lalu yang menolak permohonan keduanya itu yang bersandarkan kepada akuan berkanun (SD) bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Aziah Ali sebulat suara memutuskan, permohonan tersebut langsung tidak mempunyai sebarang merit dan hanya bersandarkan kepada akuan berkanun Mat Zain yang bersifat dengar cakap (hearsay).

Hakim tersebut turut menyatakan, akuan berkanun terbabit merupakan satu perkara yang remeh dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan rayuan kes liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Selain itu, panel hakim tersebut menyatakan, terdapat kecacatan tersembunyi dalam akuan berkanun terbabit iaitu percanggahan identiti pembuat SD berkenaan iaitu nombor kad pengenalan dan alamat telah dipadamkan.

Cubaan kali kedua untuk menyingkirkan Muhammad Shafee dilakukan oleh Anwar setelah usaha kali pertamanya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 17 September 2013 dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 21 November tahun sama.

Permohonan pertama Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee adalah berdasarkan kelayakan pelantikan beliau dan atas alasan wujud percanggahan kepentingan kerana peguam terkenal itu dikatakan menjadi saksi penting dalam perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar.

Rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 12 dan 13 Februari ini.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berusia 66 tahun itu didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Zahid boleh buat bantahan

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini dibenarkan mengemukakan bantahan bagi membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Madhi Hasan dan seorang pengundi, Azmi Sulaiman.

Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim memutuskan demikian selepas berpendapat beberapa isu yang terkandung dalam bantahan awal Ahmad Zahid belum pernah didengar oleh Mahkamah Persekutuan.

Sehubungan itu, Mahkamah Pilihan Raya menetapkan esok untuk mendengar enam isu bantahan awal Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Terdahulu, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Ahmad Zahid berhujah, Mahkamah Pilihan Raya tidak lagi memiliki bidang kuasa untuk mendengar petisyen tersebut kerana permohonan itu yang difailkan pada 11 Jun tahun lalu, telah tamat tempoh pada 10 Disember tahun sama.

Ini kerana, menurut beliau, Seksyen 35A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan bahawa petisyen pilihan raya yang difailkan hendaklah diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Dua peniaga diambil tindakan

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

Oleh M. RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

TAN Siew Lin (kiri) menunjukkan tanda harga bagi tepung gandum Cap Kunci yang telah ditetapkan ketika melakukan Ops Harga 2.0 di Pasar Besar Jerantut, semalam.

JERANTUT 21 Jan. - Dua peniaga dikenakan tindakan undang-undang kerana melakukan kesalahan dalam Ops Harga 2.0 yang dijalankan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Daerah Jerantut.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Jerantut, Tan Siew Lin berkata, seorang peniaga dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal meletakkan tanda harga bagi barang jualan jenis rempah-ratus.

Menurutnya, seorang lagi dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menjual barangan kegunaan am iaitu tepung gandum Cap Kunci melebihi harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Kami dapati seorang peniaga menjual harga tepung gandum cap kunci melebihi harga iaitu RM1.50 berbanding yang ditetapkan iaitu RM1.35 satu kilogram.

"Kami akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada peniaga yang cuba menaikkan harga barangan jualan terutama barangan kawalan," katanya ketika mengadakan operasi di Pasar Besar Jerantut, di sini semalam.

Siew Lin berkata, peniaga perlu memaparkan tanda harga pada setiap barangan jualan serta menggunakan alat timbang yang sah sahaja.

"Sekarang ini banyak peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati mereka dan kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan," ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya mengalu-alukan laporan daripada orang ramai bagi membolehkan tindakan diambil terhadap peniaga yang sengaja melakukan kesalahan bagi mengaut keuntungan berlebihan.

Kenaikan sewa Pasar Besar Kuantan dikaji

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

SHAHIRUDDIN Ab. Moin mencuba alat penimbang ketika mengadakan Ops Harga 2.0 di Pasar Besar Kuantan, kelmarin. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 21 Jan. - Kerajaan negeri akan mengkaji semula kenaikan sewa premis di Pasar Besar Kuantan supaya tidak membebankan peniaga dan memberi kesan kepada pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, beliau akan cuba membawa perkara ini kepada pihak kerajaan negeri untuk ditangguhkan sementara waktu.

"Sebab melalui lawatan saya ke sini mendapati banyak rungutan daripada peniaga yang terbeban dengan kenaikan sewa ini," katanya dalam sidang akhbar selepas membuat pemeriksaan Ops Harga 2.0 di Pasar Besar Kuantan, di sini semalam.

Menurut beliau, walaupun kenaikan sewa tidak banyak, namun ada beberapa aspek perlu diambil kira kerana sebarang kenaikan yang dilaksanakan turut memberi kesan kepada pengguna.

"Namun, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) juga mempunyai perancangan. Ini kerana mungkin pasar ini dalam proses untuk baik pulih dan dinaik taraf kepada yang lebih baik," katanya.

Sementara itu katanya, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) akan mengadakan pemantauan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dekat Kemunting di sini selepas mendapat maklumat mengenai kes penipuan timbang.

"Mungkin kita akan buat pemeriksaan dari semasa ke semasa supaya tiada penipuan timbang berlaku. Kita ada dapat maklumat daripada peniaga yang tidak berpuas hati mengenai perkara ini," katanya.

Wasatiyyah pacu kemajuan negeri

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

KUALA LIPIS 21 Jan. Masyarakat Islam diminta mengamalkan sikap toleransi dan wasatiyyah untuk mencapai perpaduan sekali gus membantu kerajaan memacu pelbagai bidang pembangunan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, sikap serta amalan berkenaan antara tonggak penting yang boleh membawa negeri ini maju dalam bidang pembangunan selari dengan manifestasi kerajaan.

Katanya, masyarakat Islam di semua tempat harus menjadi peneraju utama dalam usaha ke arah penyatuan supaya menjadi ikutan bukan sahaja sesama ummah, bahkan kaum lain.

"Konsep wasatiyyah dan keutuhan perpaduan menjadi petunjuk mempertingkatkan nilai kualiti kebersamaan dalam sebuah negara majmuk yang menjadi pemangkin kepada kerjasama dan muhibah.

"Lagipun sikap kesederhanaan yang diamalkan Rasulullah SAW wajar diteladani dalam memastikan misi membina masyarakat Islam yang dinamik dan negara maju tercapai," katanya berucap dalam majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku di Masjid Pekan Padang Tengku, di sini kelmarin.

Sempena program itu, sebanyak tiga buah masjid iaitu Masjid Kampung Gua, Masjid Pekan Padang Tengku dan Masjid Kampung Berahmah melaksanakan pengisian ceramah agama, nasyid, tadarus al-Quran dan majlis kenduri.

Mustapa turut menyampaikan beg sekolah sumbangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) kepada 10 pelajar miskin di Padang Tengku dan kain kepada lima warga emas di Kampung Berahmah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


DAN 2014 menurunkan harga kereta

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

Oleh Fauzi Jaafar
pengarang@utusan.com.my

Dalam keadaan ekonomi sekarang, rakyat mahukan harga kereta direndahkan bagi mengurangkan kos sara hidup kerana kereta adalah satu keperluan. - Gambar hiasan

SEDIKIT lewat, tetapi faktanya adalah jelas iaitu menjadikan Malaysia hab sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

Dasar Automotif Negara (DAN) 2014 yang diumumkan semalam sebenarnya telah terlewat apabila sepatutnya diumumkan pada Disember 2013.

Dalam hal itu, kerajaan mengambil masa 18 bulan untuk melakukan kajian semula DAN dengan mengambil pandangan dan input daripada industri tempatan dan agensi-agensi kerajaan.

Sebenarnya DAN 2014 amat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh pemain industri, tetapi juga rakyat jelata yang hanya mahukan satu perkara iaitu adakah harga kenderaan akan turun ataupun tidak.

Dalam hal ini, kerajaan secara khususnya tidak mengumumkan penurunan harga kereta dalam DAN 2014 untuk tahun ini, tetapi secara konsistennya mengkaji kedudukan fiskal negara.

Ini ditegaskan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada pelancaran itu semalam.

Beliau yang diminta mengulas tentang penurunan duti eksais berkata: ''Buat masa ini tiada kemungkinan kerajaan melalui Kementerian Kewangan menurunkan duti eksais.''

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk kerajaan mengurangkan duti eksais dan pelbagai jenis cukai yang dikenakan kepada kereta jika terdapat sumber pendapatan lain yang boleh menggantikan hasil untuk cukai tersebut.

Ini bermakna kerajaan cenderung untuk mengurangkan cukai apabila keadaan fiskal mengizinkan. Dalam pada itu, kerajaan sudah memulakan usaha mengurangkan kadar duti eksais di bawah Program Rangkaian Industri (ILP).

Menerusi program itu, pengeluar bahagian kenderaan dari Malaysia dan negara- negara ASEAN dibenarkan memohon rebat cukai, sekali gus membantu mengurangkan harga jualan.

Di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rangka Kerja Pengurangan Harga Kereta (CPR) dimulakan pada 2013 yang menyebabkan beberapa syarikat pengeluar kereta termasuk pengeluar kereta tempatan mengurangkan harganya pada tahun lalu.

Langkah mengurangkan harga kenderaan itu sebenarnya terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum ke-13 lalu yang berjanji untuk mengurangkan harga kenderaan secara berperingkat-peringkat sebanyak 20 hingga 30 peratus menjelang 2017.

Dan proses mengurangkan harga itu dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Secara amnya, duti import adalah sehingga 30 peratus, manakala duti eksais antara 65 hingga 125 peratus.

Selain itu, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula April tahun depan dijangka membantu mengurangkan harga kenderaan di negara ini.

Mengikut kajian, GST akan membantu mengurangkan harga kereta kerana cukai jualan kenderaan ketika ini adalah 10 peratus, manakala GST hanya enam peratus.

Sektor automotif negara merupakan komponen penting dalam ekonomi apabila menyumbang sebanyak RM30 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2013 dan menghasilkan lebih kurang 550,000 pekerjaan.

Melihat kepada sudut ekonomi sebagai satu proses rantaian, sektor automotif banyak menghasilkan peluang dan ruang kepada pembangunan negara.

Bagaimanapun, satu kelainan dalam sektor automotif negara ialah imbangan perdagangan dalam sektor itu mencatatkan defisit ekoran lebih banyak kenderaan yang diimport berbanding eksport.

Sebagai contoh, pada tahun 2012, jumlah defisit adalah sebanyak RM16 bilion di mana jumlah import adalah RM21.7 bilion, manakala eksport pula sebanyak RM5.3 bilion.

Ini menunjukkan pengaliran wang keluar yang signifikan dan jika sesuatu tidak dilakukan, ini akan memberi kesan yang besar kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, DAN 2014 merupakan satu platform untuk membangunkan Malaysia sebagai pusat atau hab automotif serantau bagi kenderaan cekap tenaga (EEV)

Dengan menjadikan negara sebagai pusat serantau EEV, kerajaan akan menawarkan insentif yang menarik kepada pelabur asing untuk membuka kilang di Malaysia.

Walaupun ada yang skeptikal terhadap usaha kerajaan tersebut, namun dalam hal ini peluang dan masa perlu diberikan kepada kerajaan untuk menjayakan dan 2014 Malaysia mungkin sukar untuk mengatasi Detroit Timur iaitu Thailand yang merupakan pendahulu dari segi pengeluaran dan jualan kenderaan di ASEAN.

Thailand mencatatkan pengeluaran tertinggi sebanyak 2.45 juta buah kenderaan berbanding dengan negara-negara lain di ASEAN, dan jumlah itu agak jauh jika dibandingkan dengan Malaysia yang tidak mencecah 1 juta buah kenderaan.

Dengan memilih EEV, ini membolehkan Malaysia sekurang-kurangnya kembali memberi saingan dalam industri automotif kepada negara jiran itu dan juga mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi yang besar.

Umum mengetahui hab EEV tidak boleh direalisasikan semalaman, tetapi ini memaparkan dengan jelas visi dan misi kerajaan terhadap industri automotif negara.

Apabila imbangan perdagangan dalam sektor automotif mencatat lebihan, sudah tentu kerajaan sanggup untuk melonggarkan cukai yang dikenakan pada kereta.

Amat penting untuk tidak menafikan dalam keadaan ekonomi sekarang, rakyat mahukan harga kereta direndahkan bagi mengurangkan kos sara hidup.

Kereta pada awal 70-an dan awal 80-an boleh disifatkan sebagai barang mewah, tetapi kini menjadi satu keperluan yang penting.

Walaupun ramai yang mendesak supaya harga direndahkan, Tetapi, malangnya amat sedikit yang mengetahui bahawa industri automotif di Malaysia agak unik kerana terdapat dua syarikat pengeluar kereta dan sebuah motosikal tempatan.

Proton Holdings Bhd. (Proton), Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dan Modenas telah banyak memberi faedah kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan kenderaan mampu milik.

Ketiga-tiga syarikat itu telah menyumbang nilai yang besar kepada ekonomi dan juga rantaian industri automotif yang memerlukan kerajaan mengekalkan kepentingannya kepada negara serta rakyat.

Seperti yang ditegaskan, DAN 2014 merupakan satu dasar yang mencetuskan permulaan liberalisasi automotif dengan membuka pintu kepada pelabur luar,

Seperti kata Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad, dasar itu merupakan satu tanda ke arah liberalisasi pasaran untuk hab EEV ASEAN.

''Sebelum ini kerajaan seperti menutup pintu sektor automotif kepada pelabur luar, tetapi kini membuka seluas-luasnya mereka (pelabur luar),'' katanya.

Cuma tarikan DAN 2014 kini adalah kepada industri automotif berasaskan aliran teknologi automotif hijau yang kini ditekankan oleh ramai pihak bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Malaysia komited dalam mengurangkan kadar pelepasan karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2020.

Oleh itu, bagi menjayakan usaha murni tersebut, DAN 2014 dicetuskan sebagai inisiatif mentransformasi dan menghijaukan keseluruhan rantaian industri automotif.

Percayalah, DAN 2014 bukanlah untuk menurunkan harga kereta semata-mata tetapi ia satu pelan yang komprehensif untuk kepentingan rakyat Malaysia.

Lebih ramai pelabur luar ke Malaysia, ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang meningkatkan pendapatan per kapita dan mewujudkan kuasa beli yang mapan.

Apabila lebih banyak eksport dihasilkan, akan lebih banyak pengaliran masuk wang asing dan memberi lebih banyak pendapatan kerajaan yang boleh disalurkan semula dalam bentuk kemudahan untuk rakyat.

Biarlah mereka saja yang tanggung!

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

Oleh Fauziah Arof

BAGUSLAH pendatang asing yang masuk secara haram di negara ini tidak lagi akan ditanggung kos penghantaran pulang ke negara asal mereka apabila ditahan dalam Operasi 6P Bersepadu yang bermula di seluruh negara, kelmarin.

Tindakan ini memang amat wajar dan tepat sekali.

Sebabnya, jutaan ringgit yang kerajaan keluarkan untuk menanggung makan minum mereka di depot tahanan setiap tahun dan menghantar mereka pulang, tidak membawa apa-apa manfaat pun kepada rakyat di negara ini dan tidak juga banyak merubah suasana yang ada di Malaysia ini akibat kebanjiran warga asing di beberapa kawasan.

Malah mereka tetap keluar masuk secara haram dan banyak kawasan sudah jadi seperti tempat koloni-koloni khas mereka tinggal dan berniaga, terutamanya di Lembah Klang.

Mencari rezeki di Malaysia melalui pencerobohan, membentuk dan menguasai kawasan-kawasan tertentu dan terbabit dalam jenayah seperti bunuh, rompak, rogol, ragut, menganggu ketenteraman awam dan sebagainya, ini semua perbuatan yang menjejaskan dan membahayakan hidup rakyat tempatan. Soal keselamatan rakyat dan kedaulatan undang-undang negara sepatutnya tidak dikompromi.

Jadi, apabila pada kali ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa pihak majikan, pekerja atau pihak kedutaan negara masing-masing harus keluar duit untuk kos menghantar pulang PATI bila ditahan dalam Operasi 6P Bersepadu ini, ia bukan satu tindakan yang lepas tangan. Jauh sekali hendak dikait-kaitkan dengan melanggar hak asasi manusia.

Sudah sepatutnya, amalan menanggung kos penghantaran pulang mereka dihentikan terus. Apatah lagi, selama ini pun kerajaan menanggung semua kos makan minum dan perlindungan mereka di depot tahanan PATI.

Dalam kata yang lebih mudah, tak usah beri muka lagilah. Kalau cakap mahu bertegas, biarlah tindakan yang menunjukkan ketegasan itu.

Kerajaan pun sudah terlalu banyak memberi amaran dan ruang kepada mereka. Baik kepada majikan mahupun PATI.

Melalui program-program pengampunan dan pemutihan PATI sebelum ini mereka boleh pulang tanpa sebarang tindakan undang-undang yang dikenakan kepada mereka. Di bawah Program Khas Pengurusan PATI (PKPP), KDN telah memberi masa yang panjang untuk majikan mendaftarkan pekerja-pekerja asing mereka.

Tetapi itulah, apa program pun dilakukan, begitu ramai dalam kalangan mereka yang tidak mahu mengambil peluang ini. Kemasukan secara haram mereka tidak juga kurang. Ini membuktikan pendekatan berlembut, memang tidak sesuai dalam menangani isu ini dan hanya merugikan.

Apatah lagi ia tidak langsung menakutkan mereka. Ada yang hari ini dihantar pulang, bulan depan, sudah masuk semula ke Malaysia, berniaga dan bekerja seperti biasa, macam tiada apa-apa yang merisaukan mereka, asalkan mereka berada di Malaysia!

Segala kemudahan dan kebaikan yang dilakukan oleh Malaysia, kita tidak mahu ia diambil kesempatan bagi memudahkan pula mereka mencari pekerjaan di negara ini dengan masuk secara haram

Kos makanan di depot tahanan PATI di Semenanjung bagi setiap tahanan adalah RM5 manakala RM12 seorang bagi kawasan pedalaman Sarawak. Itu belum dimasukkan lagi kos menyelenggara 15 buah depot tahanan PATI di seluruh negara dan kos menghantar mereka pulang.

Mengapa setiap tahun kita perlu ada bajet khusus pula untuk menanggung mereka? Sedangkan mereka telah melanggar undang-undang negara. Rakyat kita sendiri apabila melanggar undang-undang ketika berada di negara luar mereka juga tidak terlepas daripada tindakan.

Dianggarkan seramai 420,000 PATI masih berada di seluruh negara selepas PKPP yang berakhir kelmarin, dan ini bermakna jutaan ringgit lagi diperlukan jika kerajaan mahu terus 'menyara' mereka. Jadi, apabila pihak majikan atau PATI sendiri harus keluar duit untuk pulang, itu adalah lebih baik dan adil kepada rakyat di negara ini.

Dengan wang yang begitu banyak dihabiskan kerajaan untuk mereka yang menceroboh masuk Malaysia ini adalah lebih baik ia disalurkan kepada perkara-perkara untuk membangunkan negara ini dan yang meringankan beban rakyat.

Dalam rakyat bising dengan kenaikan kos sara hidup dan menuntut agar kerajaan bertindak untuk meringankan beban mereka, memperuntukkan wang yang begitu banyak kepada penceroboh negara sudah tentulah tidak kena dan satu pembaziran.

Apatah lagi, masih ada rakyat negara ini yang hendak makan dengan kos RM5 hingga RM12 sehari pun susah, tetapi PATI senang-senang saja mendapat perlindungan, tidur, makan dan minum secara percuma setiap hari di depot tahanan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Kassim Masdor meninggal dunia akibat asma

Posted: 21 Jan 2014 08:43 AM PST

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Komposer veteran yang berkecimpung dalam industri muzik Singapura dan filem Melayu era Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Kassim Masdor meninggal dunia di Hospital Singapura akibat sakit asma malam ini.

Allahyarham yang berusia 76 tahun meninggal dunia kira-kira pukul 9.25 malam ini dan berita pemergian artis veteran itu disahkan rakan baiknya, Datuk Ahmad Nawab.

Menurut Ahmad, 81, Allahyarham Kassim dimasukkan ke hospital kira-kira empat hari lalu akibat menghidap asma.

Sepatutnya Allahyarham datang ke Malaysia pada 10 Januari lalu untuk menonton konsert Salamiah Hassan, namun dia tiba-tiba sakit sehingga perlu dimasukkan ke hospital.

Hari ini, hati saya terdetik untuk menghubunginya untuk mengetahui keadaan kesihatannya tetapi tidak berjawab.

Mujurlah saya ada seorang rakan di Singapura dan kira-kira pukul 10.15 malam ini dia menghubungi saya sambil menangis memberitahu Kassim sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di Blok 512 Choa Chu Kang St. 15 #04-258, Yew Tee North 5 dan akan dikebumikan sebelum solat Zuhur, esok. - UTUSAN ONLINE

'Gerak Khas' musim baharu tarik 1.5 juta penonton

Posted: 21 Jan 2014 04:03 AM PST

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Drama bersiri kepolisan 'Gerak Khas' musim baharu yang akan mula ditayangkan bulan depan dijangka mampu menarik 1.5 juta penonton.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata,

dengan idea dan jalan cerita yang menarik serta barisan pelakon berbakat, drama

itu dijangka dapat mengatasi kadar tontonan yang dicatat sejak siri itu mula

diperkenalkan pada 1999.

"Sebelum ini, drama ini berjaya mengekalkan kadar tontonan tertinggi melebihi 1.2 juta penonton untuk tempoh 12 tahun sejak ia mula disiarkan di RTM pada 4 Mei 1999," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Gerak Khas musim baharu itu di Ibu pejabat polis Bukit Aman di sini hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan majlis pelancaran drama bersiri itu yang turut disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dan Pengarah Urusan Skop Production, Datuk Yusof Haslam.

Drama 'Gerak Khas' musim baharu terbitan Skop Production itu akan mula

ditayangkan pada 14 Februari setiap Jumaat, pukul 9 malam di TV2, RTM. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Delusi yang membahayakan

Posted: 21 Jan 2014 06:06 AM PST

TRAGEDI pembunuhan yang dilakukan dalam kalangan ahli keluarga sendiri biasanya membabitkan individu yang mengalamai psikosis - Gambar Hiasan

Kes 1: 5 Januari 2010 seorang pemuda, Rasidi Ismail dituduh membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; datuk, Atan Daud, 87; dan nenek, Sufiah Katas, 80, dan adiknya, Siti Khadijah Kampung Batang Rokan, Gemencheh.

Begitupun pada September tahun yang sama mahkamah dibebaskan daripada pertuduhan membunuh setelah didapati tidak waras semasa melakukan perbuatan tersebut. Hasil pemeriksaan hospital selama dua bulan mendapati tertuduh disahkan menghidap penyakit jiwa akibat mengalami delusi dan halusinasi sejak beberapa tahun sebelum itu.

KES 2: 15 September 2013, Lans Koperal Fadzly Omar, 29, dipercayai menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum menembak diri sendiri dalam satu kejadian tragis, menggunakan sepucuk pistol jenis Revolver .38 untuk menembak mangsa, di Felda Chempelak, Johor.

Suspek merupakan seorang anggota polis yang berdedikasi dalam melaksanakan tugasnya dan tidak pernah mempunyai rekod disiplin sepanjang tujuh tahun berkhidmat dalam pasukan itu.

KES 3: 6 Januari, Hasrat sepasang suami isteri untuk menyelesaikan masalah rumah tangga mereka di sebuah hotel di sini bertukar tragedi apabila kedua-duanya menemui ajal dalam keadaan mengerikan di Klang, Selangor.

Norazlina Mohamed Saaid, 49, ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di kepala dan kelaran di leher dipercayai dilakukan oleh suaminya, Ghazalee Ahmad, 58.

Ghazalee yang merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas dipercayai mengelar lehernya sendiri.

Menjadi persoalan

Ketiga-tiga contoh kes tersebut merupakan antara kejadian yang sesungguhnya tidak diingini berlaku membabitkan ahli keluarga yang sudah tentu pernah hidup bersama dan saling menyayangi.

Malah dalam dalam kes pensyarah tersebut contohnya, ahli keluarga dan rakan terdekat mengakui suspek seorang yang baik hati, lemah lembut dan pandai menghormati orang tua.

Persoalannya, bagaimana individu yang dilihat normal, menjalani kehidupan seperti biasa boleh bertindak di luar kawalan dan batasan kewarasan seorang manusia?

MEGA cuba mendapatkan penjelasan daripada pakar perunding psikiatri dari Pusat Perubatan Sunway, Dr. Khoo Yee Laim tentang gangguan mental yang dikategorikan di bawah psikosis (psychosis).

Menurut Dr. Yee Laim, psikosis adalah istilah perubatan yang digunakan untuk menggambarkan tanda-tanda masalah kesihatan mental tertentu.

Individu yang mengalami psikosis sukar untuk membezakan kepercayaan antara benar dan tidak benar.

Sistem pemikiran mereka terjejas dan lebih membahayakan ia membawa kepada satu penghakiman atau pertimbangan yang salah.

"Psikosis terbahagi kepada dua iaitu delusi atau khayalan dan halusinasi. Delusi ialah apabila pesakit percaya sesuatu yang tidak benar. Sebagai contoh, dalam kes cemburu dalam kalangan suami isteri, si suami percaya bahawa isteri mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

"Kerana kepercayaan yang salah itu juga, suami berubah tingkah laku dengan kerap memeriksa telefon tangan isteri dan yakin isteri mempunyai skandal walau telah dibuktikan isteri tidak melakukan segala perkara yang suami fikirkan tersebut.

"Kebanyakan orang dengan psikosis mempunyai gabungan halusinasi dan delusi. Ini boleh menyebabkan perubahan dan perubahan dalam tingkah laku, emosi, pemikiran dan kepercayaan.

"Manakala halusinasi pula, apabila individu itu mula mendengar bisikan suara, melihat atau terbau perkara-perkara yang sebenarnya tidak wujud di alam realiti. Mendengar suara dalam kepala sendiri adalah satu ciri yang sering dialami individu berhalusinasi," katanya yang ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Tambah Dr. Yee Laim, individu yang mengalami delusi juga percaya bahawa seseorang itu merancang untuk mencederakan atau membunuh mereka.

Pernah dalam satu kes yang dihadapi Dr. Yee Laim, ada suami yang tidak mahu memakan masakan isterinya kerana yakin isteri meracuni dirinya menerusi masakan tersebut.

"Individu yang mempunyai penyakit mental ini kalau dilakukan pemeriksaan imbasan pada bahagian otaknya memang tidak akan menemui apa-apa kelainan. Keadaan fizikal otak mereka memang sama dengan individu normal lain.

"Apa yang berubah ialah kandungan kimia yang dinamakan dopamin yang menjadi terlalu tinggi. Itu yang menyebabkan mereka mengalami delusi serta halusinasi.

"Halusinasi dalam kes suami cemburu kepada isteri akan sering terdengar bisikan suara memberitahu bahawa isteri curang terhadap diri mereka," jelasnya.

Diagnosis

Dr. Yee Laimberkata, jika ahli keluarga mula perasan perubahan pada cara pemikiran dan tingkah laku ahli keluarga mereka segeralah bawa mereka berjumpa dengan doktor pakar.

Melalui diagnosis, pakar boleh diketahui masalah yang dialami individu terbabit.

"Pesakit akan diperhatikan menerusi tingkah laku dan tutur kata serta pergerakan tubuh mereka. Kalau serius, daripada perbualan sahaja kita sudah boleh tentukan apa yang mereka alami.

"Contohnya, kepercayaan mereka yang tidak logik dan mulut mereka terkumat-kamit mengatakan sesuatu yang tidak jelas pada pendengaran kita. Memang ada juga yang tidak mahu bercerita, jadi kerjasama daripada ahli keluarga memang amat diperlukan.

"Diagnosis memang akan dilakukan secara terperinci untuk memastikan rawatan yang tepat. Kalau dibiarkan memang boleh membahayakan dan perlu diingatkan jika pesakit dapat rawatan awal dia boleh menjalani kehidupan seperti individu normal lain," ujarnya.

Menurut Dr. Yee Laim, antara sebab lain yang membolehkan individu menjadi psikosis ialah apabila mereka menyalahguna dadah, mengambil ganja dan alkohol yang berlebihan.

"Rawatan memang berbeza mengikut penyakit. Selepas diagnosis barulah pakar akan mengenalpasti jenis penyakit psikosis seperti bipolar disorder, kemurungan atau skizofrenia.

"Ubat-ubatan anti psikotik akan diberikan untuk menurunkan dopamin secepat mungkin.

"Ubat-ubatan yang ada kini memang dicipta tanpa kesan sampingan dan ia juga cepat bertindak seawal satu minggu. Selepas mengambil ubat, halusinasi akan beransur hilang dan kemudian delusi dan individu boleh bekerja dan menjalani kehidupan seperti orang lain.

"Masyarakat sering menyalah anggap bahawa ubat perlu dimakan untuk tempoh yang lama namun sebenarnya tidak. Ada yang hanya mengambil ubat selama enam bulan sahaja.

"Apa yang saya harapkan ialah masyarakat mengubah stigma pada pesakit mental kerana apabila mereka mendapatkan rawatan mereka boleh hidup dan bekerja seperti biasa.

"Memang kebanyakan orang yang bermasalah tidak mahu mendapatkan pertolongan sebab malu. Majikan juga sepatutnya beri sokongan dan memastikan kesihatan mental para pekerja berada di tahap optimum," ujarnya. - NOOR FAZRINA KAMAL

Berhenti kerja kerana kucing

Posted: 21 Jan 2014 06:06 AM PST

Oleh ROSMAH DAIN
Gambar Azlan Hadi Abu Bakar

Rashid Said menyayangi setiap kucing peliharaannya.

KEBAJIKAN bukan terhad kepada manusia sahaja, sebaliknya memastikan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini mendapat kebajikan juga merupakan satu usaha yang sangat murni.

Rashid Said, 43, tidak pernah menyesal meninggalkan pekerjaan tetapnya sebagai seorang ahli perbankan di ibu kota sejak 20 tahun lalu, semata-mata untuk menubuhkan sebuah penginapan bagi kucing-kucing yang ditinggalkan tuannya ketika bekerja ke luar daerah atau melancong.

Arriz Cats Inn yang diwujudkan sejak empat bulan lalu dan terletak di Taman Dagang, Ampang, Selangor, menurut Rashid bukanlah satu perniagaan yang mementingkan keuntungan semata-mata.

Tujuan asal yang lebih penting adalah untuk menyediakan ruang istirehat yang sempurna bagi kucing-kucing sementara ketiadaan tuannya.

Berpandukan bayaran hanya sekitar RM20 hingga RM30 sehari, Rashid akan memastikan kucing-kucing berkenaan dijaga dengan sempurna mengikut keperluan haiwan berkenaan dan juga permintaan daripada tuan-tuan kucing.

Begitupun, dia mengingatkan hotel penginapan kucing itu bukanlah satu tempat untuk orang ramai bakal 'membuang' atau meninggalkan kucing-kucing yang mereka tidak mahu membelanya lagi.

Suasana bahagian dalam Arriz Cats Inn yang bersih dan teratur.

Menurut Rashid, kebanyakan rumah penginapan bagi kucing menyediakan sangkar yang rendah, kecil dan bertingkat yang memberikan rasa kurang selesa kepada kucing yang lama terkurung.

Berbeza di Arriz Cats Inn, dia memastikan sangkar yang diperbuat mengikut klasifikasi rekaannya iaitu 3 kaki tinggi, 3 kaki lebar dan 3 kaki panjang dengan setiap satunya dipisahkan oleh dinding-dinding kaca bagi mengelakkan jangkitan kutu dan hama antara haiwan-haiwan berkenaan.

Bukan itu sahaja, kucing-kucing berkenaan turut dibekalkan bersama barang-barang yang diperlukan termasuk tempat makan dan tempat bermain, di dalam sistem pengudaraan yang terbaik.

Apabila ditanya sejarah bilakah dia benar-benar teruja menubuhkan sebuah rumah bertaraf hotel untuk kucing itu, dia menjelaskan semua itu bermula apabila dia terjumpa seekor kucing yang kebasahan di tepi rumahnya.

Atas dasar belas kasihan dia menjaga kucing itu dengan penuh kasih sayang sehinggalah pada satu masa dia mempunyai sembilan ekor kucing.

"Apabila Boboi (nama bagi kucing yang dijumpainya itu) mati, saya cuba mencari keselesaan bagi kucing-kucing peliharaan saya yang lain ketika mereka perlu ditinggalkan apabila saya bekerja ke luar daerah.

"Malangnya kebanyakan kedai atau tempat penginapan kucing yang saya pergi tidak menyediakan ruang yang selesa.

"Justeru saya nekad untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan penginapan kucing ini demi menjaga kebajikan kucing-kucing yang bakal ditinggalkan oleh tuannya. Saya juga berasa puas dapat menjaga sendiri kucing-kucing ini.

"Arriz Cats Inn juga bukan tempat untuk menjual kucing tetapi sekiranya ada yang mahu menjadi 'keluarga angkat' pada haiwan berkenaan mereka amat dialu-alukan," kata Rashid yang sanggup berhabis mengeluarkan modal sendiri bagi membina Arriz Cats Inn.

Jelas Rashid, selain daripada itu tujuannya membuka rumah penginapan itu juga adalah untuk mengubah persepsi orang ramai agar menjaga kucing mereka dengan baik terutama apabila ketiadaan mereka.

Biarpun tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang penjagaan kucing, Rashid sentiasa berusaha mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada doktor-doktor veterinar dan Jabatan Vaterinar Wilayah Persekutuan dan Selangor berkenaan penjagaan haiwan yang menjadi kesayangannya.

Setiap hari, Rashid akan ke Arriz Cats Inn bagi kerja-kerja pembersihan, memandikan kucing, makan dan sebagainya dan kerja-kerja itu dilakukan sehingga ke malam.

Sebanyak 80 ekor kucing boleh ditempatkan di Arriz Cats Inn pada satu-satu masa.

Sekiranya kucing di bawah penjagaannya sakit dia akan membawanya ke klinik haiwan.

Dalam pada itu Rashid turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuang kucing-kucing mereka sewenang-wenangnya.

"Anda kata anda suka dengan kucing itu, tetapi sampai satu masa anda membuangnya di kawasan tertentu. Jangan anda harap bahawa kucing-kucing itu tahu mencari makan sendiri apabila diletakkan di kawasan pasar atau sebagainya, kerana kebanyakan kucing yang telah dipelihara tidak boleh berdikari sendiri atau memakan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran.

"Sekiranya anda tidak mahu kucing itu terlalu membiak dan anda tidak mampu menjaganya, haiwan itu boleh dikasi agar tidak terlalu berkembang.

"Kita juga sepatutnya tidak membeza-bezakan antara semua jenis kucing sama ada baka kucing tempatan atau kucing Parsi atau sebagainya," jelas anak bongsu daripada tujuh orang adik-beradik berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu.

Apa yang menariknya, dalam ketujuh-tujuh adik-beradiknya, hanya dia seorang sahaja yang suka dengan kucing.

Malah sejak membuka rumah penginapan berkenaan, dia akan memastikan tidak akan berada lama di mana-mana tempat kerana khuatir dengan keadaan kucing-kucing yang dijaganya.

Rashid yang membahasakan dirinya daddy atau papa terhadap kucing-kucing yang dijaganya juga memberi tip kepada orang ramai sekiranya mereka didatangi kucing jalanan ketika berada di luar sedang makan atau di mana-mana sahaja.

"Itu menandakan individu berkenaan mempunyai bau yang tajam bagi deria kucing yang mengenal pasti anda merupakan seorang pecinta haiwan itu.

"Ini kerana sekiranya anda mengusap bulu-bulu kucing terdahulu, baunya akan berada bersama anda dan bau ini yang akan dihidu oleh kucing-kucing lain dan datang ke arah anda," katanya.

Bagi yang mahu bertanya lebih lanjut mengenai Arriz Cats Inn, boleh lawati facebook Arriz Cats Inn.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Naik taraf 'Tambak' Pontian

Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST

Saudara pengarang,
PUAN SAADIAH
Pontian Kecil,
Pontian

Pesisiran pantai perlu dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan seperti pemasangan lampu, tempat istirehat dan laluan berjogging bagi keselesaan pengunjung di Pusat Perdagangan Pontian, Pontian.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju projek Pusat Perdagangan Pontian perlu menaik taraf kemudahan di kawasan pesisiran pantai bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.

Apa yang dimaksudkan adalah dengan memasang lampu limpah dan menyediakan tempat rehat di kawasan tersebut bagi memudahkan orang ramai berehat bersama keluarga terutama pada hujung minggu.

Walaupun ada beberapa wakaf atau pondok rehat di kawasan tersebut, kemudahan ini masih perlu ditambah memandangkan ramai pengunjung menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat berkelah bersama ahli keluarga.

Sekiranya usaha menambah kemudahan dapat ditingkatkan, ini akan menjadikan pesisiran pantai di Pusat Perdagangan Pontian menjadi satu lokasi yang menarik serta menjadi tumpuan lebih ramai pengunjung.

Oleh yang demikian, penduduk bandar Pontian berharap pihak yang berkenaan memberikan tumpuan kepada bagi menambah baik kemudahan sedia ada seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Bagi penduduk Pontian, Pusat Perdagangan Pontian atau lebih dikenali sebagai 'Tambak' boleh disifatkan sebagai 'Danga Bay' yang menjadi tumpuan ramai terutama pada waktu malam dengan pelbagai kegiatan perniagaan yang dijalankan di kawasan berkenaan.

Kawasan pesisiran pantai di kawasan itu juga menjadi lokasi tumpuan bagi aktiviti berjoging pada waktu pagi dan petang, dan saya cadangkan laluan yang sesuai seperti mana terdapat di Stadium Mini Pontian turut dibina di kawasan tersebut.

Di samping itu, PBT dan pemaju juga boleh mengadakan perbincangan bagi menyediakan tapak perniagaan khusus bagi mereka yang menggunakan kenderaan seperti van supaya lebih teratur dan tersusun.

Jangan pentingkan diri guna parkir OKU

Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST

Saudara pengarang,
ERMAN HARDY
Bandar Dato' Onn
Johor Bahru

Tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab meletakkan kenderaan di kawasan parkir OKU di sebuah restoran makanan segera di Setia Tropika, Johor Bahru, baru-baru ini.

SAYA ingin melahirkan kekesalan dengan tindakan segelintir masyarakat negara ini yang seolah-olah tidak prihatin terhadap golongan orang kurang upaya (OKU).

Perkara yang sering kita nampak adalah kemudahan tempat meletak kenderaan bagi golongan itu sama ada di pusat beli-belah, bangunan kerajaan mahu pun swasta.

Ini kerana sikap mementingkan diri sendiri segelintir daripada kita yang gemar meletakkan kenderaan di kawasan letak kereta khas OKU seolah-olah menidakkan hak golongan tersebut.

Memanglah bukan setiap masa tempat letak kereta bagi golongan itu digunakan, namun itu tidak perlu dijadikan alasan untuk kita untuk meletakkan kenderaan sesuka hati di kawasan berkenaan.

Bayangkan sekiranya kita yang sihat ini meletakkan kenderaan di kawasan berkenaan dan tiba-tiba datang mereka yang OKU, sudah pastinya ini akan menyukarkan mereka kerana terpaksa meletakkan kenderaan di kawasan lain.

Kawasan letak kereta biasa dan golongan OKU ini sudah pastinya sedikit berbeza kerana ruang untuk golongan tersebut lebih luas dan selesa bagi memudahkan mereka untuk keluar dan masuk daripada kenderaan.

Saya berpendapat andainya kita membawa ibu bapa yang sudah uzur dan menggunakan kerusi roda, ini tidak menjadi kesalahan untuk menggunakan kemudahan tersebut.

Sebaliknya, sekiranya kita masih sihat janganlah kita hanya mementingkan diri sendiri semata-mata hanya kerana malas untuk meletakkan kenderaan di kawasan yang sedikit jauh.

Justeru, perkara ini meskipun nampak remeh tetapi perlu diberi perhatian sewajarnya untuk semua pihak agar kebajikan dan hak golongan OKU ini tidak diketepikan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Koleksi mewah Jimmy Choo

Posted: 19 Jan 2014 06:27 AM PST

Kasut tumit tinggi serlah gaya pemakai.

SIAPAKAH yang paling popular dan sentiasa kelihatan melangkah ke majlis karpet merah bertaraf antarabangsa dengan memakai jenama kasut ini? Selebriti tempatan hingga antarabangsa seperti Teri Hatcher, Jennifer Lopez dan Jodie Foster, Penelope Cruz, Zhang Ziyi, antara selebriti yang gemar menyarung kasut ini.

Siapa lagi kalau bukan jenama Jimmy Choo yang menjadi kegilaan ramai penggemar kasut.

Jenama ini menghasilkan rekaan kasut yang chic, elegan, atau yang sofistikated tanpa mengorbankan kualiti dan keselesaan.

Jimmy Choo menyajikan aneka koleksi daripada kasut tumit tinggi, platform sehingga ke kasut but dengan warna dan perincian yang kelihatan mewah.

Begitu juga ada karakter tersendiri dan acuan trend tertentu yang dibanggakan oleh pereka seperti yang tergambar dalam koleksi tersebut.

Contohnya, kasut atau beg tangan bukan sekadar aksesori tetapi berperanan sebagai daya penarik dan syarat mutlak dalam setiap penampilan.

Apa yang pasti koleksi tersebut mempertontonkan keindahan kaki wanita.

Koleksi seimbang maskulin, feminin

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

KOLEKSI ini disempurnakan dengan beg tangan tote dan kasut yang menarik.

MENCARI keseimbangan antara maskulin dan feminin bukanlah sesuatu yang mudah. Elemen ini dapat dilihat dalam koleksi musim bunga Charles & Keith 2014 yang menggabungkan elemen lelaki dan wanita kontemporari dalam potongan serta coraknya.

Keberanian ini diserlahkan lagi dalam koleksi ini yang disempurnakan dalam pakaian yang ringkas, namun mempunyai unsur dramatik. Ia disesuaikan dengan pelbagai unsur alam lain menggunakan warna-warna cerah dan warna tanah.

Koleksi ini juga disempurnakan dengan beg tangan tote dan kasut yang menarik.

Lambang kesempurnaan Charles & Keith diterjemahkan koleksi kasut Charles & Keith yang kebanyakkannya menggunakan warna hitam dan putih ditambah dengan warna perak berkilat.

Bagi menyerlahkan elemen kewanitaan, renda ditambah dan kilauan perak menjadikan kasut anda satu gaya yang tidak boleh dilupakan.

Boleh dikatakan koleksi kali ini sungguh semula jadi dengan stail yang dikatakan ringkas, namun dapat memberi sepenuh keyakinan kepada si pemakai.

Bukan sekadar itu, Charles & Keith turut menzahirkan beberapa aksesori pelbagai fungsi dalam warna yang berbeza seperti merah jambu, fuchsia, biru dan merah.

Ia umpama tarikan kepada si peminat koleksi ini yang nyata boleh digayakan oleh mereka yang mempunyai jiwa yang bebas dan sukakan sesuatu yang ringkas.

Untuk mendapatkan koleksi terbaru ini, bolehlah berkunjung ke butik Charles & Keith yang terdapat di seluruh Malaysia.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


59 Orang Asli ceburi kraf tangan

Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST

Oleh AMRAN MULUP
utusanN9@utusan.com.my

Sebahagian suri rumah Orang Asli menghasilkan kraf tangan daripada bahan-bahan buangan ketika menyertai Program Berkelompok Azam Kerja Wanita Masyarakat Orang Asli Melaka 2013 Dalam Bidang Kraftangan di Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 20 Jan. - Meskipun masyarakat Orang Asli di negara ini merupakan kumpulan minoriti, namun mereka tidak pernah tercicir atau diketepikan dalam apa-apa juga program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Kumpulan tersebut semakin mendapat hak dan keistimewaan untuk mengecapi pelbagai kemajuan yang dikecapi negara bermula sejak Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) iaitu pembangunan fizikal masyarakat Orang Asli diberikan tumpuan penuh untuk memajukan mereka.

Melihat pembangunan yang dikecapi masyarakat Orang Asli sehingga kini, tidak keterlaluan dikatakan bahawa ia adalah hasil pembangunan tersusun dan terancang kerajaan terutama di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Dalam pelbagai arus pembangunan yang dinikmati oleh masyarakat tersebut, mereka juga tidak tercicir daripada program untuk menjadikan mereka sebagai usahawan kecil-kecilan bagi tujuan menambah sumber pendapatan mereka.

Baru-baru ini, Kementerian Sumber Manusia melalui Akademi Pelancongan Melaka (APM) menganjurkan Program Berkelompok Azam Kerja Wanita Masyarakat Orang Asli Melaka 2013 Dalam Bidang Kraftangan.

Program itu memberi fokus kepada wanita masyarakat Orang Asli di negeri ini melibatkan diri dalam pembuatan kraf tangan mengikut kesesuaian dan keperluan mereka.

Tumpuan program membina kumpulan ini dalam bidang pembuatan, pengurusan keperluan barangan, pengurusan pemasaran, pengurusan perakaunan dan keusahawanan.

Seramai 59 peserta telah menyertai program tersebut dalam usaha membantu wanita Orang Asli menambah pendapatan sampingan melalui ilmu pengetahuan dalam bidang kraf tangan dan turut membantu mereka mempromosikan produk di pasaran tempatan.

Selama tiga minggu, wanita Orang Asli dari Kampung Lubuk Bandung dan Kampung Bukit Payung, Jasin menjalani latihan di bawah lapan tenaga pengajar yang terdiri daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Kraftangan Malaysia Melaka dan pihak swasta yang berpengalaman dalam bidang tersebut.

Uniknya, program Azam Kerja yang dianjurkan itu adalah menghasilkan produk kraf tangan daripada bahan buangan.

Mereka didedahkan dengan kreativiti menggunakan bahan-bahan terpakai seperti botol minuman plastik, kotak, akhbar, plastik, botol, kertas dan sebagainya untuk dimanfaatkan menjadi hasil kraf tangan yang menguntungkan.

Melalui bahan-bahan buangan itu, mereka dapat menghasilkan bakul, raga, bunga tiruan, seni hiasan dinding, pasu bunga, bekas kotak pensil, bakul, lampu hiasan dalaman, pasu berlampu serta bekas telur yang mampu memberi pulangan lumayan.

Yang jelas, sepanjang tiga minggu mereka dilatih oleh tenaga pengajar profesional dalam bidang kraf tangan, peserta terbabit tidak menyangka bahan-bahan buangan boleh dijadikan sebagai kraf tangan yang dapat menghasilkan pendapatan lumayan.

Rata-rata mereka menjalani latihan menghasilkan kraf tangan jelas teruja apabila dapat menghasilkan pelbagai produk kraf daripada bahan buangan yang selama ini tidak terlintas difikiran mereka.

Dalam tempoh tersebut, semua 59 peserta wanita Orang Asli sudah mampu menghasilkan pelbagai produk kraf menggunakan bahan buangan untuk menambah pendapatan harian mereka.

Tidak dinafikan hasil kerja tangan kumpulan peserta itu, mereka mampu menghasilkan kraf tangan bermutu tinggi untuk dipasarkan.

Sementara itu, Tok Batin, San Pat berkata, beliau tidak menyangka bahan-bahan buangan boleh menghasilkan produk berkualiti, menarik dan boleh memberi pendapatan sampingan.

"Mulanya saya terpinga-pinga bagaimana bahan-bahan buangan ini boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan.

"Apabila saya melihat sendiri wanita kita menjalani latihan pembuatan kraf tangan dan dapat menghasilkan bakul, pasu berlampu, bekas telur dan sebagainya, ini benar-benar mengujakan," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sumber Manusia melalui program Azam Kerja kerana memilih dua kampung masyarakat Orang Asli untuk didedahkan dengan bidang kraf tangan.

"Saya yakin wanita Orang Asli tidak lagi hanya duduk di rumah, sebaliknya mereka boleh mencari pendapatan sampingan melalui barangan buangan," katanya.

Majlis penutup Program Berkelompok Azam Kerja Wanita Masyarakat Orang Asli Melaka 2013 Dalam Bidang Kraftangan telah diadakan di Kampung Lubuk Bandung, Jasin pada 12 Januari lalu.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Sumber Manusia, Datuk Mohd. Sharif Hussien dan Pengurus APM, Salman Salim.

Program Azam Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia merupakan usaha kerajaan menghapuskan miskin tegar dengan membantu golongan tersebut menambah pendapatan.

Golongan miskin tegar yang dibantu melalui program tersebut adalah mereka yang berdaftar dengan sistem e-Kasih dan sepanjang tahun lalu peruntukan tersebut, sebanyak RM32.5 juta untuk Semenanjung, Sabah (RM10.8 juta) dan Sarawak (RM11 juta).

Melaka juga tidak ketinggalan turut diberikan peruntukan tersebut dalam membantu golongan sasar termasuk masyarakat Orang Asli menjana pendapatan keluarga.

Sementara itu, majlis perasmian penutup program tersebut di Kampung Lubuk Bandung berlangsung penuh meriah apabila Hasan dan Mohd. Sharif serta pengunjung dari luar diraikan seperti kehidupan masyarakat Orang Asli.

Mereka memakai pakaian masyarakat itu selain turut berpeluang menyumpit dan menikmati hidangan makanan masyarakat tersebut.

RM27 juta laksana program Azam Kerja 2014

Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST

MELAKA 20 Jan. - Sebanyak RM27 juta diperuntukkan oleh Kementerian Sumber Manusia bagi melaksanakan program Azam Kerja untuk membantu golongan kurang berkemampuan keluar daripada garis kemiskinan di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), kementerian itu, Datuk Mohd. Sharif Hussien berkata, program yang diatur meliputi pelbagai bidang kerja yang dapat membantu golongan terbabit tidak lagi duduk di bawah garis kemiskinan.

Menurutnya, seperti tahun-tahun sebelum ini, golongan sasar ialah mereka yang mendaftar dengan sistem e-Kasih terdiri daripada miskin tegar, ibu tunggal, bekas penagih dadah dan banduan yang telah pulih termasuk masyarakat Orang Asli.

"Melalui program ini, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia menyasarkan sifar keluarga miskin di seluruh negara dapat dicapai tahun ini.

"Masyarakat Orang Asli juga tidak ketinggalan untuk kita serapkan melalui program ini agar mereka juga tidak ketinggalan untuk membantu kumpulan ini keluar dari garis kemiskinan," katanya dalam majlis penutup Program Berkelompok Azam Kerja Wanita Masyarakat Orang Asli Melaka 2013 Dalam Bidang Kraftangan di Kampung Lubuk Bandung, Jasin, baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman.

Program tersebut mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Melaka dan Akademi Pelancongan Melaka (APM) selaku penyelaras program selama tiga minggu itu.

Mohd. Sharif berkata, beliau melahirkan rasa gembira atas sambutan menggalakkan program Azam Kerja dengan masyarakat wanita Orang Asli Melaka dalam bidang kraf tangan.

Menurutnya, usaha kementerian melatih seramai 59 peserta dari dua kampung iaitu Lubuk Bandung dan Kampung Bukit Payung dalam bidang kraf tangan menggunakan bahan terbuang menepati sasaran.

"Saya lihat program ini menepati sasaran apabila sebahagian besar peserta dalam tempoh tiga minggu menjalani latihan di bawah tenaga pengajar yang mahir dalam bidang kraf tangan telah dapat menjadikan bidang itu sebagai sumber pendapatan sampingan," katanya.

Justeru, katanya, pihak kementerian akan terus membantu masyarakat wanita Orang Asli dalam memantau aktiviti pembuatan kraf tangan dan membantu memasarkan produk yang mereka hasilkan.

Elak budaya tamadun terhakis

Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Mohamad Hasan membuat lukisan kaligrafi dalam majlis Perasmian Pertandingan Kaligrafi Cina sempena Tahun Baharu Cina di Seremban, semalam.

SEREMBAN 20 Jan. - Budaya ketamadunan dalam sesebuah masyarakat berbilang kaum di negara ini tidak seharusnya tenggelam dalam arus pemodenan sebaliknya perlu dibawa selari peredaran semasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, apa yang berlaku hari ini cukup membimbangkan apabila budaya ketamadunan itu sedikit demi sedikit terhakis.

Menurut beliau, apabila sesuatu perkara dilakukan tanpa difahami, ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

"Kita risau sejak kebelakangan ini disebabkan tidak didokong oleh budaya, terdapat segelintir pihak bertindak liar dan luar daripada kewarasan dan melanggar tata susila kerana mereka ini tidak faham budaya itu sendiri.

"Apabila mereka bertindak sedemikian, ini akan menyakiti hati masyarakat lain dan amat berbahaya sama sekali. Apabila tindakan ini berterusan, saya bimbang akan mencetuskan huru-hara dalam kalangan masyarakat," katanya.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Pertandingan Kaligrafi Cina sempena Tahun Baharu Cina di Sekolah Tinggi Chung Hua, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Kalsom Khalid.

Justeru, katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua pemimpin segenap lapisan masyarakat untuk terus memperkukuh dan mengekalkan budaya masyarakat masing-masing agar bukan sahaja dapat dilihat secara mendalam malah difahami oleh oleh rakyat di negara ini.

Malah pihak sekolah digesa supaya memperbanyakkan aktiviti kebudayaan dalam usaha membentuk generasi muda yang tahu budaya dan tradisi masyarakat masing-masing.

"Budaya tempatan perlu sentiasa dipupuk dalam kalangan generasi muda untuk menepis pelbagai gejala buruk akibat penjajahan budaya luar yang kini semakin menjadi-jadi.

"Walaupun kita sudah berjaya, jangan lupa budaya masing-masing kerana tanpa budaya, masyarakat akan tumbang dan apatah lagi dalam arus pemodenan ketika ini yang sedikit sebanyak melupakan kita tentang tradisi masing-masing," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved