Selasa, 21 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Dua peniaga diambil tindakan

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

Oleh M. RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

TAN Siew Lin (kiri) menunjukkan tanda harga bagi tepung gandum Cap Kunci yang telah ditetapkan ketika melakukan Ops Harga 2.0 di Pasar Besar Jerantut, semalam.

JERANTUT 21 Jan. - Dua peniaga dikenakan tindakan undang-undang kerana melakukan kesalahan dalam Ops Harga 2.0 yang dijalankan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Daerah Jerantut.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Jerantut, Tan Siew Lin berkata, seorang peniaga dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal meletakkan tanda harga bagi barang jualan jenis rempah-ratus.

Menurutnya, seorang lagi dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menjual barangan kegunaan am iaitu tepung gandum Cap Kunci melebihi harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Kami dapati seorang peniaga menjual harga tepung gandum cap kunci melebihi harga iaitu RM1.50 berbanding yang ditetapkan iaitu RM1.35 satu kilogram.

"Kami akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada peniaga yang cuba menaikkan harga barangan jualan terutama barangan kawalan," katanya ketika mengadakan operasi di Pasar Besar Jerantut, di sini semalam.

Siew Lin berkata, peniaga perlu memaparkan tanda harga pada setiap barangan jualan serta menggunakan alat timbang yang sah sahaja.

"Sekarang ini banyak peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati mereka dan kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan," ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya mengalu-alukan laporan daripada orang ramai bagi membolehkan tindakan diambil terhadap peniaga yang sengaja melakukan kesalahan bagi mengaut keuntungan berlebihan.

Kenaikan sewa Pasar Besar Kuantan dikaji

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

SHAHIRUDDIN Ab. Moin mencuba alat penimbang ketika mengadakan Ops Harga 2.0 di Pasar Besar Kuantan, kelmarin. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 21 Jan. - Kerajaan negeri akan mengkaji semula kenaikan sewa premis di Pasar Besar Kuantan supaya tidak membebankan peniaga dan memberi kesan kepada pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, beliau akan cuba membawa perkara ini kepada pihak kerajaan negeri untuk ditangguhkan sementara waktu.

"Sebab melalui lawatan saya ke sini mendapati banyak rungutan daripada peniaga yang terbeban dengan kenaikan sewa ini," katanya dalam sidang akhbar selepas membuat pemeriksaan Ops Harga 2.0 di Pasar Besar Kuantan, di sini semalam.

Menurut beliau, walaupun kenaikan sewa tidak banyak, namun ada beberapa aspek perlu diambil kira kerana sebarang kenaikan yang dilaksanakan turut memberi kesan kepada pengguna.

"Namun, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) juga mempunyai perancangan. Ini kerana mungkin pasar ini dalam proses untuk baik pulih dan dinaik taraf kepada yang lebih baik," katanya.

Sementara itu katanya, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) akan mengadakan pemantauan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dekat Kemunting di sini selepas mendapat maklumat mengenai kes penipuan timbang.

"Mungkin kita akan buat pemeriksaan dari semasa ke semasa supaya tiada penipuan timbang berlaku. Kita ada dapat maklumat daripada peniaga yang tidak berpuas hati mengenai perkara ini," katanya.

Wasatiyyah pacu kemajuan negeri

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

KUALA LIPIS 21 Jan. Masyarakat Islam diminta mengamalkan sikap toleransi dan wasatiyyah untuk mencapai perpaduan sekali gus membantu kerajaan memacu pelbagai bidang pembangunan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, sikap serta amalan berkenaan antara tonggak penting yang boleh membawa negeri ini maju dalam bidang pembangunan selari dengan manifestasi kerajaan.

Katanya, masyarakat Islam di semua tempat harus menjadi peneraju utama dalam usaha ke arah penyatuan supaya menjadi ikutan bukan sahaja sesama ummah, bahkan kaum lain.

"Konsep wasatiyyah dan keutuhan perpaduan menjadi petunjuk mempertingkatkan nilai kualiti kebersamaan dalam sebuah negara majmuk yang menjadi pemangkin kepada kerjasama dan muhibah.

"Lagipun sikap kesederhanaan yang diamalkan Rasulullah SAW wajar diteladani dalam memastikan misi membina masyarakat Islam yang dinamik dan negara maju tercapai," katanya berucap dalam majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku di Masjid Pekan Padang Tengku, di sini kelmarin.

Sempena program itu, sebanyak tiga buah masjid iaitu Masjid Kampung Gua, Masjid Pekan Padang Tengku dan Masjid Kampung Berahmah melaksanakan pengisian ceramah agama, nasyid, tadarus al-Quran dan majlis kenduri.

Mustapa turut menyampaikan beg sekolah sumbangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) kepada 10 pelajar miskin di Padang Tengku dan kain kepada lima warga emas di Kampung Berahmah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved