Selasa, 21 Januari 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Liwat: Rayuan Anwar gugur Muhammad Shafee 28 Januari

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

PUTRAJAYA 21 Jan. - Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 Januari ini rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan buat kali kedua peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang itu.

Muhammad Shafee yang mengesahkan perkara itu kepada pemberita di Istana Kehakiman di sini hari ini memberitahu, notis mengenai tarikh pendengaran rayuan itu diterima beliau pada minggu lalu.

Anwar mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Disember tahun lalu yang menolak permohonan keduanya itu yang bersandarkan kepada akuan berkanun (SD) bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Aziah Ali sebulat suara memutuskan, permohonan tersebut langsung tidak mempunyai sebarang merit dan hanya bersandarkan kepada akuan berkanun Mat Zain yang bersifat dengar cakap (hearsay).

Hakim tersebut turut menyatakan, akuan berkanun terbabit merupakan satu perkara yang remeh dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan rayuan kes liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Selain itu, panel hakim tersebut menyatakan, terdapat kecacatan tersembunyi dalam akuan berkanun terbabit iaitu percanggahan identiti pembuat SD berkenaan iaitu nombor kad pengenalan dan alamat telah dipadamkan.

Cubaan kali kedua untuk menyingkirkan Muhammad Shafee dilakukan oleh Anwar setelah usaha kali pertamanya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 17 September 2013 dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 21 November tahun sama.

Permohonan pertama Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee adalah berdasarkan kelayakan pelantikan beliau dan atas alasan wujud percanggahan kepentingan kerana peguam terkenal itu dikatakan menjadi saksi penting dalam perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar.

Rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 12 dan 13 Februari ini.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berusia 66 tahun itu didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Zahid boleh buat bantahan

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini dibenarkan mengemukakan bantahan bagi membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Madhi Hasan dan seorang pengundi, Azmi Sulaiman.

Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim memutuskan demikian selepas berpendapat beberapa isu yang terkandung dalam bantahan awal Ahmad Zahid belum pernah didengar oleh Mahkamah Persekutuan.

Sehubungan itu, Mahkamah Pilihan Raya menetapkan esok untuk mendengar enam isu bantahan awal Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Terdahulu, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Ahmad Zahid berhujah, Mahkamah Pilihan Raya tidak lagi memiliki bidang kuasa untuk mendengar petisyen tersebut kerana permohonan itu yang difailkan pada 11 Jun tahun lalu, telah tamat tempoh pada 10 Disember tahun sama.

Ini kerana, menurut beliau, Seksyen 35A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan bahawa petisyen pilihan raya yang difailkan hendaklah diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved