Ahad, 11 Mei 2014

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Josiah masih berbisa

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

Josiah Ng (belakang) bersaing dengan pelumba Perancis, Quentin Lafargue dalam acara keirin pada Grand Prix Pertama Asia Tenggara di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras, semalam. - UTUSAN/ MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR - Jaguh basikal trek negara, Josiah Ng membuktikan dirinya masih berbisa selepas pulih daripada kecederaan apabila mengungguli acara keirin pada Grand Prix Pertama Asia Tenggara 2014 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Josiah meraih kemenangan dengan masa 11.077 saat untuk menewaskan dua pelumba Perancis, Quentin Lafargue dan Charlie Conord.

Bagi Josiah, 34, kemenangan menjadi pembakar semangat buatnya kerana ia adalah pertandingan pertamanya di peringkat antarabangsa selepas berehat panjang sejak hujung tahun lalu.

Saya menang dalam saingan sengit kerana semua peserta memberi tentangan hebat.

Selepas ini saya mahu memastikan prestasi saya sentiasa di tahap terbaik dalam persiapan menghadapi beberapa kejohanan besar tahun ini," katanya.

Josiah sebelum ini patah tulang rusuk, tulang selangka dan gigi selepas terbabit dalam kemalangan serius ketika saringan kedua keirin Kejohanan Basikal Trek UCI Piala Dunia di Aguascalientes, Mexico pada Disember 2013.

Sementara itu, Muhammad Edrus Md Yunus terpaksa menangguhkan hasrat bersara awal selepas meraih emas pecut individu lelaki elit.

Edrus mengakui pernah terfikir untuk bersara atas sebab peribadi, namun mula mempertimbangkan semula hasratnya.

Sebaliknya, tumpuannya kini adalah mencari tiket Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Saya akan nilai semula prestasi sepanjang tahun ini dan selepas itu mungkin saya akan fikir tentang hasrat bersara," katanya.

Dalam saingan wanita, Fatehah Mustapa meraih perak keirin dan pecut individu selepas tewas kepada lawan yang sama, Virginie Cueff dalam kedua-dua perlumbaan akhir.

Prince Tagoe bakal beraksi

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

Prince Tagoe

KOTA BHARU - Hasrat penyokong setia The Red Warriors untuk melihat kelibat penggempur baharu Prince Tagoe menyarung jersi pasukan kesayangan mereka akan menjadi kenyataan dalam pertemuan dengan Perak, Sabtu ini.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa melalui entri laman sosial Facebook miliknya semalam.

Annuar berkata, ejen pemain tersebut telah memaklumkan kepada pihaknya bahawa Tagoe telah menyelesaikan pertikaian dia dengan kelab lamanya di Tunisia iaitu African Club.

Menurutnya, Tagoe membuat pengorbanan untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana hasratnya beraksi bersama The Red Warriors semakin memuncak dan berharap dapat beraksi dengan segera.

Surat yang disaksikan oleh seorang Pesuruhjaya Sumpah di Kota Bharu telah dihantar ke Tunisia.

Dengan itu, urusan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dapat diuruskan segera oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya.

Dalam pada itu, Annuar berharap FAM dapat membantu pihaknya menyelesaikan perkara itu kerana ia di luar bidang kuasa mereka.

Insya-Allah kita harap khidmat Tagoe dapat digunakan pada perlawanan akan datang di gelanggang sendiri Sabtu ini," ujarnya.

Seandainya Tagoe dapat beraksi pada Sabtu ini, ianya pasti memberikan kelebihan kepada pengendali Kelantan, Goerge Boateng untuk menambah sengat di bahagian jentera serangan Kelantan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Kia Cerato

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

Oleh Fauzi Jaafar
ekonomi@utusan.com.my

Lambang revolusi kejuruteraan Korea

Kia Cerato dengan saiz yang lebih besar, rendah dan lebar menghasilkan pemanduan yang selesa dan stabil.

SATU ketika dahulu, jenama Kia merupakan kereta yang berharga murah dan mendapat tempat dalam kalangan pembeli di Malaysia.

Tahun berganti tahun, kereta jenama Kia mengalami evolusi yang drastik daripada kereta yang boleh disifatkan mengejar kuantiti, kini lebih kepada kualiti.

Kini, Kia yang boleh berbangga dengan kedudukan kelapan pengeluar kereta dunia telah menampilkan beberapa model yang piawaiannya boleh mengatasi model-model kereta premium Eropah dan Jepun pada harga yang lebih rendah.

Sebagai contoh, Kia Cerato yang dilancarkan pada tahun lalu telah menampilkan ciri-ciri premium yang adakalanya tidak terdapat pada model segmen C.

Berpeluang menguji Kia Cerato 2.0 liter boleh penulis sifatkan sebagai model terbaik dalam kelasnya.

Mengulas mengenai reka bentuknya, mungkin kelihatan sedikit pelik kerana model itu lebih panjang, lebar dan rendah daripada modelnya terdahulu.

Sepanjang 4.56 meter, model ini menawarkan ruang yang lebih besar dan selesa sama ada untuk pemandu dan penumpang serta ruang kargo yang luas.

Ciri-ciri premiumnya terserlah terutamanya apabila waktu malam apabila pemandu akan disambut dengan cahaya lampu dari cermin sisi dan tombol pintu ketika menghampiri model tersebut.

Bukan itu sahaja, ketika duduk pada kerusi pemandu telah menunjukkan kemewahannya apabila mahu menekan butang penghidup enjin, stereng dilaraskan ke bawah dan kerusi bergerak ke hadapan secara elektronik.

Pada kerusi pemandu juga terdapat butang yang boleh menyelaraskan suhu pemanas atau penyejuk yang memberi lebih keselesaan kepada pemandu. Malangnya kemudahan suhu sejuk itu tidak terdapat pada kerusi penumpang hadapan.

Satu ciri premium yang berguna kepada pemandu di negara ini yang cepat panas ketika memandu di jalan raya ditambah dengan iklim tropika negara ini yang sememangnya panas.

Ruang dalaman yang kemas dan luas memberi keselesaan kepada penumpang.

Tatarias papan pemukanya juga menarik dan segar dengan butang-butang kawalan menghala kepada pemandu. Terdapat juga skrin LCD 4.3 inci yang boleh dijadikan panduan pemandu untuk mengundur dengan lebih mudah.

Cerato 2.0 liter ini didatangkan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang boleh dikendali juga melalui kendalian tiptronik dan paddle shift. Saiz roda aloi adalah 17 inci dengan saiz tayar 215/45R17.

Model ini mampu memberi banyak peningkatan menerusi NU 1,999 cc MPI D-CVVT 118kW dan 194Nm.

Pemanduan di jalan raya dan juga lebuhraya menggambarkan Kia Cerato ini amat selesa dikendalikan. Disifatkan sebagai kereta keluarga, ia model yang selamat dengan rangkuman teknologi yang setaraf dengan kereta dari Eropah.

Terdapat enam beg udara berserta ESP, kawalan kestabilan dengan cengkaman (VMS), imbangan dakian bukit, ABS, ISOFIX untuk kanak-kanak serta edaran elektronik cengkaman dengan pengaktifan isyarat kecemasan ketika brek mengejut.

Pemandu boleh memilih pemanduan sport, normal atau comfort yang terdapat di butang stereng, dan akan memberi perbezaan kepada stereng dan kawalan pemanduan. Pemanduan comfort akan menjadikan kawalan stereng lebih ringan manakala sport akan menjadikan kawalan lebih berat.

Dengan kata lain, model ini memberi pilihan keseronokan kepada pemandu dan penumpang. bagi penulis, Kia Cerato secara keseluruhan tidak menghampakan kerana menekankan kepada keselasaan dan keselamatan.

Untuk model ini, penulis lebih tenang dan yakin kerana ia sememangnya sebuah kereta keluarga yang tidak mementingkan aspek kelajuan, tetapi memberatkan keselamatan.

Tahniah kepada jurutera Kia yang menghasilkan sebuah kereta sedan bercirikan premium yang mengatasi model-model sekelasnya dari Eropah mahupun Jepun. Cerato ini tidak akan menghampakan pemandu dan penumpang. Syabas Kia.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Lima letupan bom di Sungai Golok

Posted: 11 May 2014 06:32 PM PDT

SUNGAI GOLOK 12 Mei - Sekurang-kurangnya lima letupan bom berlaku di bandar sempadan ini, bermula tengah malam tadi sehingga awal pagi.

Kejadian tersebut telah menyebabkan seorang wanita tempatan terbunuh dan beberapa mangsa cedera.

Bagaimanapun sehingga kini tiada laporan membabitkan mangsa warga Malaysia. - UTUSAN ONLINE

Penjenayah parah, isteri cedera

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

ANGGOTA bomba memeriksa kereta curi yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Paya Kemunting, Jitra, Kedah kelmarin.

ALOR SETAR 11 Mei - Seorang penjenayah cedera parah manakala isterinya cedera ringan setelah kereta yang dicuri mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Paya Kemunting, Jitra di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, suspek dan isterinya dipercayai sedang menghala ke Jitra, selepas mencuri kereta Toyota Vios milik seorang peniaga di Kuala Kedah.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Ibrahim Mohamed Yusoff berkata, namun setibanya di lokasi kejadian, kereta yang dipandu suspek terbabas lalu melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

Berikutan itu, suspek dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala isterinya cedera ringan dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Ibrahim, kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala bagi kes curi kereta tersebut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.

Sementara itu, pemilik kereta tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Lim, 35, berkata, dia menyedari kehilangan keretanya yang diletakkan di belakang kedai runcit miliknya, berhampiran Jeti Kuala Kedah kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.

Selepas sedar kereta saya hilang, saya membuat laporan di Balai Polis Kuala Kedah dan laporan kedua pada pukul 12 tengah hari di IPD Kota Setar," jelasnya.

Lim berkata, dia kemudian dihubungi seorang rakannya yang mengatakan keretanya terbabit dalam satu kemalangan yang melibatkan pasangan suami isteri berusia 20-an.

Kawan saya beritahu kemalangan itu tersebar dalam laman Facebook," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Kes saman Hadi Awang, Mat Sabu terhadap Mashitah selesai

Posted: 11 May 2014 07:30 PM PDT

KUALA LUMPUR 12 Mei - Kes saman oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu terhadap

Ahli Dewan Negara, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim ekoran penyiaran artikel dalam kolum 'Langit Terbuka' akhbar tersebut bertarikh 2 Mac 2012, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Haaziq Pillai kepada pemberita selepas beliau dan peguam Mohd. Hanipa Mydin yang mewakili Abdul Hadi dan Mohamad menghadiri pengurusan kes di kamar Hakim Datuk Yeoh Wee Siam. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Pembangunan ekonomi di Tahan

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

JERANTUT 11 Mei - Pelbagai projek kemudahan asas akan dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi memacu kegiatan ekonomi dan sosial di kawasan Tahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, antara tumpuan ialah projek jalan raya ke kawasan Hulu Tembeling dalam usaha merancakkan sektor pelancongan dan pertanian di daerah ini.

Beliau berkata, ECERDC juga akan mengadakan latihan kemahiran untuk penduduk setempat bagi menggalakkan meareka menceburi kegiatan keusahawanan dalam dua sektor berkenaan.

Usaha ECERDC mampu memenuhi iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggerakkan transformasi pembangunan luar bandar khususnya memajukan Lembah Tembeling menjelang 2020.

Tumpuan ini juga dapat menjana pusat pertumbuhan baharu di Kampung Pagi dan Kampung Bantai, Mukim Hulu Tembeling yang bakal mengorak perubahan berasaskan sektor pelancongan dan pertanian," katanya di Kuala Tahan dekat sini semalam.

Menurut beliau, hasil lawatan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John baru-baru ini ke kawasan Tahan menyaksikan beberapa perkara berkaitan projek kemudahan asas dan pembangunan modal insan bakal dirangka serta dilaksanakan mulai tahun ini.

Transformasi pembangunan yang dilaksanakan oleh ECERDC di sini akan memberi sinar baharu kepada penduduk," ujarnya.

Wan Amizan berkata, penduduk Tahan sepatutnya menerima secara positif usaha yang bakal dilaksanakan dan tidak perlu terikut-ikut dengan dakyah sesetengah pihak yang memperlekeh setiap projek yang bakal dilaksana kelak.

Sebaik-baiknya kita menggunakan fikiran yang matang dan jangan cepat menolak sesuatu transformasi pembangunan di tempat atau kampung sendiri lantaran mempercayai asakan sebelah pihak," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri mengutamakan kebajikan penduduk luar bandar khususnya keselesaan untuk menambah pendapatan menerusi peluang sesuatu bidang ekonomi apabila wujud kemudahan asas serta bantuan yang diberikan oleh ECERDC.

Jambori pengakap kukuhkan ikatan generasi muda

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

WAN Salman Wan Ismail (kiri) memeriksa perbarisan pengakap antarabangsa dalam penutup Jambori Pengakap Antarabangsa Jengka Keempat dan Perkhemahan Pengakap Agoonoree di Kem Tengku Mahkota, Kuala Krau, baru-baru ini.

KUALA KRAU 11 Mei - Jambori Pengakap Antarabangsa Keempat dan Perkhemahan Pendidikan Khas Agoonoree Pertama yang berlangsung di Kem Tengku Mahkota, Jengka di sini baru-baru ini merupakan medan terbaik bagi mengukuhkan ikatan kemanusiaan sejagat dalam kalangan generasi muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail berkata, aktiviti perkhemahan seperti itu dilihat mampu membina jati diri peserta sekali gus membentuk generasi baharu yang hebat dalam menempuh era globalisasi.

Selain itu, katanya, jambori yang disertai pengakap tempatan termasuk kontinjen luar negara yang mewakili Brunei, Thailand, Indonesia dan Singapura itu menjadikan perkhemahan berkenaan sangat berprestij dan diterima pengakap luar negara.

Penganjuran Perkhemahan Pendidikan Khas Agoonoree iaitu pengakap orang kurang upaya (OKU) yang diadakan serentak turut menambah nilai jambori kali ini," katanya ketika berucap menutup program berkenaan di Kem Tengku Mahkota di sini kelmarin.

Kata Wan Salman, pelbagai aktiviti dan pertandingan sempena perkhemahan selama enam hari itu diyakini mampu membina semangat jati diri, setiakawan dan kekitaan dalam kalangan generasi baharu.

Tambah beliau, program jambori itu sendiri sememangnya bertujuan menghimpunkan generasi muda pelbagai kaum dan budaya sambil melaksanakan pelbagai aktiviti yang dapat mencergaskan minda.

Di samping itu katanya, ahli pengakap yang terlibat juga dapat menyelami kepentingan perpaduan dan silaturahim antara pelbagai etnik, bahasa dan budaya.

Penglibatan ahli pengakap daripada pelbagai kaum, budaya dan agama juga mampu memberi impak besar kepada kemajuan pasukan beruniform berkenaan," katanya.

Wan Salman menambah,perkhemahan seperti itu turut memberi kesan positif kepada peserta terutama dalam membentuk sahsiah diri, semangat berpasukan, menghormati antara kaum dan sebagainya.

Tegasnya, program itu juga menjadi platform terbaik kepada ahli pengakap untuk meningkatkan ketahanan fizikal, minda serta kerohanian.

RM293,000 bantu pesakit di hospital

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

WAN Abdul Wahid Wan Hassan (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada Pengerusi Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, Hasnah Sulaiman (tengah) dalam majlis Penyampaian Sumbangan Zakat kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Negeri di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh, kelmarin.

TEMERLOH 11 Mei - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM293,000 kepada hospital-hospital di negeri ini menerusi Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Negeri bagi membantu pesakit kurang berkemampuan.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, bantuan daripada kutipan zakat 2013 itu akan disalurkan kepada kira-kira 11 buah hospital di seluruh negeri pada tahun ini.

Bantuan ini akan digunakan untuk membantu pesakit yang memerlukan termasuklah untuk pembelian peralatan perubatan sehinggalah perbelanjaan tambang dan makan pesakit.

Kita akan meneruskan bantuan seperti ini yang mana dalam tempoh antara 2011 dan 2014 sebanyak RM3.6 juta telah disalurkan kepada tabung ini," katanya ketika ditemui dalam majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Negeri di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Perubatan Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Abdul Rashid Che Ali; Pengarah Hoshas, Datuk Dr. Bahari Awang Ngah; Pengerusi Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, Hasnah Sulaiman; Setiausaha Muip, Datuk Ahmad Khairi Husin dan Pengerusi Lembaga Pelawat Hoshas, Zainuddin Izharul Haq.

Wan Abdul Wahid turut menziarahi pesakit-pesakit yang ditempatkan di wad dan menyampaikan sumbangan tunai serta hamper.

Dalam pada itu beliau berkata, bantuan disalurkan itu hanya akan digunakan untuk perkara yang tidak memerlukan perbelanjaan besar seperti pembelian peralatan kecil dan tambang.

Katanya, bagi pesakit yang memerlukan bantuan yang lebih besar, mereka hendaklah membuat permohonan terus kepada Muip.

Selain bantuan berkenaan, pihaknya juga akan terus melakukan program ziarah bagi melawat pesakit yang ditempatkan di hospital-hospital di negeri ini.

Sementara itu, Dr. Abdul Rashid berkata, sumbangan yang diberikan itu amat bermanfaat dan akan digunakan sebaik mungkin bagi membantu pesakit-pesakit khususnya yang kurang berkemampuan.

Sumbangan ini menjadi satu contoh yang baik kepada pihak lain untuk membantu pesakit miskin yang amat memerlukan bantuan segera," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Militan lancar serangan hendap ke atas tentera Iraq

Posted: 11 May 2014 07:04 PM PDT

MOSUL 12 Mei - Sekurang-kurangnya 20 anggota tentera Iraq terbunuh, selepas kumpulan militan bertindak melancarkan serangan hendap ke atas konvoi tentera berhampiran Ain al-Jahash, utara wilayah Nineveh, semalam.

Pegawai keselamatan berkata, militan yang menyamar dan memandu kenderaan tentera menyerang konvoi tersebut sebelum bertindak menculik dan membunuh askar berkenaan.

"Kesemua mayat tentera yang ditemui mempunyai kesan tembakan di kepala," jelas pegawai berkenaan. - REUTERS

36 pelajar al-Azhar dijatuhi hukuman penjara

Posted: 11 May 2014 07:00 PM PDT

KAHERAH 12 Mei - Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun ke atas 36 pelajar Universiti al-Azhar hari ini, selepas terlibat dalam tunjuk perasaan ganas Disember tahun lalu, ekoran penggulingan bekas Presiden Mohammed Mursi.

Menurut sumber, kesemua mereka didapati bersalah kerana melakukan kekacauan, menghalang jalan di hadapan universiti dan bertindak ganas terhadap pasukan keselamatan.

Selain itu, tambahnya, mahkamah turut mengarahkan mereka membayar denda sebanyak 4,300 euro (RM19,101). - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


UMNO depani cabaran politik nilai

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

Oleh Armizan Mohd. Ali

SEMALAM genap 68 tahun usia Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO. Parti keramat yang lahir daripada ketentuan tujuan dan matlamat iaitu atas perjuangan ABATA; agama, bangsa, tanah air dan bukannya kepentingan peribadi atau kelompok tertentu. UMNO juga parti yang mempunyai keabsahan untuk dijenamakan sebagai parti rakyat yang tulen kerana terbina atas aspirasi dan dokongan rakyat, bukannya kehendak individu yang mempergunakan pentas rakyat.

Selama hampir tujuh dekad, UMNO konsisten dan masih tetap sama - berorientasikan rakyat dan berpaksikan asas perjuangan yang tidak pernah berubah. Hakikatnya, pegangan dan istiqamah kita kepada keluhuran perjuangan inilah yang telah menjadi asas kekuatan dan pemangkin sokongan majoriti rakyat kepada UMNO.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyempurnakan perasmian Rumah UMNO Taiping pada 8 Mei lalu, sekiranya diterjemahkan usia 68 tahun ini kepada manusia, kekuatannya mungkin tidak segagah ketika muda tetapi berbeza dengan UMNO yang semakin kukuh dan kuat.

Sungguhpun kerusi Parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN) berkurangan daripada 140 pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 kepada 133 pada PRU Ke-13 yang lalu, namun kerusi dimenangi UMNO meningkat daripada 79 kepada 88 kerusi.

Pada masa sama, Najib juga mengingatkan bahawa UMNO perlu sedar akan cabaran yang dihadapi supaya proses muhasabah diri, menambah baik dan melaksanakan transformasi sepanjang masa bagi menentukan parti itu terus relevan. Inilah tuntutan penting dan keutamaan yang perlu dilaksanakan oleh jentera UMNO di setiap peringkat.

Perubahan besar landskap dunia dari pelbagai aspek termasuk iklim politik membawa bersama pelbagai fenomena yang menuntut adaptasi dan transformasi. Sebagai sebuah organisasi yang terlibat dalam proses demokrasi yang kejayaannya bersandar kepada jumlah sokongan undi rakyat, UMNO perlu memastikan parti berupaya untuk bertindak proaktif, inovatif dan kreatif dalam strategi dan pendekatannya mendepani tuntutan semasa rakyat.

Bila menyentuh perihal rakyat, sudah pasti ia berkait langsung dengan prestasi Kerajaan BN dan UMNO adalah tunjang kerajaan sekian lama.

Realitinya, pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh Kerajaan BN mungkin dapat dilihat dan dirasai, tetapi tidak dijiwai dan kurang menyentuh hati rakyat, kalau tidakpun semua, sebahagian rakyat. Ini hakikat yang perlu diakui dan apa yang dirujuk sebahagian itu sebenarnya satu jumlah yang signifikan mengambil kira undi popular BN hanya 48 peratus dalam PRU-13.

Sehubungan itu, cara dan kaedah kerajaan bergerak pada hari ini perlu diteliti dan ditambah baik. Kita gembira apabila kepimpinan kerajaan dilihat mengakui hakikat ini apabila Perdana Menteri sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa masa dan ketika kerajaan merasakan tahu semua perkara telah berlalu. Kenyataan ini memperlihatkan komitmen ketua kerajaan sendiri yang mengiktiraf peranan penting rakyat dalam proses pembangunan negara.

Di sinilah pentingnya pendekatan politik nilai dan makna diintegrasikan dalam gerak kerja kerajaan pada masa ini. Pendekatan politik ini akan memastikan elemen nilai dan makna menjadi sebahagian hasil sesuatu dasar, program dan projek kerajaan.

Pendekatan ini juga menjadikan keterangkuman (inclusivity) sebagai strategi penting untuk memastikan rakyat menghargai peranan kerajaan yang telah membawa nilai dan makna kepada kehidupan mereka.

Kerajaan dan parti perlu menakhodai zaman, tetapi kegagalan kita untuk menyuntik kefahaman rakyat berhubung sesuatu agenda ke hadapan yang kita gagaskan akan mengundang bahaya apabila pertalian di antara kerajaan dan parti dengan rakyat terungkai.

Kita sudah tidak boleh menjadikan rakyat sebagai pemegang taruh atau pihak berkepentingan (stakeholders) yang pasif, tetapi jentera kerajaan perlu melibatkan rakyat secara aktif dalam gerak kerja kerajaan.

Rakyat tidak boleh dibiarkan sekadar menjadi pendengar dan penonton, tetapi mereka perlu dilibatkan untuk mengetahui, memahami dan menjiwai kepentingan sesuatu dasar, program dan projek kerajaan. Impaknya khidmat kerajaan akan dapat menyentuh hati dan memberi kesan mendalam kepada rakyat.

Begitu juga halnya dalam hubungan di antara kerajaan dan parti. Mungkin kerana faktor UMNO dan BN telah sekian lama mengemudi tampuk pemerintahan, kita tidak sedar yang kita meninggalkan parti jauh di belakang sehinggakan rakyat tidak dapat melihat, merasai dan menjiwai peranan parti.

Situasi inilah yang telah membentuk sentimen sesetengah rakyat yang melihat semua pembangunan dan kesejahteraan yang dibawa oleh kerajaan adalah tanggungjawab Kerajaan, tanpa mengira siapa tunjangnya. Lebih malang lagi ada yang berpendapat jika parti lain memerintah kelak, perkara yang sama akan dilakukan.

Peranan penting UMNO dan BN tidak dianggap faktor utama yang membawa nikmat kemakmuran pada hari ini.

Atas sebab itu, peranan parti dalam kerajaan perlu diperkasa. PRU-13 menzahirkan kepada kita formula mengguna pakai kaedah penonjolan individu sebagaimana pemilihan Presiden Amerika Syarikat bukanlah pendekatan yang sesuai di negara kita.

Sebahagian besar rakyat akan mengundi berdasarkan parti; sama ada mengundi BN/UMNO atau Asal Bukan BN/UMNO.

Sudah tiba masanya peranan parti ditonjolkan dalam kerajaan, namun ini tidak bermakna parti menguasai kerajaan. Apa yang penting rakyat dapat menjiwai nilai dan makna perjuangan UMNO dan BN dalam penggubalan dasar dan program kerajaan yang membawa nikmat kemajuan, keamanan dan kemakmuran, sekali gus memberi mandat berterusan kepada UMNO dan BN.

Sebagaimana kerajaan, jentera UMNO di semua peringkat juga perlu mengamalkan pendekatan politik nilai dan makna dengan strategi keterangkuman yang menyeluruh meliputi semua segmen masyarakat.

Tidak dinafikan gerak kerja dan program UMNO sedia ada di akar umbi adalah baik dan perlu diteruskan kerana inilah antara faktor yang telah menyebabkan UMNO bertahan sekian lama. Namun ini tidak bermakna tidak ada ruang yang perlu ditambah baik.

Sebagai contoh, pendekatan UMNO untuk mendekati dan membawa generasi muda kepada parti perlu digerakkan dengan lebih agresif.

Perlu diingat demografi pemilih di negara ini sudah menunjukkan pola perubahan dengan peningkatan amat ketara jumlah pemilih di bawah 40 tahun dan dijangka mencecah hampir 70 peratus menjelang PRU-14.

Dalam konteks ini, keterangkuman parti untuk membawa orang muda menyokong UMNO dan BN perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang bernilai dan bermakna.

Usaha ini pula perlu digerakkan dan didokong oleh kepimpinan parti di semua peringkat kerana kita tidak mahu sikap tidak peduli dan tidak terbuka sesetengah pihak dalam parti akhirnya membawa generasi baru ini lebih jauh dari parti dan mereka beralih memilih alternatif yang lain.

Masa depan UMNO tidak akan sentiasa cerah jika kepimpinan dan ahli parti tidak mengambil peduli akan cabaran yang perlu kita hadapi hari ini.

Saiz kelas menengah yang besar, lonjakan jumlah golongan berpendidikan, proses urbanisasi, peningkatan taraf hidup, kemajuan prasarana fizikal dan akses kepada lebuh raya maklumat merupakan sebahagian faktor yang monumental kepada rekod prestasi cemerlang UMNO sebagai pemerintah selama ini dan juga suatu cabaran baru dalam konteks gerakan politik kita.

Kita tidak mampu untuk bersikap menafikan atau lebih bahaya lagi bermusuh dengan realiti yang ada dan perubahan yang akan terus berlaku.

Kita wajib menyediakan parti dengan sebaik mungkin untuk meluaskan jaringan pengaruh di semua kumpulan sasar yang telah terhasil daripada kemajuan yang kita bina. Jika tidak maka kita akan menghadapi hentaman ribut yang terhasil daripada semaian kita sendiri.

Dengan pendekatan politik nilai dan makna, cabaran semasa yang kita hadapi dengan landskap politik dan demografik yang baru hari ini adalah hasil kejayaan kita yang boleh dijadikan sumber kekuatan baru.

PENULIS ialah Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Papar, Sabah.

Muliakan martabat ibu sepanjang zaman

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

Oleh DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

Tempat mengadu hati nan lara

Selembut hati tiada pengganti

Dialah ibu insan nan mulia

Semoga Allah terus merahmati.

DALAM kehidupan kita di dunia ini, seorang wanita yang bernama ibu perlulah sentiasa ditabalkan sebagai antara insan yang paling dihormati dan dikasihi.

Masakan tidak, peranan dan jasa ibu bukan calang-calang tahapnya. Ibulah insan yang sanggup menggadaikan nyawa semasa mengandung dan melahirkan anak-anaknya ke dunia. Saat anak-anak masih kecil, ibulah teman setia yang menyuapkan makanan, memberikan susu, mendodoikan tidur, mengajar bertatih dan sebagainya. Ibulah tempat anak-anak mengadu dan berkongsi sakit pening, suka-duka dan lapar dahaga.

Apabila anak-anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranannya menjadi pendidik, menjadi tempat anak-anak bermanja dan mengadu nasib, menjadi penghibur dan pengubat rasa sedih dan duka nestapa.

Nabi Muhammad SAW telah memberi banyak isyarat yang jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki itu berkata:

Saya ingin melaksanakan jihad dan ikut pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya untuk berbuat demikian." Rasulullah SAW kemudian menjawab: Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun".

Begitu juga cerita seorang lelaki telah bertemu dengan Rasulullah dan menyoal: Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?" Lalu Rasulullah menjawab, Ibumu". Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali, Siapakah selepas ibu?" dan jawapan Rasulullah tetap Ibumu". Akhirnya bila ditanya lagi Siapakah selepas ibu?" barulah Rasulullah menjawab Bapamu".

Jelas bahawa mesej Rasulullah ini menganjurkan agar seorang ibu yang kaya dengan sifat lemah-lembut dan kasih sayangnya itu perlu diberikan penghargaan yang lebih tinggi berbanding insan-insan lain di dunia ini.

Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Israa', ayat 23 maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripadanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan-santun)."

Jelaslah, bahawa untuk anak-anak berkata Ha" kepada ibupun ditegah oleh Allah, apatah lagi jika kita bersikap atau berkata kasar, biadab dan hingga ke tahap memukul mereka.

Kita harus ingat keredaan Allah itu terletak pada keredaan ibu. Murkanya ibu bermaksud, murka jualah Allah terhadap kita. Untuk itu sebagai anak-anak, kita bertanggungjawab meraikan dan memuliakan ibu sepanjang hayat.

Dari perspektif Islam dan budaya masyarakat kita, martabat seorang ibu sangat-sangat tinggi. Jangan sesekali seorang ibu itu disakiti hati dan perasaannya.

Secara rasminya Hari Ibu akan disambut di Malaysia setiap tahun pada 11 Mei sebagai tanda penghargaan kepada golongan wanita yang bergelar ibu. Banyaklah aktiviti yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk meraikan golongan ibu pada tarikh tersebut.

Namun, untuk meraikan ibu bukan sekadar tertakluk pada tarikh tertentu semata-mata, bahkan kita perlu meraikan ibu sepanjang masa yang kita mampu.

Begitu juga meraikan ibu bukan sekadar dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti menghadiahkan jambangan bunga atau mengucapkan rasa sayang, tetapi perlu diserlahkan melalui amalan-amalan lain yang bersifat lebih realistik dan bermakna. Sebagai anak, ibu perlu diberikan perhatian.

Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosional. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Sebagai anak, kita juga memainkan peranan menegur ibu kita jika mereka ada membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh mendorong mereka tersasar dari batasan yang disyariatkan Islam dan norma-norma budaya dan masyarakat.

Bagi anak-anak yang menetap berjauhan dengan ibu, jenguk-jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanya khabar berita mereka. Dalam zaman serba canggih dengan gajet-gajet elektronik dan aplikasi komunikasi dalam telefon bimbit seperti Facebook, Twitter, Whatsapp dan sebagainya, kenapa kita perlu culas dan berasa sukar untuk turut sama berkomunikasi secara rancak dengan ibu saban hari, sebagaimana kita berhubung dengan rakan-rakan lain.

Begitu juga, jika dirasakan sesuai dan dipersetujui keluarga dan ibu sendiri, apa salahnya untuk ibu yang telah mencecah usia emasnya itu menetap bersama-sama supaya boleh dijaga makan-minum dan pakainya.

Kalau dulu seorang ibu berupaya menyuap makan dan menguruskan kehidupan semua anaknya, takkanlah anak yang sebegitu ramai tidak boleh menjaga seorang ibu yang telah tua dan kurang kudrat dan upayanya itu.

Penghormatan dan usaha meraikan ibu tidak terhenti pada saat terakhir nafas ibu dihembuskan di dunia ini. Walaupun ibu kita sudah meninggal dunia dan tidak lagi berada di hadapan mata, sebagai anak, kita perlu terus mendoakan kesejahteraan roh ibu agar sentiasa dirahmati Allah dan diletakkan dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh.

Seseorang ibu lazimnya tidak meminta-minta untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanannya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas kerana kita adalah zuriat kesayangannya. Namun, kerana wujudnya hubungan dan naluri yang telah terjalin di antara kita dengan ibu sejak berada dalam rahimnya lagi menuntut kita untuk menghargai, menyanjungi dan menyayangi mereka.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Adeline cabar diri sendiri

Posted: 11 May 2014 08:16 AM PDT

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my

BERDEPAN persaingan untuk lebih menyerlah dalam kalangan pemain industri hiburan adalah cabaran utama bagi pelakon Adeline Tsen, 28.

Tambahan pula perlu membahagikan masa sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakuanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor kata Adeline, itu antara dilema yang dihadapi.

Tidak pernah berputus asa tegas Adeline, dia mahu cita-citanya untuk mengenggam segulung ijazah itu tidak terkubur selain mahu menzahirkan impiannya sebagai pelakon.

Dia mendapat tentangan daripada ayahnya yang pada mulanya tidak bersetuju saya menjadi pelakon. Ayahnya mahu dia memberi fokus kepada pelajaran, mendapat markah cemerlang dan pekerjaan yang hebat.

Ayahnya menganggap pelakon itu sebagai pekerjaan yang tidak punya masa depan yang cerah. Sebab itu dia melarang Adeline menjadi pelakon.

Bagaimanapun dia berdegil dan mencabar diri sendiri untuk membuka mata ayah dan membuktikan dia mampu berjaya dalam kedua-dua bidang itu.

Sekarang ini ayahnya sudah tidak marah lagi sebab dia bakal melihat anaknya menggenggam segulung ijazah di majlis konvokesyen pada hari ini.

Adeline adalah pelakon drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Astro baru-baru ini.

Mengulas tentang perancangan kariernya, Adeline berketurunan Cina dan Kadazan ini memberitahu dia menyusun strategi untuk mengembangkan bakatnya.

Mengakui mempunyai kelebihan apabila menjadi antara pelakon bukan Melayu yang mencipta nama dalam filem-filem Melayu kata Adeline, itu bukan matlamat utamanya.

Tidak mahu dilabel pelakon sandaran tetapi tegas Adeline, sudah tiba masa untuk mendalami bidang lakonan yang ternyata bertentangan dengan kelayakan akademik yang dimiliki.

"Saya anggap persaingan dalam bidang lakonan dengan mempertaruhkan bakat dan soal keistimewaan sebagai pelakon bukan Melayu. Saya berkerja keras untuk mendapat tempat dalam bidang ini," tegasnya.

Jadi apabila orang menganggap dia mudah mendapat tawaran atas kapasiti bukan Melayu, dia menyanggah sekeras-keras tanggapan itu. Malah dia jenis orang yang mahu membuat peningkatan dalam hidup dan tidak leka di zon selamat.

Atas sebab itu dia merancang untuk mengikuti kursus lakonan jangka pendek di New York Film Academy (NYFA) pada Julai ini selama dua bulan. Adeline percaya kalau pekerja di pejabat ada kelayakan tertentu, sama juga dalam bidang lakonan yang memerlukan pengiktirafan untuk menyokong kerjaya.

Mengulas mengenai perasaan tidak yakin kepada diri sendiri apabila berdepan dengan persaingan barisan pelakon Melayu, Adeline berkata dia tidak bimbang.

Tegasnya , dia tidak perlu takut untuk berdepan dengan arus perdana kerana yang penting pada hari ini adalah kemampuan pelakon itu untuk berlakon.

Dia tidak mahu menjadi pelakon yang 'kosong' jika diberi watak-watak tertentu sehingga menyebabkan penonton tidak merasa apa yang ingin disampaikan.

"Perkara sebegini amat penting buat saya yang sedang dalam proses memperbaiki kelemahan yang ada," katanya yang tidak akan berputus asa untuk mengejar impian menjadi pelakon hebat satu hari nanti.

Berdikari

BELAJAR berdikari sejak kematian ibu, Gui Siew Kyiu sewaktu usianya 17 tahun kata Adeline, itu merupakan permulaan kesedaran yang membuatkan dia lebih berfikir tentang masa depan.

Sementelah menjadi anak bongsu daripada tujuh beradik kata Adeline, kesan kehilangan tersebut menjadi parah apabila dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh dua bulan.

Sekadar berpuas hati dengan keputusan pangkat satu namun kata Adeline, dia yakin mampu mendapatkan keputusan sekiranya subjek kegemarannya, Matematik Tambahan mendapat gred A.

Walaupun ibunya sudah tiada tetapi dia bersyukur apabila kakak-kakaknya memgambil alih tugas ibu menjaganya.

"Mereka tempat menumpang kasih dan mengadu sakit pening," ujarnya.

Bermula saat itu juga dia membuat sesuatu yang boleh membanggakan nama keluarga di kampungnya.

Sungguh pun tanpa kehadiran ibu kata Adeline, dia bersyukur apabila kerap diberi peringatan tentang soal didikan, disiplin dan tanggungjawab daripada bapanya yang cukup tegas dalam perkara tersebut.

Didikan tersebut kemudiannya menyebabkan hati wanita ini semakin kental dan sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa juga cabaran hidup yang mendatang.

Jodoh

SOAL memilih lelaki yang sesuai untuk dijadikan peneman hidup sememangnya bukan satu perkara yang mudah bagi Adeline. Bukan terlalu cerewet dalam soal tersebut tetapi mengambil pendekatan berhati-hari.

Lebih mementingkan soal restu daripada bapa, kata Adeline itu adalah perkara yang menjadi keutamaannya sebelum menjadi isteri orang.

Mengakui pernah melukakan hati bapanya berhubung kesediaanya untuk memeluk agama lain seandainya bertemu lelaki pilihan kata Adeline, itu antara perkara yang perlu diambil kira.

Terus beringat untuk tidak mengulangi perkara yang sama kata Adeline, dia juga berharap agar tidak mengulangi kesilapan yang sama sekiranya bertemu dengan pilihan hati.

"Memang dah ada teman lelaki tapi nak komen panjang-panjang tak boleh," katanya yang enggan mendedahkan identiti lelaki yang sedang bertahta di hatinya.

Kata Adeline, dia bimbang andai pendedahannya itu mengundang salah sangka. Tambahan pada sewaktu masyarakat bersikap ingin tahu tentang soal peribadi seseorang figura awam.

Bakal mengundang kata-kata negatif apabila dijadikan bahan perbualan kata Adeline, dia juga risau sekiranya rancangan tersebut tidak menjadi kenyataan.

Dia paling risau untuk bercerita perkara yang belum jadi. kerana masyarakat pasti salah sangka dan buat spekulasi yang pelbagai.

Katanya, cukuplah dia pernah terkena sebelum ini dan tidak perlu terkena buat kali kedua. Sebelum ini dia pernah dikaitkan bercinta dengan pelakon Fahrin Ahmad .

Azwan tagih penjelasan

Posted: 11 May 2014 08:16 AM PDT

Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

TIGA tahun lebih menyulam cinta akhirnya terputus di tengah jalan. Jika keputusan untuk memutuskan hubungan cinta mereka disebabkan masalah besar tidak mengapa, tetapi sehingga kini Azwan Kombos masih menagih penjelasan Nad Zainal yang memutuskan hubungan mereka.

Paling mengejutkan Azwan hanya mengetahui hubungan mereka putus melalui rancangan hiburan hujung minggu dan pastinya berita tersebut cukup memberikan tekanan kepadanya.

Seingat lelaki ini, dia dan Nad tidak menghadapi sebarang masalah sebelum ini. Mereka masih lagi keluar bersama dan melakukan pelbagai aktiviti seperti pasangan lain yang sedang bercinta.

"Saya masih ingat lagi empat hari sebelum itu (Ahad lalu) saya dan Nad ada keluar bersama. Kami pergi membeli belah, karaoke dan macam-macam lagi aktiviti luar yang biasa. Tapi tengahari Ahad lalu orang bertanya betulkah saya dan Nad sudah putus cinta. Saya sendiri tak melihat program tersebut sudah pasti perkara tersebut memberikan kejutan pada saya," tegasnya.

Dia tertanya-tanya mengapa Nad bertindak begitu kepadanya? Apa salahnya dan kenapa Nad menggunakan cara itu untuk memutuskan hubungan dengannya.

Sehingga hari ini Azwan masih belum menerima apa-apa berita daripada Nad atau sebarang penjelasan mengenai status hubungan cinta mereka yang dikatakan sudah berakhir. Setiap panggilan dan khidmat pesanan ringkas yang dihantar tidak berbalas dan Azwan masih belum bersemuka dengannya.

Bagi Azwan apa juga tanggapan masyarakat terhadapnya dia enggan terpengaruh dengan emosi memandangkan dia mahu mendengar sendiri penjelasan mengapa perkara tersebut terjadi.

Jelasnya mereka tidak bergaduh atau bermasam muka sebaliknya hubungan atas dasar cinta itu berjalan dengan baik sahaja.

"Tiga tahun kami bercinta bukan tempoh masa yang pendek. Kalau betul pun ada masalah kenapa tak beritahu saya dan perlu mengeluarkan kenyataan macam tu sekali. Saya masih terkejut, keliru, sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. Perasaan sayang saya tak pernah berubah dan kenapa dia buat macam tu," luah Azwan lagi.

Buat masa ini lelaki berusia 29 tahun ini bersyukur kerana peminat dan keluarganya memahami keadaannya yang sedang melandanya.

Untungnya keluarganya belum lagi bertanyakan tentang perkara tersebut tetapi mereka lebih mengambil berat tentang kesihatannya kerana bimbang terjadi apa-apa yang buruk kepadanya.

Dalam pada itu, Azwan bertegas mahu mendengar sendiri penjelasan Nad dan dalam masa yang sama mahu hubungan mereka kembali terjalin seperti sedia kala.

Rezeki

TIDAK mahu terus larut dalam emosi, Azwan berharap perkara berkenaan tidak akan menjejaskan kerjayanya yang baru sahaja hendak bermula.

Baginya dia tidak mahu mencampur-adukkan soal kerjaya dan peribadi memandangkan kedua-duanya perlu berjalan seiring seperti yang dilalui insan lain juga.

Meskipun masih baru di dalam industri, Azwan bersyukur kerana diberi watak besar oleh kebanyakan penerbit filem dan drama setakat ini.

Cuma apa yang dikesalkan oleh lelaki ini tatkala mengenangkan kutipan jualan tiket filem Melayu yang boleh dianggap cukup menyedihkan. Dia yang baru sahaja tampil dengan filem Muka Surat Cinta turut terkena tempias apabila filem itu mencatatkan kutipan tidak memberangsangkan.

"Susah kalau nak bercakap tentang kutipan filem har ini. Saya sendiri tak tahu apa lagi yang penonton mahu dan apa yang mereka nak sebenarnya. Dalam hal begini kita kena berpakat untuk menghasilkan karya-karya yang bermutu. Jika tidak sampai bila pun filem kita kurang sambutan," jelasnya.

Terbaru, Azwan bakal terlibat dalam filem Juvana 3 yang turut menampilkan pelakon-pelakon lama drama bersiri kegemaran ramai itu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Mangga mampu jana hasil RM500j

Posted: 10 May 2014 12:43 PM PDT

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my

KUALA SELANGOR 10 Mei - Orang ramai khususnya petani digalakkan merebut peluang dalam penanaman mangga berikutan industri itu mampu menjana pendapatan bernilai RM500 juta setiap tahun.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, setiap tahun jumlah permintaan terhadap mangga adalah sebanyak 135,000 metrik tan termasuk daripada industri kecil dan sederhana seperti jeruk dan jus.

Bagaimanapun, katanya, pengeluaran tempatan hanya mampu membekalkan kira-kira 59,000 tan metrik menyebabkan mangga terpaksa diimport terutama dari negara jiran terdekat.

Ada separuh lagi jumlah bekalan yang perlu dipenuhi bagi memenuhi permintaan tempatan. Saya yakin penanaman mangga sepatutnya diceburi semua orang termasuk peladang, peruncit dan pekilang, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis pelancaran promosi mangga tempatan di pasar raya Giant di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Perlis, Ahmad Bakri Ali.

Sementara itu, Ahmad Bakri memberitahu, Giant yang mempunyai 148 cawangan di seluruh negara akan memasarkan beberapa jenis mangga seperti Perlis Sunshine, Water Lily, Susu, Chokanan, Yen dan Maha.

Menurutnya, promosi di pasar raya besar bertujuan menggalakkan lebih ramai orang memakan mangga tempatan dan produk-produk yang diperbuat daripada buah itu.

Selain itu katanya, ia juga bertujuan untuk meningkatkan permintaan dan memperluaskan pasaran ketika musim mangga di antara April dan Mei.

Karnival Sukan Utusan/BKUM 2014 meriah

Posted: 10 May 2014 12:43 PM PDT

kontinjen Jabatan Pengeluaran menunjukkan piala pusingan sambil bersorak beramai-ramai bagi meraikan kejayaan muncul juara keseluruhan Karnival Sukan Utusan/BKUM 2014 dalam majlis penutup karnival itu di Bangi, semalam.

KUALA LUMPUR 10 Mei - Lebih 400 warga kerja Kumpulan Utusan memeriahkan Karnival Sukan Utusan dan Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) 2014 yang berlangsung di Kompleks Sri Utusan Bangi dekat sini hari ini.

Pada karnival kali ke-13 itu, kontinjen Jabatan Pengeluaran muncul juara keseluruhan apabila meraih 4 emas, 2 perak dan 2 gangsa sekali gus berjaya membawa pulang wang tunai sejumlah RM1,500 beserta piala pusingan.

Naib juara pula milik kontinjen Jabatan Pemasaran dengan 3 emas, 1 perak dan 2 gangsa serta mendapat habuan sebanyak RM1,000 manakala tempat ketiga disandang kontinjen Jabatan Pengarang setelah memungut 2 emas, 3 perak dan 6 gangsa.

Upacara penutupan karnival itu dirasmikan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar dengan melepaskan tujuh ekor burung merbok sebagai simbolik kepada bilangan kontinjen yang mengambil bahagian.

Yang turut hadir, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Timbalannya, Datuk Othman Mohamad serta Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd Nor.

8 terperangkap di air terjun diselamatkan

Posted: 10 May 2014 12:43 PM PDT

KUALA LUMPUR 10 Mei - Seramai lapan warga Iraq termasuk tiga kanak-kanak yang sedang berkelah di Air Terjun Sungai Tekala, Semenyih dekat sini berdepan detik cemas setelah terperangkap kira-kira dua jam akibat arus deras petang ini.

Bagaimanapun, kesemua mangsa yang dipercayai bersaudara itu berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba kira-kira pukul 8 malam.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.28 petang dan pasukan penyelamat tiba kira-kira 20 minit kemudian.

Mangsa yang terperangkap ialah dua lelaki, tiga wanita serta tiga kanak-kanak. Kesemua mereka terperangkap kira-kira 100 meter dari tapak air terjun terbabit kerana arus deras.

Mereka kemudian berjaya diselamatkan menggunakan tali menyeberangi sungai selebar kira-kira 15 meter itu oleh pasukan penyelamat, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Sani berkata, kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


2,200 sertai Ronda Riadah Mega Ride

Posted: 10 May 2014 12:43 PM PDT

utusanjohor@utusan.com.my">

ABDUL Rahmad Mohamed Dewam (tiga dari kanan) melepaskan peserta berbasikal sempena Ronda Riadah Mega Ride 2014 di Bandar Dato Onn, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU 10 Mei - Seramai 2,200 peserta menyertai acara berbasikal sempena Ronda Riadah Mega Ride 2014 anjuran Kelab Berbasikal Ronda Riadah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (IPDJBS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Johor Land di sini hari ini.

Acara berbasikal yang melibatkan jarak sejauh 56 kilometer itu dibahagikan kepada lima kategori iaitu kategori terbuka PDRM, veteran 45 tahun dan ke atas, lelaki 22 hingga 44 tahun, junior 21 tahun ke bawah dan wanita dengan menawarkan hadiah wang tunai serta pingat.

Pengerusi Kelab Berbasikal Ronda Riadah IPDJBS, Hasbullah Noor berkata, penganjuran acara tersebut dimulakan pada tahun 2011 dan dijadikan sebagai acara tahunan di Bandar Dato Onn sejak itu.

Pada hari ini sukan berbasikal semakin diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Aktiviti riadah yang mencerminkan gaya hidup sihat ini boleh dijadikan medium dalam menyatu dan merapatkan hubungan antara kita.

Penyertaan pada tahun ini melibatkan lebih 350 peserta dari luar negara, antaranya Singapura, Indonesia, United Kingdom, Australia, Jerman, Filipina, Ireland, Jepun dan Belanda," katanya sebelum acara kayuhan bermula di Balai Polis Bandar Dato' Onn di sini hari ini.

Pelepasan peserta disempurnakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Abdul Rahman Mohamed Dewam.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Supritendan Abdul Wahid Musa.

Selain acara berbasikal, turut diadakan Karnival Hartanah Johor Land, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, sukan rakyat, pemeriksaan kesihatan dan cabutan bertuah.

Hasbullah memberitahu, acara tersebut adalah contoh terbaik kerjasama antara pihak polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan syarikat korporat dalam menjayakan program Community Policing PDRM.

Segerakan pembinaan rumah mampu milik - Perkasa

Posted: 10 May 2014 12:43 PM PDT

LEDANG 10 Mei - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri menggesa semua syarikat milik kerajaan (GLC) dan pemaju swasta menyegerakan pembinaan rumah mampu milik bagi membolehkan golongan bumiputera memiliki kediaman di negeri ini.

Yang Dipertuanya, Samat Atan berkata, masih ramai golongan bumiputera yang tidak mampu membeli rumah dan pembinaan rumah mampu milik itu dilihat dapat menyelesaikan masalah tersebut terutama di kawasan bandar.

Pembinaan rumah mampu milik dalam projek perumahan sudah pun diluluskan di negeri ini. Perkasa Johor berharap agensi pelaksana memastikan syarikat pemaju terbabit membina rumah jenis mampu milik dengan segera terutama di bandar Johor Bahru dan Wilayah Iskandar Malaysia.

Selama ini, sebahagian syarikat pemaju ini hanya mengutamakan rumah harga mahal kerana mengejar keuntungan dan melengah-lengahkan pembinaan rumah mampu milik yang menjadi tanggungjawab sosial mereka," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Perkasa daerah Ledang di Tanjung Agas di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini yang mahu rumah mampu milik dibina lebih banyak di kawasan bandar sekalipun terpaksa membeli tapak bagi tujuan itu.

Samat berkata, Perkasa bimbang jika tindakan tegas tidak diambil, syarikat perumahan akan mengambil mudah hal itu dan bakal menimbulkan kesan besar terhadap usaha mengatasi masalah perumahan golongan berpendapatan rendah di negeri ini.

Menurut beliau, ini kerana harga rumah teres dua tingkat di kawasan bandar Johor Bahru dan Iskandar Malaysia kini begitu mahal iaitu melebihi RM500,000 seunit, harga yang tidak mampu dibeli golongan berpendapatan rendah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Bengang berputih mata, empat lelaki bakar mesin ATM

Posted: 11 May 2014 03:11 AM PDT

KUALA LUMPUR 11 Mei - Empat lelaki yang bengang selepas mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang dipecahkan kosong, nekad membakar mesin berkenaan dalam kejadian di sebuah bank di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata, semua suspek menaiki kereta jenis Proton Saga FLX yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dalam kejadian 4.45 pagi di Bandar Baru Sentul.

Beliau berkata, suspek juga dipercayai menggunakan gas oxy acetylene untuk memecahkan ATM itu selain menyembur kamera litar tertutup (CCTV) pada mesin berkenaan dengan cat berwarna biru bagi mengelak identiti mereka dikenal pasti.

``Di dalam bank itu terdapat mesin deposit tunai dan ATM. Namun suspek hanya memecahkan ATM...apabila mendapati ia kosong (tiada wang) mereka marah dan bertindak membakar mesin terbabit.

``Sebenarnya mesin ATM itu telah dikosongkan pada 24 April lepas dan ia disahkan sendiri oleh pihak bank,'' katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, kesan kebakaran akibat gas oxy acetylene dapat dilihat secara jelas pada ATM itu selain pihaknya turut menemui satu beg kain dipercayai milik suspek.

Polis sedang berusaha mendapatkan rakaman CCTV lain untuk menjejak semua suspek. - BERNAMA

Pemilihan PKR Kota Raja dibatalkan, kumpulan lelaki bertindak ganas rampas peti undi

Posted: 11 May 2014 03:06 AM PDT

KLANG 11 Mei - Tidak sampai satu jam proses pengundian ditutup kira-kira pukul 5 petang ini, pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja terpaksa dibatalkan apabila sekumpulan lelaki bertindak merampas peti undi dan melemparkannya ke lantai dewan pusat pengundian.

Pembatalan pengundian itu diumumkan kira-kira 4.30 petang ini oleh wakil petugas pemilihan parti itu.

Tindakan sekumpulan lelaki itu difahamkan dilakukan setelah tidak berpuas hati dengan proses pemilihan parti di cabang berkenaan yang mana sebelum itu mereka cuba merempuh masuk ke dalam dewan pengundian terbabit di Kompleks sukan MPK, Taman Seri Andalas namun dihalang oleh anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang bertugas.

Bagaimanapun, akibat tidak berpuas hati dihalang masuk, kumpulan lelaki berkenaan kemudiannya bertindak memanjat pagar setinggi dua meter dan masuk ke dalam dewan berkenaan selain bertindak merampas peti undi dan melemparkan ke lantai dewan.

Selain itu, mereka juga bertindak menterbalikkan meja termasuk bungkusan makanan di luar dewan yang disediakan untuk para pengundi.

Ekoran kejadian itu, pasukan polis bergegas ke kawasan pengundian bagi mengawal keadaan. - UTUSAN ONLINE

Peti undi pemilihan PKR Kota Raja dirampas sekumpulan lelaki

Posted: 11 May 2014 02:58 AM PDT

Oleh ZABRY MOHD. MADZLAN dan ABDUL YAZID ALIAS

KLANG 11 Mei - Tidak sampai satu jam proses pengundian ditutup kira-kira pukul 5 petang ini, pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja terpaksa dibatalkan apabila sekumpulan lelaki bertindak merampas peti undi dan melemparkannya ke lantai dewan pusat pengundian.

Pembatalan pengundian itu diumumkan kira-kira 4.30 petang oleh wakil petugas pemilihan parti itu.

Tindakan sekumpulan lelaki itu difahamkan dilakukan setelah tidak berpuas hati dengan proses pemilihan parti di cabang berkenaan yang mana sebelum itu mereka cuba merempuh masuk ke dalam dewan pengundian terbabit di Kompleks Sukan MPK, Taman Sri Andalas namun dihalang oleh anggota Rela yang bertugas.

Bagaimanapun, akibat tidak berpuas hati kerana dihalang masuk, kumpulan lelaki berkenaan kemudiannya bertindak memanjat pagar setinggi dua meter dan masuk ke dalam dewan berkenaan selain bertindak merampas peti undi dan melemparkan ke lantai dewan.

Selain itu, mereka juga bertindak menterbalikkan meja termasuk bungkusan makanan di luar dewan yang disediakan untuk para pengundi.

Ekoran kejadian itu, pasukan polis telah bergegas ke kawasan pengundian bagi mengawal keadaan. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved