Ahad, 11 Mei 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Mangga mampu jana hasil RM500j

Posted: 10 May 2014 12:43 PM PDT

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my

KUALA SELANGOR 10 Mei - Orang ramai khususnya petani digalakkan merebut peluang dalam penanaman mangga berikutan industri itu mampu menjana pendapatan bernilai RM500 juta setiap tahun.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, setiap tahun jumlah permintaan terhadap mangga adalah sebanyak 135,000 metrik tan termasuk daripada industri kecil dan sederhana seperti jeruk dan jus.

Bagaimanapun, katanya, pengeluaran tempatan hanya mampu membekalkan kira-kira 59,000 tan metrik menyebabkan mangga terpaksa diimport terutama dari negara jiran terdekat.

Ada separuh lagi jumlah bekalan yang perlu dipenuhi bagi memenuhi permintaan tempatan. Saya yakin penanaman mangga sepatutnya diceburi semua orang termasuk peladang, peruncit dan pekilang, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis pelancaran promosi mangga tempatan di pasar raya Giant di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Perlis, Ahmad Bakri Ali.

Sementara itu, Ahmad Bakri memberitahu, Giant yang mempunyai 148 cawangan di seluruh negara akan memasarkan beberapa jenis mangga seperti Perlis Sunshine, Water Lily, Susu, Chokanan, Yen dan Maha.

Menurutnya, promosi di pasar raya besar bertujuan menggalakkan lebih ramai orang memakan mangga tempatan dan produk-produk yang diperbuat daripada buah itu.

Selain itu katanya, ia juga bertujuan untuk meningkatkan permintaan dan memperluaskan pasaran ketika musim mangga di antara April dan Mei.

Karnival Sukan Utusan/BKUM 2014 meriah

Posted: 10 May 2014 12:43 PM PDT

kontinjen Jabatan Pengeluaran menunjukkan piala pusingan sambil bersorak beramai-ramai bagi meraikan kejayaan muncul juara keseluruhan Karnival Sukan Utusan/BKUM 2014 dalam majlis penutup karnival itu di Bangi, semalam.

KUALA LUMPUR 10 Mei - Lebih 400 warga kerja Kumpulan Utusan memeriahkan Karnival Sukan Utusan dan Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) 2014 yang berlangsung di Kompleks Sri Utusan Bangi dekat sini hari ini.

Pada karnival kali ke-13 itu, kontinjen Jabatan Pengeluaran muncul juara keseluruhan apabila meraih 4 emas, 2 perak dan 2 gangsa sekali gus berjaya membawa pulang wang tunai sejumlah RM1,500 beserta piala pusingan.

Naib juara pula milik kontinjen Jabatan Pemasaran dengan 3 emas, 1 perak dan 2 gangsa serta mendapat habuan sebanyak RM1,000 manakala tempat ketiga disandang kontinjen Jabatan Pengarang setelah memungut 2 emas, 3 perak dan 6 gangsa.

Upacara penutupan karnival itu dirasmikan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar dengan melepaskan tujuh ekor burung merbok sebagai simbolik kepada bilangan kontinjen yang mengambil bahagian.

Yang turut hadir, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Timbalannya, Datuk Othman Mohamad serta Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd Nor.

8 terperangkap di air terjun diselamatkan

Posted: 10 May 2014 12:43 PM PDT

KUALA LUMPUR 10 Mei - Seramai lapan warga Iraq termasuk tiga kanak-kanak yang sedang berkelah di Air Terjun Sungai Tekala, Semenyih dekat sini berdepan detik cemas setelah terperangkap kira-kira dua jam akibat arus deras petang ini.

Bagaimanapun, kesemua mangsa yang dipercayai bersaudara itu berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba kira-kira pukul 8 malam.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.28 petang dan pasukan penyelamat tiba kira-kira 20 minit kemudian.

Mangsa yang terperangkap ialah dua lelaki, tiga wanita serta tiga kanak-kanak. Kesemua mereka terperangkap kira-kira 100 meter dari tapak air terjun terbabit kerana arus deras.

Mereka kemudian berjaya diselamatkan menggunakan tali menyeberangi sungai selebar kira-kira 15 meter itu oleh pasukan penyelamat, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Sani berkata, kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved