Khamis, 12 Disember 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Sukan SEA Myanmar: Eddy raih emas ketujuh negara

Posted: 12 Dec 2013 10:57 PM PST

PENEMBAK negara, Eddy Chew (tengah) meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan Jonathan Wong (kiri) dan Abdul Hadi Abdul Malek selepas meriah emas dalam acara 50m pistol lelaki. Gandingan ketiga-tiga penempak ini juga menyumbang gangsa dalam acara berpasukan pada temasya Sukan SEA Myanmar di Lapang Sasar North Dagon, Yangon hari ini. - BERNAMA

YANGON 13 Dis. - Penembak muda negara, Eddy Chew menceriakan kem Malaysia hari ini apabila menyumbang sebutir lagi pingat emas Sukan SEA Myanmar 2013 menerusi acara 50 meter pistol lelaki.

Eddy memperoleh 186.4 mata mengatasi peserta tuan rumah Naung Ye Tun (185.7 mata) untuk pingat perak manakala seorang lagi penembak negara, Jonathan Wong mengutip gangsa dengan 166 mata.

Sementara itu gandingan Eddy, Johanthan dan Abdul Hadi Abdul Malek meraih pingat gangsa dalam acara 50 meter pistol berpasukan lelaki dengan 1,618 mata. Emas dimenangi penembak Vietnam manakala Singapura meraih perak.

Dengan dua emas yang disumbang atlet negara hari ini menjadikan Malaysia mengumpul tujuh pingat emas setakat ini. - UTUSAN ONLINE

Sukan SEA Myanmar: Karate sumbang emas keenam

Posted: 12 Dec 2013 08:02 PM PST

Daripada DAYNE AZMIN

NAY PYI TAW 13 Dis. - Malaysia memulakan hari ketiga Sukan SEA Myanmar 2013 hari ini dengan cemerlang apabila meraih pingat emas dalam sukan karate menerusi Lim Chee Wei.

Beliau mengalahkan peserta tuan rumah, Khant Min Hein pada aksi akhir individu kata lelaki sekali gus kutipan emas keenam kontingen negara temasya edisi ke-27 itu setakat ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


'Tuhan Harun' akan dihadap ke mahkamah Isnin ini

Posted: 12 Dec 2013 07:58 PM PST

KUANTAN 13 Dis. - Ketua kumpulan ajaran sesat yang menggelarkan dirinya sebagai 'Tuhan Harun', Harun Mat Saat, 47, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Isnin ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, Harun dan beberapa pengikutnya akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa) Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Allahyarham Ahmad Raffli Abdul Malik yang ditembak di rumahnya di Indera Mahkota 2 di sini pada 10 November lalu. - UTUSAN ONLINE

Helikopter tenggelam di dasar laut

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Oleh ZAAIN ZIN
pengarang@utusan.com.my

BINTULU 12 Dis. - Sebuah helikopter jenis Sikorsky S-76 milik MHS Aviation Berhad mengalami kerosakan teknikal dan terpaksa membuat pendaratan cemas sebelum tenggelam ke dasar laut, kira-kira 89 batu nautika (164.6 kilometer) dari pesisiran pantai, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 7.42 pagi itu, dua krew penerbangan dan enam penumpang dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan serius. Mereka bertindak terjun ke dalam laut sebelum helikopter berkenaan tenggelam.

Jurucakap polis berkata, helikopter tersebut yang dipandu dua juruterbang warga tempatan berlepas dari Lapangan Terbang Bintulu pada pukul 7 pagi ini.

"Helikopter itu disewa khas oleh sebuah syarikat petroleum untuk membawa enam pekerja warga asing melakukan tinjauan bagi tujuan kerja cari gali minyak dan gas asli di perairan di sini.

"Selepas kira-kira 45 minit berlepas, cuaca buruk melanda menyebabkan helikopter tersebut berdepan masalah teknikal sehingga memaksa juruterbang melakukan pendaratan cemas di atas permukaan laut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut jurucakap itu lagi, selepas mendarat cemas, juruterbang mengarahkan kesemua penumpang keluar menyelamatkan diri.

"Helikopter itu tenggelam sepenuhnya ke dasar laut kira-kira pukul 9.53 pagi manakala kesemua mangsa diselamatkan sebuah kapal yang kebetulan melalui lokasi kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Madang Usat ketika mengesahkan kejadian itu berkata, penumpang helikopter berkenaan terdiri daripada warga Perancis, Finland, Denmark, Kanada dan Norway.

"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Colombia di Miri untuk pemeriksaan lanjut. Hanya seorang mangsa, iaitu juruterbang dilaporkan mengalami kecederaan namun tidak serius," katanya sambil memberitahu punca kejadian masih dalam siasatan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Mahkamah kekal keputusan pembebasan bekas ahli Parlimen

Posted: 12 Dec 2013 06:50 PM PST

KUALA LUMPUR 13 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan pembebasan bekas ahli Parlimen Jeli, Mohd. Apandi Mohamed, 52, daripada 13 tuduhan memalsukan dokumen membabitkan kos tuntutan sewa sebuah hotel berjumlah RM31,050, 11 tahun lalu. - UTUSAN

Rayuan kes Anwar saman Nalla 11 Februari

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Rayuan yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam kes saman fitnah RM100 juta, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas rakan baiknya, Datuk S. Nallakaruppan atas dakwaan mengaitkannya dengan aktiviti biseksual, akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 11 Februari tahun depan.

Dalam saman tersebut, Ketua Pembangkang itu menyaman Nallakaruppan yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB), dan Ketua Pengarangnya.

Pada pengurusan kes di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan 14 Februari tahun depan pengurusan kes di hadapan beliau bagi mengetahui perkembangan rayuan tersebut.

Ketiga-tiga pihak dalam saman tersebut mengemukakan rayuan berhubung keputusan Vazeer Alam pada 26 Disember tahun lalu.

Nallakaruppan dan UMMB mengemukakan rayuan terhadap perintah Vazeer Alam yang membenarkan permohonan Anwar untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan bekas Pengarah Eksekutif Magnum Corporation Bhd. (Magnum), itu.

Anwar pula merayu terhadap perintah mahkamah tersebut yang mengekalkan sebahagian besar pembelaan Nallakaruppan dan UMMB yang dinamakan sebagai pihak defendan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak berpuas hati kerana Nallakaruppan dan UMMB telah bergantung sepenuhnya kepada penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat pertama yang dihadapinya pada tahun 2004.

Anwar memfailkan saman pada 26 Mac 2012 berhubung petikan ringkas yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 20 Mac 2012 di muka surat hadapan bertajuk Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang - Nalla dan berita penuh di muka surat enam bertajuk Nallakaruppan tuduh Anwar biseksual.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


4,000 bantu mangsa banjir

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Sebahagian mahasiswi membersihkan sebuah sekolah agama di Sungai Isap 2, Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 12 Dis. - Kejadian banjir di daerah ini minggu lalu yang dianggap bencana terbesar sejak beberapa dekad lalu bukan sahaja menduga mangsa terlibat malah turut menguji tahap keprihatinan anggota masyarakat.

Daripada apa yang dapat dilihat, kesungguhan rakyat negara ini untuk membantu mangsa banjir memang terserlah dengan bantuan demi bantuan terus dihulurkan kepada mangsa-mangsa terlibat.

Ini termasuk daripada syarikat korporat, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), artis, orang perseorangan malah tidak terkecuali golongan pelajar.

Bagi yang berkemampuan, mereka menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan dan material manakala tidak kurang juga yang tampil menyumbang tenaga membantu mangsa banjir.

Apatah lagi, ketika ini ialah fasa pasca banjir yang memerlukan kudrat ramai untuk membantu mangsa banjir membersihkan rumah dan persekitaran.

Usaha ini termasuk yang dilakukan oleh 4,000 penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara yang menyertai Program Sukarelawan Siswa anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa bagi membantu mangsa banjir di sekitar daerah ini yang terjejas teruk.

Sukarelawan tersebut termasuk 2,000 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang digerakkan ke 60 pusat pemindahan di sini bagi membantu mengagihkan sumbangan seperti bekalan makanan, pakaian dan keperluan lain seperti tikar serta tilam nipis.

Menurut Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, UMP dilantik sebagai penyelaras program berkenaan dengan mewujudkan pusat pengumpulan yang akan berperanan mengumpul dan mengagihkan sumbangan dari seluruh negara.

"Selain UMP, IPTA yang terlibat ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) di sini.

"Selain bantuan membersihkan rumah dan pusat pemindahan, mahasiswa perubatan daripada UPM juga menawarkan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Sungai Isap 2 di sini semalam.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa, Datuk Zuraidah Atan.

Tambah Idris, UMP turut membatalkan kuliah semua mahasiswanya selama sehari bagi memberi laluan kepada mereka membantu mangsa-mangsa banjir.

"Pelantikan UMP sebagai pusat pengumpulan bantuan yang datang dari seluruh negara juga bertujuan melancarkan urusan pengagihan untuk mengelakkan berlakunya sebarang ketirisan," jelasnya sambil memberitahu sumbangan dapur memasak dan tilam nipis amat dialu-alukan.

Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Khir Tajul Ariffin, 23, berkata, dia bersama pelajar lain menerusi Kelab Sivil, Fakulti Kejuruteraan Awam UMP, turun padang membantu mangsa banjir sejak Sabtu lalu.

"Pada mulanya kelab kami bergerak sendiri membantu berdasarkan kemampuan. Saya bersyukur kerana pihak universiti menganjurkan program seperti ini agar kami turut sama membantu mereka yang terjejas.

"Saya berpuas hati apabila dapat menyumbangkan tenaga dalam menceriakan insan lain," kata mahasiswa tahun akhir yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam.

Bagi anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan, Noor Hasmida Mat Jahari, 20, dia berharap sumbangan yang tidak seberapa itu dapat mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh mangsa banjir.

"Saya sendiri berasa sebak apabila melihat kemusnahan harta benda akibat banjir. Saya harap mereka yang terlibat melalui ujian ini dengan sabar dan cekal.

"Selagi terdaya saya dan rakan- rakan akan membantu membersihkan rumah-rumah mereka yang terlibat," katanya mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri, UMP.

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Fatimah Mohd. Idris, 72, dia berterima kasih kepada sukarelawan yang datang ke rumahnya untuk membantu membersihkan lumpur.

"Tiada apa yang dapat saya katakan melainkan jutaan terima kasih kepada sukarelawan yang membantu untuk membersihkan rumah. Jika hendak melakukan sendiri pastinya tidak termampu dilakukan dengan segera," jelasnya.

Buat kajian terperinci elak banjir

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang mangsa banjir di Taman Cenderawasih, Kuantan, Pahang, kelmarin.

KUANTAN 12 Dis. - Kajian terperinci perlu dilakukan pihak berkuasa bagi mencari mekanisme terbaik untuk mengatasi fenomena banjir agar tidak berulang.

Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, kajian tersebut perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk risiko yang bakal dihadapi untuk jangka masa yang panjang.

"Kajian ini perlu meliputi pelbagai aspek untuk jangka panjang termasuk punca-punca berlakunya banjir yang boleh diatasi.

"Saya sarankan sedemikian kerana melihat kesan fenomena ini kepada mangsa amat besar dan menyentuh hati.

"Dalam masa yang sama, saya berbangga dengan ketabahan mangsa banjir yang reda dengan ujian ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan di perkampungan Cenderawasih di sini semalam.

Tengku Abdul Rahman menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai, peralatan persekolahan dan kelengkapan solat kepada 500 mangsa banjir dari rumah ke rumah.

Yang turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaakob.

Sementara itu, seorang penerima, Nor Arshad Yahya, 55, amat berterima kasih kepada pemberi sumbangan termasuk Tengku Muda Pahang yang sanggup datang menyerahkan sendiri ke rumahnya.

"Saya lihat penyerahan sumbangan dari rumah ke rumah lebih efisien dan memenuhi hasrat para penyumbang.

"Selain sumbangan sampai terus ke tangan penerima, usaha ini dapat mengelakkan mereka yang layak tercicir," katanya yang merupakan Setiausaha Masjid Saidina Ummar Al-Khatab, Cenderawasih di sini.

Tambahnya, beliau banyak memerhatikan kebanyakan sumbangan tidak sampai kepada penerima jika diadakan di satu-satu tempat seperti dewan.

"Kita perlu menyedari hakikat bahawa dalam kalangan mangsa banjir terdapat mereka yang uzur dan kurang upaya.

"Ada juga yang trauma dengan kemusnahan harta benda dalam sekelip mata sehingga menyukarkan mereka untuk bergerak ke sana-sini menerima sumbangan," jelasnya.

Lapor segera keperluan mangsa banjir

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Mohd. Ariffin Awang Ismail (kiri) menyerahkan bantuan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Chenor Seberang, Maran, kelmarin.

MARAN 12 Dis.- Ketua-ketua kampung perlu segera melaporkan kepada pemimpin setempat jika terdapat mangsa banjir yang memerlukan bantuan khususnya sumbangan makanan daripada agensi kerajaan terlibat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mohd. Arifin Awang Ismail berkata, ini berikutan tidak semua penduduk yang terjejas banjir memilih berpindah ke pusat pemindahan atas sebab-sebab tertentu.

Menurut beliau, di Chenor sendiri, banyak penduduk di kampung- kampung tradisional yang enggan berpindah dan mereka ini perlu diberi perhatian khususnya daripada segi keselamatan selain keperluan seperti ubat dan makanan.

"Walaupun rumah mereka masih boleh didiami, namun jalan perhubungan sudah terputus. Ini mengakibatkan penduduk yang tidak berpindah berhadapan masalah mendapatkan bekalan makanan dan kita harap ketua kampung dapat pantau perkara ini sebaik mungkin," katanya.

Mohd. Ariffin berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa banjir di Chenor Seberang di sini.

Sementara itu, beliau berkata, walaupun cuaca semakin baik tetapi paras air Sungai Pahang masih tinggi berikutan hujan di kawasan hulu sungai dan ini sekali gus boleh mengundang risiko banjir.

Sehubungan itu, beliau mahu penduduk khususnya yang tinggal di kampung-kampung pinggiran Sungai Pahang terus berwaspada dengan gelombang kedua banjir yang mungkin berlaku.

Beliau seterusnya mengingatkan penduduk mengutamakan kebersihan kediaman dan tempat tinggal bagi mengelakkan penyakit bawaan air.

"Untuk makluman, skuad bantuan yang menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat adakalanya menghadapi kesukaran sampai ke lokasi kerana terdapat jaring menangkap ikan yang berselirat sekali gus boleh membahayakan mereka.

"Jadi saya harap penduduk dapat ambil kira semua situasi ini kerana yang penting adalah usaha memberikan bantuan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Polis Indonesia perketat kawalan keselamatan menjelang Krismas

Posted: 12 Dec 2013 08:59 AM PST

JAKARTA 13 Dis. - Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono mengarahkan polis untuk meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar gereja menjelang perayaan Krismas pada 25 Disember ini.

Arahan itu dikeluarkan Susilo selepas beliau menerima laporan daripada Ketua Polis Indonesia, General Sutarman bahawa terdapat ancaman serangan pengganas pada hari berkenaan.

Sementara itu, Sutarman berkata, selain gereja, kawalan keselamatan juga akan dijalankan di pusat membeli-belah, pusat hiburan dan tempat pelancongan yang akan menjadi tumpuan orang ramai pada Krismas ini. - REUTERS

Empat tentera Pakistan maut trak dibom

Posted: 12 Dec 2013 08:50 AM PST

ISLAMABAD 13 Dis. - Empat anggota tentera Pakistan maut apabila sebuah trak yang dinaiki mereka dibom di utara Waziristan, berhampiran kawasan sempadan Afghanistan di sini semalam.

Letupan itu turut mengakibatkan lima lagi anggota yang lain cedera.

Jurucakap tentera berkata, mereka percaya letupan itu dirancang oleh kumpulan Taliban Pakistan memandangkan Waziristan adalah salah satu kubu kuat kumpulan berkenaan. - Agensi

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Realiti politik Melayu-Islam

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid

Semasa menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2013, Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri menekankan bahawa demi masa depan yang gemilang, UMNO perlu mentransformasikan dirinya sebagai parti masa depan dan bukannya kekal sebagai parti masa silam.

Ertinya, semua pemimpin dan ahli UMNO perlu memahami semangat zaman. Dalam istilah sosiologi Jerman ialah zeitgeist. Berdasarkan pengertian istilah itu, setiap ahli UMNO mestilah tahu menyesuaikan diri dengan keperluan semasa dan tidak lagi boleh bernostalgia dengan masa silam, walaupun masa silam itu telah memunculkan era kegemilangannya.

Seorang pakar motivasi terkenal Zig Ziglar pernah berkata, orang tidak lagi kagum dengan seseorang yang mampu menjual sejuta unit dalam tempoh yang singkat pada suatu masa kalau orang itu tidak mampu mengatasi masalah semasa yang dihadapinya (baca Zig Ziglar, See You At The Top, 1975).

Begitu juga dengan UMNO. Untuk menjadi sebuah parti politik yang terus relevan dan kekal untuk tempoh yang lebih panjang, setiap ahlinya perlu melakukan transformasi selepas Perhimpunan Agung UMNO 2013 berakhir.

Masanya sudah dianggap suntuk, kerana untuk tempoh lima tahun akan datang, khususnya Pilihan Raya Umum Ke-14, sokongan golongan muda tetap menjadi sesuatu yang amat kritikal dan ketika itu, mereka dijangka membentuk lebih separuh daripada jumlah pengundi berdaftar.

Misalnya, Pergerakan Puteri UMNO mencadangkan agar mereka yang berumur 18 tahun ke atas dapat diterima secara automatik jadi ahli Puteri, tidak perlu bersusah payah mengisi borang dan cukup hanya dengan mendaftar diri.

Jika cadangan ini dilaksanakan, bermakna UMNO bakal mempunyai barisan pelapis yang besar dan perlu pula mentransformasikan penyampaiannya bukan lagi berdasarkan konsep satu saiz boleh muat atau padan dengan semua orang.

Memang diakui, UMNO sudah hampir pulih daripada gelora kemarahan golongan muda jika dibandingkan dengan pencapaian pada PRU-12. PRU-13, UMNO berjaya menguasai 88 kerusi Dewan Rakyat iaitu meningkat sebanyak 9 kerusi daripada PRU-12, tetapi itu belum menggambarkan parti itu berkeadaan selesa. Bagaimanapun, secara realitinya, undi popular yang diperoleh BN merosot berbanding sebelumnya.

Inilah sebenarnya yang perlu difikirkan sedalam-dalamnya oleh setiap ahli UMNO seandainya mahu mengekalkan kedudukan sebagai parti yang dominan pada masa depan. UMNO juga harus belajar daripada kesilapan sejarah, seperti mana yang disifatkan secara sinisnya oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, UMNO adalah sebuah parti yang sudah tua, yang mungkin akan lenyap pada bila-bila masa sekiranya proses peremajaan tidak berlaku dengan berkesan.

Pemimpin dan seluruh ahli UMNO perlu meneliti secara serius sejarah kegemilangan Islam di Andalusia, yang walaupun pernah menjadi sebuah kerajaan yang berpengaruh dan kuat selama hampir 800 tahun, akhirnya tumbang dengan mudah dibelasah oleh ketumbukan askar Kristian.

Analisis yang dibuat oleh seorang pakar sejarah berdasarkan sumber berbahasa Arab, Prof. Dr. Raghib as-Sirjani, Bangkit dan Runtuhnya Andalusia: Jejak Kejayaan Peradaban Islam di Sepanyol (edisi terjemahan bahasa Indonesia, 2013) begitu menarik untuk dijadikan teladan kerana beliau menyulaminya dengan apa yang telah digambarkan oleh Allah SWT dalam wahyu-Nya terhadap hakikat manusia apabila lupa diri ketika di puncak kuasa.

UMNO juga masih belum mampu menyingkirkan zon selesa sebahagian daripada pemimpinnya, yang bermati-matian mahu mempertahankan kedudukannya walaupun secara realitinya sudah tidak lagi boleh diterima oleh sebahagian besar ahlinya.

Tetapi, kelangsungan kuasanya hanya bergantung kepada keupayaan aset yang dimiliki secara peribadi, dan aset itulah juga digunakan untuk membeli sokongan.

Biarpun berkali-kali seruan ke atas pembanterasan politik wang diperkatakan, UMNO sebenarnya belum mampu menghapuskan sepenuhnya kerana masih lagi ahli dan pemimpin yang melakukannya secara tersembunyi.

Meskipun, Perhimpunan Agung UMNO 2013 diadakan selepas pemilihan jawatan dalam parti, kehadiran perwakilan turut ditaja oleh power broker, dan kerana ditaja itulah suasana gamat ketika perbahasan banyak pemerhati menganggapnya sebagai lelucon.

Sebaik-baik sahaja Timbalan Presiden dan Presiden memberikan ucapan dasar, sebahagian perwakilan tidak lagi menunjukkan kesungguhan meneliti butir-butir perbahasan.

Sebaliknya, mereka lebih menumpukan perhatian untuk memenuhi keranjang beli-belah, dan suasana itu menjadikan setiap kali Perhimpunan Agung UMNO tidak ubah seperti pesta beli-belah.

Itulah mungkin gambaran yang boleh disifatkan sebagai mencintai sesuatu yang bersifat fizikal berbanding memenuhi keperluan psikologi, yakni membuka minda dan hati bagaimana untuk menyatupadukan semua orang Melayu khususnya, dan semua orang Islam umumnya, agar mereka bukan sahaja mempunyai kuasa, bahkan kental dengan pegangan akidah dan keimanan.

Banyak perkara yang sepatutnya diberikan penjelasan atau dicarikan formula lengkap, termasuk menjadikan setiap orang sentiasa belajar. Sebaliknya, apabila konsep Pendidikan Islam Sepanjang Hayat dicadangkan, ramailah pemimpin UMNO bercakap bahawa peluang sudah terbuka, tentunya lebih banyak projek atau bangunan akan didirikan bagi merealisasikan dasar tersebut.

Inilah mentaliti sebahagian pemimpin UMNO, lebih mudah melihat bentuk fizikal daripada menyelam sedalam-dalamnya, bahawa konsep itu sebenarnya lebih merupakan perubahan sikap dan tindakan, yakni setiap orang sentiasa berusaha mencari ilmu tanpa jemu, kerana menuntut ilmu itu adalah suatu kewajipan bagi setiap muslim.

Persoalan tidak meletakkan ilmu di atas segala-galanya itulah juga menyebabkan mutiara keagungan Islam pada zaman silam mudah dihancurkan, kerana musuh-musuh Islam mencari kelemahan berdasarkan kerangka ilmu yang dibina berdasarkan semangat dan nilai mereka.

Itulah sebabnya, apabila hak dan kebebasan sudah dijadikan falsafah perjuangan, maka di situlah pula akan menjadikan nilai agama semakin berantakan, atau dianggap terlalu berkiblatkan dunia. Itulah sebenarnya yang terkandung dalam konsep semangat zaman atau zeitgeist, yang boleh dianggap sebagai trendy atau popular, tetapi tidak disusuli dengan nilai-nilai agama, moral dan budaya.

Andalusia yang mula didirikan sekitar tahun 711 oleh Tariq bin Ziyad, cukup banyak menyumbangkan proses peradaban tinggi sehingga melahirkan ramai pelopor dunia keintelektualan Islam yang bukan sahaja bersifat semasa, bahkan mendahulu zaman.

Bagaimanapun, setiap daripada mereka mempunyai tahap keimanan yang tinggi, kerana mereka bermula dengan memahami isi kandungan al-Quran, dan bukannya sebahagian daripada peradaban moden, lebih menguasai ilmu pengetahuan tetapi gagal menguasai kandungan al-Quran.

Nama-nama besar seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Ibnu al-Khatib, Ibu al-Firnas, Ibnu Khaldun dan Ibnu Batutah lahir semasa kegemilangan empayar Islam di Andalusia. Setelah empayar itu jatuh, dan diperintah oleh Ratu Isabella dan Raja Ferdinand pada 6 Januari 1492, jumlah penduduk Islam menjadi semakin mengecil dan kini dianggap sebagai kumpulan marginal.

Kenapakah perkara itu berlaku? Ialah kerana kegagalan umat Islam sendiri untuk membina benteng dan kekuatan ummah semasa berkuasa, lebih mengutamakan kepentingan material.

Pada tahun 1609, Raja Philips III yang memerintah menguatkuasakan satu Titah Diraja dengan memberi kata putus kepada pemeluk Islam (dianggarkan berjumlah 350,000 orang), sama ada bersedia menerima pembersihan etnik dan dihalau keluar dari Sepanyol atau menukarkan agama kepada Kristian. Mereka yang enggan menukarkan agama dibunuh dan disiksa manakala wanita pula dirogol.

Itulah hakikat yang wajar menjadi daya bertindak UMNO kalau tidak mahukan kedudukan orang Melayu dan Islam di Malaysia menerima nasib yang sama sebagaimana terjadinya ke atas umat Islam di Sepanyol selepas ratusan tahun ditewaskan oleh pemerintahan Kristian.

UMNO tidak perlu tunduk kepada tekanan agar melaksanakan perubahan yang lebih besar sehingga menodai orang Melayu dan Islam semata-mata ingin meraih sokongan bukan Islam, kerana sejarah membuktikan setelah kedudukan mereka semakin kuat, mereka akan mengancam orang yang pernah memberikan mereka peluang.

Sejarah kejatuhan Islam di Andalusia sepatutnya dijadikan amaran awal yang besar kepada UMNO kalau mahu melihat parti itu benar-benar berjaya melakarkan peradaban besar pada masa depan dan meneruskan kelangsungannya.

Ingatlah, fakta sejarah akibat kerakusan memikirkan kuasa menyebabkan rakyat mula meluat dan bakal mencari jalan bagaimana menjatuhkan orang yang berkuasa.

Itulah fenomena sejarah yang berlaku dalam hampir semua peradaban, dan UMNO hari ini, tidak wajar menggunakan keagungan masa silamnya sebagai doktrin membalas budi, kerana lebih ramai yang mahu melihat hasilnya daripada membaca sejarah.

Penulis ialah Pengurus Besar Analisis dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Untuk apa UMNO dan Pas bermuzakarah?

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Oleh Dr. Ismail Ibrahim

UMNO dan Pas perlu bermuzakarah adalah untuk mendapatkan persefahaman tentang perlunya kesatuan pemikiran dan agenda umat Islam sebagai umat yang komited dalam mengamalkan Islam dan membangunkan Islam dalam perspektifnya yang betul di negara kita.

Untuk merealisasikan kesefahaman dan kesatuan umat Islam, maka seluruh umat Islam yang ikhlas haruslah memahami Islam berdasarkan world view yang sebenarnya tentang Islam dan umat Islam itu.

Memahami Islam berdasarkan ideologi politik sering menimbulkan konflik di antara umat Islam seluruhnya, iaitu tentang kefahaman istilah-istilah ilmu yang ditafsirkan dari sudut politik seperti sekularisme, kebangsaan, fanatik, dan sebagainya.

Kefahaman istilah inilah yang sering dijadikan senjata untuk melabelkan para pengikut parti politik yang tertentu ketika berusaha mencari keuntungan politik kepartian, terutamanya kerana ingin mendapatkan sokongan kepada partinya dan mendapatkan undi dalam pilihan raya.

Isu-isu ini melibatkan akidah dan akhlak Islamiah, iaitu yang berlaku selama ini di antara UMNO dan Pas. Perjuangan dan agenda kerja politik yang disebutkan sebagai sekular, kebangsaan dan sebagainya yang ditakrifkan sebagai tidak Islamik, sering mengelirukan umat Islam sendiri tentang pentafsiran istilah-istilah itu yang sebenarnya.

Malah istilah dan label ini sering menjadi persepsi umat Islam sendiri, yang dianggapnya sebagai betul dari sudut pentafsiran akidah dan syariah serta moralnya.

Akibat persepsi dan fatwa inilah maka timbul perpecahan dan prasangka sesama umat Islam sendiri, khususnya antara ahli dan para penyokong dua parti Melayu Islam iaitu Pas dan UMNO, dan lebih serius lagi ialah tanggapan yang telah ditanamkan dalam akidah orang Islam, bahawa pengikut parti yang tertentu adalah kafir dan telah tercemar akidahnya, satu keadaan yang amat serius yang sering mengakibatkan perpecahan kalangan umat Islam seluruhnya.

Agenda pelaksanaan syariat Islamiah di negara ini juga haruslah disepakati menurut perspektif yang betul dan benar-benar mengikut kaedah fikah, falsafah hukum, maslahah umum, terutamanya dalam masalah pokok dan dasar Islam itu sendiri, termasuk juga kesepaduan pembangunan Islam dalam kepelbagaian dimensinya dari segi ekonomi, pendidikan, kewangan dan perbankan, alam sekitar, akhlak dan etika serta dasar-dasar syariah pada umumnya.

Persefahaman dan pentafsiran yang luas dalam agenda Islam yang besar ini dapat mengelakkan salah faham masyarakat Islam dan antarabangsa yang selama ini memahami istilah menegakkan negara Islam dengan pandangan dan perspektif yang sempit, iaitu yang hanya berlegar di sekitar hukum hudud semata-mata apabila dikemukakan idea pemerintahan Islam bagi negara kita.

Maknanya, istilah Negara Islam itu sendiri haruslah difahami dengan pengertian yang lebih global dan menyeluruh sebagai satu penjelmaan konsep Islam sebagai satu sistem hidup yang lengkap atau istilah yang sering digunakan bagi Islam sebagai Ad-deen.

Muzakarah yang sekiranya dapat difokuskan seperti isu-isu di atas di samping isu-isu berkaitan yang lain, saya rasa akan dapat mendekatkan world view atau tasawur Islami yang sebenar di antara dua parti Melayu Islam yang terbesar di negara kita ini, dan yang selama ini menjadi duri dalam daging bagi kedua-duanya yang amat jarang sekali dibangkitkan secara berterus terang dalam arena ilmu dan dialog.

Isu-isu ini hanya lahir dalam konflik kepartian, dan sering menjadi bahan permusuhan antara pemimpin dan pengikut parti yang lebih bersifat partisan serta fanatik politik yang tegar.

Muzakarah ini haruslah diadakan dalam suasana berbaik sangka dan ikhlas serta jujur untuk mencari kebaikan bersama, terutamanya dalam suasana ketegangan sesama Islam yang dapat kita lihat dalam dunia Islam kini, malah yang sering membawa kepada pertumpahan darah atas nama jihad dan perjuangan untuk menegakkan Islam, sedangkan perkembangan ini amat mencemarkan imej dan nama suci Islam.

Muzakarah ini tidak seharusnya menjadi polemik politik untuk tujuan politik umat Islam dalam persaingan politik di negara kita, terutamanya yang dihubungkan dengan kebangkitan perkauman dan agama akhir-akhir ini.

Malah haruslah dielakkan sama sekali tujuan politik untuk mendapatkan dua pertiga suara di dalam Parlimen umpamanya bagi meminda Perlembagaan untuk tujuan-tujuan yang boleh menyentuh kaum dan penganut agama lain di negara ini.

Kalau hal ini menjadi agendanya maka kaum dan penganut agama lain juga akan mengambil tektik yang sama bagi kaum dan pengikut agama mereka.

Saya percaya sekiranya titik perbezaan dari segi ideologi politik, kefahaman agama, kesatuan pemikiran dan agenda pembangunan Islam di negara kita ini dapat di selesaikan, maka tindakan-tindakan yang berikutnya dapatlah dilaksanakan dalam jangka pendek dan jangka panjangnya.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah

Pengerusi Institut Profesional Baitulmal,

Wilayah Persekutuan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Ayu Raudhah hamil anak kedua

Posted: 11 Dec 2013 11:34 PM PST

SHAH ALAM 12 Dis. - Pelakon Ayu Raudhah Che Wan, 29, memberitahu dia sedang hamil empat bulan anak kedua.

Tidak mengalami sebarang alahan, menurut Ayu yang juga isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, anak kedua mereka dijangka lahir pada Mei tahun hadapan.

Ayu yang melahirkan anak pertama, Muhammad Aisy Qaiser pada Mac lalu tidak dapat menyembunyikan harapannya untuk mendapatkan anak perempuan.

"Kalau boleh mahu perempuan, setakat ini saya memang tidak alami sebarang alahan.

"Sebenarnya kami tidak merancang untuk mendapat anak kedua seawal ini, semuanya rezeki," katanya.

Pasangan ini bernikah pada 2011 dan Ayu sebelum ini pernah mengalami keguguran. - UTUSAN ONLINE

MKB Garage II gabung 22 pemuzik rock Malaysia, Indonesia

Posted: 11 Dec 2013 10:45 PM PST

KUALA LUMPUR 12 Dis. - MKB Studio akan menganjurkan sebuah konsert yang diberi nama MKB Garage II yang menggabungkan 22 kumpulan rock dari Malaysia dan Indonesia di Kelab Rum Jungle di sini pada 29 Disember ini.

Menurut wakil MKB Studio, Mansor Mamat, konsert itu adalah yang terbesar menggabungkan kumpulan rock dari dua negara terbabit yang dijangka mengambil masa 12 jam dengan mengenakan tiket berharga RM50 dan RM60.

"Ini adalah siri konsert MKB Garage yang kedua yang mana kali ini lebih banyak kumpulan terkenal dari Indonesia dan Malaysia seperti Flop Poppy, Jihad, Skin Basher, Outright, Restraint dan Aftercome menjayakan konsert itu.

"Konsert kali ini akan bermula pukul 12 tengah hari dan dijangka berakhir sebelum pukul 12 tengah malam. Sebarang pertanyaan berhubung konsert ini boleh hubungi saya di talian 012-3326796," katanya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Penuhi impian si kecil

Posted: 11 Dec 2013 11:10 PM PST

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar ZAINI HUSSIN

Pelbagai barangan yang diperlukan untuk memeriahkan sesuatu majlis sambutan hari jadi atau majlis-majlis keraian lain boleh diperoleh di Party Heaven.

MENYEBUT sambutan hari jadi, kanak-kanak merupakan insan paling gembira menantikan tarikh hari jadi mereka.

Apa yang terbayang dalam fikiran mereka ialah parti yang dipenuhi dengan belon, makanan dan paling menyeronokkan menerima banyak hadiah.

Namun, membuat persiapan sambutan hari jadi ini tidak kurang penatnya. Banyak yang perlu dilakukan termasuk menyediakan beg-beg cenderahati untuk dititipkan kepada tetamu yang hadir.

Barangan lain seperti pinggan dan gelas kertas, makanan, permainan dan sebagainya juga harus disiapkan semata-mata untuk memastikan birthday girl atau birthday boy gembira.

Bagi memudahkan ibu bapa untuk mendapatkan semua barangan untuk majlis sambutan hari jadi anak-anak mereka, pergi sahaja ke kedai khusus yang menyediakan segala-galanya.

Party Heaven, kedai barangan parti yang terletak di Taman Melawati, Ulu Klang, Selangor menyediakan segala yang diperlukan untuk parti hari jadi anak seperti belon, permainan, kraf, perhiasan, kanopi, baju-T, aksesori, dekorasi dan sebagainya.

Memulakan perniagaan pada Mac 2011, pemilik bersama Party Heaven, Normi Suffian dan Datin Seri Zakiah Mat Yusof, menyedari perlunya sebuah kedai yang lengkap dengan barangan parti kanak-kanak di lokasi tersebut.

Normi yang ditemui di Party Heaven baru-baru ini berkata, mereka berdua memang sudah lama berhasrat untuk membuka kedai barangan parti kerana mereka sendiri selalu mengadakan parti sama ada untuk anak-anak dan teman-teman.

"Awalnya semasa baru dibuka, kami banyak menjual belon. Pelbagai jenis belon boleh diperoleh di sini seperti belon foil, lateks dan bubble helium.

"Selain belon yang belum ditiup, kami juga menyediakan khidmat mengisi belon dengan helium dan ini merupakan kelainan kedai ini yang tidak terdapat di tempat lain.

"Keistimewaan belon kami juga ialah ia tebal kerana belon ringan tidak terapung jika diisi helium. Belon yang diisi helium boleh terapung selama lapan hingga 10 jam.

"Kalau pelanggan tidak mahu belon diisi helium di sini, mereka boleh membeli gas bersama helium dan kemudian boleh mengisinya di rumah. Belon daripada kertas timah yang dipanggil belon foil yang diisi gas boleh tahan selama seminggu dan gasnya tidak akan keluar.

"Belon foil ini juga boleh didapati dalam pelbagai bentuk yang menarik, cantik dan memikat kanak-kanak seperti bentuk bulat, bentuk hati, bentuk binatang, bunga, puteri, kartun dan banyak lagi. Belon-belon macam ini memang disukai kanak-kanak kerana cantik dan menjadikan parti nampak meriah," kata Normi yang seronok melayan kerenah kanak-kanak yang datang ke situ bersama ibu bapa mereka.

Menurut Normi lagi, jika pelanggan mahukan belon yang telah diisi helium dan dihantar ke rumah, caj penghantaran yang dikenakan adalah daripada RM50 (Lembah Klang).

Setakat ini Party Heaven telah membuat penghantaran ke Subang, Shah Alam, Kuala Kubu Baru dan Port Dickson.

Selain belon untuk parti, belon yang digubah menjadi gerbang sesuai untuk majlis makan malam, ulang tahun, baby shower dan majlis-majlis korporat.

Selain belon, terdapat juga banyak barangan seperti topi, topeng, beg cenderahati, cawan kertas dan banyak lagi. Pendek kata apa sahaja yang diperlukan pasti akan ditemui di Party Heaven.

Selain menjual barangan parti, Party Heaven tambah turut menyediakan perkhidmatan dan pakej parti seperti pakej parti di rumah, di sekolah, menyediakan badut, permainan air dan pelampung, kad jemputan, lencana, cawan dengan rekaan parti, aktiviti membuat kek kanak-kanak, maskot dan kostum serta makanan dan minuman.

Normi merancang untuk menambah lagi barangan berasaskan karekter kartun tertentu kerana mendapat banyak permintaan pelanggan.

Beliau ingin melengkapkan Party Heaven dengan barangan daripada karekter kartun yang disukai kanak-kanak seperti topi, pinggan, baju dan perhiasan.

"Kanak-kanak lelaki biasanya sukakan Ben 10 manakala kanak-kanak perempuan sukakan Hello Kitty dan Barbie.

" Kalau mereka boleh mendapatkan kesemuanya di sini, adalah lebih mudah dan mereka tidak perlu pergi jauh untuk mencari," kata Normi mengagumi kedai-kedai parti di Amerika Syarikat yang biasanya lengkap dan dimuatkan dalam premis besar.

Tidur bawa maut

Posted: 11 Dec 2013 11:10 PM PST

Pakar Perunding Paediatrik dan Neonatologi Parkcity Medical Centre, Dr. Salehuddin Samsudin berkata, kes kematian bayi yang berlaku bukanlah perkara biasa yang boleh dipandang ringan oleh keluarga yang terlibat.

"Apabila anak dilahirkan ke dunia, ibu bapa yang bertangungjawab menjaga kebajikan dan kesihatan mereka.Disebabkan bayi adalah individu yang masih kecil mereka memerlukan penjagaan dan perhatian yang baik daripada kedua ibu bapanya.

"Kebiasaannya bayi yang berumur antara kosong hingga enam bulan lebih berisiko mengalami insiden ini jika tiada pemantauan yang ketat dari keluarga kerana pada umur begini mereka masih kurang peka dan mengetahui bahaya yang menimpa di hadapan mata," jelasnya.

Katanya, berdasarkan beberapa kes yang berlaku, terdapat beberapa faktor yang mendorong insiden ini terjadi yang kebanyakannya melibatkan bayi dalam kelompok kaum Melayu dan India.

"Antara yang berkaitan adalah terjadi kepada bayi yang lahir pramatang, posisi tidur meniarap, tabiat ibu bapa yang merokok berdekatan dengan bayi mereka dan sebab-sebab jangkitan penyakit lain yang pada mulanya tidak serius sehinggalah penyakit tersebut mula menyerang sistem pertahanan dalam badan mereka serta jangkitan kuman.

"Selalunya bayi yang sedang mengalami kesakitan dapat dikenal pasti melalui beberapa petanda iaitu mereka didapati susah untuk bernafas, sedikit tertekan apabila tiba waktu ingin disusukan dan diserang demam panas yang melebihi daripada 38 darjah celcius.

"Beberapa kes bayi meninggal secara mengejut akibat tersedak susu semasa tidur juga sering berlaku di kalangan masyarakat kita. Ibu mempunyai pilihan untuk menyusukan bayi mereka dalam keadaan duduk atau sambil tidur. Jika bayi disusukan sambil berbaring ibu berperanan memantau dan peka dengan keadaan bayi ketika itu ditakuti mereka tertidur dan tersedak," katanya.

Tambah Dr. Salehuddin lagi, bayi yang mempunyai masalah kesihatan seperti sawan juga mempunyai risiko meninggal secara mengejut jika tidak diberikan rawatan dengan segera.

"Walaupun penyakit sawan susah dikesan pada bayi, ibu bapa masih boleh memantau keadaan bayi mereka melalui beberapa petanda seperti seluruh tubuh mereka kelihatan kejang, mata yang tiba-tiba memandang ke atas, bibir bertukar warna dan pernafasan mereka kelihatan terganggu dan tidak memberi respon apabila dipanggil mahupun disentuh pada bahagian badan,

"Amalan ibu bapa yang membedung bayi mereka semasa berusia bayi juga antara penyebab berlaku insiden ini. Seeloknya, apabila ingin membedung bayi, pastikan membalutnya tidak terlalu ketat dan kuat. Keadaan ini bertujuan mengelakkan bayi susah untuk bernafas dan bergerak.

"Bagi ibu yang tidur bersama bayi, berhati-hati kerana si kecil ini boleh lemas ketika anda menyusukan mereka, terhimpit atau muka mereka ditutupi bantal atau selimut.

"Pastikan ada ruang dan jarak antara bayi dengan anda bagi mengelakkan mereka lemas ketika tidur. Seeloknya, untuk keselamatan bayi, tidurkan mereka di dalam ruang tidur khusus seperti katil dan buaian yang berdekatan dengan anda," ujar Dr.Salehuddin.

Katanya, tidak terkecuali, sejarah keluarga yang pernah ada kes kematian bayi secara mengejut juga perlu sentiasa berhati-hati dengan keadaan tersebut selain belajar dari pengalaman yang pernah terjadi kepada mereka. – Siti Aishah Yusoff

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Wajah baharu dinanti

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur yang kelihatan tidak teratur bakal berubah wajah sebaik projek naik taraf pekan berkenaaan dilaksanakan bermula 1 Ogos tahun depan. - UTUSAN/JEFFRI IRAN
MOHD. RADI TUFUK
ISMAIL MOHD. SHARIFF

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Projek menaik taraf pekan Sungai Besi yang bakal dilaksanakan pada 1 Ogos tahun depan dilihat satu usahsa positif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam membangun serta memperindahkan kawasan tersebut.

Malah, usaha DBKL tersebut juga mendapat sokongan penuh daripada penduduk dan peniaga sekitar yang sekian lama menunggu agar kawasan tersebut dibangunkan.

Tinjauan Utusan Malaysia ke pekan Sungai Besi hari ini mendapati, rata-rata orang ramai bersetuju dengan usaha DBKL menaik taraf pekan tersebut dan berharap agar kawasan itu lebih baik dari segi landskap dan kemudahan asasnya.

Seorang pesara tentera, Ahmad Abdullah, 62, berkata, beliau menyambut baik segala usaha yang dilakukan DBKL dalam memperindahkan kawasan tersebut.

"Jika kita lihat pekan Sungai Besi sekarang ini terlalu padat dan sesak dengan kehadiran penjaja dan kenderaan. Diharapkan melalui projek naik taraf itu masalah tersebut dapat diselesaikan," katanya.

Baru-baru ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, projek yang melibatkan kos sebanyak RM10 juta itu merangkumi kerja-kerja naik taraf pasar Sungai Besi, mengecat semula bangunan rumah kedai serta mempertingkat kualiti kemudahan asas seperti jalan raya.

Sementara itu, seorang peniaga buah-buahan, Mohd. Radi Tufuk, 28, berkata, projek naik taraf di pekan berkenaan memang ditunggu-tunggu oleh penduduk di situ ekoran kesesakan trafik dan keadaan bangunan usang yang mencacatkan pemandangan.

"Malah kami sebagai peniaga di sini pun sering mengalami kesukaran untuk meletak kenderaan di depan pasar.

"Laluan jalan yang sempit juga antara punca kawasan ini sering sesak," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Mohd. Shariff, 65, berkata, semenjak tinggal di Sungai Besi pada tahun 1970-an pelbagai perubahan telah dilakukan kerajaan dalam usaha menjadikan kawasan tersebut sebagai sebuah tempat yang selesa didiami dan dikunjungi rakyatnya.

"Contohnya tempat meletak kenderaan yang lebih moden telah dibina oleh DBKL, namun kerana ia terletak agak jauh dengan pasar, pasar raya dan gerai-gerai, orang ramai lebih gemar meletak kenderaan mereka di tempat yang tidak sepatutnya.

"Saya minta orang ramai khususnya penduduk di sini beri kerjasama kepada DBKL, kerana tidak guna jika pelbagai kemudahan disediakan namun tidak dimanfaatkan sepenuhnya," ujarnya.

Tindakan undang-undang terhadap kontraktor Hospital Serdang - Subramaniam

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

PUTRAJAYA 12 Dis. - Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kontraktor Hospital Serdang berikutan kejadian siling runtuh di hospital itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, tindakan tersebut sejajar dengan matlamat kerajaan yang mahu memastikan kejadian siling runtuh di hospital tersebut tidak berulang.

"Tindakan undang-undang itu akan diambil selepas kita meneliti laporan yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Pada masa ini, JKR masih dalam proses menyiapkan laporan tersebut dan kita menjangkakannya siap tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman kemajuan terkini Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Penjagaan Kesihatan, di sini hari ini.

Kualiti pembinaan Hospital Serdang menimbulkan persoalan apabila insiden siling runtuh di hospital itu sering berulang dan membahayakan nyawa kakitangan serta pesakitnya.

Pada tahun ini sahaja, sebanyak tujuh kejadian siling runtuh berlaku di Hospital Serdang membabitkan wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), wad bersalin, bahagian kaunter jururawat Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma serta kuarters kakitangan.

Sementara itu, Dr. Subramaniam berkata, pihaknya telah mengarahkan pengurusan Hospital Serdang melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan setiap hari ke atas semua siling hospital terbabit.

Beliau berkata, tindakan itu perlu bagi membolehkan pihaknya mengesan lebih awal mana-mana siling hospital yang berisiko akan runtuh.

"Kita telah menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM30 juta bagi memastikan kerja-kerja terbabit dapat dilakukan tanpa sebarang masalah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya dalam usaha menyiapkan draf Akta Jagaan Kesihatan Warga Emas bagi memperkasakan industri jagaan warga emas tempatan.

Beliau berkata, akta yang dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun depan itu akan memastikan pembangunan dan usaha menambah baik industri tersebut sejajar dengan piawaian antarabangsa.

"Akta itu bukan hanya akan memastikan institusi jagaan warga emas sama ada kendalian kerajaan atau swasta memenuhi piawaian yang ditetapkan bahkan mampu menjadikannya sebagai tarikan utama pelabur asing dan tempatan," katanya.

Susah, sulitkan penduduk

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Pemasangan palang penghadang di pintu utama jalan di Taman Mutiara Bangi, Selangor didakwa bukan sahaja tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan bahkan turut menimbulkan kesulitan kepada kira-kira 2,000 penduduk kawasan perumahan di Jalan 1/3 dan 2/1 taman perumahan berkenaan. - UTUSAN/FAIRUZ IZYANA AYUB

KAJANG 12 Dis. - Kira-kira 2,000 penduduk kawasan perumahan di Jalan 1/3 dan 2/1, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi dekat sini membantah penutupan jalan di Taman Mutiara Bangi yang menghubungkan kawasan mereka ke laluan utama di situ.

Penutupan jalan tersebut didakwa menyusahkan penduduk sekitar untuk keluar masuk kerana jalan itu merupakan laluan utama mereka sejak kawasan itu dibangunkan pada tahun 1970-an lagi.

Sehubungan itu, mereka meminta pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) merobohkan segera palang penghadang jalan yang didakwa diletakkan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan itu.

Seorang penduduk, Kamariah Mohd. Yusof, 63, berkata, isu tersebut timbul sejak dua tahun lalu dan bertambah buruk selepas Ramadan tahun ini.

"Ini menyukarkan kami kerana terpaksa menggunakan jalan yang jauh untuk ke laluan utama. Di laluan utama itu terdapat premis seperti klinik, bank dan sebagainya. Kami telah membuat aduan kepada MPKj sebelum ini dan MPKj meminta Persatuan Penduduk Mutiara Bangi merobohkan struktur itu serta-merta. Jika tidak, tindakan penguatkuasaan akan diambil.

"Yang menjadi persoalan sehingga kini, pihak berkenaan masih belum merobohkan struktur tersebut," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Jirannya, Ramlah Khalid, 66, pula berkata, pihaknya sedang mengumpul tandatangan bantahan daripada penduduk sekitar sebagai petisyen untuk diserahkan kepada MPKj dalam masa terdekat.

"Jalan tersebut digazetkan untuk laluan awam, mengapa perlu ditutup? Sedangkan kawasan perumahan banglo elit itu baru sahaja dibangunkan sejak tiga tahun lalu tanpa ada perkhidmatan pengawal keselamatan.

"Palang tersebut telah dibina sejak dua tahun lalu, mengapa baru sekarang mereka memohon kepada MPKj untuk memasangnya? Adakah setelah diberi amaran?," soalnya.

Mimi Nora Mansor, 64, pula berkata, Persatuan Penduduk Mutiara Bangi memberi alasan palang tersebut dipasang disebabkan faktor jenayah yang sering berlaku di kawasan perumahan mereka.

"Di tempat kami juga berlaku hal sedemikian seperti pecah rumah dan ragut. Tetapi janganlah sampai mahu menutup laluan kami. Kalau ingin melalui laluan berkenaan, orang lain perlu mengisi borang untuk memasuki kawasan itu. Ini benar-benar menyusahkan," ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi berkenaan mendapati, terdapat tiga buah palang dibina, manakala pengawal keselamatan yang dipercayai warga asing menjaga laluan masuk.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


AMAED ke pentas IFF

Posted: 11 Dec 2013 11:10 PM PST

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar JEFFRI IRAN

Rekaan busana muslimah oleh ahli-ahli AMAED diperaga di pentas peragaan.

SERAMAI 28 ahli Persatuan Usahawan dan Pereka Busana Muslim Malaysia (AMAED) telah berpeluang memperagakaan rekaan masing-masing di pentas berprestij Festival Fesyen Islam (IFF) yang bertaraf antarabangsa baru-baru ini.

IFF tahun ini juga turut mencatatkan sejarah dengan jumlah penyertaan pereka AMAED yang tertinggi muncul pada acara selama tiga hari bermula pada pertengahan November lalu.

Bertemakan KL, London, Paris dan New York, rekaan yang dihasilkan oleh setiap pereka memberikan cabaran besar dalam menggarapkan tema Barat ke dalam pemakaian busana muslim.

Antara pereka AMAED yang memperagakan rekaan mereka pada pertunjukan fesyen tersebut ialah G65, Hijau Gallery, Zawara, Hafiz Carlson, Hasfitri Yusof, Pearl Haya, Yatt Hamzah, Debby, Mier, Rina Salleh dan Suriani Hassan.

Masing-masing mengetengahkan antara lima hingga enam rekaan yang bersesuaian untuk acara malam, kasual, kemas dan sebagainya.

Kebanyakan rekaan menggunakan fabrik syifon yang lembut, satin sutera yang berkilat dan digabungkan bersama warna-warna lain. Rekaan yang longgar dan praktikal bagi digayakan oleh Muslimah menjadi ilham bagi pereka-pereka yang memang berpengalaman dalam bidang rekaan fesyen Muslimah.

Semenjak tiga tahun penubuhannya iaitu pada tahun 2010, pereka-pereka AMAED kini telah bertambah matang dan persatuan itu sendiri semakin aktif dengan pelbagai aktiviti.

Majlis pertunjukan fesyen yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara ini telah diserikan dengan kehadiran Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir ialah Pengasas dan Pengerusi IFF, Datuk Seri Raja Rezza Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Ekonomi Usahawan Niaga (Tekun), Datuk Abdul Rahim Hassan.

Sementara itu, menurut Raja Rezza Shah, idea penubuhan AMAED mendapat tempat dan pujian di peringkat antarabangsa.

Melalui persatuan itu, pereka-pereka AMAED dapat menimba lebih banyak ilmu dalam bidang rekaan muslimah dan berpeluang menonjolkan rekaan mereka di peringkat antarabangsa.

"Ini juga merupakan satu langkah awal kepada mereka untuk meningkatkan keupayaan diri dalam rekaan fesyen bagi diiktiraf oleh mereka yang sememangnya mahir dan dikenali dalam bidang rekaan fesyen,'' katanya.

AMAED kini dianggotai oleh lebih daripada 100 usahawan dan pereka busana muslim tempatan.

Ia dilihat sebagai satu pencapaian yang membanggakan dalam usia yang masih mentah.

Jumlah ahli yang ramai ini juga, membolehkan AMAED semakin aktif di dalam aktiviti-aktivitinya seperti road show yang bakal dibuat ke serata negeri di Malaysia bagi tujuan menambah ahli dan penjenamaan, di samping memartabatkan pemakaian busana muslim di negara ini.

Selain itu, AMAED telah pun menandatangani perjanjian persefahaman dengan Kolej Komuniti (di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia) yang bakal memberi peluang kepada granduan-graduan melengkapkan diri dengan ilmu tambahan apabila mereka melangkah ke dunia luar.

Kemahiran jana pendapatan

Posted: 11 Dec 2013 11:10 PM PST

Usia bukan alasan untuk tidak menambah ilmu pengetahuan. Ini dibuktikan oleh 40 wanita bergelar ibu yang sanggup meluangkan masa selama lima bulan bagi menamatkan kursus membuat kek sebelum disambung dengan kursus kefahaman kewangan yang berlangsung selama 10 bulan lagi.

Program yang diberi nama TNT-MyKasih Sayangi Jiran Anda, merupakan sebahagian daripada projek khidmat masyarakat (CSR) oleh TNT Express Malaysia (TNT) bertujuan membantu golongan tersebut menjana pendapatan melalui kemahiran yang dimiliki.

Peserta terdiri dari surirumah berusia antara 31 hingga 54 tahun dari keluarga berpendapatan rendah dan menetap di kawasan perumahan Desa Mentari, Kuala Lumpur.

Kumpulan wanita ini telah menerima bantuan bulanan berbentuk wang tunai bagi membeli bahan masak sejak April tahun lalu.

Sepanjang kurus pembuatan kek, para peserta mendapat perkongsian ilmu daripada Chef Chooi Sim, pakar kek dari L&S Bakery.

Chooi Sim bukan sahaja mengajar cara membuat kek malah biskut, piza dan pelbagai jenis roti. Peserta juga diajar teknik penjualan dan pemasaran yang berkesan.

Menerusi kursus kewangan pula, penganjur berharap agar peserta dapat belajar cara penyimpanan wang termasuk pengurusan kewangan peribadi.

Sementara itu Pengarah Urusan TNT Express Malaysia, Chong Siang Chung, berkata, tanggung jawab sosial hari ini bukan saja terhad kepada pemberian tunai mahupun cek kepada organisasi kebajikan.

"Ramai lagi orang di komuniti yang memerlukan dan kami di TNT percaya bahawa walaupun tidak berpendapatan tinggi mereka masih mampu berusaha untuk mencapai taraf hidup yang lebih baik.

"Lebih menarik, dalam setiap program tanggungjawab sosial ini penglibatan kakitangan TNT Express amat digalakkan supaya ia dapat memberi lebih impak kepada bantuan yang kami hulurkan," jelas Siang Chung pada majlis penyampaian sijil tamat kursus di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu salah seorang peserta Sabariah Johor, 54, tidak menganggap usia lanjut sebagai halangan untuknya menambah ilmu pengetahuan.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini begitu teruja apabila kursus pembuatan kek yang diikuti itu telah membantunya menambah pendapatan.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur ketika hari raya yang lalu saya berjaya membuat dan menjual biskut raya dengan mendapat keuntungan melebihi RM1,000.

"Sebelum ini walaupun saya berjaya menyimpan duit tapi bila terdesak duit simpanan tersebutlah akan dikeluarkan. Kini setelah mengikuti kursus saya telah belajar bagaiamana untuk menyeimbangkan perbelanjaan jadi bila tiba situasi tidak terjangka saya masih mempunyai simpnan lain," tambah Sabariah.

Seorang pagi peserta, Shamilah Anbalagan, mengakui program tersebut sedikit sebanyak telah meningkatkan kemahirannya dalam menambah pendapatan keluarga.

"Paling penting kursus pemahaman kewangan di mana menerusinya kami dapat mengagihkan pendapatanuntuk perniagaan dan perbelanjaan keluarga," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved