Khamis, 12 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


103 kereta peronda baharu

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

ABDUL Rahim Hanafi menunjukkan isyarat tanda bagus selepas memandu Proton Preve di Ibu Pejabat Kontinjen Polis di Georgetown, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN

PULAU PINANG 11 Dis. - Kenderaan baharu jenis Proton Preve 1.6 CVT Premium bagi kegunaan pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Pulau Pinang akan dipastikan diguna pakai sebaik mungkin mengikut keperluan tugas mereka.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, beliau akan memastikan kesemua kenderaan tersebut digunakan secara maksimum supaya kadar masa tindakan pegawai penyiasat dapat ditingkatkan ketika menjalankan tugas.

Menurutnya, Polis Kontinjen Pulau Pinang menerima 103 buah kereta baharu jenis itu bagi menggantikan Proton Waja CPS yang tamat tempoh kontrak selama lima tahun sejak 2008 bagi kegunaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan lima ibu pejabat daerah (IPD) di seluruh negeri.

"Kita akan pastikan tiada isu 'under-use' kereta baharu ini dan akan diguna pakai mengikut keperluan yang ditetapkan bagi melancarkan tugas pegawai penyiasat.

"Dengan adanya kereta baharu ini, mereka diharapkan mampu menjalankan tugas dengan berkesan selain meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis Perhimpunan Lafaz Ikrar Kontinjen Polis Pulau Pinang dan Penyerahan Kenderaan Pegawai Penyiasat oleh Spanco.

Pada majlis itu, sebanyak 187 anggota dan kakitangan menerima surat penghargaan Ketua Polis Pulau Pinang manakala lapan lagi dipilih anggota terbaik bagi bulan Disember.

Selain itu Balai Polis Komuniti Mak Mandin dipilih sebagai Balai Terendah Kadar Jenayah manakala Balai Polis Contoh diraih Balai Polis Kepala Batas.

Dalam pada itu, Abdul Rahim turut mengumumkan penurunan indeks jenayah negeri sebanyak 351 kes atau 4.47 peratus sepanjang Januari lalu sehingga kelmarin berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata, jenayah harta benda turut menunjukkan tanda positif apabila menurun sebanyak 7.3 peratus atau 485 kes namun jenayah kekerasan meningkat 134 kes atau 11.2 peratus berbanding tempoh sama pada 2012.

Mangsa kebakaran 18 rumah kedai terima bantuan segera kerajaan

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

RUSNAH Kassim (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Batu 1, Jalan Lintang, Sungai Siput, Perak, semalam.

SUNGAI SIPUT 11 Dis. - Kesemua 18 pemilik rumah kedai di Jalan Lintang di sini yang terlibat dalam kebakaran awal pagi semalam menerima bantuan segera RM500 daripada kerajaan negeri.

Sumbangan tersebut disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Rusnah Kassim yang melawat ke lokasi kebakaran itu petang semalam.

Menurut beliau, selain bantuan berkenaan, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga turut menyumbang bantuan kotak barangan makanan dan keperluan diri kepada semua mangsa terlibat.

"Daripada pertemuan yang dibuat dengan mangsa dan wakil rakyat di sini, mereka ada meminta supaya kerajaan negeri membantu untuk membangunkan semula rumah kedai terlibat.

"Perkara ini akan kita bincangkan bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP). Mungkin kita boleh mohon bantuan mereka untuk membantu supaya kawasan ini dapat dibangunkan semula. Tapi yang paling penting persetujuan perlu diperoleh daripada tuan tanah dahulu," katanya.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd. Zulkafli Harun dan Speaker Dewan Negeri Perak, Datuk S.K Devamany.

Dalam kejadian awal pagi semalam, sederet 18 buah rumah kedai musnah dalam termasuk kedai perabot, kedai runcit, kedai menjual motosikal, bengkel motosikal, kedai makan serta kedai bunga.

Tambah Rusnah, pihaknya juga akan berbincang dengan agensi-agensi berkaitan bagi membantu peniaga-peniaga kecil terlibat.

"Setakat ini butir-butir mangsa terlibat seperti jenis perniagaan, berapa lama berniaga dan kerugian mereka sedang dibuat.

"Kita cuba membantu bukan hanya setakat nak bina kedai tapi peniaga-peniaga juga. Namun, saya nak tekankan ini bukan boleh dibuat satu atau dua minggu tapi jangka masanya agak panjang. Jadi saya harap semua mereka bersabar dan bertenang," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Rusnah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan membuat permohonan perintah jagaan sementara bayi perempuan yang dijumpai ditinggalkan atas jalan tar berhampiran sebuah rumah kedai baru yang tidak berpenghuni di Lapangan Perdana 19, Taman Lapangan Setia di sini, pagi kelmarin.

Katanya, permohonan itu akan dibuat di Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi tujuan siasatan dan usaha pengesanan waris.

"Saya sudah melawat bayi tersebut pagi tadi di Hospital Raja Permaisuri Bainon (HRPB) dan keadaannya sihat. Cuma terdapat kesan lebam di jari dan tangannya akibat kesan terbakar berikutan cuaca panas semalam.

"Kita akan tempatkan sementara bayi ini di Rumah Kanak-kanak di Kuala Kangsar. Pada masa sama kita akan iklankan di surat khabar bagi mengesan warisnya serta mendaftarkan surat beranaknya," katanya.

Kelmarin, bayi malang seberat 2.4 Kilogram yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu ditemui seorang jurukimpal, Chong Lean Fatt, 48, kira-kira pukul 11.20 pagi selepas mendengar tangisan kuat bayi berkenaan.

Ketika ditemui, bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan itu berada dalam keadaan tertiarap tanpa berpakaian dengan kepalanya berada pada penutup longkang.

Penduduk digalak tanam pokok hutan

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

KANGAR 11 Dis. - Penduduk yang mempunyai tanah atau kawasan terbiar disarankan menanam pelbagai jenis tumbuhan hutan khususnya herba untuk menambah jumlah bilangan pokok di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli, Alam Sekitar dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Mat Rawi Kassim berkata, usaha tersebut selaras dengan kandungan dokumen Rancangan Pengurusan Hutan Perlis 2013-2022 yang bertujuan untuk melihat persekitaran yang banyak dengan pokok.

Sehubungan itu, beliau berkata, penduduk boleh memohon pokok atau pelbagai tumbuhan hutan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perlis untuk mengisi tanah terbiar termasuk di kawasan rumah masing-masing.

"Hasil daripada pokok yang sudah mencapai tahap matang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk perubatan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Pengarah-Pengarah Perhutanan Negeri Semenanjung Malaysia Ke-33, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Prof. Datuk Abdul Rahman Abdul Rahim.

Sementara itu, Mat Rawi berkata, kerajaan negeri akan menjalankan aktiviti penanaman semula di kawasan hutan bagi menggantikan pokok yang telah mati atau ditebang.

Menurut beliau, negeri ini mempunyai kawasan hutan seluas kira-kira 11,000 hektar iaitu 14.5 peratus daripada keluasan tanah di negeri ini.

"Kawasan hutan di Perlis juga boleh menjadi tarikan eko pelancongan jika dinaik taraf dan sentiasa dijaga menerusi peruntukan daripada kerajaan pusat atau penglibatan pihak swasta," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved