Isnin, 5 Ogos 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Mahu bawa pulang Teong Kim

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

Oleh Aqilah Mior Kamarulbaid
sukan@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin, Lim Teong Kim

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang membawa pulang Lim Teong Kim yang merupakan bekas penolong jurulatih pasukan akademi kelab gergasi Jerman, Bayern Munich Bawah 19 tahun bagi membantu meningkatkan prestasi sukan popular tanah air itu.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan tersebut antara lain juga bertujuan untuk membantu meningkatkan pembangunan akar umbi bola sepak di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN).

Jelasnya, walaupun pada dasar, Teong Kim memberi reaksi positif, namun masih ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum bersetuju pulang ke tanah air.

Saya ada berjumpa dengan beliau pagi tadi (semalam) bagi menyusul tujuan untuk membawanya pulang bagi membantu pasukan bola sepak negara.

Perkara tersebut masih lagi di peringkat perbincangan. Ada beberapa perkara yang dibincangkan oleh kedua-dua belah pihak," katanya ketika ditemui selepas mengedarkan juadah berbuka puasa kepada pengguna kenderaan awam di Stesen Sentral Kuala Lumpur anjuran Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB).

Teong Kim adalah pemain bola sepak negara pertama bermain di Eropah bersama kelab Jerman, Hertha Berlin yang beraksi di Divisyen Tiga pada tahun 1987 dan sempat beraksi selama semusim di sana.

Selepas pulang dari Jerman, Teong Kim beraksi bersama Kuala Lumpur yang menyaksikan dia membantu pasukan warga kota itu meraih kejuaraan tiga kali berturut-turut Piala Malaysia pada tahun 1987 hingga 1989.

Kedah menjadi pasukan terakhir yang diwakili Teong Kim pada tahun 1992 dan 1993 sebelum anak jati Melaka ini bersara daripada dunia bola sepak dan memulakan kariernya dalam bidang kejurulatihan bersama skuad Bawah 13 tahun Bayern Munich pada tahun 2000 sebelum kontraknya tamat pada tahun lalu.

Di Bayern, dia pernah bekerjasama dengan beberapa pemain ternama Jerman pada masa sekarang seperti Thomas Muller, Bastian Schweinsteiger, Diego Contento dan David Alaba.

Penolong kepada Kurt Niedemeyer, bekas pemain Bayern ini pernah melahirkan minat untuk membantu Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam aspek pembangunan akademi pada tahun lalu.

Sementara itu, ketika di soal berhubung pendiriannya untuk bertanding dalam jawatan Ketua Pergerakan Pemuda dalam pemilihan UMNO, beliau masih lagi berteka-teki.

Saya akan umumkan kemudian sama ada bertanding atau tidak. Tunggu sahaja selepas Aidilfitri ini," katanya.

Sukan Dunia: Nicol catat kemenangan hatrik

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Kejayaan hatrik dan pingat emas ketiga berturut-turut buat ratu skuasy negara, Datuk Nicol David yang sekali lagi meletakkan nama Malaysia di persada dunia setelah mengetepikan cabaran pemain Belanda, Natalie Grinham pada aksi akhir skuasy wanita pada Sukan Dunia di Cali, Colombia, semalam.

Pemain No. 1 dunia itu tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan Grinham 11-6, 11-9, 11-8, sekali gus mempertahan pingat emas yang dimenanginya ke atas lawan yang sama pada Sukan Dunia di Taiwan empat tahun lalu.

Ternyata Grinham tidak lagi mampu memberikan cabaran sengit ke atas Nicol.

Tentangan sengit cuma hadir pada set pertama apabila Nicol diikat 4-4 oleh Grinham, sebelum dia meningkatkan kelajuan permainannya untuk mencatat kemenangan 11-6.

Dalam set seterusnya, Grinham berusaha keras mempelbagaikan rentak permainannya dengan menghantar beberapa pukulan perlahan dan tinggi bagi memerangkap Nicol, namun masih gagal menyekat juara dunia sebanyak tujuh kali itu untuk menjulang kejuaraan tersebut.

Nicol yang dipetik daripada laman web www.squashsite.co.uk berkata: "Memang sesuatu yang menyeronokkan dapat memenangi pingat pada temasya tersebut."

Seorang lagi lagi wakil negara, Low Wee Wern gagal membawa pulang gangsa setelah tumpas kepada pencabar dari Perancis, Camille Serme 8-11, 4-11, 4-11 dalam pertarungan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, dalam saingan akhir lelaki pula, rakan senegara Serme, Gregory Gaultier menumpaskan pemain Jerman, Simon Rosner dengan kemenangan 3-1 untuk memenangi pingat emas.

Gaultier yang diberi saingan sengit dalam set pertama dikejutkan oleh Rosner apabila tumpas 9-11, namun, pemain Perancis itu kembali memperkemaskan permainannya pada set kedua untuk mencatat kemenangan 11-7.

Pemain No. 2 dunia itu tidak lagi menoleh ke belakang apabila mengekalkan rentak yang konsisten untuk menutup permainan 11-5, 11-4.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Modenas sasar 12% penguasaan pasaran

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

Amirudin Abdul Kadir duduk di atas motosikal Can-Am Spyders sambil diperhatikan oleh Abdul Halim Ismail selepas melancarkan Kempen Penghargaan Berganda Modenas di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 5 Ogos - Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas), anak syarikat DRB-Hicom Bhd. menyasarkan untuk meningkatkan penguasaan pasaran motosikal kepada 12 peratus menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu, Amirudin Abdul Kadir berkata, pihaknya yakin sasaran tersebut dapat dicapai termasuk melalui Kempen Penghargaan Berganda Modenas yang dilancarkan sejak 1 Ogos lalu dan berlangsung sehingga 31 Disember ini.

Kami menyasarkan jualan sebanyak 70,000 unit motosikal Modenas menjelang suku tahun keempat bagi Pelan Pengurusan Tahunan (AMP) kami sehingga Mac tahun depan.

Pada masa ini, kita menguasai sebanyak lapan peratus pasaran motosikal di negara ini dan melalui kempen tersebut kita yakin dapat meningkatkan jualan bagi tahun kewangan semasa," katanya dalam sidang akhbar dan taklimat Kempen Penghargaan Berganda Modenas di Ibu Pejabat Modenas di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Modenas yang bakal bersara, Abdul Halim Ismail dan Ketua Pemasaran Edaran Modenas Sdn. Bhd., Amarjeet Singh.

Amirudin yang menerajui Modenas sejak 1 Ogos lalu berkata, pihaknya perlu meneliti terlebih dahulu tentang strategi yang dirangka bagi meningkatkan prestasi syarikat berkenaan termasuk dalam menumpukan kepada aktiviti eksport di rantau ini.

Kita akan melihat kepada pasaran baru termasuk ke Eropah tetapi pada masa ini kelihatan ekonomi tidak berada dalam keadaan baik," katanya.

Beliau berkata, setakat suku tahun pertama tahun ini, sebanyak 17,000 unit motosikal Modenas telah berjaya dijual dan syarikat itu akan memperkenalkan model motosikal khusus untuk pasaran ASEAN yang dijangka dapat dilancarkan menjelang April tahun depan.

Mengenai harapannya dalam menerajui Modenas, Amirudin berkata, pihaknya mempunyai sasaran sendiri dengan pasukan dan kemudahan yang dimilikinya bagi bergerak lebih ke hadapan untuk menjadi syarikat pengeluar motosikal nombor satu di negara ini.

Sekarang ini kita berada di tangga ke empat, kita mahu menjadi nombor satu, berilah kami sedikit masa, kita bukan sahaja mahu menjadi teraju di negara ini sahaja malah di rantau ini," katanya.

Labur RM10 juta untuk Red Cube Johor Bahru

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

Syed Hafiz Syed Abu Bakar menyaksikan Presiden Kia Motor Pejabat Rantau Asia, T. J Park menandatangani plak perasmian Kia Red Cube Johor Bahru, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Pengedar Kia Motors di Malaysia, Naza Kia Malaysia Sdn. Bhd. (Naza Kia), telah melancarkan rangkaian Red Cube keduanya di Johor Bahru, Johor, selepas di Petaling Jaya, Selangor yang membabitkan pelaburan bernilai RM10 juta.

Pusat 4s (jualan, servis, alat ganti dan mengecat) Kia Red Cube Johor Bahru itu berkeluasan 38,241 kaki persegi dan mempunyai kapasiti penyelenggaraan 45 kereta dalam sehari.

Ketua Pegawai Operasi Naza Kia, Datuk Syed Hafiz Syed Abu Bakar berkata, pembukaan Kia Red Cube Johor Bahru merupakan yang pertama di selatan Semenanjung bagi memenuhi keperluan pelanggannya di sekitar Johor Bahru.

Beliau berharap rangkaian terbaharu itu turut menyediakan perkhidmatan untuk pengguna di Pasir Gudang, Kota Putri, Megah Ria, Kota Masai, Taman Mawar, Bandar Permas Jaya, Plentong, Taman Molek, Johor Jaya, Desa Tebrau, Taman Daya, Pelangi Indah, Mount Austin, Setia Indah dan Johor Bahru Town.

Di dalam perancangan seterusnya, Syed Hafiz berkata syarikatnya merancang untuk melabur RM6 juta bagi memperkenalkan rangkaian baharu Kia Red Cube di Rawang, Selangor dan Kuantan, Pahang.

"Bagi 2013, kami menyasarkan peningkatan jualan sebanyak lapan peratus kepada 13,345 buah kenderaan Kia. Momentum setakat ini agak baik berdasarkan jualan setakat suku pertama tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Model Naza Kia yang mencatatkan jualan terbaik setakat Mei ialah Forte dengan sebanyak 2,113 buah telah terjual, sementara model Rio yang dilancarkan awal tahun lalu telah merekodkan jualan sebanyak 786 buah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Mayat berulat warga emas ditemui di George Town

Posted: 05 Aug 2013 10:37 PM PDT

GEORGE TOWN 6 Ogos - Mayat seorang wanita warga emas ditemui dalam keadaan reput dan berulat di sebuah rumah di Jalan Krian di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, mayat Ng Poh Guek, 84, ditemui anak saudaranya (lelaki) yang berkunjung ke rumah wanita itu pada pukul 8.30 malam tadi.

"Sebaik sahaja tiba di perkarangan rumah dua tingkat itu, saksi terhidu bau busuk mencurigakan dan memaklumkan kejadian itu kepada polis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, bomba terpaksa memecah pintu rumah yang berkunci dari dalam dan setakat ini pihaknya tidak mengesyaki sebarang perlakuan jenayah sehingga menyebabkan kematian wanita itu.

Kali terakhir anak saudara Ng melawatnya ialah pada 29 Julai kira-kira pukul 3 petang dan wanita yang tidak pernah berkahwin itu tinggal bersendirian di rumah berkenaan.

Kong Meng berkata, mayat wanita itu dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. - BERNAMA

Peniaga ayam maut disamun 3 lelaki di Serdang

Posted: 05 Aug 2013 10:35 PM PDT

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Seorang peniaga ayam maut dalam kejadian samun di Jalan Serdang Raya 6/3, Taman Serdang Raya, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 9.35 malam itu, Rohani Harun, 50, ditahan tiga lelaki bersenjatakan parang ketika memandu lori kecil miliknya untuk pulang ke rumahnya di sekitar Serdang Jaya selepas berniaga di tapak pasar malam di kawasan perindustrian Bukit Serdang.

Wanita itu memberhentikan lorinya dan tiga lelaki terbabit menariknya keluar daripada lori sebelum merampas lori itu, kata Ketua Polis Daerah Serdang ACP Abdul Razak Elias.

"Mangsa cuba menahan lori miliknya daripada dilarikan dan susulan itu, mangsa dirempuh dan diseret beberapa meter sebelum ditinggalkan tiga penyamun terbabit yang melarikan kenderaan itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Wanita itu cedera parah di kepala dan mati ketika dirawat di wad kecemasan Hospital Serdang.

Abdul Razak berkata, ketika kejadian suami wanita itu yang juga berniaga di pasar malam membawa kereta berasingan dan pulang terdahulu daripada isterinya.

Polis kini meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berhampiran lokasi kejadian bagi memburu tiga lelaki terbabit, katanya.

Abdul Razak berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Gantung sampai mati

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.m,y

WONG Ban Chong dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/KAMAL BASIR

aLOR SETAR 5 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki setelah didapati bersalah membunuh isterinya di Alor Mengkudu di sini, Februari tahun lalu.

Tertuduh Wong Ban Chong, 55, turut dihukum penjara lapan tahun berkuat kuasa tarikh dia ditangkap selepas didapati bersalah mendatangkan kecederaan ke atas anak angkatnya dalam kejadian sama.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mohd. Zaki dalam penghakimannya berkata, tertuduh memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah ketika membela diri, telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Menurutnya, mahkamah menolak keterangan tertuduh yang mendakwa diserang oleh mangsa serta anaknya ketika berada dalam rumah tersebut dan terpaksa bertindak mempertahankan diri.

"Keterangan tertuduh itu bagaimanapun gagal dibuktikan. Menurut keterangan saksi pendakwaan, tertuduh masuk ke dalam rumah secara agresif menerusi tingkap cermin di bahagian dapur.

"Keadaan itu menyebabkan mangsa dan anaknya berasa takut dan lari keluar rumah bagi menyelamatkan diri kerana tertuduh bersenjatakan parang. Pembelaan tertuduh cuba mempertahankan diri tidak boleh diterima kerana menurut saksi, dia cedera ketika memecahkan tingkap cermin semasa memasuki rumah," katanya.

Mengikut pertuduhan, Ban Chong didakwa membunuh Uug Siew Lin, 47, di rumah No. 269 di Taman Saga Jalan Alor Mengkudu dekat sini kira-kira pukul 12.17 tengah malam pada 17 Februari 2012.

Tertuduh yang bekerja sebagai operator penyewaan jengkaut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Ban Chong juga dituduh di bawah Seksyen 326 kanun sama atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak angkat mangsa, Ch'ng Sheue Mei, 26, menggunakan parang di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Ab. Rashid manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Afza Dahari.

Ban Chong yang berkemeja-T warna hijau kelihatan tenang sebaik sahaja hukuman selesai dibacakan.

Terdahulu Mohamad Afza memaklumkan, tertuduh tiada rekod jenayah dan kejadian berlaku kerana masalah rumah tangga yang sudah lama terpendam.

"Tertuduh bukan seorang penjenayah dan kejadian itu amat dikesali," katanya.

Dalam pada itu, Siti Aishah memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh.

Seramai 14 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan sementara pembelaan hanya memanggil tertuduh sebagai saksi.

Pegawai kanan Program E-Pendidikan Genius didakwa

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Seorang bekas Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif Tabung Kebajikan dan Pendidikan Program E-Pendidikan Genius mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan penipuan, pecah amanah dan cuba menipu wang berjumlah RM500,000, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Raja Azman Shah Raja Alang Petra, 48, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rosbiahanin Ariffin.

Bagi tiga pertuduhan pertama, Raja Azman didakwa menipu pemilik-pemilik syarikat tertentu, Azlan Arshad 46; Ng Suat Hon, 58, dan Ahamad Nazim, 30.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan cara memperdaya mangsa untuk melabur RM150,000, RM200,000 dan RM150,000 masing-masing ke dalam tabung kebajikan dan pendidikan yang sama.

Tujuannya bagi menjalankan kerja-kerja Supply, Installation, Testing And Commissioning Services for IT Facilities yang melibatkan 812 buah sekolah di Perak, Negeri Sembilan dan Perlis.

Perbuatan itu dituduh dilakukan melalui pengarah-pengarah operasi syarikat itu, Hishamsol Othman, 43, dan Zuraimi Abd. Rahim, 39.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat syarikat itu di Suite 17.2, Tingkat 17, Bangunan MAS, Jalan Sultan Ismail, di sini antara September 2006 dan 30 Januari 2008.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama bagi ketiga-tiga pertuduhan menipu.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Raja Azman Shah juga didakwa bagi dua lagi pertuduhan melakukan pecah amanah dengan menjadikan wang milik Suat Hon dan Azlan untuk kegunaan sendiri di tempat dan tarikh yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 406 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan keenam, dia didakwa bersubahat dengan Hishamsol dan Zuraimi menipu Suat Hon dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa dengan menyumbangkan wang sejumlah RM200,000 ke dalam tabung tersebut, syarikat mangsa boleh mendapat pengecualian cukai.

Bagi pertuduhan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 kanun tersebut dan dibaca bersama Seksyen 417 sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Raja Maghribi tarik balik pengampunan

Posted: 05 Aug 2013 11:48 AM PDT

RABAT 6 Ogos - Raja Mohamed VI kelmarin membatalkan pengampunan yang diberikan terhadap seorang perogol bersiri Sepanyol selepas keputusan sebelum ini membangkitkan kemarahan rakyat Maghribi.

Dalam kenyataan yang disiarkan oleh pihak istana, Mohamed VI menarik semula pengampunan yang diberikan terhadap Daniel Galvan Vina yang dijatuhi hukuman 30 tahun penjara kerana merogol 11 kanak-kanak.

Keputusan terbaharu berkenaan dibuat selepas mendapati jenayah yang dilakukan Galvan terlalu berat dan menggugat hak asasi mangsa, lapor agensi berita MAP yang memetik kenyataan tersebut.

Selasa lepas, lelaki berusia 60 tahun itu diampunkan dan dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman bermula September 2011. - AFP

15 maut dalam kejadian tanah runtuh di selatan India

Posted: 05 Aug 2013 11:47 AM PDT

NEW DELHI 6 Ogos - Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh berpunca akibat hujan lebat yang turut menyebabkan lebih 100 penerbangan dibatalkan apabila sebuah lapangan terbang utama di Kerala, negeri selatan India ditutup, semalam.

Pegawai polis Kerala, Telma George berkata, beberapa kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan berbukit di daerah Idukki, menyebabkan banyak rumah, bas dan kereta tertimbus.

Operasi menyelamat masih dijalankan di kawasan Adimali, lokasi sebuah bas dan beberapa kereta terbalik di lebuh raya.

Lebih banyak mangsa dijangka ditemui dan angka korban mungkin meningkat," katanya. - DPA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Ayam di pasar tani UTC murah

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Shafik Fauzan Sharif (tiga, kanan) meninjau gerai menjual ikan selepas merasmikan Pasar Tani Khas Pra-Syawal dan Program Jimat Belanja Dapur di Kuantan, semalam. Turut kelihatan, Ahmad Ishak (dua dari kanan). - BERNAMA

KUANTAN 5 Ogos - Harga ayam di pasar tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) dijual pada harga lebih rendah iaitu RM6.90 berbanding harga siling (RM7.70) sekilogram dan dijangka kekal sehingga sambutan Aidilfitri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, harga itu adalah berpatutan dan murah berbanding dengan kawasan-kawasan lain.

"Walaupun kerajaan sudah menetapkan harga siling bagi ayam RM7.70 sekilogram, namun harga di pasar tani UTC lebih rendah dan menunjukkan krisis harga ayam sudah diatasi.

"Pasar tani UTC dijangka beroperasi pada Rabu ini iaitu sehari sebelum sambutan Aidilfitri dan harga RM6.90 akan kekal," katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Pasar Tani Khas Pra-Syawal dan Program Jimat Belanja Dapur di Pasar Tani UTC di sini semalam.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Pasar Tani Kebangsaan, Abu Bakar Jamaat.

Menurut Shafik Fauzan, kerajaan mempunyai kaedah tertentu untuk mengatasi masalah harga ayam yang dikatakan meningkat secara drastik baru-baru ini.

"Bagaimanapun, selepas harga siling diumumkan, kita lihat peniaga mematuhi peraturan tersebut malah ada menjualnya pada kadar harga yang lebih rendah," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai terutama umat Islam yang bakal meraikan sambutan Aidilfitri supaya tidak membeli daging lembu di tepi-tepi jalan kerana dikhuatiri haiwan curi dan mempunyai kesan sampingan lain.

"Sekiranya lembu berkenaan dicuri, haiwan tersebut telah disuntik dengan ubat pelali dan akan memberi sampingan kepada sesiapa yang memakannya.

"Ubat pelali tersebut akan mengambil masa selama dua minggu untuk melalui proses perkumuhan dan kesannya amat berbahaya kepada mereka yang memakan daging lembu berkenaan," jelasnya sambil menggesa orang ramai membeli di pasar tani atau peniaga yang mendapat kelulusan daripada Jabatan Veterinar.

Bersatu tolak ajaran Syiah

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

MARAN 5 Ogos - Umat Islam di negeri ini perlu bersatu menolak sebarang usaha penyebaran fahaman Syiah bagi memastikan perpaduan masyarakat Islam terus kekal utuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, fahaman Syiah tidak boleh diterima di kalangan masyarakat kerana ajarannya terbukti bertentangan daripada al-Quran serta Sunnah.

"Jawatankuasa saya turut mempunyai skuad khas bagi memantau sebarang elemen Syiah dan apa-apa video yang memburuk-burukkan Islam dan institusi raja melalui media sosial.

"Sebarang maklumat berkaitan fahaman Syiah ataupun yang boleh menggugat keamanan akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk membolehkan tindakan diambil mengikut undang-undang negara," katanya.

Shahaniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis perjumpaan dengan ketua kampung dan pemimpin wanita dalam DUN Kuala Sentol di sini kelmarin.

Tegas beliau, kepimpinan kampung sangat efektif bagi memantau sebarang gerakan fahaman Syiah atau apa sahaja fahaman yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat.

Tambah beliau, tindakan proaktif seperti itu sangat diperlukan supaya elemen yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan dapat ditangani dengan cekap.

Menurut beliau, kepimpinan wanita disemua peringkat juga berupaya membendung pengaruh Syiah daripada terus merebak terutama di kawasan kediaman.

"Semua ahli masyarakat perlu bersatu untuk mengukuhkan syiar Islam berikutan kedudukan Islam semakin dipandang rendah akibat perpecahan sesama sendiri," katanya.

Perkim rai saudara baru

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

Sebahagian daripada ahli Persatuan Cina Muslim dan wakil daripada Perkim Jerantut yang hadir pada majlis berbuka puasa di Rumah Rehat Jerantut, Jerantut, baru-baru ini. - Utusan/M. RIZAL NOR

JERANTUT 5 Ogos - Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Jerantut meraikan 20 keluarga ahli Persatuan Cina Muslim (PCM) pada majlis berbuka puasa di Rumah Rehat Jerantut di sini kelmarin.

Pengerusi Perkim Jerantut, Datuk Rahimah Mohd. Kawi berkata, pihaknya sentiasa meraikan golongan mualaf sama ada kaum Cina, India mahu pun Orang Asli bagi mengeratkan hubungan.

"Kita menjadikan majlis berbuka puasa bersama mualaf sebagai medan untuk berinteraksi dengan lebih dekat bersama mereka. Hari ini kita turut menyampaikan sedikit sumbangan dan duit raya kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, program tersebut juga merupakan salah satu aktiviti Perkim daerah ini pada bulan Ramadan kali ini selepas program Ziarah Kasih dengan mengedarkan sumbangan kepada pesakit di Hospital Jerantut baru-baru ini.

Menurutnya, Perkim Jerantut telah merangka beberapa aktiviti Fardu Ain sepanjang tahun agar golongan mualaf dapat mendalami ilmu agama dengan lebih baik.

Sementara itu, Pengerusi PCM, Mohd. Hafizal Teng Abdullah berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih dan menghargai segala bantuan yang dihulurkan oleh Perkim Jerantut.

"Kita memang mempunyai hubungan yang rapat dengan Perkim Jerantut bagi membolehkan segala program PCM berjalan lancar setiap tahun," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Tingkat penguatkuasaan jenayah

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

HAKIKATNYA di Malaysia sudah tersedia 1,000 akta. Dan kita bukannya kekurangan undang-undang. Cuma soalnya, bagaimana tindakan undang-undang yang berkesan boleh menjadi teladan kepada rakyat.

Singapura, tetangga Malaysia misalnya memiliki sejumlah undang-undang yang kurang daripada 1,000 akta. Tetapi berkesan pula dalam hal menguatkuasakan undang-undang. Ini khasnya berkaitan keselamatan negara, sosial, sekuriti pelaburannya serta hubungan kesejahteraan rakyat di republik itu.

Dokongan inilah yang boleh didapati antaranya di Switzerland, Finland dan United Kingdom - yang mana jenayah berat dan serius memang berlaku, tetapi tidak sewenang-wenangya.

Berkongsi pandangan dengan penulis, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim menarik perhatian kepada satu perkara lain yang begitu penting.

"Kita di Malaysia tidak perlu 'terbeliak mata' dengan perihal hak-hak asasi manusia yang dilaung-laungkan oleh pihak di luar sana. Kita mesti berpegang kepada aras kejituan dengan negara sendiri sebenarnya telah berjaya menghindarkan diri dari terperosok ke lembah jenayah sebelum ini.

"Jika pendirian ini tidak dikuatkuasakan, maka bersedialah untuk melihat negara dalam kancah jenayah berat. Jika ini berlaku dalam tempoh tiga tahun mendatang ini, dikhuatiri keamanan tidak boleh dipulihkan lagi," kata beliau ketika ditemui penulis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak Jumaat lalu.

Rais yang juga Presiden UIAM berkata, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan SKMM mesti bertindak sebagai satu 'tungku' yang berupaya mengukuhkan lunas undang-undang sedia ada.

"Sekarang apabila trend membunuh ala koboi terjadi, maka akan ada sesuatu diutarakan, yang berkonsepkan 'cadangan' supaya dibuat undang-undang itu ini.

"Sebaik-baiknya kita sebagai pentadbir perundangan dan kehakiman mesti ada titik pertemuan supaya rakyat berasa yakin dengan tindakan penguatkuasaan, pengenaan hukuman dalam tempoh segera," kata beliau.

Dan oleh kerana bidang ini melibatkan undang-undang dan pentadbiran penguatkuasaan, ketidakwujudan Ordinan Darurat (EO) 1969 itu boleh diatasi dan disempurnakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), PDRM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Sekiranya nekad ditokok penyiasatan dengan hanya tertumpu pada Kanun Prosedur Jenayah (CPC), maka kita yakin kuasa untuk mereman seseorang yang disyaki penjenayah boleh dibuat sehingga 21 hari atau di bawah sebulan.

Tiada perlunya bagi proses reman lebih sebulan untuk siasatan dan di bawa ke muka pengadilan.

"Memang setelah diumumkan Akta Kesejahteraan Hubungan Ras dan sebagainya itu memang boleh dirancang, tetapi yang perlu adalah kembalikan rasa takut rakyat kepada konfiden yang 'jenayah koboi' ini perlu berhenti. Hal ini bukan hanya isu masalah berbeza pindaan akta atau kurang undang-undang," kata beliau.

Dalam soal ini, Rais menarik perhatian akan relevannya pelaksanaan sistem beat. Ia apabila keberadaan penguat kuasa daripada PDRM tampak di bandar-bandar. Antaranya, seperti anggota PDRM dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) beruniform berjalan dari kedai ke kedai mengikut kawasan dan bertanyakan hal atau ramah mesra kepada pekedai dan orang ramai. Keduanya, dengan mereka menaiki motosikal di bandar-bandar.

"Tapi yang berkesan mengikut sejarahnya adalah anggota keselamatan dalam berkumpulan secara bertiga berjalan dan menampakkan keberadaan mengawas," kata beliau.

Mengenai penyediaan kamera litar tertutup (CCTV), kata Rais, itu memang membantu, tetapi hanya relevan setelah kejadian jenayah berlaku.

"Berjuta-juta ringgit yang dibelanjakan dalam pemasangan CCTV ini perlu direalisasikan supaya menjadi butir pembuktian, bukan sebagai sumber atau video sahaja," katanya.

Dalam program pencegahan jenayah, kata beliau, hakim juga perlu berperanan khusus dalam bidang pencegahan ini, yakni menentukan setiap kes yang dijatuhi hukuman menjadi teladan untuk semua.

Dan bagi Rais, akhirnya, kuasa darurat jenayah (Emergency Criminal) perlu diberi semula kepada polis.

Kata beliau: "Apabila EO 1969 dan Akta Kediaman Terhad 1933 dimansuhkan, beribu-ribu penjenayah dilepaskan termasuklah dari Simpang Renggam, Taiping dan Kuala Lumpur.

"Soalnya sekarang, bekas penjenayah yang beribu-ribu ini apabila keluar dan dibebaskan telah tarik impak yang kuat. Anjing kalau tak makan tahi, sekurang-kurangnya hidu tahi. Yang merompak dulu, akan balik ke profesion merompaknya yang berhubung kait ala jenayah koboi tadi, bersama-sama sekutunya."

Dalam soal alat yang digunakan dalam melakukan jenayah, kata beliau lagi, selain kapak, parang besar dan besi keluli, yang paling berbahaya adalah pistol. Dalam 220 jenis jenayah berat, antaranya rompak dan pecah rumah, kesemuanya melibatkan senjata api sejak empat tahun lalu. Ini menunjukkan kebanjiran senjata api seperti pistol dan peluru yang berleluasa di negara ini, kata beliau.

"Persoalannya bagaimana begitu banyak ini? Nampak terwakil padanya model-model pistol baru. Ia bukan lagi Walter.32 atau .38 tapi yang 'bumper' macam yang digunakan dalam pembuatan filem-filem di Eropah dan Amerika Syarikat.

"Dan ini sangat jelas yang punca lambakan pistol-pistol ini dari luar sana. Saya dapat maklumat masalah ini disebabkan berlaku pembolosan di sempadan utara tanah air, Sabah serta pantai Selat Melaka," katanya.

Kata Rais: "Masalahnya juga di sini berkaitan isu pemeriksaan ke atas lori-lori sayur dan ikan yang soal pengesanan metaliknya boleh dikatakan tidak berkesan.

"Apabila dibuat ke atas lori, alat itu memantul sebab tidak boleh dikesan. Jadi, setiap kali pemeriksaan, kena angkat bakul-bakul ke atas, dan baru diimbas (scan) seperti mana dilakukan di Mexico.

"Soalnya di sini, berapa tempoh masa hendak angkat beribu-ribu bakul ikan dan sayur atas lori-lori dari Thailand yang masuk ke negara ini.

"Dan isunya di sini, senjata api haram begitu banyak dan boleh didapati dengan mudah apabila banyak jenayah berat berlaku kebelakangan ini. Pihak berwajib mungkin tidak gemar ini disebut, tapi ini perlu disebut."

Untuk menangani masalah ini, bagi penggunaan senjata api kes rompakan, sebenarnya telah tersedia ada hukuman berat di bawah Kanun Keseksaan. Cuma, hendaklah pembuktiannya diperoleh dengan kental dan disegerakan penyelesaiannya ke muka pengadilan.

"Satu melalui undang-undang keselamatan, tapi saya setuju pencegahan diberi semula kepada polis yang berkaitan jenayah rompak, bunuh.

"Juga, beberapa akta di bawah Seksyen 27, Akta Polis yang dulunya dimansuhkan, perlu ditimbangkan semula penahanan yang lebih lama. Ini untuk tindakan tapi hal-hal profesionalisme pengisiannya mesti dijamin agar tidak tercabul hak asasi manusia," kata beliau.

Dalam soal ini, Rais menarik perhatian: "EO yang kita ada, Singapura pun masih gunakan beberapa peruntukannya. Namun, cara latihan mereka 100 peratus berbeza dengan kita," kata beliau.

Antaranya, negara ini masih tidak mewajibkan penjenayah yang dibebaskan dengan ikat jamin memakai Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) pada masa depan.

"Pencegahan jenayah kecil-kecilan boleh melibatkan pengawasan rapi, tetapi tidak dijalankan.

"Pentadbiran jenayah di negara ini perlu ditingkatkan 100 peratus. Tidak ada gunanya setiap kali berdepan dengan cabaran, kita tambah anggota dan peralatan sedangkan dari aspek peningkatan latihan, kita abaikan.

Barangkali benar dan tepat rumusan Rais. Soalnya kita masih ambil budaya tangkap muat atau ambil mudah, iaitu budaya 'tak apalah' dalam penguatkuasaan undang-undang.

Misalnya, membakar mercun yang seolah-olah suatu yang biasa. Setiap kali menjelang atau semasa sambutan Aidilfitri, Gong Xi Fa Chai dan Deepavali, merata kita dengar kejadian bakar mercun.

Tetapi PDRM anggap biasa sahaja.

Cuma, apabila masyarakat dapati 'kita' kurang penjagaan aspek penguatkuasaannya, maka di situlah muncul jenayah tambahan, sebelum merebak menjadi jenayah serius. Contohnya, letupan mercun yang disekalikan dengan tembakan ke atas manusia, bunyinya pasti sama.

Hal ini kita perlu ambil serius. Jangan sesekali penguatkuasaan jenayah 'dilewakan'.

Aidilfitri mengembalikan diri kepada fitrah

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

DARI JENDELA TOK KI

AIDILFITRI adalah bulan yang ditunggu selepas sebulan melalui madrasah Ramadan. Seperti juga ibadat-ibadat lain maksud yang dipedomankan oleh Islam supaya setiap umat Islam dapat membina jiwa kehambaan yang tinggi dan berperanan sebagai khalifah yang penuh hikmah.

Kehambaan yang tinggi membangun jiwa rukuk dan sujud yang tinggi juga. Ia mendukung maksud ketaatan, kepatuhan, keakuran dan ketundukan kepada Allah SWT. Dalam maksud yang luas tarbiyyah Ramadan mengukuhkan asas rohaniah dan membawa perubahan kepada diri.

Ramadan tidak saja amalan yang berifat rohaniah dan jasmaniah. Ada dorongan rohaniah yang menyebabkan manusia berubah dan ada dorongan jasmaniah yang menyebabkan manusia insaf.

Pengekangan hawa nafsu dari bersifat haiwani mempengaruhi tabiat, sikap dan tingkah laku. Kalau sebelum tarbiyyah ini terjadi, sikap sombong, angkuh, ego seseorang agak tinggi. Tetapi selepas melalui tarbiyyah Ramadan ia jadi berubah. Menginsafi betapa kerdil dirinya di sisi Allah dan menyedari bahawa puncak kebanggaan manusia ialah Allah Yang Maha Pencipta dan Pemberi Rahmat.

Justeru kesedaran dalaman diri manusia terlalu amat penting. Mengukur tarbiyyah Ramadan di lalui dengan jayanya adalah perubahan sikap dan tingkah laku yang ada pada diri. Daripada seorang yang kedekut dan bakhil, seorang yang bengis dan suka dipuji bertukar menjadi seorang yang pemurah dan suka bersedekah dan seorang yang penyayang dan membantu yang susah. Dari seorang yang pendendam dan hasad dengki bertukar menjadi seorang yang sabar dan sentiasa berhemah dalam melakukan sesuatu.

Tetapi bagaimana harus terjadi sedangkan ibadah ini dianggap sebagai rutin hidup yang hanya terhubung dengan Allah tetapi tidak terhubung dengan diri dan manusia atau diri dengan orang lain. Setiap tahun orang berpuasa, melakukan tarawih, bangun sahur, bertadarus dan solat sunat, wataknya tidak berubah. Dimensi hablumminallah ada tetapi dimensi hablumminannas tidak banyak berubah.

Selepas Ramadan dengan melalui segala macam cabaran wataknya tidak banyak berubah. Secara zahir produktiviti rohaniahnya tinggi dengan aktiviti ibadah yang banyak tetapi pada hakikatnya produktiviti amaliahnya masih rendah. Ia memerlukan muhasabah yang tinggi supaya ada upaya merenung ke dalam diri mengapa watak diri tetap sama dan perubahan tidak juga berlaku. Perubahan diri manusia bergantung kepada niat yang bersih dan ilmu yang memberi suluh supaya perubahan diri terjadi.

Kalau ada tekad untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan keyakinan yang sungguh-sungguh bahawa ibadat bukan hanya ritual, ikut-ikutan dan turut-turutan semata tetapi ia suatu proses mengukuhkan rohani supaya perubahan diri itu bermula dari dalam.

Apabila hati dan niat mahu berubah ikhlas kerana Allah kerana sifat-sifat mazmumah yang ada pada diri seperti gelojoh, ego, sombong, pendendam, tidak ada jiwa pemaaf adalah dibenci oleh Allah, maka dengan sendirinya ahli ibadah ingin kembali kepada diri yang fitrah.

Inilah maksud Aidilfitri sebenarnya iaitu diri yang menang dalam pertarungan dengan hawa nafsu, diri yang berjaya dibebaskan daripada belenggu sifat-sifat mazmumah (terkeji) kepada sifat-sifat mahmudah (terpuji).

Jika ini berlaku di saat merayakan Aidilfitri, fitrah diri akan kelihatan seolah-olah kita baru dilahirkan dengan sifat dan sikap baru dan menjadikan watak dan amal kita sesuatu yang sangat bermakna.

Takbir dan tahmid yang dilafazkan, kesediaan menerima maaf dan saling memaafkan, memperbanyakkan ziarah, meraikan golongan miskin dan daif adalah gambaran awal memahami bahawa Kebesaran Allah itu terlihat dalam tingkah laku kita menyantuni yang tidak bernasib dan rasa syukur yang tinggi terhadap rahmah dan nikmah yang kita terima.

Sekiranya bawaan ini diperkukuh dengan ilmu yang membawa kepada keinsafan, ibadah yang mengukuh rohani bakal terpancar perubahan diri dalam bentuk amal dan perbuatan yang benar-benar bermakna.

Aidilfitri diharapkan menjadi sempadan zaman silam yang dilalui dengan pekerti mazmumah yang jelik dengan pekerti mahmudah yang ramah dan menjadikan diri kita orang yang dekat dengan Allah (taqarrub Ilallah) dan hampir dengan manusia.

Penulis mengambil kesempatan ini memohon maaf zahir batin sekiranya penampilan Tok Ki selama ini menyinggung perasaan. Bacalah apa yang tersirat moga ia memberi manfaat.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Mudahkan pemantauan

Posted: 04 Aug 2013 11:32 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) beramah mesra dengan para pengunjung bazar Ramadan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur ketika lawatan turun padang ke bazar berkenaan, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang mengeluarkan lesen kepada penjaja bergerak haram di ibu negara dalam usaha memastikan aktiviti jualan itu lebih terkawal.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, langkah tersebut juga bagi memantau penglibatan warga asing yang kebanyakan daripada mereka menjaja secara bergerak menggunakan troli.

Menurutnya, permohonan lesen itu akan ditawarkan kepada para penjaja terutama di kawasan-kawasan tumpuan seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India.

"Kita bukan tidak membenarkan golongan ini (peniaga tempatan) menjaja secara bergerak tetapi beberapa syarat perlu dipatuhi termasuk lokasi dipilih tidak mengganggu lalu lintas,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi turun kali kedua sekitar Jalan TAR dan Jalan Masjid India, di ibu negara hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja DBKL, Rolan Abdul Rahman.

Tambah Tengku Adnan, DBKL juga menggunakan kaedah berbeza pada tahun ini dengan memberi nasihat atau amaran terlebih dahulu kepada penjaja bergerak tersebut.

"Namun, kita tidak membiarkan sahaja mereka selepas diberi amaran, kerana saya pesan kepada penguat kuasa agar nasihat dahulu dan kalau masih berdegil baru tindakan diambil.

"Sejak awal Ramadan lalu, sebanyak 43 peniaga telah dikenakan tindakan kerana tidak mempunyai lesen selepas berkali-kali diberi amaran" ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Adnan turut memuji penganjur dan para pegawai DBKL yang menjalankan tugas bagi memastikan tidak ada peniaga tempatan mengambil peluang meng'alibaba' lesen kepada warga asing.

"Lawatan hari ini susulan daripada tinjauan pertama saya tempoh hari untuk memastikan penganjur mematuhi segala arahan yang diberikan.

"Saya dapati mereka akur agar jangan disewa kepada orang asing, kecuali hanya seorang peniaga tempatan dikenakan tindakan sita selepas didapati menyewa petak niaga kepada warga asing,"katanya.

JLKN perkenal modul Keselamatan Jalan Raya

Posted: 04 Aug 2013 11:32 AM PDT

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan memperkenalkan modul Keselamatan Jalan Raya kepada pelatih Siri 3/2013 bagi memastikan mereka sentiasa peka terhadap isu keselamatan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata modul yang diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) itu akan bermula pada 15 Ogos depan.

"Sebagai permulaan, modul itu akan diperkenalkan di 14 pusat latihan iaitu sebuah di setiap negeri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Keselamatan Jalan Raya Aidilfitri 2013 anjuran Briged Sukarelawaan Khidmat Negara (BSKN) di Plaza Tol Batu 11, Cheras di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JKJR, Datuk Dr. Tam Weng Wah.

Tambah Abdul Hadi, modul itu diperkenalkan bagi memberi kesedaran kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya semasa berada di jalan raya.

Sementara itu, katanya seramai 420 anggota BSKN menyertai kempen keselamatan jalan raya yang dilancarkan secara serentak di 14 lokasi plaza tol dan jalan utama setiap negeri sempena Aidilfitri.

"Kami akan mengedarkan risalah yang memaparkan mesej berkaitan keselamatan kepada penguna jalan raya yang melalui jalan-jalan anggota kempen itu berkumpul," katanya.

Dalam program itu, penukaran topi keledar baharu kepada penunggang motosikal turut dilakukan.

Kembara Sahur Merdeka Raya diteruskan

Posted: 04 Aug 2013 11:32 AM PDT

SHAH ALAM 4 Ogos - Sempena sambutan Ramadan dan Hari Kemerdekaan negara ke-56 pada 31 Ogos ini, Pergerakan Puteri UMNO Shah Alam telah menganjurkan Kembara Sahur Merdeka Raya baru-baru ini.

Ketuanya, Shuratini Abdul Rahman berkata, program tersebut sudah memasuki edisi tahun keempat bagi memeriahkan Ramadan dan mengingati kemerdekaan negera.

''Tahun lepas kita singgah di 16 tempat untuk mengagihkan juadah bersahur sambil mengedarkan Jalur Gemilang tetapi tahun ini kita buat hanya di lapan tempat sahaja.

''Kita singgah di balai-balai polis, bomba dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di bandar raya ini bersama 100 ahli Puteri UMNO Bahagian Shah Alam dengan menaiki lebih 30 buah kereta," katanya kepada pemberita selepas program tersebut berakhir di Bangunan UMNO Bahagian Shah Alam di sini baru-baru ini.

Shuratini berkata, sambutan yang diterima dari orang ramai amat menggalakkan di semua tempat yang dilalui oleh konvoi Kembara Sahur Merdeka Raya tersebut.

Katanya, program bersifat mengimarahkan bulan Ramadan dan menjana semangat patriotik itu akan diteruskan pada masa depan meskipun selepas ini beliau tidak lagi menerajui pergerakan tersebut.

''Saya pasti dengan sokongan UMNO Bahagian Shah Alam, program seumpama ini akan diteruskan demi memeriahkan sambutan bulan puasa dan hari kemerdekaan ke-56 tahun," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Polis ambil alih jaga sempadan daripada ATM selepas Raya

Posted: 04 Aug 2013 11:59 PM PDT

ALOR SETAR 5 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil alih semula kawalan keselamatan di sempadan negara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas Aidilfitri ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Katanya, kawalan di sempadan negara dari Perlis hingga ke Kelantan atau Ops Wawasan ketika ini diletakkan di bawah ATM dengan rondaan dilakukan bersama PDRM dan ATM di bawah Strategi Lautan Biru.

"Belum pasti lagi berapa lama (PDRM akan mengambil alih)... mungkin ambil untuk selama-lamanya. Dulu (bergilir-gilir antara ATM dan PDRM) kerana kita memerlukan PGA (Pasukan Gerakan Am) untuk berada di bandar-bandar besar terutama di negeri yang terlibat dengan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) untuk membanteras jenayah jalanan.

"Tetapi kita juga bertanggungjawab terhadap kawasan sempadan untuk kekal selamat daripada perbuatan penyeludupan dan anasir lain," katanya kepada pemberita hari ini selepas mengunjungi Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir di pejabat Menteri Besar Kedah di sini.

Katanya, pihaknya memang memberi perhatian terhadap segala aktiviti penyeludupan dan aktiviti merentasi sempadan oleh mereka yang sedang mereka perhatikan dan mereka yang terlibat dengan penyeludupan manusia.

"Bila menjelang raya pula ada penyeludupan mercun dan bunga api. Ini semua kami akan teliti dengan lebih rapi," katanya.

Mengenai kunjungan itu, Khalid berkata, beliau memberikan taklimat kepada Menteri Besar Kedah itu berkenaan kedudukan keselamatan negeri ini memandangkan ia merupakan negeri yang bersempadan dengan negara jiran. - BERNAMA

Pelihara nikmat Allah - Najib

Posted: 04 Aug 2013 11:32 AM PDT

Oleh HERMAN HAMID dan SHAHRINNAHAR LATIB
pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh seorang penerima zakat selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat 2013/1434H Parlimen Pekan di Pekan, semalam. Sejumlah RM1.5 juta zakat daripada badan-badan korporat diagihkan kepada 5,904 penerima. - bernama

PEKAN 4 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hikmah kewajipan berzakat bukan sahaja membentuk masyarakat seimbang, malah membawa keberkatan yang memayungi negara sekali gus membolehkan keamanan di Malaysia jauh lebih baik dari sesetengah negara yang menyambut Syawal dalam keadaan konflik.

Menurut Perdana Menteri, apabila rukun yang diwajibkan Allah dilaksanakan seperti zakat, maka negara akan menjadi aman dan makmur dengan kemakmuran itu membolehkan urusan seharian berlaku tanpa sebarang gangguan.

Kata Najib, ini seperti mana firman Allah dalam surah al-Aqla ayat 96 yang bermaksud "Jikalau penduduk-penduduk negeri beriman dan bertakwa pastilah kami akan limpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi tetapi yang mendustakan maka kami seksa mereka disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri".

"Justeru, kalau kita banding negara lain yang sambut puasa dan raya dalam konflik yang dahsyat maka keadaan negara kita ini jauh lebih baik dari segi keamanan dan kemajuan apabila wujudnya golongan prihatin di atas kewajipan yang ditentukan Allah.

"Inilah rahmat yang diberikan Allah kepada seluruh rakyat Malaysia dan sewajarnya nikmat yang dikecapi ini kita pertahankan, pelihara sebaiknya supaya keamanan dan kemakmuran ini akan terus berkekalan," katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Tahun 2013 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Pada majlis itu, Najib menerima wang zakat daripada enam agensi korporat dan dua individu yang bernilai kira-kira RM1.5 juta untuk disumbangkan kepada 5,904 golongan asnaf dalam Parlimen Pekan yang diwakili beliau.

Badan korporat terlibat ialah Bank Rakyat yang menyerahkan zakat sebanyak RM600,000, UDA Holding (RM200,000), Affin Bank (RM300,000), Tabung Haji (RM300,000), Yayasan Basmi Kemiskinan (RM50,000) dan Amanah Raya Berhad (RM25,000).

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabaruddin Chik; Pengerusi UDA Holding Bhd., Datuk Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom.

Tambah Perdana Menteri, kefarduan zakat mempunyai hikmah dan tinggi nilainya kepada umat Islam, antaranya dapat membersihkan jiwa orang yang membayar zakat daripada sifat mazmumah seperti kedekut, tamak dan terlalu cintakan dunia.

"Zakat sebaliknya membentuk jiwa pemurah dan membantu umat Islam lain yang memerlukan. Zakat juga melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi kekayaan dan merapatkan sedikit sebanyak jurang antara miskin dan kaya," ujarnya.

Muhyiddin hadiri majlis pelantikan Presiden Iran

Posted: 04 Aug 2013 11:32 AM PDT

TEHRAN 4 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang ketujuh, Hassan Rouhani di Bangunan Parlimen di Tehran, hari ini.

Beliau menyertai beberapa presiden, perdana menteri dan timbalan perdana menteri serta speaker parlimen dari lebih 50 negara pada majlis pelantikan imam beraliran sederhana itu.

Hassan, 64, yang dilihat menonjolkan kesederhanaan dan kebijaksanaan menang Pilihan Raya Presiden yang berlangsung pada 14 Jun lepas dengan meraih 50.7 peratus atau 18.6 juta undi daripada jumlah keseluruhan 36.7 juta undi.

Pesaing terdekatnya, Datuk Bandar Tehran, Mohammad Baqer Qalibaf pula jauh ketinggalan apabila sekadar menerima 16.55 peratus undi iaitu jumlah kedua terbanyak.

Hassan menggantikan Mahmoud Ahmadinejad yang merekodkan pelbagai dasar bercanggah sepanjang lapan tahun mentadbir.

Pemantau berharap pentadbiran presiden baharu itu akan menghasilkan penyelesaian diplomatik berhubung isu nuklear yang mencetuskan ketegangan antara Iran dan Barat, selain peningkatan ekonomi negara serta penyelesaian pelbagai isu sosial yang membelenggu Iran.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman mendarat di Lapangan Terbang Mehrabad kira-kira pukul 5 pagi waktu tempatan (8.30 pagi waktu Malaysia) selepas hampir lapan jam penerbangan dari Kuala Lumpur.

Muhyiddin turut menghadiri majlis berbuka puasa di Saadabad Palace malam ini.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved