Selasa, 16 April 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Suami isteri nyaris maut, batang besi tembusi kereta

Posted: 16 Apr 2013 01:43 PM PDT

Besi penghadang jalan raya yang tercampak apabila dirempuh sebuah treler telah menembusi cermin kereta Nissan Slphy di Lebuh Raya Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 16 April - Sepasang suami isteri nyaris maut selepas sebatang besi penghadang jalan raya tiba-tiba melayang dan menembusi cermin hadapan kereta dinaiki mereka yang berpunca daripada satu kemalangan membabitkan sebuah treler dan sebuah kereta di laluan bertentangan malam tadi.

Kemalangan berdekatan pusat pameran kereta Mercedes-Benz di Lebuh Raya Persekutuan pukul 8.30 malam itu berlaku ketika pasangan yang menaiki kereta Nissan Sylphy tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Puchong.

Setibanya di lokasi kejadian, sebatang besi penghadang jalan melayang lalu menembusi cermin antara tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan kereta itu.

Sebuah lagi kereta Proton Wira yang dipercayai dirempuh treler itu juga remuk namun pemandu dan dua penumpang wanitanya terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 8.58 malam dan tiba di tempat kejadian pada pukul 9.09 malam.

"Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta dirempuh sebuah treler dipandu seorang lelaki yang kemudian merempuh penghadang jalan.

"Namun sebuah kereta lain turut menjadi mangsa selepas besi penghadang jalan itu melayang lalu menembusi kenderaan mereka. Kesemua yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi di sini.

Polis belum terima laporan kes rakaman video seks

Posted: 16 Apr 2013 12:25 AM PDT

Oleh SITI AIRUNISA ALAUI

KUALA TERENGGANU 16 April - Pihak polis sehingga kini belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana individu menafikan terlibat dalam rakaman video seks yang dikaitkan dengan seorang lelaki yang didakwa mirip Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

Pengarah Penyelarasan Pilihan Raya Umum Ibu Pejabat Polis Bukit Aman (Kelantan dan Terengganu), Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, bagaimanapun terdapat beberapa laporan berkaitan pengedaran DVD dibuat di beberapa buah negeri termasuk Kelantan.

"Kita memang ada terima laporan berkaitan pengedaran namun tiada sesiapa lagi hadir untuk menafikan beliau yang telibat dalam video seks sehingga kini," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Posted:

[unable to retrieve full-text content]
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Rumah PR1MA dibina di Kampung Mat Kilau

Posted: 16 Apr 2013 01:43 PM PDT

LAU Lee menabur borang penyertaan ketika membuat cabutan hadiah utama sempena ulang tahun ke-55 Pasar Raya TF Value Mart di Terminal Bas Inderapura, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 16 April - Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) fasa pertama akan dibina di satu kawasan seluas 80 hektar di Kampung Mat Kilau di sini bagi membolehkan penduduk daerah ini memiliki rumah sendiri pada harga mampu milik.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut telah mengenal pasti kawasan yang sesuai bagi tujuan tersebut.

"Kerajaan akan membina rumah teres serta semi D dan bilangannya masih belum dipastikan tetapi harganya 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran sekarang dengan tidak melebihi RM150,000 seunit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Cabutan Bonanza sempena ulang tahun ke-55 Pasar Raya TF Value Mart di sini kelmarin yang turut dihadiri Pengarah pasar raya berkenaan, Datuk Low Long Yang dan Pengurus Operasi Value Mart cawangan Jerantut, Lim Tian Loi.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan melaksanakan projek berkenaan mengikut fasa dan setakat ini terdapat 400 hektar tanah kerajaan akan digunakan bagi membina perumahan tersebut di daerah ini.

"Projek rumah itu akan dilaksanakan oleh pihak swasta dan penduduk daerah ini yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat saya," ujarnya.

Menurutnya, kerajaan BN tidak lagi membina rumah kos rendah kerana kebanyakan pembeli kini mahukan kediaman yang lebih selesa.

Beliau memberitahu, kebanyakan rumah kos rendah yang dimiliki oleh penduduk sekarang telah banyak diubah suai terutama membesarkannya sehingga menjadi rumah kos sederhana.

Justeru itu katanya, kerajaan mengambil keputusan memperkenalkan PR1MA selaras dengan iltizam memberikan keselesaan kepada penduduk dan segala janji tersebut akan dilaksanakan.

Malaysia dicontohi negara luar dipelbagai bidang

Posted: 16 Apr 2013 01:43 PM PDT

MARAN 16 April - Malaysia sangat dihormati di persada antarabangsa berikutan usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya mengangkat negara ini dalam pelbagai bidang ekonomi, sosial dan politik sehingga menjadi rujukan di negara luar.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah manifestasi kepada hala tuju BN untuk membela rakyat.

Menurutnya, usaha berterusan kerajaan itu berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar dengan menghulurkan pelbagai bantuan supaya golongan tersebut dapat menikmati kehidupan yang selesa.

"Jaminan Perdana Menteri rakyat dan negara akan bertambah makmur membuktikan semangat tinggi beliau meletakkan Malaysia setanding dengan negara maju mengikut acuan sendiri.

"Malah matlamat kerajaan melahirkan rakyat berpendapatan tinggi menjelang 2020 dijangka dapat dicapai sekiranya kerajaan BN mendapat mandat besar dalam pilihan raya umum kali ini," katanya kepada Utusan Malaysia selepas Program Kasih Dari Pintu Ke Pintu di Felda Hulu Jempol, di sini semalam.

Shahaniza berkata, rakyat yang berfikiran rasional tidak mungkin dapat menafikan kebaikan BN dalam membela mereka berbanding pembangkang yang sering memburukkan kerajaan.

Tambahnya, pembangkang dilihat begitu ghairah memperlekeh kerajaan BN seolah-olah mereka lebih baik dalam semua segi tetapi realitinya dibelenggu pelbagai masalah pentadbiran, moral dan rasa tidak percaya dalam kalangan rakyat.

"Sehubungan itu, rakyat yang kasihkan agama, bangsa dan negara perlu bersatu menghalang agenda pembangkang untuk menumbangkan kerajaan BN yang ditunjangi UMNO," katanya.

Tangani penangkapan ikan secara haram

Posted: 16 Apr 2013 01:43 PM PDT

ADNAN Hussin (tiga dari kiri) membantu Syed Ibrahim Syed Ahmad (kanan) melepaskan benih ikan ke dalam tempat pelepasan khas di Kampung Benus, Kerdau, Temerloh, baru-baru ini.

TEMERLOH 16 April - Nelayan sungai yang tinggal di negeri ini terutama di sepanjang Sungai Pahang, Sungai Semantan, Sungai Jelai dan beberapa sungai lain disaran membantu Jabatan Perikanan Pahang dalam menangani masalah penangkapan ikan menggunakan peralatan haram.

Pengarahnya, Adnan Hussin berkata, kerjasama itu penting bagi mengatasi kekurangan bekalan ikan ekoran tindakan pihak terbabit menggunakan peralatan haram untuk menangkap ikan dengan cara mudah.

Tegasnya, walaupun agensi itu melaksanakan program pemuliharaan sumber perikanan darat tetapi matlamatnya tidak tercapai jika aktiviti haram tersebut gagal dibendung dengan berkesan.

"Sepanjang tahun lalu, jabatan ini menerima 71 aduan berkaitan kaedah penangkapan ikan secara haram seperti menggunakan racun, menuba dan arus elektrik.

"Dengan jumlah bilangan penguat kuasa yang terhad, adalah sukar bagi jabatan ini mengawal sepenuhnya setiap inci perairan sungai di negeri ini daripada aktiviti tersebut," katanya kepada pemberita selepas melepaskan 27,000 benih ikan temeliang dan lampan sungai di Kampung Benus, Kerdau di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir penyandang Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau memberitahu, aktiviti tersebut kerap berlaku pada musim kemarau, antara Mei hingga September setiap tahun dan banyak dilaporkan terjadi di Jerantut, Lipis, Cameron Highlands, Temerloh, Maran sera Rompin.

"Dari 2010 hingga 2012, jabatan ini telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM14,000 bagi 26 kes terbabit," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Bom diletakkan dalam periuk pemanas

Posted: 16 Apr 2013 11:50 AM PDT

WASHINGTON 17 April - Siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mendapati bahan letupan yang digunakan dalam serangan di Boston semalam, diletakkan dalam periuk pemanas dan dibungkus menggunakan beg pakaian hitam.

Menurut sumber, bahan letupan terbabit turut diisi serpihan besi, paku dan bebola besi.

Katanya, siasatan kes dua serangan bom yang berlaku berhampiran garisan penamat acara Maraton Boston itu masih diteruskan.

Dalam pada itu, Presiden AS, Barack Obama menyifatkan kejadian letupan terbabit sebagai serangan pengganas.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum dapat memastikan sama ada serangan itu dilakukan oleh kumpulan pengganas antarabangsa atau tempatan. - AGENSI

9 maut angkara serangan berani mati

Posted: 16 Apr 2013 11:08 AM PDT

PESHAWAR 17 April - Seramai sembilan orang terbunuh dan lebih 50 lagi cedera apabila seorang pengebom berani mati meletupkan diri di satu perhimpunan pra-Pilihan Raya Pakistan yang diadakan oleh penyokong parti anti-Taliban, di sini hari ini.

Serangan tersebut berlaku ketika ahli-ahli politik Parti Kebangsaan Awami (ANP) yang menentang pergerakan Taliban, mengadakan pertemuan dengan penyokong mereka di Peshawar.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan terbabit, namun pergerakan Taliban di Pakistan dikaitkan dengan serangan tersebut kerana pernah mengugut untuk menyerang ANP menjelang pilihan raya umum yang akan diadakan pada 11 Mei ini. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


PRU-13: Bersatu kita teguh...

Posted: 16 Apr 2013 01:43 PM PDT

Oleh Zaini Hassan

SAYA tidak bercadang untuk membuat analisis mengenai calon. Kepada calon yang dicalonkan itu kita ucapkan tahniah. Kita yakin pemilihan itu amat tepat, walaupun ada soksek di sana-sini. Sebagai manusia susah untuk dipuaskan segalanya.

Mungkin juga ada yang mahu melihat kejutan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini, namun tidak ada kejutan. Mungkin ada yang mahu melihat Ummi Hafilda melawan abangnya Azmin Ali atau Ezam Mohd. Nor menentang bekas bosnya Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, tapi ia tidak terjadi.

Namun sama ada strategi pemilihan calon itu betul atau tidak, kita tunggu dan lihat. Sama ada pengundi mahu mengundi mereka, juga kita tunggu dan lihat.

Namun semasa saya menaip tulisan ini, saya menerima panggilan daripada seorang sahabat. Begini bunyi sembang pendek itu. Jika sebelum jadi calon, mereka menegur kita, bertepuk bahu dan bertanya khabar, jangan selepas jadi calon dan menang kelak, mereka lupa daratan. Berselisih bahu pun buat tak tau. Jangan jadi merak buih sudahlah," kata sahabat itu dari Hulu Klang, Selangor.

Apa pun kita percaya percaturan undi kali ini masih menjadi penentuan mutlak. Jika calon yang dipilih itu terbaik sekali pun, tetapi jika pengundi tidak mahu memberi, maka akan kalahlah calon itu. Jika pengundi enggan memberi kemenangan kepada sesuatu parti itu, maka kalahlah parti itu.

Dalam tulisan ini saya ingin membuat sedikit analisis mengenai corak pemikiran orang Melayu, yang merupakan majoriti pengundi dalam PRU-13 ini.

Saya pasti corak pemikiran orang Melayu, kini sudah berubah. Jika selama ini mereka berpecah kepada beberapa bahagian, kini mereka mulai bertaut semula. Tapi benarkah mereka sudah bertaut? Benarkah orang Melayu sudah kembali bersatu. Atau jurang itu semakin besar?

Cuit hari ini ingin memetik sedikit ucapan saya di Seminar Pemikiran dan Kepimpinan Melayu anjuran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 11 April lalu. Ucaptama yang disampaikan itu bertajuk: Pemikiran dan Dilema Melayu Moden.

Sebelum kita pergi jauh menganalisis tajuk itu, mari kita lihat Prakata yang ditulis oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada buku saya bertajuk Cuit: Dilema Melayu Moden yang dilancarkan beliau pada 6 Mac 2013 lalu di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur.

Kata beliau: Bangsa Melayu hari ini betul-betul berada di persimpangan. Kita melihat pelbagai perubahan berlaku di serata dunia yang tidak menjanjikan kehidupan yang lebih baik. Kita juga sedar apa yang kita capai hari ini bukanlah sesuatu yang mudah dan mungkin pada satu masa lampau, sebelum kemerdekaan, kita tidak termimpi kehidupan setanding negara maju seperti sekarang.

Terdapat pula dalam kalangan bangsa kita yang lahir di tengah kemakmuran dan tidak pernah tahu ataupun tidak mahu mengambil tahu betapa sukar dan peritnya perjalanan yang perlu kita lalui untuk sampai ke tahap ini.

Akibatnya, rasa syukur dan terima kasih tidak wujud. Yang wujud cuma rasa tidak puas hati yang disogok dengan aliran pemikiran Barat yang mahukan kebebasan mutlak tanpa memikirkan akibatnya kepada adat resam dan agama kita.

Maka hilanglah jati diri dan terhakislah kesedaran politik yang secara langsung membawa kepada terhakisnya kuasa politik itu sendiri.

Apa yang cukup signifikan dalam Prakata itu ialah apabila beliau berkata begini:

Dilema Melayu masa lampau ditangani ketika orang Melayu sedar bahawa kedudukan mereka terancam dan mereka perlu bersatu untuk mengatasinya.

Dilema Melayu masa kini ialah ramai yang tidak sedar kedudukan mereka terancam dan kerana itu tidak perlu kepada perpaduan malahan ada yang menyokong perpecahan.

Perbandingan yang dibuat itu cukup penting untuk dikaji apabila beliau melihat kepada dua pandangan yang berbeza iaitu semasa beliau menulis buku kontroversinya pada tahun 1971 yang kini cukup bernilai dalam kajian sains politik iaitu bertajuk The Malay Dilemma; berbanding dengan Dilema Melayu Moden masa kini.

Melayu kini bukan seperti Melayu pada tahun-tahun awal kemerdekaan. Itu adalah tahun-tahun kepada perjuangan untuk menuntut hak, keseimbangan dan kesaksamaan antara kaum. Alhamdulillah kini kita telah mempunyai sebuah institusi seperti UiTM hasil daripada perjuangan orang terdahulu.

Tanpa mereka, tanpa perjuangan mereka itu, mungkin perjuangan atau struggles itu akan terus berlaku sehingga ke hari ini.

Namun, suasananya kini sudah berbeza. Melayu kini, menurut Tun Dr. Mahathir ialah ramai yang tidak sedar kedudukan mereka terancam dan kerana itu tidak perlu kepada perpaduan malahan ada yang menyokong perpecahan".

Kata-kata itu bukan kosong. Ia amat bererti kepada kita semua hari ini. Angka-angka statistik tidak pernah berbohong. Keputusan PRU-12 pada 2008 adalah realiti dan kenyataan. Penganalisis politik menyifatkan penolakan oleh orang Melayu khususnya, sebagai satu Tsunami Politik yang cukup hebat dalam sejarah politik tanah air.

Orang Melayu telah menolak kerajaan semasa yang mendukung mereka selama ini. Sama ada mereka menolaknya disebabkan oleh faktor-faktor semasa ataupun tidak, ia bukan satu persoalan, tetapi hakikatnya mereka telah menolaknya.

Kajian Norhayati Mohd. Salleh bertajuk: Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12): Tsunami Politik Melayu? (April 2008) menyatakan bahawa Umumnya dimaklumi bahawa dalam PRU-12 lalu Parti Barisan Nasional (BN) telah mengalami pencapaian keputusan terburuk dalam sejarah pilihan raya di negara ini. BN hanya memenangi 140 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi yang ditandinginya.

Di peringkat DUN, BN hanya memenangi 307 kerusi daripada 505 kerusi yang ditandinginya. Daripada jumlah tersebut Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah memenangi 78 kerusi Parlimen, MCA 15 kerusi, MIC 3 kerusi, Gerakan 2 kerusi dan Peoples Progressive Party (PPP) tidak memenangi sebarang kerusi.

Daripada segi analisis peratusannya boleh dikatakan bahawa calon-calon Parlimen PPP telah tewas 100%, Gerakan 80%, MIC 67%, MCA 62.5% dan UMNO 27.3%.

Secara keseluruhannya, BN hanya mendapat 51.2% undi majoriti dan gagal untuk memperolehi 2/3 majoriti di Parlimen.

Persoalannya, adakah penolakan itu, yang kesannya sehingga ke hari ini akan berterusan? Adakah orang Melayu sudah merasakan bahawa kuasa politik bukan lagi sesuatu yang diperlukan? Adakah mereka sudah selesa? Adakah mereka sudah boleh berdiri sendiri?

Dalam konteks kita, saya mengatakan bahawa, orang Melayu dilihat sedang menghadapi satu dilema atau satu perasaan serba salah yang amat berat. Perpecahan Melayu, atau perbezaan pandangan - dalam istilah lain yang lebih sederhana - yang berlaku secara sengaja atau tidak, dilihat merupakan satu manifestasi kepada proses kematangan tersebut.

Realitinya, pada pemerhatian saya orang Melayu telah berpisah kepada beberapa bahagian: Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR, Melayu DAP, Melayu Liberal, Melayu Atas Pagar dan Melayu NGO.

Masing-masing mempunyai agenda dan haluan politik masing-masing. Jika itu benar, adakah kita masih boleh menganggap orang Melayu itu sebagai kaum majoriti lagi di negara ini?

Ternyata proses kematangan yang disebut tadi telah membuka ikatan-ikatan yang terikat kuat dahulu. Ironinya orang Melayu sendiri yang merungkai dan membukanya. Adakah ini juga dikenali sebagai satu proses demokrasi?

Dalam salah satu tulisan bertajuk Strategi Pecah, Perintah dan Tawan Pembangkang (10 September 2009), saya ada menyatakan bahawa PRU-12 pada 2008 telah meletakkan satu petunjuk, yang tidak pernah terlintas di fikiran selama ini, yang orang bukan Melayu boleh menguasai kuasa politik di negara ini.

Ia boleh berlaku jika orang Melayu berpecah. Orang Melayu yang marah, keliru, sakit hati secara protes tidak memberi undi kepada parti pemerintah, yang bangsa mereka sendiri menguasainya.

Protes itu secara tidak sengaja telah memberi petunjuk, yang parti berasaskan Cina seperti DAP pun boleh menguasai negara ini. Negeri-negeri yang dikuasai DAP pada pilihan raya umum lalu ialah Pulau Pinang, Perak, Selangor dan sebahagian besar Wilayah Persekutuan. Negeri Sembilan hampir-hampir dikuasai mereka. Jika Melaka dan Johor pun jatuh ke tangan DAP - maka sebahagian besar Pantai Barat emas Semenanjung Malaysia akan dikuasai DAP.

Jika ia berlaku maka empayar DAP itu akhirnya akan menemui titik pertemuannya dengan abang mereka PAP dari Singapura. Apa seterusnya berlaku, belum terlintas lagi di fikiran, namun teorinya mungkin sudah boleh diagak.

Secara akademik, ia tidak mustahil berlaku. Melihatkan perkembangan semasa ia memang boleh berlaku. Jika perkembangan itu membawa kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, maka Melayu sudah boleh menjangka nasib mereka. Hasil strategi tidak putus asa pembangkang, mereka telah berjaya mewujudkan beberapa puak yang bertelagah dalam kalangan orang Melayu.

Orang Melayu pula dalam masa yang sama terlalu ego dengan pegangan dan fahaman masing-masing. Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR dan segelintir Melayu DAP terlalu taksub dengan ideologi kemelayuan, keislaman, keadilan dan kesaksamaan mereka.

Kesimpulannya, sama ada kita suka atau tidak, proses kematangan politik Malaysia sedang berjalan.

PRU-13 ini, yang disifatkan oleh pemerhati politik sebagai mother of all elections akan menjadi satu lagi penyaksian, testimoni dan keterangan kepada satu lagi persimpangan, untuk orang Melayu.

Akhir sekali, saya mahu menyudahi kertas ini dengan pepatah Melayu yang dicipta, hasil terantuk baru terngadah, oleh orang Melayu dulu-dulu yang berbunyi:

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!

Berkempen pun ada peraturan, jangan melampau

Posted: 16 Apr 2013 01:43 PM PDT

APALAH yang hendak digaduhkan. Nanti bila tiba hari mengundi, pangkahlah parti mana yang anda mahu. Itu pun kalau sudah mendaftar sebagai pengundi. Yang tidak termasuk dalam daftar pemilih dan tidak ada niat untuk keluar mengundi, janganlah 'lebih sudu daripada kuah'.

Kita bising dan bimbang apabila melihat banyak kejadian buli, dera dan berlagak samseng dalam kalangan pelajar sekolah didedahkan dan dimuat turun dalam media-media sosial sejak kebelakangan ini.

Kita pun tunjuk rasa kesal dan mengutuk, kenapalah budak-budak ini, kecil-kecil lagi mahu jadi samseng, sudah besar entah jadi apalah pula.

Tetapi yang tua dan dewasa dalam kalangan kita pun, ada yang 2 x 5 juga. Kalau dalam laman blog atau media sosial yang lainnya, kecoh berperang pasal menyokong parti politik masing-masing yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini. Tak habis-habis menjadi pengulas politik mengalahkan pemimpin parti politik yang serba serbi tahu dengan caci-cerca dan maki hamun.

Dan terbaru, polis memberitahu wujud kegiatan 'samseng politik' yang cuba mencetuskan huru-hara menjelang PRU-13 ini di beberapa kawasan.

Kelmarin markas sebuah parti politik di Sri Iskandar, Perak dibakar dan sebuah rumah di Klang Selatan, Selangor dibaling bom petrol dipercayai untuk memberi amaran supaya tidak mencampuri urusan politik. Sebelum itu, berlaku kes menetak seorang pekerja parti ketika memasang bendera di Kemaman, Terengganu.

Belum pun kempen secara rasmi untuk calon-calon parti politik dibuka selepas penamaan calon Sabtu ini, sudah banyak perkara buruk berlaku. Kegiatan samseng politik inilah salah satu antaranya.

Ingatlah parti mana pun yang anda sokong, sekiranya anda terlibat dalam kes-kes jenayah seperti ini, tindakan undang-undang tetap menanti. Anda tidak sama sekali kebal.

Tidak ada mana-mana pemimpin parti politik yang akan menolong pihak yang mencetuskan huru-hara ini jika sudah masuk dalam lokap polis. Ini kerana yang salah, tetap salah dan pasti dapat hukumannya.

Jadi berpada-pada dengan perbuatan. Janganlah kerana terlalu hanyut dengan ketaksuban terhadap mana-mana pemimpin dan parti politik, sehingga memudaratkan diri sendiri, menyusahkan keluarga dan menjejaskan keselamatan orang lain.

Sebab itu, apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berulang kali meminta parti-parti politik yang bertanding supaya berkempen secara sihat dan mematuhi undang-undang pilihan raya, ia janganlah terus dipandang ringan, dipersenda dan diperlekehkan.

Jika kita tidak mahu berpegang kepada undang-undang, apabila segala-galanya tidak terkawal, mahu ikut kepala sendiri dan berlakunya huru-hara, akhirnya pasti ada pihak yang dipersalahkan. Macam biasa, selalunya pihak berkuasalah yang dihalakan kemarahan. Walhal amaran dan ingatan telah diberikan.

Selain mematuhi undang-undang dalam berkempen, orang ramai juga perlu ingat kepada peraturan-peraturan yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012. Jangan melibatkan kanak-kanak dalam berkempen. Ini penting untuk menjaga keselamatan kanak-kanak itu sendiri.

Sememangnya, kita mahu ahli-ahli politik kita berpolitik secara matang. Tidak suka mana-mana pemimpin parti politik berkempen dengan caci mencaci, memaki hamun dan membuat serangan peribadi calon. Apa sahaja perilaku pemimpin parti politik yang tidak elok akan cepat dipaparkan dalam media-media sosial.

Tetapi penyokong-penyokong parti politik terutamanya yang bersifat tegar pun tidak langsung menunjukkan kematangan dalam memberikan sokongan. Mereka menganggap kempen dan PRU-13 ini kononnya tidak bersih, sedangkan yang membuat onar dan kotor itu, merekalah juga.

Mereka ini memilih untuk bergaduh, memaki hamun sesama agama dan bangsa sendiri dan rakyat seluruhnya. Mereka menganggap semua yang dilaksanakan dan ditadbir oleh kerajaan selama ini tidak betul. Kalau semuanya tidak betul, negara ini tidak semakmur sekarang dan mungkin juga mereka tidak akan ada banyak masa 'bersenang-lenang' menghabiskan masa di depan komputer, mengutuk itu dan ini.

Dan bertambah 'malang' lagi, orang seperti ini sebenarnya tidak juga turun mengundi. Pada saya, adalah lebih baik golongan yang termasuk dalam kategori ini menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja hakiki dan menenangkan diri bersama keluarga masing-masing.

Jangan tunjuk pandai dan buat bising sehingga rakyat Malaysia memberi mandat secara aman kepada kerajaan yang dipilih pada 5 Mei nanti.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Emma Maembong kekasih Zizan?

Posted: 16 Apr 2013 06:28 AM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI

KUALA LUMPUR 16 April - Aktres jelita, Emma Maembong, 21, menafikan dakwaan yang mengatakan dia kini sedang bercinta dengan pelawak, Zizan Razak.

Menurutnya, khabar angin itu tidak berasas sama sekali dan mengaku hatinya belum terpaut pada mana-mana lelaki lagi.

"Sekarang ini saya berada di bawah syarikat milik Zizan, Wire Fame Sdn. Bhd. bersama dengan Johan Asaari dan Kaka.

"Bila kita sudah berada di bawah satu bumbung, memang akan rapatlah sebab kita kerja bersama, itu sahaja," jelasnya.

Semalam, sewaktu majlis sambutan hari ulang tahun Zizan yang ke-29, Zizan mengaku yang dia rapat dengan seorang wanita yang dirahsiakan identitinya.

Zizan turut mengakui teman istimewanya itu menghadiahkannya sebuah telefon pintar i-phone 5 sempena hari kelahirannya.

Jelas Emma lagi, ada juga yang mengaitkannya dengan Johan tetapi itu sekadar khabar angin sahaja. - UTUSAN ONLINE

Azizah Mohamad terima sumbangan RM5,000

Posted: 16 Apr 2013 04:54 AM PDT

Oleh GARRET DAWUM

KUALA LUMPUR 16 April - Penyanyi veteran Datin Azizah Mohamad,

63, hari ini menerima sumbangan RM5,000 daripada Perbadanan

Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Ketua Pengarahnya, Raja Rozaimie Dalnish Shah berkata, bantuan

tersebut disalurkan menerusi Tabung Penggiat Seni yang

bertujuan untuk membantu penggiat seni terutama yang daif dan

uzur.

"Datin Azizah bukanlah orang pertama yang mendapat bantuan ini.

Malah, menerusi bantuan ini, semua penggiat seni sama ada

penyanyi, pelakon dan yang berada di belakang tabir berhak

memperolehinya.

"Selain itu, artis yang menghidap penyakit kronik, ditimpa

bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan ribut layak

mendapat bantuan sehingga RM10,000," katanya semasa kunjungan

mesra dan penyerahan sumbangan tersebut di Hospital Kuala

Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Azizah yang merupakan penyanyi kumpulan pop yeh yeh, Nirwana

dan juga isteri kepada Datuk A. Rahman Hassan dimasukkan ke HKL

akibat komplikasi pelbagai penyakit sejak 11 April lalu.

Sementara itu, A. Rahman berkata, isterinya pernah

berada di hospital selama sebulan sejak awal Januari hingga

awal Februari tahun ini akibat penyakit kencing manis, darah

tinggi, dan jangkitan kuman dalam paru-paru serta kanser

pangkal rahim.

"Setelah keluar saya terus mendapatkan perubatan alternatif dan

alhamdulillah keadaannya sudah stabil dan kini dia mendapatkan

rawatan semula.

"Saya berterima kasih dengan sumbangan ini kerana ia dapat

meringankan beban kami dan berdoa agar isteri saya cepat sembuh," ujarnya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Jangan hentam semberono

Posted: 16 Apr 2013 02:00 AM PDT

Dr. Zainal Kling

TUGAS sebagai seorang ahli politik bukan ringan. Politik juga tidak boleh dibuat secara 'suka-suka' atas dasar kecewa atau sebagainya.

Sebaliknya, memerlukan komitmen, nilai kepimpinan yang tinggi, faham tanggungjawab dan berada di landasan yang betul.

Penganalisis politik, Datuk Dr. Zainal Kling melihat penglibatan artis tempatan dalam dunia politik tidak membawa sebarang masalah jika mereka faham apa yang diperjuangkan.

"Jika diselak kembali lipatan sejarah mengenai artis dan politik, ini bukan sesuatu yang baharu.

"Sesiapa sahaja boleh menceburi dunia politik. Tetapi sama ada mereka boleh memikul tanggungjawab itu yang menjadi persoalan.

"Di peringkat antarabangsa, sudah banyak artis yang terlibat dengan dunia politik dan memegang jawatan yang tinggi dalam pentadbiran negara.

"Seperti pelakon Ronald Reagan. Dia masuk politik bukan sekadar suka-suka. Dia masuk dengan matlamat dan akhirnya memegang jawatan tertinggi dalam negara sebagai Presiden Amerika Syarikat," jelasnya.

Tambah Zainal, dunia politik terbuka kepada sesiapa sahaja, tetapi haruslah dengan pemikiran dan sumbangan terbaik.

"Jika artis itu mahu menceburi politik, pemikiran dan sumbangan perlu dilakukan. Malah, harus tahu selok belok, sebab di Parlimen, yang dibicarakan ialah soal undang-undang yang akan menentukan dasar negara," ujarnya.

Namun, tambahnya, jika penglibatan artis itu adalah kerana sifat ingin membangkang atas sesuatu perkara yang tidak dipersetujui, itu yang perlu dinafikan penglibatan mereka.

"Sifat yang harus ada untuk terlibat dengan dunia politik ialah untuk membawa kemajuan terhadap orang yang diwakilinya.

"Tetapi jika masuk hanya kerana ingin membangkang tanpa membawa sebarang idea baharu, itu yang jadi tidak betul," ujarnya.

Menurut Dr. Zainal, berdasarkan pemerhatiannya. kebanyakan artis di negara ini terlibat dengan dunia politik sebenarnya bukan kerana minat.

"Kebanyakan artis ini dipengaruhi oleh pihak lain.

"Pihak ini mahu menggunakan pengaruh yang ada pada artis itu untuk mengukuhkan parti mereka.

"Seharusnya artis kita cukup pendidikan untuk berfikir.

"Jika mereka masuk hanya untuk memenuhkan ahli sesebuah parti tanpa sebarang idea untuk membangunkan masyarakat, lebih baik tidak payah," katanya.

Menurut Zainal, tiga perkara asas perlu ada dalam diri seseorang itu sebelum mereka layak terlibat dalam dunia politik.

"Pertama, perlu ada keupayaan untuk mengawal dan sebagainya.

"Kedua kebolehan untuk menyampaikan idea baharu. Bukan sekadar menghentam dan membangkang sahaja, tetapi tidak tahu melontarkan idea untuk menambah kemajuan.

"Akhir sekali ialah nilai kepimpinan dalam diri. Ciri-ciri kepimpinan perlu ada kerana bila terlibat dengan politik, mereka mewakili rakyat.

"Kalau bercakap pun tidak tahu, datang di Parlimen hanya diam dan memenuhkan kerusi sahaja, hendak buat apa," tegasnya.

Katanya, sekarang banyak parti yang merekrut artis untuk menjadi ahli dan terlibat dengan program kerana mereka tidak cukup perwakilan.

"Sedangkan artis itu sendiri hendak bercakap pun tidak tahu. Itu yang menjadi masalah di negara kita," jelasnya.

Jelas Dr. Zainal, matang atau tidak bukan menjadi persoalan, sebaliknya sama ada mereka benar-benar mampu menggalas tanggungjawab atau tidak.

Menjadi ahli politik bakal memberikan kesan yang besar dan ia hanya boleh dikawal oleh artis itu sendiri.

Jika mereka tahu apa yang mahu dilakukan dan apa matlamat perjuangan, maka itu bakal memberikan kesan positif,

"Namun, jika mereka bertindak sebaliknya dan hanya tahu mengikut telunjuk atau hanya membangkang sahaja, ia boleh menjadi negatif," ujarnya.

Biak baka Parsi

Posted: 16 Apr 2013 02:00 AM PDT

Keluarga peminat kucing...Norlizawaty bersama anak-anak dan suaminya, Mohd. Helmie Musa bermesra dengan kucing-kucing peliharaan mereka.

BAGI pasangan Norlizawaty Baharin, 29, dan suaminya, Mohd. Helmie Musa, 31, memelihara kucing bukanlah perkara baru dalam kehidupan harian mereka malah bermula sebelum mereka mendirikan rumah tangga lagi.

Hari ini, setelah hampir enam tahun memelihara kucing, minat tersebut telah diwarisi kedua-dua anak kembar mereka, Darwisya Adriana dan Darwisya Sophia, setahun empat bulan.

Ternyata apa yang dilakukan oleh pasangan ini bukan sahaja bertujuan untuk menjadikan kucing sebagai binatang peliharaan tetapi secara tidak langsung ia turut memberi pendapatan sampingan buat pasangan suami isteri ini.

Menurut Norlizawaty atau lebih mesra disapa Liza, asalnya mereka hanya memelihara sepasang kucing baka Parsi yang diimport dari Rusia.

Bermula dari situ mereka menambah seekor demi seekor dengan mendapatkan baka-baka kucing terbaik dari dalam mahupun luar negara apabila berkemampuan.

Katanya lagi, kucing Parsi pertama yang diperoleh itu juga dijadikan induk bagi membiakkan lagi baka yang baik.

Hari ini, pasangan yang bertugas sebagai guru di Putrajaya itu mempunyai 11 ekor kucing, lapan ekor betina (induk), dua ekor jantan dan seekor anak kucing.

Asalnya sebelum berkahwin lagi kami sememangnya suka dengan kucing dan telah pun memelihara kucing di kediaman masing-masing.

Tapi sebaik sahaja mendirikan rumah tangga, kami sepakat untuk membeli sepasang kucing Parsi yang boleh dijadikan induk.

Dari situlah ia membiak dan jika mempunyai rezeki lebih kami akan membeli kucing-kucing baru untuk menambah koleksi," ujarnya ketika ditemui di kediaman mereka di Dengkil, Selangor, baru-baru ini.

Tambah Liza lagi, perancangan awal mereka membeli kucing induk tidak sia-sia kerana secara tidak langsung kini menjadikan mereka adalah salah seorang pembekal baka kucing terbaik.

Ulas pasangan tersebut, pasaran untuk anak-anak kucing sentiasa ada malah kini mereka bukan sahaja mempunyai pelanggan tetap tetapi turut menjadi tempat bagi pelanggan-pelanggan baru mendapatkan anak kucing dari baka tersebut.

Begitupun menurut Liza, pasaran untuk penjualan anak kucing tersebut ada pasang surutnya malah ada kalanya mereka mampu menjual sehingga lima ekor dalam sebulan dan ada kalanya cuma seekor.

Liza turut memberitahu ada juga di mana bulan-bulan tertentu mereka tidak mempunyai stok (anak kucing) untuk dijual kerana kehabisan.

Bercerita lanjut mengenai penjagaannya pula, pasangan tersebut menjelaskan, menjaga kucing tidaklah sesusah mana malah rutin harian bermula pada waktu pagi dan kucing hanya diberi makan dua kali sehari.

Menurut Liza, sekiranya kucing-kucing tersebut tidak begitu kotor, mereka hanya dimandikan sebulan sekali ataupun dua minggu sekali dan hanya dibawa berjumpa doktor sekiranya sakit.

Bagaimanapun menurut Liza, keperluan kucing bukan sahaja dari segi tempat tinggal dan makanan, malah binatang peliharaan itu juga perlu dibelai dengan penuh kasih sayang.

Perlu diingatkan bahawa kucing-kucing ini perlu diberikan perhatian dari aspek makanan, kebersihan dan kesihatan mereka.

Dan untuk bulunya pula, ia perlu kerap disikat agar bulu yang mati akan gugur dan digantikan dengan yang baru.

Kucing-kucing ini juga perlu diajak bermain untuk menunjukkan kasih sayang kita kepada mereka," katanya lagi.

Menghabiskan dalam lingkungan RM1,000 sebulan untuk membeli makanan, pasir serta kelengkapan lain, pasangan ini mengakui kos memelihara kucing agak tinggi tetapi ia cukup berbaloi.

Walaupun pasangan ini dilihat menjadikan kucing sebahagian daripada ahli keluarga mereka, tetapi tidak sewenang-wenangnya membenarkan kedua-dua anak mereka mendekati haiwan tersebut.

Ini kerana menurut Liza, bulu kucing boleh menyebabkan batuk dan asma kepada yang alah dengannya.

Yang pasti, memelihara kucing memerlukan komitmen dan tanggung jawab seperti menjaga seorang manusia. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Norzarina juara karaoke sempena Jelajah Tribute Anugerah P. Ramlee

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

Norzarina Mohd. Nordin (tengah) berkongsi kegembiraan bersama Hasbullah Mohd. Razi (kiri) dan Rosiah Nordin selepas diumumkan juara Pertandingan Karaoke Lagu-Lagu P. Ramlee di Subang Jaya, Selangor, semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR 15 April - Dengan mendendangkan lagu Jari-jariku Sakit Semua, Norzarina Mohd. Nordin, 20, dinobatkan juara Pertandingan Karaoke Lagu-Lagu P. Ramlee sempena Jelajah Tribute Anugerah P. Ramlee.

Penolong Pengurus Komunikasi Korporat Utusan Melayu (M) Berhad, Nik Anura Nik Abdul Rahman berkata, sebanyak 37 peserta berentap bagi merangkul gelaran juara pertandingan karaoke tersebut.

"Jelajah ini merupakan yang terakhir sebelum malam kemuncak Anugerah P. Ramlee diadakan pada 7 Jun ini bertempat di Dewan Agong Canselori Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Sebelum ini, tiga siri jelajah diadakan di Johor Bahru, Sungai Petani, Kedah dan Kemasik, Terengganu dan mendapat sambutan menggalakkan orang ramai dalam memperingati perjuangan seniman agung, P. Ramlee," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas siri jelajah tersebut di Mydin Mall, di sini hari ini.

Dalam pertandingan karaoke itu, tempat kedua dimenangi Hasbullah Mohd. Razi, 19, menerusi lagu Barang Yang Lepas Jangan Dikenang manakala tempat ketiga dirangkul Rosiah Nordin menerusi dendangan lagu Jeritan Batinku.

Selain pertandingan karaoke, pertandingan Jom Mewarna, Tiru Gaya P. Ramlee & Saloma, Musang Berjanggut, Roda Impian dan Susun suai gambar turut diadakan.

Sementara itu, penyanyi rock, Ella bersama protegenya, Puteri Caroline dan Alif Satar ialah antara penyanyi yang mengadakan persembahan manakala Rosyam Nor dan Fir Affandi sebagai juri pertandingan karaoke selain penampilan istimewa Eira Syazira.

Mengulas mengenai Malam Anugerah P. Ramlee pula, Nik Anura berkata, persiapan malam tersebut sedang dijalankan dan cara-cara mendapatkan tiket boleh didapati dengan membaca Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia serta menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Katanya, borang-borang pencalonan juga telah dikeluarkan menerusi Utusan Malaysia sejak 1 Februari lalu sehingga 3 Mei ini.

"Peneka paling banyak dan tepat berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM3,000 dan cenderamata daripada RTM, Kumpulan Utusan dan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


10 rumah rosak dilanda ribut

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

S. Subramaniam (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan bantuan kepada Tan Poh Hian (dua dari kanan) pemilik kedai yang rosak akibat ditimpa pokok dalam kejadian ribut di pekan Jementah, Segamat, Johor, semalam.

SEGAMAT 15 April - Lebih 10 buah rumah serta sebuah kedai di daerah ini yang rosak dilanda ribut awal pagi semalam akan segera dibaiki menerusi bantuan pelbagai agensi kerajaan.

Penyandang kerusi Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi itu menyebabkan banyak bumbung kediaman rosak selain ada yang dihempap pokok tumbang terutamanya di sekitar Pekan Jementah.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, kawasan lain yang turut dilanda ribut ialah sekitar bandar Segamat serta Batu Anam, namun hanya membabitkan beberapa rumah.

"Di Jementah, ribut menyebabkan sebuah kedai serta enam rumah penduduk rosak dan secara keseluruhan membabitkan 50 penduduk. Setiap keluarga kerugian antara RM3,000 hingga RM4,000," katanya semasa melawat kawasan itu di pekan Jementah di sini hari ini.

Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, pihaknya kini sedang membuat penilaian tentang kos kerosakan akibat ribut sebelum sebarang bantuan dapat diberikan kepada mangsa.

Beliau berkata, kerugian hanya membabitkan kerosakan bumbung yang diterbangkan ribut, namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Seorang mangsa, Tan Po Hlan, 40, berkata, dia hanya menyedari kejadian menimpa premis kedai menjual barangan sembahyang miliknya kira-kira pukul 5.30 pagi.

"Sebelum itu, ribut kuat melanda kira-kira pukul 3 pagi tetapi saya berada di rumah dekat Taman Perpaduan, di sini. Apabila pergi ke kedai, saya lihat pokok besar di tepi jalan sudah tumbang menimpa kedai saya," katanya.

Dia yang sudah sembilan tahun berniaga di pekan tersebut berkata, kejadian ribut berkenaan kali pertama berlaku di situ.

Ibu kepada tiga anak itu bagaimanapun berterima kasih kepada Subramaniam yang segera mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membersihkan pokok tumbang tersebut kerana bimbang ia boleh menyebabkan risiko lain.

"Saya masih tidak tahu berapa jumlah kerugian, ketika ini saya sudah meminta pekerja untuk membaiki bumbung yang rosak kerana dihempap pokok berkenaan," katanya.

Jelajah Pendidikan Mara masuk Felda Chempelak

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

LABIS 15 April - Seramai 700 pelajar tingkatan lima daripada 15 buah sekolah menengah di Muar dan Segamat didedahkan dengan pelbagai peluang pendidikan yang ditawarkan oleh Mara dalam Program Jelajah Pendidikan Luar Bandar di Felda Chempelak di sini baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Pengajian Pelajaran Mara, Azmi Muhammad berkata, program yang memasuki tahun kedua itu bertujuan memberikan peluang kepada calon dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengetahui dengan lebih jelas peluang melanjutkan pengajian yang ditawarkan oleh Mara.

"Hakikatnya, ramai pelajar tidak mempunyai maklumat serta panduan memilih bidang serta tempat untuk menyambung pelajaran selepas mendapat keputusan SPM.

''Sehubungan itu, pihak kami berperanan membimbing golongan tersebut terutama di kawasan luar bandar memilih tempat serta bidang yang sesuai untuk mereka,'' katanya ketika ditemui kelmarin.

Selain membantu kerajaan melahirkan modal insan yang mampu menyumbang kepada negara katanya, program itu juga memberi penekanan terhadap hasrat melihat bumiputra menyumbang 30 peratus daripada keseluruhan guna tenaga yang diperlukan dalam bidang tertentu pada masa depan.

Salah seorang pelajar yang mengikuti program tersebut, Muhd. Shairi Mohamad, 17, menyifatkan penerangan dalam program tersebut sebagai sangat berguna dan memberi pendedahan bermakna buatnya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir, Muar itu mengakui tidak banyak mengetahui peluang yang ada untuk melanjutkan pengajian dalam bidang akademik atau memilih kemahiran di bawah Mara.

"Pengetahuan yang saya dapat sepanjang menyertai program ini akan saya sampaikan kepada rakan lain yang tidak berpeluang turut serta hari ini apabila kembali ke sekolah nanti," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


JPN Perak selesai 59 kes lewat daftar kelahiran

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

PARIT 15 April - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak berjaya menyelesaikan sebanyak 59 kes kelewatan daftar kelahiran di negeri ini sejak 18 Februari hingga 2 Mac lalu.

Pengarahnya, Alias Mamat berkata, kejayaan yang dicapai di bawah program MyDaftar JPN itu turut melibatkan permohonan kewarganegaraan iaitu sebanyak 312 kes dan enam kes daftar lewat kad pengenalan.

''Melalui program MyDaftar JPN, kita mengambil inisiatif turun padang ke seluruh negeri bagi menjejak dan mengenal pasti golongan yang masih tidak mempunyai pengenalan diri.

''Kesemua permohonan yang diterima itu telah diproses berlandaskan peraturan sehingga dokumen tersebut berjaya dikeluarkan dan membolehkan setiap warganegara mendapat hak sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan sijil kelahiran untuk dua keluarga yang disampaikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong di JPN Daerah Perak Tengah di sini semalam.

Alias memberitahu, walaupun pihaknya melakukan beberapa siri program turun padang secara berkala, masih terdapat pemohon yang enggan bekerjasama bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Sementara itu, seorang penerima, Siti Zaleha Ahmad, 44, berkata, dia gembira apabila tujuh anaknya berjaya memperoleh sijil kelahiran selepas beberapa tahun berusaha mendapatkannya.

Menurutnya, dia tidak dapat mendaftar kelahiran kesemua anaknya sebelum ini disebabkan masalah suami, Kamal Abdullah, 48, yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Pemberita sambilan Utusan di Baling meninggal dunia

Posted: 15 Apr 2013 06:52 PM PDT

BALING 16 April - Wartawan sambilan Utusan Malaysia, Azman Md. Noor, 46, meninggal dunia ketika bersiap sedia untuk membuat liputan pengumuman calon Barisan Nasional (BN) di Anak Bukit, Alor Setar pagi ini.

Menurut isterinya, Rogayah Yahya, arwah menghembus nafas terakhir semasa menunggu rakannya Zamri Yaakob di rumahnya di Taman Mesra di sini untuk ke Alor Setar bagi membuat liputan tugasan tersebut.

Katanya, ketika kejadian, arwah bersendirian di rumah kerana beliau telah keluar untuk mengajar di sebuah sekolah di sini.

Sementara itu Zamri berkata, dia tiba di rumah itu kira-kira pukul 7.30 pagi dan mendapati arwah sudah meninggal dunia.

Allahyarham dikatakan mengidap kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi. - ONLINE UTUSAN

Tiga lapis pertahanan di Esscom

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 15 April - Tiga lapisan pertahanan utama telah digariskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sebagai langkah proaktif membanteras kemasukan puak militan terutama pengganas Kiram di kawasan perairan negara.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, lapisan pertama ialah pengawasan melalui udara dan radar yang memperuntukkan setiap aset TLDM yang terlibat sentiasa bersiap siaga dari lokasi pemantauan.

Menurut beliau, lapisan kedua pula ialah gerakan formasi kesemua kapal peronda dan friget TLDM yang terlibat sebagai benteng penyekat, mengesan dan menahan mana-mana kapal yang berjaya memasuki perairan negara.

"Sementara itu, lapisan ketiga ialah operasi menentukan kedaulatan kita dikawal dengan ketat dan rapi melalui kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk menumpaskan sebarang ancaman.

"Kita tentukan ketiga-tiga lapisan pertahanan ini sebelum membenarkan mana-mana militan mencerobohi perairan kita. Jadi, ini adalah tiga lapisan yang kita gunakan, insya-Allah, kita akan mempunyai perairan yang selamat dan kondusif kepada sektor ekonomi dan juga industri pelancongan," katanya kepada pemberita dalam Wawancara Khas Panglima TLDM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz menjelaskan, sekiranya perlu, sebuah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) akan ditubuhkan bagi memperkasakan laluan keselamatan khas di kawasan tersebut yang dipantau pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Ops Pasir.

"Kita tentukan dalam Esscom ditempatkan CIQ, kalau nak ikutkan CIQ ditubuhkan, mereka tidak dapat memasuki perairan Sabah. Apa yang penting, kita kena pastikan pedagang 'barter' tradisional di sekitar kawasan tersebut diberi kemudahan," ujarnya.

Abdul Aziz berkata, TLDM harus diberi peranan lebih besar dalam Esscom kerana pasukan tersebut mempunyai keupayaan yang tinggi dalam menjamin kedaulatan perairan negara daripada diancam pihak asing.

"Dalam apa-apa keadaan sekalipun, apa yang patut ditentukan ialah kita menghalang sebarang kemasukan ancaman asing.

"TLDM memainkan peranan yang besar dalam menentukan kemasukan tidak berlaku, justeru, kita meminta diberi lebih peranan dalam sebarang operasi pemantauan perairan negara," ujarnya.

Operasi Daulat diteruskan sehingga Esscom ambil alih - PTD

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

LAHAD DATU 15 April — Operasi Daulat masih diteruskan sehingga penyeliaan dan pengawasan operasi itu diambil alih Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom), kata Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Beliau berkata, ketika ini pegawai tentera daripada Esscom sedang membuat pembelajaran dan mendapatkan maklumat mengenai bagaimana Operasi Daulat dilaksanakan.

"Operasi Daulat ini diteruskan... akan diserahkan penyeliaan dan pengawasan operasi ini kepada Esscom secara berperingkat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Zulkifeli memberitahu, jumlah anggota tentera di Lahad Datu akan dikurangkan dan akan mengatur gerak mereka ke kawasan lain seperti Semporna dan Sandakan secara beransur-ansur.

"Semasa Operasi Daulat berlangsung, seramai 3,500 anggota tentera ditugaskan di sini dan pada hari ini, kira-kira 2,500 masih ditempatkan di sini. Begitu juga dengan kereta perisai, kita akan kurangkan perlahan-lahan," katanya.

Zulkifeli berkata, beliau dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar akan meninjau tahap keselamatan di sekitar kawasan ini sebelum mengesyorkan kepada kerajaan bagi penyerahan rasmi Operasi Daulat kepada Esscom.

"Saya akan berbincang dengan Ketua Polis Negara dan kami bersama-sama akan membuat 'cadangan' kepada kerajaan mengenai perkara ini (syor penyerahan rasmi)," katanya sambil menambah satu perbarisan simbolik penamatan atau penyerahan rasmi operasi itu kepada Esscom akan diadakan.

Sementara itu, Zulkifeli berkata satu kem tetap akan diwujudkan di kawasan Felda Sahabat di sini dengan kerjasama Felda.

"Saya telah berbincang dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan telah mendapat persetujuan secara dasarnya bahawa kita akan bina satu kem tetap di sini. Saya dan Felda akan mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai untuk dirikan kem ini," katanya.

Mengenai Kampung Tanduo, antara lokasi pertempuran insiden pencerobohan pengganas Sulu, Zulkifeli berkata tentera masih berkawal di kawasan itu walaupun sudah tidak ada ancaman.

Mengenai Esscom, katanya penubuhan organisasi itu dilihat lebih fokus, struktur yang lebih mantap dan tersusun dan akan dapat menentukan kesinambungan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved