Selasa, 16 April 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


PRU-13: Bersatu kita teguh...

Posted: 16 Apr 2013 01:43 PM PDT

Oleh Zaini Hassan

SAYA tidak bercadang untuk membuat analisis mengenai calon. Kepada calon yang dicalonkan itu kita ucapkan tahniah. Kita yakin pemilihan itu amat tepat, walaupun ada soksek di sana-sini. Sebagai manusia susah untuk dipuaskan segalanya.

Mungkin juga ada yang mahu melihat kejutan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini, namun tidak ada kejutan. Mungkin ada yang mahu melihat Ummi Hafilda melawan abangnya Azmin Ali atau Ezam Mohd. Nor menentang bekas bosnya Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, tapi ia tidak terjadi.

Namun sama ada strategi pemilihan calon itu betul atau tidak, kita tunggu dan lihat. Sama ada pengundi mahu mengundi mereka, juga kita tunggu dan lihat.

Namun semasa saya menaip tulisan ini, saya menerima panggilan daripada seorang sahabat. Begini bunyi sembang pendek itu. Jika sebelum jadi calon, mereka menegur kita, bertepuk bahu dan bertanya khabar, jangan selepas jadi calon dan menang kelak, mereka lupa daratan. Berselisih bahu pun buat tak tau. Jangan jadi merak buih sudahlah," kata sahabat itu dari Hulu Klang, Selangor.

Apa pun kita percaya percaturan undi kali ini masih menjadi penentuan mutlak. Jika calon yang dipilih itu terbaik sekali pun, tetapi jika pengundi tidak mahu memberi, maka akan kalahlah calon itu. Jika pengundi enggan memberi kemenangan kepada sesuatu parti itu, maka kalahlah parti itu.

Dalam tulisan ini saya ingin membuat sedikit analisis mengenai corak pemikiran orang Melayu, yang merupakan majoriti pengundi dalam PRU-13 ini.

Saya pasti corak pemikiran orang Melayu, kini sudah berubah. Jika selama ini mereka berpecah kepada beberapa bahagian, kini mereka mulai bertaut semula. Tapi benarkah mereka sudah bertaut? Benarkah orang Melayu sudah kembali bersatu. Atau jurang itu semakin besar?

Cuit hari ini ingin memetik sedikit ucapan saya di Seminar Pemikiran dan Kepimpinan Melayu anjuran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 11 April lalu. Ucaptama yang disampaikan itu bertajuk: Pemikiran dan Dilema Melayu Moden.

Sebelum kita pergi jauh menganalisis tajuk itu, mari kita lihat Prakata yang ditulis oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada buku saya bertajuk Cuit: Dilema Melayu Moden yang dilancarkan beliau pada 6 Mac 2013 lalu di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur.

Kata beliau: Bangsa Melayu hari ini betul-betul berada di persimpangan. Kita melihat pelbagai perubahan berlaku di serata dunia yang tidak menjanjikan kehidupan yang lebih baik. Kita juga sedar apa yang kita capai hari ini bukanlah sesuatu yang mudah dan mungkin pada satu masa lampau, sebelum kemerdekaan, kita tidak termimpi kehidupan setanding negara maju seperti sekarang.

Terdapat pula dalam kalangan bangsa kita yang lahir di tengah kemakmuran dan tidak pernah tahu ataupun tidak mahu mengambil tahu betapa sukar dan peritnya perjalanan yang perlu kita lalui untuk sampai ke tahap ini.

Akibatnya, rasa syukur dan terima kasih tidak wujud. Yang wujud cuma rasa tidak puas hati yang disogok dengan aliran pemikiran Barat yang mahukan kebebasan mutlak tanpa memikirkan akibatnya kepada adat resam dan agama kita.

Maka hilanglah jati diri dan terhakislah kesedaran politik yang secara langsung membawa kepada terhakisnya kuasa politik itu sendiri.

Apa yang cukup signifikan dalam Prakata itu ialah apabila beliau berkata begini:

Dilema Melayu masa lampau ditangani ketika orang Melayu sedar bahawa kedudukan mereka terancam dan mereka perlu bersatu untuk mengatasinya.

Dilema Melayu masa kini ialah ramai yang tidak sedar kedudukan mereka terancam dan kerana itu tidak perlu kepada perpaduan malahan ada yang menyokong perpecahan.

Perbandingan yang dibuat itu cukup penting untuk dikaji apabila beliau melihat kepada dua pandangan yang berbeza iaitu semasa beliau menulis buku kontroversinya pada tahun 1971 yang kini cukup bernilai dalam kajian sains politik iaitu bertajuk The Malay Dilemma; berbanding dengan Dilema Melayu Moden masa kini.

Melayu kini bukan seperti Melayu pada tahun-tahun awal kemerdekaan. Itu adalah tahun-tahun kepada perjuangan untuk menuntut hak, keseimbangan dan kesaksamaan antara kaum. Alhamdulillah kini kita telah mempunyai sebuah institusi seperti UiTM hasil daripada perjuangan orang terdahulu.

Tanpa mereka, tanpa perjuangan mereka itu, mungkin perjuangan atau struggles itu akan terus berlaku sehingga ke hari ini.

Namun, suasananya kini sudah berbeza. Melayu kini, menurut Tun Dr. Mahathir ialah ramai yang tidak sedar kedudukan mereka terancam dan kerana itu tidak perlu kepada perpaduan malahan ada yang menyokong perpecahan".

Kata-kata itu bukan kosong. Ia amat bererti kepada kita semua hari ini. Angka-angka statistik tidak pernah berbohong. Keputusan PRU-12 pada 2008 adalah realiti dan kenyataan. Penganalisis politik menyifatkan penolakan oleh orang Melayu khususnya, sebagai satu Tsunami Politik yang cukup hebat dalam sejarah politik tanah air.

Orang Melayu telah menolak kerajaan semasa yang mendukung mereka selama ini. Sama ada mereka menolaknya disebabkan oleh faktor-faktor semasa ataupun tidak, ia bukan satu persoalan, tetapi hakikatnya mereka telah menolaknya.

Kajian Norhayati Mohd. Salleh bertajuk: Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12): Tsunami Politik Melayu? (April 2008) menyatakan bahawa Umumnya dimaklumi bahawa dalam PRU-12 lalu Parti Barisan Nasional (BN) telah mengalami pencapaian keputusan terburuk dalam sejarah pilihan raya di negara ini. BN hanya memenangi 140 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi yang ditandinginya.

Di peringkat DUN, BN hanya memenangi 307 kerusi daripada 505 kerusi yang ditandinginya. Daripada jumlah tersebut Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah memenangi 78 kerusi Parlimen, MCA 15 kerusi, MIC 3 kerusi, Gerakan 2 kerusi dan Peoples Progressive Party (PPP) tidak memenangi sebarang kerusi.

Daripada segi analisis peratusannya boleh dikatakan bahawa calon-calon Parlimen PPP telah tewas 100%, Gerakan 80%, MIC 67%, MCA 62.5% dan UMNO 27.3%.

Secara keseluruhannya, BN hanya mendapat 51.2% undi majoriti dan gagal untuk memperolehi 2/3 majoriti di Parlimen.

Persoalannya, adakah penolakan itu, yang kesannya sehingga ke hari ini akan berterusan? Adakah orang Melayu sudah merasakan bahawa kuasa politik bukan lagi sesuatu yang diperlukan? Adakah mereka sudah selesa? Adakah mereka sudah boleh berdiri sendiri?

Dalam konteks kita, saya mengatakan bahawa, orang Melayu dilihat sedang menghadapi satu dilema atau satu perasaan serba salah yang amat berat. Perpecahan Melayu, atau perbezaan pandangan - dalam istilah lain yang lebih sederhana - yang berlaku secara sengaja atau tidak, dilihat merupakan satu manifestasi kepada proses kematangan tersebut.

Realitinya, pada pemerhatian saya orang Melayu telah berpisah kepada beberapa bahagian: Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR, Melayu DAP, Melayu Liberal, Melayu Atas Pagar dan Melayu NGO.

Masing-masing mempunyai agenda dan haluan politik masing-masing. Jika itu benar, adakah kita masih boleh menganggap orang Melayu itu sebagai kaum majoriti lagi di negara ini?

Ternyata proses kematangan yang disebut tadi telah membuka ikatan-ikatan yang terikat kuat dahulu. Ironinya orang Melayu sendiri yang merungkai dan membukanya. Adakah ini juga dikenali sebagai satu proses demokrasi?

Dalam salah satu tulisan bertajuk Strategi Pecah, Perintah dan Tawan Pembangkang (10 September 2009), saya ada menyatakan bahawa PRU-12 pada 2008 telah meletakkan satu petunjuk, yang tidak pernah terlintas di fikiran selama ini, yang orang bukan Melayu boleh menguasai kuasa politik di negara ini.

Ia boleh berlaku jika orang Melayu berpecah. Orang Melayu yang marah, keliru, sakit hati secara protes tidak memberi undi kepada parti pemerintah, yang bangsa mereka sendiri menguasainya.

Protes itu secara tidak sengaja telah memberi petunjuk, yang parti berasaskan Cina seperti DAP pun boleh menguasai negara ini. Negeri-negeri yang dikuasai DAP pada pilihan raya umum lalu ialah Pulau Pinang, Perak, Selangor dan sebahagian besar Wilayah Persekutuan. Negeri Sembilan hampir-hampir dikuasai mereka. Jika Melaka dan Johor pun jatuh ke tangan DAP - maka sebahagian besar Pantai Barat emas Semenanjung Malaysia akan dikuasai DAP.

Jika ia berlaku maka empayar DAP itu akhirnya akan menemui titik pertemuannya dengan abang mereka PAP dari Singapura. Apa seterusnya berlaku, belum terlintas lagi di fikiran, namun teorinya mungkin sudah boleh diagak.

Secara akademik, ia tidak mustahil berlaku. Melihatkan perkembangan semasa ia memang boleh berlaku. Jika perkembangan itu membawa kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, maka Melayu sudah boleh menjangka nasib mereka. Hasil strategi tidak putus asa pembangkang, mereka telah berjaya mewujudkan beberapa puak yang bertelagah dalam kalangan orang Melayu.

Orang Melayu pula dalam masa yang sama terlalu ego dengan pegangan dan fahaman masing-masing. Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR dan segelintir Melayu DAP terlalu taksub dengan ideologi kemelayuan, keislaman, keadilan dan kesaksamaan mereka.

Kesimpulannya, sama ada kita suka atau tidak, proses kematangan politik Malaysia sedang berjalan.

PRU-13 ini, yang disifatkan oleh pemerhati politik sebagai mother of all elections akan menjadi satu lagi penyaksian, testimoni dan keterangan kepada satu lagi persimpangan, untuk orang Melayu.

Akhir sekali, saya mahu menyudahi kertas ini dengan pepatah Melayu yang dicipta, hasil terantuk baru terngadah, oleh orang Melayu dulu-dulu yang berbunyi:

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!

Berkempen pun ada peraturan, jangan melampau

Posted: 16 Apr 2013 01:43 PM PDT

APALAH yang hendak digaduhkan. Nanti bila tiba hari mengundi, pangkahlah parti mana yang anda mahu. Itu pun kalau sudah mendaftar sebagai pengundi. Yang tidak termasuk dalam daftar pemilih dan tidak ada niat untuk keluar mengundi, janganlah 'lebih sudu daripada kuah'.

Kita bising dan bimbang apabila melihat banyak kejadian buli, dera dan berlagak samseng dalam kalangan pelajar sekolah didedahkan dan dimuat turun dalam media-media sosial sejak kebelakangan ini.

Kita pun tunjuk rasa kesal dan mengutuk, kenapalah budak-budak ini, kecil-kecil lagi mahu jadi samseng, sudah besar entah jadi apalah pula.

Tetapi yang tua dan dewasa dalam kalangan kita pun, ada yang 2 x 5 juga. Kalau dalam laman blog atau media sosial yang lainnya, kecoh berperang pasal menyokong parti politik masing-masing yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini. Tak habis-habis menjadi pengulas politik mengalahkan pemimpin parti politik yang serba serbi tahu dengan caci-cerca dan maki hamun.

Dan terbaru, polis memberitahu wujud kegiatan 'samseng politik' yang cuba mencetuskan huru-hara menjelang PRU-13 ini di beberapa kawasan.

Kelmarin markas sebuah parti politik di Sri Iskandar, Perak dibakar dan sebuah rumah di Klang Selatan, Selangor dibaling bom petrol dipercayai untuk memberi amaran supaya tidak mencampuri urusan politik. Sebelum itu, berlaku kes menetak seorang pekerja parti ketika memasang bendera di Kemaman, Terengganu.

Belum pun kempen secara rasmi untuk calon-calon parti politik dibuka selepas penamaan calon Sabtu ini, sudah banyak perkara buruk berlaku. Kegiatan samseng politik inilah salah satu antaranya.

Ingatlah parti mana pun yang anda sokong, sekiranya anda terlibat dalam kes-kes jenayah seperti ini, tindakan undang-undang tetap menanti. Anda tidak sama sekali kebal.

Tidak ada mana-mana pemimpin parti politik yang akan menolong pihak yang mencetuskan huru-hara ini jika sudah masuk dalam lokap polis. Ini kerana yang salah, tetap salah dan pasti dapat hukumannya.

Jadi berpada-pada dengan perbuatan. Janganlah kerana terlalu hanyut dengan ketaksuban terhadap mana-mana pemimpin dan parti politik, sehingga memudaratkan diri sendiri, menyusahkan keluarga dan menjejaskan keselamatan orang lain.

Sebab itu, apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berulang kali meminta parti-parti politik yang bertanding supaya berkempen secara sihat dan mematuhi undang-undang pilihan raya, ia janganlah terus dipandang ringan, dipersenda dan diperlekehkan.

Jika kita tidak mahu berpegang kepada undang-undang, apabila segala-galanya tidak terkawal, mahu ikut kepala sendiri dan berlakunya huru-hara, akhirnya pasti ada pihak yang dipersalahkan. Macam biasa, selalunya pihak berkuasalah yang dihalakan kemarahan. Walhal amaran dan ingatan telah diberikan.

Selain mematuhi undang-undang dalam berkempen, orang ramai juga perlu ingat kepada peraturan-peraturan yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012. Jangan melibatkan kanak-kanak dalam berkempen. Ini penting untuk menjaga keselamatan kanak-kanak itu sendiri.

Sememangnya, kita mahu ahli-ahli politik kita berpolitik secara matang. Tidak suka mana-mana pemimpin parti politik berkempen dengan caci mencaci, memaki hamun dan membuat serangan peribadi calon. Apa sahaja perilaku pemimpin parti politik yang tidak elok akan cepat dipaparkan dalam media-media sosial.

Tetapi penyokong-penyokong parti politik terutamanya yang bersifat tegar pun tidak langsung menunjukkan kematangan dalam memberikan sokongan. Mereka menganggap kempen dan PRU-13 ini kononnya tidak bersih, sedangkan yang membuat onar dan kotor itu, merekalah juga.

Mereka ini memilih untuk bergaduh, memaki hamun sesama agama dan bangsa sendiri dan rakyat seluruhnya. Mereka menganggap semua yang dilaksanakan dan ditadbir oleh kerajaan selama ini tidak betul. Kalau semuanya tidak betul, negara ini tidak semakmur sekarang dan mungkin juga mereka tidak akan ada banyak masa 'bersenang-lenang' menghabiskan masa di depan komputer, mengutuk itu dan ini.

Dan bertambah 'malang' lagi, orang seperti ini sebenarnya tidak juga turun mengundi. Pada saya, adalah lebih baik golongan yang termasuk dalam kategori ini menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja hakiki dan menenangkan diri bersama keluarga masing-masing.

Jangan tunjuk pandai dan buat bising sehingga rakyat Malaysia memberi mandat secara aman kepada kerajaan yang dipilih pada 5 Mei nanti.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved