Khamis, 26 September 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


RM1.5 juta dirampas

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Oleh AZRAI MOHAMMAD
pengarang@utusan.com.my

NOOR Rashid Ibrahim (tengah) menunjukkan dua bungkusan serbuk dadah syabu yang dijumpai di dalam dua buah beg troli pakaian selepas menahan satu pasangan di LCCT Sepang pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mematahkan tiga cubaan menyeludup dadah ke negara ini yang didalangi warga Nigeria selepas menahan empat 'keldai' dadah dan merampas dadah bernilai RM1.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang dekat sini baru-baru ini.

Mereka yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 31 tahun itu merupakan seorang lelaki warga Nigeria, seorang wanita warga Thailand serta sepasang pelajar kolej warga tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, polis percaya mereka yang ditahan berperanan sebagai 'keldai' dadah setelah direkrut oleh sindiket Nigeria terbabit.

Katanya, sindiket ini dilihat kembali aktif menggunakan modus operandi tersebut iaitu menyeludup menggunakan 'keldai' dadah melalui lapangan terbang.

"Tangkapan pertama dilakukan pada 23 September lalu kira-kira pukul 3 petang di KLIA melibatkan seorang warga Nigeria yang baharu tiba dengan penerbangan dari Doha, Qatar.

"Hasil pemeriksaan terhadap sebuah beg yang dibawanya, polis menemukan empat peket dadah jenis syabu seberat 1.12 kilogram," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Noor Rashid, pada keesokannya, polis membuat satu serbuan di sebuah bilik hotel di ibu negara selepas mengekori seorang wanita warga Thailand yang baharu tiba di KLIA dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

"Hasil pemeriksaan, polis merampas enam ketulan mampat dadah jenis kokain seberat kira-kira 495 gram yang ditemui di atas katil bilik hotel berkenaan.

"Dadah tersebut yang diseludup dari Amerika Selatan melalui Dubai, disembunyikan di dalam kemaluan dan dubur wanita tersebut. Siasatan polis percaya suspek hanya menjadikan Malaysia sebagai transit dadah itu sebelum dibawa ke Thailand," ujarnya.

Noor Rashid berkata, tangkapan ketiga dilakukan di LCCT kira-kira pukul 1.10 pagi ini melibatkan seorang lelaki dan wanita tempatan.

"Lelaki dan wanita terbabit baharu tiba dengan penerbangan dari Chennai, India. Setelah pemeriksaan dilakukan terhadap dua beg troli yang dibawa mereka, polis menemukan dua bungkusan plastik berwarna coklat mengandungi dadah jenis syabu seberat kira-kira 8.04 kg," ujarnya.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki terbabit pernah melakukan kegiatan sama sebelum ini tetapi gagal dikesan pihak berkuasa.

Katanya, keldai dadah ini menggunakan taktik meletakkan kain yang mempunyai manik-manik di bahagian atas beg pakaian mereka kerana percaya ia boleh mengelakkan dikesan mesin pengimbas.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ibu ambil anak pulang sekolah maut digilis lori

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

ANGGOTA bomba dan polis menyiasat tempat kemalangan melibatkan Siti Rohani maut digilis lori di Jalan Tanah Lapang, Sentul, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Rutin harian seorang ibu mengambil anaknya pulang dari sekolah bertukar tragedi setelah dia maut digilis lori di Jalan Tanah Lapang, Sentul di sini hari ini.

Lebih menyayat hati, kejadian kira-kira 2.15 petang itu berlaku hanya beberapa meter dari pintu pagar sekolah anaknya itu dan mayat mangsa, Siti Rohani Mohamed Saadi, 30, pula terputus dua dari paras pinggang.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa bergesel dengan sebuah lori konkrit hingga menyebabkan motosikal itu hilang kawalan lalu terjatuh.

"Mangsa yang terjatuh di jalan raya digilis tayar bahagian belakang lori terbabit dan menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abdullah, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya.

Difahamkan, pemandu lori terbabit merupakan warga Indonesia yang mempunyai taraf penduduk tetap telah ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Siti Rohani yang berasal dari Temerloh, Pahang merupakan isteri kepada seorang anggota polis berpangkat koperal dari Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan akan dikebumikan di kampungnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Varian Triton VGT GS, VGT GL baharu dilancar

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Triton VGT GS

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi, hari ini melancarkan varian Triton VGT GS dan VGT GL baharu.

Mitsubishi menerusi kenyataan memberitahu, Triton diperakui sebagai antara trak pikap yang menawarkan pengendalian terbaik dalam pasaran.

"Ini merupakan kejayaan hebat, mewujudkan trend baharu dengan enjin berkuasa tinggi, keselesaan memandu selain ciri-ciri keselamatan yang dipertingkat.

"Setakat ini terdapat lebih 40,000 pemilik kenderaan tersebut di Malaysia," katanya.

Varian Triton VGT GL yang diimport sepenuhnya berharga RM99,617.60 atas jalan tanpa insurans dengan warna 'Cool Silver', 'White Solid' dan 'Black Mica'.

Varian VGT GS pula berharga RM106,835.60 atas jalan, dengar pilihan warna 'Red Solid', 'White Solid' dan 'Black Mica', dengan pemiliknya akan menikmati jaminan tiga tahun/100,000 kilometer selain pakej penyelenggaraan percuma untuk dua tahun.

Jelas kenyataan itu lagi, Triton kini meliputi Triton Heavy Duty (untuk kegunaan komersial), Triton Single Cab, Triton VGT 2.5 liter 4x4 Automatik, 2.5 liter 4×4 Automatik dan manual, dan Triton LITE Turbo 2.5 liter 4×2 Manual.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Jangan cakap banyak

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH - Selepas pasukan Seladang dihambat kontroversi bersabit tuduhan rasuah dan sabotaj, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak semalam tampil memberi teguran kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Semua pihak termasuk barisan pengurusan PAFA dinasihatkan supaya tidak lagi memberi sebarang kenyataan terbuka berhubung tuduhan rasuah melibatkan skuad Kejor Yob Kejor itu.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Nooraziah Abd. Manaf berkata, langkah itu perlu bagi mengelak sebarang persepsi negatif dilemparkan terhadap jurulatih, pegawai dan pemain pasukan.

"Pengurusan persatuan (PAFA) sewajarnya tidak perlu mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan tuduhan rasuah selepas membuat aduan.

"Kita terima aduan, biarkan kita buat kerja dan selepas siasatan selesai, kita akan maklumkan. Selepas itu, bolehlah (PAFA) buat (kenyataan) semula. Kita tidak mahu pandangan negatif masyarakat," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Isnin lalu, PAFA menggantung kesemua pegawai dan petugas, termasuk ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah selama dua minggu selepas mengesyaki wujudnya rasuah dan sabotaj dalam skuad itu.

PAFA mengambil tindakan tersebut sebaik sahaja Perak gagal ke suku akhir Piala Malaysia.

Pada perlawanan terakhir Kumpulan D Piala Malaysia, Perak mencatatkan tiga kekalahan iaitu tewas kepada Kedah 0-1 pada 17 Disember, kalah kepada LionsXII 1-2 (31 Ogos) dan dibelasah 6-1 oleh Sarawak, Sabtu lepas.

Kelmarin, kapten Perak, Shahrulnizam Mustapha hadir memberi keterangan kira-kira empat jam di pejabat SPRM di Meru Raya. Turut membantu siasatan, pengendali pasukan, Mohd. Azraai Khor.

Selain mereka, kesemua pemain juga tampil memberi keterangan kepada SPRM secara berperingkat-peringkat sejak Selasa lalu.

Mereka turut dikehendaki melapor diri serta menjalani latihan di bawah pengendali sementara, Marshall Soper sebagai mematuhi syarat kontrak biarpun saingan Piala Malaysia buat skuad Seladang telah pun berakhir.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai status siasatan sama ada terdapat jurulatih, pegawai mahupun pemain yang belum tampil ke SPRM, Nooraziah enggan mengulas lanjut.

"Biarlah SPRM siasat dulu. Kami masih menyiasat," katanya.

Sementara itu, satu jawatankuasa khas dalaman yang ditubuhkan oleh PAFA bagi menyiasat wujudnya unsur sabotaj dan rasuah dalam pasukan itu telah pun memulakan siasatan.

Jawatankuasa yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAFA, Datuk Ismail Saffian itu telah pun mengambil keterangan daripada jurulatih, pegawai dan beberapa orang pemain.

'Saya tak akan paksa Rashid'

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

LEE Chong Wei (kanan) tidak akan menggunakan pengaruhnya untuk memaksa Rashid Sidek kembali ke pangkuan skuad badminton kebangsaan.

KUALA LUMPUR - Pengaruh Datuk Lee Chong Wei dalam sukan badminton Malaysia memang tidak boleh disangkal, namun jaguh No. 1 dunia itu tidak mahu memaksa individu yang sangat penting dalam kariernya, Rashid Sidek untuk kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menurut Chong Wei, selepas pulang dari Kejohanan Siri Super Terbuka Jepun, Selasa lalu, dia sepatutnya berjumpa Rashid untuk mengadakan perbincangan dan bertanya khabar lanjut tentang isu peletakan jawatan jurulatih tersebut.

"Biarlah dia fikir dengan sedalamnya dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Saya tidak boleh buat apa (paksa), saya hanya buat kerja saya sahaja (bermain).

"Saya tidak sempat lagi berjumpa dengannya sehingga hari ini (semalam), kerana esok (hari ini) saya sudah bertolak ke China bagi menyertai Liga Badminton China, tetapi kami ada berbual melalui telefon," kata Chong Wei.

Pada 19 September lalu, Rashid menghantar surat peletakkan jawatan kepada BAM kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan baharu badan itu.

Begitupun, beliau tidak menolak kemungkinan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan kerana BAM telah mengubah sistem kejurulatihan yang mirip sistem lama.

Malah difahamkan BAM telah menghantar surat tawaran kepada Rashid untuk berkhidmat semula, tatkala mereka memang kekurangan jurulatih sekarang ini.

Dalam perkembangan lain, hanya beregu campuran, Ong Jian Guo-Lim Yin Loo meneruskan kemaraan di Grand Prix Emas Terbuka Indonesia 2013, semalam selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Yodhi Satrio-Mahadewi Istirani Ni Ketut 21-10, 21-12 di pusingan kedua.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


9 ketua bahagian kekal dicabar

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

jabbar ibrahim

KUANTAN 26 Sept. - Sebanyak sembilan daripada 14 jawatan Ketua UMNO bahagian di negeri ini bakal menyaksikan pertandingan selepas tempoh penarikan diri calon berakhir pukul 5 petang kelmarin.

Daripada jumlah itu, UMNO Bahagian Indera Mahkota menyaksikan paling ramai calon merebut jawatan ketua bahagian dengan melibatkan pertembungan tujuh penjuru diikuti Maran dan Kuantan dengan tiga penjuru.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemilihan UMNO negeri, Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim berkata, di Kuala Krau, Jerantut, Cameron Highlands, Paya Besar, Bera dan Raub pula masing-masing membabitkan pertembungan satu lawan satu.

"Lima lagi UMNO bahagian di negeri ini tidak menyaksikan pertandingan bagi Ketua Bahagian iaitu Pekan, Temerloh, Bentong, Lipis dan Rompin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Abdul Jabbar, seramai 2,600 daripada 2,638 calon yang menghantar borang pencalonan Sabtu lalu akan bertanding melibatkan pelbagai jawatan dan pencalonan mereka telah dihantar ke Ibu Pejabat.

Mengenai Bahagian Indera Mahkota, beliau berkata, selain penyandang, Datuk Mohd. Hazmi Yusof, calon lain ialah Setiausaha UMNO negeri, Datuk Abdul Rahim Abas; Ketua Cawangan Beserah Utara, Ngah Ismail; Pengerusi Veteran UMNO Indera Mahkota, Shahrom Zainuddin; Ketua Cawangan Indera Mahkota 16, Datuk Mustaffa Kamal Abdul Hamid; Ketua Cawangan Indera Mahkota 6, Abdullah Syukur dan Naib Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Mahasan Hussain.

"Di Kuala Krau, penyandang Datuk Ismail Mohamed Said dicabar Nik Affendy Nik Abdul Rashid manakala Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dicabar Ketua Penerangan Bahagian itu, Ahmad Nazlan Idris yang juga Ahli Parlimen Jerantut.

"Bagi Cameron Highlands, penyandang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dicabar ahli UMNO bahagian itu, Wan Rahaimin Wan Mustapha manakala di Paya Besar, penyandang, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman ditentang Datuk Abdul Manan Ismail yang juga Ahli Parlimen Paya Besar.

"Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Shahiruddin Ab. Moin pula dicabar Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kuala Semantan, Datuk Ir. Mohd. Ghazali Kamaruzaman manakala di Bera, penyandang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicabar bekas Ketua Pemuda bahagian itu, Datuk Mohd. Azizan Che Omar," jelasnya.

Sementara itu, katanya, bagi UMNO Bahagian Kuantan, penyandang Ketua, Datuk Wan Adnan Wan Mamat dicabar Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian, Ab. Mutalib Shamsuddin dan Ketua Cawangan Bandar Pusat Kuantan, Bahuri Geran.

"Di Maran, Pemangku Ketua Bahagian itu, Datuk Ismail Abd. Muttalib yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia dicabar dalam pertandingan tiga penjuru," jelasnya.

Calon mesti utamakan misi parti

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

abdul rahman

KUALA LIPIS 26 Sept. - Calon yang bertanding merebut pelbagai jawatan dalam kepimpinan UMNO Bahagian Lipis diingatkan supaya menitikberatkan soal misi parti untuk menarik sokongan orang muda terhadap UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Lipis yang menang tanpa bertanding, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, mereka harus bertanding dengan ikhlas kerana matlamat utama parti adalah berkhidmat untuk membela nasib rakyat.

"Kita yakin dengan hubungan baik antara penduduk dengan pemimpin setempat termasuk agensi kerajaan dapat mewujudkan UMNO yang lebih kuat menerusi sokongan akar umbi khususnya anak muda untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Fokus utama semua pemimpin di Lipis ialah mencari formula yang mantap untuk meraih kepercayaan orang muda termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi menjana pembangunan daerah ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini kelmarin.

Selain beliau yang tidak dicabar pada pemilihan itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Mustapa Long yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku turut menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun, penyandang Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Suhaimi Ibrahim bakal dicabar dalam pertandingan satu lawan satu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak.

Sementara itu, bekas Ketua Wanita UMNO Lipis, Datuk Mimi Asmara A. Malik mencuba nasib untuk bertanding semula jawatan berkenaan dengan menentang penyandangnya, Siti Fatimah Yahaya.

Bagi jawatan Ketua Pemuda Lipis yang dikosongkan oleh Datuk Abu Jimi Samat berikutan faktor usia, menjadi perebutan dua calon membabitkan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Lipis, Mohd. Khairul Amri Amihamzah dan Mohd. Farid Mohd. Nor.

Bagi jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO juga menyaksikan penyandangnya, Hartini Othman bakal dicabar oleh Naib Ketua Puteri bahagian itu, Wan Normarina Wan Kamarudzaman.

Gemilangkan semula Cherating

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN
pengarang@utusan.com.my

KUANTAN 26 Sept. - Cherating perlu dipromosikan secara menyeluruh bagi mengembalikan kegemilangan pusat peranginan itu kerana tarikan yang ada tidak terhad kepada keindahan pantai sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, Cherating mampu untuk terus menarik kunjungan pelancong dari seluruh dunia seperti mana suatu masa dahulu jika tarikan yang ada dapat diketengahkan menerusi strategi yang betul.

"Justeru, melalui hotel yang terdapat di sekitar Cherating, mereka boleh menawarkan pakej pelancongan menarik supaya pelancong dapat pengalaman bermakna sepanjang bercuti di sini.

"Antara pengalaman baru yang menarik pastinya peluang melepaskan anak penyu di pantai selain peluang untuk melihat sendiri kelip-kelip pada waktu malam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Sahabat Media, Cuti-Cuti Media 1Malaysia dengan kerjasama Hotel Legend Cherating di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Ahmad Faisal Mohamed dan Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Idros Yahya.

Mohd. Sharkar berkata, industri pelancongan di negeri ini perlu lebih agresif mempromosikan aktiviti unik kepada pelancong dalam menghadapi persaingan semasa.

Beliau berkata, salah satunya ialah Cherating yang akan dimasukkan di dalam kalendar pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Saya yakin dengan pakej menarik yang ditawarkan pemain industri ini, lebih ramai pelancong akan datang dan menginap di hotel sambil menikmati keindahan pantai dan aktiviti yang disediakan.

"Fasiliti yang lengkap, pantai yang cantik dan budi bahasa orang kita yang sopan santun pastinya menjadi tarikan terbaik," katanya.

Tambah Mohd. Sharkar, negeri Pahang mempunyai 10 produk pelancongan yang sangat terkenal namun selain Cherating yang ingin dipertingkatkan popularitinya, Bukit Fraser juga menghadapi masalah serupa dan diharapkan dapat menstrukturkan semula pembangunan semula tempat pelancongan itu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Gagal permohonan batal pertuduhan

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

Tian Chua

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk membatalkan pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya terhadap insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah.

Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah menolak permohonan Tian Chua, 50, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, setelah mendapati tiada merit dalam permohonan tersebut.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, mahkamah tidak berpuas hati bahawa terdapat asas yang memadai semata-mata dalam penegasan yang terdapat dalam afidavit Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu itu.

Menurut beliau, terpulang kepada pihak pendakwaan untuk membuktikan sama ada perkataan 'kerajaan UMNO' itu dirujuk kepada UMNO atau kerajaan sekarang dan hal ini akan diputuskan dalam perbicaraan di mahkamah.

Hakim Amelia juga menegaskan, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Akta Hasutan akan dimansuhkan namun akta itu masih terpakai sehingga benar-benar dimansuhkan secara teratur.

Pada 14 Mac lalu, Tian Chua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kononnya pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO dalam portal lidah rasmi PKR, Keadilan Daily.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 11 pagi, 1 Mac lalu di No. 62-2-A, Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu persimpangan, Jalan Loke Yew di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara sehingga lima tahun bagi kesalahan berikutnya.

Tian Chua diwakili peguam-peguam, Eric Paulsen dan Latheefa Koya manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farizul Hassan Bakri.

Perbicaraan kes berkenaan akan bermula pada 16 dan 17 Oktober ini.

Dalam pada itu, Latheefa mengemukakan permohonan secara lisan untuk menggantung perbicaraan berkenaan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Walau bagaimanapun, mahkamah mengarahkan pihak pembelaan mengemukakan permohonan secara rasmi bagi tujuan tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemimpin parti pembangkang itu dituduh telah menyebut perkataan menghasut dengan membuat kenyataan:

n Serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat;

n Insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan UMNO;

n Menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah;

n Ada konspirasi oleh kerajaan UMNO untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama daripada isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

Pegawai jabatan hutan didakwa lagi

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Amir Sharifud-din

IPOH 26 Sept. - Seorang pegawai hutan Daerah Hulu Perak yang sebelum ini menghadapi 13 tuduhan rasuah, hari ini sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, kali ini atas tuduhan gagal menyerahkan pernyataan bersumpah bagi menjelaskan mengenai harta berlebihan yang dimilikinya.

Amir Sharifud-din Aliman, 59, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Madihah Hairullah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh semasa disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah yang dihadapinya.

Pada 1 Februari lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 13 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM390,000 daripada dua kontraktor balak sejak tiga tahun lalu.

Tindakan lelaki itu yang memakai jaket hitam dan seluar jean warna sama serta memakai bandana ala bintang rock dan memakai rambut palsu juga turut mencuri perhatian mereka yang berada di mahkamah ketika itu.

Mahkamah juga membenarkan permohonan peguam tertuduh untuk merujuk anak guamnya itu ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi pemeriksaan psikiatri setelah dia hanya menjawab 'saya tidak faham' dan 'saya tidak ingat' selepas setiap pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Bagaimanapun, hari ini, Amir Sharifud-din dilihat berpakaian kemas dengan berkemeja lengan panjang hitam putih dan berseluar hitam serta rambutnya sudah dipotong pendek.

Dia juga berkata 'tidak bersalah' ketika ditanya pengakuannya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai orang yang dikehendaki oleh Pesuruhjaya SPRM didakwa telah gagal menyerahkan pernyataan bersumpah atau berikrar bagi menjelaskan mengenai harta berlebih-lebihan yang dimilikinya dalam masa yang ditetapkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 30 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Kevin Morais mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 36(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 berserta seorang penjamin dan menetapkan 11 Oktober ini untuk sebutan semula kes itu.

Sementara itu, Kevin selepas prosiding kes itu memberitahu, tertuduh berada di Hospital Bahagia atas kehendaknya sendiri.

Menurut beliau, pemerhatian yang dibuat pakar psikiatri menunjukkan tertuduh hanya mengalami kemurungan dan dia layak untuk membela diri dan dibicarakan.

''Meskipun pemerhatian terhadapnya telah selesai, namun tertuduh tetap mahu terus berada di situ (Hospital Bahagia),'' katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Yemen: 20 cedera akibat letupan dua butir bom

Posted: 26 Sep 2013 11:03 AM PDT

YEMEN 27 Sept. - Dua letupan bom yang berlaku di sebuah jalan raya di ibu negara Yeman telah mengakibatkan 20 orang tercedera.

Letupan tersebut berlaku di jalan Al-Rabat, di mana peranti bom telah disembunyikan di antara timbunan sampah.

Jurucakap kementerian yang dipetik daripada agensi berita Saba berkata, tiada kecederaan dilaporkan pada letupan yang pertama.

Kejadian itu telah menarik perhatian pejalan kaki untuk ke kawasan berkenaan, sebelum letupan kedua berlaku di kawasan sama dan mencederakan 20 orang. - AFP

Pakar senjata kimia PBB mulakan siasatan kedua

Posted: 26 Sep 2013 11:01 AM PDT

DAMSYIK 27 Sept. - Kumpulan pakar senjata kimia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kini berada di Syria, dilihat mula meninggalkan hotel mereka di sini untuk melakukan siasatan bahawa wujudnya dakwaan penggunaan senjata yang tidak dibenarkan.

Koresponden AFP berkata, destinasi yang mahu dituju oleh kumpulan pakar tersebut masih tidak diketahui.

Mereka tiba di Syria kelmarin dalam misi kedua di negara tersebut, selepas melakukan ujian di 14 kawasan berlakunya insiden penggunaan gas sarin. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Pertahankan kedaulatan daripada jadi negara komunis

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

BETA bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-Nya dapat beta bersama-sama dengan pegawai dan warga KD Sri Semporna sempena lawatan operasi beta ke pangkalan-pangkalan TLDM di Sabah timur.

Sesungguhnya beta telah lama berhasrat untuk bertemu dan beramah mesra dengan tuan-tuan dan puan-puan serta warga KD Sri Semporna namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana masa tidak mengizinkan.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah salah satu cabang Angkatan Tentera yang memainkan peranan yang penting dalam mempertahankan kedaulatan negara di negeri Sabah ini, yang mana perairannya adalah luas. TLDM telah menjalankan tugas mereka dengan penuh azam dan dedikasi untuk memastikan perairan kita ini tidak dicerobohi oleh musuh-musuh negara dan pendatang haram.

Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Panglima Tentera Laut dan warga TLDM kerana telah berjaya menghadapi cabaran-cabaran yang sengit sepanjang Ops Daulat dilancarkan.

Dalam mempertahankan kedaulatan negara, beta berharap semua yang terlibat, sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hendaklah bekerjasama dan sentiasa berkomunikasi supaya segala pergerakan dan hala tuju yang hendak dilakukan dapat berjalan dengan lancar serta meraih kejayaan yang berkesan dan juga memberi hasil yang mantap dan cemerlang dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Di sini beta mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada ATM dan juga PDRM yang telah bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan Operasi Daulat ini. Beta menyeru kepada semua angkatan bersenjata di Malaysia ini supaya menanamkan kesetiaan dan rasa cinta kepada negara yang kita kasihi ini.

Jalankan tugas yang telah diamanahkan dengan hati yang cekal. Berjuanglah mempertahankan negara yang kita kasihi ini dan janganlah berundur walau setapak pun sehingga titisan darah yang terakhir.

Dengan menanam sumpah dan tekad inilah, maka seluruh angkatan bersenjata yang mempertahankan negara ini akan berjuang bersungguh-sungguh dalam apa jua yang dihadapi.

Beta mengingatkan kepada mereka yang cuba menjadi petualang dan menggadaikan negara kita ini kepada pihak luar hendaklah berwaspada dan menginsafi diri mereka supaya tidak lagi melakukan perkara yang durjana ini.

Beta mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan rakyat Malaysia bahawa Chin Peng adalah petualang negara. Sebagai Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng telah berjuang dan berazam untuk menjadikan tanah air kita yang dikasihi ini sebuah negara komunis.

Sejarah telah menunjukkan bahawa semasa perjuangan mempertahankan kedaulatan negara kita ini daripada menjadi negara komunis, kerajaan telah banyak mengeluarkan belanja bagi menghalang tujuan tersebut. Nyawa anggota tentera dan polis banyak yang telah terkorban, begitu juga orang awam yang terbunuh dan mengalami kesengsaraan disebabkan perbuatan Chin Peng dan pengganas komunis.

Beta berharap rakyat Malaysia mempelajari dan memahami sejarah negara kita dengan sebaik-baiknya dan janganlah oleh kerana untuk mendapatkan sokongan dan populariti sanggup menggadaikan maruah bangsa dan negara. Beta percaya rakyat Malaysia tidak lupa sejarah hitam semasa darurat dahulu.

Oleh kerana para perajurit yang bertugas di pangkalan hadapan ini, berkhidmat jauh dari kampung halaman mereka, beta percaya ia tidak akan melemahkan semangat untuk terus mempertahankan negara.

Beta mengambil kesempatan di sini untuk menyeru kepada isteri-isteri dan keluarga-keluarga yang ditinggalkan di rumah supaya hendaklah terus menjalankan tugas- tugas mereka dalam mendidik anak-anak dengan pelajaran akademik mahupun agama. Janganlah menunggu sehingga pulangnya perajurit-perajurit yang bertugas untuk memberi bimbingan kepada anak-anak.

Dengan cara ini perajurit-perajurit yang bertugas akan merasa tidak terbeban dengan tugas yang dijalankan. Para pegawai pula hendaklah menjaga kebajikan anggota bawahan mereka agar moral anggota bawahan sentiasa dipertingkatkan.

Beta juga menasihatkan agar seluruh anggota dan perajurit supaya sentiasa menjaga kecergasan diri dan kesihatan rohani dan jasmani serta sentiasa berdisiplin dan mematuhi arahan-arahan daripada pegawai-pegawai mereka.

Beta menyeru kepada mereka yang beragama Islam supaya sentiasa mematuhi ajaran agama dan beriman kepada Allah SWT. Jauhilah perkara-perkara yang negatif yang boleh bukan sahaja merosakkan diri sendiri, tetapi juga nama baik Angkatan Tentera.

Pangkalan TLDM KD Sri Semporna selaku Pangkalan Hadapan haruslah sentiasa mengekalkan tahap kesediaan yang tinggi bagi menghadapi kemungkinan ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara. Perkara ini menuntut komitmen yang sangat tinggi dari warga KD Sri Semporna dari pelbagai aspek untuk mempertahankan tanah air yang tercinta ini.

Akhir kata, beta sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh warga TLDM di atas pengorbanan dan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan perairan maritim negara khususnya dan keamanan negara amnya.

Sesungguhnya TLDM sentiasa berada dekat di hati beta dan beta sentiasa mengikuti apa sahaja perkembangan yang berlaku di dalam TLDM ini.

Oleh yang demikian, beta mendoakan semoga Allah SWT sentiasa melindungi dan memberkati perjuangan warga TLDM serta memberi petunjuk dan kekuatan jati diri ke arah kejayaan, kecemerlangan dan kegemilangan di hari-hari mendatang. Insya-Allah.

UMNO wajib bebas belenggu politik wang

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa mata wang yang paling penting dalam perniagaan dan perdagangan adalah kepercayaan manakala dalam berorganisasi ataupun berpolitik adalah dapat menunaikan janji kepada rakyat sebagai ukuran tertinggi keberkesanan sesuatu kepimpinan.

Tentunya dalam memenuhi tanggungjawab kepada rakyat, integriti dan prinsip kebertanggungjawaban itulah yang sentiasa menjadi pengukur mutlak penolakan atau penerimaan rakyat untuk tempoh selanjutnya. Dalam memenuhi tuntutan itu, disebabkan seseorang pemimpin berada di puncak kuasa, maka ia akan menjadi lebih mudah terjebak dengan salah guna kuasa dan rasuah.

Ketika berucap di Syarahan Kelab Komanwel di San Francisco, Amerika Syarikat Isnin lalu, Najib bertekad untuk menjadikan rasuah sebagai sebahagian daripada perkara yang sudah berlalu bagi Malaysia.

Dalam kerajaan, tekad tersebut sudah ditunjukkan menerusi peningkatan autoriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas yang setiap tahun wajib membentangkan laporannya di Dewan Rakyat berbanding sebelumnya hanya melaporkan kepada Perdana Menteri.

Selepas PRU-13, pembaharuan terus dilaksanakan dengan melantik bekas Presiden Transparency International cawangan Malaysia menganggotai Kabinet dan seterusnya menggalakkan pelbagai agensi melakukan baiah memerangi rasuah menerusi pemeterian memorandum persefahaman dengan SPRM.

Sehingga kini, sebanyak 23 agensi dan institusi kerajaan, swasta, universiti dan badan bukan kerajaan berazam menjauhi rasuah agar ia terkeluar daripada etos kerja dan budaya masyarakat yang sedang cergas menuju ke tahap negara berpendapatan tinggi.

Tahun ini, buat pertama kalinya UMNO menterjemahkan makna demokrasi secara lebih meluas apabila memberikan ruang kepada 146,500 perwakilan memilih pemimpin mereka.

Dalam situasi melibatkan pertandingan, sama ada dua penjuru ataupun lebih, setiap calon yang bertanding akan berusaha menarik sokongan ramai bagi menentukan kemenangan. Ia mungkin berlaku dalam situasi terbuka ataupun tertutup. Penglibatan secara tertutup atau rahsia inilah memungkinkan berlakunya tawar menawar, termasuk politik wang atau rasuah.

UMNO tidak rela parti yang bertunjangkan perjuangan Melayu menjadi hancur kerana dibelenggu rasuah, maka itulah tidak pernah cuba menyembunyikannya daripada dikenakan tindakan meskipun pemimpin terbabit memenangi jawatan tertinggi dalam parti. Ini membuktikan UMNO berusaha untuk menolak amalan buruk itu kerana ia boleh melemahkan parti, dan dalam setiap pemilihan yang dilaksanakan, suatu jawatankuasa dibentuk khusus bagi meneliti sebarang tindakan yang boleh meruntuhkan integriti parti.

Kebiasaannya orang yang melakukan rasuah adalah disebabkan lahirnya segelintir manusia yang tidak percaya kepada keupayaan sebenar yang ada dalam dirinya. Bila kurang yakin dengan kebolehan, tetapi masih berpendapat dirinyalah yang paling layak itulah telah membuka ruang persaingan yang tidak sihat kerana sanggup menggunakan apa sahaja tindakan asalkan meraih kemenangan.

Tentunya, untuk melayakkan dirinya bertanding, seseorang itu memerlukan wang untuk membiayai kempen manakala sesetengahnya mempunyai penajanya tersendiri. Penaja pula mengharapkan calon yang disokong dan dibantu itu menang besar dengan harapan selepas kemenangan itu, penaja akan memperoleh keuntungan kebendaan berganda.

Itulah sebabnya ada segelintir pihak sanggup mengeluarkan dana jutaan ringgit semata-mata mahu menjadikan calon yang dipercayai boleh menang itu meraih kejayaan, kerana kejayaan itu dikaitkan pula dengan kuasa dan proses membina kekayaan.

Islam memandang rasuah seperti memakan daging sendiri yang sudah busuk. Pelakunya, sama ada pemberi atau penerima terdiri daripada mereka yang rosak peribadinya. Mereka yang rosak peribadi, meskipun dianggap kaya dan mempunyai kekuatan intelektual, tidak layak untuk memimpin kerana cenderung melanggar makna amanah dan tanggungjawab.

Pemberi dan penerima dikategorikan sebagai orang yang berdosa manakala balasannya adalah dicampakkan ke dalam neraka. Hanya mereka yang jujur, ikhlas dan kuat imannya yang wajib diangkat sebagai pemimpin, dan menjauhkan diri daripada memilih mereka yang rosak akhlaknya. Orang yang rosak akhlak bersikap oportunis dan meletakkan kepentingan peribadi mengatasi tanggungjawab memperkuatkan organisasi. Mereka berorganisasi hanya disebabkan meraih keuntungan peribadi.

Melakukan penyelewengan dalam hukum bererti melanggar perintah Allah. Hal ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayat oleh Al-Tarmizi yang bermaksud: Rasuah dalam urusan yang berkaitan dengan hukum adalah kufur." Sementara itu, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasullullah bersabda: Allah melaknat orang yang memakan riba, pemberi, kerani dan saksinya. Mereka itu adalah sama."

Rasulullah SAW juga pernah menolak permintaan seorang sahabat yang datang meminta agar diberi jawatan dalam pemerintahan. Baginda bersabda yang bermaksud: Kami tidak akan memberikan jabatan pemerintahan ini kepada orang yang memintanya dan bercita-cita untuk mendapatkannya."

Alasan penolakan itu kerana bimbang orang yang bercita-cita tinggi seperti itu akan berani melakukan apa sahaja demi mendapatkan jawatan tersebut. Ada yang memberi alasan mengenai sesetengah pemimpin menggunakan pengaruh wang untuk mendapat jawatan dengan niat yang kukuh iaitu untuk membangunkan masyarakat dan negara.

Padahal niat yang baik tidak boleh menghalalkan kaedah atau perbuatan yang tidak baik. Lebih-lebih lagi merasuah orang untuk mendapat jawatan. Islam menetapkan niat dan perbuatan mesti betul iaitu kerana Allah. Kalau kita ikhlas untuk membantu masyarakat tanpa niat yang serong insya-Allah, Allah akan tolong orang yang ikhlas.

UMNO perlu melihat rasuah itu sebagai musuh paling berbahaya kerana jika dibiarkan, pertubuhan yang diasaskan sebagai perjuangan memperkuatkan kedudukan Melayu dan Islam dalam persada politik akan lenyap sebagaimana hilangnya burung-burung garuda - burung raksasa yang suatu ketika dahulu amat besar dan digeruni. Kini, burung-burung garuda itu hanyalah tinggal nama sahaja.

Pengalaman sejarah turut memberikan pengajaran besar, sebuah organisasi yang kuat pada suatu ketika runtuh kerana adanya sikap tamak dan haloba. Tamak dan haloba inilah dikenal pasti sebagai pendorong terbesar kenapa terjadinya rasuah, maka, setiap orang UMNO perlukan iltizam yang bersungguh-sungguh kalau mahukan UMNO terus dipercayai sebagai pertubuhan politik yang kuat dan disegani.

UMNO hendaklah tidak hanya tahu mengatakan rasuah atau politik wang itu ditentangnya tetapi dalam masa yang sama, ada pemimpinnya bertindak sebagai pemberi atau penerima dengan apa pun alasannya.

Tekad itu mesti disusuli dengan tindakan agar pemilihan kali ini benar-benar boleh dikategorikan sebagai sejarah pemilihan yang bebas daripada sebarang bentuk politik wang. Jika ini dapat dicapai, keyakinan rakyat kepada UMNO akan meningkat naik, dan pencapaian dalam PRU-14 akan menjadi lebih hebat daripada kemenangan PRU-13.

PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah

Malaysia (Yadim).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Fida akui lari dari lokasi kerana faktor keselamatan

Posted: 26 Sep 2013 12:55 AM PDT

Oleh GARRET DAWUM

FIDA IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Pelakon dan penyanyi, Fida Ibrahim, 27 mengaku dia terpaksa membuat keputusan meninggalkan set penggambaran telefilem berjudul Kampungku dan Aidiladha di Baling, Kedah Ahad lalu kerana bimbang dengan keselamatan dirinya.

Menurut Fida, dia bertindak sedemikian atas arahan pihak pengurusan selepas pihak produksi, Langkah Karya Sdn. Bhd. mengabaikan kebajikan dan keselamatan beliau.

"Babak terakhir telefilem berkenaan adalah di dalam hutan dan kami perlu merentas hutan. Apabila sudah berada di dalam set, saya terkejut kerana kawasan hutan itu baru saja diteroka pada ketika kami sampai di lokasi itu.

"Pokok-pokok berbahaya seperti buluh misalnya, baru sahaj ditebang oleh krew. Memang tiada unsur-unsur keselamatan yang diamalkan sehingga menyebabkan saya jadi fobia untuk terus berada di situ. Selain itu, tempat untuk kami menukar pakaian pun tidak sesuai kerana di kawasan terbuka," kata Fida kepada Utusan Online hari ini.

Semalam, penerbit telefilem tersebut, Hazmimi Johar melahirkan rasa kesal dengan tindakan Fida yang didakwa telah lari meninggalkan lokasi penggambaran di hari terakhir karya berkenaan sehingga menimbulkan masalah kepada produksi.

Beliau mendakwa Fida bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan skrip yang diungkap oleh salah seorang pelakon lain di lokasi kejadian yang seakan menyindir diri Fida.

Mengulas isu terbabit, Fida mengakui dia memang terasa hati dengan salah seorang pelakon berkenaan, itu bukan sebab utama dia bergegas meninggalkan lokasi.

"Saya masih boleh bersabar apabila disindir oleh salah seorang pelakon. Tetapi apabila ia berkaitan soal keselamatan, saya tidak boleh bersabar lagi dan terpaksa membuat keputusan meninggalkan lokasi terbabit," katanya.

Bagi membela dirinya, tambah Fida aduan sudahpun dibuat kepada Biro Aduan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pada Isnin lalu dan pihak terbabit sedang menjalankan penyiasatan mereka.

Selain Fida, telefilem arahan Shuaimi Lua Abdullah bersempena Hari Raya Aidiladha untuk siaran TV3 turut dibintangi oleh Zalif Sidek, Razak Ahmad, Syafiq Kyle, Ameera Rusly dan Aidil Aziz. - UTUSAN ONLINE

Fiza Elite, Adam AF selamat diijabkabulkan

Posted: 25 Sep 2013 09:11 PM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI

ADAM AF dan Fiza Elite bergambar bersama selepas pasangan penyanyi itu selamat diijabkabulkan di Pejabat Agama Islam Shah Alam, di Shah Alam hari ini. - UTUSAN

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Penyanyi dan pelakon, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Fiza Elite hari ini sah menjadi isteri kepada penyanyi, Mohd. Aizam Mat Saman atau Adam AF.

Fiza, 32, merupakan salah seorang bekas anggota kumpulan penyanyi Elite manakala Adam, 30, pula bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua.

Fiza yang pernah berkahwin pada 2006 sebelum bercerai empat tahun kemudian, kelihatan tenang sebaik sahaja akad nikah selesai dilafazkan pada pukul 10.30 di bangunan Majlis Agama Islam Selangor, Shah Alam, Selangor.

Pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Petaling, Suhaimi Ahmad Wakif dengan diwalikan bapa Fiza, Abdul Halim Abdul Aziz.

Fiza kelihatan anggun memakai busana rona krim dan berniqab.

Selain itu, hantaran yang diterima oleh Fiza ialah sepersalinan set solat dan senaskhah Al-Quran.

Antara rakan artis yang turut hadir termasuklah Marsha Milan Londoh dan Sabhi Saddi.

Pasangan itu bertemu pada bulan Julai yang lalu dan Adam mengambil keputusan untuk bernikah selepas dua kali pertemuan. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Kidal itu istimewa

Posted: 25 Sep 2013 10:42 PM PDT

Oleh NORAZLINA ISMAIL
norazlina.ismail@utusan.com.my

MELIHATKAN si kecil lebih pantas menggapai dengan tangan kiri mainan yang diletakkan di hadapan mereka kadangkala mendatangkan kegusaran bagi sesetengah ibu bapa.

Biarpun puas diajar melakukan kerja menggunakan tangan kanan tetapi tangan kiri juga yang cepat.

Ibu bapa yang pernah berhadapan dengan senario seperti itu mungkin merasakan tingkah laku sedemikian agak janggal dan tidak sepatutnya berlaku.

Ini kerana, kebanyakan berpendapat bahawa tangan kanan itu lebih baik dari tangan kiri.

Jika anda berdepan dengan situasi itu berkemungkinan besar anak anda dilahirkan kidal.

Kegusaran yang kadangkala tidak bertempat itu menyebabkan sesetengah ibu bapa bertindak mengubah tabiat anak mereka secara paksaan.

Apa yang membimbangkan kemungkinan paksaan tersebut boleh menyebabkan aktiviti si kecil menjadi terbantut kerana penggunaan tangan kiri itu adalah satu tabiat semulajadi yang bukan sengaja dibuat-buat.

Penceramah keibubapaan, Profesor Dr. Rozieta Shaary berkata, perlakuan kidal berlaku apabila seseorang individu itu menggunakan otak kanan secara dominan.

"Otak manusia mempunyai dua bahagian iaitu bahagian kanan dan kiri yang mempunyai fungsi tertentu dalam mengawal pergerakan tubuh badan.

"Otak sebelah kanan akan mengawal bahagian badan sebelah kiri dan begitulah sebaliknya," katanya.

Beliau yang juga pengasas pertubuhan Family and Love Guru itu memberitahu, kidal terjadi apabila otak kanan yang dominan mengawal bahagian badan sebelah kiri yang menyebabkan seseorang individu itu cenderung menggunakan bahagian badan sebelah kiri terutamanya tangan dan kaki kiri dalam perbuatan mereka.

Menurutnya lagi, kidal bukanlah satu masalah ataupun penyakit kerana ia adalah sifat semulajadi yang berlaku disebabkan penguasaan dominan otak sebelah kanan.

"Kidal tidak ada kaitan dengan masalah kesihatan dan sebab itu ia tidak boleh dianggap sebagai penyakit.

"Individu kidal mempunyai jiwa yang lebih cenderung ke arah seni, muzik, dan perkara kreatif," ujarnya.

Selain faktor penguasaan otak kanan yang lebih dominan, kidal juga didapati boleh berlaku disebabkan faktor genetik.

Rozieta berkata, kajian mendapati kebarangkalian berlakunya kidal adalah disebabkan faktor genetik apabila ibu, bapa atau ahli keluarga lain turut kidal.

"Sebagai contoh, jika ibu atau bapa itu kidal, maka kemungkinan besar salah seorang anak mereka yang lahir nanti akan menjadi kidal.

"Begitu juga jika ibu atau bapa tidak kidal, tetapi ahli keluarga seperti nenek, datuk atau moyang mereka kidal, jadi kidal itu mungkin akan turun kepada salah seorang generasi baru," katanya.

Dalam pada itu, faktor persekitaran juga menjadi penyumbang kepada seseorang kanak-kanak itu menjadi kidal.

Katanya, kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran dikelilingi oleh orang dewasa kidal juga mungkin akan cenderung untuk meniru perlakuan itu dan menggunakan tangan kiri untuk, menulis, mengambil barang, atau melakukan sesuatu pekerjaan.

Ditanya mengenai sikap sesetengah ibu bapa yang menggunakan pendekatan paksaan untuk mengubah perilaku anak kecil yang kidal, beliau berkata, tindakan seperti itu tidak wajar.

Jelasnya, ibu bapa yang mempunyai anak kecil yang kidal sepatutnya menerima perilaku tersebut sebagai satu keistimewaan.

"Memaksa anak kecil menulis, dan memegang barang menggunakan tangan kanan bukanlah jalan terbaik kerana kanak-kanak kidal juga adalah normal seperti kanak-kanak lain.

"Dalam Islam sendiri tidak ada diskriminasi terhadap individu yang kidal.

"Bagaimanapun, dalam perkara tertentu seperti adab makan, sebagai orang Islam ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik anak kidal untuk makan menggunakan tangan kanan kerana ia adalah Sunnah," katanya.

Tambahnya, semua individu kidal yang beragama Islam mampu makan menggunakan tangan kanan hasil didikan ibu bapa dan guru di sekolah.

Apa yang pasti kidal bukanlah penyakit sebaliknya satu anugerah kepada mereka yang terpilih sahaja.

Bahkan dunia turut mengiktiraf kidal apabila 13 Ogos setiap tahun dipilih sebagai Hari Kidal Sedunia.

Karnival kerjaya untuk belia

Posted: 25 Sep 2013 10:42 PM PDT

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
Gambar RAZAK LATIF

WALAUPUN statistik jumlah pengangguran di negara ini masih rendah, rata-rata lulusan universiti sukar memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan yang diperoleh.

Ini kerana selain pasaran pekerjaan yang dilihat terhad, majikan juga amat mementingkan kualiti apabila menggaji seseorang pekerja itu.

Malah hari ini, trend seperti mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya satu tahun ataupun boleh berbicara lebih daripada dua bahasa menjadi keutamaan.

Disebabkan inilah ramai graduan dilihat tidak berjaya menempatkan diri dalam pasaran pekerjaan yang sesuai dengan bidang masing-masing.

Dengan alasan itu jugalah, bertempat di Dewan Tun Razak I, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), satu karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional 2013 akan diadakan.

Bakal berlangsung selama tiga hari bermula 27 September ini, karnival tersebut dilihat menyediakan platform kepada pencari kerja terutama golongan belia.

Menurut pengerusinya, Nazir Hussin Akhtar Hussin, karnival tersebut menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan daripada 350 majikan yang menyertainya.

Begitupun, tambah beliau, karnival kali ini memberi penekanan kepada perniagaan secara dalam talian sebagai sokongan kepada negara ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020 selain membantu generasi muda menjana pendapatan.

"Karnival kerjaya kali ini menawarkan peluang pekerjaan kepada semua golongan masyarakat tetapi keutamaan lebih kepada golongan belia.

"Ia juga merupakan satu peluang besar kepada 80 peratus masyarakat yang sudah mempunyai kerjaya untuk mencari peluang pekerjaan yang baharu.

"Yang pasti, semasa karnival ini berlangsung, sebanyak 75 peratus kekosongan akan diisi," ujarnya.

Katanya lagi, pada karnival tersebut, pencari kerja turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan majikan.

Jelas Nazir lagi, apa yang istimewanya mengenai karnival kali ini para pengunjung turut didedahkan kepada teknik berniaga secara dalam talian.

Ia adalah bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada para pengunjung yang berminat untuk memulakan perniagaan secara dalam talian.

"Sepanjang karnival berlangsung, kami turut membawakan penceramah motivasi terkenal, Dr. Azizan Osman dan beberapa orang lagi usahawan yang berjaya untuk berkongsi pengalaman mereka.

"Yang pasti, penglibatan mereka ini (usahawan berjaya) adalah untuk mengajar para pengunjung bagaimana untuk berniaga walaupun tanpa modal.

"Cuma yang perlu ada adalah keberanian dan minat dan kami hanya membantu mereka menyediakan tapak yang sesuai untuk mereka yang berminat," katanya.

Dijangka dirasmikan Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, kira-kira 30 hingga 40 syarikat yang mengendalikan perniagaan secara dalam talian akan turut terlibat dalam karnival itu dengan menawarkan skim-skim khas yang boleh diceburi para belia.

Sementara itu, jelas Nazir, karnival tersebut turut menyediakan laman khas di laman sosial Facebook serta aplikasi khas mudah alih di telefon pintar yang boleh dimanfaatkan pencari kerja.

Jadi kepada golongan belia atau sesiapa sahaja yang berhajat untuk mengunjungi karnival kerjaya ini adalah dinasihatkan agar menyediakan seberapa banyak resume untuk dihantar kepada majikan-majikan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


PPKMHL minta penjelasan

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Sebahagian daripada pengusaha kios makanan Melayu di sekitar Hulu Langat mengadakan bantahan di perkarangan ibu pejabat MPKj berhubung notis meroboh struktur tambahan premis mereka di Kajang, Selangor, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

KAJANG 25 Sept. - Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) diberi tempoh selama dua minggu dari sekarang untuk memberi penjelasan berhubung notis yang dikeluarkannya kepada 60 pengusaha kios makanan di sekitar Hulu Langat agar merobohkan struktur tambahan di premis masing-masing atau bantahan besar-besaran akan diadakan.

Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Kios Melayu Daerah Hulu Langat (PPKMHL), Mohammad Hanapiah berkata, ahli-ahli persatuannya tidak berpuas hati dengan pengeluaran notis itu kerana struktur tambahan yang mereka bina tidak menimbulkan gangguan terhadap mana-mana pihak.

Mengikut notis berkenaan, pengusaha-pengusaha kios makanan itu diberikan tempoh hingga Isnin lalu untuk merobohkan binaan tambahan berkenaan.

"Perjanjian dahulu memang perniagaan berkonsepkan kios tetapi sekarang pelanggan kami bertambah ramai. Jadi, kami mengambil inisiatif untuk membina struktur tambahan berkenaan menggunakan wang sendiri.

"Kami mahu berniaga dan menjaga pelanggan. Kami berasa hampa dan tidak berpuas hati apabila MPKj ingin merobohkannya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas bersama-sama seramai 100 peniaga kecil, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak MPKj di hadapan bangunan MPKj dekat sini hari ini.

Memorandum itu diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman.

Dalam perkembangan sama, Presiden Ikhlas, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya memberi tempoh dua minggu kepada MPKj dengan meminta supaya gerai-gerai berkenaan tidak diroboh.

"Kami minta 60 gerai yang menerima notis itu supaya jangan diroboh. Difahamkan, ia akan dirobohkan kelmarin jadi kami minta tangguh dan berbincang supaya beri tempat yang sesuai sebelum kios itu dirobohkan.

"Peniaga gembira jika gerai-gerai mereka mahu dinaik taraf. Ini belum bagi tempat, terus nak roboh," katanya.

Tambah Mohd. Ridzuan, pihaknya mahu memastikan supaya peniaga bumiputera tidak ditindas selain ingin mengumpulkan semua peniaga-peniaga kecil seluruh negeri Selangor untuk mengadakan bantahan besar-besaran di pejabat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagi peniaga kios di Sungai Jelok, Norhayati Harun, 39, pula berkata, dia mahu memfailkan saman terhadap MPKj bagi menuntut ganti rugi yang dialaminya setelah gerainya dirobohkan pada Jun lalu.

"Biar saya mati kerana orang Melayu. Saya salah seorang yang sudah jadi mangsa, jangan peniaga lain juga menjadi mangsa. Pihak terbabit sewenang-wenangnya meroboh gerai saya ketika anak saya sedang memasak ketika itu.

"Semalam, saya telah membuat laporan polis dan mahu saman MPKj. Mereka tidak sedikit pun berasa simpati terhadap peniaga golongan ibu tunggal yang terpaksa bersusah payah menyara keluarga. Pihak itu mendapat gaji bulanan berasa senang untuk tidur malam, kami ini?

"Ada yang membuat pinjaman bank selain program Kios Mikro MARA-MPKj," ujarnya kecewa.

Sementara itu, Kamarul Izlan menyatakan pihaknya akan membawa isu tersebut ke peringkat pengurusan tertinggi bagi melihat dan mengkaji semula memorandum berkenaan.

Lokasi bazar musim perayaan

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Jalan Masjid India dan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) akan menjadi lokasi untuk bazar sementara sempena semua jenis perayaan sehingga satu kawasan tetap dikenal pasti oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, lokasi tersebut dipilih kerana kedudukannya yang strategik iaitu hampir dengan jajaran sistem pengangkutan awam dan tempat meletak kenderaan.

"Selain itu pemilihan lokasi itu juga bagi memudahkan orang ramai untuk berkunjung ke satu tempat sahaja, secara tidak langsung mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan-kawasan lain.

"Begitu juga dengan kawasan baharu nanti. Kita akan lihat kemudahan pengangkutan awam dan tempat meletak kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai permohonan petak bazar perayaan Deepavali Tahun 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sosio-Ekonomi) DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Mengulas mengenai bazar Deepavali, Loga Bala berkata, bilangan petak yang ditawar pada tahun ini adalah tujuh lokasi berbanding tahun lepas, lapan.

"Jumlah keseluruhan bilangan petak pada tahun ini menunjukkan peningkatan iaitu 601 berbanding tahun lepas 387.

"Bazar Deepavali di sepanjang Jalan Tun Sambathan juga akan ditempatkan di Lorong Tuanku Abdul Rahman," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dalam memastikan tiada warga asing yang menjalankan perniagaan di bazar itu.

Sesi undian bagi tapak bazar Deepavali akan diadakan pada Jumaat ini di Dewan Kelab Sukan DBKL Brickfields setelah sesi permohonan dibuka selama dua hari bermula Selasa lalu.

Boleh bayar secara ansuran - Ahmad Phesal

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah Fasa Dua di Bukit Jalil seharusnya menarik nafas lega serta bersyukur kerana mereka boleh mendapat semula bekalan air dan terus tinggal di situ jika membayar secara ansuran bil air dan sewa rumah tertunggak.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersedia membuka semula kunci air ke unit-unit rumah terbabit sekiranya penghuninya membayar secara ansuran serendah RM30 sahaja, dan mereka tidak perlu keluar dari kediaman masing-masing.

"Dakwaan DBKL tidak menerima bayaran secara ansuran sama sekali tidak benar. Jika mereka (penduduk) tidak mampu membayar keseluruhan jumlah hutang tertunggak, kita boleh buat perjanjian baharu untuk membayar secara ansuran, tidak ada masalah.

"Yang penting semua pihak berkerjasama bagi menjelaskan hutang sewa dan bil air oleh para penghuni PPR yang sudah menjangkau sebanyak RM50 juta," katanya ketika ditemui selepas merasmikan seminar antarabangsa kali kelima 'World Class Sustainable Cities 2013' di ibu negara semalam.

Ahmad Phesal mengulas laporan Utusan Malaysia semalam mengenai keluhan separuh penghuni di setiap blok PPR itu yang menerima notis 14 hari supaya keluar dari rumah mereka jika gagal menjelaskan sewa dan bil bekalan air tertunggak.

Ini menyebabkan para penghuni tidak berpuas hati dengan tindakan DBKL yang disifatkan sebagai tidak bertimbang rasa kerana kebanyakan mereka terdiri dari golongan asnaf dan miskin tegar.

"Sebelum semua tindakan itu diambil, DBKL telah mengadakan sesi penerangan kepada para penghuni. Ketika itu semuanya memahami akan tindakan yang terpaksa diambil oleh DBKL dan tidak sepatutnya timbul pelbagai isu di kemudian hari.

"Mereka boleh mendapatkan pelbagai bantuan dari pelbagai agensi kerajaan dan agama bagi memastikan mereka boleh mulakan dengan bayaran menjelaskan hutang secara ansuran kepada DBKL," kata Ahmad Phesal lagi.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved