Khamis, 26 September 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Kidal itu istimewa

Posted: 25 Sep 2013 10:42 PM PDT

Oleh NORAZLINA ISMAIL
norazlina.ismail@utusan.com.my

MELIHATKAN si kecil lebih pantas menggapai dengan tangan kiri mainan yang diletakkan di hadapan mereka kadangkala mendatangkan kegusaran bagi sesetengah ibu bapa.

Biarpun puas diajar melakukan kerja menggunakan tangan kanan tetapi tangan kiri juga yang cepat.

Ibu bapa yang pernah berhadapan dengan senario seperti itu mungkin merasakan tingkah laku sedemikian agak janggal dan tidak sepatutnya berlaku.

Ini kerana, kebanyakan berpendapat bahawa tangan kanan itu lebih baik dari tangan kiri.

Jika anda berdepan dengan situasi itu berkemungkinan besar anak anda dilahirkan kidal.

Kegusaran yang kadangkala tidak bertempat itu menyebabkan sesetengah ibu bapa bertindak mengubah tabiat anak mereka secara paksaan.

Apa yang membimbangkan kemungkinan paksaan tersebut boleh menyebabkan aktiviti si kecil menjadi terbantut kerana penggunaan tangan kiri itu adalah satu tabiat semulajadi yang bukan sengaja dibuat-buat.

Penceramah keibubapaan, Profesor Dr. Rozieta Shaary berkata, perlakuan kidal berlaku apabila seseorang individu itu menggunakan otak kanan secara dominan.

"Otak manusia mempunyai dua bahagian iaitu bahagian kanan dan kiri yang mempunyai fungsi tertentu dalam mengawal pergerakan tubuh badan.

"Otak sebelah kanan akan mengawal bahagian badan sebelah kiri dan begitulah sebaliknya," katanya.

Beliau yang juga pengasas pertubuhan Family and Love Guru itu memberitahu, kidal terjadi apabila otak kanan yang dominan mengawal bahagian badan sebelah kiri yang menyebabkan seseorang individu itu cenderung menggunakan bahagian badan sebelah kiri terutamanya tangan dan kaki kiri dalam perbuatan mereka.

Menurutnya lagi, kidal bukanlah satu masalah ataupun penyakit kerana ia adalah sifat semulajadi yang berlaku disebabkan penguasaan dominan otak sebelah kanan.

"Kidal tidak ada kaitan dengan masalah kesihatan dan sebab itu ia tidak boleh dianggap sebagai penyakit.

"Individu kidal mempunyai jiwa yang lebih cenderung ke arah seni, muzik, dan perkara kreatif," ujarnya.

Selain faktor penguasaan otak kanan yang lebih dominan, kidal juga didapati boleh berlaku disebabkan faktor genetik.

Rozieta berkata, kajian mendapati kebarangkalian berlakunya kidal adalah disebabkan faktor genetik apabila ibu, bapa atau ahli keluarga lain turut kidal.

"Sebagai contoh, jika ibu atau bapa itu kidal, maka kemungkinan besar salah seorang anak mereka yang lahir nanti akan menjadi kidal.

"Begitu juga jika ibu atau bapa tidak kidal, tetapi ahli keluarga seperti nenek, datuk atau moyang mereka kidal, jadi kidal itu mungkin akan turun kepada salah seorang generasi baru," katanya.

Dalam pada itu, faktor persekitaran juga menjadi penyumbang kepada seseorang kanak-kanak itu menjadi kidal.

Katanya, kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran dikelilingi oleh orang dewasa kidal juga mungkin akan cenderung untuk meniru perlakuan itu dan menggunakan tangan kiri untuk, menulis, mengambil barang, atau melakukan sesuatu pekerjaan.

Ditanya mengenai sikap sesetengah ibu bapa yang menggunakan pendekatan paksaan untuk mengubah perilaku anak kecil yang kidal, beliau berkata, tindakan seperti itu tidak wajar.

Jelasnya, ibu bapa yang mempunyai anak kecil yang kidal sepatutnya menerima perilaku tersebut sebagai satu keistimewaan.

"Memaksa anak kecil menulis, dan memegang barang menggunakan tangan kanan bukanlah jalan terbaik kerana kanak-kanak kidal juga adalah normal seperti kanak-kanak lain.

"Dalam Islam sendiri tidak ada diskriminasi terhadap individu yang kidal.

"Bagaimanapun, dalam perkara tertentu seperti adab makan, sebagai orang Islam ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik anak kidal untuk makan menggunakan tangan kanan kerana ia adalah Sunnah," katanya.

Tambahnya, semua individu kidal yang beragama Islam mampu makan menggunakan tangan kanan hasil didikan ibu bapa dan guru di sekolah.

Apa yang pasti kidal bukanlah penyakit sebaliknya satu anugerah kepada mereka yang terpilih sahaja.

Bahkan dunia turut mengiktiraf kidal apabila 13 Ogos setiap tahun dipilih sebagai Hari Kidal Sedunia.

Karnival kerjaya untuk belia

Posted: 25 Sep 2013 10:42 PM PDT

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
Gambar RAZAK LATIF

WALAUPUN statistik jumlah pengangguran di negara ini masih rendah, rata-rata lulusan universiti sukar memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan yang diperoleh.

Ini kerana selain pasaran pekerjaan yang dilihat terhad, majikan juga amat mementingkan kualiti apabila menggaji seseorang pekerja itu.

Malah hari ini, trend seperti mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya satu tahun ataupun boleh berbicara lebih daripada dua bahasa menjadi keutamaan.

Disebabkan inilah ramai graduan dilihat tidak berjaya menempatkan diri dalam pasaran pekerjaan yang sesuai dengan bidang masing-masing.

Dengan alasan itu jugalah, bertempat di Dewan Tun Razak I, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), satu karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional 2013 akan diadakan.

Bakal berlangsung selama tiga hari bermula 27 September ini, karnival tersebut dilihat menyediakan platform kepada pencari kerja terutama golongan belia.

Menurut pengerusinya, Nazir Hussin Akhtar Hussin, karnival tersebut menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan daripada 350 majikan yang menyertainya.

Begitupun, tambah beliau, karnival kali ini memberi penekanan kepada perniagaan secara dalam talian sebagai sokongan kepada negara ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020 selain membantu generasi muda menjana pendapatan.

"Karnival kerjaya kali ini menawarkan peluang pekerjaan kepada semua golongan masyarakat tetapi keutamaan lebih kepada golongan belia.

"Ia juga merupakan satu peluang besar kepada 80 peratus masyarakat yang sudah mempunyai kerjaya untuk mencari peluang pekerjaan yang baharu.

"Yang pasti, semasa karnival ini berlangsung, sebanyak 75 peratus kekosongan akan diisi," ujarnya.

Katanya lagi, pada karnival tersebut, pencari kerja turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan majikan.

Jelas Nazir lagi, apa yang istimewanya mengenai karnival kali ini para pengunjung turut didedahkan kepada teknik berniaga secara dalam talian.

Ia adalah bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada para pengunjung yang berminat untuk memulakan perniagaan secara dalam talian.

"Sepanjang karnival berlangsung, kami turut membawakan penceramah motivasi terkenal, Dr. Azizan Osman dan beberapa orang lagi usahawan yang berjaya untuk berkongsi pengalaman mereka.

"Yang pasti, penglibatan mereka ini (usahawan berjaya) adalah untuk mengajar para pengunjung bagaimana untuk berniaga walaupun tanpa modal.

"Cuma yang perlu ada adalah keberanian dan minat dan kami hanya membantu mereka menyediakan tapak yang sesuai untuk mereka yang berminat," katanya.

Dijangka dirasmikan Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, kira-kira 30 hingga 40 syarikat yang mengendalikan perniagaan secara dalam talian akan turut terlibat dalam karnival itu dengan menawarkan skim-skim khas yang boleh diceburi para belia.

Sementara itu, jelas Nazir, karnival tersebut turut menyediakan laman khas di laman sosial Facebook serta aplikasi khas mudah alih di telefon pintar yang boleh dimanfaatkan pencari kerja.

Jadi kepada golongan belia atau sesiapa sahaja yang berhajat untuk mengunjungi karnival kerjaya ini adalah dinasihatkan agar menyediakan seberapa banyak resume untuk dihantar kepada majikan-majikan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved