Khamis, 26 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Azmi kekal cabar Azeez

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh NORLIA RAMLI
pengarang@utusan.com.my

azmi che husin, abdul azeez abdul rahim

BALING 25 Sept. - Jawatan Ketua UMNO Bahagian Baling menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandang, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Datuk Azmi Che Husin dalam pemilihan parti bulan depan.

Pertembungan dua penjuru itu ekoran penarikan diri seorang lagi calon, Nasri Baharom semalam.

Dalam pada itu Azmi berkata, beliau menawarkan diri untuk bertanding demi perjuangan politik UMNO agar sentiasa relevan dan berdiri teguh membela nasib negara, bangsa dan agama.

Kerana permintaan akar umbi juga saya yakin untuk bertanding kerana mereka mahukan perubahan dari segi kepimpinan," katanya ketika ditemui di pejabat ADUN Bayu di sini hari ini.

Menurut Azmi, beliau juga berhasrat meninggalkan UMNO kepada generasi akan datang sebagai sebuah parti Melayu yang kuat dan tidak mahu budaya yes man atau angguk kepala menjadi sebati dalam kalangan ahli-ahlinya.

Kita perlu melatih diri sendiri dan juga ahli-ahli UMNO dengan semangat juang yang tinggi dengan memberikan kekuatan dengan cara yang tersendiri kepada akar umbi," kata Azmi.

Sementara itu, Pengerusi Kedai Kain Rakyat 1Malaysia, Mohd. Noor Mohd Amin yang bertanding jawatan Exco Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling turut menjelaskan, beliau menawarkan diri bertanding adalah demi agama, bangsa dan negara.

Saya terpanggil untuk bertanding bagi mewakili anak muda di luar bandar dengan hala tuju untuk menyeimbangkan pegangan di dunia dan akhirat kerana golongan muda memerlukan akhlak yang baik sebagai pemimpin masa depan," katanya.

Tajul Urus yakin bersaing secara terbuka, tiada politik wang

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Tajul Urus Md. Zain

SUNGAI PETANI 25 Sept. - Sistem pemilihan jawatan dalam UMNO di semua peringkat pada kali ini diyakini dapat menghalang berlakunya unsur politik wang.

Penyandang Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, berbanding sistem pemilihan sebelum ini, sistem baharu itu dilihat lebih berkesan kerana berupaya menghalang calon-calon daripada 'mengawal' perwakilan membuat keputusan.

"Sebagai contoh, di Merbok, terdapat 115 cawangan dan jumlah perwakilan adalah lebih 1,000 orang. Agak mustahil bagi calon-calon menggunakan politik wang bagi mempengaruhi kesemua perwakilan membuat keputusan.

"Justeru, sistem sebegini dilihat lebih berkesan, malah mengelakkan unsur tidak diingini dalam parti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tajul Urus berkata, selain itu, sistem pemilihan baharu turut menekankan sifat keterbukaan yang mana memberikan peluang sama rata kepada ahli untuk bertanding.

Ditanya tentang persaingan yang bakal dihadapinya, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri itu berkata, beliau sedia menghadapi perlawanan tersebut secara terbuka.

"Apa yang penting dalam pemilihan tersebut adalah untuk memilih pemimpin yang mampu menerajui bahagian dan bukannya memburuk-burukkan peribadi sesama ahli-ahli UMNO sendiri," jelasnya.

Beliau berharap, para perwakilan UMNO Merbok dapat membuat penilaian secara matang.

Dalam pemilihan kali ini, Tajul Urus akan berhadapan dengan dua ahli UMNO iaitu Mahmud Omar dan Azmi Abdul Rahim.

Sepakat jadikan UMNO Jerlun kuat, stabil

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Mukhriz

SEHARI sebelum proses penyerahan borang pencalonan UMNO pada Sabtu lalu, UMNO Bahagian Jerlun mengadakan satu perjumpaan khas dengan pemimpin dan perwakilannya yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Wisma UMNO Jerlun yang menjadi lokasi majlis berkenaan dipenuhi oleh ahli UMNO bahagian berkenaan yang hadir untuk mendengar pengumuman penting barisan kepemimpinan tertingginya.

Apatah lagi sehari sebelum itu, Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti berkenaan bulan depan.

Dalam majlis selama kira-kira dua jam itu, tiga pemimpin UMNO Bahagian Jerlun tampil berucap dan hala tuju percakapan mereka adalah sama iaitu bersepakat untuk tidak mempertahankan jawatan masing-masing bagi membuka laluan kepada Mukhriz menerajui bahagian berkenaan.

Matlamat mereka tidak lain tidak bukan iaitu demi mengukuh dan memantapkan UMNO Bahagian Jerlun khususnya dan parti itu secara amnya.

Penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Abu Hasan Sarif dan Timbalan Ketua, Datuk Othman Aziz 'berkorban' melepaskan jawatan yang disandang mereka sejak 2008 itu sambil menawarkan diri bertanding pada jawatan lebih rendah.

Berikutan itu, Abu Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian manakala Othman di jawatan Naib Ketua.

Naib Ketua Bahagian Jerlun, Aziz Mahmud pula bakal diberikan jawatan sebagai Setiausaha UMNO bahagian itu jika 'pelan peralihan kuasa' itu berjalan lancar seperti yang dirancang oleh barisan tertinggi kepemimpinannya.

Mukhriz selaku pemimpin terakhir berada di atas pentas kemudiannya merakamkan ucapan terima kasih dan terharu dengan kepimpinan UMNO bahagian itu yang membuka laluan selain sudi menerima kehadirannya.

Menurut beliau, kata sepakat mengenai hal berkenaan telah dipersetujui dalam satu perbincangan peringkat bahagian itu sebelum ini.

Menteri Besar Kedah itu berkata, kesepakatan tersebut sangat bermakna kerana sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, lazimnya memegang jawatan Ketua UMNO iaitu jawatan paling tinggi dalam bahagian.

"Inilah kali pertama saya berpeluang memegang jawatan tinggi di peringkat bahagian, sebelum ini jawatan paling tinggi saya pegang ialah sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kubang Pasu.

"Setelah saya berpindah ke Jerlun dan menang tanpa bertanding sebagai Ketua UMNO Cawangan Kampung Pida 3, sekarang ini berpeluang pula untuk menerajui parti di peringkat bahagian ini.

"Bagi saya ini satu perkembangan sangat bermakna kerana sebagai Pengerusi UMNO Kedah, biasanya mestilah juga menerajui di peringkat bahagian," ujar beliau.

Mukhriz berkata, UMNO bahagian itu mengamalkan konsep musyawarah dalam erti kata sebenar untuk menawarkan barisan kepemimpinan yang diyakini oleh ahlinya.

"Pada masa sama ia tidak sesekali bermaksud kita menidakkan hak ahli mengamalkan demokrasi dalam parti. Tiada unsur paksaan dan kita tidak cuba untuk meletakkan seseorang itu di satu jawatan yang tidak diberi sokongan oleh ketua cawangan dan sayap-sayap," katanya.

Selepas tempoh bertenang selama 72 jam tamat petang semalam, lima jawatan penting dalam bahagian tersebut masing-masing menyaksikan hanya seorang calon menawarkan diri bertanding iaitu bagi jawatan Ketua yang ditandingi Mukhriz, Naib Ketua (Othman), Ketua Wanita (Datuk Maznah Hamid), Naib Ketua Wanita (Rohani Mat Aris) dan Naib Ketua Pemuda (Zubir Yahaya).

Abu Hasan pula berdepan saingan satu lawan satu dengan Ahli Jawatan Kuasa UMNO Bahagian itu, Othman Mat Din bagi jawatan timbalan ketua.

Perkembangan itu menunjukkan perancangan 'peralihan kuasa' berkenaan dapat diterima baik oleh ahli UMNO di bahagian berkenaan dan pada masa sama pertandingan beberapa jawatan lain membuktikan demokrasi terus subur dalam parti berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved