Khamis, 26 September 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pejabat Exco NS dipecah masuk

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SHAMSULKAHAR Mohd. Deli (kanan) memerhati keadaan pejabatnya yang dipecah masuk oleh individu tidak dikenali di Wisma Negeri, Seremban, semalam.

SEREMBAN 25 Sept. - Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli dipecah masuk individu tidak dikenali di Wisma Negeri dekat sini awal pagi ini.

Kejadian tersebut disedari oleh kakitangan yang datang bertugas kira-kira pukul 6.45 pagi apabila melihat pintu cermin di pejabat berkenaan pecah dan keadaan di dalamnya pula berselerak.

Pejabat Shamsulkahar yang terletak di aras bawah Wisma Negeri itu turut menempatkan Pejabat Tanah dan Galian negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu berkata, ketika kejadian terdapat tiga pengawal keselamatan bertugas di luar bangunan namun tidak menyedari kejadian itu kerana tidak meronda di dalam.

"Kita syak suspek menyusup di bahagian yang terlindung dan bukan dari pintu utama. Siasatan mendapati tiada dokumen penting dari ketiga-tiga agensi kerajaan itu hilang dan kerugian hanya membabit wang salah seorang kerani kira-kira RM100," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, polis kini sedang mengenal pasti suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Shamsulkahar berkata, dia mengetahui kejadian tersebut kira-kira pukul 7 pagi selepas dimaklumkan oleh seorang kakitangan di pejabat berkenaan.

"Saya terus ke pejabat dan terkejut melihat keadaan pejabat saya yang berselerak. Bagaimanapun, saya bersyukur selepas mendapati tiada dokumen penting yang hilang," katanya.

23 calon tarik diri bertanding di Melaka

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

MELAKA 25 Sept. - Sebanyak 1,102 daripada 1,125 calon layak bertanding setelah 23 calon menarik diri bertanding pelbagai jawatan di peringkat bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri di negeri ini selepas tempoh 72 jam berakhir petang semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Idris Haron berkata, sebanyak 11 calon menarik diri di peringkat bahagian termasuk dua merebut jawatan Ketua bahagian di Tangga Batu dan Bukit Katil.

Menurutnya, bagi Wanita pula seorang calon menarik diri bertanding Naib Ketua di Kota Melaka, Pemuda pula sebanyak lima calon manakala enam calon bagi Puteri termasuk jawatan ketua bahagian.

''Keseluruhannya sebanyak 1.89 peratus calon-calon yang telah menarik diri selepas tempoh 72 jam daripada 1,125 orang yang sebelum ini menawarkan diri bertanding semasa mendaftarkan diri Sabtu lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Idris berkata, jumlah yang menarik diri itu adalah angka tidak rasmi yang diperoleh dari Ibu Pejabat UMNO Pusat sehingga pukul 4 petang.

Beliau berkata, keseluruhannya 1,125 calon yang menawarkan diri iaitu UMNO bahagian sebanyak 495 calon, Wanita (251), Pemuda (310) dan Puteri (159).

Sebanyak 11 calon yang menarik diri di peringkat bahagian selain dua jawatan ketua bahagian di Bukit Katil dan Tangga Batu iaitu seorang calon masing-masing bagi jawatan ahli Jawatankuasa (AJK) di Bukit Katil, Kota Melaka, Masjid Tanah dan Tangga Batu.

Bagi perwakilan bahagian pula, empat calon menarik diri di Bukit Katil dan seorang di Tangga Batu.

Pemuda pula menyaksikan tiga menarik diri di Bukit Katil iaitu setiap seorang bagi jawatan Pengerusi Tetap, AJK dan G2 manakala dua calon AJK di Alor Gajah.

Sebanyak enam calon menarik diri bagi Puteri iaitu seorang bagi jawatan Ketua di Alor Gajah, tiga AJK di Jasin manakala seorang di Tangga Batu serta seorang bagi pemeriksa kira-kira.

Melaka mahu tingkat tanaman makanan bagi keperluan rakyat

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Idris Haron

MELAKA 25 Sept. - Jabatan Pertanian negeri merancang untuk meningkatkan tanaman makanan bagi memenuhi keperluan rakyat dalam usaha meningkatkan ekonomi negeri.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, pelbagai usaha sedang dilaksanakan untuk mengekal dan mengemaskinikan projek pertanian sedia ada di negeri ini, di samping melaksanakan beberapa program baharu.

Menurutnya, bagi tanaman padi, sebanyak tiga jenis insentif telah dibekalkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) iaitu subsidi baja, insentif pengeluaran padi dan dasar jaminan bekalan makanan.

"Dalam meningkatkan sektor tersebut, LPP membantu dalam pelbagai sudut termasuk membekalkan tujuh traktor, tiga jentanam serta tiga jentuai yang diuruskan oleh Pertubuhan Peladang negeri.

"Di samping itu, negeri ini turut mempunyai satu tapak semaian padi yang boleh menyemai anak benih padi untuk keluasan 30.35 hektar dalam satu-satu masa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri 2013 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman, Pengerusi Pertubuhan Peladang negeri, Datuk Abu Pit dan Pengerusi Persatuan Nelayan negeri, Abdullah Yahya.

Jelas Idris, LPP telah membelanjakan RM4.26 juta melibatkan sebanyak 1,110 pesawah di seluruh negeri ini pada tahun lalu manakala RM1.22 juta dibelanjakan tahun ini sehingga Mei.

Katanya, selaras dengan dasar negeri berteknologi hijau, projek pembangunan amalan hijau turut dirangka dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon dioksida di negeri ini.

"Kita mahu membangunkan perladangan organik dan tidak lagi menggunakan amalan membaja serta racun kimia kerana produk organik semakin mendapat sambutan hebat dalam kalangan petani," katanya.

Sementara itu ujarnya, bagi bidang akuakultur negeri pula, pengeluarannya telah meningkat kepada sembilan metrik tan tahun lalu berbanding 8.5 metrik tan setahun pada 2011.

"Nilai pengeluaran juga meningkat dari RM26.9 juta pada 2011 kepada RM31.6 juta pada tahun lalu menjadikan bidang akuakultur sebagai penyumbang utama kepada sektor perikanan di negeri ini," terangnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved