Khamis, 26 September 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


PPKMHL minta penjelasan

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Sebahagian daripada pengusaha kios makanan Melayu di sekitar Hulu Langat mengadakan bantahan di perkarangan ibu pejabat MPKj berhubung notis meroboh struktur tambahan premis mereka di Kajang, Selangor, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

KAJANG 25 Sept. - Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) diberi tempoh selama dua minggu dari sekarang untuk memberi penjelasan berhubung notis yang dikeluarkannya kepada 60 pengusaha kios makanan di sekitar Hulu Langat agar merobohkan struktur tambahan di premis masing-masing atau bantahan besar-besaran akan diadakan.

Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Kios Melayu Daerah Hulu Langat (PPKMHL), Mohammad Hanapiah berkata, ahli-ahli persatuannya tidak berpuas hati dengan pengeluaran notis itu kerana struktur tambahan yang mereka bina tidak menimbulkan gangguan terhadap mana-mana pihak.

Mengikut notis berkenaan, pengusaha-pengusaha kios makanan itu diberikan tempoh hingga Isnin lalu untuk merobohkan binaan tambahan berkenaan.

"Perjanjian dahulu memang perniagaan berkonsepkan kios tetapi sekarang pelanggan kami bertambah ramai. Jadi, kami mengambil inisiatif untuk membina struktur tambahan berkenaan menggunakan wang sendiri.

"Kami mahu berniaga dan menjaga pelanggan. Kami berasa hampa dan tidak berpuas hati apabila MPKj ingin merobohkannya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas bersama-sama seramai 100 peniaga kecil, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak MPKj di hadapan bangunan MPKj dekat sini hari ini.

Memorandum itu diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman.

Dalam perkembangan sama, Presiden Ikhlas, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya memberi tempoh dua minggu kepada MPKj dengan meminta supaya gerai-gerai berkenaan tidak diroboh.

"Kami minta 60 gerai yang menerima notis itu supaya jangan diroboh. Difahamkan, ia akan dirobohkan kelmarin jadi kami minta tangguh dan berbincang supaya beri tempat yang sesuai sebelum kios itu dirobohkan.

"Peniaga gembira jika gerai-gerai mereka mahu dinaik taraf. Ini belum bagi tempat, terus nak roboh," katanya.

Tambah Mohd. Ridzuan, pihaknya mahu memastikan supaya peniaga bumiputera tidak ditindas selain ingin mengumpulkan semua peniaga-peniaga kecil seluruh negeri Selangor untuk mengadakan bantahan besar-besaran di pejabat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagi peniaga kios di Sungai Jelok, Norhayati Harun, 39, pula berkata, dia mahu memfailkan saman terhadap MPKj bagi menuntut ganti rugi yang dialaminya setelah gerainya dirobohkan pada Jun lalu.

"Biar saya mati kerana orang Melayu. Saya salah seorang yang sudah jadi mangsa, jangan peniaga lain juga menjadi mangsa. Pihak terbabit sewenang-wenangnya meroboh gerai saya ketika anak saya sedang memasak ketika itu.

"Semalam, saya telah membuat laporan polis dan mahu saman MPKj. Mereka tidak sedikit pun berasa simpati terhadap peniaga golongan ibu tunggal yang terpaksa bersusah payah menyara keluarga. Pihak itu mendapat gaji bulanan berasa senang untuk tidur malam, kami ini?

"Ada yang membuat pinjaman bank selain program Kios Mikro MARA-MPKj," ujarnya kecewa.

Sementara itu, Kamarul Izlan menyatakan pihaknya akan membawa isu tersebut ke peringkat pengurusan tertinggi bagi melihat dan mengkaji semula memorandum berkenaan.

Lokasi bazar musim perayaan

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Jalan Masjid India dan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) akan menjadi lokasi untuk bazar sementara sempena semua jenis perayaan sehingga satu kawasan tetap dikenal pasti oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, lokasi tersebut dipilih kerana kedudukannya yang strategik iaitu hampir dengan jajaran sistem pengangkutan awam dan tempat meletak kenderaan.

"Selain itu pemilihan lokasi itu juga bagi memudahkan orang ramai untuk berkunjung ke satu tempat sahaja, secara tidak langsung mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan-kawasan lain.

"Begitu juga dengan kawasan baharu nanti. Kita akan lihat kemudahan pengangkutan awam dan tempat meletak kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai permohonan petak bazar perayaan Deepavali Tahun 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sosio-Ekonomi) DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Mengulas mengenai bazar Deepavali, Loga Bala berkata, bilangan petak yang ditawar pada tahun ini adalah tujuh lokasi berbanding tahun lepas, lapan.

"Jumlah keseluruhan bilangan petak pada tahun ini menunjukkan peningkatan iaitu 601 berbanding tahun lepas 387.

"Bazar Deepavali di sepanjang Jalan Tun Sambathan juga akan ditempatkan di Lorong Tuanku Abdul Rahman," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dalam memastikan tiada warga asing yang menjalankan perniagaan di bazar itu.

Sesi undian bagi tapak bazar Deepavali akan diadakan pada Jumaat ini di Dewan Kelab Sukan DBKL Brickfields setelah sesi permohonan dibuka selama dua hari bermula Selasa lalu.

Boleh bayar secara ansuran - Ahmad Phesal

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah Fasa Dua di Bukit Jalil seharusnya menarik nafas lega serta bersyukur kerana mereka boleh mendapat semula bekalan air dan terus tinggal di situ jika membayar secara ansuran bil air dan sewa rumah tertunggak.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersedia membuka semula kunci air ke unit-unit rumah terbabit sekiranya penghuninya membayar secara ansuran serendah RM30 sahaja, dan mereka tidak perlu keluar dari kediaman masing-masing.

"Dakwaan DBKL tidak menerima bayaran secara ansuran sama sekali tidak benar. Jika mereka (penduduk) tidak mampu membayar keseluruhan jumlah hutang tertunggak, kita boleh buat perjanjian baharu untuk membayar secara ansuran, tidak ada masalah.

"Yang penting semua pihak berkerjasama bagi menjelaskan hutang sewa dan bil air oleh para penghuni PPR yang sudah menjangkau sebanyak RM50 juta," katanya ketika ditemui selepas merasmikan seminar antarabangsa kali kelima 'World Class Sustainable Cities 2013' di ibu negara semalam.

Ahmad Phesal mengulas laporan Utusan Malaysia semalam mengenai keluhan separuh penghuni di setiap blok PPR itu yang menerima notis 14 hari supaya keluar dari rumah mereka jika gagal menjelaskan sewa dan bil bekalan air tertunggak.

Ini menyebabkan para penghuni tidak berpuas hati dengan tindakan DBKL yang disifatkan sebagai tidak bertimbang rasa kerana kebanyakan mereka terdiri dari golongan asnaf dan miskin tegar.

"Sebelum semua tindakan itu diambil, DBKL telah mengadakan sesi penerangan kepada para penghuni. Ketika itu semuanya memahami akan tindakan yang terpaksa diambil oleh DBKL dan tidak sepatutnya timbul pelbagai isu di kemudian hari.

"Mereka boleh mendapatkan pelbagai bantuan dari pelbagai agensi kerajaan dan agama bagi memastikan mereka boleh mulakan dengan bayaran menjelaskan hutang secara ansuran kepada DBKL," kata Ahmad Phesal lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved