Jumaat, 20 Disember 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Kilang padi berusia 30 tahun musnah dalam kebakaran

Posted: 20 Dec 2013 10:50 PM PST

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR

BACHOK 21 Dis. - Sebuah kilang padi berusia lebih 30 tahun di kampung Pauh Butut dekat sini hampir musnah dijilat api dalam satu kebakaran kira-kira pukul 4 pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 5.02 pagi sebelum tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian bersama 22 anggota penyelamat termasuk anggota bomba sukarela daerah.

Katanya, pihak bomba terpaksa mengambil masa lama untuk kerja-kerja menyelamat dan memadam api kerana kilang tersebut mengandungi banyak bahan bakar aktif seperti dedak dan padi.

"Kira-kira pukul 7 pagi operasi memadam api selesai dijalankan sepenuhnya. Kita terpaksa mengambil masa panjang untuk kerja-kerja menyelamat dan memadam api ini kerana kena memindahkan bahan-bahan seperti padi atau habuk padi, dedak yang berada di dalam kilang.

"Bahan ini tidak serap air sedangkan api berada di bawah (dalam timbunan dedak dan padi) jadi, lama-kelamaan api boleh marak semula selepas air itu kering, oleh itu kita kena lakukan kerja-kerja memindahkan bahan ini," katanya ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

23 warga asing ditahan dalam Op Cantas Khas Bersepadu

Posted: 20 Dec 2013 10:06 PM PST

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Polis menahan 23 warga asing dalam Op Cantas Khas Bersepadu berkaitan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959 di Jalan Genting Klang, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata mereka yang ditahan dalam sekatan jalan berhampiran Setapak Golf Range di sini terdiri daripada enam lelaki Somalia, enam lelaki dan empat wanita Indonesia, empat lelaki Turki dan seorang lelaki masing-masing dari Libya, Iraq dan Sudan.

Mereka yang berumur lingkungan 20 hingga 35 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)C Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki pasport dan Seksyen 15 (1)C akta sama kerana tinggal melebihi tempoh, katanya kepada pemberita selepas operasi lima jam bermula 11 malam itu.

Dalam operasi itu juga, polis menahan tujuh lelaki tempatan atas pelbagai kesalahan bersangkut dengan dadah.

"Masing-masing daripada mereka ditahan kerana memiliki ganja, mempunyai dua biji pil dipercayai ecstacy, memasukkan dadah ke dalam badan dan kerana menagih dadah," katanya.

Bagi kesalahan trafik pula, sebanyak 105 saman dikeluarkan kepada pemilik kenderaan motosikal atas pelbagai kesalahan, manakala sembilan buah motosikal disita kerana tiada cukai jalan.

Oerasi itu dijalankan bersama Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Dua lagi genapkan '40'

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

Skuad hoki wanita negara meraikan kejayaan memenangi pingat emas selepas menewaskan Thailand 6-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Theinphyu, Yangon, semalam. - BERNAMA

NAY PYI TAW - Debaran bagi menanti angka 40 pingat emas seperti mana yang menjadi sasaran bakal dirasai pada hari ini selepas jumlah pungutan pingat emas mencecah 38 butir, semalam.

Lima emas yang diraih daripada sukan pelayaran, terjun dan hoki wanita, seperti mana dijangka pada hari ini memastikan momentum bagi melengkapkan angka 40 berada pada landasan yang tepat.

Sukan pelayaran paling cemerlang, semalam apabila mengesahkan dua emas menerusi acara laser standard lelaki yang dimenangi Khairulnizam Mohd. Afendy dan international 420 lelaki oleh Mohd. Faizal Norizan-Ahmad Shukri Abdul Aziz.

Selain itu, mereka turut mengutip masing-masing tiga perak dan gangsa dalam acara yang diadakan di Pantai Ngwe Saung, semalam.

Di Pusat Akuatik Wunna Theikdi, acara terjun terus memberikan aksi kelas dunia apabila dua lagi emas terus dituai menerusi 3 meter papan anjal seirama lelaki (Ahmad Amsyar Azman dan Ooi Tze Liang) dan 3 meter papan anjal seirama wanita (Cheong Jun Hoong-Ng Yan Yee).

Hoki wanita tidak berdepan sebarang masalah membenam Thailand 6-1 satu lagi emas yang sememangnya menjadi sasaran kita sebelum ke Sukan SEA Myanmar.

Daripada dua emas yang diperlukan pada hari ini, ia dijangka hadir sama ada melalui terjun, hoki lelaki, muay atau taekwondo - empat sukan yang dianggap paling realistik tanpa melupakan judo, catur dan petanque.

Emas daripada skuad hoki lelaki sudah boleh dijamin kerana dengan hanya keajaiban boleh menghalang daripada anak-anak buah Tai Beng Hai daripada ditewaskan Singapura pada perlawanan akhir di Stadium Theinphyu,Yangon.

Sementara itu, atlet berusia 15 tahun, Muhd. Nazreen Abdullah yang sebelum ini mencuri tumpuan bakal bergandingan bersama Ooi Tze Liang dalam acara 10 meter platform seirama lelaki untuk terus memburu emas di Pusat Akuatik Wunna Theikdi.

Ini akan diikuti Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee yang bakal beraksi dalam satu lagi acara, 10 meter platform wanita yang mana satu lagi emas yang dijelmakan dengan mudah.

Jika mengharapkan sebarang kejutan pada hari ini, jangan terkejut sekiranya acara Muay yang menampilkan dua wakil pada pertarungan akhir iaitu Mohd. Faizal Ramli dalam acara 75kg dan Mohd. Lokman Akim, 51 kg mampu memenangi pingat emas.

Taekwondo yang gagal menghasilkan pingat emas selepas dua hari pertandingan, harapan terakhir akan disandarkan kepada Shakila Darshini (Bawah 46kg Wanita) dan Lai Teik Woon (Bawah 54 kg Lelaki).

Beberapa acara lain, prospek untuk mendapatkan emas dijangka sukar seperti judo yang masih belum memberikan sebarang impak di Stadium Tertutup Zeyar Thiri, manakala ping pong hanya menampilkan seorang wakil di separuh akhir, Lee Wei Beh dalam acara perseorangan wanita.

Tiga perak, tiga gangsa turut dalam genggaman

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

NAY PYI TAW - Pelayaran menutup tirai dengan cemerlang dengan memenangi dua emas dalam acara laser Standard dan International 420 di Pantai Ngwe Saung dekat sini, semalam.

Emas acara laser standard lelaki dimenangi Khairulnizam Mohd. Afendy dan international 420 lelaki, Mohd. Faizal Norizan-Ahmad Shukri Abdul Aziz pula yang tidak perlu beraksi dalam perlumbaan terakhir semalam selepas kemenangan mereka sudah disahkan kelmarin.

Tiga lagi pingat perak pula diraih dalam acara optimis lelaki, Mohammad Dhiahuddin Rozaini, international 420 wanita, Nur Aisyah Jamil-Umi NurWahida Sallahuddin dan satu lagi dimenangi Nur Amirah Hamid dalam acara laser radial.

Gangsa pula diraih dalam acara international 470 wanita, Khairunnisa Mohd. Afendy-Norashikin Mohd. Sayed diikuti optimist wanita, Nornabila Natasya dan mereka juga berjaya meraih optimist berpasukan.

Menurut pengurus pasukan, Mohd. Afendy Abdullah, atlet pelayaran telah menunjukkan pencapaian baik dengan menamatkan kebanyakan perlumbaan di tempat posisi utama.

"Kita berjaya mengekalkan kedudukan dan berjaya mencapai kejayaan. Kalau di Jakarta dua tahun lepas kita hanya memperolehi satu perak dan dua gangsa tetapi kali ini kita memperolehi dua emas, tiga perak dan tiga Gangsa," katanya kepada media, semalam

Jelasnya, secara keseluruhan pasukan negara menduduki tempat ketiga di belakang Singapura dan Thailand dari segi pungutan pingat.

"Pelayar telah diberi semangat agar matlamat seterusnya adalah di Sukan Asia 2014. Persatuan Pelayaran Malaysia mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu sukan pelayaran.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM), terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim," katanya. - UTUSAN

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Cubaan kali kedua Anwar gagal

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

Anwar Ibrahim, Muhammad Shafee

PUTRAJAYA 20 Dis. - Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan kali kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang itu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Aziah Ali sebulat suara memutuskan, permohonan yang difailkan tersebut langsung tidak mempunyai sebarang merit dan hanya bersandarkan kepada akuan berkanun (SD) bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim yang bersifat dengar cakap (hearsay).

Hakim tersebut turut menyatakan, akuan berkanun terbabit juga merupakan satu perkara yang remeh dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan rayuan kes liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Permohonan untuk menggugurkan sama ada pihak pendakwaan atau peguam merupakan satu tindakan drastik tidak sewajarnya dibenarkan sama sekali melainkan disokong oleh bukti kukuh.

SD Mat Zain yang digunakan oleh pemohon (Anwar) bagi menyokong permohonannya merupakan satu dengar cakap dan tidak boleh diterima pakai sebagai bukti jelas dan sahih.

Dalam menentukan sama ada SD itu boleh diterima pakai atau sebaliknya, kami mendapati dakwaan-dakwaan yang dibuat di dalam SD tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kes ini sebaliknya hanya merujuk kepada insiden mata lebam, katanya.

Hakim Aziah yang bersidang bersama Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh turut menyatakan, terdapat kecacatan tersembunyi di dalam akuan berkanun terbabit iaitu percanggahan identiti pembuat SD tersebut iaitu nombor kad pengenalan dan alamat telah dipadamkan.

Tiada alasan yang dapat difikirkan kenapa Mat Zain enggan mendedahkan nombor kad pengenalan dan alamatnya sedangkan di dalam kes saman membabitkan dirinya dan Anwar di Mahkamah Tinggi Shah Alam kedua-dua maklumat tersebut didedahkan, kata hakim itu.

Hakim itu ketika membaca penghakimannya memberitahu bahawa, mahkamah berpendapat, pelantikan Muhammad Shafee tidak akan memprejudiskan hak Anwar untuk perbicaraan yang adil kerana rayuan dibuat berdasarkan rekod yang disediakan oleh mahkamah sendiri.

Hakim Aziah menambah tiada sebarang sebab untuk mahkamah menyembunyi bukti atau rekod.

Beliau turut menyatakan, Muhammad Shafee bukanlah satu-satunya individu yang akan mewakili pendakwaan dalam kes rayuan terbabit tetapi akan dibantu oleh dua orang Timbalan Pendakwa Raya Kanan iaitu Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria dan Noorin Badaruddin.

Sudah termaktub, pendakwaan dan peguam bela membantu mahkamah dalam membuat keputusan bagi sesuatu kes. Keputusan muktamad akan ditentukan oleh mahkamah sendiri, katanya.

Selain itu, Hakim Aziah turut menyatakan Anwar sepatutnya membangkitkan bantahan-bantahan berhubung pelantikan tersebut pada peringkat awal lagi dan bukannya menimbulkannya secara ansuran.

Oleh itu, kami tidak mempunyai sebarang keputusan lain selain daripada memutuskan, pelantikan Muhammad Shafee adalah berlandaskan undang-undang, ujarnya.

Selepas tamat prosiding terbabit, Anwar ketika ditemui pemberita memaklumkan, beliau telah mengarahkan barisan peguamnya untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan pada Isnin depan selepas memperoleh penghakiman penuh Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, semalam, mahkamah sama telah menetapkan 12 dan 13 Februari tahun depan bagi mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari.

Pendakwa raya tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu daripada tuduhan liwat.

Anwar, 66, didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Mahkamah tolak permohonan Alvin minta tangguh bicara

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

Alvin Tan (kiri) dan Vivian Lee keluar dari Mahkamah Tinggi Jenayah 2, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee untuk menangguhkan perbicaraan kes mereka di Mahkamah Sesyen berhubung tiga dakwaan mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.

Hakim Kamardin Hashim menolak permohonan itu selepas mendengar dan meneliti hujahan peguam Chong Joo Tian yang mewakili pasangan itu dan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Hakim itu berkata, mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan itu selain alasan yang dikemukakan kedua-dua pemohon itu tidak mencukupi bagi membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan prosiding itu.

"Alasan kedua-dua pemohon, sekiranya mahkamah membenarkan perbicaraan diteruskan tanpa menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan akan memprejudiskan mereka adalah suatu yang tidak berasas.

"Dengan itu permohonan mereka ditolak dan perbicaraan di Mahkamah Sesyen akan diteruskan seperti yang dijadualkan,'' katanya.

Alvin Tan atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan pasangannya, Vivian Lee atau Lee May Ling, 24, mengemukakan permohonan menangguhkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Rayuan tersebut berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 November lalu yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan dengan alasan pertuduhan yang dibuat adalah sah, teratur dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Alvin Tan dan Vivian Lee didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Wan Shaharuddin ketika berhujah memberitahu, permohonan penangguhan itu hanyalah untuk melengah-lengah perbicaraan sepertimana tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Mahkamah Sesyen sebelum ini telah menetapkan tarikh perbicaraan terhadap pasangan itu pada 8, 9 dan 10 Januari depan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Barang keperluan mencukupi

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

A. ARUWAN Abdul Aziz (kiri) menyampaikan Anugerah Koperasi Terbaik peringkat negeri kepada Pengerusi Koperasi Peneroka Felda Lepar Utara 3 Jerantut Berhad, Ali Mohamad Desa di Karnival Peniaga dan Penjaja Peringkat Negeri Pahang di Felda Sungai Koyan Tiga di Kuala Lipis, kelmarin.

KUALA LIPIS 20 Dis. - Sebanyak 164 pemborong dan pembekal yang terdapat di negeri ini memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi dalam menghadapi gelombang kedua banjir.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang, A. Aruwan Abdul Aziz berkata, pemborong tersebut ketika ini menyimpan stok yang mencukupi untuk bekalan kepada mangsa-mangsa banjir negeri ini.

'' Pemborong luar dan pengilang telah menghantar bekalan setiap hari kepada mereka termasuk pasar raya dan sehingga kini tiada laporan bekalan tidak mencukupi.

''Semua daerah di Kuantan, Pekan, Rompin, Bera, Maran, Jerantut dan Temerloh yang terbabit banjir mempunyai stok simpanan barang-barang yang mencukupi,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Peniaga dan Penjaja Peringkat Negeri di Felda Sungai Koyan Tiga di sini semalam.

Karnival itu disertai lebih 50 usahawan, peniaga dan penjaja di sekitar daerah ini.

Sementara itu, A. Aruwan memberi amaran kepada para peniaga supaya tidak menjual barangan luput tarikh atau ditenggelami air kepada orang ramai.

Katanya, tindakan tegas akan diambil ke atas peniaga yang melakukannya di bawah akta jualan dan jika disabitkan dengan kesalahan, boleh dikenakan denda dan didakwa.

''Orang ramai atau pengguna yang mendapati peniaga berbuat demikian hendaklah melapor segera kepada PPDNKK untuk diambil tindakan tegas,'' katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, A. Aruwan memberitahu, sehingga kini tiada laporan kehabisan petrol atau diesel berlaku di kawasan terjejas banjir, malah bekalan bahan bakar tersebut mencukupi dengan bekalan diterima setiap hari oleh pengusahanya.

11 badan berkanun Pahang tandatangani Ikrar Integriti Korporat

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

KUANTAN 20 Dis. - Sebanyak 11 badan berkanun kerajaan negeri menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan tahap tadbir urus yang baik dan membanteras aktiviti rasuah.

Badan berkanun tersebut ialah Yayasan Pahang (YP), Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC), Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Amanah Saham Pahang dan Perbadanan Perpustakaan Awam.

Turut menandatangani ikrar itu ialah Lembaga Muzium Negeri Pahang, Lembaga Pembangunan Tioman, Perbadanan Stadium Darul Makmur, Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip).

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri sememangnya mengamalkan polisi terbuka dan sentiasa telus kepada mana-mana pihak seperti SPRM untuk melakukan pemantauan terhadap prosedur operasi dilaksanakan.

"Jadi dengan adanya majlis hari ini, menjadi bukti jelas bahawa kerajaan negeri tegas dalam membanteras amalan rasuah," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani CIP Badan Berkanun Kerajaan negeri Bersama SPRM di Kompleks Yayasan Pahang di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan.

Menurut Adnan, langkah menandatangani ikrar adalah sesuatu yang baik kerana perbuatan rasuah boleh dicegah melalui kesedaran.

"Kita perlu menerapkan nilai-nilai murni kepada kakitangan badan berkanun supaya tidak mengambil rasuah.

"Saya harap ikrar ini dapat dihayati sepenuhnya oleh mereka dalam meningkatkan tahap tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti," katanya.

Sementara itu, Sutinah berkata, langkah tersebut merupakan satu manifestasi sokongan organisasi berkenaan kepada usaha suruhanjaya tersebut membanteras gejala rasuah.

"CIP adalah satu komitmen dan ikrar terbuka agensi serta syarikat swasta untuk memerangi rasuah selain memperkukuhkan integriti organisasi masing-masing," katanya.

Lebih RM4j kerosakan sekolah akibat banjir

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

KUANTAN 20 Dis. - Sekolah yang ditenggelami air dan dijadikan pusat pemindahan sementara ekoran bencana banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini awal bulan lalu dianggarkan mengalami kerosakan bernilai lebih RM4 juta.

Pengarah Pelajaran negeri, Rosdi Ismail berkata, jumlah yang dianggarkan tersebut membabitkan kerosakan pada harta benda seperti kerusi dan meja serta bangunan sekolah itu sendiri.

"Hampir semua sekolah di setiap daerah yang terjejas banjir dan dijadikan pusat pemindahan mengalami kerosakan dengan daerah yang paling teruk adalah Kuantan dan kini semuanya dalam proses pembersihan.

"Kita akan pastikan semua sekolah yang terlibat akan bersih dan boleh digunakan sebelum sesi persekolahan dibuka pada Januari tahun depan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Rosdi berkata, sebanyak 31,173 buku teks melibatkan kos kira-kira RM2 juta mengalami kerosakan membabitkan pelajar atau mangsa yang rumah mereka dinaiki air.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 17,763 adalah melibatkan buku teks sekolah rendah manakala 13,410 buku teks sekolah menengah.

"Daripada kerosakan itu, daerah Kuantan mencatatkan kerosakan paling tinggi iaitu 15,530 untuk buku teks sekolah rendah dan 12,343 untuk buku teks sekolah menengah," katanya.

Menurutnya, buku teks yang mengalami kerosakan berkenaan akan digantikan dengan yang baharu oleh Kementerian Pendidikan selewat-lewatnya Januari depan.

"Pihak kementerian (Kementerian Pendidikan) telah pun berjanji untuk menggantikan buku teks yang rosak akibat banjir kali ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Singapura bertindak usir 53 perusuh

Posted: 20 Dec 2013 10:10 AM PST

SINGAPURA 21 Dis. - Kerajaan Singapura semalam mula mengusir 53 pekerja Asia Selatan yang terlibat dalam rusuhan pada 8 Disember lalu, kejadian rusuhan paling buruk melanda negara tersebut sejak 40 tahun.

Seorang pegawai berkata kelmarin, mereka akan mengusir 52 orang warga India dan seorang warga Bangladesh atas tuduhan melakukan kesalahan jenayah bersama 28 yang lain atas perbuatan yang boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara.

Rusuhan itu mengakibatkan 39 anggota polis mengalami kecederaan, selain memusnahkan 25 buah kenderaan.

Dalam perkembangan lain, polis memberi amaran dan menasihatkan lebih daripada 200 orang pekerja asing Asia Selatan yang berada di tempat rusuhan itu berlaku supaya mematuhi peraturan bagi membolehkan mereka menetap serta bekerja di negara ini. AGENSI

Filipina hentikan operasi ketenteraan selama 25 hari

Posted: 20 Dec 2013 10:08 AM PST

MANILA 21 Dis. - Presiden Filipina, Benigno Aquino semalam menghentikan operasi ketenteraan ke atas pemberontak berhaluan kiri selama 25 hari, bagi memberi laluan kepada mereka untuk pulang ke rumah dan melawat saudara terdekat.

Penasihat Keamanan di Pejabat Presiden, Teresita Deles berkata, tindakan unilateral akan memberi tempoh kepada negara tersebut untuk berehat, selepas sepanjang tiga bulan ini berlakunya banyak kejadian seperti bencana alam dan konflik ketenteraan yang menyebabkan lebih 8,300 orang terkorban atau hilang serta lebih daripada empat juta orang hilang tempat berlindung.

"Dalam tempoh masa tiga bulan, rakyat kami mengalami banyak tragedi besar sehingga menyebabkan negara kami mengalami masalah trauma.

"Pihak tentera akan menangguhkan segala operasi ketenteraan bermula 21 Disember sehingga 15 Januari ini, kata Deles. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Aril AF pilih pramugari Saudi Airlines sebagai teman hidup

Posted: 20 Dec 2013 03:44 AM PST

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Penyampai radio ERA, Aril AF7, 28, selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Puteri Erma Adlinda Megat Aminuddin, 27, di kediaman pengantin perempuan di Kampung Padang Enggang, Pasir Hor, Kota Bharu Kelantan hari ini.

Dengan sekali lafaz, pasangan itu sah bergelar suami isteri oleh Imam Mukim Padang Enggang, Abdul Halim Mat Isa pada kira-kira pukul 3.20 petang

Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus memberikan mas kahwin dan wang hantaran berbentuk cek bernilai RM15,000 beserta sembilan dulang.

Majlis persandingan kedua-dua mempelai diadakan sejurus selepas akad nikah di lokasi yang sama.

Pasangan ini mula berkenalan pada 25 Mei lalu dan selepas tiga bulan menjalinkan hubungan, Aril melamar Puteri yang bertugas sebagai pramugari Saudi Airlines sebagai isterinya. - UTUSAN ONLINE

Wanita dikaitkan dengan Adi Putra diceraikan suami

Posted: 19 Dec 2013 08:56 PM PST

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN

AMIRUDDIN Othman (kanan) dan Nooraida Abdul Mutalib pada sidang media berhubung kes 'gangguan' pelakon terkenal, Adi Putra terhadap isterinya itu, di Kuala Lumpur minggu lalu. Pasangan itu bagaimanapun disahkan bercerai semalam. - UTUSAN

PUTRAJAYA 20 Disember. - Ahli perniagaan, Amiruddin Othman, 59, hari ini mengejutkan media apabila memberitahu telah menceraikan isterinya yang dikaitkan dengan aktor Adi Putra, Nooraida Abdul Mutalib, 30.

Tanpa menjelaskan punca yang membawa kepada penceraian itu, Amiruddin memberitahu, tindakan itu demi kebaikan bersama.

"Setelah 10 tahun berkahwin, kami sudah cuba berbincang dan ini adalah yang terbaik untuk saya, untuk dia dan anak kami juga. Bekas isteri saya memang tidak ada masalah dengan perceraian ini dan menyokong apa sahaja keputusan yang telah saya buat," katanya ketika ditemui di Jabatan Peguam Negara, di sini.

Sebelum itu, dengan diwakili peguam Muhammad Hasif Hasan, Amiruddin turut menyerahkan surat rayuan membuka semula kes membabitkan pelakon terkenal itu dan bekas isterinya.

Menurut ahli perniagaan ini, selepas keputusan kes sebelum ini mendapat status tiada tindakan lanjut (NFA), dia kembali membuat rayuan untuk membuka semula kes di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan.

"Walaupun saya sudah menceraikan isteri saya semalam, saya fikir permohonan untuk meneruskan kes ini dilihat sebagai cara terbaik bagi saya menegakkan keadilan.

"Dengan apa yang berlaku setakat ini saya mendapat tekanan yang teruk, bukan sahaja daripada keluarga tetapi juga masyarakat, tetapi saya tetap mahu mendapatkan keadilan untuk semua pihak dengan sekali lagi membuat permohonan membuka semula kes ini, " katanya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Menghadapi anasir jahat di ambang 2014

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

DI ambang rakyat membuat persiapan beralih dari tahun 2013 ke 2014, ada pula ura-ura anasir jahat akan cuba menimbulkan huru-hara kononnya mahu mengguling kerajaan yang dipilih pada pilihan raya umum (PRU) pada Mei lalu.

Berselindung di sebalik sambutan malam tahun baharu pada 31 Disember ini, golongan itu didakwa mahu menyelit di sebalik kumpulan orang ramai yang mahu meraikan ketibaan 2014 bagi menunjukkan ramai yang menyokong usaha menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

Walaupun umum tahu siapa dalang di sebalik rancangan tersebut, pihak terbabit masih cuba menyembunyikan penglibatan mereka mungkin bagi mengelakkan tindakan pihak berkuasa mahupun mengelak dipertanggungjawabkan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Setakat ini usaha mengajak pengikut mereka menyertai rancangan tersebut banyak dilakukan melalui media sosial, risalah dan poster tetapi dilihat belum mengumpul momentum yang diharapkan.

Namun, perkara paling membimbangkan bukannya bilangan peserta sebaliknya orang awam yang tidak terlibat sama mungkin akan terperangkap bersama anggota kumpulan ini ketika agenda peribadi mereka digerakkan.

Lebih teruk jika kumpulan itu hilang kawalan dan orang awam juga yang menjadi mangsa sama ada cedera dan hilang harta benda mahupun pertumpahan darah jika berlaku pertembungan antara pihak berkuasa dan peserta demonstrasi.

Persoalannya, sampai bila golongan ini mahu dibiarkan membuat onar atas dasar kebebasan hak asasi sehingga mengganggu perancangan mahupun cara hidup harian orang ramai, semata-mata untuk laba politik individu atau kumpulan tertentu?

Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim melihat masalah tersebut berterusan kerana wujudnya suasana 'majoriti senyap' iaitu kumpulan besar tidak menunjukkan 'kuasa' dan tidak membalas perbuatan minoriti.

"Majoriti senyap menyebabkan golongan minoriti ini rasa besar diri, bukannya kerana mereka rasa kebal atau tidak takutkan pihak berkuasa.

"Majoriti tidak membalas sama ada dengan perkataan, tulisan dan lain-lain cara sehinggakan minoriti merasakan apa yang mereka lakukan itu 'dibenarkan'," katanya.

Beliau berpendapat perbuatan menganjur perhimpunan haram dan cubaan mengguling kerajaan berlaku bila hak asasi diagungkan melangkaui undang-undang sesebuah negara.

Beliau juga mempertikai apa keperluan kumpulan tersebut mempunyai wakil rakyat di Parlimen jika mahu melangkaui undang-undang kerana polisi sistem yang diamalkan negara hanya boleh diperjuangkan di Parlimen dan bukannya di jalanan.

"Masalah perhimpunan haram ini menunjukkan Ahli Parlimen yang diberi mandat kumpulan tersebut gagal mewakili suara mereka di Parlimen sehinggakan mereka terpaksa guna cara jalan raya secara meluas untuk mencapai matlamat.

"Walaupun tidak radikal, tidak menggunakan senjata sekalipun, dalam mana-mana perhimpunan dinamik boleh berubah bila-bila masa jika ada dalang yang menyebabkan niat asal mereka terpesong," ujarnya.

Beliau merasakan tidak perlu ada senjata dalam perhimpunan tersebut untuk menyebabkan peserta hilang kawalan daripada sebuah tunjuk perasaan kepada vandalisme dan gangguan pasif terhadap kehidupan seharian orang awam.

Bagaimanapun, beliau yakin tujuan utama perhimpunan tersebut bukannya untuk tunjuk perasaan tetapi untuk mengganggu sistem sosial dan ekonomi orang ramai yang akan membawa limpahan kesan berangkai kepada pihak berkuasa dan pemerintah.

"Objektif utama bukannya tunjuk perasaan, bila jalan sesak, polis dan pihak berkuasa juga dipersalahkan rakyat, akhirnya balik kepada memburukkan nama kerajaan memerintah.

"Malahan, sebelum berlakunya perhimpunan itu sudah ada kesannya terhadap kehidupan orang ramai dengan wujudnya pelbagai prasangka sementara tenaga penguatkuasa perlu ditumpu ke kawasan terbabit, melemahkan kehadiran mereka di tempat lain," jelasnya.

Kamal Affendi juga melihat taktik mengadakan perhimpunan di ambang tahun baharu mungkin disebabkan jumlah peserta tidak ramai dan perlu berselindung di sebalik tempat yang ramai orang; atau mungkin untuk mengelakkan peserta dikesan dan ditangkap pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berpendapat penganjur dan peserta perhimpunan tersebut sebenarnya boleh dilihat sebagai melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong yang membawa hukuman mati.

"Undang-undang kita berpaksikan Demokrasi Berparlimen dan pilihan raya yang menentukan kerajaan. Cubaan mengguling kerajaan melanggar dua asas kenegaraan kita - mencabar institusi Yang di-Pertuan Agong dan institusi Parlimen yang menjadi simbol pemerintahan negara.

"Penganjur sengaja mengambil kesempatan membakar emosi orang ramai tetapi cuba berselindung di sebalik peserta perhimpunan. Jika mengaku, mudah pihak berkuasa bertindak ke atas pengajur tetapi dengan berselindung akhirnya orang awam (peserta) yang dikenakan tindakan," katanya.

Beliau menegaskan majoriti rakyat, termasuk mereka yang tidak menyokong kerajaan, hanya mahu hidup aman damai dan pihak berkuasa tidak boleh membiarkan minoriti kecil yang membuat kacau bilau menjejaskan majoriti yang aman.

Beliau merasakan tiada langkah penghalang dan pencegahan yang benar-benar menghindar kejadian serupa berulang sedangkan negara maju seperti Amerika Syarikat dan Singapura yang kononnya amalkan kebebasan juga tidak akan melepaskan golongan tersebut.

"Saya setuju jika dikatakan penguatkuasa multimedia kita tidak bertaring, lemah dan kerap bertolak ansur dalam mengatasi masalah seperti ini. Jika negara maju lain, sesiapa menyebar risalah berpotensi memudaratkan ketenteraman awam, penguatkuasa akan terus 'ketuk pintu'.

"Tindakan penguatkuasaan dan pencegahan bukannya langkah ke belakang dalam demokrasi, ianya langkah ke depan yang diamalkan semua negara maju untuk kekalkan keamanan. Penapisan multimedia perlu dilakukan bila ia melibatkan keselamatan awam," tegasnya.

Beliau berharap pihak berkuasa bersedia menggunakan apa jua akta yang ada, baharu atau lama, kerana bukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sahaja yang boleh digunakan untuk menyekat perbuatan sedemikian.

Tambahnya, jika terbukti individu atau kumpulan tersebut berani menggadai keamanan negara demi kepentingan peribadi, maka tangkap sahaja, dakwa dan kenakan hukuman paling berat supaya menjadi pengajaran kepada yang lain kelak.

"Pihak berkuasa perlu menyiasat penyebaran yang dibuat melalui media sosial mahupun risalah ini, tangkap sebelum terjadi apa-apa. 'Rahsia umum' ini perlu diambil tindakan segera bagi mencegahnya daripada melarat," ujarnya.

Muzakarah Pas-UMNO hanya satu mimpi

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

Oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar

BEBERAPA penulis melihat usul Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bermuzakarah dengan UMNO sebagai satu yang baik dan positif kepada perpaduan umat Islam di Malaysia. Di samping itu terdapat juga penulis yang memandang usul itu tidak merubah keadaan yang ada kerana ia hanya satu retorika politik seorang pemimpin politik yang lemah untuk berusaha merealisasikan usulnya itu sendiri.

Dr. Ismail Ibrahim dalam akhbar Utusan Malaysia pada 13 Disember lalu bertanyakan, untuk apa UMNO dan Pas bermuzakarah?

Jawapan kepada soalan itu menyatakan bahawa kedua-dua parti politik itu perlu bermuzakarah untuk mendapatkan persefahaman tentang perlunya kesatuan pemikiran dan agenda umat Islam sebagai umat yang komited dalam mengamalkan Islam dan membangun Islam dalam perspektifnya yang betul di negara kita.

Pada pendapat beliau, Pas dan UMNO adalah dua parti Melayu Islam. Walaupun pada fahaman Pas pula UMNO bukanlah parti Islam kerana dalam nama UMNO tidak ada perkataan Islam tetapi ada perkataan Melayu. Tiga tunggak perjuangan UMNO merangkumi agama, bangsa dan negara atau tanah air Malaysia. Agama yang diperjuangkan UMNO adalah Islam. Istilah Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, 1957-1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, 1963 seterusnya, dijelaskan bahawa Melayu beragama Islam.

Perlembagaan-perlembagaan negeri-negeri yang beraja di Malaysia menyatakan bahawa Sultan adalah ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sementara itu, negeri-negeri di Malaysia yang tidak bersultan seperti Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak, ketua agama Islam kepadanya adalah Yang di-Pertuan Agong. Demikianlah undang-undang di Malaysia yang melibatkan Islam dan bidang kuasa negeri-negeri yang bersultan dan wilayah dan negeri yang tidak bersultan.

Adakah pemimpin Pas dan UMNO dapat menerima tujuan muzakarah Pas-UMNO seperti yang diketengahkan oleh Dr. Ismail? Saya berpendapat kalau mereka berpendapat sama seperti Dr. Ismail, maka muzakarah akan diadakan untuk tujuan demikian. Tetapi setakat ini tiada usaha untuk bertemu dan bermuzakarah di antara pemimpin UMNO dan Pas. Yang ada Mat Sabu mahu memusnahkan UMNO dengan mengalah UMNO di kubu kuatnya iaitu Johor. Mengikut pendapat Mat Sabu, jika UMNO Johor dapat dikalahkan, maka UMNO dapat dihapuskan kerana Johor dianggap kubu UMNO yang kebal sehingga kini.

Pas telah melantik seorang lulusan bidang pengajian bernama Dr. Mahfuz untuk mengetuai Pas Johor. Dalam PRU-13, bekas Menteri Besar Johor dikalahkan oleh Lim Kit Siang dari parti DAP, satu perkembangan politik menolak calon UMNO di situ kerana dalam PRU-12 calon MCA yang menang di kawasan parlimen berkenaan. Oleh kerana calon MCA sakit, maka digantikan calon UMNO dan DAP berjaya kalahkan calon UMNO dalam PRU-13.

Datuk Ahmad Faris Abdul Halim (Utusan Malaysia 17/12/13) menyatakan, penyatuan UMNO-Pas suatu realiti berdasarkan keadaan politik semasa di Malaysia dan keputusan PRU- 13) dari sudut jumlah ahli parlimen Melayu/bumiputera dan bukan bumiputera. Semua 21 ahli parlimen Pas adalah Melayu/bumiputera; 38 ahli parlimen DAP terdiri daripada 1 Melayu/bumiputera, 3 India dan 34 Cina; 30 ahli parlimen PKR terdiri daripada 5 India, 9 Cina dan 16Melayu/bumiputera. Sementara itu, 133 ahli parlimen BN terdiri daripada 4 India, 7Cina dan 122 Melayu/bumiputera.

Ahmad Faris merumuskan mengundi pakatan pembangkang akan menguatkan lagi suara bukan Islam dalam Parlimen. Justeru, umat islam harus sedar, ke manakah haluan negara ini bakal dibawa jika pengundian hanya dilakukan tanpa asas matematik yang kukuh tentang realiti umat Islam di Malaysia.

Beliau menyandarkan harapan untuk penyatuan dua parti Melayu ini kepada Salahuddin Ayub, Takiyuddin Hassan dan Kamaruddin Jaafar dalam Pas. Beliau mengakui masih terdapat dalam Pas, yang masih berfikiran ekstrem dan taksub membabi buta. Terlalu ke kiri, hendak tegakkan ideologi sendiri. Mereka ini tidak mahu Pas dan UMNO bersatu.

Dua perkembangan baru dalam Pas yang membuatkan Ahmad Faris optimistik mengenai penyatuan Pas-UMNO adalah pengurangan atau penurunan pengaruh Mursyidul Am Pas yang tidak lagi menjadi Menteri Besar di Kelantan selepas PRU-13 dan sokongannya dan rayuannya supaya perwakilan Pas memilih Nik Amar, bukan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas tidak menjadi. Mat Sabu dapat mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Pas, jawatan nombor 2 dalam Pas.

Pendapat Ahmad Faris mengenai penurunan pengaruh politik Mursyidul Am Pas mungkin tepat tetapi dalam isu penyatuan UMNO dan Pas belum tentu pengaruhnya menurun dalam kalangan ahli dan penyokong Pas. Beliau bersama Mat Sabu telah berjaya menyahkan Nasharuddin Mat Isa yang berjawatan Timbalan Presiden kerana Nasharuddin memberanikan diri bertemu dengan Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam konteks muzakarah UMNO-Pas. Presiden Pas tidak mempertahankan tindakan Nasharuddin yang dilondeh oleh kalangan Pas yang menentang muzakarah UMNO-Pas pada zaman itu.

Mat Sabu dapat mengekalkan jawatannya sebagai pemimpin nombor 2 Pas dilihat positif oleh Ahmad Faris untuk perpaduan UMNO-Pas, tetapi berdasarkan ucapan-ucapan Mat Sabu yang mahu kekal dalam Pakatan Rakyat, maka ia menentang sebarang usaha oleh mana-mana pihak dalam Pas untuk bermuzakarah dengan UMNO.

Usul muzakarah Pas-UMNO bukanlah usul tahun 2013 ini. Ia sudah menjadi usul pada tahun-tahun sebelumnya dan ia tidak pernah menjadi realiti kerana pengemuka usul itu sendiri tidak mempertahankan Nasharuddin yang dihentam dan ditolak oleh segolongan besar dalam Pas yang menentang usul muzakarah atau kerjasama Pas-UMNO semasa UMNO diketuai oleh Abdullah.

Nasharuddin masa itu Timbalan Presiden yang memberanikan diri bertemu dengan Presiden UMNO dalam konteks kerjasama Pas-UMNO. Implikasinya beliau kalah dalam mempertahankan jawatannya dan Mat Sabu dipilih oleh perwakilan Pas menggantikan Nasharuddin.

Nasib Nasharuddin kemudiannya terpaksa tidak bersama Pas lagi senasib dengan Datuk Dr. Hasan Ali yang berjuang dalam Pas beberapa lama tetapi kerana tidak diterima oleh kumpulan tertentu dalam Pas mengenai pendapat-pendapat Hasan perkatakan, maka dia dipecat oleh Pas dan kini menjadi Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati). Dalam samannya terhadap seorang pemimpin Khalid Samad, Hasan memenangi kes berkenaan kerana mahkamah mendapati Khalid memfitnah Hasan.

Berdasar sejarah politik Pas yang tidak berusaha untuk merealisasikan usul Presidennya sendiri dan Timbalannya mahu Pas kekal dalam Pakatan Rakyat (PR) dan hubungan baiknya dengan Lim Guan Eng sejak dalam penjara di Kemunting dan hubungan baru baik dengan Anwar Ibrahim selepas dipecat dari UMNO, maka saya berpendapat usul muzakarah Pas-UMNO tidak akan menjadi realiti.

Usul penyatuan Pas dan UMNO amat jauh dari realiti politik di Malaysia kerana setiap parti mahu mengalahkan parti lawan untuk mendapat kuasa politik dan wang elaun wakil rakyat peringkat negeri (DUN) dan peringkat parlimen.

Politik untuk kuasa dan wang mengalahkan politik untuk bangsa dan agama dalam konteks politik kepartian di Malaysia. Mat Sabu menegaskan demi untuk mendapat kerusi dalam pilihan raya di Malaysia, Pas perlu berada dalam PR. Calon Pas disokong oleh Cina dan India setelah Pas berada dalam PR. Untuk Pas berada di Putrajaya memerintah Malaysia Pas mesti berada dalam PR.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Cinta romantis Chef Ammar

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my

CHEF Ammar dan Zuraini bersama tiga cahaya mata mereka.

Masak dengan hati, masak dengan iman.' Tag line yang cukup dekat di hati para penonton saluran TV Al Hijrah khususnya peminat rancangan Hidangan Baraqah Bersama Chef Ammar.

Gelagatnya yang begitu bersahaja dengan bahasa Melayu telo Arab ketika mengendalikan rancangan tersebut cukup menghiburkan, apatah lagi setiap perkongsian resipi diselitkan dengan petua-petua mengikut sunah.

Itulah Chef Ammar I.H Alali. Walaupun namanya mungkin belum segah chef-chef selebriti yang lain, namun kemunculannya di kaca televisyen tetap dinanti peminatnya.

Cekap mengendalikan pelbagai peralatan dapur dan juga bahan-bahan masakan, tentunya ramai juga yang ingin mengetahui latar belakang lelaki berasal dari Palestin ini.

Kefasihan beliau bercakap Melayu adalah hasil lebih 17 tahun menetap di Malaysia dan berkahwin dengan seorang wanita tempatan kelahiran Pulau Pinang.

Ketika ditemui baru-baru ini di studionya yang terletak di Subang Jaya, ternyata bapa kepada tiga orang cahaya mata ini cukup bahagia dengan keluarga yang telah dibina sejak 16 tahun lalu.

Dilihat begitu romantik pada pandangan isterinya, Zuraini Abu Kassim, Chef Ammar juga merupakan seorang yang cukup mengingati hari-hari penting dalam sejarah hidupnya.

Begitu lancar memberikan tarikh kali pertama berjumpa, tarikh bertunang, dan tarikh akad nikah, Chef Ammar mengakui jatuh cinta pandang pertama dengan isterinya, malah tidak mengambil masa yang begitu lama untuk menyatakan isi hatinya kepada Zuraini.

Bercerita lanjut mengenai pertemuan kali pertama dengan isterinya, jelas Chef Ammar, ia berlaku di salah sebuah pusat beli-belah di Pulau Pinang.

Ketika itu, dia terpandang Zuraini yang sedang menikmati hidangan tengah hari bersama rakan-rakannya.

Tanpa disangka, pandangannya turut dibalas Zuraini lalu bertukar-tukar senyuman. Namun, peristiwa 'sedetik' itu berlalu begitu sahaja tanpa ada sebarang susulan.

Ternyata jodoh antara mereka kuat dan sudah tertulis apabila tanpa disengajakan, mereka bertembung semula di luar pusat beli-belah.

Dari situlah segala-galanya bermula dan perhubungan tersebut telah menyatukan mereka sebagai pasangan suami isteri yang bahagia.

"Terus terang saya katakan, pertemuan tersebut tidak pernah membuatkan saya terfikir untuk mencarinya (Zuraini) tetapi mungkin jodoh antara kami kuat kerana tanpa disangka-sangka kami bersua kembali selepas masing-masing selesai menjamu selera di pusat membeli-belah tersebut.

"Saya menegur Zuraini dahulu. Saya menawarkan diri untuk menghantarnya pulang ke rumah. Paling tidak boleh lupa saya sanggup mengisi penuh minyak kereta semata-mata untuk menghantarnya balik ke rumahnya di Ipoh.

"Apa yang pasti, kenangan 16 tahun dahulu tidak akan luput daripada ingatan dan ia satu kenangan yang cukup indah dan manis buat kami berdua," ujarnya ketika diminta bercerita mengenai pertemuan pertama dengan isterinya pada tahun 1996.

Apa yang diceritakan oleh Chef Ammar turut diakui isterinya, malah apa yang menarik mengenai kenangan tersebut, Zuraini menambah, sebaik sahaja dia terpandang akan Chef Ammar (ketika itu), dia terus berkata kepada kawannya, "Aku rasa nak kawin la..."

Zuraina berkata, dia sendiri tidak tahu mengapa ungkapan tersebut terkeluar dari mulutnya, malah ia berlaku secara spontan.

Selepas pertemuan tersebut, mereka saling bertukar nombor telefon dan pada malam itu jugalah, Chef Ammar telah menghubungi Zuraini dan mereka berbual selama tiga jam.

Walaupun ketika itu mereka saling berhubung dan berjumpa, bagi Zuraini, dia tidak pernah terfikir bahawa perhubungan tersebut akan berlanjutan kerana tidak pernah terfikir akan berkahwin dengan seorang lelaki warga asing.

"Selama ini saya tidak pernah 'bercita-cita' untuk mencari pasangan bukan daripada kalangan rakyat tempatan kerana selama ini pun kawan-kawan saya semuanya orang Melayu.

"Jadi apabila kenal dengan Chef Ammar, saya tidak pernah terfikir bahawa dia akan melamar dan seterusnya berkahwin dengan saya.

"Tetapi apabila Chef Ammar melamar, saya tahu dia adalah jodoh yang telah ditetapkan untuk saya," tambahnya lagi.

Walaupun tidak mengambil masa yang lama untuk bercinta seperti pasangan- pasangan lain, Chef Ammar dan Zuraini bahagia melayari alam perkahwinan mereka dengan begitu baik sekali sehingga ke hari ini.

Apabila ditanya apakah rahsia kesejahteraan rumah tangga mereka, kedua-duanya sepakat menyatakan kepercayaan serta tolak ansur merupakan elemen penting yang perlu ada dalam diri masing-masing.

Begitupun, kedua-duanya tidak menafikan mereka juga seperti pasangan-pasangan lain yang tidak pernah terlepas daripada selisih faham hingga kadangkala tidak bertegur sapa antara satu sama lain.

"Dalam kehidupan berumah tangga, mana ada pasangan yang tidak pernah bergaduh, cuma kami tidaklah pernah bergaduh besar dan paling kurang pun, kami tidak bertegur sapa selama sehari sahaja.

"Kemudian kami akan berbaik semula dan inilah rencah kehidupan dalam berumah tangga.

"Malah dalam hal ini (bergaduh), saya akui sayalah yang selalu mulakan dahulu kerana saya lihat rumah tangga yang sentiasa aman damai macam ada yang tidak kena," beritahu Chef Ammar sambil ketawa.

Chef Ammar turut mendedahkan 'rahsianya' iaitu walau seteruk mana mereka bergaduh, setiap malam sebelum tidur dia akan memastikan ungkapan 'I Love You' diluahkan pada isterinya dan telah diamalkan sejak hari pertama mereka berkahwin lagi.

Turut menyifatkan suaminya seorang yang begitu romantik dan penyayang, Zuraini memberitahu hadiah pertama pemberian Chef Ammar kepadanya adalah gincu.

Zuraini turut menyatakan bahawa suaminya gemar memberinya bunga tetapi sejak kebelakangan ini amalan tersebut telah dihentikan apabila melihat pemberiannya seolah-olah tidak dihargai.

"Bukan saya tidak menghargai pemberiannya (bunga) tetapi pada saya, dia sudah menjadi milik saya, jadi saya tidak memerlukan benda-benda lain.

"Lagipun bunga akan kecut dan akhirnya saya akan membuangnya juga. Mungkin bila melihat setiap kali bunga yang dibawa balik hanya akan diletak begitu sahaja, jadi Chef Ammar tidak lagi membeli bunga untuk saya melainkan untuk meraikan hari-hari penting kami," ujarnya menutup bicara.

Saya dan keluarga dibuang mentua

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

TEMPAT seorang isteri tentunya di sisi suami, ertinya mesti sanggup bersusah senang dengan suami.

Ada pasangan suami isteri yang bahagia dengan penderitaan yang ditanggung, ada yang patah di tengah jalan, kesemuanya bergantung pada keadaan dan kesetiaan pasangan masing-masing.

Bagaimana pula dengan isteri yang sanggup meninggalkan ibu bapa kerana taat setianya kepada suami?

Nak tahu lebih lanjut, kita ikuti kisah yang dikirimkan oleh Amin (bukan nama sebenar) kepada saya untuk dikongsi dengan pembaca.

"Saya berusia awal 30-an, bekerja sebagai penjawat awam. Saya berkahwin dengan seorang guru, Aisyah berusia lewat 20-an, sejak lima tahun lalu dan kami dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia empat tahun.

"Hubungan yang dibina atas dasar cinta ini pada mulanya mendapat restu keluarga mentua tetapi kemudian bertukar menjadi benci setelah setahun lebih saya menjadi menantu mereka.

"Semuanya kerana saya tidak dapat memberi kemewahan kepada mereka anak-beranak termasuk membawa mereka bercuti setiap tahun. Faham-faham sahajalah gaji sebagai penjawat awam berapa sangat yang dapat, tolak itu tolak ini, cukup untuk belanja kami tiga beranak.

"Sayangnya mentua saya mahukan lebih daripada itu. Mujur saya tidak tinggal bersama mereka, jika tidak bertambah parahlah hidup saya. Saya mula nampak sikap mentua yang mata duitan dan tamak harta semasa isteri melahirkan anak pertama kami.

"Mentua saya mahu buat majlis cukur jambul secara besar-besaran. Nak jemput kawan-kawan dan jiran tetangga. Saya kata buat ala kadar sudahlah, jemput saudara mara terdekat.

"Dia mula naik angin kerana saya melawan cakapnya. Sejak itu, hubungan saya dengan mereka menjadi dingin. Bersabit banyak perkara lain, akhirnya terus retak.

"Kemuncaknya tiba apabila saya enggan memberi izin Aisyah membuat pinjaman untuk mereka baiki rumah. Masalahnya kami berdua gaji cukup-cukup makan, tambahan pula masih baru dalam rumah tangga.

"Banyak yang perlu kami berjimat. Masa depan kami dan pendidikan anak. Kami juga bercadang untuk membeli rumah yang selesa untuk kami sekeluarga, kalau isteri sudah buat pinjaman, macam mana kami nak buat pinjaman perumahan nanti.

"Tapi mereka tak faham. Akhirnya saya dituduh sebagai menantu yang kurang ajar dan tidak menghormati mereka. Di peringkat awal, Aisyah juga termakan dengan hasutan ibu bapanya.

"Dia kemudian meminta izin untuk keluar rumah dan tinggal bersama ibu bapanya, anak kami dibawa bersama. Lama juga saya terpisah dengan Aisyah dan anak kami. Saya tidak menghalang dia berbuat demikian dengan harapan keadaan akan kembali jernih.

"Saya tidak dibenarkan ke rumah mentua. Berjumpa Aisyah dan anak kami, cuma di luar.

Lama juga saya sabar. Enam bulan kemudian apabila keadaan tidak berubah, saya minta tukar ke utara tanah air.

"Tindakan saya menyebabkan kemarahan mentua bertambah. Mereka melarang Aisyah mengikut saya. Setahun lebih saya berulang alik ke utara dan Kuala Lumpur untuk bekerja tanpa isteri dan anak.

"Sepanjang tempoh itu, macam-macam hal berlaku. Isteri tidak mendengar cakap saya, tidak patuh kepada apa yang saya cakap. Akhirnya saya tidak ada pilihan, saya fail nusyuz kepada Aisyah kerana tidak taat kepada saya.

"Keadaan ini menyebabkan mentua saya bertambah berang. Akhirnya Aisyah dipaksa menuntut cerai. Tapi dia enggan berbuat demikian kerana sayangkan saya dan mula terfikir akan muslihat ibu bapanya.

"Akhirnya berkat doa dan pertolongan saudara mara yang memahami masalah saya, Aisyah dan anak saya dapat dibawa keluar dari rumah mentua.

"Aisyah menyesal dengan perbuatannya dan meminta maaf. Dia mahu mengikut saya. Saya mohon pertukaran Aisyah ke tempat kerja saya yang baru. Masalah yang saya maklumkan kepada pihak berkaitan mempercepatkan pertukaran Aisyah untuk bersama saya.

"Alhamdulillah, setelah itu saya merasa aman dan bahagia. Tapi hubungan saya dan mentua terus renggang sampai ke hari ini. Aisyah juga tidak dapat berjumpa ibu bapanya kerana mereka tidak mahu berjumpa dia sebelum dia berpisah dengan saya.

"Saya sudah mendapatkan nasihat daripada pejabat agama dan mereka minta saya bertahan dan berdoa agar masalah ini dapat diselesaikan.

"Sehingga kini, saya tidak pernah putus berdoa agar keajaiban akan berlaku dalam hubungan saya dengan mentua. Saya inginkan kebahagiaan bersama anak dan isteri saya.

"Saya sangat berharap mentua saya akan berubah dan menerima saya sebagai menantu mereka dengan seadanya. Saya tidak nampak kenapa dia amat benci kepada saya sedangkan menantu yang lain bukan hebat mana pun.

"Kepada isteri, saya hanya dapat meminta dia bersabar dan berdoa agar satu hari nanti ibu bapanya akan menerima kami semula. Walaupun ibu bapa mentua saya tidak mahu berjumpa kami anak-beranak tetapi ipar-duai saya datang ke rumah kami bila-bila masa.

"Hubungan saya dengan ipar-duai sangat baik dan mereka juga meminta saya supaya bersabar dengan dugaan yang dihadapi. Mereka juga hairan kenapa mentua saya sangat marah kepada saya.

"Saya berharap kemelut ini akan berakhir secepat mungkin. Saya minta maaf jika saya ada buat silap kepada mentua saya tetapi seingat saya, tidak ada apa yang saya lakukan sehingga mereka buat saya sampai begitu sekali.

"Kepada Allah saya berharap, dalam masa terdekat ini, masalah saya akan selesai kerana saya juga ingin hidup bahagia dengan mentua seperti orang lain, mudah-mudahan Allah makbulkan permintaan saya," pinta Amin tenang.

Hubungan dingin mentua dan menantu menjadi lumrah dalam kehidupan. Kepada Amin, saya nasihatkan supaya bersabar dan berdoa selalu. Hati orang tua, ada kalanya tersinggung dan terasa hati walaupun perkara kecil.

Saya pasti segala-galanya akan kembali seperti biasa dalam masa terdekat. Pesan saya, pandai-pandailah mengambil hati mereka, bertanya khabar selalu dan bantu mereka mana perlu.

"Jangan putuskan hubungan mentua dengan anak mereka, isteri anda. Sebaliknya pastikan isteri anda sentiasa berhubung dengan ibu bapanya walaupun tidak diterima.

"Saya juga berharap ada orang tengah yang rapat dengan mentua yang boleh menjadi pengantara untuk menyelesaikan masalah ini.

Jadikan anak anda sebagai umpan meraih simpati dan maaf daripada mereka. Biasanya orang tua akan cair dengan cucu.

Semoga segala hajat Amin akan terlaksana satu hari nanti. Jangan putus berdoa dan mohon Allah buka pintu hati mentua untuk menerima anda sekeluarga semula.

Menutup kata, sepatah kata buat renungan. Orang yang paling bahagia adalah mereka yang bersabar apabila berada dalam kesulitan dan bersyukur setelah terlepas daripadanya.

Salam.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Langkah bijak, utamakan rakyat

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Pengurangan kadar cukai taksiran yang diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam dilihat sebagai satu langkah tepat dan bijak dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan kadar baharu nanti.

Pengerusi Majlis Gabungan Badan Pengurusan Bersama dan Perbadanan Pengurusan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Yusri Ahmad berkata, rakyat tidak menentang kenaikan kadar cukai namun membantah kadar yang melebihi daripada kemampuan.

"Rakyat gembira apabila kerajaan mendengar rintihan yang disuarakan melalui surat bantahan yang dihantar kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seterusnya mengurangkan kadar cukai.

"Kadar cukai yang dikurangkan juga adalah amat berpatutan, antaranya pemilik hartanah komersial hanya perlu membayar sepuluh peratus daripada nilai sewaan hartanah, berbanding 12 peratus sekarang dan rumah pangsa kos rendah pula hanya perlu membayar dua peratus berbanding enam peratus ketika ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tengku Adnan semalam yang mengumumkan kadar cukai taksiran yang dikenakan kepada lebih 500,000 pemegang hartanah di ibu negara sejak 21 tahun lalu akan dikurangkan.

Mengulas lanjut, Yusri berkata, bagaimana pun masih terdapat kekeliruan mengenai kategori perumahan yang sama namun dikenakan kadar cukai yang berbeza.

"Contohnya di Flat Sri Langkawi 2 dengan Gombak Fasa 2 di mana masing-masing kadar cukai yang dikenakan adalah berbeza. DBKL perlu kaji dan selaraskan dahulu kadar ini sebelum melaksanakan cukai baharu tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, biarpun langkah kerajaan mengurangkan kadar cukai adalah bagus namun jika ditangguhkan hingga ke 2015 adalah lebih baik.

"Ini kerana rakyat telah pun tertekan dengan pelbagai kenaikan yang berlaku secara serentak, oleh itu penangguhan pelaksanaan kadar cukai yang baharu mampu memberi 'nafas' kepada mereka.

"Saya minta kerajaan merancang terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu kenaikan agar tidak memberi gambaran buruk kepada kerajaan nanti," katanya.

Tambahnya, dengan kenaikan cukai, harga barang, dan sebagainya dikhuatiri akan menyebabkan sesetengah golongan mengambil kesempatan di atas kenaikan tersebut.

"Contohnya peniaga yang sesuka hati menaikkan harga barang, kerajaan perlu pantau perkara ini terlebih dahulu dan pastikan ia tidak berleluasa," katanya.

DBKL sasar 15j pelancong kunjungi ibu kota

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

Ahmad Phesal Taib (tiga dari kanan) bersama barisan artis dan penari kebudayaan DBKL menunjukkan poster Sambutan Ambang Tahun Baru KL 2014 dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. - utusan/Ghazali Basri

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan kedatangan 15 juta pelancong ke ibu kota tahun depan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, dengan kepelbagaian produk pelancongan dan perkhidmatan yang akan diperkenalkan pada suku tahun pertama 2014, pihaknya yakin sasaran tersebut dapat dicapai.

"Antara produk pelancongan yang bakal diperkenalkan bagi menarik kedatangan pelancong adalah Heli City Tour di Tasik Titiwangsa di mana orang ramai boleh menaiki helikopter untuk melihat keindahan Kuala Lumpur.

"Selain itu turut diperkenalkan GT City Race yang diharap mampu meningkatkan bilangan pelancong asing dan tempatan untuk datang ke sini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini mengenai Sambutan Ambang Tahun Baru KL 2014.

Menurutnya, pada sambutan tersebut, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan pihaknya dengan kerjasama Tourism Malaysia.

Jelas Ahmad Phesal, sambutan tersebut akan diadakan di dua lokasi menarik iaitu Dataran Merdeka dan KLCC yang akan bermula pada pukul 9 malam hingga 1 pagi.

"Di Dataran Merdeka, orang ramai akan dihiburkan dengan persembahan menarik oleh orkestra DBKL dan persembahan artis-artis terkenal antaranya Amy Search, Zainal Abidin, Jay Jay dan Najwa Latif.

"Bukan itu sahaja, terdapat bazar makanan yang menempatkan 50 penjaja yang menjual pelbagai juadah yang boleh dinikmati bermula pukul 3 petang hingga larut malam," katanya.

Ahmad Phesal berkata, ambang tahun baru juga akan disambut dengan pertunjukan bunga api.

"Di KLCC, acara sambutan akan diadakan di Taman KLCC yang akan mempersembahkan air pancut berirama selama tiga jam. Turut ditampilkan artis-artis terkenal tanah air.

"Malah acara juga akan diserikan dengan persembahan kebudayaan yang akan mempersembahkan Kuala Lumpur ke serata dunia bersempena dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2014," ujarnya.

Terowong baharu ke LDP mula beroperasi hari ini

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

PETALING JAYA 20 Dis. - Pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan penduduk di kawasan sekitar Kampung Cempaka di Jalan SS25/23 bakal menikmati laluan yang lebih selesa dengan pembukaan terowong baharu dari Jalan SS7/26 ke arah Sunway berkuat kuasa tengah malam ini.

Pengurus Kanan Projek, Jelas Puri Sdn. Bhd., Kuek Yong Huei berkata, pembukaan terowong bernilai RM30 juta itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak, terutama berhampiran persimpangan Kampung Chempaka.

Selain itu, katanya, kerja-kerja naik taraf jalan dua lorong di susur hadapan Giant Hypermarket bernilai RM6 juta juga telah disiapkan.

"Pembukaan terowong baharu itu juga dapat memberi banyak manfaat serta kemudahan kepada pelbagai sektor dengan jajaran sistem aliran trafik yang lebih kemas dan tersusun untuk merancakkan lagi pertumbuhan fizikal dan ekonomi di kawasan sekitarnya," katanya dalam sidang akhbar mengenai pembukaan terowong itu, di sini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Kanan, Litrak, Francisco Anthony.

Yong Huei memberitahu, sehubungan itu juga Litrak Sdn. Bhd. (Litrak) selaku syarikat konsesi lebuh raya itu akan melaksanakan skim penyuraian trafik baharu di laluan utama dan jalan susur antara persimpangan bertingkat Kelana Jaya dan Simpang Kampung Cempaka di Jalan SS25/23 selama tiga bulan berkuat kuasa esok.

Katanya, selain itu semua kenderaan menuju ke Kampung Cempaka di Jalan SS25/23, Kelana Jaya disaran melalui jalan susur sebelum persimpangan Kelana Jaya.

"Penunggang motosikal yang terlepas susur jalan boleh membuat pusingan U di persimpangan bertingkat Taman Megah atau persimpangan bertingkat Kelana Jaya ke arah Kampung Cempaka.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi LDP Helpline Centre di talian 03-7494 7333 atau melayari laman sesawang rasmi Litrak, www.litrak.com.my.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved