Jumaat, 20 Disember 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


SPAD cadang bas awam dipasang GPS elak pandu laju

Posted: 20 Dec 2013 02:07 AM PST

KUANTAN 20 Dis. - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggalakkan semua bas awam dilengkapkan dengan Sistem Pengesanan Global (GPS) bagi mengelakkan kenderaan itu dipandu laju.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata setakat ini hanya beberapa syarikat bas seperti Rapid Bus Sdn Bhd telah berbuat demikian bagi memantau kelajuan pemandu mereka di jalan raya.

"Kita memerlukan kerjasama dan kesanggupan semua syarikat bas dalam memasang GPS di dalam bas mereka.

"Sistem GPS ini akan dihubungkan kepada pusat kawalan supaya tindakan terhadap pemandu yang melanggar undang-undang lalu lintas boleh dipantau dan tindakan susulan boleh diambil," katanya kepada pemberita selepas melawat Terminal Sentral Kuantan di sini hari ini.

Syed Hamid berkata sebagai contoh, negara China menggunakan satu sistem pemantauan terhadap pemandu pengangkutan awam mereka bagi memastikan pemandu tidak memandu melebihi kelajuan yang ditetapkan.

Katanya sekiranya seorang pemandu keretapi didapati memandu melebihi had laju, pusat kawalan akan dimaklumkan dan langkah segera akan diambil bagi mengurangkan kelajuan keretapi tersebut.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pengusaha syarikat bas awam untuk membincangkan cadangan pemasangan GPS dan ia mendapat maklum balas positif.

Sementara itu, Syed Hamid berkata SPAD akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi menetapkan tambang minimum bas sekolah.

Katanya kajian terperinci terhadap keputusan membabitkan kenaikan tambang bas sekolah juga perlu dilakukan kerana dibimbangi boleh membebankan ibu bapa.

"Kita akan kemukakan cadangan kepada kerajaan untuk harga lantai atau kadar minimum untuk berlaku adil kepada semua pihak.

"Pada masa sama, ibu bapa dan pemilik bas sekolah juga perlu berbincang untuk mendapatkan persetujuan tambang yang perlu dibayar, namun tidaklah di bawah harga lantai yang ditetapkan SPAD nanti," katanya.

Syed Hamid berkata persetujuan kadar tambang bas sekolah antara ibu bapa dan pengusaha adalah penting dalam usaha membendung kegiatan kereta sapu atau bas sekolah haram yang boleh membahayakan nyawa pelajar kerana tidak mengikut spesifikasi keselamatan ditetapkan SPAD. - BERNAMA

Kerajaan cari jalan kurangkan kesan kenaikan elektrik, tol - PM

Posted: 19 Dec 2013 11:49 PM PST

TEMERLOH 20 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kenaikan tarif elektrik dan tol tidak dapat dielakkan demi memelihara kestabilan ekonomi, tetapi kerajaan akan mencari jalan untuk melindungi dan mengurangkan kesannya kepada rakyat.

"Jangan fikir kerajaan tidak prihatin kepada rakyat walaupun sekarang banyak bicara soal kenaikan tol, elektrik dan sebagainya, sebenarnya perkara-perkara ini amat sukar untuk tidak dilaksanakan.

"Implikasi kalau tak dilaksanakan, boleh menjejaskan ekonomi negara, rakyat akan tanggung kesusahan yang lebih (lagi) sebenarnya," kata Perdana Menteri semasa berucap pada majlis penyerahan bantuan mangsa banjir peringkat nasional dan penghargaan kepada para sukarelawan di Masjid Abu Bakar, Temerloh, di sini hari ini.

Beliau memberi contoh kenaikan tol, dan menjelaskan bahawa satu mekanisme akan dibuat bagi mengurangkan bebanan terhadap mereka yang terbabit.

"Kalau tol naik, mungkin ada kadar waktu puncak, atau pas bermusim, (dan) yang guna tiap-tiap hari, mungkin kita beri kadar lebih rendah dan murah, (ini) semua kita (kerajaan) sedang tengokkan (fikirkan)," kata Najib.

Perdana Menteri berkata lebuh raya di negara ini yang berstatus negara maju memerlukan pembiayaan tertentu, dan tol perlu dinaikkan secara berperingkat dengan mengambil kira kesannya kepada rakyat.

Beliau juga menegaskan pada hakikatnya, kerajaan masih menyediakan subsidi berjumlah RM42 bilion untuk rakyat, jumlah peruntukan yang hampir bersamaan dengan peruntukan pembangunan berjumlah RM49 bilion. - BERNAMA

Pos Malaysia lancar setem koleksi kucing liar terancam

Posted: 19 Dec 2013 11:30 PM PST

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) hari ini melancarkan setem koleksi khas Kucing Liar Terancam di Malaysia sebagai penutup kepada keluaran setem koleksi-koleksi khas bagi tahun ini.

Ketua Setem dan Filateli Pos Malaysia, Yasmin Ramli berkata, pelancaran setem koleksi khas ini adalah bertujuan untuk memupuk kesedaran kepada orang ramai mengenai spesies kucing liar yang sedang mengalami kepupusan ketika ini.

"Kita bekerjasama dengan Tabung Hidupan Liar (WWF) Malaysia untuk mendapatkan penerangan lengkap dan gambar-gambar mengenai kucing-kucing liar yang semakin terancam ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar pelancaran setem koleksi khas dan sampul surat hari pertama di Biro Filateli Pos Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yasmin turut berkata, sebanyak empat reka bentuk dipaparkan pada setem koleksi khas ini termasuk harimau malaya, harimau kumbang, harimau dahan dan harimau dahan sunda.

"Reka bentuk harimau malaya merupakan koleksi lembaran mini yang dijual dengan denominasi RM3 manakala koleksi lain dengan saiz 50mm X 30mm dijual dengan harga sama ada 60sen dan 80sen.

"Kita juga turut mencetak 40,000 keping sampul surat hari pertama sempena pelancaran setem koleksi khas yang akan dijual Isnin ini sahaja di semua pejabat pos seluruh Malaysia," katanya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved