Jumaat, 20 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Barang keperluan mencukupi

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

A. ARUWAN Abdul Aziz (kiri) menyampaikan Anugerah Koperasi Terbaik peringkat negeri kepada Pengerusi Koperasi Peneroka Felda Lepar Utara 3 Jerantut Berhad, Ali Mohamad Desa di Karnival Peniaga dan Penjaja Peringkat Negeri Pahang di Felda Sungai Koyan Tiga di Kuala Lipis, kelmarin.

KUALA LIPIS 20 Dis. - Sebanyak 164 pemborong dan pembekal yang terdapat di negeri ini memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi dalam menghadapi gelombang kedua banjir.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang, A. Aruwan Abdul Aziz berkata, pemborong tersebut ketika ini menyimpan stok yang mencukupi untuk bekalan kepada mangsa-mangsa banjir negeri ini.

'' Pemborong luar dan pengilang telah menghantar bekalan setiap hari kepada mereka termasuk pasar raya dan sehingga kini tiada laporan bekalan tidak mencukupi.

''Semua daerah di Kuantan, Pekan, Rompin, Bera, Maran, Jerantut dan Temerloh yang terbabit banjir mempunyai stok simpanan barang-barang yang mencukupi,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Peniaga dan Penjaja Peringkat Negeri di Felda Sungai Koyan Tiga di sini semalam.

Karnival itu disertai lebih 50 usahawan, peniaga dan penjaja di sekitar daerah ini.

Sementara itu, A. Aruwan memberi amaran kepada para peniaga supaya tidak menjual barangan luput tarikh atau ditenggelami air kepada orang ramai.

Katanya, tindakan tegas akan diambil ke atas peniaga yang melakukannya di bawah akta jualan dan jika disabitkan dengan kesalahan, boleh dikenakan denda dan didakwa.

''Orang ramai atau pengguna yang mendapati peniaga berbuat demikian hendaklah melapor segera kepada PPDNKK untuk diambil tindakan tegas,'' katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, A. Aruwan memberitahu, sehingga kini tiada laporan kehabisan petrol atau diesel berlaku di kawasan terjejas banjir, malah bekalan bahan bakar tersebut mencukupi dengan bekalan diterima setiap hari oleh pengusahanya.

11 badan berkanun Pahang tandatangani Ikrar Integriti Korporat

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

KUANTAN 20 Dis. - Sebanyak 11 badan berkanun kerajaan negeri menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan tahap tadbir urus yang baik dan membanteras aktiviti rasuah.

Badan berkanun tersebut ialah Yayasan Pahang (YP), Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC), Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Amanah Saham Pahang dan Perbadanan Perpustakaan Awam.

Turut menandatangani ikrar itu ialah Lembaga Muzium Negeri Pahang, Lembaga Pembangunan Tioman, Perbadanan Stadium Darul Makmur, Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip).

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri sememangnya mengamalkan polisi terbuka dan sentiasa telus kepada mana-mana pihak seperti SPRM untuk melakukan pemantauan terhadap prosedur operasi dilaksanakan.

"Jadi dengan adanya majlis hari ini, menjadi bukti jelas bahawa kerajaan negeri tegas dalam membanteras amalan rasuah," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani CIP Badan Berkanun Kerajaan negeri Bersama SPRM di Kompleks Yayasan Pahang di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan.

Menurut Adnan, langkah menandatangani ikrar adalah sesuatu yang baik kerana perbuatan rasuah boleh dicegah melalui kesedaran.

"Kita perlu menerapkan nilai-nilai murni kepada kakitangan badan berkanun supaya tidak mengambil rasuah.

"Saya harap ikrar ini dapat dihayati sepenuhnya oleh mereka dalam meningkatkan tahap tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti," katanya.

Sementara itu, Sutinah berkata, langkah tersebut merupakan satu manifestasi sokongan organisasi berkenaan kepada usaha suruhanjaya tersebut membanteras gejala rasuah.

"CIP adalah satu komitmen dan ikrar terbuka agensi serta syarikat swasta untuk memerangi rasuah selain memperkukuhkan integriti organisasi masing-masing," katanya.

Lebih RM4j kerosakan sekolah akibat banjir

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

KUANTAN 20 Dis. - Sekolah yang ditenggelami air dan dijadikan pusat pemindahan sementara ekoran bencana banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini awal bulan lalu dianggarkan mengalami kerosakan bernilai lebih RM4 juta.

Pengarah Pelajaran negeri, Rosdi Ismail berkata, jumlah yang dianggarkan tersebut membabitkan kerosakan pada harta benda seperti kerusi dan meja serta bangunan sekolah itu sendiri.

"Hampir semua sekolah di setiap daerah yang terjejas banjir dan dijadikan pusat pemindahan mengalami kerosakan dengan daerah yang paling teruk adalah Kuantan dan kini semuanya dalam proses pembersihan.

"Kita akan pastikan semua sekolah yang terlibat akan bersih dan boleh digunakan sebelum sesi persekolahan dibuka pada Januari tahun depan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Rosdi berkata, sebanyak 31,173 buku teks melibatkan kos kira-kira RM2 juta mengalami kerosakan membabitkan pelajar atau mangsa yang rumah mereka dinaiki air.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 17,763 adalah melibatkan buku teks sekolah rendah manakala 13,410 buku teks sekolah menengah.

"Daripada kerosakan itu, daerah Kuantan mencatatkan kerosakan paling tinggi iaitu 15,530 untuk buku teks sekolah rendah dan 12,343 untuk buku teks sekolah menengah," katanya.

Menurutnya, buku teks yang mengalami kerosakan berkenaan akan digantikan dengan yang baharu oleh Kementerian Pendidikan selewat-lewatnya Januari depan.

"Pihak kementerian (Kementerian Pendidikan) telah pun berjanji untuk menggantikan buku teks yang rosak akibat banjir kali ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved