Jumaat, 20 Disember 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Langkah bijak, utamakan rakyat

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Pengurangan kadar cukai taksiran yang diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam dilihat sebagai satu langkah tepat dan bijak dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan kadar baharu nanti.

Pengerusi Majlis Gabungan Badan Pengurusan Bersama dan Perbadanan Pengurusan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Yusri Ahmad berkata, rakyat tidak menentang kenaikan kadar cukai namun membantah kadar yang melebihi daripada kemampuan.

"Rakyat gembira apabila kerajaan mendengar rintihan yang disuarakan melalui surat bantahan yang dihantar kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seterusnya mengurangkan kadar cukai.

"Kadar cukai yang dikurangkan juga adalah amat berpatutan, antaranya pemilik hartanah komersial hanya perlu membayar sepuluh peratus daripada nilai sewaan hartanah, berbanding 12 peratus sekarang dan rumah pangsa kos rendah pula hanya perlu membayar dua peratus berbanding enam peratus ketika ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tengku Adnan semalam yang mengumumkan kadar cukai taksiran yang dikenakan kepada lebih 500,000 pemegang hartanah di ibu negara sejak 21 tahun lalu akan dikurangkan.

Mengulas lanjut, Yusri berkata, bagaimana pun masih terdapat kekeliruan mengenai kategori perumahan yang sama namun dikenakan kadar cukai yang berbeza.

"Contohnya di Flat Sri Langkawi 2 dengan Gombak Fasa 2 di mana masing-masing kadar cukai yang dikenakan adalah berbeza. DBKL perlu kaji dan selaraskan dahulu kadar ini sebelum melaksanakan cukai baharu tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, biarpun langkah kerajaan mengurangkan kadar cukai adalah bagus namun jika ditangguhkan hingga ke 2015 adalah lebih baik.

"Ini kerana rakyat telah pun tertekan dengan pelbagai kenaikan yang berlaku secara serentak, oleh itu penangguhan pelaksanaan kadar cukai yang baharu mampu memberi 'nafas' kepada mereka.

"Saya minta kerajaan merancang terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu kenaikan agar tidak memberi gambaran buruk kepada kerajaan nanti," katanya.

Tambahnya, dengan kenaikan cukai, harga barang, dan sebagainya dikhuatiri akan menyebabkan sesetengah golongan mengambil kesempatan di atas kenaikan tersebut.

"Contohnya peniaga yang sesuka hati menaikkan harga barang, kerajaan perlu pantau perkara ini terlebih dahulu dan pastikan ia tidak berleluasa," katanya.

DBKL sasar 15j pelancong kunjungi ibu kota

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

Ahmad Phesal Taib (tiga dari kanan) bersama barisan artis dan penari kebudayaan DBKL menunjukkan poster Sambutan Ambang Tahun Baru KL 2014 dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. - utusan/Ghazali Basri

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan kedatangan 15 juta pelancong ke ibu kota tahun depan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, dengan kepelbagaian produk pelancongan dan perkhidmatan yang akan diperkenalkan pada suku tahun pertama 2014, pihaknya yakin sasaran tersebut dapat dicapai.

"Antara produk pelancongan yang bakal diperkenalkan bagi menarik kedatangan pelancong adalah Heli City Tour di Tasik Titiwangsa di mana orang ramai boleh menaiki helikopter untuk melihat keindahan Kuala Lumpur.

"Selain itu turut diperkenalkan GT City Race yang diharap mampu meningkatkan bilangan pelancong asing dan tempatan untuk datang ke sini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini mengenai Sambutan Ambang Tahun Baru KL 2014.

Menurutnya, pada sambutan tersebut, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan pihaknya dengan kerjasama Tourism Malaysia.

Jelas Ahmad Phesal, sambutan tersebut akan diadakan di dua lokasi menarik iaitu Dataran Merdeka dan KLCC yang akan bermula pada pukul 9 malam hingga 1 pagi.

"Di Dataran Merdeka, orang ramai akan dihiburkan dengan persembahan menarik oleh orkestra DBKL dan persembahan artis-artis terkenal antaranya Amy Search, Zainal Abidin, Jay Jay dan Najwa Latif.

"Bukan itu sahaja, terdapat bazar makanan yang menempatkan 50 penjaja yang menjual pelbagai juadah yang boleh dinikmati bermula pukul 3 petang hingga larut malam," katanya.

Ahmad Phesal berkata, ambang tahun baru juga akan disambut dengan pertunjukan bunga api.

"Di KLCC, acara sambutan akan diadakan di Taman KLCC yang akan mempersembahkan air pancut berirama selama tiga jam. Turut ditampilkan artis-artis terkenal tanah air.

"Malah acara juga akan diserikan dengan persembahan kebudayaan yang akan mempersembahkan Kuala Lumpur ke serata dunia bersempena dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2014," ujarnya.

Terowong baharu ke LDP mula beroperasi hari ini

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

PETALING JAYA 20 Dis. - Pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan penduduk di kawasan sekitar Kampung Cempaka di Jalan SS25/23 bakal menikmati laluan yang lebih selesa dengan pembukaan terowong baharu dari Jalan SS7/26 ke arah Sunway berkuat kuasa tengah malam ini.

Pengurus Kanan Projek, Jelas Puri Sdn. Bhd., Kuek Yong Huei berkata, pembukaan terowong bernilai RM30 juta itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak, terutama berhampiran persimpangan Kampung Chempaka.

Selain itu, katanya, kerja-kerja naik taraf jalan dua lorong di susur hadapan Giant Hypermarket bernilai RM6 juta juga telah disiapkan.

"Pembukaan terowong baharu itu juga dapat memberi banyak manfaat serta kemudahan kepada pelbagai sektor dengan jajaran sistem aliran trafik yang lebih kemas dan tersusun untuk merancakkan lagi pertumbuhan fizikal dan ekonomi di kawasan sekitarnya," katanya dalam sidang akhbar mengenai pembukaan terowong itu, di sini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Kanan, Litrak, Francisco Anthony.

Yong Huei memberitahu, sehubungan itu juga Litrak Sdn. Bhd. (Litrak) selaku syarikat konsesi lebuh raya itu akan melaksanakan skim penyuraian trafik baharu di laluan utama dan jalan susur antara persimpangan bertingkat Kelana Jaya dan Simpang Kampung Cempaka di Jalan SS25/23 selama tiga bulan berkuat kuasa esok.

Katanya, selain itu semua kenderaan menuju ke Kampung Cempaka di Jalan SS25/23, Kelana Jaya disaran melalui jalan susur sebelum persimpangan Kelana Jaya.

"Penunggang motosikal yang terlepas susur jalan boleh membuat pusingan U di persimpangan bertingkat Taman Megah atau persimpangan bertingkat Kelana Jaya ke arah Kampung Cempaka.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi LDP Helpline Centre di talian 03-7494 7333 atau melayari laman sesawang rasmi Litrak, www.litrak.com.my.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved