Jumaat, 20 Disember 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Aset bumiputera ditambah

Posted: 19 Dec 2013 11:25 AM PST

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 19 Dis. - Kerajaan negeri berusaha membantu meningkatkan ekonomi bumiputera dengan memberi fokus kepada pemerkasaan dan memperkukuhkan pemilikan aset mereka menerusi penawaran rumah mampu milik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sejajar dengan agenda memperkasakan ekonomi bumiputera yang diumumkan oleh Perdana Menteri, projek perumahan mampu milik dilihat dapat membantu mereka memiliki rumah sendiri selain menjamin masa depan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah berusaha menukar status rumah kos rendah kepada rumah mampu milik dengan harga tidak melebihi RM110,000 bagi Projek Perumahan Mampu Milik Mukim Semabok bagi membolehkan rakyat memiliki kediaman yang lebih selesa.

"Sebanyak 476 unit rumah akan dibina menerusi projek pangsapuri kos rendah di atas tanah berkeluasan 7.56 ekar di Semabok oleh Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (Pertam) dengan kos keseluruhan RM52 juta tidak termasuk tanah dan dijangka akan siap dalam tempoh dua setengah tahun.

"Ini juga merupakan pangsapuri mampu milik yang pertama di Malaysia yang mempunyai keluasan 1,000 kaki persegi dengan harga RM110,000 seunit, sementara rumah kedai pula dijual dengan harga RM200,000.

"Projek ini juga akan menempatkan empat buah pangsapuri sembilan tingkat, lapan buah rumah kedai, dewan serbaguna dan tapak surau serta pejabat pengurusan yang akan dibina di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Kerja-Kerja Pecah Tanah Perumahan Mampu Milik, Mukim Semabok, di Taman Pertam Jaya, di sini semalam.

Idris berkata, Pertam juga memberi subsidi RM18,840 setiap unit berbanding harga semasa iaitu RM160,000 dengan kos binaan RM128,480 seunit.

Katanya, pangsapuri itu juga merupakan yang pertama di Melaka yang menyediakan tabung sebanyak RM100,000 bagi perbadanan pengurusan untuk penyelenggaraan bangunan selepas hak milik strata dikeluarkan.

"Projek ini juga menamatkan isu pembinaan pangsapuri kos rendah yang sudah berlarutan hampir 12 tahun apabila Pertam berjaya mendapatkan semula tanah ini dari pemaju asal dengan mendapatkan pemilikan tanah ini melalui proses undang-undang," katanya.

RiiD 2013 medium lahir penyelidik berdaya saing

Posted: 19 Dec 2013 11:25 AM PST

ALOR GAJAH 19 Dis. - Pertandingan Penyelidikan, Ciptaan, Inovasi dan Reka Bentuk (RiiD) 2013 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka dilihat sebagai medium terbaik dalam melahirkan ramai golongan penyelidik yang berdaya saing.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, melalui program seumpama itu, orang ramai diberi peluang menonjolkan bakat masing-masing.

Menurutnya, lebih 350 produk inovasi yang dipamerkan pada RiiD 2013 memperlihatkan kematangan peserta dalam menghasilkan produk yang bukan sahaja menarik tetapi mempunyai potensi untuk dikomersialkan.

"Tinjauan yang saya lakukan mendapati produk yang dihasilkan oleh peserta dari kalangan pelajar sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi di RiiD 2013 ini mempunyai potensi yang besar untuk dikomersialkan.

"Saya berharap melalui program seumpama ini bukan sahaja dapat lahirkan penyelidik yang bagus tetapi dapat melahirkan usahawan-tekno di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Pameran Penyelidikan dan Festival Inovasi RiiD 2013 di Dewan Taming Sari, UiTM Melaka di sini kelmarin.

Turut hadir Rektor UiTM Melaka, Prof. Madya Dr. Adnan Mohd. Hashim dan Timbalan Pengarah Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi Malaysia (AKEPT), Prof. Madya Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Idris.

Sementara itu, Adnan berkata, RiiD 2013 merupakan program kali kelima yang dianjurkan UiTM Melaka sejak 2009.

Menurutnya, selain membudayakan inovasi dalam kalangan rakyat negara ini, RiiD menyediakan saluran ideal kepada pelajar, pensyarah, kakitangan tadbir dan masyarakat awam mempamerkan produk atau prototaip yang mempunyai nilai komersial.

"Penganjuran RiiD ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menerapkan budaya inovasi dalam kalangan rakyat selain menyediakan platform kepada peserta untuk mengkomersialkan produk dihasilkan," katanya.

PMR terbaik dalam 10 tahun

Posted: 19 Dec 2013 11:25 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 19 Dis. - Melaka mencatatkan keputusan cemerlang bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini apabila 1,011 atau 7.4 peratus daripada 13,661 calon mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan negeri, Kasim Mohamad berkata, keputusan itu meningkat sebanyak 0.56 peratus berbanding hanya 982 daripada 14,354 calon yang memperoleh semua A tahun lalu.

"Keputusan cemerlang ini sekali gus melonjakkan pencapaian gred purata negeri (GPN) kepada 2.60 tahun ini yang merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh 10 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pengumuman keputusan PMR 2013 bagi negeri Melaka di Rumah Media di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin dan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Mutalib Osman.

Menurut Kasim, pencapaian GPN 2.60 tahun ini juga mengatasi petunjuk prestasi utama (KPI) Jabatan Pelajaran sebanyak 2.62 malah melepasi sasaran gred purata nasional iaitu 2.67.

Katanya, peratusan calon memperoleh pencapaian minimum D dalam mata pelajaran juga terbaik sejak 2004 dengan hanya 9,882 calon berbanding 10,158 calon tahun lalu.

"Secara keseluruhannya, 10 daripada 14 mata pelajaran yang ditawarkan dalam PMR kali ini menunjukkan peningkatan antara 0.02 hingga 0.41 berbanding tahun sebelumnya dengan Bahasa Tamil mencatat peningkatan tertinggi dari 3.03 kepada 2.62," ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, sebanyak 18 sekolah berjaya mencapai peratus calon cemerlang semua A melebihi 10 peratus manakala 17 sekolah mencapai gred purata sekolah (GPS) di bawah 2.0 mata.

"Jumlah sekolah yang mencatat kelulusan 100 peratus dalam semua mata pelajaran juga meningkat daripada tiga kepada enam sekolah pada tahun ini termasuk Sekolah Menengah (SM) Sains Muzaffar Shah, SM Kebangsaan (SMK) Agama Sharifah Rodziah, SMK Ghafar Baba, SMK Tinggi Perempuan, SMK Dang Anum dan SM Agama Assaiyidah Khadijah," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved