Khamis, 8 Ogos 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Ishtiaq Ahmad bekas atlet olahraga Olimpik meninggal dunia

Posted: 08 Aug 2013 10:21 PM PDT

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Bekas atlet negara Ishtiaq Ahmad Mubarak, 65, meninggal dunia di rumahnya di Hulu Kelang di sini hari ini.

Isterinya Shamimi Selvarani Abdullah ketika dihubungi Bernama berkata Allahyarham meninggal dunia pada kira-kira pukul 9.55 pagi akibat sakit tua.

Allahyarham meninggalkan dua anak perempuan.

Ishtiaq Ahmad antara lain mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat di Sukan Asia, Sukan SEA dan serta mewakili negara pada Sukan Olimpik.

- BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


7 rumah setinggan terbakar di Sentul Pasar

Posted: 08 Aug 2013 08:45 PM PDT

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Sekurang-kurangnya tujuh rumah setinggan di Kampung Chubadak, Sentul Pasar di sini musnah dalam satu kebakaran malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Zahari Mohamad berkata, kedudukan rumah yang sesak dan terletak berdekatan antara satu sama lain menyebabkan banyak rumah musnah kerana api marak dengan pantas.

"Kami masih belum boleh nyatakan jumlah sebenar rumah yang terbakar kerana kami sedang mengumpul pemilik rumah berkenaan kerana kebanyakannya bercuti raya di kampung masing-masing.

"Yang menjadi masalah utama adalah sumber air yang agak jauh, kita terpaksa menggunakan 'tanker' untuk mengangkut air ke mari," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.52 malam, dan anggota serta jentera bomba tiba 14 minit kemudian serta dapat mengawal kebakaran dalam tempoh 40 minit.

"Kami telah menghantar lima jentera iaitu Balai Bomba Sentul, Balai Bomba Hang Tuah, Balai Bomba Setiawangsa, Balai Bomba Gombak Selatan dan Balai Bomba Sri Hartamas," katanya.

Katanya, semua mangsa yang terlibat selamat dan tiada kecederaan dilapor berlaku dalam kejadian.

"Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," katanya. - BERNAMA

Bouncer pusat hiburan cedera ditembak di Pulau Pinang

Posted: 08 Aug 2013 08:42 PM PDT

GEORGE TOWN 9 Ogos - Seorang 'bouncer' di sebuah pusat hiburan di Jalan Keramat di sini, cedera di paha selepas terkena tembakan dalam kejadian awal hari ini.

Chong Peng Meng, 43, dari Flat Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim bersama rakannya ditembak seorang suspek bertopi keledar sejurus tiba di tempat letak kereta pusat hiburan itu pada pukul 12.50 pagi.

"Suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa yang sedang turun dari keretanya jenis BMW dan satu das tembakan mengenai paha sebelah kiri mangsa," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi Bernama di sini.

Kong Meng berkata, mangsa yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dilapor dalam keadaan stabil manakala rakannya tidak cedera.

Siasatan awal polis di tempat kejadian menemukan tujuh kelongsong peluru jenis 9mm dan mendapati satu das tembakan mengenai kereta jenis Perodua Myvi milik orang awam, katanya.

Katanya, polis percaya kejadian ada kaitan dengan pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Tan, 43, berkata, suspek yang berkulit cerah telah mengacukan pistol ke arah tempat duduk pemandu ketika mangsa sedang keluar dari kereta itu.

"Suspek yang bertopi keledar hitam telah melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal yang tidak diketahui nombor plat dan jenisnya," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Di mana pesan, ke mana kesan Ramadan?

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

Datuk A Aziz Deraman ialah Presiden Persatuan Peradaban Melayu Malaysia-Kelantan.

Umat Islam menunaikan solat sunat tarawih pada bulan Ramadan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya baru-baru ini.

SESUDAH satu bulan berpuasa dan mendirikan Ramadan, cuba tanyakan diri kita sendiri sebagai seorang Islam, sebagai ketua keluarga, ketua kampung, pemimpin masyarakat, pemimpin gerakan sukarela dan pemimpin politik (berjawatan atau tidak berjawatan), di manakah pesan dan ke manakah kesan Ramadan al-mubarak dan al-kareem itu kepada kita?

Apakah kita berpuasa kerana hanya mentaati perintah Allah SWT seperti maksud firman-Nya "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Al-Baqarah 2: 183).

Apakah puasa atas kewajipan fardu ain ke atas setiap individu akil baligh itu, akan menyebabkan kita peroleh lapar dan dahaga sahaja? Di manakah letak duduknya takwa?

Berpuasa itu jalan mencapai matlamat darjah takwa. Orang yang bertakwa itu adalah mereka yang mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang Allah SWT termasuk perpecahan sesama sendiri.

Maka darjah takwa itu boleh dicapai antara lain apabila setiap diri itu tidak melakukan maksiat terhadap Allah dan Rasul- Nya, tidak berulang kali melakukan dosa kecil dan dosa besar, termasuk dalamnya merompak, berzina, berjudi, minum arak, rasuah, bernujum, seksualiti bebas.

Kononnya atas dasar hak asasi, maka berleluasalah pula faham pluralisme, seks bebas, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), homoseksual atau menabur fitnah dan khianat ke atas sesama Islam melalui media sosial. Ramadan sudah didik kita berbuat segala yang baik bukan dosa.

Ramadan itu bulan ujian keimanan umat, berjihad lawan nafsu, maka Aidilfitri itu ialah hari kemenangan bagi meraikan kesempurnaan ibadat puasa selama sebulan. Ramadan itu bulan perpaduan ummah, kesatuannya wujud di seluruh dunia.

Daripada sejumlah umat Islam di Jepun, Negara Matahari Terbit sehingga ke bahagian barat Amerika atau umat Islam di Asia, Eropah dan Afrika semuanya menunaikan fardu berpuasa ini. Pada bulan Ramadan, kesemua prinsip Rukun Islam tergabung melalui syahadah, solat, puasa Ramadan, zakat dan fitrah, melainkan haji dan umrah.

Malahan ibadat umrah pun dikerjakan mereka yang mampu mengunjungi Masjidil Haram dan berpuasa di sana. Apakah kesan dan pesan daripada perpaduan umat itu?

Ramadan lazimnya disyarahkan seolah- olah institusi pendidikan berupa madrasah atau universiti yang mendidik dan mengasuh setiap Muslim ke jalan takwa. Ketakwaan itu hanya boleh datang daripada orang yang beriman. Betapa ramai orang yang beriman tetapi tidak mencapai darjah takwa, yakni secara total melakukan suruhan Allah meninggalkan apa yang dilarang.

Bulan Ramadan disebut sebagai bulan keberkatan, bulan keampunan dan bulan rahmat. Ramadan bulan nuzul al-Quran, sebuah kitab suatu mukjizat saintifik yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah peradaban manusia sejak awal kejadian Adam hingga ke akhirat. Bagi orang yang beriman kedatangan Ramadan disambut gembira, penuh kesyukuran menghayati nikmat Tuhan yakni nikmat iman dan nikmat Islam.

Orang yang beriman akan menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai pedoman selaras dengan tuntutan syahadah 'Tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah'.

Seseorang Muslim selain Rukun Islam yang lima, mengimani Rukun Iman, dan perintah berpuasa wajib itu merupakan salah satu rukunnya. Ramadan itu bulan muhasabah diri, mengukuhkan Tauhid dan akidah, melakukan amal makruf nahi munkar.

Ramadan berjaya memaut kasih dan sayang umat seagama. Silaturahim dan ukhuwah sambung menyambung. Perpaduan umat sangat nyata sewaktu solat jemaah di serata masjid dan surau, ratusan ribu jemaah mengerjakan umrah, melunaskan tanggung jawab zakat dan fitrah, bersedekah, infak kebajikan, menggembirakan anak yatim, menjaga kebajikan fakir miskin dan sebagainya.

Apakah gambaran jasmaniah dan rohaniah itu tidak mampu menginsafkan kita untuk muafakat, kerjasama dan bersatu hati secara rohaniah, bahkan terus mengekalkannya sehingga ke Ramadan tahun hadapan.

Apakah solat berjemaah dan solat tarawih, tahajud, berzikir, tadarus, tadabbur, tazkirah dan majlis-majlis ilmu dan sebagainya itu akan hanya tinggal kenangan tetapi bukan titik tolak perubahan dan pembaharuan hidup?

Mari kita rasai kenikmatan dan kesyukuran serta memperkukuh tradisi keilmuan. Ramadan seharusnya menginsafkan kita agar tidak meneruskan perbuatan dan percakapan keji dipenuhi maksiat, menabur fitnah, berbohong, melakukan rasuah, umpat keji caci orang.

Kita perlu tahu membezakan amalan nilai-nilai terpuji (mahmudah) dengan nilai-nilai terkeji (mazmumah).

Ramadan membawa pesan selain beramal ibadat, umatnya tidak akan maju sekiranya perpecahan umat menjadi jurang perpaduan. Perpecahan lambat laun akan membawa keruntuhan.

Maksud firman Allah: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai…"( Ali-Imran 3:103). Atau "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasara) yang telah bercerai-berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan- keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh nabi-nabi Allah). Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar". (Ali-Imran 3:105).

Umat Islam sedang diancam dari segala penjuru tamadun manusia abad ke-21 ini. Apakah perpaduan umat tidak boleh dijadikan contoh dan ia bermula di Malaysia.

Manusia pelbagai kaum dan penganut agama selain daripada Islam di Malaysia tidak akan mengerti kesyumulan Islam, sekiranya tidak didedahkan faham ilmunya. Status Islam akan bertambah parah kalau umatnya berpecah belah.

Dengan mengambil iktibar Ramadan, umat Islam sepatutnya sudah berupaya melangkah sederap serentak mencipta kejayaan (al-falah) dan kemenangan dalam semua bidang kehidupan. Gerakkanlah langkah bersama demi kebangkitan keagungan Islam dengan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, pendidikan, kebajikan sosial, budaya keilmuan dan pelbagai lagi.

Sejak kemerdekaan, Malaysia sudah membuktikan dirinya cemerlang memajukan pentadbiran agama, pembangunan infrastrukturnya, memperkenalkan sistem Islam seperti perbankan Islam yang kejayaannya sedang dikaji Barat.

Gerakkan upaya kebangkitan bangsa- bangsa Islam di seluruh dunia abad ke-21 ini boleh dijayakan sekiranya pimpinan politik terlebih dahulu bersatu dan cuba merangka program yang khusus.

Buangkan perangai berkelahi tanpa berkesudahan, bukannya patuh dan taat kepada golongan kafirun, munafiqun dan musyrikun yang kita tahu ada di Malaysia ini, kecuali golongan yang boleh diajak bersama terdiri daripada golongan yang setia kepada negara dan patuh akan ikatan kontrak yang sudah lama dipersetujui bersama.

Pertelagahan politik dan idealogi yang tidak bertempat mengakibatkan munculnya keserongan persepsi politik atau agama dalam politik. Jadikan fajar 1 Syawal 1434 Hijrah tahun ini, fajar yang membawa sinar cahaya harapan baru kesatuan umat. Umat Islam di Malaysia seharusnya mendepani kebangkitan semula tamadun Islam. Orang bukan Islam sudah tidak gerun atau gentar lagi dengan kepemimpinan Islam.

Jadikanlah Syawal bulan langkah baru yang membawa pesan muhasabah, untuk dikukuhkan semula ikatan tali persaudaraan Islam. Gesaan ini sudah lama datangnya dari banyak pihak, kerana kesan tanpa kekukuhan kesatuan dan perpaduan umat, dibimbangi nasib Pak kadok yang hilang kampung halaman itu boleh berulang.

Salam dan Selamat menyambut Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.

'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku'

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

Gerbang Global oleh Azmi Hassan
PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

MEMANG menarik sekali tema sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-56 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini kerana sejak kebelakangan ini rakyat amat begitu resah dengan kemelut yang melanda negara akibat terhakisnya perasaan hormat menghormati antara sesama sendiri.

Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku kena pada masanya sebagai memberi peringatan dan iktibar bahawa tiada siapa yang akan mempertahankan maruah negara kecuali rakyat Malaysia sendiri. Jika diteliti tema tersebut ia membawa maksud untuk menyemai sifat perpaduan yang berpaksikan kepada ungkapan patriotik dan kesatuan negara bangsa.

Harapannya adalah tidak berlaku lagi peristiwa di mana sambutan Hari Kemerdekaan dicemari oleh kerana perbezaan ideologi politik seperti yang telah menimpa pada tahun lepas. Terdapat segelintir kelompok masyarakat yang tidak mahu turut serta merayakan sambutan kemerdekaan kerana tidak sehaluan fahaman politik dan fenomena keengganan menyambut kemerdekaan kali ke-55 tahun lepas sudah mencapai tahap merunsingkan.

Mempertikaikan logo, tema dan lagu kemerdekaan walaupun dianggap satu isu remeh dan agak lucu, tetapi hakikatnya adalah satu usaha untuk memperkecilkan dan seterusnya merosakkan sambutan kemerdekaan yang telah disusun pada ketika itu.

Berbeza pula dengan jiran Malaysia iaitu Singapura, suasana menyambut hari kemerdekaan ke-47 dengan sambutan perarakan dan diikuti dengan ucapan rapat umum pada tahun lepas, tidak timbul langsung isu parti pembangkang pulau tersebut yang cuba memboikot atau menjejaskan sambutan Hari Kemerdekaan mereka.

Mengambil pendekatan untuk tidak mahu turut serta dalam acara sambutan kemerdekaan akan hanya memberi modal politik yang cetek dalam jangka masa pendek. Tetapi apa yang lebih membimbangkan lagi adalah ia bakal memberi kesan kepada aspirasi negara Malaysia yang berdaulat dan merdeka.

Tanah Tumpahnya Darahku membawa maksud yang begitu dalam dan penuh bermakna. Sebab itu tema sambutan kali ini boleh dirangkumi kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara yang amat begitu kritikal untuk dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia.

Patriotisme rakyat Amerika Syarikat (AS) terhadap tentera dan sejarah negara mereka sememangnya sukar ditandingi oleh rakyat negara lain. Walaupun Presiden George Bush dikritik hebat kerana polisi beliau berkeras mahu mengekalkan tentera AS di Iraq pada ketika itu, tetapi rakyat beliau tetap memberi sokongan padu kepada anggota tentera melalui peruntukkan kewangan pertahanan yang lumayan.

Begitu juga dengan semangat patriotisme selepas serangan 11 September 2001 mempamerkan bagaimana rakyat AS yang berbagai-bagai keturunan dan asal usul mampu bersatu mempertahankan kedaulatan negara mereka.

Sebab itu pada tarikh 4 Julai setiap tahun, iaitu sambutan Hari Kemerdekaan AS, rakyat mereka begitu mudah menunjukkan sikap cintakan negara dan patriotisme secara spontan di mana tidak timbul elemen paksaan untuk melakukan sesuatu.

Singapura juga diandaikan mempunyai rakyat yang mempunyai semangat patriotik yang agak tinggi. Ada pihak yang membuat telahan semangat luar biasa cintakan negara ini timbul kerana pemerintah Singapura bijak mengatur strategi seolah-olah negara mereka perlu sentiasa berwaspada. Tetapi satu hakikat yang sukar ditolak ialah pada setiap sambutan Hari Kemerdekaan yang jatuh pada 9 Ogos, rakyat Singapura bersama-sama menyertainya dengan penuh ikhlas tanpa ada unsur paksaan atau berpura-pura.

Pada hari yang mulia ini ada baiknya rakyat Malaysia tidak kira anutan agama, bangsa atau fahaman ideologi politik menilai kembali tahap patriotisme mereka atau dengan lebih mudah di mana letaknya jati diri mereka.

Ketika kemuncaknya peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini, majoriti rakyat telah mempamerkan semangat patriotik dan jati diri yang agak tinggi dengan memberi sokongan padu kepada anggota polis dan tentera yang dikatakan bersabung nyawa berhadapan dengan pengganas.

Jika sebelum ini mungkin ada segelintir yang sangsi dengan kekentalan jiwa rakyat Malaysia apabila berhadapan dengan isu yang berkait rapat dengan kemerdekaan dan kedaulatan negara, sudah pasti akan membuat tafsiran bahawa jika berdepan dengan ancaman, rakyat Malaysia akan bersatu teguh di belakang pemerintah.

Tidak dapat dihindari bahawa terdapat rakyat Malaysia yang merasa begitu selesa dengan keadaan aman pada masa sekarang sehingga langsung alpa dengan patriotisme mereka. Mungkin ada yang merasakan apa perlu menunjukkan semangat patriotik pada Bulan Kemerdekaan kerana negara bukannya berada di rantau yang penuh dengan ancaman. Lagi pun, ada yang berpendapat Hari Kemerdekaan sudah menjadi perkara lazim kerana disambut pada setiap tahun.

Jangan pula kita menjadi seperti rakyat Britain yang tidak mempunyai satu kaedah untuk mempamerkan semangat patriotisme kerana negara tersebut tidak mempunyai sambutan Hari Kemerdekaan atau pun sambutan yang selari dengan kedaulatan sesebuah negara.

Bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown menyedari akan kepincangan tersebut dan berusaha dengan keras untuk mewujudkan satu hari ala Hari Kemerdekaan. Beliau pernah memberi hujah; "Jika rakyat Perancis mempunyai Bastille Day dan rakyat Amerika pula begitu bangga dengan Independence Day, maka tiada sebab rakyat Britain tidak mempunyai mekanisme yang serupa untuk meraikan kedaulatan negara mereka".

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Kemerdekaan tidak lama lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Terima hakikat berjiran - MB

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
fikri.rosly@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin bergambar dengan ahli Kelab Media Johor di majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar Johor di Hotel M Suites, Johor Bahru, malam semalam.

JOHOR BAHRU 7 Ogos - Kerajaan negeri akan memastikan peningkatan mata wang dolar Singapura berbanding Ringgit Malaysia tidak memberi kesan buruk kepada rakyat tempatan berikutan nilai hartanah dan barangan lain yang menjadi lebih murah untuk dibeli oleh warganegara asing dari seberang Tambak Johor.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembelian oleh rakyat Singapura di Johor sememangnya memberi kesan kepada peningkatan harga hartanah mahupun barangan keperluan berikutan kuasa membeli lebih besar yang dimiliki penduduk negara republik tersebut.

"Sudah pasti itu (hartanah dan barangan di Johor Bahru menjadi lebih murah kepada warga Singapura) akan berlaku tetapi pada masa yang sama kita perlu memastikan ia tidak menjejaskan rakyat tempatan.

"Ada kesan buruk dan baik tetapi ini adalah Johor Bahru dan kita kena terima hakikat bahawa bandar ini adalah ibu negeri yang hampir dan bersebelahan dengan negara jiran. Kalau itu berlaku, saya perlu sediakan rancangan untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik (untuk rakyat tempatan)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Johor Bersama Media, di sini semalam.

Ketika ditanya sama ada peningkatan mata wang dolar Singapura menjadikan hartanah di Johor lebih mudah untuk dibeli dan mewujudkan tarikan pelaburan yang lebih banyak sekali gus merancakkan ekonomi, Mohamed Khaled menegaskan perkara tersebut bukan kriteria yang digunakan dalam penilaian beliau.

Beliau juga menyatakan bahawa keadaan mata wang yang berlaku sekarang ini bukan suatu asas untuk menentukan kadar pelaburan yang ingin dicapai oleh kerajaan negeri.

Peningkatan nilai mata wang dolar Singapura berbanding Ringgit Malaysia menyaksikan tukaran wang S$$1 bersamaan dengan RM2.50 berbanding sebelum ini dan penganalisa pasaran menjangka keadaan tersebut kekal selama enam bulan akan datang.

Bagaimanapun, pakar kewangan turut memberi amaran bahawa ia mungkin memberi kesan buruk kepada rakyat Singapura yang melabur dalam sektor hartanah di negara ini terutama mereka yang melakukan pelaburan berasaskan spekulasi.

Pelabur dari Singapura turut berdepan risiko tukaran wang asing yang mungkin berlaku di masa depan kerana nilai ringgit yang semakin lemah akan mengurangkan keuntungan dan mungkin menyebabkan kerugian ketika mereka mahu membawa pulang dana pelaburan kembali ke negara republik tersebut.

Syawal tidak seceria dulu buat Samiran

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

Samiran (duduk di kerusi roda) menerima sumbangan daripada RHB Cawangan Pontian yang disampaikan Azian Saniman. Turut hadir Ir.Hasni Mohammad (dua dari kanan) di Kampung Permatang Palas, Benut, Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 7 Ogos - Ketika mereka yang lain teruja menyambut Syawal, suasana menjelang Aidilfitri tidak lagi ceria buat keluarga Samiran Salam, 56, yang menetap di Kampung Permatang Palas, Benut di sini kerana beliau kehilangan kaki kiri akibat jangkitan kencing manis, sekali gus menjejaskan kehidupannya sekeluarga.

Bapa kepada lapan anak kini tidak mampu lagi bekerja mengambil upah memotong buah kelapa sawit, menebas, meracun dan pelbagai kerja kampung yang lain dan kini hanya bergantung pendapatan kepada hasil kelapa sawit milik keluarga isterinya, Rosmiati Sukaimi, 53.

"Pendapatan tidak seberapa kerana terpaksa dibahagi dua dengan pekerja yang melakukan kerja-kerja memotong buah kelapa sawit, jadi yang tinggal hanya kira-kira RM400 sebulan. Dengan pendapatan inilah kami gunakan untuk menyara keluarga besar termasuk tiga lagi yang masih bersekolah, di samping bantuan anak-anak lain.

"Kaki kiri saya terpaksa dipotong sehingga ke paras paha Februari lalu dan bermula apabila ibu jari tersangkut pada tangga sehingga terluka. Keadaan semakin teruk membuatkan saya dibawa dari Klinik Kesihatan Benut dan Hospital Pontian sebelum ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini kelmarin.

Samiran ditemui semasa menerima kunjungan kakitangan RHB Cawangan Pontian dalam program Semarak Ramadhan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri.

RHB Pontian diwakili Azian Saniman selaku Penggerak Program Semarak Ramadan yang turut menyampaikan sumbangan kepada 20 keluarga yang kurang berkemampuan dalam bentuk barangan keperluan harian.

Samiran berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat menghulurkan bantuan kerana dia sudahpun menerima kad pengiktirafan sebagai orang kurang upaya (OKU) baru-baru ini.

"Isteri saya tidak bekerja semata-mata untuk menjaga saya dan tiga cucu, malah ibu saya sendiri keluar mencari pendapatan tambahan," katanya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


PM gembira Aidilfitri disambut pelbagai lapisan masyarakat

Posted: 08 Aug 2013 01:30 AM PDT

PUTRAJAYA 8 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan kegembiraannya apabila ramai masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang mengunjungi rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.

Saya berasa sangat bersyukur bahawa sambutan ini begitu meriah. Saya rasa amat gembira kerana mereka yang datang ini datang daripada pelbagai latar belakang.

"Konsep rumah terbuka ini sebagai satu kaedah, satu jambatan yang boleh memupuk perpaduan nasional. Nampaknya hari ini terbukti bahawa bila kita buat rumah terbuka ini ia boleh menjadi satu acara di mana secara spontan kita boleh dapat (lihat) begitu ramai yang akan datang," katanya ketika ditemu bual secara langsung oleh TV3.

Turut bersama ketika temu bual itu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ditanya sama ada majlis rumah terbuka boleh dijadikan sebagai satu platform untuk penyatuan nasional, Najib berkata, penyatuan nasional boleh diusahakan melalui pelbagai cara dan rumah terbuka merupakan satu daripadanya.

"Selain daripada kita sambut rumah terbuka ini, kita nak juga hati kita terbuka maknanya kita tolak fahaman yang sempit, yang fanatik, yang ekstrem, yang keterlaluan. Kita suka kepada keamanan, kedamaian sebab bila kita ada keamanan, kedamaian dan keharmonian kita boleh mengadakan rumah terbuka, dan suasana seperti inilah yang mesti kita kekalkan sepanjang masa," katanya.

Dalam temu bual singkat itu, Perdana Menteri turut ditanya mengenai kes jenayah tembak yang ketara sejak akhir-akhir ini sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat.

"Kita dah arah pihak polis untuk bertindak dengan apa cara sekalipun yang mampu dilakukan mereka supaya membanteras jenayah berat ini terutama sekali yang menggunakan senjata api," katanya.

Selain itu, Najib juga menegaskan kawalan di pintu masuk negara perlu dipertingkatkan manakala kerajaan sedang menyemak undang-undang sedia ada bagi memberi kuasa lebih kepada pihak polis untuk bertindak tanpa membuka ruang terlalu luas sehingga berlaku penyalahgunaan kuasa.

"Ada perseimbangan...jadi sekarang sedang berbincang antara pihak kerajaan, Peguam Negara dan polis untuk merumuskan sesuatu yang boleh memberi kita asas undang-undang yang lebih kukuh untuk bertindak," tambahnya sambil memberi jaminan kerajaan memandang serius isu itu. - BERNAMA

Aidilfitri disambut meriah di seluruh negara

Posted: 08 Aug 2013 01:12 AM PDT

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Selepas genap sebulan berpuasa, jutaan muslimin dan muslimat di seluruh negara menunaikan solat sunat Aidilfitri menyambut ketibaan 1 Syawal sebelum meneruskan sambutan dengan keluarga dan rakan.

Di ibu negara, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara, bersama kira-kira 20,000 jemaah.

Turut serta dengan baginda ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta menteri Kabinet.

Pasangan diraja itu kemudian mengadakan Majlis Rumah Terbuka di Istana Negara bermula 11 pagi hingga 2 petang sementara Najib serta Jemaah Menteri mengadakan majlis rumah terbuka di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya dari 10.30 pagi hingga 4 petang.

Di KELANTAN, sambutan bermula dengan Sultan Muhammad V menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Tengku Mahkota Tengku Muhammad Fa-Iz Petra, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub dan ribuah jemaah di Masjid Muhammadi Kota Baharu.

Baginda kemudiannya ke Masjid Negeri di Kubang Kerian bagi menghadiri Majlis Mengadap yang turut disertai rakyat jelata sementara Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub juga mengadakan rumah terbukanya pada hari ini.

Di TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyertai kira-kira 2,000 umat Islam menunaikan solat Hari Raya di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu. Mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, kerabat diraja serta pembesar negeri.

Ahmad Said mengadakan rumah terbuka dari 10.30 pagi hingga 3 petang di kediaman rasmi di Seri Iman, Batu Buruk.

Di SELANGOR, Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 10,000 jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Baginda diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin.

Sultan Sharafuddin juga mengadakan majlis rumah terbuka di Istana Bukit Kayangan hari ini bagi ketua-ketua jabatan kerajaan negeri manakala Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor diadakan di Dataran Dewan Undangan Negeri Selangor dari pukul 11 pagi hingga 2 petang.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Idris Haron bersolat di Masjid Al Azim, Bukit Palah bersama kira-kira 10,000 umat Islam.

Mohd Khalil dan Idris mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah bersama kerabat diraja menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti.

Turut serta ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Tuanku Muhriz turut mengadakan majlis rumah terbuka hari ini di Istana Besar Seri Menanti dari 10 pagi hingga 2.30 petang manakala rumah terbuka kerajaan negeri pula diadakan di perkarangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Negeri, Seremban, dari 10 pagi hingga 2 petang.

Di PAHANG, Sultan Ahmad Shah menunaikan solat Aidilfitri bersama kira-kira 4,000 jemaah di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan dengan diiringi Sultanah Kalsom, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengadakan majlis rumah terbuka dari 10 pagi hingga 3 petang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Kuantan.

Di PERAK, Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja DiHilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa bersama-sama kerabat diraja serta lebih 2,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Turut serta ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan serta barisan Exco kerajaan negeri. Rumah Terbuka Aidilfitri kerajaan negeri diadakan hari ini di kediaman rasmi Menteri Besar dari 2.30 hingga 6 petang.

Di PERLIS, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin dan Raja Perempuan Tuanku Tengku Fauziah berangkat menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Negeri.

Selepas solat baginda berdua berkenan menerima menghadap dif-dif kenamaan dan rakyat jelata pada majlis Istana Terbuka di Dataran Majlis Istana Arau dari 9.30 pagi sehingga 11.30 pagi.

Di JOHOR, Sultan Ibrahim menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Abu Bakar Johor Baharu diiringi Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sultan Johor akan mengadakan majlis rumah terbuka di Istana Pasir Pelangi pada hari raya kedua, dari 9 pagi hingga 4 petang manakala majlis rumah terbuka Menteri Besar berlangsung di kediaman rasmi, Saujana bermula 10 pagi hingga 2 petang ini.

Di SARAWAK, Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud bersama-sama dengan barisan Kabinet negeri serta ribuan umat Islam menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya.

Tun Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Norkiah Abdullah kemudiannya mengadakan rumah terbuka di Astana Negeri manakala Taib dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Di SABAH, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menunaikan solat Aidilfitri bersama kira-kira 10,000 rakyat di Masjid Negeri, Kota Kinabalu. Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni turut mengadakan rumah terbuka di Istana Negeri hari ini sementara rumah terbuka Ketua Menteri akan diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas pada Sabtu ini.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Negeri ditemani Timbalan Ketua Menteri I Mohd Rashid Hasnon dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim.

Di KEDAH, Pengerusi Pemangku Jemaah Sultan Kedah Tunku Anuar Sultan Badlishah dan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bersama kira-kira 3,000 orang umat Islam menunaikan solat Adilfitri di Masjid Zahir, Alor Star.

Majlis rumah terbuka Menteri Besar akan diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon Sabtu ini dari 10 pagi hingga tengah hari. - BERNAMA

Agong tunai solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara

Posted: 07 Aug 2013 10:38 PM PDT

KUALA LUMPU 8 Ogos - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara di sini bersama kira-kira 20,000 jemaah sempena sambutan 1 Syawal.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, tiba di masjid pada kira-kira 8.30 pagi.

Seri Paduka berdua diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Turut hadir menteri Kabinet dan diplomat asing.

Baginda dan jemaah kemudian bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertindak sebagai khatib.

Tuanku Abdul Halim kemudiannya beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan baginda sebaik selesai khutbah Aidilfitri.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan menerima menghadap Perdana Menteri dan isteri, Timbalan Perdana Menteri dan isteri dan Ahli Jemaah Menteri sempena Aidilfitri di Istana Negara.

Selesai majlis tersebut, Seri Paduka berdua berkenan bersantapan bersama tetamu.

Sementara itu, Jamil Khir ketika menyampaikan khutbah hari raya bertajuk 'Aidilfitri Lambang Kesatuan Ummah' menyeru umat Islam agar memperkukuh kesatuan ummah dan bertoleransi dalam semua perkara serta berlapang dada atas sebarang keputusan yang telah dipersetujui.

"Ingatlah sebarang semangat melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik.

"Percayalah bahawa manhaj Islam adalah memelihara keutuhan sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Timizi bermaksud : Hendaklah kamu berada bersama-sama jamaah dan janganlah kamu berpecah-belah," katanya.

Jamil Khir berkata, umat Islam hendaklah mengatur langkah yang bijak dengan menyatukan hati sesama mereka dan memperkasakan keupayaan agar dapat bergerak dalam langkah yang sama.

Menurutnya, saf yang kukuh membolehkan umat Islam menghadapi musuh dengan lebih tabah dan gagah.

"Bayangkanlah jika umat Islam hilang pegangan hidup, hilang maruah, berada dalam ketaksuban kepada pihak-pihak tertentu dan mengutamakan hal peribadi serta diperalatkan pihak lain, maka akhirnya umat Islam pasti menerima nasib yang malang lagi hina di negara sendiri.

"Lihat apa yang berlaku di negara Islam di Asia Barat, apabila rakyat tidak bersatu, tindakan dan pemikiran pemimpin dipengaruhi musuh Islam, maka negara berada dalam huru-hara dan kehancuran," katanya.

Lantaran itu beliau mengingatkan umat Islam supaya perlu bijak mengenal pasti musuh yang sedang dihadapi dan jangan pula bertelingkah sesama sendiri sedangkan musuh yang menabur racun bersorak kegembiraan.

Nasihatnya, berwaspadalah dengan golongan munafik dan pengkhianat di kalangan umat Islam yang telah menjadikan agama sebagai barang dagangan dan perjuangan menuntut keadilan sebagai modal politik sehinggakan sanggup bersekongkol dengan musuh untuk menumpaskan pemerintah Islam demi mendapatkan kuasa. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Senarai baru penduduk miskin

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

Mohd. Tajuddin

ALOR SETAR 7 Ogos - Kerajaan negeri merancang menyenaraikan semula penduduk yang layak dikategorikan sebagai golongan miskin sebagai usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah berkata, langkah itu bagi memastikan tiada siapa tercicir dalam senarai berkenaan menerusi pelaksanaan pendaftaran secara adil dan telus.

Kata beliau, pendaftaran penduduk miskin di negeri ini dibuat mulai 1990 di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Program itu kemudian ditambah baik sehingga wujud e-Kasih pada 2006 di peringkat Kerajaan Pusat dan setahun kemudian Kerajaan Kedah melancarkan e-Sinar.

"Pendaftaran e-Sinar oleh kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) terhenti apabila pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran Kedah pada 2008 hingga Mei tahun ini," katanya baru-baru ini.

Mohd. Tajuddin berkata, pendaftaran e-Sinar diteruskan semasa pentadbiran pakatan pembangkang dengan Majlis Ketua Kampung menggantikan peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), namun menimbulkan banyak masalah.

Berikutan itu katanya, wujud keperluan untuk mengemas kini pangkalan data kemiskinan antara e-Kasih dan program e-Sinar yang diperkenalkan kerajaan negeri terdahulu untuk dijadikan kayu pengukur dalam mengenal pasti kumpulan sasaran.

"Satu pelan tindakan berkesan perlu dilaksanakan segera melibatkan jabatan dan agensi berkaitan penduduk miskin menggunakan mekanisme pendaftaran bersepadu yang menjurus konsep dari atas ke bawah.

"Antara agensi yang perlu terlibat ialah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Kemajuan negeri, pejabat-pejabat daerah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kesatuan Penghulu-penghulu Kedah dan Universiti Utara Malaysia (UUM)," katanya.

Pastikan pintu belakang rumah turut dikunci

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

ALOR SETAR 7 Ogos - Polis menasihatkan orang ramai yang ingin meninggalkan rumah bagi tempoh yang lama pada musim perayaan ini agar meningkatkan tahap keselamatan kediaman masing-masing dengan mengunci pintu bahagian belakang dengan kunci yang bermutu tinggi.

Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pintu bahagian belakang rumah kebiasaannya tidak dititikberatkan memandangkan pemilik rumah menganggap bahagian depan rumah sahaja yang perlu dikunci dengan baik.

"Persepsi ini silap kerana banyak jenayah pecah rumah berlaku disebabkan pintu bahagian belakang rumah tidak kunci dengan baik sebelum pemilik meninggalkan rumah.

"Ramai di kalangan pemilik tak ambil berat pintu bahagian belakang rumah, jadi kita minta mereka beri juga tumpuan pada pintu belakang rumah dengan menguncinya dengan kunci yang bermutu tinggi.

"Selepas kunci semua pintu rumah pemilik rumah boleh memaklumkan kepada balai polis berhampiran mengenai ketiadaan mereka di rumah dan kita akan arahkan anggota melakukan rondaan di kawasan berkenaan," katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pemilik rumah juga perlu memastikan langganan akhbar dihentikan buat sementara jika mereka tiada di rumah pada hari raya nanti.

"Selain itu, pastikan jiran sebelah perlu diberitahu bila kita nak balik ke kampung agar mereka boleh pantau rumah kita," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, ibu bapa perlu memantau anak-anak pada musim perayaan ini agar tidak bermain mercun sehingga membahayakan diri sendiri.

"Main mercun memang satu kesalahan dari segi undang-undang, jadi saya minta ibu bapa pantau anak-anak mereka agar jangan main mercun.

"Saya tengok musim perayaan ini macam musim kanak-kanak cedera akibat mercun. Kita boleh jaga semua ini daripada terus berlaku," jelasnya.

BS1MDS mahu perluas peranan seluruh negara

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

SIK 7 Ogos - Briged Sukarelawan 1Malaysia Daerah Sik (BS1MDS) yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu berhasrat memantapkan lagi peranannya supaya aktivitinya tidak hanya tertakluk di daerah Sik, malah diperluaskan ke seluruh negara.

Pengarahnya Mahadzir Abdul Hamid berkata, briged itu menawarkan khidmat sukarela bagi membantu masyarakat seperti bencana alam, ribut dan banjir.

"Sehingga kini keanggotaannya mencapai 500 sukarelawan dan telah menjalankan lebih 100 aktiviti melangkaui negeri Kedah.

"Kita pernah membantu mangsa banjir di Terengganu awal tahun lalu, terlibat dalam misi kemanusiaan di Hatyai, Thailand, malah selepas Aidilfitri ini, kita rancang untuk membantu sebuah perkampungan Islam di Thailand mendirikan masjid," katanya di sini semalam.

Beliau terdahulu mengedarkan risalah kempen keselamatan jalan raya dan pencegahan jenayah kepada pengguna jalan raya di laluan Jeniang-Sik.

Mahadzir yang juga Anggota Dewan Undangan Jeneri berkata BS1MDS kini mempunyai 10 platun termasuk untuk pengurusan jenazah dan keselamatan jalan rayadan bakal mewujudkan satu platun khusus untuk menyelamatkan mangsa lemas.

"Kita mahu rakyat merasai bahawa peranan membantu masyarakat bukan sahaja terletak pada tangan kerajaan malah anggota masyarakat juga turut menyumbangkan peranan," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Mantai Perdana disambut meriah

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my

MOHAMAD Hasan (kanan) sempat beramah mesra dengan orang ramai ketika meninjau Program Mantai Perdana di tapak lama Kem Paroi, Seremban, Negeri Sembilan, malam semalam.

SEREMBAN 7 Ogos - Daging daripada 200 ekor lembu yang disembelih habis dijual dalam tempoh 12 jam pada program Mantai Perdana yang diadakan di tapak lama Kem Paroi dekat sini malam tadi.

Mantai adalah acara tradisi masyarakat negeri ini bagi menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, program selama dua hari mulai semalam bertujuan meringankan beban rakyat mendapatkan bekalan daging dan ayam bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan para pelanggan bukan sahaja datang dari negeri ini malah dari negeri jiran.

"Harga daging yang ditawarkan di sini adalah RM20 sekilogram berbanding RM26 di pasaran biasa.

"Kita berjaya mengumpulkan kira-kira 20 penternak dari seluruh negeri ini untuk menjual daging pada harga tersebut," katanya kepada para pemberita selepas melawat tapak program berkenaan malam tadi.

Selain daging lembu, turut dijual ialah ayam, kerbau, kambing, puyuh, itik dan rusa.

Mohamad menarik perhatian, program itu telah memasuki tahun keenam dianjurkan oleh Jabatan Veterinar negeri dan ia semakin mendapat sambutan saban tahun.

"Ia dibuat semata-mata untuk memberi keselesaan kepada orang ramai dan kita buat sebaik yang mungkin dengan dipantau oleh Jabatan Veterinar," ujarnya.

Beliau menjelaskan, jualan daging itu dibuat berdasarkan stok tersedia yang dimiliki oleh para penternak dan ia tidak akan ditambah sekiranya semua daging tersebut habis dijual.

Ibu enam anak bersyukur terima bantuan

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

NOOR Salawati Mohd. Sekak (tengah) gembira setelah menerima sumbangan Aidilfitri di Taman Seri Serting, Jempol, Negeri Sembilan, kelmarin.

JEMPOL 7 Ogos - Sebuah keluarga dekat Taman Seri Serting di sini mampu tersenyum apabila kesempitan hidup mereka mendapat perhatian sebuah persatuan kebajikan di Bahau.

Menurut Noor Salawati Mohd. Sekak, 36, beliau bersyukur kerana menerima berita gembira itu menjelang hari lebaran.

"Saya membesarkan enam anak dengan pendapatan yang kecil tanpa suami.

"Kesemua anak saya masih bersekolah dengan yang sulung berusia 15 tahun dan bongsu berusia tujuh tahun. Dengan bekerja sebagai pembantu kedai, saya cuma mendapat sekitar RM25 ke RM30 sehari," kata ibu tunggal itu.

Katanya, beliau amat terharu dengan bantuan wang tunai yang diterima daripada persatuan kebajikan Cina tersebut iaitu sebanyak RM1,000.

"Saya dimaklumkan pengerusinya ialah calon Barisan Nasional (BN) mewakili parti MCA di Bahau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu. Saya berterima kasih di atas bantuan itu," ujarnya.

Tambah Noor Salawati, beliau akan menggunakan bantuan itu untuk membiayai persekolahan anaknya yang dianggarkan RM700 dan bakinya akan digunakan untuk Aidilfitri.

"Pendidikan anak lebih utama dan saya bimbang, jika tiba masa untuk membayar yuran peperiksaan sumber kewangan menjadi susut. Cukuplah apa yang ada untuk menyambut lebaran," jelasnya.

Katanya, beliau perlu membayar sewa rumah sebanyak RM250 setiap bulan dan memang menyedihkan apabila anak bertanya tentang baju baharu, persiapan Aidilfitri dan sebagainya.

"Kadang kala memang sedih, tetapi anak-anak saya faham," ujarnya sambil memberitahu pada tahun ini dua anaknya akan menduduki peperiksaan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah.

Utamakan keselamatan jalan raya

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

MELAKA 7 Ogos - Pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan jalan raya bagi mengelak berlakunya kemalangan sepanjang musim perayaan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan Awam dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata, sikap peka dan prihatin terhadap keselamatan adalah penting dan perlu dipertingkatkan dalam diri pengguna supaya memandu kenderaan dengan berhemah.

Menurutnya, lebih 100 kemalangan jalan raya membabitkan lima kematian direkodkan berlaku di negeri ini sejak pelancaran Kempen Ops Selamat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 1 Ogos lalu.

"Kes yang berlaku melibatkan kawasan hitam yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan dan setakat hari ini kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal yang dilihat mudah terdedah dengan bahaya jika tidak berhati-hati.

"Kerajaan telah mengambil langkah terbaik bagi cegah kemalangan di kawasan hitam itu dengan kemudahan seperti letak papan tanda, turap jalan namun masalah itu juga datang dari pengguna jalan raya itu sendiri yang perlu peka dan berhati-hati di jalan raya selain utamakan aspek keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Anti Kemalangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri Melaka anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka di Tol Ayer Keroh, semalam.

Yang turut hadir Timbalannya, Zaidi Atan dan Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye.

Abdul Ghafaar berkata, kempen tersebut merupakan penambahan kepada kempen keselamatan jalan raya yang dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan organisasi sempena Aidilfitri bagi mengingatkan para pengguna secara berterusan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu.

"Kempen ini merupakan satu kaedah strategi komunikasi untuk menimbulkan rasa 'benci' atau tidak suka terhadap berlakunya sebarang kejadian kemalangan dengan mengusahakan corak inovatif dan kreatif serta ringkas untuk menyampaikan mesej kepada pengguna jalan raya," katanya,

Pada kempen itu, lebih 200 risalah pesanan keselamatan jalan raya, pelekat kereta dan motor anti kemalangan, baju dan 'sticker' pantulan diedarkan kepada pengguna jalan raya selain khidmat nasihat pemanduan berhemah oleh MKJR dan Gabungan Rakan Ahli Anti Kemalangan (GRAK).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Insafi nikmat keamanan

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Sukar ubah sikap manusia

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Pandangan Kuan Yew sempit, lapuk

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved