Khamis, 23 Januari 2014

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Operasi banteras pembakaran mercun di Sabah

Posted: 23 Jan 2014 11:03 PM PST

KOTA KINABALU 24 Jan. - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sabah bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan operasi membanteras pembakaran mercun dan bunga api di negeri ini berkuatkuasa 28 Januari hingga 1 Februari ini sempena sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina.

Operasi bersepadu yang dinamakan Ops Letup 5 itu akan memberi tumpuan kepada aktiviti pembakaran bahan api tanpa permit di seluruh daerah di negeri ini.

Timbalan Pengarah KDRM negeri, Hamzah Sundang berkata, mana-mana individu yang didapati melakukan pembakaran mercun dan bunga api tanpa permit akan berdepan hukuman mengikut Akta Kastam serta Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Api. - UTUSAN ONLINE

Penjenayah dikehendaki mati ditembak

Posted: 23 Jan 2014 10:48 PM PST

TAIPING 24 Jan. - Seorang penjenayah yang dikehendaki polis kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah termasuk bunuh dan samun, ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Kampung Banjar dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, suspek berusia 31 tahun yang cuba melarikan diri daripada sekatan polis telah diburu oleh pasukan dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang sedang menjalankan pemeriksaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek yang cuba melarikan diri dengan memandu kereta jenis Perodua Myvi ke Lorong Berlian 2, Taman Koperasi di sini bagaimanapun terbabas sebelum dia bertindak melepaskan tembakan ke arah polis sehingga memaksa polis membalas tembakan berkenaan.

Katanya, penjenayah tersebut maut di tempat kejadian. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tunggu rakan ASEAN

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR - Malaysia kini hanya menunggu persetujuan semua negara jiran dalam ASEAN pada tahun ini sebelum meneruskan bidaan sebagai tuan rumah bersama bagi pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2034.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, sepuluh negara anggota ASEAN itu akan merujuk kepada kerajaan masing-masing dan selepas hasrat bidaan itu dibentangkan oleh Timbalannya, Datuk M. Saravanan dalam mesyuarat menteri-menteri sukan rantau berkenaan di Vientiane, Vietnam bulan lalu.

"Tahun ini mereka akan maklumkan kita dan memerlukan kajian kebolehlaksanaan di negara masing-masing. Kini bukannya AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) yang menunggu kementerian tetapi maklum balas dan persetujuan jiran ASEAN yang diperlukan sebelum meneruskan bidaan.

"Bidaan Piala Dunia ini dibuat secara bersama atas nama ASEAN selaku tuan rumah walaupun saya jangkakan cuma melibatkan empat negara," katanya selepas menghadiri majlis kesyukuran kejayaan sukan negara sepanjang tahun lalu di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung AFF, Datuk Azzuddin Ahmad mengenai bidaan tuan rumah Piala Dunia 2034 yang kini menanti maklum balas 11 negara ASEAN termasuk Malaysia sama ada masih berminat untuk meneruskannya.

Khairy berkata, bidaan itu sebenarnya dicadangkan oleh Kementerian Luar dan pihaknya pada dasarnya bersetuju dan akan meminta pandangan sekali lagi daripada Jemaah Menteri.

Sementara itu, majlis kesyukuran itu turut menyaksikan dua pelumba berbasikal pelapis Terengganu dan seorang bekas pemain sepaktakraw pelapis kebangsaan, menerima sumbangan insurans berkelompok berjumlah RM169,000 kerana maut dalam kemalangan jalan raya tahun lalu.

Menerima bagi pihak Allahyarham Mohamad Asmu'l Ali @ Awang, Allahyarham Muhammad Shafiq Imran Syahril dan Allahyarham Mohd. Farid Anwar Abd. Ghani ialah bapa masing-masing, Ali @ Awang Sulong, Syahril Rashid dan Abdul Ghani Abdullah.

Menteri boleh campur tangan isu sukan

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my

Zolkples Embong (dua dari kanan) bersama warga kerja MSN dan atlet mengaminkan doa selepas berarak pada majlis sambutan Maulidur Rasul Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang halangan untuk mana-mana persatuan sukan di negara ini berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bagi menyelesaikan segala masalah yang dihadapi mereka.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong bagaimanapun berkata, masalah yang timbul di dalam persatuan seharusnya diselesaikan dahulu di peringkat dalaman mengikut perlembagaan masing-masing.

Beliau berkata, Khairy sentiasa terbuka untuk mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak bagi membantu menyelesaikan segala masalah yang dihadapi kerana beliau memiliki kuasa untuk memastikan setiap perkara yang dirancang berjalan dengan lancar.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab sudah tentu beliau prihatin dengan masalah yang dihadapi selain turut memiliki kuasa dalam Akta Pembangunan Sukan.

"Seharusnya segala kemelut yang melanda persatuan tidak perlu sampai kepada menteri tetapi kalau sampai satu tahap yang tidak dapat diatasi seperti (isu yang melanda sukan) basikal dan sepak takraw sehingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan atlet dan bekas atlet, saya tidak nampak sebarang masalah untuk campur tangan menteri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul di MSN Bukit Jalil di sini semalam.

Selasa lalu, sembilan pelumba senior acara lebuh raya bertemu Khairy bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang mereka dakwa melayan mereka seperti anak tiri.

Pada 15 Januari lalu, Kelab Sukan Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepak Takraw Malaysia menghantar memorandum kepada Menteri Belia dan Sukan bagi meminta campur tangan untuk mengembalikan semula kegemilangan sukan tradisi itu.

Beliau berkata, beliau turut diarahkan oleh Menteri Belia dan Sukan untuk terlibat secara langsung dalam proses menyelesaikan masalah yang melanda persatuan-persatuan sukan.

Beliau berharap agar segala masalah yang timbul dapat diselesaikan segera bagi mengembalikan semula fokus kepada pembangunan sukan atlet bagi menghadapi pelbagai kejohanan besar tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Zolkples menafikan Jurulatih Renang Kebangsaan, Paul Birmingham akan meletakkan jawatan selepas tidak hadir ke sesi latihan renang sejak beberapa minggu lalu.

Beliau berkata, jurulatih itu mengalami masalah kesihatan dan telah melaporkannya kepada bahagian persediaan atlet dan beliau berharap agar masalah kesihatan itu tidak menjejaskan tugasannya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu pihaknya juga bersetuju untuk membawa masuk beberapa jurulatih baharu untuk sukan akuatik secara keseluruhan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


50 terbunuh dalam serangan udara di Anbar

Posted: 23 Jan 2014 11:09 AM PST

BAGHDAD 24 Jan. - Sekurang-kurangnya 50 terkorban dalam satu serangan udara di barat Anbar, Iraq, kata kementerian pertahanan semalam.

Satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian tersebut menyatakan, pasukan keselamatan Iraq menerima maklumat mengenai kedudukan kubu dan melancarkan beberapa serangan udara di Anbar semalam.

Menurut kenyataan itu lagi, mereka yang terkorban termasuk beberapa anggota militan yang berasal dari luar Arab dan serangan tersebut turut memusnahkan sejumlah besar tempat simpanan senjata. - AFP

Pakistan: Letupan bom ragut 6 nyawa

Posted: 23 Jan 2014 11:07 AM PST

PESHAWAR, Pakistan 24 Jan. - Sekurang-kurangnya enam termasuk dua orang kanak-kanak terkorban manakala tujuh lagi cedera dalam kejadian letupan bom di barat laut negara ini, semalam.

Enam orang termasuk dua kanak-kanak terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam letupan di pedalaman Peshawar," kata pegawai polis Najeeb Ur Rehman.

Bagaimanapun belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan letupan tersebut. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Patuhi syarat atau lesen ditarik

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

Oleh HERMAN HAMID
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 23 Jan. - Kerajaan negeri memberi amaran akan menarik balik lesen pengusaha bijih besi sekiranya mereka didapati melanggar syarat ditetapkan sehingga menimbulkan rungutan penduduk.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perkara ini dinyatakan beliau dalam pertemuan dengan Persatuan Pengusaha Lombong Bijih Besi Pahang pada minggu lalu yang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

''Kita beritahu yang mereka boleh jalankan aktiviti di negeri ini tetapi para pengusaha lombong tidak sewajarnya mendatangkan kesusahan kepada orang ramai seperti yang berlaku di Kampung Selamat dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dekat Gebeng iaitu masalah habuk dan lumpur akibat lori membawa muatan bijih besi.

''Berikutan itu, kita telah buat keputusan yang lori mereka perlu melalui Jalan Sungai Ular untuk atasi masalah ini dan mereka perlu patuh dengan syarat-syarat ini," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Menurut Adnan, selain itu, bagi mengatasi rungutan penduduk, kerajaan negeri akan menyediakan satu tempat khusus berdekatan Gebeng untuk pengusaha mengumpulkan hasil perlombongan mereka sebelum dihantar ke pelabuhan.

''Kita telah kenal pasti tapak berkenaan dengan persetujuan pihak persatuan yang akan dijadikan pusat pengumpulan berpusat. Sekarang ini mereka hantar di merata tempat hasil lombong mereka.

''Selepas ini kita sedia pusat pengumpulan tersebut dengan pengusaha akan menyewa tapak itu daripada kerajaan negeri. Cara ini dapat elakkan masalah habuk dan sebagainya.

''Saya juga meminta pengusaha lombong bijih besi agar memperbanyakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu penduduk di kawasan terlibat," jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Adnan mengumumkan kerajaan negeri akan memberikan bantuan wang tunai RM150 kepada semua warga emas berusia 70 tahun ke atas sempena Tahun Baharu Cina.

''Kita juga akan panjangkan bantuan ini kepada umat Islam sempena Aidilfitri dan juga penganut Hindu ketika Deepavali kelak.

''Pendaftaran boleh dibuat di Pejabat Tanah dan Daerah. Bantuan ini tidak mengira fahaman politik. Kalau ikutkan ramai orang Cina tidak undi kita, tapi kita tidak ambil kira soal parti kerana ini wang daripada kerajaan untuk rakyat," jelasnya.

Tiga peniaga akan didakwa gagal pamer tanda harga

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

Tan Siew Lin (berdiri dua kanan) bersama kakitangan penguat kuasa PPDNKK Jerantut membuat pemeriksaan di kedai makan dalam Ops Harga 2.0 di Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 23 Jan. - Tiga peniaga kedai makan bakal dikenakan tindakan mahkamah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal meletakkan tanda harga pada minuman dalam tin dan botol yang dijual di premis masing-masing di bandar ini kelmarin.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Jerantut, Tan Siew Lin berkata, minuman dalam tin dan botol itu telah disita manakala peniaga berkenaan akan didakwa di mahkamah mengikut peruntukan akta tersebut.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, peniaga berkenaan boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Kita berharap peniaga mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) agar memaparkan tanda harga bagi setiap barang jualan.

"Penguat kuasa PPDNKK di sini akan terus melaksanakan pemantauan serta operasi ke setiap premis perniagaan dari semasa ke semasa supaya peniaga tidak cuai dan menunjukkan tanda harga serta mematuhi arahan," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan sempena Ops Harga di sini.

Menurut beliau, PPDNK juga meminta peniaga kedai makan mempamerkan tanda harga bagi setiap lauk-pauk yang dijual kepada pelanggan walaupun masih belum ada aduan sehingga ini.

"Jika ada kecuaian bagi kes berkenaan dalam kalangan peniaga kedai makanan, PPDNKK tidak teragak-agak akan mengeluarkan tindakan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Peniaga juga perlu mengemukakan bukti kenapa mereka menaikkan harga makanan yang dijual jika penguat kuasa PPDNKK membuat operasi di premis mereka," ujarnya.

Tambahnya, orang ramai diminta melaporkan kepada pihak PPDNKK segera jika ada peniaga yang sengaja memanipulasikan harga makanan di kedai makan atau restoran di bandar ini.

Orang Asli diminta utama pendidikan anak

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

KUALA LIPIS 23 Jan. - Masyarakat Orang Asli diminta memberi keutamaan kepada soal pendidikan anak-anak yang merupakan prasyarat dalam transformasi pembangunan bidang modal insan dalam kalangan kaum itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, selain universiti, anak-anak Orang Asli juga boleh mengikuti latihan kemahiran dan keusahawanan yang ditawarkan di pusat latihan kendalian kerajaan seperti Kolej Komuniti dan GiatMara.

"Kerajaan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan anak Orang Asli tidak tercicir dalam pelajaran, manakala belia kaum itu juga diberi peluang mengikuti latihan di peringkat sijil atau diploma pelbagai bidang teknikal, pembinaan, elektrik, automotif dan industri.

"Ini merupakan langkah inklusif agar Orang Asli terus diberi peluang yang saksama dengan kaum lain menikmati pelbagai kemudahan pembangunan yang juga merupakan manifestasi kerajaan untuk menjaga kebajikan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan dan peralatan kepada penduduk Orang Asli, di Kampung Sungai Garam, dekat sini kelmarin.

Yang hadir sama, Ketua Puteri UMNO Bahagian Lipis, Wan Normarina Wan Kamarudzaman; Pengarah Kolej Komuniti Lipis, Drs. Anuar Ralib; Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Lipis, Sembunyi Jamil dan Tok Batin Orang Asli Sungai Garam, Jela a/l Kemuncuk.

Sempena majlis itu, Mustapa turut menyampaikan sumbangan sebuah gergaji mesin dan 27 kampit beras kepada ketua keluarga Orang Asli di kampung berkenaan.

Menurut beliau, pencapaian akademik yang lebih tinggi mampu membuka peluang kepada anak-anak Orang Asli mendapat pekerjaan dalam sektor awam dan swasta sekali gus membantu mengubah kehidupan keluarga mereka pada masa depan.

"Kerajaan negeri sentiasa cakna dengan kebajikan dan pendidikan Orang Asli apabila menyediakan kemudahan seperti sekolah, asrama desa di samping menajamkan kemahiran teknikal kepada belia kaum berkenaan.

"Saya sendiri kerap turun padang ke berapa kampung Orang Asli di daerah ini untuk mendekatkan diri dengan mereka di samping memberi motivasi supaya anak-anak pergi ke sekolah walaupun ada kekangan kewangan dan pengaruh warisan budaya," ujarnya.

Mustapa yang juga Naib Ketua UMNO Lipis berkata, kerajaan negeri kini sedang berusaha melengkapkan kemudahan asas iaitu bekalan air, elektrik dan jalan raya ke beberapa perkampungan Orang Asli di kawasan Padang Tengku untuk meningkatkan taraf kesihatan penduduk dan merancakkan sektor pertanian dan pelancongan.

"Saya juga berharap Tok Batin memainkan peranan aktif sebagai pemimpin etnik berkenaan berhubung dengan wakil rakyat dan agensi kerajaan di Lipis agar masalah penduduk dapat diselesaikan, manakala pembangunan kampung Orang Asli berada di landasan yang betul," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Nurul Izzah fail tuntutan fasakh

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

MAJLIS perkahwinan Nurul Izzah Anwar dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim yang diadakan di kediaman Anwar Ibrahim di Damansara pada pada 9 Mei 2003. - AFP

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sah memfailkan permohonan tuntutan fasakh terhadap suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Perkara itu disahkan oleh seorang kakitangan mahkamah yang enggan dikenali dan tidak mahu mendedahkan maklumat lanjut mengenai kes tersebut.

Menurut sumber, Nurul Izzah, 34, yang juga anak sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan mengikut Seksyen 52 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1984 itu, awal bulan ini.

Kes itu telah disebut kali pertama di hadapan Hakim Syarie, Ab. Malek Awang dua hari lalu yang menetapkan sebutan semula kes pada 18 Februari ini.

Nurul Izzah dalam reaksi pantasnya kepada isu tersebut berkata: Kami amat sedih dengan cubaan gangguan yang menyentuh perkara peribadi apabila kami gigih berusaha untuk memastikan kelangsungan perkahwinan ini.

Keluarga kami menjadi keutamaan dan kami ucapkan terima kasih kepada semua yang melahirkan keprihatinan serta memohon semua pihak agar diberikan ruang peribadi pada waktu-waktu ini.

Khabar angin mengenai Nurul Izzah memfailkan tuntutan fasakh heboh diperkatakan apabila pihak media menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan permohonan itu difailkan olehnya dua minggu lalu.

Menerusi SMS berkenaan juga, Raja Ahmad Shahrir, 35, dikatakan telah menerima notis saman itu pada 16 Januari lalu.

Pasangan berkenaan berkahwin pada 9 Mei 2003 di kediaman Anwar di Damansara dan dikurniakan dua anak berusia empat dan tujuh tahun.

Kepada soalan seorang pengikut Twitternya berhubung kesahihan khabar angin berkenaan, Nurul Izzah dalam jawapannya di laman sosial sama pada 1.58 petang, hanya membalas Wassalam...Nope.

Bagaimanapun, lewat petang ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, menurut sumber ahli keluarga terdekat pasangan itu, Nurul Izzah mungkin menarik balik permohonan itu Jumaat ini setelah dipercayai dipujuk oleh keluarga untuk berbaik semula dengan suaminya itu.

Langgar arahan: Tian Chua dipenjara sebulan, denda RM1,000

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

Tian Chua (tengah) diiringi pegawai polis keluar dari Mahkamah Sesyen selepas dijatuhkan hukuman atas pertuduhan melanggar arahan di bawah Perintah Kawasan-kawasan Larangan 1975 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dihukum penjara sebulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan melanggar arahan di bawah Perintah Kawasan-kawasan Larangan 1975, dua tahun lalu.

Mahkamah juga memerintahkan Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 51, menjalani hukuman penjara satu bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Hakim Mahmud Abdullah dalam keputusannya berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam bela, Eric Paulsen yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dengan menaikkan jumlah jaminan daripada RM500 kepada RM1,000.

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Batu itu didakwa tidak mematuhi arahan Deputi Supritendan (DSP) A. Rajakopal, untuk beredar dari kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan.

Tian Chua dituduh melakukan kesalahan itu di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol), Jalan Semarak, di sini pada pukul 2.30 pagi, 29 April 2012, iaitu sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan 1959 (Akta 298), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Mohamed Yusoff, memohon hukuman setimpal dalam bentuk pemenjaraan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Menurut Amirah, jawatan Ahli Parlimen tidak seharusnya dijadikan sebagai tiket untuk mendapatkan hukuman ringan.

Walaupun tiada kecederaan berlaku semasa tertuduh berada di Pulapol, namun hakikatnya kesalahan itu adalah serius.

''Sebagai Yang Berhormat, tertuduh perlu memberi contoh yang baik kepada masyarakat, tetapi dia telah melanggar perintah polis,'' katanya.

Eric memohon mahkamah mengenakan hukuman denda sahaja kepada anak guamnya atas alasan, kejadian yang berlaku melibatkan satu kesalahan teknikal dan tidak membawa apa-apa keuntungan kepada orang ramai mahupun tertuduh.

Sepanjang perbicaraan itu, pihak pendakwaan mengemukakan sembilan saksi sementara dua saksi pembelaan dipanggil.

Tian Chua dilihat keluar diiringi pegawai polis dari mahkamah tanpa digari turun ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di aras bawah kompleks mahkamah tersebut untuk mengeluarkan wang bagi membayar denda dan jaminan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Pembangkang amalkan politik alih isu

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

Orang ramai mendengar penerangan tentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Nasional peringkat negeri di Pulau Pinang, baru-baru ini. - Gambar hiasan

SALAH satu kepakaran politik yang ada pada pakatan pembangkang ialah mengalihkan sesuatu isu yang melumuri mereka. Sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP mahupun Pas, masing-masing mempunyai seni politik tersebut dalam usaha menutupi segala kepincangan yang berlaku.

Oleh itu, kita tidak perlu terkejut apabila tahun 2014 dianggap tahun untuk mereka mengatur pelbagai demonstrasi bagi memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam masa yang sama berusaha menutupi pekung politik mereka yang semakin terdedah dan 'menanah'.

Difahamkan, pada Ahad ini, 'ayam sabung' PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli akan turun ke Bukit Mertajam untuk mengetuai 'perbuatan melolong' di tepi jalan kononnya bagi membantah harga barangan naik, menolak GST dan menuduh UMNO rasis.

Sememangnya, inilah taktik politik alih isu yang cuba dilakukan oleh Rafizi yang dijulang oleh penyokong-penyokong pembangkang sebagai pakar strategik politik pakatan tersebut bagi menutupi kebiadapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok daripada PKR, Lee Khai Loon yang menyumbat kangkung ke mulut patung wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perbuatan itu dikatakan bukan sahaja dikecam oleh orang ramai malah dalam kalangan pemimpin sekutu PKR pun tidak bersetuju dengan demonstrasi biadab itu.

Menyedari keadaan itulah, Rafizi cuba menunjukkan 'jaguhnya' dengan turun ke Bukit Mertajam. Mungkin impian beliau ialah mengalihkan isu Khai Loon.

Tetapi Rafizi terlupa dalam masa yang sama, PKR bukan sahaja berhadapan dengan isu kebiadapan wakil rakyat tersebut, malah parti itu juga sedang berada 'di ambang perang saudara' berikutan isu pengguguran Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Walaupun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah menegaskan pengguguran itu bukan keputusan kerajaan negeri yang diterajui oleh beliau tetapi ini tidak bermakna perbalahan politik antara beliau dan Azmin sudah berakhir.

'Pertembungan' antara kedua-dua pemimpin kanan PKR ini di Selangor bukan lagi rahsia, malah pengguguran Azmin dikaitkan pula dengan mainan politik berikutan pemilihan PKR yang bakal diadakan pada Mei nanti. Sekali lagi Abdul Khalid menafikan dakwaan itu tetapi dalam masa yang sama semakin tertekan apabila desakan semakin kuat di dalam PKR agar beliau dipecat.

Perkara ini diakui oleh Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution semalam yang mengesahkan terdapat 'desakan keras bukan usul' daripada empat hingga lima anggota Majlis Pimpinan Parti (MPP) parti itu supaya Abdul Khalid dipecat.

Walaupun menegaskan desakan itu tidak menjadi keputusan mesyuarat tetapi Saifudin mengakui ini kali pertama berlaku 'satu cadangan keras' dikemukakan. Apa pun seperti biasa PKR tidak akan mengaku wujudnya masalah dalaman sebaliknya akan cuba mencari jalan bagi menutupi kepincangan tersebut bagi menggambarkan seolah-olah merekalah parti terbaik di muka bumi Allah ini.

Tindakan yang dilakukan oleh PKR untuk mengadakan demonstrasi bagi mengalih isu ini juga sekali gus akan membantu DAP yang masih lagi terpalit dengan isu pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).

Sehingga hari ini DAP masih belum meminta Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menjawab desakan supaya beliau mendedahkan 'surat guaman' yang kononnya telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 23 Disember lalu.

Politik alih isu ini kemudiannya diikuti pula oleh Pas yang difahamkan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan ia 'pak turut' setia dalam pakatan pembangkang apabila merancang menggerakkan ahli-ahli turun ke jalanan pada 1 Mei ini.

Difahamkan, seorang pemimpin kanan parti itu sudah mengarahkan setiap Pas negeri melaksanakan dua strategi bagi membangkitkan momentum untuk memastikan sokongan rakyat pada perhimpunan tersebut.

Dua strategi itu adalah mengadakan majlis ceramah isu kenaikan harga barang, sara hidup dan GST, manakala strategi kedua pula mengadakan flash mob atau perhimpunan kecil setiap minggu sehingga perhimpunan 1 Mei berlangsung.

Pas terpaksa berbuat demikian ketika imej politik mereka semakin merudum apabila dilihat tidak tegas sebagai parti yang kononnya memperjuangkan Islam dalam menangani isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di Selangor.

Walaupun Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib bersuara mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mempunyai kalimah Allah di premis Persatuan Bible Malaysia tetapi secara organisasi, Pas terus membisu demi menjaga hati sekutunya, PKR dan DAP.

Pemimpin-pemimpin Pas amat memahami isu kalimah Allah ini ibarat meletakkan parti itu 'ditelan mati emak diluah mati bapa', kalau mereka bertegas senada dengan Harun atau organisasi Islam lain, Pas bimbang PKR dan DAP akan 'berkecil hati'. Bagi Pas, menjaga hubungan politik dengan kedua-dua parti itu lebih penting bagi memastikan mereka tidak 'dicicirkan' dalam usaha memburu impian menawan Putrajaya.

Demikianlah amalan politik alih isu dalam pembangkang. Mereka bersedia melakukan apa sahaja bagi menutupi kepincangan sendiri kerana dari semasa ke semasa tembelang mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan BN semakin menemui jalan buntu atau dalam istilah lebih tepat semakin tidak dipedulikan oleh rakyat.

Ia memandangkan dalam isu kenaikan harga barang contohnya, rakyat bukannya pekak atau buta untuk menilai bagaimana kesungguhan kerajaan dalam menangani perkara tersebut. Hanya penyokong-penyokong tegar mereka sahaja yang sengaja membuta mata dan hati bagi menolak kesungguhan kerajaan dalam soal itu.

Sememangnya politik pembangkang terus tidak menampakkan kematangan dalam usaha bersama-sama membangunkan negara, sebaliknya mereka kekal dengan politik memburu kekuasaan melalui cara memainkan sentimen rakyat supaya membenci kerajaan yang memerintah.

Atas sebab itulah, pelawaan pembangkang kononnya, mereka ingin berbincang dengan kerajaan BN berhubung isu perkauman tidak perlu dilayan dan hanya membuang masa kerana kerajaan mempunyai banyak lagi isu rakyat yang perlu ditangani.

Tambahan pula selama ini, apa juga usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat dan mensejahterakan negara tidak pernah mendapat sokongan apatah lagi pujian pembangkang, sebaliknya kerja pembangkang hanya membangkang sepanjang masa.

Apa pun percayalah politik alih isu pembangkang ini tidak perlu diharapkan dan tidak akan mungkin berubah kerana itu sahaja caranya untuk mereka terus bertahan dalam arena politik negara.

Sebab itulah sebelum ini biarpun pelbagai isu melumuri pemimpin mereka termasuk dari segi moral, pakatan pembangkang tetap dilihat 'ampuh'. Bukan kerana kewibawaan sebuah pakatan yang mantap dari segi semua segi tetapi gara-gara kebijaksanaan mereka mengalih isu dan memanipulasikan fakta sehingga ada rakyat terpedaya.

Kemelut dua kelompok dalam kepemimpinan PKR

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

PENGGUGURAN Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan tindakan pentadbiran terhadap Pengurus Besar PKNS dan pegawainya adalah lanjutan daripada pertarungan dua kelompok kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, Nurul Izzah dan Faekah Husin dengan Anwar Ibrahim dan Azmin.

Episod baru menjadikan pegawai kanan PKNS iaitu Pengurus Besar, Othman Omar dan Setiausaha anak syarikat kerajaan negeri itu, Norita Mohd. Sidek pula ditukarkan serta-merta ke Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebagai mangsa memberikan justifikasi politik bahawa kemelut Khalid-Anwar-Azmin sedang memasuki fasa baru yang jauh lebih serius.

Logiknya perkara ini sepatutnya sudah lama selesai kerana Anwar ada pengaruh terhadap isterinya Dr. Wan Azizah dan juga Azmin.

Bila perkara ini berlarutan, khalayak mempunyai tanggapan ada sesuatu yang tidak kena dalam kalangan kepimpinan utama PKR ini sehingga ia menjadi semakin kusut dan tidak terlerai.

Isu lain yang berbangkit adalah mengapa Wan Azizah dan Nurul Izzah berada di pihak Khalid dan Anwar dikatakan berada di pihak Azmin sedangkan mereka dalam suatu keluarga. Keluarga anak-beranak dan keluarga kepimpinan dalam politik.

Anwar sepatutnya sudah dapat menyelesaikan isu Khalid-Azmin ini lama dulu sejak pemilihan kepimpinan PKR yang terdahulu kerana pemilihan pucuk pimpinan PKR yang baru akan berlangsung beberapa bulan lagi.

Kedudukan Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dalam politik PKR Selangor adalah kuat. Kepimpinan kerajaan negeri di bawah Khalid sudah tentu menghadapi cabaran.

Tidak mudah mentadbirkan sebuah kerajaan negeri apabila pentadbiran parti di tangan orang lain sedangkan sebagai sebuah kerajaan, keputusan parti dan kerajaan harus seiring.

Bila Anwar mengarahkan Khalid melantik semula Azmin dalam Lembaga Pengurusan PKNS, Khalid tidak segera respons. Sebaliknya sikap saling menyalah terjadi dan akhirnya pegawai kanan PKNS juga menjadi taruhan.

Apa yang berlaku di Selangor adalah gambaran kredibiliti PKR dalam mengendalikan sebuah negeri yang amat strategik di Malaysia. Sepatutnya isu kepimpinan tidak berbangkit di Selangor kerana PKR dan sekutunya ingin memerintah Malaysia.

Apa yang sedang berlaku dalam kepimpinan PKR Sabah sehingga kini belum dapat diatasi. Sekiranya kemelut Khalid-Azmin ini menjadi semakin parah, bukan mustahil kredibiliti Khalid akan tercalar dan keupayaan Anwar menyelesaikan masalah kepimpinan parti menjadi persoalan besar.

Ada desakan dalam pemilihan kepimpinan akan datang agar Anwar mengambil tempat sebagai Presiden. Kedudukan Wan Azizah sudah pasti tergugat. Bayangkan Wan Azizah akan tetap bertahan sebagai Presiden dan Azmin menjadi lebih ghairah untuk menentang Wan Azizah, apakah Anwar harus membiarkan ia terjadi?

Oleh kerana hubungan Khalid-Azmin dalam keadaan tidak mesra, apakah kemungkinan Khalid akan bertanding jawatan Timbalan Presiden dengan dukungan Wan Azizah dan anaknya Nurul Izzah?

Jika ini terjadi, Anwar menjadi lebih sukar kerana kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar dalam cabaran dan cerita Azmin terhadap jawatan Menteri Besar dikatakan belum padam lagi.

Khalid dikatakan mendapat dukungan DAP Selangor dan Malaysia. Apakah usaha menolak Khalid dari kedudukan itu dan menggantikannya dengan orang lain boleh menimbulkan pergolakan baru dalam Pakatan Rakyat?

Kemelut yang berlaku ini banyak bergantung kepada keupayaan Anwar meleraikannya kerana isu Khalid ada kaitannya dengan dukungan Wan Azizah dan kedudukan Azmin ada kaitannya dengan Anwar.

Anwar menjadi faktor utama menyelesaikan kemelut ini ibarat kata pepatah - ular dibunuh biar mati, tanah tempat memukul tidak lembah dan kayu pemukul tidak patah. Kalau itu tidak terjadi, politik dan pentadbiran Selangor akan terus bergolak dan apa-apa kemungkinan boleh terjadi.

Khalid mempunyai caranya tersendiri untuk menguruskan pentadbiran negeri Selangor. Azmin sering mengkritik pentadbiran ini terutama apabila kerajaan negeri menaikkan kadar gaji dan elaun wakil rakyat, Menteri Besar dan Speaker yang banyak menimbulkan keresahan rakyat.

Isu kalimah Allah yang berbangkit di Selangor, isu rampasan Bible yang belum selesai, isu titah tuanku terhadap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah antara cabaran yang tidak mudah untuk dileraikan oleh Khalid.

Kredibiliti Khalid sedang teruji sama ada akan terus bertahan atau berlaku sesuatu sebaliknya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Anggap cerca satu dugaan

Posted: 22 Jan 2014 09:50 PM PST

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Gambar MUHAMMAD NAQUIB ZUBIR (Pelatih IKBN PERETAK)

Cico Harahap bersama anak dan tunangnya.

Sebelum ini, pelakon bertubuh sasa, Cico Harahap mengakui yang dia sudah bercerai dan bergelar seorang duda selama tiga tahun.

Namun, baru-baru ini, ketika sidang akhbar drama Jiwa, drama terbaharu yang dibintangi Cico, terlihat kelibat seorang wanita yang berada di sisinya.

Kelibat wanita berbaju cheongsam biru itu nampaknya tidak asing lagi bagi Cico dan anaknya, Rindu Nur Fitrah, 5, yang kelihatan mesra bersama dengan wanita itu.

Mendekati Cico selepas berakhirnya sidang akhbar tersebut, dia memperkenalkan wanita itu sebagai tunangnya. Terkejut juga kerana berita tentang perkahwinannya sebelum ini baharu sahaja diceritakan.

Namun, Cico atau nama sebenarnya, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaluddin, 35, tampil berani dan tidak berselindung lagi seperti sebelum ini. Malah, dia memberitahu bahawa usia pertunangan mereka sudah berlangsung hampir setahun.

"Sudah hampir setahun kami bertunang. Keluarga saya bertemu dengan keluarganya dan ia diadakan dalam majlis yang ringkas sahaja," jelasnya.

Namun, ketika ditanya nama gadis itu, Cico tampaknya belum bersedia mendedahkan nama si manis, sebaliknya hanya memberi kebenaran untuk diambil gambarnya sahaja. Itu sudah memadai bagi Hits.

Ketika ditanya sama ada tunangnya itu sudah memeluk Islam atau tidak, jelasnya, gadis itu masih lagi menganut agama asalnya.

"Status bertunang ini sebenarnya hanya mahu mengikat janji. Itu sahaja. Jadi tidak bermakna dia tidak peluk Islam, maka saya tidak boleh bertunang dengan dia.

"Lagipun, dalam tempoh kami bertunang ini, saya mahu dia mengenali Islam. Saya tidak mahu dia masuk Islam hanya kerana mahu berkahwin dengan saya.

"Sebaliknya, saya mahu dia betul-betul bersedia dan kenal Islam. Bila dia menyatakan kesediaannya untuk memeluk Islam, baharu kami akan membina masjid," katanya.

Menurut Cico lagi, dia juga tidak meletakkan sebarang tarikh untuk pernikahan sebaliknya mahu fokus kepada kerjaya seninya terlebih dahulu.

"Saya hanya merancang, tetapi tuhan yang menentukan. Saya pun tidak tahu adakah tunang yang sekarang ini merupakan jodoh sebenar saya kerana ia ketetapan yang hanya diketahui Allah.

"Tetapi buat masa ini, biarlah dia belajar dahulu. Saya pun tidak mahu memaksa dia berkahwin. Lagipun, masih banyak yang perlu dilakukan terutamanya dalam bidang seni.

"Selama 28 tahun berada dalam industri seni, tetapi di mana kedudukan saya di atas pentas lakonan?. Perjalanan masih jauh dan saya perlu teruskan untuk mendapat hasil yang terbaik," jelasnya.

Ibu beri sokongan

Selepas menyatakan kesediaannya untuk beralih ke jalan yang lebih dirahmati, ada mulut-mulut yang cuba mempertikaikan dan sengaja mengungkap kembali kisah-kisah silamnya.

Bagi Cico, dia tidak mahu perkara-perkara itu terus membelenggu dirinya, sebaliknya lebih selesa untuk menganggap ia sebagai satu dugaan daripada tuhan.

"Sifat manusia tidak pernah puas hati. Saya berubah pun bukan untuk mencari publisiti, tetapi untuk diri saya dan keluarga sendiri. Menjadi yang lebih baik daripada dahulu.

"Alhamdulillah, di sebalik kisah silam saya, peminat tidak pernah berputus asa dan masih memberi sokongan kepada saya.

"Tetapi, ada juga yang marah. Tapi marah mereka tidaklah sampai terus membenci, sebaliknya mereka memberi nasihat kepada saya dan secara peribadinya, saya sangat berterima kasih," jelasnya.

Tambah Cico, antara orang yang paling banyak memberinya semangat untuk berubah adalah ibunya, Uji Rashid yang banyak berkongsi pengalaman bersama dengannya.

"Saya sebelum ini sudah berkahwin dan bercerai lebih kurang tiga tahun, tetapi mak saya yang lebih banyak makan garam terutamanya dalam industri.

"Bagi saya, apa yang dilalui kini sebenarnya jauh lebih kecil berbanding apa yang dilalui oleh ibu. Banyak kali saya jatuh dan dia menasihat saya.

"Tidak dinafikan sokongan keluarga banyak membantu saya. Lagipun anak saya, kini sudah berusia lima tahun

dan berapa kali jatuh pun, saya kena bangun juga demi membesarkan anak," jelasnya.

Jelas lelaki ini lagi, dia mengakui kesilapan dirinya sebelum ini tetapi tidak terlintas langsung dihatinya untuk menyembunyikan perkara itu daripada umum.

"Saya pernah muda, saya pernah bodoh dan itu adalah kehidupan. Saya mengakui pernah silap dan tidak ada sebab untuk saya menyembunyikan kesilapan lampau," jelasnya.

Mengulas mengenai rakan-rakannya, jelas Cico, selepas membuat keputusan untuk berhijrah, dia tidak pernah membuat keputusan untuk membuang rakan-rakannya.

"Saya masih macam dulu, berkawan dengan pelbagai jenis orang. Tetapi, kebanyakan rakan yang dulu seperti saya memberi sokongan moral yang baik.

"Malah, rakan-rakan bukan Islam pun ada yang bertanya kepada saya kenapa saya buat keputusan untuk berhijrah selepas melakukan perkara yang tidak elok sebelum ini.

"Saya beritahu mereka, saya berhijrah untuk tuhan dan mereka tidak menghentam. Sebaliknya memuji dan memberi sokongan. Itu yang menguatkan lagi semangat saya untuk menuju ke arah yang lebih baik," ujarnya.

Jaga perlakuan, aurat

Perubahan sebagai seorang yang lebih dekat dengan tuhan, ada yang berpendapat ia membataskan seseorang pelakon itu untuk mewarnai wataknya.

Apatah lagi dengan Cico yang selama ini sering kali diberikan watak gangster yang sentiasa dikelilingi dengan adegan minum arak dan pergaulan bebas antara wanita.

Bagi Cico, dia tetap menerima watak-watak yang sering dibawakan sebelum ini tetapi menggunakan kaedah lakonan untuk mengelakkan dirinya melakukan perkara yang dilarang Islam ketika berlakon.

"Mahu membawakan watak gengster atau jahat, tidak semestinya kena buka aurat, kena minum arak atau peluk perempuan.

"Adegan seperti itu memang sesuatu yang klise. Saya akan gunakan ilmu lakonan untuk tidak menyentuh perkara-perkara sebegini.

"Contohnya bab menyentuh atau berpelukan dengan wanita. Sebagai seorang gengster, saya akan jadi seorang yang gengster terhadap lelaki dan wanita. Jadi, ia akan mengelak saya daripada bersentuhan sekali gus membentuk watak tersendiri dalam lakonan saya," katanya.

Tambah Cico, dia juga melihat lakonannya sebagai salah satu cabang untuk dia meneruskan sebaran dalam bidang dakwah dan menyeru kebaikan.

"Bila ustaz contohnya memberi tahu bahawa pembunuh itu jahat, hanya beberapa orang sahaja yang tahu. Tetapi, melalui lakonan, ribuan orang menonton saya membawa watak pembunuh.

"Sampai satu masa mereka melihat kekejaman saya dalam lakonan itu membuatkan mereka benci kepada pembunuh dan mengelak untuk berbuat perkara yang tidak baik," katanya.

Jangan sampai dia lupakan saya

Posted: 22 Jan 2014 09:50 PM PST

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Gambar JEFFRI IRAN

JINS yang sentiasa mendapat sokongan daripada isteri dan anak-anak, Putera Hang Jebat (kiri) dan Putera Hang Nadim (kanan)

"Ada hikmah dia sakit begini, sekurang-kurangnya dia dapat meluangkan masanya bersama keluarga."

Begitulah ayat yang terkeluar daripada mulut seorang isteri bintang filem dengan sumbangan besar kepada negara.

Hakikatnya kini, memori pelakon itu semakin lama makin dikikis dek penyakit demensia yang memakan semua kenangan silam Tan Sri Jins Samsuddin.

"Saya reda dengan ujian yang diberi Allah, cuma satu yang saya risau, jangan sampai dia lupa kedua-dua anak dan saya sebagai isterinya," luah isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah.

Itulah satu harapan isterinya. Biarlah penat sekalipun, tetapi janganlah memori itu lupus daripada ingatan bapa kepada dua orang anak, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.

Malah, tika ditanya adakah kemungkinan itu akan berlaku dalam masa terdekat, jelas Halijah, doktor sendiri tidak dapat memberitahu bila kerana ia terpulang kepada badannya sendiri.

Sewaktu kami berbual-bual di ruang tamu rumahnya, Jins lebih banyak termenung memerhatikan apa bibit cerita yang disembangkan.

Tiada reaksi yang diberikan saat mata penulis dihala ke mukanya. Hanya tersenyum dan sekali-sekala tersengih seolah-olah memahami apa yang diceritakan.

Mulutnya terkunci. Tetapi bila nama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) disebut ketika berborak dengan isterinya, pantas mulutnya berbicara.

Menceritakan detik-detik ketika dia masih menjalankan tugasnya sebagai pengerusi ketika di Finas. Segala anugerah dan gelaran yang diterimanya juga dicerita satu persatu.

Hanya itu reaksi yang boleh diberikan. Tiada reaksi lain selain senyum dan tertawa kecil. Dirinya kosong, apa yang bermain di fikiran Jins, hanya dirinya sahaja yang tahu.

Tambah Halijah, sambutan kehadiran Syawal yang sebelum ini meriah juga kini seakan tidak bermakna lagi. Malah, Jins sendiri tidak tahu apa itu sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Dia tidak tahu apa itu puasa, mengapa kita sambut Aidilfitri.

"Pernah sekali, ketika hari pertama Syawal, saya hulurkan tangan untuk bersalam memohon kemaafan, tetapi ditanya kembali kepada saya untuk apa berbuat demikian.

"Saya faham dan beritahu pada dia sampai dia faham. Memang kena selalu buat macam ini. Berborak dengan dia. Lagipun doktor pun ada pesan supaya sentiasa berkomunikasi dengan dia," katanya.

Jauh di sudut hati isterinya, sayu memikirkan perkara ini. Tetapi, dikuatkan juga hatinya kerana sekurang-kurangnya, insan tersayang itu sudah sentiasa ada di depan mata.

"Masa dia sihat dulu, dia sangat kuat bekerja. Jadual dia memang kalah Perdana Menteri. Diarinya penuh daripada awal tahun sampai hujung.

"Kalau dia balik pun, sekadar untuk menukar baju dan mempersiapkan diri untuk keluar semula. Malah, dia meletakkan kerjanya dahulu sebelum keluarga," jelasnya.

Ditanya tentang kesukaran untuk menjaga Jins, tiada apa yang memenatkan. Malah tambah Halijah, Jins hanya mengikut sahaja apa yang diberitahu.

"Tidak sukar jaga Jins sebab dia tidak mempunyai sifat pemarah. Lain-lain macam kebersihan diri dia masih boleh lakukan. Cuma mandi sahaja, saya akan lakukan.

"Lagipun Jins tidak mempunyai penyakit lain. Badannya sihat kecuali tangannya yang mempunyai sakit sendi. Tapi itu pun penyakit lama," katanya.

Tambah Halijah lagi, ada kalanya dia akan bawa Jins untuk berjalan-jalan supaya otaknya segar. Selain itu, aktiviti ringan seperti menyapu daun kering di halaman rumah juga kerap dilakukan supaya badannya tidak terus lemah.

Permata bukan kaca

Mengimbas kembali jerit perih perjuangan Jins, banyak sumbangannya dalam industri mahupun kepada rakan-rakan artis yang lain.

Jelas Halijah, dia tidak kisah dengan pengorbanan yang dilakukan demi suaminya, tetapi sekurang-kurangnya kenanglah jasa Jins yang selama ini menghambakan dirinya untuk industri.

"Jauh di sudut hati, adakalanya saya sebenarnya suka bila dia sakit macam ini. Biarlah dia lupa tentang sumbangannya terhadap industri. Kalau dia sihat lagi, rasanya mesti dia sakit hati dengan apa yang diterimanya sekarang. Bagimana dirinya disisihkan kini dan tidak dipedulikan," jelasnya.

Malah, tambah Halijah, selama ini dia berjaya membawa gelaran artis sehingga naik menjadi seorang senator dan membantu industri dengan suaranya sebagai senator.

"Sekarang dia dengan dunia dia sahaja. Saya lebih suka dia begini sekarang. Biarlah saya yang sedih dengan keadaannya, tetapi jangan dia yang sedih mengenangkan kerja kerasnya selama ini seperti tidak dihargai," katanya.

Dulu, Jins terkenal dengan perwatakannya yang serius. Tetapi kini, semuanya sudah hilang. Tiada lagi imej seperti itu.

Ketika ditanya Halijah, mungkin ada kata-kata yang ingin disampaikan kepada Jins, jelasnya, tiada apa yang boleh dikatakan lagi, semuanya sudah terlambat.

"Dia sudah tidak faham apa yang diberitahu kepadanya. Sudah tiada emosi dalam diri Jins. Hanya senyum dan ketawa sahaja.

"Cuma apa yang ingin saya katakan, kepada golongan-golongan yang berkaitan, hargailah artis-artis veteran yang memerlukan bantuan. Saya tidak kisah dengan bantuan kewangan kerana Alhamdulillah, setakat ini, rezeki itu masih ada. Tetapi bagaimana dengan artis veteran yang lain.

"Artis-artis yang sudah hilang pendapatan. Sedangkan Jins yang begitu banyak sumbangan industri pun semakin dilupakan, apatah lagi artis veteran yang lain," luahnya.

Jelas Halijah, dia sedih melihat Jins yang meletakkan kerja di hadapan, tetapi kerja itulah yang akhirnya memakan dirinya sendiri.

"Doktor beritahu, punca Jins sebenarnya jadi begini adalah kerana faktor kerja yang keterlaluan. Namun, selepas dia berhenti, otaknya mula tidak keruan yang akhirnya menjadikan dia sebegini.

"Semuanya dilakukan demi membangunkan industri tetapi lihatlah sekarang bagaimana dia disisihkan. Sudah tiada apa yang boleh dilakukan, maka Jins terus dibuang.

"Mungkin bila sudah tiada lagi nanti, ketika itulah semuanya baharu nak memberi penghargaan itu dan ini. Sedangkan masa dia masih hidup, tiada orang pun yang ambil tahu pasal dirinya," jelasnya.

Begitulah rajuk seorang isteri kepada bintang yang telah menyinarkan industri seni bukan di peringkat tempatan sahaja, malah ke peringkat antarabangsa.

Bukan sumbangan yang diharapkan, tetapi sekurang-kurangnya, jenguklah insan yang memberi sumbangan besar terhadap industri ini.

Bukan sukar, sekadar telefon bertanya khabar sudah memadai. Tidak perlu panggil wartawan pun tidak mengapa.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


BSK santuni isteri terabai

Posted: 22 Jan 2014 09:50 PM PST

Oleh HASHNAN ABDULLAH
Gambar Noor Azlina Jaafar & Abdul Razak Latif

PERCERAIAN merupakan satu perkataan yang paling ditakuti oleh pasangan yang berkahwin, apa lagi sekiranya rumah tangga yang dibina telah lama terbina atau pasangan tersebut berkahwin atas dasar suka sama suka. Sungguhpun bercerai itu dibenarkan di dalam Islam, namun ia dibenci oleh Allah SWT. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Perbuatan halal yang teramat dibenci Allah, ialah talak." (riwayat Abu Daud)

Begitu pun, bercerai atau talak ialah satu pendekatan terbaik apabila tiada lagi persefahaman di dalam melayari bahtera perkahwinan. Sayangnya, perceraian ini seringkali diambil remeh oleh individu yang bercerai, terutamanya di pihak lelaki kerana beranggapan berakhirnya episod perkahwinan itu, ia sekali gus menandakan mereka bebas daripada menunaikan tanggungjawab yang digalas selama ini iaitu pemberian nafkah kepada anak-anak yang telah menjadi mangsa keadaan.

Meskipun ia melibatkan anak-anak tetapi sebenarnya bebanan ini terpikul di bahu bekas isteri yang terpaksa mengambil hak memelihara dan menjaga anak-anak hasil daripada perkahwinan mereka berdua.

Berbalik kepada dua kes di atas di mana ia adalah segelintir daripada puluhan ribu kes yang melibatkan bekas suami ingkar bayar nafkah, walaupun telah mendapat perintah mahkamah.

Menurut Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Dr. Mohd. Naim Mokhtar, jumlah itu turut berpunca daripada kegagalan para bekas isteri memaklumkan perkara tersebut kepada mahkamah.

"Inilah menjadi antara faktor utama kerajaan melalui JKSM mewujudkan BSK pada 2007. Tetapi kami juga tidak menolak kemungkinan kegagalan bekas isteri itu disebabkan oleh faktor kewangan."

Bukan hanya dari segi kos pengangkutan dan penginapan jika kesnya disebut di negeri lain tetapi bayaran untuk peguam syarie yang pastinya bukan murah," katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Perkhidmatan BSK adalah percuma dengan syarat bekas isteri telah mendapat surat perintah bayaran saraan dan nafkah untuk anak-anak daripada mahkamah syariah.

Percuma itu bermula sebaik kes itu difailkan di BSK negeri hingga usaha mengesan bekas suami, peringkat

runding cara dan proses

perbicaraan di mahkamah.

'Kuasa' BKS

Malah, Dr. Mohd. Na'im berkata, pihak BSK turut menjalin kerjasama strategik dengan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan peranan BSK dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Terbaharu sekali dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan pihaknya mengesan bekas suami yang ingkar itu," tegasnya.

Apa yang lebih menarik adalah disebabkan BSK sebahagian daripada JKSM, maka BSK mampu memainkan peranan dengan lebih berkesan, khususnya terhadap bekas suami yang ingkar dengan perintah mahkamah.

Dengan kata lain, 'kuasa' BSK bukan hanya dapat dilihat tetapi dirasai oleh orang ramai walaupun BSK hanyalah satu bahagian dalam JKSM sahaja.

Kuasa itu turut hadir kerana kami juga mempunyai jalinan hubungan strategik dengan agensi pihak berkuasa dan lain-lain agensi yang akan menjadikan orang ramai atau bekas suami yang ingkar itu mematuhi arahan surat kami," katanya.

Menurut Dr. Mohd. Naim lagi, para pegawai BSK mempunyai kelulusan dan pengalaman dalam mengendalikan kes-kes di mahkamah syariah.

Kelebihan itu bukan hanya membolehkan mereka mewakili mangsa di mahkamah tetapi khidmat nasihat mereka setaraf peguam syarie di luar sana.

"Sebab itulah, saya kini dalam usaha untuk memastikan semua pegawai BSK memiliki Sijil Guaman Syarie Negeri. Kini hanya dua negeri sahaja yang belum berbuat demikian" katanya.

Kembara hidup seorang pereka

Posted: 22 Jan 2014 09:50 PM PST

Antara motosikal rekaan Oma yang dianggap luar biasa.

Kini Omar atau yang lebih dikenali ramai dengan nama Oma Eastern Bobber melangkah lebih jauh dalam dunia mereka cipta dan membina motosikal.

Berbekalkan wang simpanan hasil titik peluh selama ini dan lelongan barangan yang terdapat di kedainya yang beralamat Lot 1898, Jalan Sungai Kantan, Kajang, Selangor, Oma berazam membawa jenama yang diasaskannya, Eastern Bobber (EB), ke Amerika Syarikat (AS) dalam usaha menimba lebih banyak pengalaman.

Baginya usaha tidak akan sia-sia kerana bukan saja langkahnya semakin panjang, bahkan bintangnya mungkin semakin terang untuk muncul sebagai pereka dan pembina motosikal dengan cara tersendiri biarpun tidak memiliki sebarang sijil rasmi.

Walau jalan yang dilalui anak muda berasal dari Klang, Selangor, ini lebih sukar berbanding idolanya, Roland Sands, pereka motosikal buatan sendiri yang juga pengasas Roland Sands Design, dari California, ia bukan sesuatu yang mematahkan semangat.

Malah kisah Oma mungkin lebih menarik kerana dia yang sekadar berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya menempatkan 'karyanya' bukan sahaja di dalam negara, malah hingga ke negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.

Bagi Oma, pengembaraan yang dilaluinya itu bagi mencari kepuasan berkarya dengan jiwa yang lebih segar.

Dia mengembara sambil menjual hasil seni motosikal buatan sendiri di seluruh pelusuk negara sehinggalah mengambil keputusan untuk berhijrah.

Bagi Oma, tahun 2014 merupakan tahun terbaik memulakan pengembaraan melebarkan sayapnya ke AS.

Apa pun peristiwa dia ditahan pegawai penguatkuasa dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) lima tahun lalu menjadi pemangkin semangat untuknya melangkah ke luar negara.

"Masa itu saya ditahan kerana modifikasi motosikal yang tidak diluluskan. Kata pegawai JPJ itu, kalau nak buat motosikal macam ini pergi ke Amerika baru boleh buat.

"Kata-kata pegawai ini membakar semangat saya untuk ke negara Uncle Sam itu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kajang, baru-baru ini.

Mengimbas kenangan awal terbabit dalam kerja-kerja mencipta dan membina sendiri motosikal, Oma berkata, dia bermula dengan kerja-kerja mengimpal pagar rumah pada sekitar tahun 1992.

Ketika itu dia hanya beroperasi di sebuah kedai bersaiz kecil di belakang Masjid Kajang, sebelum berpindah dan menyewa sebuah kedai lebih luas di Jalan Sungai Kantan, sehinggalah sekarang.

Di lokasi baru itulah jenama EB berkembang kerana selepas berpindah dia mula beralih bidang mereka dan membina motosikal.

"Masa itu macam-macam cabaran serta kisah suka dan duka saya lalui. Alhamdulillah dalam lapan tahun saya berkarya, nama EB mula mendapat tempat dan menerima sambutan di luar jangkaan.

"Nama ini saya ilhamkan sebab kita orang timur, Eastern dan Bobber pula gaya yang paling saya gemari," ujarnya.

Dari hobi ke profesion

Kerja-kerja membina motosikal buatan sendiri yang dilakukan Oma sebenarnya bermula sebagai hobi di masa lapang sebelum bertukar kepada profesion yang lebih serius.

"Motosikal pertama saya bina pada tahun 1992 menggunakan enjin Suzuki GP 100 bergaya bobber.

"Masa itu tak ada lagi motosikal jenis chopper dibina menggunakan enjin kecil. Siap sahaja motor itu, saya gunakan untuk mengelilingi Malaysia.

"Ketika itu saya tidak tahu apa-apa pun tentang dunia motosikal buatan sendiri dan setelah menjejakkan kaki ke dunia tersebut barulah saya sedar yang kerja-kerja ini memberikan kepuasan selain mampu menjana pendapatan," katanya.

Peringkat permulaan pengembaraan Oma, agak sukar kerana masyarakat pada masa itu lebih meminati motosikal beli-siap yang dijual di pasaran.

Tanpa disangka sedikit demi sedikit motosikal buatan sendiri hasil rekaan Oma mula mendapat permintaan daripada mereka yang mempercayai kebolehannya, sehingga dia mampu menampung kehidupannya sekeluarga.

"Kita orang timur tak perlu nak buat macam barat. Sebenarnya kita juga sama hebat cuma tidak ada peluang untuk ketengahkan bakat yang ada.

"Setakat ini sudah lebih 100 biji motosikal yang telah saya bina, daripada main-main hingga yang serius. Alhamdulillah, semuanya mendapat sambutan dan ini menguatkan lagi semangat saya untuk mencuba nasib.

"Saya suka hasilkan rekaan yang berlainan. Sejak dari dahulu saya gemar konsep bobber selain gaya chopper, motosikal masa hadapan, cafe racers, cruiser, tracker, falcon, post modern dan sebagainya," ujarnya.

Daripada yang bersaiz panjang, tinggi, besar dan kecil hampir kesemuanya pernah dibina oleh Oma.

Rekaannya bukan sahaja dikagumi malah diterima ramai dan tidak kurang juga yang terpegun melihat rekaan-rekaan motosikal yang luar biasa seperti Bat Pod.

"Bat Pod yang saya hasilkan merupakan karya masterpieces dan saya bina hanya berdasarkan melihat pada gambar di internet.

"Melalui gambar itu saya pelajari mekanikal yang diperlukan bagi menghasilkan motosikal jenis ini dengan kaedah try and error, macam-macam idea saya perolehi," katanya.

Disebabkan terlalu asyik membina motosikal, acapkali juga dia terlupa waktu makan, malah kadang-kadang tidak menyedari siang sudah bertukar malam.

Berkongsi salah satu cerita pahitnya, katanya, motosikal buatan sendiri yang menggunakan enjin GS 250 dan Virago 535 miliknya pernah disita JPJ.

Kenangan itu menguatkan lagi kehendak Oma untuk melebarkan sayap ke negara yang lebih bebas menghasilkan karya sedemikian.

"Ironi juga, kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia berkarya kerana bidang seni kreatif itu mampu menjana pendapatan dan perlu digalakkan, tetapi apabila hasil karya dibawa ke jalan raya ia disita mahupun disaman pihak berkuasa.

"Akta JPJ mengatakan bahawa motosikal jenis buatan sendiri bahaya dan tak sesuai diguna pakai atas jalan raya.

"Saya rasa peraturan itu perlu dilihat semula kerana hasil kreatif seperti yang diusahakan pembina motosikal tempatan berpotensi untuk dipasarkan.

"Pada pendapat saya, kajian terperinci perlu dijalankan kerana masyarakat kini semakin percaya dengan kebolehan pereka-pereka seperti kami yang menghasilkan karya masterpieces, bukannya keluaran kilang yang mudah didapati di pasaran," ujarnya.

Jelasnya, hasil yang dibina pereka sepertinya itu digilai di negara luar dan undang-undang mereka tidak seketat di Malaysia.

"Di negara jiran, pihak berkuasa tidak menyekat kerja-kerja kreatif seperti ini malah mereka digalakkan menghasilkan kerja-kerja kreatif. Sebab itu, pereka seperti kami perlu sedikit kebebasan untuk berkarya bukan duduk di bawah tempurung," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Projek RM1.5b di tapak Flat Pekeliling

Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

BLOK A Flat Pekeliling, Kuala Lumpur telah dipasang dengan jaring keselamatan bagi kerja-kerja meroboh yang bermula semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Tapak Flat Pekeliling di Jalan Tun Razak di sini akan dibangunkan dengan projek bakal menjadi mercu tanda baharu Kuala Lumpur yang menelan kos kira-kira RM1.5 bilion.

Ketua Pengarah Projek Goh Hock Kuan & Associates Architects, Town and Regional Planners, Low Chee Hoo berkata, ia bakal melibatkan pembinaan lot kedai, bangunan pejabat, hotel dan kondominium setinggi 60 tingkat.

Menurutnya, sebanyak 1,000 unit rumah kos rendah juga akan dibina untuk golongan yang berpendapatan rendah.

"Seramai 200 bekas penghuni Flat Pekeliling yang sebelum ini dipindahkan ke Flat Sri Terengganu berpeluang menduduki rumah tersebut apabila ia telah siap dibina.

"Sudah tentu kawasan flat seluas kira-kira 20 hektar ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk tujuan pembangunan," katanya selepas memberi penerangan kepada pemberita mengenai kerja-kerja merobohkan lima blok flat tersebut di sini hari ini.

Kerja-kerja itu bermula hari ini dan dijangka mengambil masa selama dua tahun melibatkan perbelanjaan sebanyak RM5 juta.

Flat setinggi 17 tingkat itu yang telah berusia 45 tahun terbiar sejak enam tahun lalu.

Dalam pada itu, Chee Hoo berkata, kuarters polis yang terletak berhampiran flat itu juga akan dirobohkan dan para penghuninya bakal dipindahkan ke kawasan baharu itu.

Beliau memberitahu, berdasarkan perancangan pemaju, kawasan di tebing Sungai Gombak akan turut diperindahkan dengan pembinaan laluan pejalan kaki dan tempat berjoging sepanjang 15.24 meter.

Menurutnya, kerja-kerja pembangunan itu dijangka siap dalam tempoh 10 tahun selepas bangunan Flat Pekeliling dirobohkan sepenuhnya.

Dalam pada itu, konsultan CSK Murni Services Sdn. Bhd., Dr. C. Sivakumar memberitahu, pihaknya dilantik bagi menyelia aspek keselamatan memberi jaminan kerja-kerja meroboh bangunan tersebut bakal dijalankan dengan selamat dan lancar.

DBKL ambil pendekatan positif

Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (tengah) melekatkan bendera pada kereta rasminya semasa Majlis Pelancaran Kibar Bendera Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganggap bantahan yang diterima berhubung kenaikan kadar cukai taksiran oleh warga kota baru-baru ini membuka ruang bagi penambahbaikan mutu kerja dan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, melalui bantahan itu pelbagai masalah yang dibangkitkan dalam kalangan pembayar cukai dapat dikenal pasti.

Menurutnya, ia secara tidak langsung dapat memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada warga kota.

"Sebagai contoh, mereka mempersoalkan tentang jalan yang tidak diturap sejak lebih 20 tahun serta masalah pembersihan dan kutipan sampah.

"Kita mengambil aduan-aduan itu dengan positif dan cuba memenuhi keperluan rakyat selari dengan cukai taksiran yang dibayar kepada DBKL," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Bendera Wilayah Peringkat Kuala Lumpur 2014 di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah bantahan yang diterima sehingga kini ialah sebanyak 166,000.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Phesal berkata, sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan, warga kota berpeluang menikmati pelbagai insentif yang ditawarkan sebelum ini.

''Selain kompaun trafik sebanyak RM30, turut diberikan penggunaan kemudahan sukan di bawah kendalian DBKL dan tandas awam secara percuma.

"Tawaran istimewa ini harus dimanfaatkan sebaiknya oleh warga kota memandangkan ia hanya diberi dalam tempoh tertentu," ujarnya.

Tambahnya, apa yang lebih penting, warga kota dapat sama-sama meraikan sambutan itu dengan menyertai pelbagai program yang dianjurkan seperti forum perdana, majlis tahlil dan doa selamat.

Beberapa bangunan di ibu negara bakal dirobohkan - DBKL

Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Beberapa bangunan yang dianggap kurang selamat di sekitar ibu negara bakal dirobohkan bagi tujuan pembangunan pada masa akan datang.

Timbalan Pengarah (Zon Utara) Bahagian Kawalan Bangunan Jabatan Rekabentuk Bandar dan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Alias Marjoh berkata, ia termasuk bangunan yang dirasakan tidak sesuai dari segi reka bentuk serta tidak selesa untuk didiami.

Jika sesebuah bangunan itu didapati tidak wajar lagi diduduki, DBKL akan mempertimbang untuk membangunkan semula kawasan tersebut.

Tujuan utamanya adalah supaya lebih banyak mercu tanda dibina sekali gus memperindahkan lagi suasana di ibu negara," katanya selepas sidang akhbar berhubung kerja-kerja perobohan Flat Pekeliling di Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Katanya, beberapa bangunan lama dan uzur kini dalam perhatian DBKL dan penilaian akan dibuat sama ada ia perlu dirobohkan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan bangunan yang bakal dirobohkan dalam masa terdekat.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved